Artikel "Wanita" Terkini
Edar Stokin Percuma Galak Wanita Tutup Aurat
BESUT, 27 Februari - Inisiatif Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Kebajikan Nur Insani (Nisa') mengedarkan stokin percuma di Pasar Malam Kampung Raja sempena kempen Terengganu Hijab Day adalah untuk menggalakkan kaum wanita menutup aurat.
Ketua Nisa' Kawasan Besut, Nor Rafidah Razak berkata, program dikelola Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu itu dijayakan di peringkat daerah bagi meneruskan gelombang Terengganu Hijab Day.
Katanya, ia juga bagi memastikan rakyat di bawah merasai impak program tersebut.
Edaran stokin dan risalah.
"Sebenarnya program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha dakwah untuk mendekati masyarakat dan menggalakkan masyarakat umum khususnya kaum wanita untuk bertudung dan menutup aurat dengan lebih sempurna mengikut syariat islam.
"Pemakaian hijab ini bukan hanya untuk wanita yang faham agama sahaja, tapi adalah kewajipan bagi setiap wanita yang mengaku dirinya muslim," jelasnya.
Beliau beliau berkata demikian selepas selesai membuat edaran stokin dan risalah di Tapak Pasar Malam Kampung Raja semalam.
Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.
"Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing.
"Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah," ujarnya lagi.
27 Feb 23
705
Etika Pemakaian Patuh Syariah Angkat Martabat Wanita
KUALA NERUS, 21 Februari - Usaha kerajaan Terengganu menguatkuasakan etika pemakaian patuh syariah di negeri ini adalah untuk mengangkat martabat kaum wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, oleh kerana itu usaha mendidik rakyat serta memperkenalkan pakaian yang benar-benar menutup aurat diadakan secara berterusan sekali gus membendung kesalahan jenayah syariah.
Katanya, setakat ini walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan perkara tersebut namun tiada tindakan diambil sebelum ini kerana masih dalam proses mendidik sehingga rakyat di negeri ini mendapat kefahaman yang jelas.
"Setakat ini kita beri nasihat, nasihat disampaikan melalui penguatkuasa di majlis daerah perbandaran dan juga melalui pejabat agama dan daerah, insya-Allah telah tiba masanya kita bertegas dalam penguatkuasaan.
"Selama ini kita hanya mengambil tindakan meminta pihak polis dan penguatkuasa untuk memberikan nasihat-nasihat terakhir ketika diadakan operasi 'Ops Bonceng' pada Januari yang lalu," ujarnya.
Beliau berkata demikian, selepas menyempurnakan Sambutan 'Terengganu Hijab Day' di Dewan Perdana Komplekas Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Shah, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita negeri, Wan Nur Sakinah Din.
Menurut Hanafiah, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.
"Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing.
"Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah," ujarnya lagi.
21 Feb 23
522
'Terima Kasih Kerajaan Negeri Kerana Cakna Wanita'
KUALA TERENGGANU, 30 November - Wakil wanita Terengganu merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu kerana telah menunjukkan kecaknaan terhadap wanita Terengganu melalui Belanjawan Terengganu 2023.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mewakili seluruh wanita Terengganu menyatakan kesyukuran dan penghargaan atas pelbagai isentif dan peruntukkan khusus buat kaum wanita.
"Pihak kerajaan negeri menunjukkan kecaknaan terhadap kesihatan wanita dengan pemberian baucer pakej berpantang dengan nilaian RM200 kepada 5,000 orang wanita yang layak.
"Selain menyediakan peruntukan RM300 ribu bagi menjayakan program pemeriksaan mammogram dan pap smear kepada wanita Terengganu yang berumur 35 tahun ke atas," ujarnya
Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan pesakit wanita membuat rawatan awal sehingga akhirnya penyakit tersebut berada di tahap serius.
Zuraida berpendapat bahawa antara faktor yang menyumbang kepada perkara tersebut adalah, wanita tidak berani untuk mendapatkan rawatan awal di hospital sebaliknya lebih memilih rawatan alternatif seperti bomoh, dukun dan sebagainya.
"Hal ini menyukarkan proses rawatan dan tidak kurang juga akhirnya menelan belanja rawatan yang lebih besar. Paling tragis, ianya berakhir dengan kematian.
"Suka untuk saya tegaskan bahawa wanita perlu bersuara dan mengambil peluang melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala agar risiko masalah kesihatan dapat dikurangkan, " ulasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan Terengganu 2023 di U2, Dewan Undangan Negeri Terengganu, semalam.
Zuraida berharap agar para suami, wali, ahli keluarga, pihak majikan dan komuniti mengambil tanggungjawab untuk memenuhi dan menyokong keperluan serta penjagaan kesihatan wanita sepanjang hayat.
30 Nov 22
226
Penganjur HSA Lapor Polis Individu Sebar Video Aib Wanita
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Penganjur Hari Sayyidatina Aishah (HSA) membuat laporan polis terhadap beberapa pihak yang menyebarkan video aib aktiviti 'private' wanita di media sosial meskipun dilarang berbuat demikian ketika dan selepas program HSA.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, klip video ‘catwalk’ bagi acara peragaan fesyen yang ditularkan itu turut berbaur fitnah dan provokasi sehingga menimbulkan pelbagai kecaman terhadap kerajaan negeri dan pihak peragawan.
Tegasnya, beliau mewakili penganjur utama menuntut permohonan maaf daripada indivdu serta kumpulan tidak bertanggungjawab terbabit.
“Kami menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada individu di ‘Facebook’ bernama Mizan Mohd serta pengendali ‘page’ PPUB (Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian) Kuala Terengganu kerana menceroboh privasi wanita dan membuat sebaran berbaur fitnah.” katanya selepas melakukan laporan polis di IPD Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Zuraida turut berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Program (aktiviti peragaan) itu saya telah buat hebahan secara umum bahawa ia adalah bagi wanita sahaja, semua lelaki tidak dibenarkan berada dalam dewan bahkan tiada rakaman dibenarkan, namun penyebaran tersebut hakikatnya menceroboh privasi kaum wanita negeri ini.
“Sekiranya individu terlibat tampil membuat permohonan maaf, pihak kami boleh pertimbangkan untuk tidak memanjangkan isu ini,” tambahnya.
Rakaman video peragawati ketika ‘rehearsal’ bagi acara Program 'Santai Seni Orang Puang' berdurasi 20 saat tular dengan sentimen memburukkan kerajaan negeri dan penganjuran HSA.
05 Oct 22
1757
Dasar Wanita Terengganu Dilancar Esok
KUALA TERENGGANU, 28 September - Dasar Wanita Terengganu yang mengandungi pelan bagi memelihara dan memartabatkan kaum hawa akan dilancarkan esok sempena sambutan Hari Sayyidatina Aishah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md.Noor berkata, dasar tersebut akan dibuku dan diedarkan kepada seluruh masyarakat bermula Khamis di program berkenaan.
"Jadi saya berharap agar orang ramai dapat menghadirkan diri bagi mengetahui apa peranan, objektif dan bagaimana gerak kerja yang perlu dilakukan untuk sama-sama menjadikan negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dijemput bagi memaklumkan mengenai program tersebut di Selamat Pagi Terengganu, TV Darul Iman, di sini, semalam.
Katanya, Hari Saidatina Aisyah itu juga akan dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof yang merasmikan hari berkenaan sekali gus menyempurnakan perasmian pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu.
"Antara objektifnya pelaksanaan dasar ini juga adalah untuk menjadikanya saluran yang tetap dan berkala bagi membincangkan isu-isu wanita di mana matlamat kerajaan juga untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita.
"Kita memiliki ikon-ikon wanita dalam pelbagai bidang oleh kerana itu pada sambutan kali ini juga kita akan memilih beberapa tokoh yang akan diberikan anugerah, iaitu ikon remaja, ikon orang kelainan upaya cemerlang, tokoh anugerah bakti yang dipilih dari kalangan wanita terbaik," ujarnya.
Katanya lagi, antara pengisian yang dinanti-nanti pada Sambutan Hari Saidatina Aisyah pada kali ini adalah penampilan istimewa selebriti dan juga pendakwah dari Indonesia, Oki Setiana Dewi yang akan bersama dengan rakyat Terengganu menerusi slot khas pada sebelah petang.
28 Sep 22
507
'Alamanda Fun Run' Tarik Lebih 500 Peserta
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Program larian kaum wanita, 'Alamanda Fun Run' melibatkan laluan sejauh lima kilometer berjaya menarik lebih 500 peserta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Moor berkata, beliau gembira dengan sokongan daripada peserta dan semua yang terlibat menjayakan program terbabit.
“Kita ingin membimbing wanita di negeri ini supaya minat bersukan dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.
“Kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan dari segi pemakaian yang sesuai untuk bersukan, muzik-muzik yang tidak berlebihan dan juga senaman-senaman yang tidak melanggar batas kita sebagai seorang Muslim,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Alamanda Fun Run 2022 bertempat di Dataran Syahbandar di sini semalam.
Turut hadir Isteri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Fadzilah Ismail dan Ketua Muslimat negeri Terengganu, To' Puan Zarani Othman
Tambah Zuraida, wanita tidak mempunyai 'platform' bersukan yang banyak sepertimana lelaki, jadi dengan adanya program sukan seperti itu ia dapat melahirkan wanita yang cergas, sihat dari segi mental dan fizikal.
23 Jul 22
377
2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe
KUALA NERUS, 29 Mei - Seramai 2,820 wanita negeri ini menerima manfaat melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua penerima tersebut akan menerima peruntukan sehingga RM200,000 untuk menjalani saringan HPV DNA bagi mengesan kanser serviks dan mammogram untuk pengesanan awal kanser payudara.
"Kempen pada kali ini Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mempakejkan gerak promosi dengan mengabungkan dua perkhidmatan iaitu Program Subsidi Mamogram dan Pemeriksaan Papa Smear.
"Ia bertujuan untuk memberi pengetahuan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita, dengan fokus utamanya adalah kepada aspek pencegahan kanser reproduktif di kalangan wanita pada peringkat awal," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu dan Kempen Kesedaran dan WCaRe, di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah LPPKN, Muhamad Noh Abdullah dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan W\anita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa, justeru beliau menyeru kepada semua kaum ibu dan wanita Terengganu agar menjalni ujian saringan terbabit.
"Saya turut difahamkan LPPKN telah beranjak kepada kaedah 'Liquid Base Cytology (LBC) secara spesifik, rapi dan mudah di mana klien sendiri melakukannya dengan tunjuk ajar daripada jururawat terlatih.
"Kaedah ini sudah tentu lebih mudah, dan langkah diperkenalkan ini menjadi pilihan ramai terutama kepada wanita yang masih berasa malu untuk melakukan ujian sebagaimana sebelum ini.
"Perkhidmatan ini disediakan secara percuma di tiga buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut,"ujarnya.
Mengenai sambutan hari ibu peringkat negeri itu, jelasnya sangat bermakna kerana pada tahun ini dapat disambut secara fizikal.
"Kasih Ibu Selamanya, itulah tema yang dipilih untuk sambutan pada tahun ini, untuk mengajak pelbagai lapisan masyarakat untuk menghargai dan memberi tumpuan kepada peranan ibu dan bapa dalam memastikan keluarga terus sejahtera, terutamanya dalam kesihatan mental dan keselamatan keluarga agar kekal harmoni walaupun berdepan pelbagai cabaran.
"Kesejahteraan keluarga bermula dengan ikatan kasih sayang yang erat daripada seorang ibu dan disusuli dengan kepimpinan unggul oleh seorang bapa, kedua-duanya merupakan tunggak kekuatan bersama dalam sesebuah keluarga,"ujarnya.
Untuk rekod Program sambutan hari ibu pada kali ini telah berjaya mengumpulkan 300 kaum ibu beserta ahli keluarga dari seluruh negeri dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, senaman tai chi batik, demo makanan sihat, sudut bergmbar bersama ibu.
Antaranya lagi ialah permainan keluarga, pertandingan untuk ibu dan anak serta kembara kaunseling dan juga Mama Care.
29 May 22
600
Nasib Ibu Tunggal 'Dianiaya' Bekas Suami Terbela
KUALA TERENGGANU, 28 April - Nasib 31 ibu tunggal yang teraniaya akibat bekas suami tidak membayar nafkah, terbela hari ini apabila mereka menerima Dana Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd Hakim, berkata untuk itu Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM62,500 di bawah asnaf miskin.
Katanya, golongan terbabit tidak mampu meneruskan kelangsungan hidup dan menyara kehidupan anak dengan pendapatan sedia ada setelah bekas suami cuai menjalankan tanggungjawab.
"Terutama setelah berkahwin lain, lelaki tersebut lebih menumpukan perhatian untuk menjaga anak dan isteri baru.
"Selain itu antara faktor yang menyebabkan bekas suami tidak mampu membayar nafkah ialah tidak mempunyai pendapatan tetap," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Anak Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Sumai Garden Hall, Sumai Hotel Apartment, di sini, pada hari ini.
Untuk rekod, sebagai komitmen yang berterusan, MAIDAM juga telah bersetuju meluluskan Bantuan Pendahuluan Nafkah kepada Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu sebanyak RM200,000 melalui peruntukkan asnaf miskin.
Mengulas lebih lanjut, Wan Mohd Zakri berkata, mengikut statistik dari tahun 2019 sehingga kini seramai 1,616 bekas suami berhadapan tuntutan nafkah anak.
"Sebelum ini telah ada peruntukan supaya mana-mana suami yang gagal melunaskan tuntutan boleh dipenjarakan tetapi ia tidak memberi kesan yang baik.
"Terbaharu melalui satu prosiding, pihak mahkamah syariah telah mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan bank membekukan sejumlah wang yang ada dalam akaun.
"Termasuk bank Tabung Haji digunakan untuk dibayar kepada anak-anak mereka mengikut jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah syariah, itu perkembangan terkini," ujarnya.
Sementara itu, Shaikh Harun memberi jaminan pihaknya akan cuba memastikan pungutan zakat melalui Kumpulan Wang Amanah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Terengganu akan terus dikekalkan untuk diagihkan kepada ibu-ibu dan anak-anak yang mengalami masalah tunggakan nafkah.
"Isu pengabaian nafkah ini walaupun nyata adalah tanggungjawab para bapa atau suami, ia tidak semudah kita bercakap kerana ia melibatkan aspek kemampuan kewangan sehingga ramai yang dipenjarakan akibat ingkar perintah mahkamah.
"Jadi disinilah wujudnya peranan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan MAIDAM untuk menyalurkan bantuan kepada yang layak," katanya.
Beliau berharap agar penerima bantuan menggunakannya dengan sebaik mungkin dan memanfaatkannya untuk membeli keperluan anak-anak.
28 Apr 22
1538
Caruman PERKESO Buat Suri Rumah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Zuraida mengulangi saranan agar kerajaan negeri dapat meneliti cadangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat suri rumah di Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berharap agar cadangan yang pernah dilontarkan olehnya dalam Sidang yang lalu, akan segera diperhalusi dan diluluskan.
Beliau meletakkan pengharapan yang tinggi agar pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya agar kebajikan golongan suri rumah terjamin dan terbela.
"Peratus komuniti suri rumah di Terengganu mencatat angka 53 peratus di mana peratusannya lebih tinggi berbanding wanita yang bekerja.
"Di sini dapat kita lihat betapa golongan suri rumah ini perlu disantuni dan dibantu agar institusi kekeluargaan yang harmoni dapat diwujudkan sekaligus komuniti suri rumah dapat turut menyumbang kepada kemajuan negeri," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Ucapan Perbahasan menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku al-Sultan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Beliau berpandangan bahawa para suri rumah harus didedahkan dengan ilmu kemandirian agar lebih bersedia sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti perceraian atau kematian suami.
"Untuk makluman ahli dewan, Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah adalah Mercu Tanda PITAS2030 (Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030) di bawah Teras Strategik 7; Keterangkuman Kebajikan Rakyat dan Peningkatan Kedayaan Wanita.
"Saya ingin mencadangkan kepada semua pihak agar dapat memberi sokongan dalam usaha menjayakan Modul Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah," ulasnya lagi.
Zuraida menambah bahawa aplikasi modul Pemberdayaan Komuniti Suri Rumah ini juga wajar diberikan kepada golongan lelaki yang merupakan ketua keluarga.
Justeru itu, beliau mencadangkan agar elemen kesedaran dan tanggungjawab para suami dalam menguruskan rumahtangga dimasukkan ke dalam siri teks khutbah Solat Jumaat.
23 Mar 22
912
Hiwalah Solusi Masalah Pengabaian Nafkah
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Pelaksanaan hiwalah boleh menjadi sebagai salah satu cara penyelesaian terhadap masalah pengabaian nafkah oleh bekas suami terhadap keluarganya.
Hiwalah merujuk kepada proses pemindahan wang atau hakmilikan melalui akaun bank atau institusi kewangan bekas suami atau bapa yang culas dalam pemberian nafkah oleh pihak Mahkamah Syariah, untuk digunakan bagi melunaskan tuntutan nafkahnya.
Hal ini bagi memastikan hak nafkah dan mut’ah bekas isteri serta anak-anak tidak diabaikan oleh seorang bekas suami atau bapa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata dengan adanya perintah hiwalah, nasib wanita bergelar isteri serta anak-anak lebih terbela.
"Secara teorinya kaedah ini sangat bagus untuk membantu mengurangkan atau menyelesaikan masalah nafkah tertunggak, namun untuk pengetahuan sidang hadirin hadirat sekalian proses hiwalah ini agak sulit dilaksanakan kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat pihak suami dari institusi kewangan.
"Oleh itu, suka untuk saya mencadangkan agar kaedah hiwalah ini mendapat perhatian pihak yang terlibat, dan memohon agar prosesnya dipermudahkan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kelmarin.
Walau bagaimanapun masih ramai wanita dari kalangan ibu tunggal yang belum mendapat pendedahan mengenai alternatif bagi menuntut hak mereka dari sudut nafkah.
Zuraida mencadangkan agar turut diadakan sebaran ilmu literasi undang-undang bagi memastikan keadilan kepada wanita-wanita Terengganu dapat ditegakkan.
Menurut beliau lagi, perintah hiwalah bukanlah semata-mata ingin menghukum bekas suami, namun bersifat mendidik supaya para suami tidak mengambil ringan perihal nafkah dan supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab.
Cadangan pelaksanaan hiwalah ini mendapat respon yang positif daripada Kerajaan Negeri Terengganu.
23 Mar 22
527