lightning-solid
Berita :

Artikel "Wanita" Terkini

Zuraida Bawa Amanah 472 Peserta, Jayakan Misi Korban di Kemboja
Zuraida Bawa Amanah 472 Peserta, Jayakan Misi Korban di Kemboja
KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengetuai delegasi misi kemanusiaan ke Kemboja bagi melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha, mewakili 472 peserta dari Terengganu yang menyertai program tahun ini. Misi anjuran bersama dua badan bukan kerajaan, NISA’ Terengganu dan JANITA, membawa semangat ukhuwah dan amanah rakyat Malaysia untuk disampaikan kepada masyarakat Islam di pedalaman Kemboja. Menurut Zuraida, proses penyembelihan haiwan korban dilaksanakan pada 8 dan 9 Jun, manakala program kebajikan khas untuk 200 keluarga asnaf di sempadan Vietnam pula dijadual berlangsung pada Hari Raya keempat.  “Program ini satu bentuk dakwah dan kasih sayang sesama umat Islam di rantau ini.  “Kita ingin sampaikan bahawa saudara kita di Kemboja tidak bersendirian,” katanya sebelum berlepas ke lokasi misi. Beliau memaklumkan bahawa gangguan capaian internet mungkin berlaku kerana lokasi pelaksanaan berada di kawasan pedalaman, menyebabkan kemas kini perjalanan misi akan dikongsikan sedikit lewat bergantung kepada kekuatan liputan. Meskipun berhadapan cabaran logistik dan komunikasi, Zuraida menegaskan bahawa semua usaha telah dirancang rapi untuk menjamin kelancaran misi yang dijangka berlangsung selama beberapa hari. “Kami membawa amanah rakyat Terengganu dan berharap seluruh perjalanan ini dikira sebagai ibadah dan diberkati Allah SWT,” katanya.  Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta korban atas kepercayaan yang diberikan dan memohon doa agar misi berjalan lancar serta semua delegasi pulang dengan selamat.
08 Jun 25
36
Lebih Ramai Penceramah Wanita Diperlukan Sebagai Benteng Agama
Lebih Ramai Penceramah Wanita Diperlukan Sebagai Benteng Agama
Oleh: Nooreni Abu Bakar KUALA NERUS, 30 Januari - Berada pada zaman yang amat mencabar hari ini memerlukan lebih ramai  ikon-ikon penceramah wanita sebagai benteng kepada agama, bangsa dan negara. Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Isteri Wakil Rakyat (KHAIRUNISA), To' Puan Sri Tuan Faezah Abd Rahman berkata dunia tanpa sempadan hari ini telah membuka ruang kepada berlegarnya pemikiran dan ideologi songsang mengadakan program-program atas nama memperkasakan wanita.  "Namun di sebaliknya terselit agenda  membenihkan  pemikiran feminisme dan liberalisme dalam kalangan wanita, inilah yang menjadi ancaman kepada dunia Islam kita berada sekarang ini.  "Justeru  menjadi tanggungjawab yang besar dan wajib dipikul oleh wanita yang datangnya dari Negeri Terengganu Darul Iman," katanya.  Tuan Faezah berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis penutup Pidato Gema Wawasan yang dibacakan oleh  Timbalannya, To' Puan Zarani Othman.  Beliau berharap  program tersebut  akan memberikan ilmu dan kaedah yang lebih berkesan dalam penambahbaikan kaedah penyampaian penceramah.  "Dalam melahirkan ikon-ikon wanita dalam menyampaikan ceramah, penerangan dan komunisasi yang berkesan terutamanya dalam menyampaikan maklumat dan juga dalam kita menyampaikan Islam kepada seluruh masyarakat kita khususnya di Negeri Terengganu.  "Kehadiran mereka dalam zaman yang penuh dengan kemelut dan pergelutan   pemikiran  untuk menjernihkan semula pemikiran masyarakat khususnya  para wanita," ujarnya.  Tambahnya lagi,  dengan kecanggihan media sosial yang ada,  tidak perlu menunggu jemputan daripada masjid ataupun dari mana-mana program untuk berpidato ataupun menyampaikan penerangan.  "Apa yang paling penting ialah kecanggihan yang ada di zaman ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baik dalam menyampaikan mesej Islam dalam dunia tanpa sempadan ini.  "Ini adalah satu platform mengangkat wibawa kreadibiliti wanita Terengganu ke peringkat yang lebih tinggi," jelasnya.  Seramai lapan orang peserta yang mewakili lapan kawasan telah menyertai program yang diadakan di Dewan Auditorium Stadium Tertutup Gong Badak di sini pada 27 Januari.  Salsabila Harun, wakil dari Marang telah dinobatkan sebagai johan pidato yang telah masuk tahun ketiga diadakan.  
30 Jan 25
310
35 Usahawan Kecil Terengganu Terima Pinjaman Tanpa Riba
35 Usahawan Kecil Terengganu Terima Pinjaman Tanpa Riba
SETIU, 10 Disember - Seramai 35 usahawan kecil menerima suntikan modal pinjaman tanpa faedah berjumlah RM418,000 menerusi Program Jaya Diri (PJD), sebuah inisiatif dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata program itu bertujuan membantu usahawan kecil-kecilan memulakan atau mengembangkan perniagaan seperti kedai makan, jahitan pakaian, kedai runcit dan sebagainya. “PJD bukan sekadar pinjaman kewangan, tetapi peluang untuk rakyat membina kehidupan lebih baik.  “Hari ini adalah hari bertuah untuk semua penerima, pinjaman ini boleh menjadi permulaan untuk mengubah kehidupan keluarga dengan rezeki perniagaan di masa akan datang,” kata beliau. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Modal PJD Peringkat Negeri di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu, di sini semalam. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri; Mohd Yusop Majid, Penyelaras DUN Permaisuri; Zul Bhari A Rahman. Beliau turut menjelaskan keunikan pinjaman ini yang bebas faedah, sejajar dengan prinsip Islam.  “Pinjaman tanpa riba atau bunga ini istimewa, bila kita gunakannya dengan betul, ia akan membawa keberkatan dalam perniagaan dan bakal dilimpahi rezeki yang mencurah. “Sebanyak RM418,000 telah diagihkan kepada 35 peserta, termasuk 11 dari Besut, 22 dari Setiu, dan dua dari Marang.  “Setiap peserta menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM20,000 berdasarkan jenis perniagaan yang dijalankan,” jelasnya. Menurut Maliaman, kebanyakan penerima bantuan adalah ibu tunggal yang memikul tanggungjawab besar mengurus keluarga sambil mencari rezeki.  “Saya sangat kagum dengan kekuatan para ibu ini yang gigih berusaha untuk anak-anak mereka. “Komitmen membayar balik pinjaman adalah cabaran yang perlu ditempuhi.  “Jika kita jujur dan bersungguh-sungguh, rezeki pasti akan datang, cuma cepat atau lambat,” tegasnya. Maliaman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus meneliti permintaan untuk meningkatkan jumlah modal pinjaman berdasarkan keperluan dan potensi perniagaan.  “Kerajaan sentiasa terbuka untuk menambah baik program ini demi kesejahteraan rakyat. “Kami sentiasa meneliti hasrat dan keperluan untuk menambah jumlah modal pinjaman pada masa hadapan, bergantung kepada situasi kewangan dan potensi peserta,” katanya. Tambah Maliaman, PJD selaras dengan konsep ‘negeri berkebajikan’, di mana kerajaan membantu rakyat dan rakyat turut menyokong satu sama lain.  “Program ini diharap dapat menjadi jalan keluar dari belenggu kemiskinan dan memberi peluang untuk semua bangkit memajukan diri. “Inisiatif ini diharapkan memberi semangat baru kepada usahawan kecil untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan,” ujarnya.  
10 Dec 24
496
Bengkel Jemari Emas Martabatkan Produk Tempatan
Bengkel Jemari Emas Martabatkan Produk Tempatan
MARANG, 16 Julai - Kelas jahitan 'Bengkel Jemari Emas' yang disertai golongan Wanita DUN Rhu Rendang terutama suri rumah dan ibu tunggal  menjadi platform terbaik bagi meningkatkan kemahiran untuk menambah pendapatan keluarga serta memartabatkan produk kraftangan tempatan. Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Faizah Tuan Ab Rahman berkata, adalah menjadi harapan agar Bengkel Jemari Emas yang dilaksanakan itu akan memperkasakan golongan hawa di DUN tersebut yang akan melahitkan bakat-bakat baru sekali gus berupaya menjana eknomi keluarga. "Ini sangat penting bagi memastikan lebih ramai rakyat membudayakan penggunaan produk kraf tempatan dalam kehidupan seharian, seterusnya dapat mempromosikan produk buatan Malaysia. “Bengkel ini memberi ruang dan peluang untuk membuka untuk menjana pendapatan dan Galeri Khairunnisa’ dan juga boleh memasarkan produk tersebut. “Sebelum ini kita melaksanakan jemari emas ini di peringkat parlimen yang mana saya sendiri yang mengajar dan peserta seramai 20 orang, tetapi kali ini saya laksanakan di semua DUN di Terengganu sebanyak 32 DUN untuk berkongsi ilmu jemari emas ini atas faktor permintaan penyertaan yang tinggi,”ujarnya. Beliau berkata ketika ucapan program Bengkel Jemari Emas di Dewan Taman Medan Jaya I, semalam. Turut hadir bersama Ketua Penolong Pengarah(Pembangunan Komuniti) Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Zulfazlee Wan Mustaffa, Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Marang, Zainur Suhada Mamat dan isteri-isteri wakil rakyat Khairunnisa’.        
16 Jul 24
213
Kerjasama Dua Negeri dalam Pembangunan Wanita
Kerjasama Dua Negeri dalam Pembangunan Wanita
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Satu kerjasama dan penyelarasan di antara Kelantan dan Terengganu dalam hal ehwal berkaitan pembangunan wanita bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim berkata beliau berhasrat untuk menyatukan antara negeri Terengganu dan Kelantan dan menggabungkan dua dasar untuk memudahcarakan dasar itu diperturunkan kebawah. "Jadi, kami telah mengadakan satu usaha sama dan perbincangan serta insya Allah, akan adakan program dipanggil projek untuk memudahkan cara dasar wanita di peringkat bawah (akar umbi) di dua buah negeri," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas lawatan kerja ke Terengganu di Kediaman Sri Iman, Batu Buruk, pada hari ini. Menurutnya, beliau turut membincangkan untuk penambahbaikan dan memperluaskan lagi isu berkaitan dasar tersebut ke dua buah negeri lagi iaitu Perlis serta Kedah yang dikenali SG4. "Insya Allah, semoga dasar yang kami rancang di Kelantan dan Terengganu dapat direalisasikan. "Bukan sekadar dasar sahaja, tetapi (juga) diperturunkan (ke peringkat) bawah dengan mempermudahkan ayat-ayat dasar untuk masyarakat serta merakyatkan dasar ini. Beliau menambah, di negeri Kelantan mempunyai tiga dasar utama iaitu pertama, dasar membangun bersama Islam, kedua, dasar rakyat bersama Islam dan ketiga, dasar penghayatan.  "Dasar-dasar ini telah diturunkan ke peringkat akar umbi dan, insya-Allah, akan dihayati serta dilaksanakan oleh rakyat Kelantan," tambah beliau.
15 Jul 24
243
Terengganu Hijab Day Bukan Sekadar Program
Terengganu Hijab Day Bukan Sekadar Program
SETIU, 16 Februari - Penganjuran Terengganu Hijab Day (THD) bukan sekadar program berhijab atau bertudung tetapi mendidik masyarakat ke arah kebaikan. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat dan kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan agenda itu berjaya dijalankan. "Tahniah kepada pihak penganjur NISA' Setiu atas program yang dijalankan pada hari ini dengan bersama turun padang menggerakkan kempen Terengganu Hijab Day pada hari ini. "Dalam masa yang sama, kita semua sedang menjalankan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat sebagaimana yang disuruh dalam Islam Amar Maaruf Nahi Mungkar," katanya ketika berucap pada majlis ringkas THD peringkat kawasan Setiu di Pasar Tani Pantai Rhu 10. Hadir sama Pegawai Agama Daerah Setiu, Mohd Shaharuddin Zainal. Dalam pada itu, turut diadakan soal jawab kuiz, edaran risalah dan agihan belon khas sempena THD 2024. Kemuncak sambutan THD akan diadakan pada 22 Februari nanti bertempat di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus yang akan dirasmikan oleh Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri.
16 Feb 24
376
Masalah Emosi Isu Utama Suri Rumah
Masalah Emosi Isu Utama Suri Rumah
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Masalah emosi dikenal pasti menjadi isu utama kesihatan mental rakyat terutama dalam kalangan suri rumah tangga. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, ramai yang beranggapan bahawa golongan ini tidak menghadapi stress memandangkan mereka hanya duduk di rumah dan ‘tidak bekerja’. "Alhamdulillah, Program Inspirasi Suri Sejahtera ini diadakan sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu bagi menyediakan platform kepada wanita Terengganu. "Supaya dapat membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu dan menggusarkan mereka diuji dengan masalah kesihatan mental," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Inspirasi Suri Sejahtera yang diadakan di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), pada Khamis. Menurutnya, Kerajaan negeri memandang serius kebajikan rakyat termasuklah kaum wanita dan ini dizahirkan melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera  2030 (PITAS 2030) yang telah dilancarkan pada Julai 2018. "Kerajaan Negeri Terengganu sangat memartabatkan wanita Terengganu.  "USWa banyak menganjurkan pengisian-pengisian khas untuk kaum wanita, antaranya termasuklah Suara Hati Wanita yang menampilkan para panel pakar di dalam pelbagai bidang dalam undang-undang, jenayah dan psikologi," ujarnya. Justeru itu, beliau menyeru agar semua pihak menyokong usaha-usaha kerajaan dalam melaksanakan program-program dakwah, kebajikan khususnya buat  wanita Terengganu. "Insya Allah pada masa yang mendatang, Kerajaan Negeri Terengganu akan sedaya upaya mengerahkan tenaga memberikan yang terbaik untuk rakyat selari dengan slogan Terengganu Maju Berkat Sejahtera," tambah beliau. Sementara itu, Kerajaan negeri juga tidak menghalang wanita Terengganu untuk berhibur. "Namun perlulah ada garis panduan dan ini dibuktikan melalui program Alamanda Fun Run, Sukan Untuk Wanita (SUKWA), dan Terengganu Hijab Day (THD).  "Kerajaan Negeri Terengganu telah melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri TerenggaTerengganu yang telah dilancarkan pada 3 Mac 2020," katanya lagi.
07 Oct 23
327
'Tidak Semestinya Jadi EXCO Untuk Bawa Suara Wanita Terengganu'- Kak Da
'Tidak Semestinya Jadi EXCO Untuk Bawa Suara Wanita Terengganu'- Kak Da
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - "Tidak semestinya perlu untuk menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membawa suara wanita Terengganu ke peringkat tertinggi," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Nor. Katanya, ketika dilantik menjadi ADUN Wanita, beliau telah berjaya melaksanakan tugasan  dalam mengangkat martabat golongan berkenaan sekali gus menjaga kebajikan mereka apabila 'Dasar Wanita Terengganu' diperkenalkan. "Bagi saya, tidak semestinya menjadi EXCO untuk membawa suara wanita Terengganu ke peringkat tertinggi. Jika dahulu pun, saya selaku ADUN lantikan pun mampu melakukan tanggungjawab tersebut. "Insya-Allah , saya akan bergandingan bersama-sama  Ustaz Maliaman Kassim, selaku Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri bagi memastikan wanita Terengganu terus terbela,"ujarnya. Beliau berkata demikian sebagai mejawab polemik yang ditimbulkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mempersoalkan mengapa bukan wanita yang mewakili portfolio kaum hawa itu, melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini. Tegasnya, polemik yang sengaja ditimbulkan itu tidak menghalangnya untuk meneruskan segala gerak kerja serta usaha yang telah diasaskan sebelum ini untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela antaranya akan meneruskan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang telah dirasmikan pada 26 Julai 2023. Tambahnya,  MAWADDAH yang berperanan sebagai pemandu arah  merupakan Majlis Permuafakatan Wanita Terengganu merupakan sekumpulan pemikir yang dibarisi oleh wanita dari pelbagai latar belakang kerjaya juga merupakan profesional serta pakar dalam bidang masing-masing. "Insya-Allah pada tahun ini kita akan mulakan proses implementasi kepada para pemegang taruh dan akan disusuli juga dengan proses-proses berikutnya bagi memastikan agenda memperkasakan wanita Terengganu tidak keciciran melalui Dasar Wanita Terengganu yang telah dilancarkan pada 29 September 2022. "Kita juga akan memfungsikan secara total Urus Setia Wanita (USWA) Terengganu yang ditubuhkan secara rasmi pada 9 Ogos 2023 selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS)," ujarnya. Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar semua pihak mendoakannya agar diberi kekuatan untuk menggalas amanah dan turut berharap dokongan daripada semua pihak. "Insya-Allah saya akan usahakan yang terbaik, demi memastikan hasrat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera itu tercapai dan rakyat dapat menikmati hasil daripada itu,"ujarnya.  
20 Aug 23
1018
Hanafiah Rai Lebih 10,000 Pengunjung Aidilfitri
Hanafiah Rai Lebih 10,000 Pengunjung Aidilfitri
KEMAMAN, 22 Mei - Seramai lebih 10,000 orang warga Terengganu terutamanya di daerah ini telah diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, semalam. Pengerusinya, Hanafiah Mat melahirkan rasa keterujaannya serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. "Terima kasih kepada semua pihak samada daripada seluruh agensi kerajaan, mahupun masyarakat terutamanya yang tinggal di daerah ini kerana sentiasa memberikan sokongan yang baik kepada setiap program yang kami anjurkan. "Sepanjang 5 tahun memerintah, kami telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Saya berharap seluruh masyarakat akan sentiasa memberikan sokongan kepada kami untuk terus menerajui pemerintahan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui pemberita. Hanafiah juga turut mengharapkan agar seluruh masyarakat di negeri ini mendoakan kebaikan buat seluruh pimpinan pentadbiran kerajaan negeri.  "Semoga ukhwah sesama kita akan terus terjalin erat, Insya-Allah," katanya lagi. Majlis yang diadakan di Kemaman Arena Square itu berlangsung dalam suasana sangat meriah dimana orang ramai mula memenuhi pekarangan bermula jam 11.00 pagi sehinggalah jam 3.00 petang. Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
22 May 23
407
Nisa’ Hulur Bantuan Kepada Penduduk Pulau Redang
Nisa’ Hulur Bantuan Kepada Penduduk Pulau Redang
SETIU, 2 April - Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Kebajikan Nur Insani (Nisa') menyampaikan sumbangan kepada warga Pulau Redang yang memerlukan. Pengarah Program Nisa' Small Kindness dan I Love School Ramadan, Nadwa Insyirah Hussin, berkata seramai 50 pelajar sekolah menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah. Selain itu katanya, 50 wanita muda lagi menerima kelengkapan wanita seperti telekung solat, kuih raya dan handsock. "Para penerima turut diberi sumbangan duit raya sebagai persiapan menjelang Aidilfitri. Ahli Jawatankuasa Nisa' Terengganu "Nisa' I Love School ini adalah program tahunan Nisa' Terengganu, kami membantu pelajar yang memerlukan. "Program ini sudah dijalankan lebih 10 tahun dan setiap tahun akan dipilih daerah yang berlainan untuk kami salurkan bantuan," katanya kepada media ketika program berkenaan semalam. Sementara itu, jelas Nadwa, Nisa' Small Kindness pula adalah produk daripada Nisa Malaysia yang memfokuskan kepada kebajikan golongan wanita muda. "Dana untuk sumbangan yang kami salurkan ini bukan daripada NGO Nisa sendiri tetapi sumbangan daripada penderma dan orang ramai. Kami hanyalah sebagai perantaraan sahaja untuk menyampaikan kepada penerima," katanya. Penyampaian sumbangan Dalam pada itu, Ketua Pengarah Nisa' Malaysia, Laila Farhana Abu Bakar berkata, NGO Nisa' Malaysia merupakan satu pertubuhan NGO yang memperjuangkan kebajikan wanita muda di bawah 40 tahun. "Selain memperjuangkan kebajikan wanita muda, matlamat kami juga adalah untuk menyampaikan islam kepada semua masyarakat islam terutamanya kaum wanita untuk menerapkan cara hidup islam yang betul. "Jadi kami bukan sekadar hadir memberi sumbangan sahaja tetapi juga untuk menyampaikan ilmu kepada kaum wanita. "Pertubuhan Nisa' ini terdapat di satu Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Jadi kami akan berhubung dengan Nisa' setiap negeri untuk bantu lebih ramai masyarakat di Malaysia," ujarnya. Menurut beliau, bantuan yang dihulurkan bukan daripada sudut kewangan sahaja, tetapi turut memberi bimbingan kaunseling dan sebagainya memandangkan terlalu ramai orang yang mengalami depresi terutamanya kaum wanita. "Sementara itu, sebab utama kami memilih program I Love School pula adalah untuk menyampaikan mesej bahawa hanya dengan pendidikan dan ilmu yang boleh mengubah nasib diri, keluarga dan masyarakat sama ada percaya atau tidak. "Harapan kami, semoga dengan bantuan persekolahan yang kami salurkan ini akan memberi lebih semangat kepada adik-adik untuk hadir ke sekolah menuntut ilmu demi mencapai cita-cita dan kejayaan dalam ada sahaja bidang yang diceburi," tambahnya. Ketua Pengarah Nisa Malaysia, Cik Laila Farhana Abu Bakar  
02 Apr 23
401