lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

KPDNHEP Terengganu Rampas RM97,000 Barang Tiruan
KPDNHEP Terengganu Rampas RM97,000 Barang Tiruan
KUALA TERENGGANU, 14 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas pelbagai barangan tiruan berjenama bernilai lebih RM97,000, semalam. Pengarah KPDNHEP Negeri Saharuddin Mohd Kia memaklumkan, dalam serbuan dikenali sebagai Operasi Barang Tiruan kira-kira 12.30 tengahari semalam, pihaknya berjaya menahan dua suspek lelaki berumur 30 an dan empat suspek wanita berumur 20 secara serentak di tiga premis di Kuala Terengganu dan Marang bagi membantu siasatan. "Hasil risikan awal selama sebulan, kami mendapati dua premis menjalankan operasi perniagaan secara dalam talian sementara satu premis lagi menjalankan perniagaan di premis. "Dalam serbuan tersebut, semua barangan berada dalam stor premis. Kesemua 821 unit kasut, 3,120 unit stokin, 46 unit tali pinggang, 6 unit dompet, 6 helai baju, 5 unit selipar dan 1 unit beg tangan wanita yang berjenama Nike, Adidas, Puma, Gucci, Louis Vuitton dan Levis telah disita. "Setakat tiga operasi untuk tahun ini di bawah Akta Cap Dagang 2019, ini merupakan rampasan terbesar yang diperolehi," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Stor Eksibit Chendering, hari ini. Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019 dan jika sabit kesalahan, denda maksimum 10 ribu ringgit boleh dikenakan terhadap kesemua suspek bagi setiap barangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
15 Jul 20
643
Ajal Ketika Mencandat Sotong
Ajal Ketika Mencandat Sotong
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Seorang nelayan orang kelainan upaya (oku) di Pantai Batu Buruk di sini ditemui meninggal dunia di atas bot miliknya selepas dipercayai keluar mencandat sotong kelmarin. Mayat Ahmad Saufie Mohamed, 34 tahun, ditemui adiknya kira-kira jam 5.10 petang semalam sekitar jarak lima batu nautika dari kawasan darat. Rakan mangsa, Mohd Sahid Said berkata, sekitar pukul 6 petang pada Ahad, dia bersama mangsa serta seorang lagi rakan menaiki bot berasingan untuk mencandat sotong dan berlabuh berdekatan antara satu sama lain. “Kemudian sebelum bergerak untuk pulang, kami menghampiri bot Ahmad Saufie dan cuba mengejutkan mangsa yang kami sangka sedang tidur, namun tiada respon balas. “Semalam, dalam pukul 1 pagi, terjadi hujan lebat dan angin kencang. Lebih kurang pukul 4 pagi, lampu generator candat sotong mati. Kemudiannya, dalam 10 minit selepas itu, ia hidup balik. “Dua kali perkara itu berlaku dan kami pergi untuk kejutkan dia, tak bangun, kami pun tinggalkan dia kerana menyangka dia tidur seperti biasa macam sebelum-sebelum ini,” kata Mohd Sahid. Kata Mohd Sahid lagi, kebiasaannya selesai mencandat mereka akan berjumpa di pengkalan selepas waktu Subuh, namun sehingga petang semalam mangsa masih tidak pulang. Sementara itu, pagi semalam, adik mangsa yang turut keluar menangkap ikan sekitar jam 11 pagi mengesan bot abangnya sedang berlabuh namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka abangnya sedang tidur. Walau bagaimanapun, sekitar jam 5 petang, adik mangsa mendapat panggilan telefon daripada ahli keluarga memaklumkan Ahmad Saufie masih belum pulang, dia bergegas kembali ke bot milik abangnya dan mendapati mangsa telah meninggal dunia. Kejadian tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Astro Awani. “Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambah Abdul Rahim.  
15 Jul 20
360
Pertukaran 'Speaker' : Takiyuddin Jawab Telahan Pembangkang
Pertukaran 'Speaker' : Takiyuddin Jawab Telahan Pembangkang
Oleh : Muhammad A. Rahman KUALA LUMPUR,  13 Julai – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan menjawab semua tuduhan ahli parlimen pembangkang berkaitan usul pemilihan 'speaker' dengan tersusun dan berfakta. Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengemukakan tiga aspek penting iaitu usul tersebut adalah berdasarkan perlembagaan dan peraturan mesyuarat, mengikut lunas perundangan dan peraturan mesyuarat serta ia telah diterima oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff sendiri. “Saya ingin memaklumkan usul ini dibuat berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan dalam Parlimen. “Sebagai contoh, tidak pernah berlaku dalam negara ada Perdana Menteri interim, tetapi ia berlaku dan kita menerimanya. “Jadi jangan hanya melihat Peraturan Mesyuarat kerana Peraturan Mesyuarat dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya ketika menggulung usul berkenaan. Terdahulu, usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan yang dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi hangat apabila pihak pembangkang membantah pertukaran tersebut. Ketua pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mempersoalkan tindakan pihak kerajaan yang dilihat berat sebelah dengan usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-9. Keputusan undi belah bahagian namun berpihak kepada kerajaan apabila memperoleh 111 undi berbanding 109 dari pihak pembangkang  
15 Jul 20
168
Usul Pertukaran Speaker Fokus Dewan Rakyat Hari Ini
Usul Pertukaran Speaker Fokus Dewan Rakyat Hari Ini
KUALA LUMPUR, 13 Julai - Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai hari ini bakal tertumpu kepada usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dewan dan timbalannya yang dijangka menghangatkan suasana hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14. Usul itu adalah untuk Yang Dipertua dewan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming mengosongkan jawatan mereka. Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membentangkan usul bagi memilih bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Perdana Menteri turut dijangka mencadangkan enam ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih di bawah Peraturan Mesyuarat 76 untuk tempoh Parlimen Keempat Belas. Menurut laman rasmi Parlimen, keenam-enam mereka yang dicadangkan adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Gombak); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu-Larut); Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson). Persidangan Dewan Rakyat yang kebiasaannya bermula tepat jam 10 pagi akan dimulakan dengan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan disusuli usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja. Persoalan berkaitan kedudukan ekonomi semasa, prestasi pertumbuhan ekonomi negara dan kadar pengangguran masa kini yang akan diajukan oleh Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri adalah antara tumpuan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan. Tidak kurang menariknya soalan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan program yang disediakan oleh Agensi Nuklear Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran teknikal berteraskan sains dan teknologi nuklear kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan) turut dijangka mengemukakan soalan mengenai persediaan dan tindakan kementerian dalam menangani dan mengukuhkan keselamatan siber negara, selain pertanyaan pembabitan Malaysia dalam usaha sama sektor perkhidmatan kesihatan bersama negara lain bagi mengekang COVID-19 yang bakal diajukan oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok). Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 telah diadakan selama sehari pada 18 Mei lalu yang hanya membabitkan titah ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos 2020 berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. Ia termasuk pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. - BERNAMA  
13 Jul 20
111
224 Penduduk Langkap, Permaisuri Selangkah Miliki Tanah Sendiri
224 Penduduk Langkap, Permaisuri Selangkah Miliki Tanah Sendiri
Oleh  : Muhammad A.Rahman SETIU, 12 Julai - Seramai 224 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dan Permaisuri menerima borang Jadual 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) baru-baru ini sebelum mereka layak memiliki tanah tersebut sepenuhnya. Majlis penyampaian tersebut adalah yang kedua selepas 500 penduduk telah menerima borang itu daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, kejayaan penyerahan tanah RTB berkenaan adalah bukti kerajaan negeri komited dalam menunaikan manifesto mereka sewaktu pilihan raya umum (PRU) 14 yang lalu. “Kerajaan negeri kini sedang dalam proses untuk menyelesaikan kesemua RTB-RTB yang ada bagi mengembalikan hak rakyat yang pernah dinafikan dulu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Borang 5A Peringkat Daerah Setiu di Dewan Serbaguna MDS, Sungai Tarom di sini. Menurut beliau lagi, para peserta perlu menjelaskan kadar bayaran premium yang sama seperti yang telah diluluskan pada tahun 1999-2004 dahulu. “Harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan sekarang adalah sama dengan harga semasa diberi tanah tersebut, sekitar RM1,100 dan RM1,200 sahaja. Ini adalah satu harga yang rendah. “Insya-Allah, kini dalam fasa terakhir proses pelepasan RTB-RTB ini kepada pemilik-pemilik oleh pihak kerajaan. “Saya harap penerima-penerima RTB ini dapat menjelaskan pembayaran secepat mungkin agar mereka dapat diberi hak milik sepenuhnya,” ujarnya. Tambah beliau, Setiu merupakan salah satu Parlimen yang mempunyai tanah RTB paling banyak iaitu ada 19 lot pertanian dan 10 lot rumah.
13 Jul 20
257
KPDNHEP Ganding Bahu Laksana Operasi Kawal Harga
KPDNHEP Ganding Bahu Laksana Operasi Kawal Harga
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam melaksanakan operasi mengawal kenaikan harga barang. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kawalan tersebut dikuatkuasakan bagi menjaga kepentingan kepenggunaan rakyat. "Tujuan lawatan ke KPDNHEP ini adalah untuk mengetahui berkenaan isu rungutan harga barang yang tinggi di Terengganu berbanding dengan negeri lain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lawatan kerja ke Pejabat KPDNHEP di sini baru-baru ini. Menurutnya, kementerian tersebut merupakan perantara untuk saluran aduan rakyat. “Saluran untuk dapat taklimat berhubung dengan gerakan kepenggunaan (consumerism) supaya rakyat tahu hak mereka dan tidak mudah ditipu,” jelas Yahaya. Beliau menambah, lawatan tersebut sudah menjadi tradisi badan legislatif dan setakat ini pelbagai jabatan serta agensi kerajaan sudah dilawati bagi mendapatkan maklumat secara langsung (first hand) tentang isu-isu dibangkit dan disuarakan oleh rakyat. Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, beliau turut menerangkan fungsi dan peranan KPDNHEP dalam menguatkuasakan undang-undang dan melindungi kepentingan pengguna serta mewujudkan peniaga yang beretika. “Saya amat berbesar hati menerima lawatan kerja ini dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambah beliau.    
13 Jul 20
54
Terengganu Optimis Capai 4.5 Juta Pelancong Hingga Akhir Tahun 2020
Terengganu Optimis Capai 4.5 Juta Pelancong Hingga Akhir Tahun 2020
MARANG, 11 Julai - Sektor pelancongan di Terengganu dijangkakan menerima 4.5 juta pelancong berbanding sasaran terdahulu sebanyak 5.4 juta sehingga Disember ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ia bagi baki enam bulan terakhir tahun ini selepas sektor pelancongan dibuka semula, selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). "Kita sebenarnya letak sasaran 5.4 juta tapi oleh kerana berlakunya kes Covid-19, kita ubah kepada 3.8 juta tetapi oleh kerana kehadiran yang ramai ini kita jangka 4.5 juta orang pelancong akan masuk ke Terengganu. "Kita tiada angka tepat lagi untuk jumlah pelancong ketika ini cuma semua tempat pelancongan disini boleh dikatakan penuh dengan anggaran 80 hingga 90 peratus pelancong yang datang ke Terengganu terutama pada waktu puncak. "Pada hari biasa pun sudah melebihi 50 hingga 60 peratus, maksudnya hari biasa pun mereka mencuri masa, sebab terlalu ramai orang waktu cuti ataupun hujung minggu," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media sempena perlepasan Program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di jeti Marang, hari ini. Dalam perkembangan berkaitan, Ariffin turut menjelaskan tentang isu kesesakan pelancong di Pulau Perhentian dan tindakan yang perlu diambil oleh pihaknya bagi menangani masalah ini. "Tiga minggu yang lalu kita telah melancarkan buku Prosedur Operasi Standard (SOP) khas yang dibuat oleh Jabatan Pelancongan dan diedarkan ke setiap pemain yang terlibat di pulau-pulau dan juga tempat lain untuk memastikan mereka menjaga SOP yang diarahkan. "Cuma apabila berlaku kesesakan, pihak penguasa pejabat daerah dan juga majlis-majlis daerah dan pihak yang berkenaan diarahkan supaya melihat serta menyemak kembali SOP dan mewajibkan mereka mengikutinya. "Kerana sekiranya berlaku atau timbul satu sahaja kes, ia akan mendatangkan kesan yang sangat negatif kepada pelancongan negeri,"ujar beliau.  
13 Jul 20
108
Maghi Candat Sotong Kini Bermula Dengan Norma Baharu
Maghi Candat Sotong Kini Bermula Dengan Norma Baharu
MARANG, 11 Julai -  Penganjuran Program Maghi Candat Sotong oleh kerajaan negeri menjadi program pelancongan pertama di Terengganu selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata program yang melalui Jabatan Pelancongan negeri itu sepatutnya berlangsung pada April lalu namun terpaksa ditangguhkan susulan wabak pandemik Covid-19. "Program ini mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri  dan dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik. "Ia sekaligus memberi rangsangan terhadap pengiat-pengiat industri pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot nelayan,  pengusaha hotel dan resort, peniaga kecil dan ramai lagi yang menerima manfaat daripada aktiviti berkenaan,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan program tersebut di jeti Marang di sini hari ini. Tambah Ariffin, program Maghi Candat Sotong berjaya menarik 160 penyertaan  terdiri daripada wakil-wakil daripada setiap daerah serta rakan-rakan media daripada pelbagai agensi termasuk pengaruh media sosial. Dalam pada itu beliau juga berkata, pihaknya mengenakan SOP yang ketat dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 menghadkan penumpang bot iaitu seramai paling kurang 10 orang bergantung kepada saiz bot. "Walaupun kita kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ia bukan bermakna kita sudah bebas dari wabak berkenaan dan orang ramai termasuk pengusaha dan penumpang bot perlu mematuhi SOP berkenaan," katanya.  
13 Jul 20
389
Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!
Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Individu yang mempunyai niat untuk melakukan maksiat di bumi Terengganu termasuk di sekitar jambatan angkat di sini disaran supaya membatalkan hasrat tersebut. Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR), Nasaruddin Samsudeng menegaskan, pihaknya akan sentiasa mengadakan operasi pencegahan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral terus berleluasa. Katanya, dalam operasi di Drawbridge semalam, 15 pasangan telah diberikan amaran keras manakala satu pasangan ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu. "Pasangan yang dibawa ke Pejabat Agama Kuala Terengganu itu akan disiasat untuk kesalahan di bawah seksyen 36, Mewatie, enakmen kesalahan jenayah syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. "Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi berkenaan. Menurut beliau, pemantauan itu tertumpu di beberapa lokasi mencurigakan, kawasan gelap dan mereka yang berdua-duaan di dalam kereta atau sebagainya. "Skuad Amar juga akan membuat cegahan secara berterusan, malah bunting-bunting penerangan tentang kesalahan jenayah syariah serta perbuatan tidak sopan di tempat awam turut digantung di setiap lokasi tertentu," ujarnya. Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau anak-anak terutamanya anak perempuan lebih-lebih lagi pada waktu malam "Jangan sampai mereka terikut-ikut dengan hawa nafsu, dan terjerumus dalam pemikiran yang menyebabkan mereka terlanjur atau mendekatkan diri ke arah pengzinaan," jelasnya. Operasi yang bermula 8.00 malam itu mendapat kerjasama penuh daripada Pegawai Penguatkuasa Syariah serta Sukarelawan Amar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan penglibatan seramai hampir 60 orang. Terdahulu, pada 8 Julai, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu memaklumkan penubuhan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat bagi mengelakkan kejadian tidak bermoral berlaku
13 Jul 20
918
Rakyat Terengganu Berpeluang Jadi Usahawan Coklat
Rakyat Terengganu Berpeluang Jadi Usahawan Coklat
KUALA NERUS, 10 Julai - Rakyat Terengganu berpeluang membina kerjaya sebagai usahawan pembuatan coklat melalui kursus yang ditawarkan Lembaga Koko Malaysia (LKM). Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan, peluang tersebut dapat membantu masyarakat terutama yang menerima kesan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19. "Dikala banyak sektor membuang pekerja, sektor perusahaan, perladangan dan komoditi pula menyediakan peluang kerjaya. Sebagai contoh, kita kini memerlukan 30,000 tenaga kerja dalam bidang penuaian sawit. "Dalam industri pembuatan coklat pula, kita bersedia membantu seramai mungkin untuk menjadi usahawan coklat sebagai peluang berkerjaya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan anjuran LKM di Duyong Marina & Resort, hari ini. Jelasnya, pihak kementerian berusaha memperkasa industri hiliran koko dengan melahirkan lebih ramai usahawan coklat buatan tangan. Industri koko negara telah menyumbang sebanyak RM6.6 bilion kepada pendapatan eksport negara bagi tahun 2019. "Sememangnya sasaran kita adalah golongan B40 untuk mereka berdikari tanpa mengharapkan bantuan semata-mata. "Potensi pendapatan tahap pertama dalam bidang ini sahaja boleh mencapai sekitar RM2,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya. Menurutnya, melalui peruntukan RM3 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), seramai 224 usahawan telah dibimbing LKM dengan perolehan pendapatan memuaskan. "Bagi Terengganu, ini yang pertama melibatkan 28 peserta dan kita sedang menunggu ahli-ahli parlimen kita memberi senarai calon-calon dari kawasan mereka untuk menyertai kursus ini pada masa akan datang. "Peruntukan kita adalah sebanyak RM3 juta untuk tahun ini dan kita harap ada lagi untuk tahun hadapan," katanya. Sektor pembuatan coklat mencatat peningkatan 17.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport koko dan produk-produknya pada tahun 2019.
13 Jul 20
298