Artikel "Utama" Terkini
Pasar Terapung Drawbridge Adaptasi Konsep Pulau Suri
KUALA NERUS, 22 September - Pasar terapung yang bakal diwujudkan berhampiran Drawbridge akan menjadikan 'floating market' di Pulau Suri, Kelantan sebagai antara rujukan utama.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan ke pasar itu baru-baru ini bagi melihat bagaimana ia beroperasi dan apa daya tarikan yang ada.
“Pihak Pejabat Daerah kini sedang giat merancang projek pasar terapung di Seberang Takir sebagai produk pelancongan terbaharu Terengganu.
"Di samping pasar tersebut juga mampu membantu penduduk setempat menjana pendapatan lumayan hasil daripada jualan insya-Allah.
"Konsep jualan yang dibuat seakan-akan pasar terapung di negara jiran menghimpunkan pelbagai jualan, khususnya hanya terdapat di sekitar perkampungan termasuk lokan bakar, nasi kerabu dan aneka kuih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat Pusat Khidmat DUN Seberang Takir di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah menghargai usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pasar.
Katanya, ia bukan sahaja mampu memajukan negeri tetapi turut memberi kesan besar kepada peniaga-peniaga.
"Insya-Allah persiapan telah dirancang dan dijangka bermula awal tahun hadapan," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengasas Pasar Terapung Pulau Suri yang dikenali sebagai Pak Lan berkata, dia bersama dua lagi rakannya membelanjakan RM30,000 untuk membuka pasar terapung itu.
"Bermula dengan 10 buat bot sahaja dan sehingga kini bertambah ke 38 buah bot.
"Selama ini peniaga di sini tidak dapat memasarkan produk mereka ke luar tetapi hari ini mereka boleh tersenyum kerana pendapatan sehari boleh mencecah RM2,000 ke RM3,000," ujarnya ketika ditemui pemberita semasa lawatan di Pasar Terapung Pulau Suri.
22 Sep 20
6517
Petani Kerugian Hampir RM40,000 Akibat Ribut
DUNGUN, 23 September - Seorang petani terpaksa berputih mata apabila kebun tanaman miliknya musnah dalam satu kejadian ribut baru-baru ini sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM40,000.
Petani tersebut, Wan Abd Rahim Wan Jalil berkata, kejadian itu berlaku dalam masa yang sangat pantas dan dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan tanamannya di Kampung Tebing Tembah, Paka.
"Saya tidak sangka ribut yang datang baru-baru ini lebih kuat daripada biasa.
"Kerugian yang terpaksa saya tanggung dianggarkan bernilai hampir RM40,000," katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya baru-baru ini.
Walau bagaimanapun katanya, dia redha dengan ujian yang berlaku dan menganggap ia sebagai pemangkin untuknya terus bergerak ke hadapan.
"Saya sangat sedih namun saya anggap ini ujian daripada Allah dan saya terimanya dengan redha," ujarnya yang berasal dari Kampung Kubang Miang.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Wan Hapandi dalam satu lawatan baru-baru ini telah memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan kerugian ditanggung Abd Rahim.
“Insya-Allah sedikit sumbangan turut dihulur bagi meringankan beban beliau. Diharap beliau terus kuat untuk mengusahakan tanaman ini," tambah beliau.
22 Sep 20
251
Pelancongan Luar Bandar Bakal Dirancakkan Lagi
DUNGUN, 23 September - Kerajaan negeri bersedia melihat pembangunan dan potensi kawasan-kawasan rekreasi yang terdapat di semua daerah bagi merancakkan eko-pelancongan dan ekonomi penduduk kampung tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan memastikan potensi ini mampu membawa manfaat kepada masyarakat kerana kawasan-kawasan tersebut mampu hasilkan pelbagai nilai pelancongan melibatkan sejarah, produk baharu dan ekosistem sungai.
Jelas beliau, pihaknya kini bergerak ke arah community based tourism (CBT), bagi pengurusan yang lebih strategik kawasan-kawasan rekreasi inu.
"Kita ingin memastikan kesemua pusat pelancongan khususnya di kampung-kampung yang strategik di seluruh negeri dikawal oleh pejabat daerah, pejabat hutan, ataupun bawah Lembaga Tabung Kerajaan negeri.
"Akan tetapi asas komuniti yang paling utama sekali ialah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) mesti terlibat
supaya tidak menjadi satu konflik pada masa akan datang.
"Kalau dulu satu tempat tu tidak mendapat sambutan, tiada yang kisah tentang pengurusannya tetapi bila mendapat sambutan macam ini, ramai yang berminat termasuk agensi luar yang boleh menyebabkan orang tempatan berputih mata dari segi ekonomi mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke kawasan rekreasi Hulu Dungun, di sini hari ini.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri sedang melihat kesemua pusat-pusat rekreasi ini yang menjadi tumpuan pelancong khususnya selepas Covid19 yang semakin reda khususnya di Terengganu.
"Isu ini timbul apabila pelancong semakin berminat sebenarnya untuk datang ke pusat rekreasi luar bandar menyebabkan kalau ada tandas, tandas kena cukup termasuk surau dan banyak lagi perubahan yang perlu dibuat sesuai dengan norma baharu," ujarnya.
22 Sep 20
1240
Masyarakat Dunia Mahukan Keadilan Sosial Dan Keamanan - PM
KUALA LUMPUR, 23 September - Kesihatan Sejagat, Keamanan dan Keadilan Sosial antara tuntuan masyarakat dunia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam tinjauan UN75 yang telah dibuat oleh pertubuhan antarabangsa tersebut.
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berkata demikian dalam pra-rakaman ucapan beliau yang telah disiarkan dalam Persidangan PBB di New York, Amerika Syarikat semalam.
"Dapatan daripada tinjauan UN75, mereka mahukan pelindungan alam sekitar, hak asasi manusia dan pengurangan konflik (antara negara) daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Bukanlah komuniti antarabangsa tidak mengendahkan isu-isu ini, (namun) dalam beberapa tahun ke belakang ini, ada diantara negara-negara dunia telah mengabaikan perjanjian ini," ujar beliau.
Ali Parlimen Pagoh itu juga meminta agar pertubuhan antarabangsa tersebut membuat satu 'post mortem' terhadap segala perancangan yang telah dijalankan selama 75 tahun pertubuhan itu berdiri.
"Kita perlu jujur dan sedar bahawa PBB 'gagal' dalam menyelamatkan generasi terkemudian dalam menghadapi malapetaka disebabkan perperangan yang berlaku," katanya.
Dalam ucapan penutup beliau, Tan Sri Muhyiddin menyampaikan hasrat dan impian rakyat Malaysia kepada semua delegasi PBB.
"Sudah tiba masanya untuk PBB membuat taksiran terhadap kejayaannya; membaiki kelemahannya serta membuang halangan-halangan yang telah mencegah dari pertubuhan ini bergerak kehadapan," tambahnya lagi.
Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini akan berlangsung selama lima hari bermula 22 September hingga 26 September 2020.
22 Sep 20
158
Pemimpin Keluarga Perlu Bijak Urus Kewangan
SETIU, 22 September – Setiap pemimpin keluarga disaran agar membuat keputusan yang bijak dalam menguruskan kewangan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkiraan itu termasuk dengan memberi keutamaan kepada keperluan yang lebih penting berbanding perkara lain.
"Sebanyak manapun sumber pendapatan, duit yang kita ada tetap mempunyai had yang mana kita perlu meletakkan di manakah keutamaannya.
"Dengan jumlah pendapatan yang ada, kita perlu bijak mengatur antara keperluan mendesak, keperluan biasa dan keperluan pelengkap.
"Dalam menyusun perbelanjaan, kita perlu tahu tahap-tahapnya. Jangan kita pasang ‘spoiler’ kereta tetapi selipar isteri yang putus disuruh ikat dengan dawai. Ini tak kena sebab kita tak tengok daripada segi keperluan dan keutamaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ibu Bapa Cemerlang Taska Permata di Dewan Teater Kolej Bestari, Permaisuri di sini hari ini.
Menurutnya, ibu bapa yang dapat menyusun perbelanjaan dan keperluan anak-anak dengan baik adalah pemimpin keluarga cemerlang.
"Sekarang ini, bila kita dibekalkan dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan nasihat daripada pakar-pakar sepatutnya ia memberi nilai tambah kepada kebijaksanaan semula jadi yang telah dikurniakan oleh Allah.
"Sama juga dengan jabatan, sebagai wakil rakyat perlu bijak mengatur untuk semua bagi rasa biarpun sikit. Begitu juga dengan kerajaan, bagaimana untuk membuat agihan kewangan yang dirancang supaya dengan jumlah yang kita ada memberikan manfaat.
"Apabila kita tahu yang mana keutamaan, insya-Allah dalam jumlah yang kita ada kita boleh rancang untuk dapat sesuatu sekadar yang kita mampu," tambah beliau.
22 Sep 20
294
Penantian 11 Tahun Miliki Rumah Sendiri Tercapai
KEMAMAN, 22 September- "Selepas hampir 11 tahun menunggu, impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai juga," kata Nur Farhana Bahrun, seorang daripada 150 penerima Rumah Mampu Milik (RMM) Seri Bandi.
Nur Farhana, 32, dari Kampung Seri Bandi berkata, dia yang membuat permohonan lebih kurang empat tahun yang lalu gembira apabila terpilih menerima bantuan yang dikelolakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terenganu Bahagian Perumahan dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) itu.
“Terima kasih kerajaan negeri untuk rumah mampu milik ini, sangat terharu kerana ini rumah pertama saya, sejak daripada kerja-kerja pembersihan tapak dilakukan saya sangat mengharapkan ia akan menjadi milik saya.
“Sebelum ini saya menumpang di rumah keluarga, memandangkan usia perkahwinan sudah menjangkau 11 tahun saya dan suami Mohd Remee Ramli, 37, amat berharap dapat memiliki kediaman sendiri,” ujarnya yang ditemui selepas menerima bantuan berkenaan di sini, hari ini.
Nur Farhana dan beberapa penerima lain menerima replika kunci rumah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai di majlis penyerahan yang diadakan di Tapak Perumahan Seri Bandi, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.
Sementara itu, Hanafiah yang mewakili Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyempurnakan majlis tersebut berkata, pembinaan 220 unit RMM Seri Bandi di atas tanah kerajaan tersebut telah bermula pada November 2016 dan berjaya disiapkan pada bulan Mei yang lalu.
“Pada majlis hari ini, dengan penuh kesyukuran kita serahkan kunci kepada 150 orang penerima dan bakinya akan menyusul selepas ini.
“Tahniah saya ucapkan dan diharapkan para penerima dapat bersama-sama menjaga segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan negeri, pelihara kemudahan ini (rumah) dengan baik dan jagalah kebersihannya,” ujarnya.
22 Sep 20
1636
ADUN Jabi Agih RM3,000 Kepada Masjid, MPKK
SETIU, 22 September – Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mengagihkan sumbangan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada 37 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan 22 masjid di seluruh DUN terbabit.
ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan kepada setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berjumlah RM2,000 turut diberikan bagi merancakkan lagi perjalanan entiti itu.
Katanya, walaupun tiada peruntukan khusus untuk institusi-institusi tersebut, pihaknya tetap mengusahakan beberapa langkah supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak.
"Kesemua 37 MPKK dalam DUN Jabi menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM3,000 dari Pejabat ADUN Jabi. Sebelum ini pun macam-macam peruntukan kita dah bagi berdasarkan keperluan.
"Kita tak ada suatu peruntukan khusus untuk masjid, PIBG atau MPKK. Dengan apa yang ada, kita atur dan agihkan sebaik mungkin agar sama dapat merasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, pihaknya merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memberi kemudahan kepada semua.
"Tahun ini tak ada mesyuarat agong PIBG. Untuk kesemua PIBG bagi 14 buah sekolah dalam DUN Jabi, kita salurkan sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM2,000 di samping sumbangan berkala lain sebelum ini. Tak banyak tapi sama merasa," tambah beliau.
22 Sep 20
833
Kejayaan Anak Terengganu Bina Kapal Membanggakan-Amzad
KUALA NERUS, 22 September- Kejayaan anak-anak tempatan yang menceburi bidang perkapalan di Terengganu cukup membanggakan dan wajar dikekalkan di negeri ini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menyatakan kebanggaan dengan kejayaan anak-anak tempatan kerana kerjaya itu dapat mengekalkan tradisi pembinaan kapal dan bot dalam negara.
"Tradisi ini wajar dikekalkan lebih-lebih lagi sekarang pembinaan kapal telah menggunakan teknologi yang lebih maju dan moden. Ini antara limbungan kapal yang terbaharu, diusahakan oleh sekumpulan anak-anak muda yang sebelum ini banyak menimba pengalaman dalam pembinaan kapal," katanya.
Jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika lawatan tinjauan di limbungan Cerana Tekniq Group Sdn Bhd, di Kampung Batin, di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan, limbungan Cerana Tekniq kini sedang dalam proses menyiapkan pembinaan kapal atau Bot Peronda Taman Laut untuk Jabatan Perikanan Malaysia.
“Bot ini menggunakan teknologi terkini dan saya lihat kualiti pembinaannya cukup bagus. Ini sekali lagi anak Terengganu membuktikan mereka kekal mempunyai tradisi pembinaan kapal, bot antara yang termaju dalam negara kita.
Ini bertepatan dengan kerajaan yang sedang menerapkan IR4.0 sebagai strategi pembangunan negara di masa hadapan, dan menjelang RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12) lebih banyak inisiatif bagi memacu pembangunan negara berasaskan teknologi," katanya.
Tambahnya, MOSTI bertanggungjawab untuk memacu teknologi dalam negara, dalam segala bidang termasuklah dalam industri maritim yang dipacu penggunaannya melalui teknologi.
Antara peranan itu ialah bagaimana memodenkan industri perikanan dengan memperkenalkan bot-bot nelayan yang lebih moden, menggunakan bahan yang murah, kuat dan senang didapati.
21 Sep 20
6178
Terengganu Belasah Kelantan 14-0
Foto ihsan - Hokita
KUALA TERENGGANU, 21 September - Skuad hoki lelaki Terengganu terus mempamerkan aksi bertenaga selepas membelasah Kelantan 14-0 pada perlawanan akhir kumpulan dalam Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 sebentar tadi.
Meskipun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas perlawanan kedua baru-baru ini, Terengganu tetap tampil dengan aksi menyerang seawal minit pertama.
Saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan penyerang berbisa, Faizal Saari terus unggul sebagai penjaring terbanyak kejohanan.
Faizal membuktikan ketajamannya apabila meledak enam gol iaitu masing-masing pada minit ke-2, 5, 14, 17, 43 dan 57.
Lapan lagi gol disumbangkan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-19 dan 35, Muhammad Amirul Mirza Rozi (m-30), Muhammad Fakhri Ardillah Saifullah (m-36 dan 54), Muhammad Sufi Ismat Mr Rohulamin (m-51), Muhammad Alif Izham Abdullah (m-55) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-59).
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad pantai timur itu menghuni tangga teratas kumpulan dengan rekod bersih tanpa kalah.
Sebelum ini, anak buah Tai Beng Hai juga menang bergaya ke atas ATM 5-1 dan PDRM 5-0.
21 Sep 20
2457
Jenazah Wan Mokhtar Selamat Dikebumikan
SHAH ALAM, 21 September - Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, apabila ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad petang tadi.
Jenazah Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam tersebut, pada pukul 3.00 petang.
Sebelum itu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 6.20 pagi, kemudian disembahyangkan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, selepas solat Zohor.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang ditemui media selepas upacara pengebumian menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang amat berjasa kepada negeri Terengganu.
"Allahyarham merupakan antara watak yang memimpin Terengganu suatu masa dahulu, banyak jasanya kepada rakyat dan juga negeri.
"Mewakili kerajaan negeri saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh dan beriman," katanya.
Turut hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Sementara itu, anak Allahyarham, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Air Putih memberitahu, beliau sempat lagi bercakap dan bergambar bersama Allahyarham semalam.
“Sebagai pemimpin negeri Terengganu, bapa saya membawa kemajuan dalam bidang pendidikan melalui insentif dan bantuan kepada pelajar.
“Bapa saya percaya bahawa pendidikan mampu membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Hasilnya anak Terengganu merupakan di antara tenaga kerja yang berpendidikan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi, nombor empat yang terbaik di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, sebagai seorang bapa, Allahyarham seorang yang mementingkan keluarganya.
“Selepas pulang kerja, bapa saya membawa anak-anak ke kebun untuk memberi tazkirah. Apabila waktu solat maghrib, Allahyarham akan memastikan kami solat berjemaah di rumah bersama-sama, termasuk waktu terawih jika ibu boleh sembahyang,” katanya lagi.
Allahyarham yang meninggalkan lima anak merupakan Menteri Besar Terengganu ke-10 dan berkhidmat dari 1974 hingga 1999, menyandang jawatan tersebut paling lama selama 25 tahun. Beliau juga merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari tahun 2000 hingga 2005.
21 Sep 20
2191