lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

RM15 Juta Selesaikan Hakisan Pantai Rusila
RM15 Juta Selesaikan Hakisan Pantai Rusila
MARANG, 6 Julai - Sebanyak RM15 juta diperuntukkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai penyelesaian jangka pendek kepada isu hakisan yang berlaku di Pantai Rusila. Menurut Menteri Alam Skitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, proses penyuburan pantai (beach nourichment) iaitu menambak semula persisir pantai dengan pasir dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun. "Kita akui bahawa menjelang musim tengkujuh kuasa ombak ini sangat besar dan dijangka akan menyebabkan hakisan besar pada pantai jika tidak disegerakan. Yang pertama ialah strategi jangka pendek yang kita perlu segerakan bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.   "Saya berterima kasih kepada pihak kementerian kerana mengambil inisiatif awal meletakkan batu-batu untuk penyelesaian semasa dan kita akan beri perhatian serius terhadap isu ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Taklimat Hakisan Pantai di Rusila oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, hari ini. Dr.Zaini menunjukkan gambar struktrur hakisan kepada Dr. Samsuri dan Tuan Ibrahim. Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri. Jelas Tuan Ibrahim lagi, pantai dengan jajaran sepanjang enam kilometer itu memerlukan strategi yang tersusun sebagai penyelesaian menyeluruh. "Untuk jangka masa panjang, kita perlukan satu peruntukan lebih kurang dalam RM150 juta untuk melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12) untuk penyelesaian menyeluruh berdasarkan kajian Pelan Pantai Bersepadu (Intergrated Shoreline Management Plan-ISMP). "Kita ada kajian menyeluruh bagi negeri Terengganu kerana negeri ini mempunyai pantai yang panjang iaitu 244km dan kita perlu tengok secara keseluruhannya," katanya. Sementara itu, Dr. Samsuri sempat menzahirkan penghargaan di atas kunjungan menteri berkenaan ke negeri itu. “Terima kasih atas kunjungan menteri bersama seluruh anggota pentadbiran dan atas pengumuman yang dibuat sebanyak RM15 juta untuk menyelesaikan secara segera hakisan di sini. “Secara dasarnya, kita juga berkerjasama dengan pihak kementerian untuk menyelesaikan masalah hakisan di seluruh negeri ini,” katanya.
13 Jul 20
330
Baik Pulih Hakisan Pantai Teluk Lipat Bermula Oktober
Baik Pulih Hakisan Pantai Teluk Lipat Bermula Oktober
DUNGUN, 6 Julai - Proses baik pulih hakisan di Pantai Teluk Lipat yang semakin kritikal akan dimulakan selewat-lewatnya Oktober ini. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan baik pulih di seluruh kawasan sepanjang empat kilometer itu. "Ada empat peringkat proses pemulihan pantai ini dan bagi peringkat pertama, kita pecahkan kepada dua bahagian untuk melindungi kawasan-kawasan kritikal di sini yang dijangka siap tahun ini. "Bagi keseluruhan projek pemulihan di pantai Teluk Lipat dijangkakan siap pada pertengahan tahun 2022," katanya. KSU KASA, Dr. Zaini memberikan penerangan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan di lokasi terbabit, hari ini. Lokasi itu merupakan salah satu agenda Tuan Ibrahim dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu, hari ini. Dalam lawatan tersebut, menteri berkenaan yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut meninjau hakisan tanah dan projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Rusila, Marang. Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan wakil-wakil jabatan terlibat.  
12 Jul 20
493
Pawagam Terengganu Asing Tempat Duduk Lelaki, Wanita Bukan Mahram
Pawagam Terengganu Asing Tempat Duduk Lelaki, Wanita Bukan Mahram
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Bagi memastikan segala aktiviti yang dijalankan di negeri ini mengikut syariat Islam, pawagam di Terengganu melaksanakan pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita bukan mahram. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, garis panduan mengenai perkara tersebut telah dikeluarkan kepada semua premis terbabit sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Peraturan baharu melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu terpakai kepada semua panggung wayang atau pawagam yang beroperasi dalam negeri ini. “Ia dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Pada 4 Julai lalu, Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square mengasingkan tempat duduk bagi lelaki, wanita bukan mahram dan keluarga. Pengurus LFS, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pihaknya menerima arahan daripada PBT untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan itu kepada semua pelanggan. “Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),” katanya. Menurut beliau lagi, pihak pengurusan LFS juga bertanggungjawab melakukan pemantauan di dalam panggung wayang sekiranya berlaku situasi mencurigakan. “Bagi panggung wayang yang kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan luas, kita telah bahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga. “Namun, pengunjung lelaki atau wanita boleh juga ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan batas antara satu sama lain terjaga,” katanya. Tambah Zulmajdi, penambahbaikan sedia dilakukan pihaknya bagi membolehkan ia dipatuhi dan memberi keselesaan kepada semua pelanggan. Katanya, ini adalah peraturan baharu dan mungkin hanya LFS Kuala Terengganu sahaja yang melaksanakan peraturan ini di Malaysia setakat ini. “Kami di peringkat pengurusan juga masih baharu dengan peraturan ini dan bersedia untuk memperbaiki sebarang kelemahan bagi memastikan kepuasan pengunjung yang datang ke sini,” ujarnya.
06 Jul 20
697
Tuan Ibrahim Mulakan Lawatan Kerja Di Terengganu
Tuan Ibrahim Mulakan Lawatan Kerja Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man tiba di Wisma Darul Iman, di sini, jam 8.30 pagi tadi bagi memulakan lawatan kerja di Terengganu. Ketibaan Tuan Ibrahim disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Exco Kerajaan Negeri Terengganu. Menurut satu kenyataan, pertemuan rasmi bagi kedua pemimpin ini di negeri Terengganu adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Menteri pada 9 Mac lalu. Lawatan kerja tersebut membabitkan sesi kunjungan hormat bersama pimpinan kerajaan negeri, mesyuarat khas, sesi taklimat jabatan dan agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan juga lawatan ke tempat projek. Tuan Ibrahim dijangka akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung cadangan pembinaan benteng penahan ombak (Breakwater) bagi kawalan hakisan di Pantai Marang dan Pantai Teluk Lipat, Dungun di sini. Turut serta dalam lawatan rasmi berkenaan, Ketua Setiausaha KASA, Dato' Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Politik Menteri, Dr Mohd Zuhdi Marzuki selaku pengiring. Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja di negeri Kelantan bermula kelmarin. "Pada 4 Julai, delegasi KASA melawat tapak Sambutan Hari Alam Sekitar di Kubang Kerian, Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok (KESBAN) fasa 1 dan lawatan projek PLSB Sungai Golok,” kata Kementerian itu dalam satu kenyataan.
06 Jul 20
450
Jangan Sesekali Bersekongkol Dengan Nelayan Asing! - APMM Terengganu
Jangan Sesekali Bersekongkol Dengan Nelayan Asing! - APMM Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu memberi amaran keras kepada mana-mana pengusaha dan nelayan tempatan yang cuba bersekongkol dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara khususnya di negeri itu. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli menyuarakan amaran tersebut berikutan penangkapan empat lagi bot nelayan Vietnam oleh kapal maritim KM Langkawi dan KM Gemia dalam OP IMAN, tiga hari lalu. “Sekiranya kita kenal pasti ada nelayan tempatan memberi atau pajak lesen kepada nelayan asing, kita akan dakwa mereka untuk tindakan lanjut. “Kita sudah kenal pasti antara modus operandi terbaru nelayan Vietnam dan pengusaha yang mempunyai lesen cuba memberi pakai nombor pendaftaran tempatan untuk mereka tangkap ikan di sini,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Terengganu, di sini, semalam. Jelasnya, pihak APMM akan mendalami siasatan dan membongkar taktik terbaru pihak berkenaan. “Pihak kita juga mendapati ada lesen-lesen nelayan tempatan dipajak ke negara Vietnam untuk setahun yang mana nilainya tidak kurang daripada RM200,000 bagi satu lesen. “Itu yang kita percaya merupakan modus operandi yang mudah untuk mengaut keuntungan dan tidak mustahil satu nombor pendaftaran akan digunakan untuk beberapa bot,” tambahnya yang percaya ia didalangi sindiket kerana terdapat banyak nombor yang berdaftar. APMM juga memaklumkan akan meneruskan lagi OP IMAN dan mungkin akan ada tangkapan terbaharu dari pihak mereka. Terdahulu, empat bot yang ditahan di lokasi 118 batu-123 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu 3 Julai lalu, mempunyai nombor badan bot tempatan yang apabila diselidiki didapati menyamar sebagai nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa. Seramai 47 kru bot ditahan berumur antara 17 hingga 57 tahun melibatkan hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhannya bernilai RM4.5 juta. Menurut Muhammad Suffi, kesemua kru tidak memiliki dokumen sah kecuali empat kru sahaja memiliki passport Vietnam. “Bot-bot tersebut telah dibawa masuk ke jeti Kuala Terengganu bagi penyerahan kepada unit keselamatan negeri untuk dilakukan swab test dan berdasarkan laporan awal, kesemua kru didapati negatif daripada pandemik Covid-19. “Siasat akan dijalankan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan tanpa kebenaran, serta bawah imegresen kerana tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya. Jelasnya, termasuk tangkapan terbaharu, lokap Maritim Negeri Terengganu (MNT) akan menempatkan keselururan 101 nelayan asing yang ditahan baru-baru ini.
06 Jul 20
173
Plat UMT 1 Cecah RM55,000
Plat UMT 1 Cecah RM55,000
KUALA NERUS, 5 Julai - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas kepada orang awam, termasuk hampir 32,000 alumni universiti itu bermula hari ini. Penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan itu adalah inisiatif Persatuan Alumni UMT dan UMT Jaya Holding Sdn Bhd untuk menjana pendapatan, memperkukuhkan geran penyelidikan dan pembangunan. Naib Canselor universiti itu, Prof Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata pihaknya menyasarkan perolehan kira-kira RM5 juta sekiranya nombor yang ditawarkan bermula UMT 1 hingga UMT 9999 itu dapat dijual. Katanya, bidaan fasa pertama secara dalam talian itu bermula hari ini dan berlanjutan sehingga 12 Julai depan . “Pendekatan itu memberi peluang kepada kakitangan, alumni, komuniti dan orang awam untuk memiliki secara ekslusif nombor pendaftaran khas kenderaan UMT. “Setiap bidaan nombor yang dikategorikan kepada Platinum RM55,000,  Golden RM20,000, Super Silver RM5,000 dan Silver RM300 itu boleh dibuat melalui laman sesawang ebida.umt.edu,my," katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Nombor Khas Kenderaan di UMT, di sini hari ini. Hadir sama, Presiden Persatuan Alumni UMT,  Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi. Dr Nor Aieni turut memberitahu, nombor bidaan yang berjaya dibida sah didaftarkan dalam tempoh 12 bulan selepas tarikh keputusan bidaan berjaya dikeluarkan. “Saya berharap orang ramai, terutama alumni dan kakitangan UMT mengambil peluang apa yang ditawarkan itu, bukan sahaja dapat nombor eksklusif, apa yang penting membantu menambahkan dana,”katanya.
06 Jul 20
798
Pusat Pengumpulan Hasil Tani Kini Jadi Pasar Borong Setiu
Pusat Pengumpulan Hasil Tani Kini Jadi Pasar Borong Setiu
Foto Oleh: Hidayah Azlin SETIU, 5 Julai -  Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) terus mengambil langkah proaktif dengan menjadikan Pusat Pengumpulan Hasil Tani, atau Distribution Center (D.C) miliknya sebagai Pasar Borong Setiu bermula awal Julai lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bangunan D.C yang terletak di Kampung Telaga Papan, dibina pada asalnya untuk dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan penggredan hasil tani sebelum dipasarkan kepada pemborong. Katanya, setelah tidak beroperasi secara aktif bermula 2018, D.C kembali memainkan peranan penting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19. “Ketika itu, D.C mula berperanan sebagai pusat penerimaan hasil lambakan daripada petani untuk membantu mereka memasarkan hasil pertanian terutamanya tembikai kerana Kampung Telaga Papan adalah pengeluar utama tembikal di Negeri Terengganu. “Di D.C TADC inilah tembikai dikumpulkan sebelum diagihkan kepada kira-kira 40 outlet jualannya di seluruh negeri dalam tempoh PKP dan alhamdulillah usaha tersebut terbukti berkesan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pasar Borong Dan Runcit Telaga Papan, Setiu Dan Pengagihan kiosk Kepada Peserta Pembangunan Desa di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman serta Pengurus Besar TADC, Azhar@Wahab Jusoh. Menurut beliau, setakat ini seramai 18 peniaga borong dan 20 peruncit menjalankan urus niaga di pusat borong itu dan jumlah tersebut boleh dipertingkatkan lagi dengan adanya pelbagai kemudahan termasuk kapasiti keluasan premis yang mencukupi, tiada kesesakan trafik di kawasan terbabit dan sebagainya. “Justeru, saya menyeru dan mengajak semua peniaga, pemborong, peruncit manfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada di pasar borong ini sebagai satu medan interaksi perniagaan. “Kebetulan daerah Setiu sendiri tiada lagi pasar borong seperti ini, memang selayaknya kawasan ini dihidupkan dengan pasar borong dan runcit.  “Diharapkan D.C TADC akan berjaya menjadi satu lagi pemain dalam industri pemasaran hasil pertanian, perikanan dan penternakan yang memberikan kebaikan kepada rakyat khususnya,” ujarnya. Katanya, matlamat TADC bukanlah meraih keuntungan semata, tetapi lebih kepada menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat. “Apabila TADC berperanan sebagai orang tengah dan tidak mengambil margin keuntungan yang terlalu tinggi, jadi pengeluar sama ada petani penternak ataupun mereka yang terlibat dengan industri akuakultur dapat memasarkan barangan dengan harga yang berpatutan dan dalam masa yang sama penguna dapat membelinya dengan harga yang lebih rendah disebabkan peranan orang tengah berjaya diminimakan. “Untuk memastikan kelangsungan pasar borong ini terus beroperasi, pihak pengurusan TADC akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi dibawah portfolio jawatankuasa pertanian negeri untuk menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
06 Jul 20
885
Tiga 'Ubi' Terengganu Perkuat Skuad Malaysia
Tiga 'Ubi' Terengganu Perkuat Skuad Malaysia
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Tiga pemain muda Terengganu Football Club (TFC) bakal membarisi pasukan Malaysia B-19 selepas terpilih menjalani latihan pusat bermula esok. TFC dalam satu kenyataan berkata, mengetuai senarai itu ialah penjaga gol tinggi lampai Terengganu, Muhammad Rahadi Azli Rahalim. Selain itu, pemain yang beraksi di posisi penyerang, Muhammad Muslihuddin A'tiq dan pemain tengah, Muhammad Azam Azmi Murad turut terpilih sebagai persiapan khas skuad negara.  
06 Jul 20
534
Paizal Bakal Miliki Tanah, Rumah Sendiri
Paizal Bakal Miliki Tanah, Rumah Sendiri
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 4 Julai – Seorang petani, Mohd Paizal Abdul Majid, 48, menarik nafas lega selepas cita-citanya untuk memiliki tanah dan rumah kediaman sendiri akhirnya tercapai. Ujar peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Belimbing Api itu, tanah pemberian kerajaan negeri akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan membina tempat berteduh untuk isteri dan lima anaknya. Katanya, disebabkan masalah kewangan sebelum ini, dia hanya menumpang di teratak ibu dan ayahnya sejak mendirikan rumahtangga pada tahun 1994. "Hari ini rasa gembira sangat. Penantian dari tahun 1999 lagi, akhirnya tahun 2020 ini saya dapat tanah daripada kerajaan negeri. "Sebelum ini belum pernah dapat lagi tanah dan hari ini menjadi sejarah. Alhamdulillah syukur kepada Allah. "Insya-Allah apabila mendapat geran kekal nanti, saya akan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga. Bila ada rezeki lebih, kita akan bina dengan segera," katanya kepada pemberita UPDI selepas menerima borang 5A di Dewan Sivik Jabi, semalam. Sementara itu, menurut seorang lagi peserta RTB Belimbing Api, Ab Rahim Ghazali, 53, dia sangat bersyukur dan teruja kerana impian yang dinanti-nantikan sejak sekian lama akan tercapai. "RTB Belimbing Api menunjukkan sejarah yang panjang dan amat memilukan. Ramai peserta asal dah ramai meninggal dunia. Namun berkat kesabaran serta keyakinan terhadap rezeki akhirnya impian dikembalikan kepada kami. "Saya amat berterima kasih kepada Dr Azman Ibrahim yang berjaya menyelesaikan isu ini. Ia merupakan kejayaan yang besar bagi rakyat biasa seperti kami. "Memang perasaan ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Benda yang kita tidak tahu bila akan menemui hujung pangkal, akhirnya menemui penyelesaian hari ini," tambah Rahim. Dalam program itu seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A RTB.  
06 Jul 20
156
Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 4 Julai - Seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemberian borang tersebut adalah hentian terakhir sebelum penerima mendapat geran hak milik kekal. "Selepas penerima menjelaskan bayaran premium tanah, peserta akan dapat geran hak milik dengan tempoh pajakan selama 99 tahun. "Sebelum ini tempoh pajakan tanah pertanian ialah 60 tahun. Kerajaan Terengganu sekarang telah naikkan kepada 99 tahun," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Jadual 5A RTB Belimbing Api, RTB Bukit Tasik dan RTB Pasir Tawar Jabi di Dewan Sivik Jabi di sini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, para peserta juga perlu menjelaskan kadar bayaran premium dalam masa tiga bulan. "Sekiranya tidak mampu, buatlah surat rayuan untuk lanjutan bayaran selama tiga bulan. Sebaiknya kita mahu selesaikan pemberian geran dengan cepat. "Usahalah sedaya yang mampu untuk menjelaskan bayaran premium tanah dan jangan bandingkan dengan premium tanah 20 tahun dulu. Malah, jangan bandingkan dengan RTB Belimbing Api kerana ia merupakan RTB Terkilan," ujarnya. Katanya lagi, bagi yang berpendapatan rendah atau RM 1,700 ke bawah sebulan, penerima boleh membuat rayuan untuk membayar secara ansuran selama tiga tahun. "Bagi penerima yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), e-Kasih pula, boleh mohon bayaran premium pada kadar nominal (RM100). Satu lagi usaha kerajaan untuk permudahkan urusan," katanya. Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat mengharapkan penerima tanah pertanian memajukan sebaik mungkin tanah yang diperolehi.
06 Jul 20
199