Artikel "Utama" Terkini
KPPK Cadang Bina 20 Rumah IBS Kenaf Di 222 Parlimen
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengemukakan cadangan bagi membina 20 unit rumah menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf di seluruh 222 kawasan Parlimen.
Menterinya, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia dijangka membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM222 juta melalui peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi pembinaan 4,440 unit kediaman dengan kos sekitar RM50,000 untuk sebuah rumah.
Katanya, untuk peringkat permulaan sebanyak tiga unit rumah IBS kenaf bakal dibangunkan di kawasan Parlimennya sebagai sampel pelaksanaan projek berkenaan.
“Perkara ini masih di peringkat cadangan dan saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu dan jika dipersetujui, pembangunannya akan menggunakan peruntukan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
“Secara tidak langsung usaha ini dapat mengembangkan lagi penggunaan IBS kenaf dalam negara kerana teknologi ini terbukti sangat baik, sistematik, lebih tahan lasak, menjimatkan masa dan kos di samping mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Kursus Pengenalan Keusahawanan IBF Kenaf Terengganu di Hotel Paya Bunga (PB) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd. Salleh.
Mohd. Khairuddin berkata, pembinaan rumah IBS kenaf sebelum ini dirintis di Muar, Johor dan Melaka di samping projek terbaharu membabitkan penglibatan pihak swasta di Hulu Langat, Selangor.
Tambahnya, industri kenaf mempunyai potensi besar dan berdaya saing untuk dibangunkan termasuk pembinaan.
“Sehingga 31 Julai 2020, seluas 285.2 hektar kawasan di Terengganu telah dibangunkan dengan tanaman kenaf melibatkan 178 penanam.
“Tahun ini kita menyasarkan sebanyak 2,000 hektar kawasan penanaman kenaf baharu dan sedang bergerak ke arah itu termasuk mencari tapak bersesuaian bagi meluaskan tanaman kenaf termasuk di Terengganu dan Pahang,” katanya.
12 Sep 20
889
Lahirkan Lebih Ramai Usahawan Wanita Luar Bandar - Henry
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar di kalangan wanita luar bandar.
Timbalan Menteri ii KPLB, Dato' Henry Sum Agong berkata, selaras dengan usaha tersebut, pihaknya menyediakan pelbagai program latihan kemahiran dan pembangunan usahawan wanita luar bandar melalui agensi-agensi berkaitan.
Katanya, sehingga hari ini, hampir 80 peratus daripada 3,100 usahawan wanita luar bandar telah pun berjaya melalui Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA).
"Menjadi hasrat KPLB, seminar ini dapat memberi pendedahan serta latihan dalam aspek kepimpinan di peringkat komuniti bagi membantu melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.
"Seminar ini adalah antara program yang diberi tumpuan di bawah Teras 6-Wanita berdasarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan pada tahun 2019.
"Teras Wanita ini bertujuan melahirkan wanita luar bandar yang progresif dalam semua aspek kehidupan merangkumi ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan kepimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar di Hotel Primula, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun, Pengarah Institut Kemajuan Desa ( INFRA), Noraina Masduki.
Tambah Henry lagi, sasaran peserta bagi tahun 2020 adalah seramai 700 berbanding 3,100 pada tahun lepas kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) yang diteruskan sehingga 31 Disember ini.
Sehingga kini, terdapat 38,486 usahawan di Malaysia dengan 18,597 daripadanya adalah usahawan wanita manakala di Terengganu, terdapat 2,209 usahawan.
12 Sep 20
824
Kerajaan Terengganu Tidak Lokek Bantu Rakyat
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan negeri tidak pernah lokek untuk membantu rakyat agar kehidupan mereka lebih baik daripada sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, ia diterjemahkan melalui penyaluran peruntukan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu rakyat di DUN masing-masing.
"Saya di DUN Ladang ini suka membantu sebenarnya, suka membantu apa yang perlu dibantu...tandas ke, tandas lah kena bantu.
"Walaupun Ladang ini dekat dengan bandar. Kemiskinan bandar ini lebih teruk daripada kemiskinan di kampung.
"Apa dia nak, kita tidak soal banyak, dia nak hidup, ambillah. Bukan duit saya pun, duit kerajaan. Kita beri, mudahkan begitu. Minta harini, esok dapat. Maknanya, kita (kerajaan) rasa seronok boleh bantu orang seperti ini dan rasa bersalah kalau tidak bantu mereka," ujarnya.
Tengku Hassan menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Aku Janji dan Dialog Prestasi Kecemerlangan Para Pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini.
Sementara itu ketika ditemui wakil media selepas majlis tersebut, beliau turut menekankan bahawa kerjasama yang erat antara tiga entiti iaitu pelajar, pendidik dan ibubapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru mampu mencipta kecemerlangan sesebuah sekolah.
"Pelajar kena 'smart' belajar dengan bimbingan guru yang 'smart' mengajar dan PIBG membantu di belakang," jelasnya.
12 Sep 20
1974
Aid4Lebanon Hulur Lebih RM800,000 Bantu Lubnan
MARANG, 12 September - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah lebih RM800 ribu kepada rakyat Lubnan yang terkesan dalam tragedi letupan di Pelabuhan Beirut, Ogos lalu.
Setiausaha NGO Aid4labenon yang juga pengerusi Warga Cakna, Suhazeli Abdullah, sumbangan itu akan diselaras dan disampaikan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada warga Lubnan.
"Alhamdulillah, kita telah bergabung dengan 41 buah NGO yang sama-sama mencari dana atas kapasiti masing-masing. Kita telah menyampaikan bantuan pada fasa yang pertama iaitu pada 10 ogos yang lalu sebanyak RM200,000.
"Insya-Allah bakinya RM600,000 akan disampaikan dalam masa yang terdekat ini melalui kaedah-kaedah yang telah kita ketahui.
"Sumbangan ini kita akan segerakan dalam masa yang terdekat yang akan sampaikan kepada pihak mangsa di sana melalui penyelarasan yang akan dibuat oleh duta khas timur tengah," ujarnya.
Suhazeli.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan 'Mock Cheque' kepada Abdul Hadi di Rusila semalam.
Suhazeli yang juga Pakar Perubatan Keluarga berkata, dana itu telah digerakkan sejak daripada 7 Ogos yang lalu.
"Saya berharap pada semua orang di luar sana, mana-mana individu atau NGO yang turut ingin menyumbang bolehlah berhubung dengan sekretariat aid4labenon ini," katanya.
"Sebarang maklumat boleh lihat di laman website dan juga facebook aid4labenon dan juga di facebook NGO masing-masing contohnya NGO warga cakna di www.wargacakna.org, di situ ada maklumat untuk dibaca dan disebarkan oleh penderma semua," tambahnya.
11 Sep 20
228
21 Peserta RTB Pertanian Terima ‘Borang 5A’
HULU TERENGGANU 12 September - 21 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kampung Lerek menerima notis borang 5A, setelah setelah hampir lima tahun memohon tanah berkenaan.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, pihaknya amat komited untuk membantu rakyat dalam menyelesaikan permohonan tanah di kawasan DUN ini.
"Alhamdulillah, ini adalah usaha yang kita laksanakan dan terus berterusan.
“Kita akan terus sedaya upaya membatu rakyat untuk memiliki tanah seperti yang dijanjikan dalam manifesto sebelum Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) seusai Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB Kampung Lerek dan Pengundian Lot RTB Kampung Dusun, di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh, baru-baru ini.
Turut berlangsung dalam majlis yang sama ialah pengundian lot tanah 35 peserta RTB Kampung Dusun.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr Mamad Puteh.
Tambah Safari lagi, kerajaan telah berjaya menyelesaikan masalah tanah diantaranya RTB Felcra Seberang Kuala Jeneris 1 yang telah tertangguh selama hampir 40 tahun serta RTB Felcra Banggol Gajah Mati fasa 2,3 dan 4 dan Felcra Kampung Tapah.
“Terdapat beberapa RTB pertanian dan RTB tapak rumah sedang dalam proses permohonan.
"Dalam masa terdekat ini kita akan adakan majlis pengundian RTB pertanian Macang Gerahim dan RTM tapak rumah Bukit Jelutong 2 di Mukim Hulu Telemong,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu, Kamaruddin Yaakub dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat.
11 Sep 20
565
'Kami Dihukum Kesilapan Kecil'
KUALA TERENGGANU, 11 September-Demikian kata jurulatih Terengganu Football Club (Terengganu FC) setelah tewas 0-1 kepada pendahulu CIMB Liga Super Malaysia 2020 itu, Johor Darul Ta'zim (JDT), sebentar tadi.
Jelasnya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.
Nafuzi.
"Selepas gol pertama itu, pemain-pemain saya beraksi lebih baik dan pada separuh masa kedua, kami menguasai perlawanan dan penguasaan bola.
Bermain dengan JDT, kita semua tahu bagaimana pasukan mereka, dengan pemain-pemain yang saya ada mungkin kami bermain lebih baik daripada JDT dan saya harus berbangga dengan persembahan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Nafuzi juga tidak menyalahkan sesiapa berikutan kesilapan itu.
"Mungkin di awal perlawanan, pemain terlalu memandang tinggi lawan, kurang keyakinan dan menyebabkan kita dihukum kesilapan sendiri," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, kesilapan pertahanan, Argzim Redzovic yang menghantar bola ke belakang melepasi jangkauan penjaga gol, Sharmiza Yusoff membawa padah kepada tuan rumah.
Penyerang JDT, Syafawi Rasid berjaya memanfaatkan kecuaian tersebut dengan menolak mudah bola ke gol yang terbuka, meletakkan pasukannya di depan seawal minit kelima perlawanan.
Terengganu FC cuba bangkit tetapi pelawat mengekalkan penguasaan bola sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Terengganu FC semakin kerap melakukan serangan dan menguasai bola.
Tuan rumah hampir memperoleh penalti pada minit ke-51 apabila Mauricio Dos Santos melakukan terjahan keras terhadap Dominique Da Sylva, tetapi pengadil meneruskan perlawanan.
Perlawanan berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan diselangi beberapa kekasaran.
Namun, gol tunggal perlawanan hasil kesilapan pasukan mengekang Sang Penyu mengekalkan kedudukan.
Terengganu FC jatuh ke kedudukan keempat CIMB Liga Super Malaysia 2020 dengan sepuluh mata
11 Sep 20
907
PKM Rhu Rendang Serah Bantuan Kerusi Roda Dan Ziarah Remaja Kemalangan
MARANG, 11 September - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah menyerahkan bantuan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan dua penduduk uzur di Kampung Rusila dan Rhu Renggeh.
Seorang remaja sekolah di Kampung Gong Nangka yang terlibat kemalangan baru-baru ini juga turut diziarahi sebagai tanda cakna kepada golongan yang tidak bernasib baik.
Menziarahi remaja sekolah yang terlibat dalam kemalangan
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, bantuan kerusi roda ini memang penting bagi golongan memerlukan lebih-lebih lagi yang uzur dan sakit untuk memudahkan pergerakan serta menguruskan diri.
“Menziarahi mereka yang tidak bernasib baik juga adalah sebagai tanda kerajaan kini mengambil berat dan ambil tahu tanpa mengira latar belakang.
"Aktiviti ziarah dan agihan bantuan telah menjadi rutin bagi PKM bagi melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dan orang awam,"katanya
Turut hadir adalah Ketua Pemuda Pas Dun Rhu Rendang, Ziyad Zakaria, Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Gong Nangka, Rusila dan Rhu Renggeh.
Serahan kerusi roda kepada wakil pesakit
Menurutnya lagi, bantuan yang diagihkan adalah berdasarkan keperluan dan keutamaan yang diteliti daripada maklumat yang diterima sama ada daripada MPKK dan PKM.
“Semua penduduk di Rhu Rendang layak menerima bantuan, dan PKM akan berusaha untuk mengagihkan bantuan dengan sebaiknya.
“Bantuan yang diagihkan juga tidak hanya datang daripada PKM, tetapi juga daripada agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tabung Darul Iman, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) serta lain-lain,” tambahnya lagi.
Selain daripada serahan kerusi roda, sedikit sumbangan berupa barang keperluan asas dan kewangan turut diberikan.
11 Sep 20
505
ECRL: Stesen Kereta Api Durian Guling Bakal Dibina
HULU TERENGGANU, 11 September - Stesen kereta api East Cost Rail Link (ECRL) di Durian Guling, Marang adalah cadangan terbaharu yang dipersetujui untuk dibina dan akan dinamakan sebagai stesen Kuala Terengganu setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata stesen kereta api ECRL dicadang untuk dibina di Durian Guling kerana beberapa faktor.
"Perancangan kita meletakkan stesen kereta api di Durian Guling ini kerana kita mahu dalam beberapa tahun akan datang, berlakunya lonjatan pembangunan yang besar dan akan mempengaruhi daerah di sekitarnya.
"Durian Guling ini terletak di tengah-tengah antara Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, kawasan yang adanya kereta api kebiasaannya akan mengalami pembangunan yang pesat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Ceramah Perdana Sidang Parlimen & DUN di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang malam tadi.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, jarak antara daerah Hulu Terengganu ke Durian Guling dan jarak daerah Kuala Terengganu ke Durian guling adalah hampir sama.
"Jarak Durian Guling ke Kuala Terengganu ialah 14 kilometer (KM), Durian Guling ke Kuala Berang pula 16 hingga 17 KM, manakala ke Marang lebih kurang 15 KM, dan jaraknya hampir sama," ujarnya.
Turut hadir dalam program Ceramah Perdana malam tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, dan Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid.
11 Sep 20
11397
Kampung Langgar Juarai Pertandingan Program Bubur Asyura Kuala Berang
Hulu Terengganu, 11 September - Kampung Langgar muncul johan dalam pertandingan Program Bubur Asyura anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang setelah berjaya mengetepikan pesaing kampung lain dalam DUN Kuala Berang yang bertanding.
ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata dua perkara utama telah dibuktikan oleh Kampung Langgar untuk muncul johan pertandingan ini.
"Antara faktor kemenangan Kampung Langgar adalah kerjasama berpasukan yang baik dalam mengendalikan pasukan untuk memenangi pertandingan yang julung kalinya diadakan di Kuala Berang setelah setengah penggal pemerintahan kerajaan yang baru ini.
"Resipi bubur asyura juga merupakan faktor utama kepada kemenangan ini dan kampung lain pun tidak kurang hebat untuk menghasilkan bubur asyura yang terbaik, sangat sukar untuk memilih yang paling sedap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan hadiah dan saguhati kepada wakil kampung yang menyertai Program Bubur Asyura ini di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang.
Menurut Dr Mamad, beliau sangat gembira dengan penyertaan kampung yang terlibat dalam program ini dan bubur asyura ini telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang setelah selesai program.
"Saya gembira kerana program ini mendapat sambutan meriah dari kampung-kampung yang terlibat menjayakan program ini. Ini satu perkembangan yang baik buat warga Kuala berang kerana mereka menyertai program ini sebenarnya bukan sekadar mahu menang, tapi lebih kepada untuk mengeratkan ukhuwah.
"InsyaAllah tahun depan kita akan buat lagi dengan lebih meriah dan saya berharap lebih banyak lagi penyertaan dari kampung-kampung yang lain," tambahnya.
Sebanyak sebelas kawah bubur asyura berjaya dibuat dan telah diagihkan sendiri oleh Dr Mamad kepada penduduk Kuala Berang yang melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang.
11 Sep 20
1874
Madrasah Khairul Insan Gigih Pulihkan Penagih Dadah
HULU TERENGGANU, 11 September - Tanpa pagar, kawalan keselamatan yang ketat serta kerahan atau arahan tegas serta keras, ramai berpendapat tentunya agak mustahil untuk membimbing serta merawat penagih dadah terutama yang kronik apatah lagi pernah menghuni tirai besi beberapa kali.
Namun, bagi Madrasah Khairul Insan yang sudah membantu ratusan penagih dadah kembali ke masyarakat dan menjadi insan lebih baik, kaedah yang keras serta paksaan bukanlah jawapan bagi menyelesaikan masalah itu.
Mengimbau kembali penubuhan Madrasah yang berkeluasan 6 ekar ini, Zainal Abidin Saidin berkata, dengan keinginan membantu masyarakat terutama remaja Melayu, Allahyarham Ustaz Zulkifli Ismail menubuhkan Madrasah ini pada 1997.
Sementara itu, penghuninya terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya berjaya merawat ribuan penagih yang datang secara sukarela dan dihantar oleh pihak keluarga bagi melepaskan diri daripada cengkaman dadah.
Beliau berkata disini rutin harian penghuni disini mewajibkan solat lima waktu berjemaah,bertalaqi dan diajar dengan ilmu agama seperti membetulkan solat, amalan zikir dan puasa bagi mendekatkan diri dengan Tuhan.
"Selepas solat subuh mereka yang sudah dibahagi tugasan untuk memasak, bertani, kebersihan kawasan madrasah dan mengangkut air sungai Jenagor untuk kegunaan harian," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media UPDI selepas melawat Madrasah di sini, hari ini.
Tambah Zainal Abidin, mereka yang masuk ke situ, ada yang datang dari Terengganu, Kedah, Selangor dan Pahang terdiri daripada remaja, dewasa dan yang sudah berumur.
"Disini tiada dikenakan bayaran khusus dikenakan untuk menghuni, sumber kewangan operasi madrasah ini mendapat sokongan dari pihak MAIDAM dan Infaq dari orang perseorangan dan keluarga penghuni itu sendiri.
"Sekarang ini pihak Madrasah sedang membina pusat pengajian Al Quran untuk penghuni dan anak anak orang kampung yang ingin belajar Al Quran.
"Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang kerjasama mahupun bantuan yang ingin dihulur individu, syarikat atau badan berkaitan di negara ini bagi kelangsungan Madrasah itu dan membantu anak bangsa belajar Al Quran selain untuk memulihkan diri dari penagihan Dadah," ujarnya.
Sementara itu Pengerusi JKPD Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim, berkata pihaknya menyanjung tinggi usaha pihak persendirian mendirikan pusat pemulihan dadah seperti Madrasah Khairul Insan ini kerana ia perlu bagi mengembalikan semula bekas penagih kepada kehidupan biasa.
"Selain kegigihan penghuni disini yang gigih untuk membina tempat pengajian Al Quran untuk kegunaan mereka dan anak anak penduduk sekitar.
"Kita juga akan memberikan komitmen untuk bersama walaupun dengan kekangan kewangan,tetapi kita akan membantu dan memberikan kerjasama," katanya.
11 Sep 20
5377