lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pekerja Premis Makanan Tiada Kod Pakaian Khusus, Tapi Wajib Sopan
Pekerja Premis Makanan Tiada Kod Pakaian Khusus, Tapi Wajib Sopan
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri menekankan pemakaian sopan selaras dengan nilai budaya tempatan, sejajar dengan prinsip Indahnya Hidup Bersyariat bagi pekerja kedai makan atau restoran walaupun tiada garis panduan khusus mengenai kod pakaian terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tiada sebarang garis panduan rasmi mengenai kod pakaian khusus bagi pekerja wanita di kedai makanan dan francais. "Tiada sebarang garis panduan kod pakaian pekerja wanita di kedai makanan dan kedai francais kerana ia adalah di luar bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). "Namun begitu, pekerja-pekerja wanita adalah dinasihatkan berpakaian sopan untuk mematuhi nilai-nilai budaya tempatan serta prinsip kesopanan yang ditekankan oleh kerajaan negeri," jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Namun begitu, pekerja premis makanan diwajibkan mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281), termasuk pemakaian penutup kepala, apron dan kasut.  Katanya, peraturan ini dikuatkuasakan melalui syarat lesen yang diberikan oleh pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). "Dalam masa yang sama, isu berpakaian tidak sopan di tempat awam boleh dikenakan tindakan di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). "Mengikut Seksyen 34, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, individu yang berpakaian tidak sopan di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," tambah beliau lagi.
17 Apr 25
105
Kerjasama MPTN Terengganu Perkukuh Pemeliharaan Biodiversiti
Kerjasama MPTN Terengganu Perkukuh Pemeliharaan Biodiversiti
KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Negeri melalui Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu sentiasa bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam pemeliharaan biodiversiti di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, antaranya melalui penganjuran Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 yang telah diadakan pada 6 November 2024di Dewan Besar, Wisma Darul Iman yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Terengganu. “Penganjuran seminar berkenaan menarik penyertaan kira-kira 300 orang daripada pelbagai latarbelakang termasuk dari sektor awam, akademik, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan, masyarakat Orang Asli dan mahasiswa. “Ia bertujuan untuk memupuk kesedaran pelbagai pihak di dalam pentingnya melindungi biodiversiti yang disampaikan melalui perkongsian daripada agenda kebangsaan dalam pemeliharaan biodiversiti, kajian dan usaha konservasi serta perbincangan berkaitan isu-isu ancaman terhadap biodiversiti,” ujarnya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkenaan adakah kerajaan negeri bekerjasama dengan NGO atau institusi pengajian tinggi dalam kajian dan pemeliharaan biodiversiti. Sementara itu katanya, seiring dengan hasrat melindungi kepelbagaian biologi negeri, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mewartakan Pulau Bidong yang berkeluasan 231.3 hektar merangkumi 1 batu nautika daripada tikas air surut sebagai sebuah Taman Negeri. “Ia diletakkan di bawah urus tadbir MPTN Terengganu yang mana urusan pewartaan akan diselaraskan dalam masa terdekat ini,” ujarnya.  
17 Apr 25
143
Cadangan Pembinaan Jalan Baharu Terengganu-Kelantan Sudah Diangkat
Cadangan Pembinaan Jalan Baharu Terengganu-Kelantan Sudah Diangkat
KUALA TERENGGANU, 16 April - Cadangan Projek Membina Jalan Baru dari Felda Keruak, Besut, Terengganu ke Chuchoh Puteri, Kuala Krai telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).  Inisiatif mengangkat cadangan projek oleh JKR Terengganu kepada KKDW menunjukkan adanya usaha berterusan bagi memastikan keperluan jaringan jalan raya di kawasan luar bandar tidak diabaikan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, projek tersebut dilihat penting bagi meningkatkan akses penduduk Besut ke kawasan bersempadan di Kelantan serta merangsang pembangunan ekonomi setempat sekiranya diluluskan dan dilaksanakan kelak. "Cadangan Projek Membina Jalan Baru Dari Felda Keruak, Besut, Terengganu Ke Chuchoh Puteri, Kuala Krai telah diangkat ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) oleh pihak Jabatan Kerja Raya Terengganu di bawah RP1 RMK13. "Bagi Projek Cadangan Membina Jalan Baru dari Pekan Keruak ke Jalan Gunung Bongsu, Hulu Besut, Terengganu pula, projek ini juga telah diangkat ke KKDW oleh JKR Terengganu semasa Rolling Plan kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5 RMK12)," jelasnya. Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, semalam. Menurut beliau, pada masa ini, kedua-dua projek yang disebutkan – Jalan Keruak/Gunung Bongsu dan Jalan Keruak/Chuchoh Puteri – tidak disenaraikan dalam senarai keutamaan negeri di bawah RP1 RMK13.    
17 Apr 25
11449
Terengganu Perkukuh Usaha Perluas Pemilikan Sijil Halal
Terengganu Perkukuh Usaha Perluas Pemilikan Sijil Halal
KUALA TERENGGANU, 17 April  – Kerajaan Negeri Terengganu kini giat memperkukuh usaha bagi meningkatkan jumlah pengusaha yang memiliki sijil halal melalui pelbagai inisiatif tersusun dan strategik. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha ini penting memandangkan Terengganu masih berada di kedudukan kedua terendah dalam pemilikan sijil halal di Malaysia. “Sehingga Januari 2025 hanya seramai 317 pengusaha yang mempunyai sijil halal di mana 6 daripada daripada senarai tersebut adalah pusat penyembelihan,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri dan juga Yayasan Pembangunan Terengganu serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu diberi peranan bagi menyelaras dasar serta pelaksanaan berkaitan pensijilan halal. “Antara program yang akan dilaksanakan secara bersiri adalah bengkel kesedaran halal dan juga seminar kesedaran halal Terengganu,” ujar beliau. Selain itu, YPU akan berperanan sebagai pusat sehenti rujukan halal menerusi pegawai-pegawai bertindak sebagai penasihat dan sumber rujukan kepada usahawan yang ingin mendapatkan pensijilan halal.  “Kerjasama strategik turut dijalinkan dengan Halal Development Corporation bagi mempergiatkan lagi kesedaran serta menekankan kepentingan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha,” katanya. Justeru itu, beliau berharap dengan usaha ini dapat menarik orang berdaftar untuk mendapatkan pensijilan halal.
17 Apr 25
99
Peniaga 'Tidak Sah' Punca Pasar Bukit Besar Terus Kosong
Peniaga 'Tidak Sah' Punca Pasar Bukit Besar Terus Kosong
KUALA TERENGGANU, 17 April – Isu kekosongan ruang niaga di Pasar Bukit Besar terus membelenggu operasi pasar tersebut walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kemunculan peniaga-peniaga tidak sah di tepi jalan dikenal pasti sebagai punca utama kekosongan bangku dan lot kedai yang ditawarkan kepada umum. “Punca utama kekosongan ruang-ruang pasar ini dan pasar-pasar lain adalah kemunculan peniaga-peniaga secara tidak sah di tepi jalan. Pihak MBKT dan kerajaan perlu berhati-hati dalam menangani isu ini kerana peniaga-peniaga ini sebahagian besarnya adalah golongan B40 dan Bumiputera Islam.  “Dalam masa yang sama, Kerajaan dan MBKT sedar akan impak operasi perniagaan tidak sah ini termasuklah dari segi keselamatan pengguna jalan raya, kebersihan tandas dan persekitaran serta keekosongan ruang niaga yang sah di pasar-pasar milik PBT dan kesan kepada pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berikutan kekosongan ruang niaga ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Menurutnya, MBKT telah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaiktaraf Pasar Bukit Besar, termasuk kerja-kerja mengecat semula dan membaiki tandas. Namun begitu, usaha menaiktaraf tidak akan memberi impak jika isu kekosongan ruang niaga tidak ditangani secara serius. “MBKT telah beberapa kali mengeluarkan iklan untuk pengisian ruang-ruang niaga yang kosong. Malah, MBKT telah ambil inisiatif menswastakan kepada peniaga-peniaga di tepi jalan untuk memindahkan perniagaan mereka ke dalam pasar ini. “Namun demikian, peniaga-peniaga ini enggan terima tawaran MBKT,” ujar Wan Sukairi. Justeru itu, kerajaan Negeri dan MBKT akan mengadakan perbincangan khas dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian menyeluruh yang bukan sahaja menjaga kepentingan peniaga sah, tetapi turut mempertimbang kebajikan peniaga kecil yang bergantung kepada hasil jualan harian.
17 Apr 25
531
Terengganu Peruntuk RM450 Ribu Tambah Baik Pasar Payang 1
Terengganu Peruntuk RM450 Ribu Tambah Baik Pasar Payang 1
KUALA TERENGGANU, 17 April – Sebanyak RM450,000 dibelanjakan untuk kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di Pasar Payang 1 bagi meningkatkan keselesaan peniaga dan pengunjung pasar ikonik itu pada fasa pertama. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan tiga buah tangga baharu serta struktur pelindung (shading) untuk mengurangkan tempias hujan dan panas. “Kerajaan sentiasa sensitif dengan tuntutan dan cadangan daripada peniaga-peniaga di Pasar Payang 1.  “Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM750,000 untuk pelaksanaan fasa kedua,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Tambah beliau, langkah tersebut diharap dapat menambah seri Pasar Payang sebagai ikon pelancongan utama di negeri ini serta memudahkan lagi urusan pengunjung. “Semoga dengan inisiatif daripada MBKT ini dapat menyerikan lagi dan memudahkan kedatangan pelancong ke Pasar Payang ini,” kata Wan Sukairi.
16 Apr 25
96
Lesen Perniagaan Vape Tidak Akan Diluluskan
Lesen Perniagaan Vape Tidak Akan Diluluskan
KUALA TERENGGANU, 16 April – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil pendirian tegas dalam menangani isu penggunaan vape atau rokok elektronik dengan tidak meluluskan sebarang lesen perniagaan vape di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape khususnya dalam kalangan remaja dan golongan dewasa muda, yang kini dilihat sebagai satu ancaman serius kepada kesihatan awam. “Mengekalkan pelaksanaan semasa dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada semua premis perniagaan produk rokok elektronik atau vape dan pada masa hadapan selaras dengan Undang-Undang Kecil yang berkuatkuasa di PBT masing-masing. “Jika perniagaan masih dibuka dan beroperasi tanpa lesen diberikan, PBT akan menguatkuasakan undang-undang dengan menyita dan merampas barang-barang yang dijual serta apa jua penguatkuasaan selaras dengan undang-undang kecil peraturan berkuatkuasa termasuk mengenakan kompaun dan denda,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Berdasarkan kajian Tobacco and E-Cigarette Survey Among Adolescent (TECMA) 2016 dan Kajian Kesihatan Remaja (ADH) 2017, walaupun terdapat penurunan kadar merokok dalam kalangan remaja, penggunaan vape dalam kalangan remaja perempuan meningkat dua kali ganda – dari 2.6% kepada 5.3%. “Masalah ini menjadi semakin serius apabila penggunaan vape turut berkembang dalam kalangan individu berumur 20 hingga 49 tahun, iaitu golongan paling produktif dalam masyarakat.  “Keadaan ini menggagalkan usaha mengurangkan kadar merokok secara keseluruhan dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang terhadap kesihatan serta ekonomi negara,” tambah Wan Sukairi lagi.
16 Apr 25
194
Terengganu Ambil Langkah Drastik Lindungi Penyu
Terengganu Ambil Langkah Drastik Lindungi Penyu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan mengambil langkah penguatkuasaan yang menyeluruh di kawasan berisiko tinggi termasuk zon pendaratan dan perairan terlarang bagi menangani ancaman terhadap spesies penyu di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim,berkata diantaranya, operasi penguatkuasaan pukat pari sama ada di Pengkalan-Pengkalan Nelayan atau di laut, terutama Daerah Kemaman dan Dungun yang telah dikenalpasti banyak menggunakan pukat pari. "Yang kedua, operasi penguatkuasaan terhadap nelayan yang menceroboh kawasan santuari penyu," jelasnya. "Yang ketiganya, penguatkuasaan undang-undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 dengan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan kematian penyu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam. Dr Azman juga turut menegaskan bahawa penguatkuasaan turut dilaksanakan di bawah peruntukan negeri.  Tambahnya, di sebalik usaha besar-besaran melepaskan lebih tiga juta anak penyu sejak 2018, hanya seekor daripada setiap 1,000 yang berjaya kembali semula ke pantai untuk bertelur. "Penyu ialah spesis haiwan zaman dinasour yang masih survive sehingga hari ini.  "Rekod perlepasan anak penyu Terengganu dari tahun 2018-2024 ialah sebanyak 3,025,735 ekor, banyak yang kita lepas. "Statistik bagi setiap 1,000 ekor anak penyu yang dilepaskan, 1 ekor akan berjaya hidup sehingga dewasa dan kembali semula ke pantai di mana ia menetas, dengan nisbah 1/1000," katanya.   Dr. Azman turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kematian penyu yang dipercayai berpunca daripada perbuatan manusia serta pelbagai ancaman yang dihadapi spesies tersebut. "Walaupun penyu mempunyai kemampuan berenang merentasi lautan antara benua, survival penyu terdedah kepada banyak ancaman. "Dari tahun 2015 - 2025 sebanyak 592 ekor kematian penyu direkodkan.  "Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 52 ekor kematian penyu dilaporkan, jumlah kematian yang sama pada tahun 2023, dari Januari sehingga Mac 2025 sebanyak 22 kematian penyu telah dilaporkan,” jelas beliau. Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun punca sebenar kematian penyu sukar dipastikan, corak penemuan bangkai menunjukkan elemen perbuatan manusia yang mencurigakan.  "Bangkai penyu yang hanyut ditemui terperangkap dalam pukat nelayan, terdapat tali yang membelit disekeliling bangkai penyu. "Terdapat batu yang diikat pada bangkai penyu bertujuan menengelamkan penyu yang mati ke dasar lautan. "Bolehlah disimpulkan kematian yang berlaku dalam kes-kes di atas adalah angkara perbuatan tangan-tangan manusia,” tegas beliau. ADUN Jabi itu turut menambah, bagi menangani ancaman terhadap penyu,
16 Apr 25
110
Reformasi PBT Bantu Tarik Pelabur
Reformasi PBT Bantu Tarik Pelabur
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa langkah untuk menambahbaik sistem pentadbiran dan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi melancarkan pembangunan setempat dan menarik pelabur.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara langkah yang dilaksanakan adalah menerusi digitalisasi perkhidmatan iaitu dengan memperkenalkan sistem dalam talian untuk memperkemaskan proses permohonan dan perkhidmatan lain bagi meningkatkan kecekapan dan penyampaian. "Selain itu, melalui latihan dan pembangunan sumber manusia dengan memberikan latihan berterusan kepada pegawai PBT bagi memastikan mereka memiliki kemahiran dan pengetahuan yang terkini dalam pengurusan serta pengendalian hal ehwal masyarakat. "Kita juga melakukan penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan penduduk dengan mengadakan projek pembangunan infrastruktur yang memudahkan akses dan dapat menggalakkan pelaburan seperti pembangunan jalan, fasiliti awam, dan ruang niaga," ujarnya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid yang ingin tahu apakah langkah yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam menambah baik sistem pentadbiran dan perkhidmatan PBT bagi melancarkan pembangunan setempat, berjaya menarik pelabur dan memastikan penyelesaian masalah dengan lebih cekap. Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada penyelesaian masalah secara proaktif dengan mengimplementasikan mekanisme maklum balas awam yang lebih baik untuk mengenal pasti masalah dengan cepat dan efisien, serta menyediakan penyelesaian yang sesuai. "Di samping mendorong kerjasama dengan sektor swasta bagi membiayai projek pembangunan dan perkhidmatan yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat," ujarnya.
16 Apr 25
105
Terengganu Peroleh RM1.06 Juta Hasil Perlombongan Silika
Terengganu Peroleh RM1.06 Juta Hasil Perlombongan Silika
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Terengganu memperoleh pendapatan sebanyak RM1.069 juta pada tahun 2024 hasil daripada perlombongan dan perusahaan silika.  Menurut Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, jumlah tersebut berdasarkan perkiraan kadar lama royalti iaitu sebanyak RM1.50 per metrik tan daripada nilai. "Untuk tahun 2025 ini, kita telah meluluskan kadar baharu royalti iaitu sebanyak lima peratus daripada nilai jualan atau sekitar RM4.00 per metrik tan. Dengan pertambahan royalti ini, insya-Allah akan meningkatkan jumlah kepada RM6.529 juta. "Perkiraan kadar tersebut masih dalam peringkat rundingan antara pemegang lesen, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Terengganu untuk dimuktamadkan. "Ini kerana, apabila kita lontarkan suatu angka pihak pemain industri ini mengatakan ia agak tinggi. Cuma, menerusi perbincangan yang diadakan walaupn kita melihat permintaan di peringkat dunia agak menurun, tetapi permintaannya masih ada," katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Jelasnya, dianggarkan kutipan hasil keseluruhan boleh mencapai RM7.5 juta dan hasil tersebut diperoleh melalui pemajak yang telah diberi kelulusan iaitu PMINT-PERMINT GRANITE Sdn Bhd di Bukit Senyamok, Mukim abang Dungun dan Terengganu Silika Consortium, anak syarikat Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) di Darat Bari, Setiu. "Dalam pada itu, keberkesanan penguatkuasaan bagi memastikan hasil yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri oleh pengusaha silika bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan tindakan penguatkuasaan, pemantuan dan kesediaan pengusaha untuk mematuhi peraturan. "Kita mendapat maklum balas daripada Pejabat PTG bahawa mereka kekurangan kakitangan  dan memohon kerajaan mempertimbangkan untuk melengkapkan kakitangan tersebut," katanya yang menekankan pemantauan terhadap pengusaha silika bagi memastikan mereka memenuhi setiap syarat- syarat kelulusan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.  Dalam pada itu, Nurkhuzaini turut menjawab celahan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang mencadangkan penglibatan kerajaan negeri secara langsung dalam industri berkenaan supaya mampu menjana kutipan hasil lebih tinggi. "Kita telah pun mengambil langkah-langkah ke arah itu. Kerjasama kita dengan pihak Terengganu Silika (Consortium) dan sekarang ini untuk makluman dewan, Terengganu Silika membuka ruang untuk kita turut serta secara langsung. "Begitu juga dengan kaedah terbaru ini, kita mengambil pendekatan untuk pihak kerajaan melalui anak syarikat berkaitan untuk terlibat sama dalam pengeluaran dan insya-Allah akan berlaku di sebelah Terengganu Utara dalam masa terdekat ini," ujarnya.
16 Apr 25
2089