Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Lancar Strategi Ampuh Tangani Isu OKU Mental
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri Terengganu terus mempamerkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan nasib golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya OKU kategori bipolar, menerusi pendekatan berperikemanusiaan yang lebih proaktif dan menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kerajaan memahami cabaran unik yang dihadapi pesakit bipolar dan tidak meletakkan mereka sebagai penjenayah, sebaliknya sebagai pesakit yang perlu diberi rawatan dan perhatian khusus.
"OKU bipolar ini bukan penjenayah, mereka adalah pesakit.
"Yang penting ialah kawalan keluarga supaya mereka ini mendapat rawatan yang sepatutnya,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman hari ini.
Katanya, kerajaan telah mengadakan mesyuarat khas pada 5 Februari lalu yang melibatkan pelbagai agensi termasuk KKM, JPJ dan PDRM, bagi membincangkan pelan tindakan khas yang lebih bersifat holistik bagi menangani isu OKU mental.
Beliau turut merujuk insiden di Dungun yang melibatkan pelajar UiTM, dan menegaskan pentingnya sokongan keluarga dan masyarakat bagi mengelakkan tragedi berulang akibat keciciran rawatan.
Sebagai langkah jangka panjang, katanya, kerajaan turut melancarkan Majlis Tindakan OKU Terengganu (MTOT) pada 6 Mac lalu, yang berfungsi sebagai pemantau dasar dan pelan tindakan berkaitan golongan OKU.
"Kita mahu buat pengesyoran yang berimpak positif kepada agensi-agensi supaya tumpuan diberi kepada penjagaan, perlindungan, rehabilitasi dan peluang kerjaya untuk OKU," katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan tetap tegas terhadap sebarang bentuk keganasan terhadap OKU, dan tindakan undang-undang seperti di bawah Akta 323 akan diambil terhadap mana-mana individu yang melampaui batas.
"Orang awam perlu bertindak lebih waras daripada pesakit.
"Kesabaran ini perlu ditingkatkan kerana kita semua bertanggungjawab dalam membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin," ujarnya.
16 Apr 25
92
Fokus Bangun Tanah Terbiar, Kerajaan Digesa Sedia Jalan
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan negeri perlu memberi lebih penekanan kepada beberapa perkara memandangkan pertanian dan industri asas tani merupakan antara sektor terpenting di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk mengemaskini segala data yang melibatkan tanah-tanah berpotensi dan terbiar.
"Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan kaedah dan wang pembiayaan ataupun dana kepada para petani dan penternak dan juga nelayan.
"Selain memberi pendedahan ataupun pengetahuan yang perlu kepada mereka yang menceburi bidang tersebut, pemantauan dari semasa ke semasa serta memberi khidmat bantuan yang diperlukan untuk memasarkan hasil-hasil mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Udangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, beliau yakin pihak kerajaan telah melaksanakan sebahagian besar daripada perkara berkenaan namun pihaknya berharap kerajaan terus berusaha bersungguh- sungguh untuk mencapai apa yang disasarkan.
"Tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang telah berjaya melonjakkan pertubuhan sebanyak 7.4 peratus pada tahun 2023 setelah mengalami kemerosotan 4.7 peratus pada 2022.
"Kita yakin bahawa lonjakkan ini hasil daripada perancangan dan juga pelaksanaan yang teliti dan berkesan.
"Pun begitu, terdapat masih banyak peluang yang ada yang boleh dimanipulasikan oleh pihak kerajaan untuk memaksimakan hasil pertanian, perikanan dang perternakan," ujarnya.
15 Apr 25
90
Penyu Terengganu : Jangan Biar Hanya Tinggal Nama
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan negeri perlu terus memulihara dan melindungi kawasan pendaratan penyu agar ikonik Negeri Terengganu yang semakin terancam itu tidak pupus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, Kerteh adalah lokasi tertinggi pendaratan penyu (Maa Da’erah dan Cakar Hutan) untuk bertelur dan seterusnya menetas sebelum dilepaskan kembali ke laut.
"Namun, terlalu banyak ancaman yang perlu diberi perhatian bagi memastikan ia mampu membesar hingga dewasa dan kembali bertelur di perairan Terengganu.
"Apakah perancangan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah ini dan pada masa sama merancakkan lagi sektor pelancongan berkaitan penyu khususnya di beberapa lokasi yang tinggi pendaratan di Terengganu?,” soalnya pada sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Udangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, setiap tahun, semakin banyak kematian penyu direkodkan termasuk di sekitar kawasan Kerteh.
Oleh itu, beliau mahu melihat satu langkah terbaik dilakukan bukan sahaja untuk menjaga nasib nelayan yang mencari rezeki dengan memasang pukat malah untuk kelangsungan hidup penyu yang kebanyakannya mati lemas akibat terperangkap dalam alat tersebut.
"Apa tindakan yang telah dilakukan bagi mengawal kematian penyu di perairan Terengganu yang disebabkan oleh pukat-pukat tersebut.
"Apa usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerjasama bagi memastikan usaha pemuliharaan penyu ini berjaya?," soalnya lagi.
15 Apr 25
249
Pembangunan Tidak Seimbang: Hulu Terengganu ‘Ciput’ Dalam Senarai Projek
KUALA TERENGGANU, 15 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan projek pembangunan fizikal yang dilaksanakan di Hulu Terengganu berbanding kawasan lain di negeri ini.
Beliau berkata, semasa meneliti senarai perancangan pembangunan negeri, daerah Hulu Terengganu kelihatan kurang diberi perhatian dan tidak seimbang dari segi agihan projek.
"Bila tengok senarai yang keluar itu, tiada di kawasan Hulu Terengganu, kalau ada pun ‘ciput’ je,” katanya secara berseloroh ketika berucap dalam perbahasan titah DYMM Sultan Terengganu di Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut beliau, keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan semangat rakyat di kawasan pedalaman yang juga mahu menikmati kemajuan dan pembangunan yang adil.
"Kita berharap selepas ini jangan dipinggirkan kawasan Hulu Terengganu," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kawasan Hulu Terengganu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan pelancongan, dan seharusnya dilibatkan secara aktif dalam perancangan pembangunan masa depan negeri.
15 Apr 25
361
Lata Hot Spring, Lata Tembakah Perlu Diberi Nafas Baharu Jadi Mercu Tanda Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Terengganu digesa agar memberikan nafas baru kepada dua lokasi pelancongan di Hulu Besut iaitu Lata Hot Spring dan Lata Tembakah yang berpotensi menjadi mercu pelancongan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Hussaimi Hussin berkata, dua lokasi terbabit merupakan khazanah alam semula jadi yang mengagumkan namun kemudahan asas yang ada masih daif dan infrastruktur pelancongan belum mencapai standard yang meyakinkan.
"Justeru, sudah sampai masanya kerajaan negeri memberikan keutamaan kepada menaik taraf kemudahan asas pelancongan termasuk jalan, tandas, surau, ruang rehat dan juga aspek keselamatan.
"Dalam masa yang sama, perlu ada satu pelan induk lanskap pelancongan agar pembangunan tidak merosakkan alam malah memuliakan keindahan alam semula jadi yang dimiliki di Hulu Besut kerana apabila alam dihargai pelancong akan kembali.
"Apabila pelancong datang ekonomi akan berkembang," ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Perbahasan Titah Ucapan Diraja sempena Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hussaimi juga berharap agar dilaksanakan satu kempen Hulu Besut bersih dalam menjaga khazanah alam semula jadi yang ada sebagai satu pendekatan komuniti agar kebersihan menjadi budaya hidup rakyat.
"Bukan sekadar kempen bermusim, semua agensi berkaitan perlu mengambul peranan masing-masing secara aktif,"katanya.
15 Apr 25
174
Tarik Anak Muda ke Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan negeri digesa untuk memperkukuhkan sektor pertanian negeri dengan memberi fokus kepada penglibatan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, berkata usaha itu penting dalam memastikan pertanian kekal sebagai sektor yang mampan serta mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dalam jangka masa panjang.
"Kita mengharapkan agar lebih ramai anak muda yang akan turut menceburi industri pertanian ini dengan menyediakan lebih banyak latihan dan kursus kepada anak-anak muda agar mereka lebih tertarik untuk berada dibidang pertanian.
“Saya percaya kerajaan negeri ada mengerakkan langkah strategik seperti pembangunan teknologi dan inovasi yang lebih baik untuk perkembangan pertanian di negeri ini.
"Kita mengharapkan agar lebih ramai anak muda yang akan turut menceburi industri pertanian ini dengan menyediakan lebih banyak Latihan dan kursus kepada anak-anak muda agar mereka lebih tertarik untuk berada di bidang pertanian.
"Skim insentif seperti geran untuk usahawan tani boleh dikembangkan bagi menarik lebih ramai peserta," katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena istiadat Pembukaan Penggal ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mohd Fadhli turut menegaskan pendekatan menyeluruh perlu diambil bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan serta mengukuhkan daya tahan ekonomi negeri dalam sektor agro makanan.
"Realiti Semasa, Sektor pertanian menyumbang dalam peratusan yang kecil kepada KDNK negara, dan kita masih bergantung pada import makanan seperti beras dan sayuran dari luar.
"Langkah yang dibawa oleh Kerajaan negeri ketika ini amat mengujakan rakyat diluar sana apabila Terengganu mula mengeluarkan makanan sendiri," jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa langkah memperkasakan infrastruktur pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan penyediaan teknologi moden dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan muda untuk meneroka bidang tersebut.
Difahamkan, terdapat lima lokasi TKPM yang telah dikenal pasti di Terengganu sebagai pusat pengeluaran berasaskan teknologi tinggi dan skala komersial. Projek ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).
"Projek ini dicadangkan sebagai satu strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersil dan berteknologi tinggi oleh usahawan termasuk sektor swasta.
"Saya mengucapkan tahniah diatas usaha Kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan dan infrastruktur bersepadu yang saya kira bakal mengurangkan import dan meningkatkan eksport agro makanan di negeri ini," tambahnya.
15 Apr 25
148
Kaji Potensi Tinggalan Perlombongan Sebagai Sumber Baharu Negeri
KUALA TERENGGANU, 15 April - Selaras titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman mengusulkan kerajaan negeri menguruskan peninggalan perlombongan secara bijak yang amat berpotensi, bukan sahaja sebagai tapak warisan tetapi juga sebagai tapak sumber baharu seperti Rare Earth Elements (REE).
"Kajian menyeluruh dan penglibatan komuniti setempat amat penting agar hasil bumi ini memberi manfaat kepada penduduk, bukan menjejaskan alam sekitar yang seharusnya dijaga dipelihara dengan baik.
"Kawasan bekas perlombongan yang boleh dijadikan tarikan sejarah dan eko pelancongan juga diberi tumpuan seperti Tasik Puteri Bukit Besi.
"Bukit Besi menyimpan sejarah penting sebagai pusat perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara sekitar tahun 1920 hingga 1970-an.
"Lokasi seperti Laluan Rel Lama, terowong tinggalan lombong, dan kawasan perkampungan bekas pekerja lombong boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan warisan dan pendidikan," katanya dalam ucapan perbahasan titah di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, pelaburan dan kemudahan asas serta promosi pelancongan lestari perlu ditingkatkan agar memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan sekali gus membuka ruang serta peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan muda.
"Dalam masa sama, saya turut menyambut baik cadangan pembinaan yang melibatkan tenaga solar & hidro di Hulu Dungun yang diketahui umum berada jauh dari bandar.
"Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah menyokong usaha kelestarian alam sekitar," katanya.
15 Apr 25
179
ADUN Bukit Tunggal Gesa Pembesaran Jambatan Buluh Gading Disegerakan
KUALA TERENGGANU, 15 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid menggesa agar projek pembesaran Jambatan Buluh Gading dilaksanakan dengan segera.
Menurut beliau, keadaan jambatan berusia melebihi 61 tahun berkenaan yang sempit kini menjadi faktor utama kesesakan yang semakin meruncing, khususnya dari arah Batu Enam ke Manir, susulan pertambahan aliran trafik selepas siapnya pembinaan Jambatan Pulau Sekati.
"Kesesakan yang berlaku di musim perayaan dan di musim cuti persekolahan di Batu Enam adalah disebabkan oleh antaranya keadaan Jambatan Buluh Gading yang telah menjadi 'bottleneck' daripada aliran trafik Batu Enam ke Manir.
"Setelah siapnya pembinaan Jambatan Pulau Sekati, aliran trafik telah tertumpu ke arah Buluh Gading menyebabkan berlaku kesesakan di waktu puncak setiap hari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau turut menekankan keperluan untuk menyegerakan perancangan pembesaran jambatan tersebut demi kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
"Bukit Tunggal ingin mencadangkan projek pembesaran Jambatan Buluh Gading yang telah berusia melebihi 61 tahun ini dapat disegerakan untuk dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia yang ke-13 pada tahun hadapan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jambatan tersebut," katanya.
Tambah Zaharuddin, Menteri Kerja Raya telah menyatakan persetujuan untuk meluluskan peruntukan bagi projek berkenaan.
"Untuk makluman dewan yang mulia juga, Yang Berhormat Menteri Kerja Raya pada lawatan ke Terengganu pada akhir tahun lepas secara dasarnya telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan bagi projek pembesaran Jambatan Buluh Gading tersebut setelah dimaklumkan oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Kuala Nerus," jelasnya.
Sorotan daripada itu, beliau menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan mempercepatkan projek pembesaran Jambatan Buluh Gading tersebut.
15 Apr 25
406
Terengganu Semakin Maju, Tarik Minat Pelabur Luar
KUALA TERENGGANU, 15 April - Peningkatan jumlah kedai francais dan pasar raya di daerah kecil seperti Dungun menjadi petunjuk jelas bahawa Terengganu semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli berkata, kewujudan pelbagai vendor luar di Terengganu menunjukkan keyakinan pihak luar terhadap pembangunan ekonomi negeri itu.
“Saya juga perasan bahawa telah wujud lebih banyak kedai-kedai franchise dari luar. Bahkan bandar sekecil Dungun telah ada pasaraya GIANT, Sushi King, Subway, EMart dan macam-macam vendor luar yang mula bertapak.
“Saya berfikir mungkin inilah masanya negeri ini telah mendapat kepercayaan pihak luar untuk bertapak,” katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena istiadat Pembukaan Penggal ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau, negeri Terengganu turut menikmati pembangunan pesat hasil daripada kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki, termasuk dari sektor darat dan lautan.
“Inilah kurniaan Allah kepada negeri Terengganu yang bertuah. Hasil dari darat dan lautan yang menjadi rezeki agar kita bersyukur. Dan kita sendiri dapat melihat Pembangunan yang semakin rancak di negeri ini,” katanya lagi.
Mohd Fadhli turut menyentuh perubahan landskap di kawasannya yang kini menyaksikan pertumbuhan pesat sektor industri.
“Jika ditempat saya, telah tersergam bangunan industri dilaluan utama jalan persekutuan Rantau Abang. Pembangunan seperti ini tentu akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar dan Pembangunan tenaga kerja profesional dalam bidang-bidang Baharu kelak,” jelasnya.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa Terengganu sedang berada di landasan tepat menuju status negeri membangun.
“Insya-Allah Terengganu mempunyai masa depan yang cerah dalam menjadikan negeri ini sebagai hab ekonomi yang mampu menarik pelaburan Baharu dalam 5 tahun mendatang,” katanya penuh optimis.
15 Apr 25
849
Suntik Inisiatif Khas Atasi Lambakan Buah-buahan
KUALA TERENGGANU, 15 April - Inisiatif secara berterusan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan isu lambakan buah-buahan terus berulang.
"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus berbanding negatif 4.7 peratus pada tahun 2022 sehingga menjadikan sektor pertanian sebagai antara sektor terbaik, merupakan satu usaha yang cemerlang dilaksanakan kerajaan negeri.
"Namun, isu lambakan tembikai dan buah-buahan kampung saban tahun menjadi masalah utama yang menyebabkan harga (jualan) menjadi terlalu murah.
"Jadi, Batu Rakit mohon isu lambakan ini diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan supaya petani kita gembira apabila sampai masa menuai.
"Kerajaan ada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang boleh bantu tembusi pasaran dimana-mana sahaja dalam negara atau ke luar negara," katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri perlu memperkasakan tindakan yang diambil, supaya gerak kerja sedia ada yang sedang berlangsung mampu mencapai hasil terbaik.
Sebagai rekod, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 sebagai pemangkin kepada usaha memodenkan sektor pertanian, sekali gus mendorong pertumbuhan KDNK sektor itu sehingga 12 peratus menjelang tahun 2030.
15 Apr 25
89