Artikel "Utama" Terkini
Nahas Pelajar UPSI: Jenazah Wan Nur Suhaila Selamat Dikebumikan
SETIU, 10 Jun - Allahyarhamah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, salah seorang mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Amer, tepat jam 12.00 malam.
Terdahulu, jenazah tiba dari Hospital Gerik pada jam 10.51 malam menaiki van jenazah UPSI dan dibawa ke terus rumahnya yang terletak di Kampung Amer, Kota Putera untuk tatapan terakhir ahli keluarganya.
Hadir sama di rumah keluarganya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan ADUN Rantau Abang yang juga merupakan bapa angkat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) UPSI, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
Allahyarhamah kemudian dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Kg Amer pada jam 11.13 malam dan disolatkan kira-kira 500 jemaah yang hadir.
Salam pada itu, Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim tiba di Masjid Hadhari Jerteh pada 10.45 malam.
Beliau kemudian dibawa pulang ke Kampung Pasir Badak, Hulu Besut selepas disolatkan.
09 Jun 25
193
Kerajaan Terengganu Tanggung Kos Bedah Pelajar UPSI RM27,000
HULU TERENGGANU, 10 Jun – Kerajaan Terengganu akan menanggung sepenuhnya kos pembedahan mangsa tragedi Gerik, Wan Nor Masyitah Wan Hussin yang mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ngeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dilaporkan mengalami patah paha, retak tulang pinggul dan tulang belakang.
Kata beliau, Wan Nor Masyitah kini sedang menunggu masa untuk menjalani pembedahan yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM27,000.
"Kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman telah memberi jaminan rasmi bahawa kos pembedahan pelajar berkenaan akan ditanggung sepenuhnya.
"Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah berhubung terus dengan Hospital Taiping yang kini merawat pelajar ini dan memberi komitmen bahawa kos rawatan termasuk pembedahan akan ditanggung oleh kerajaan negeri," katanya hari ini.
Tambah Maliaman, imbasan CT (CT Scan) telah dilakukan oleh pihak Hospital Taiping dan prosedur pembedahan akan dijalankan secepat mungkin.
"Namun ia bergantung kepada tahap kesihatan semasa pelajar tersebut.
"Kita harap ibu bapa tidak bimbang dari segi kos. Insya-Allah kerajaan negeri akan tanggung sepenuhnya seperti yang telah dimaklumkan," ujar beliau.
Wan Nor Masyitah merupakan salah seorang daripada enam Exco Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) yang terlibat dalam tragedi tersebut.
Maliaman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap semua pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut.
"Mana-mana pelajar yang cedera dan memerlukan rawatan lanjut termasuk pembedahan, akan dinilai dari semasa ke semasa.
"Kes-kes yang serius akan diberi keutamaan dan tindakan pantas akan diambil," katanya.
09 Jun 25
2151
Nahas UPSI : Duit Belanja RM21 Jadi Pemberian Terakhir Buat Adik Bongsu
BESUT, 9 Jun - Salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakhrul Arif Rosdi, 20, yang terkorban dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi sempat memberi duit belanja kepada adik bongsunya sebelum menaiki bas malam tadi.
Menurut sepupunya, Izwan Iskandar Che Sopian, 27, arwah telah dikatakan memberi wang sebanyak RM21 kepada adiknya Nurul Effa Shahira Rosdi, 16.
"Adik arwah pelik dengan tindakan arwah, tetapi ia tidak menyangka itu adalah pemberian terakhir buatnya, dan dirinya lebih terkilan apabila duit tersebut tercicir.
" Selain itu, saya juga melihat perubahan ketara apabila arwah banyak termenung dan kurang bercakap ketika berjumpa dengan saudara mara di kenduri di rumah ibu saudara kami di Bukit Yong, Kelantan," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Akar di sini hari ini.
Menurut Izwan, khabar sedih itu hanya diketahui sekitar jam 4 pagi selepas kakak mangsa melihat berita kemalangan tular di media sosial.
"Kami segera hubungi pihak hospital untuk pengesahan dan pada jam 7.30 pagi, kami dimaklumkan secara rasmi arwah memang antara mangsa yang terkorban," katanya.
Justeru itu, selepas pengesahan, empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya telah bertolak ke Gerik pagi Isnin untuk menguruskan jenazah mangsa.
"Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Akar sebaik tiba dari Hospital Gerik," ujarnya.
Menurutnya lagi, arwah Fakhrul Arif merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan kini mengikuti pengajian dalam jurusan Perakaunan di UPSI.
09 Jun 25
516
Nahas Pelajar UPSI: DUN Jabi Sumbang RM1,000 Buat Keluarga Mangsa
SETIU, 9 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada empat keluarga mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di DUN berkenaan.
Empat mangsa nahas dari DUN itu ialah Allahyarhamah Fatin Nasrien dari Kampung Kerandang, Allahyarhamah Nur Ainul Qistina Mat Ali (Kg Anak Ikan), Allahyarhamah Nur Dalila Farhana Mohamad Isma (Kg Bharu Tok Dor) dan Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman (Kg Gong Pasir).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, sumbangan tunai tersebut merupakan inisiatif bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa dalam menyempurnakan urusan kepulangan jenazah anak-anak mereka.
"Di Jabi, memang ada tabung khairat kematian yang apabila berlaku kematian kita bagi RM1,200 kepada ahli dan juga RM1,000 kepada tanggungan.
"Tetapi, apabila mangsa yang terlibat ini bukan ahli, kita salurkan (ia sebagai) bantuan segera bagi meringankan bebanan mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Kerandang, hari ini.
Tambahnya, bantuan itu boleh salurkan bila-bila masa, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana semua waris kini berada di Ipoh menguruskan kepulangan jenazah.
Dr. Azman sempat menziarahi keluarga mangsa di rumah masing-masing serta meninjau persiapan kariah kampung menyambut kepulangan jenazah mahasiswa-mahasiswi terbabit, petang tadi turut meluahkan kesediaan pihaknya membantu.
"Di Kg Kerandang kita sudah siapkan liang lahad dari tadi lagi, di Kg Anak Ikan pun. Maknanya, sekadar yang kita boleh bantu bagi meringankan urusan mereka.
"Ia bukan hanya bantuan secara 'One-off', kita akan bantu apa yang perlu secara berperingkat pada kadar kemampuan kita.
Dato' Dr Azman bertemu Haziq, adik Allahyarhamah Nur Ainul Qistina Mat Ali di Kg Anak Ikan, petang tadi.
"Alhamdulillah, semua membantu dari kerajaan negeri, UPSI, pejabat ADUN dan badan bukan kerajaan (NGO) juga banyak membantu.
"Bagi pihak DUN Jabi, kami mengucapkan takziah dengan sangat mendalam dan simpati, bukan hanya keluarga tetapi kami juga merasa kehilangan," ujarnya.
09 Jun 25
229
Konvoi Membawa 13 Jenazah Pelajar UPSI Dijangka Tiba 2 Pagi
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Jenazah 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas tragis di Lebuh Raya Timur–Barat (Gerik–Jeli) awal pagi tadi kini sedang dalam perjalanan ke Terengganu dan dijangka tiba sekitar jam dua pagi.
Kenderaan yang membawa jenazah dilaporkan bertolak dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sekitar jam 9 malam tadi. selepas selesai proses pengecaman, pengurusan dan kafan jenazah.
Tragedi menyayat hati itu berlaku awal pagi tadi apabila bas yang membawa pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan dan terbabas di laluan berbukit di kawasan Gerik–Jeli.
Bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih ke Tanjong Malim itu dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan serba guna (MPV) yang berada di laluan sama dari arah Jeli ke Gerik.
Akibat perlanggaran itu, bas terbabas dan terbalik, manakala MPV terjunam ke dalam parit laluan bertentangan.
15 pelajar disahkan meninggal dunia, manakala beberapa lagi mangsa nahas termasuk empat penumpang MPV dalam kejadian yang sama dilaporkan tercedera.
09 Jun 25
130
Perjalanan Terakhir: 15 Jenazah Pelajar UPSI Dibawa Pulang ke Terengganu
BESUT, 9 Jun - Seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak, awal pagi tadi sedang dibawa pulang ke Terengganu untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing.
Konvoi pertama, membawa dua jenazah dari Hospital Gerik dijangka tiba di negeri ini sekitar jam 10 malam hingga 11 malam, selepas bertolak pada jam 7 malam tadi sebaik semua urusan forensik dan pengurusan jenazah selesai.
Kira-kira jam 9 malam tadi pula, konvoi membawa 13 jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh telah bergerak menuju Besut.
Kesemua jenazah akan disolatkan di Masjid Hadhari, Jerteh.
Terdahulu, kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, sekitar jam 1 pagi Isnin, melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah MPV Perodua Alza.
Bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jerteh ke Tanjong Malim selepas cuti Aidiladha dipercayai bertembung dengan MPV yang berada di laluan sama dari arah Jeli ke Gerik.
Akibat daripada perlanggaran itu, bas dipercayai terbabas dan terbalik, manakala MPV terjunam ke dalam parit.
15 mangsa disahkan maut, 13 di lokasi kejadian dan dua lagi di hospital.
Selain itu, 7 pelajar cedera parah, baki yang lain mengalami pelbagai kecederaan.
Empat penumpang MPV turut cedera, termasuk seorang patah tangan.
Bagi memberikan penghormatan terakhir kepada rakan-rakan yang terkorban, seramai 160 penuntut UPSI turut bertolak ke Terengganu hari ini.
Mereka dijangka menghadiri solat jenazah dan pengebumian, selain memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa.
09 Jun 25
164
Nahas 15 Pelajar UPSI, Solat Jenazah di Masjid Hadhari
BESUT, 9 Jun - Lima belas jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dijangka akan disolatkan di Masjid Hadhari, Jertih, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, semua van jenazah akan bergerak pulang serentak ke Terengganu dan dijangka tiba 10 malam.
"Solat jenazah di Masjid Hadhari, Jertih dan waktu solat jenazah akan diberitahu kemudian," katanya di laman Facebook rasminya hari ini.
Dalam masa sama, seramai 160 orang pelajar UPSI berlepas dari kampus UPSI di Tanjung Malim ke Jerteh, Terengganu petang tadi.
Ia bagi memberikan penghormatan terakhir kepada 15 pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dinaiki mereka dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.
09 Jun 25
110
Kerajaan Negeri Tanggung Kos Kebumi Mangsa Nahas Bas Pelajar UPSI
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan negeri akan membantu keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi nahas bas yang mengorbankan sejumlah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuh Raya Timur–Barat (Gerik–Jeli) awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata antara bantuan yang diberikan ialah menanggung semua kos pengurusan jenazah dan pengebumian.
"Ini termasuk pengangkutan jenazah dari lokasi kejadian ke kampung halaman masing-masing.
"Kita juga sediakan sokongan logistik kepada keluarga mangsa yang berada di hospital atau di lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, kerajaan negeri, turut menzahirkan rasa amat dukacita dan simpati yang mendalam terhadap tragedi nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar (UPSI) itu.
Tambah Maliaman lagi, pihaknya juga menggerakkan pasukan sokongan psikososial bagi membantu ahli keluarga mangsa, termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan bantuan segera yang diperlukan oleh waris .
"Perkara tersebut juga telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato' Satiful Bahri Mamat pagi tadi," ujar beliau.
Menurutnya, kejadian yang menyayat hati itu merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja buat keluarga, bahkan kepada negeri Terengganu yang selama ini amat berbangga dengan semangat anak-anak muda dalam menuntut ilmu.
"Kami mendoakan agar roh semua mangsa dicucuri rahmat dan keluarga mereka diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," katanya.
09 Jun 25
109
Nahas UPSI: Abdul Hadi Rakam Takziah
MARANG, 9 Jun – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa simpati mendalam terhadap insiden kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, awal pagi tadi.
Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas menyayat hati itu.
"Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, Gerik yang meragut 15 nyawa termasuk pelajar-pelajar daripada UPSI, awal pagi tadi.
"Tragedi ini amat menyentuh hati kita semua, apatah lagi melibatkan anak-anak muda yang sedang menuntut ilmu yang bakal menjadi pewaris masa depan umat dan negara,” katanya dalam kenyataan di media sosial rasmi beliau hari ini.
Beliau turut menzahirkan doa agar semua yang terkorban dikurniakan rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang soleh.
"Saya mendoakan agar semua yang terkorban diluaskan rahmat Allah SWT ke atas mereka.
"Serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh," tambahnya.
Beliau juga mendoakan agar mangsa yang masih dirawat segera sembuh dan keluarga yang diuji diberi ketabahan dan kekuatan jiwa.
"Kepada yang sedang dirawat, semoga diberikan kesembuhan yang segera, dan diberikan kekuatan buat ahli keluarga untuk menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha," kata beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap nyawa ialah amanah dan kehilangan adalah peringatan agar manusia tidak lupa akan kelemahannya sebagai hamba Tuhan.
"Sesungguhnya setiap nyawa itu amanah.
"Dan setiap kehilangan adalah peringatan untuk kita kembali menginsafi kelemahan sebagai hamba," ujarnya.
09 Jun 25
64
15 Van Jenazah Kini Bergerak ke Ipoh
BESUT, 9 Jun - Sebanyak 15 buah van jenazah telah bergerak ke Perak bagi urusan membawa pulang kesemua jenazah nahas insiden penuntut UPSI malam tadi.
Ahli Dewan Undangan negeri( ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata kenderaan membawa jenazah termasuk van dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Besut, Setiu dan Kuala Terengganu.
Menurutnya, mereka telah berkumpul di perkarangan masjid Hadhari Jerteh dan bertolak pada pukul 10 pagi tadi.
"Konvoi ini juga turut diserta oleh beberapa Buah kereta keluarga mangsa.
"Kami akan terus menuju ke Hospital dengan bantuan Kereta Peronda Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Besut," ujarnya ketika dihubungi.
Beliau yang turut serta dalam konvoi itu menjangkakan mereka akan tiba di hospital sekitar jam 3 petang dan bergerak pulang ke Terengganu selepas selesai urusan pengurusan jenazah.
"Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak dan lebih kurang 50 sukarelawan, kami akan membantu sedaya upaya untuk meringankan kedukaan keluarga mangsa.
"Bersama konvoi ini, turut sama jurumandi jenazah lelaki dan wanita termasuk kita membawa semua kelengkapan kain kafan.
"Doakan perjalanan kami selamat sampai ke hospital dan pulang ke Terengganu nanti," katanya.
09 Jun 25
219