Artikel "Utama" Terkini
246 Jemaah Cilik PASTI Sertai Simulasi Haji
HULU TERENGGANU, 12 Jun – Seramai 246 orang murid daripada empat buah Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil telah menyertai Program Simulasi Haji Cilik yang diadakan secara tahunan.
Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu menyaksikan semua peserta menaiki bas dari PASTI masing-masing sebelum tiba di tapak program sekitar jam 8.30 pagi. Simulasi ibadah haji itu berjalan lancar dan berakhir pada jam 10.30 pagi.
Acara itu dikendalikan oleh mutawif berpengalaman, Muhammad Hamdi Abbas, yang membimbing para peserta melalui proses-proses utama dalam ibadah haji seperti tawaf, saie, melontar jamrah dan wukuf di Arafah dalam bentuk yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
Program tahunan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada anak-anak mengenai rukun Islam kelima serta menyemai kecintaan mereka terhadap ibadah haji.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ajil, Yusof Sudin, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur, guru-guru dan ibu bapa yang memberi sokongan padu terhadap program tersebut.
”Tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar yang berjaya melengkapkan simulasi haji pada hari ini.
“Simulasi seperti ini sangat penting untuk membina kefahaman asas tentang ibadah haji di peringkat awal usia.Semoga pengalaman ini menerbitkan rasa cinta dalam diri anak-anak untuk terus berusaha agar dapat melaksanakan rukun islam yang kelima apabila merewa dewasa nanti,"katanya dalam ucapan perasmian.
Program tersebut mendapat sambutan hangat daripada murid, ibu bapa dan warga PASTI, dan turut diwarnai dengan gelak tawa serta semangat para peserta kecil yang berpakaian ihram seperti jemaah haji sebenar.
12 Jun 25
431
Terengganu Adakan Bacaan Yasin, Tahlil Buat Arwah Pelajar UPSI
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengarahkan semua masjid di seluruh negeri untuk mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil bagi menghormati pemergian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, Isnin lalu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pengurusan Masjid) JHEAT, Engku Omar Amiruddin Engku Ali memaklumkan, majlis bacaan Yasin dan tahlil akan dilaksanakan secara serentak selepas solat Maghrib pada Khamis (12 Jun) di seluruh masjid kariah Negeri Terengganu.
“Pihak JHEAT memohon kerjasama semua pengerusi jawatankuasa masjid untuk menghebahkan perkara ini kepada ahli kariah masing-masing dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sebanyak 15 nyawa pelajar telah terkorban dalam kemalangan ngeri yang berlaku berhampiran Tasik Banding, Perak, yang turut mencetuskan gelombang kesedihan di seluruh negara.
JHEAT turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kerjasama dan menyeru umat Islam di negeri ini untuk turut sama menzahirkan solidariti dalam bentuk doa dan keprihatinan.
12 Jun 25
331
Raja Muda Berkenan Menyantuni 15 Keluarga Mangsa Nahas UPSI
BESUT, 11 Jun - Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat menyantuni 15 keluarga arwah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah terlibat kemalangan bas di Jalan Lebuh raya Timur Barat (JRTB) baru-baru ini.
Keberangkatan baginda tepat pada jam 8.30 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke daerah Besut dan Setiu turut diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja serta Tengku Puteri Daulath Raja.
Perjalanan ziarah penuh makna itu bermula di kediaman keluarga salah seorang mangsa di Kampung Rahmat, Setiu, sebelum diteruskan merentas waktu selama lima jam ke 14 lagi lokasi berbeza di daerah Besut. Setiap persinggahan sarat dengan emosi dan kasih yang tidak berbelah bahagi.
Kunjungan penuh empati itu adalah bertujuan bagi menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap tragedi yang telah menimpa semua mangsa yang terkorban.
Dalam pada itu, kehadiran baginda bukan sekadar memberikan kata-kata semangat, tetapi turut disertai dengan doa dan tanda solidariti yang mendalam terhadap rakyat, khususnya buat keluarga mangsa yang sedang menempuh detik paling mencabar dalam kehidupan mereka.
Yang Di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada keluarga mangsa sebagai tanda kasih dan sokongan, dengan harapan bantuan itu mampu meringankan beban yang ditanggung serta memberi sedikit kelegaan di tengah-tengah kesedihan yang melanda.
Bagi memberkati setiap kunjungan baginda, ziarah itu juga telah disertakan dengan doa yang diketuai oleh Pegawai Agama Istana 2, Mohd Faiz Azuan Mazuki, di sini, hari ini.
Menambah makna dalam kunjungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin turut hadir di dua lokasi terakhir kunjungan itu yang berada dalam kawasan naungannya sebagai tanda sokongan dan solidariti bersama keluarga mangsa yang sedang meniti saat-saat sukar.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah baginda berdua kepada seluruh keluarga mangsa.
Difahamkan, tragedi yang meruntun hati seluruh negara itu berlaku sewaktu para pelajar dalam perjalanan kembali ke kampus selepas menikmati cuti Aidiladha terakhir bersama keluarga tercinta.
11 Jun 25
3906
Kerajaan Digesa Baiki Segera Jalan Raya Jeli-Gerik, Tumpu Titik Panas
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkaitan digesa agar segera membaiki Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik, dengan memberikan tumpuan khusus kepada kawasan titik panas yang sering menjadi lokasi kemalangan.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jika tidak dapat dilakukan secara menyeluruh, kerja-kerja pembaikan boleh dilaksanakan secara berfasa, asalkan dimulakan segera di kawasan yang berisiko tinggi.
"Ia memerlukan penguatkuasaan di peringkat kementerian, dan tindakan ini perlu diambil dengan serius, terutama di titik-titik panas tertentu.
"Bukannya selepas berlaku kemalangan barulah hendak dipasang lampu, diletakkan label amaran atau dibaiki penghadang jalan yang sebenarnya telah lama berbahaya.
"Dari sekarang, perlu dilakukan audit menyeluruh terhadap semua aspek keselamatan jalan raya di laluan ini.
"Kalau pihak Kerajaan Persekutuan atau kementerian berkenaan tidak mampu melaksanakannya secara serentak, buatlah secara berfasa.
"Fokuskan dahulu kepada kawasan yang sering berlaku kemalangan," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Majlis Pengakap Negeri Terengganu serta Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Negeri Terengganu, yang berlangsung di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan bahawa cadangan untuk menutup laluan JRTB pada waktu malam bukanlah satu penyelesaian yang wajar sekiranya dilaksanakan tanpa penelitian menyeluruh.
"Apabila orang ramai hendak pulang, banyak pertimbangan yang perlu diambil kira. Kita tidak boleh menyatakan bahawa memandu pada waktu siang menjamin keselamatan sepenuhnya.
"Kerana struktur jalan dan keadaan fizikal laluan ini, sama ada siang atau malam, tetap berisiko. Walaupun kita akui bahawa pemanduan pada waktu malam memerlukan lebih berhati-hati, namun ia bukanlah satu-satunya penyelesaian," ujarnya.
11 Jun 25
502
Dr Sam Dilantik Sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Terengganu setelah menerima sijil pelantikan dalam satu majlis khas yang diadakan di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini.
Turut menerima sijil pelantikan sebagai Naib-Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Terengganu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Ab Rasid Jusoh turut dilantik sebagai Naib Yang Dipertua III.
Majlis pelantikan tersebut turut dihadiri oleh barisan pimpinan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu, termasuk para Naib Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Majlis Pengakap Negeri yang turut menerima watikah pelantikan masing-masing.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berharap pelantikan itu dapat mencetuskan semangat baharu dalam institusi kepengakapan di negeri ini.
“Kita berharap selepas ini, Pengakap Negeri Terengganu, dengan uniform baharu yang turut diperkenalkan pada hari ini, akan menyuntik semangat baharu dalam kalangan anak-anak muda dan pelajar di peringkat sekolah,” ujarnya ketika ditemui media selepas majlis tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengakap Negara, Mej. Jen. (B) Prof. Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin, merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu atas sokongan berterusan terhadap aktiviti pengakap, termasuk bantuan dari segi dana dan logistik dalam penganjuran program di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa kerajaan negeri melihat pengakap sebagai satu pelaburan sosial yang tinggi nilainya, terutamanya dalam membentuk generasi pemimpin masa depan negara,” katanya.
11 Jun 25
4103
Sistem ‘Kotak Hitam' Bas Dan Lori Wajar Dimandatori
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Kerajaan disaran mempertimbang pelaksanaan sistem Vehicle Data Recorder (VDR) atau Event Data Recorder (EDR) bagi kenderaan darat seperti bas dan lori komersial sebagai langkah strategik memperkukuh aspek keselamatan pengangkutan negara.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim berkata, teknologi yang berfungsi seperti ‘kotak hitam’ dalam pesawat itu sudah wujud dan digunakan di beberapa negara, termasuk Malaysia dalam skop terhad.
“Sama seperti pesawat, ' kotak hitam' dalam kenderaan adalah alat elektronik yang merekodkan pelbagai maklumat teknikal seperti kelajuan kenderaan, pembrekan mendadak, kesan perlanggaran, perubahan arah secara tiba-tiba, kedudukan GPS, jadual kerja dan waktu rehat pemandu serta data daripada kamera 'dashcam' jika disambungkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Sains, Teknologi dan Inovasi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan bahawa beberapa agensi termasuk SPAD (kini APAD) dan JPJ sebelum ini pernah mencadangkan penggunaan sistem pemantauan seperti Driver Behavioural Monitoring System (DBMS) serta Fleet Telematics sebagai pendekatan pencegahan kemalangan dan pemantauan pemanduan.
Menurut beliau, RapidKL dan beberapa operator bas ekspres juga telah mula menggunakan sistem VDR atau telematik terbina, namun pelaksanaannya masih belum menyeluruh dan tidak diwajibkan kepada semua pengendali.
“Teknologi ini membawa pelbagai kelebihan termasuk memudahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kemalangan, membantu pengurusan syarikat menilai prestasi pemandu, mengelakkan kecuaian, serta memberikan potensi pengurangan premium insurans bagi syarikat yang menggunakannya,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran pelaksanaan, antaranya kos pemasangan sekitar RM1,000 hingga RM5,000 seunit, tiadanya penguatkuasaan mandatori secara menyeluruh, dan kebimbangan terhadap privasi pemandu yang perlu ditangani secara berhemah.
Dalam masa sama, Ahmad Amzad turut menyeru kerajaan agar menilai semula sistem penghadang jalan jenis besi yang digunakan secara meluas ketika ini kerana dilihat tidak sesuai dan berisiko tinggi kepada pengguna dalam kes kemalangan.
“Teknologi penghadang jalan yang lebih selamat dan mesra impak, sebagaimana yang diguna pakai di beberapa negara maju, wajar diperkenalkan segera,” katanya lagi.
Beliau mencadangkan agar kerajaan merangka satu pelan tindakan bersepadu, melibatkan kementerian dan agensi berkaitan, bagi memastikan sistem VDR/EDR dapat dilaksanakan secara menyeluruh sebagai usaha melindungi keselamatan pengguna jalan raya.
11 Jun 25
133
Nahas UPSI : Kerajaan Terengganu Umum Bantuan RM78,000
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Prihatin terhadap nasib mangsa tragedi nahas bas yang mengorbankan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengumumkan bantuan khas one-off berjumlah RM78,000 kepada mereka yang terlibat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan itu meliputi RM3,000 kepada setiap keluarga 15 mangsa yang terkorban.
Katanya, ia juga melibatkan bantuan RM1,000 kepada 33 pelajar yang cedera dalam insiden yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini.
“Sebanyak RM1,000 telah pun disalurkan lebih awal kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.
“Baki akan disampaikan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.
Jelas Ahmad Samsuri, keputusan penyaluran bantuan khas itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang berlangsung hari ini.
“Kerajaan Negeri turut merakamkan rasa dukacita yang mendalam terhadap tragedi ini.
“Kita menyeru seluruh rakyat Terengganu agar terus mendoakan kesembuhan mangsa yang masih dirawat dan ketabahan buat semua ahli keluarga yang terkesan,” jelas beliau.
11 Jun 25
3443
Tanjung Nesan Empat : Jejak Silaturrahim di Tanah Warisan
Di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu, terdapat sebuah mukim besar yang dikenali sebagai Tanjung. Di dalamnya terdapat banyak kampung seperti Tanjung Kapur, Tanjung Jati, Tanjung Surau Pasir, Tanjung Teluk (yang telah pupus akibat hakisan pada tahun 1986), Tanjung Che Mat Tauke, Tanjung Surau Haji Mat Kerinchi, Tanjung Batu Satu, Tanjung Paya dan Tanjung Nesan Empat.
Kedudukan mukim Tanjung ini berdekatan dengan Istana Maziah, iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Melayu Terengganu sebelum kedatangan Inggeris. Oleh itu, ramai pembesar negeri memilih untuk tinggal di sekitar istana bagi memudahkan urusan mereka.
Tinggalan rumah Dato' Ratna.
Di Kampung Tanjung Nesan Empat, sekurang-kurangnya empat orang pembesar yang banyak berjasa kepada Kerajaan Terengganu pernah menetap di situ.
Antaranya ialah Dato' Biji Sura Nik Mohamad Nik Hitam, yang berkhidmat di bawah tiga orang Sultan Terengganu (Sultan Zainal Abidin III hingga Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah), Dato' Sangsura Pahlawan, Wan Long Mohd Salleh Ahmad (Mufti Terengganu 1952–1957), serta Dato' Bentara Ratna Haji Abdullah Yunus, ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada zaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
Dato Bentara Ratna - Berdiri kiri.
Turut berasal dari kampung ini ialah mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Dato' Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad.
Pada 8 Jun 2025, satu majlis perjumpaan penduduk Kampung Tanjung Nesan Empat telah diadakan bertujuan mengeratkan kembali hubungan sesama jiran tetangga yang telah lama terpisah akibat tuntutan kehidupan masing-masing.
Seramai lebih kurang 300 orang penduduk hadir bersama keluarga mereka, mengimbau kembali kenangan silam yang kekal terpahat dalam ingatan.
Abd Manan.
Saudara Abd Manan Embong, 66, yang mencetuskan idea perjumpaan ini, berkata rancangan ini diadakan untuk menyatukan semula penduduk Kampung Tanjung Nesan Empat kerana baginya, hubungan sesama mereka amat berharga.
"Saya mengajak beberapa lagi rakan sekampung untuk melakukan korban di Nesan Empat tahun ini dan menawarkan dua ekor lembu sebagai korban untuk dikongsi bersama.
"Alhamdulillah, semua bahagian lembu tersebut telah habis dibeli oleh rakan-rakan sekampung dan sebahagian daging itu dijadikan lauk kenduri bagi majlis perjumpaan kami, manakala selebihnya diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Nesan Empat/Kolam untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
"Saya tidak menyangka sehingga 300 orang hadir kerana pada awalnya hanya sekitar 150 orang yang menyatakan hasrat untuk turut serta. Alhamdulillah, pada saat akhir ramai yang hadir dan mujurlah lauknya mencukupi," jelas beliau dengan rasa gembira.
Tambah beliau lagi, pada usia sebegini, tiada yang lebih utama daripada menjaga hubungan sesama manusia kerana ramai yang kini telah menghampiri penghujung usia, dan sifat bermaaf-maafan perlu dipupuk sebagai teladan kepada generasi muda.
Azizah Embong.
Sementara itu, Azizah Embong, cucu kepada Dato' Biji Sura Nik Mohamad Nik Hitam salah seorang tokoh yang pernah ditugaskan oleh Sultan Zainal Abidin III untuk menggubal Undang-Undang Tubuh Negeri Ittakul Muluk Bi Takdil Suluk pada tahun 1910 berkata bahawa beliau tidak begitu mengenali datuknya secara peribadi, namun menurut sejarah, datuknya telah dilantik menjadi hakim selepas kes Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong pada tahun 1928.
"Dahulu banyak rumah besar milik dato’-dato’ di Tanjung Nesan Empat yang dibina daripada kayu cengal dan dihiasi dengan seni ukiran Terengganu. Rumah datuk saya juga antara yang terawal, dibina atas tanah hampir 1.5 ekar.
"Jika dahulu, satu rumah didiami oleh ramai keluarga tanpa masalah kerana hubungan mereka amat rapat dan saling menjaga ibu bapa.
"Sekarang zaman sudah berubah, ramai yang lebih selesa tinggal sendiri atau merantau mencari peluang di luar," ujar beliau, yang juga sepupu kepada pemilik syarikat pengangkutan Sani Ekspres.
Tapak rumah Dato' Biji Sura
Majoriti penduduk Tanjung Nesan Empat turut berharap agar kampung bersejarah yang terletak di jantung bandar raya ini dapat dibangunkan dengan baik oleh kerajaan negeri bukan sahaja untuk kemajuan, tetapi untuk mengekalkan nilai warisan.
Bagi mereka, pembangunan memang penting lebih-lebih lagi memandangkan kedudukan tanah yang sangat strategik, tetapi kelestarian dan khazanah sejarah yang terdapat di kampung-kampung seperti ini amat wajar dilestarikan agar tidak mengalami nasib seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur yang berdepan pelbagai isu pemilikan tanah.
11 Jun 25
2200
61,000 Peminat Harimau Malaya Turut Berduka
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Lebih 61,000 peminat Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Vietnam sempena kelayakan Piala Asia AFC semalam turut berduka dengan kemalangan yang mengorbankan 15 anak Terengganu dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih buat semua penonton yang berada di SNBJ di atas sikap yang ditunjukkan semalam.
"Terima kasih buat semua 61,000 penonton yang berada dalam Stadium Nasional Bukit Jalil atas kebersamaan menghulurkan simpati.
"(Juga) merakamkan takziah dan mendoakan kesejahteraan buat semua mangsa korban kemalangan anak-anak Terengganu yang merupakan penuntut UPSI sebelum sepak mula.
"Sepi seketika SNBJ," ujarnya menerusi satu hantaran di media sosialnya, semalam.
Walau bagaimanapun, katanya perjuangan Harimau Malaya tetap perlu diteruskan.
Dalam pada itu beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri mengucapkan tahniah buat pasukan kebangsaan Harimau Malaya atas kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam.
11 Jun 25
232
Qabil Irfan Berlepas ke Sepanyol Sertai Siri Perlumbaan ESBK
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan telah berlepas ke Sepanyol bersama bapanya sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua dan ketiga España Superbike Championship (ESBK) yang bakal berlangsung bulan ini.
Sebagai persiapan awal, Qabil dijadual menyertai sesi ujian tertutup (Private Test) minggu ini di Litar Motorland Aragon, Sepanyol.
Ujian ini akan dijalankan bersama pasukannya, Frando Racing VHC Team Liqui Moly, bagi memastikan persediaan teknikal dan fizikal berada pada tahap optimum menjelang aksi sebenar.
Pusingan kedua ESBK akan berlangsung di Litar Catalunya pada 21 hingga 22 Jun 2025.
Manakala pusingan ketiga dijadual kembali ke Litar Motorland Aragon pada 28 hingga 29 Jun 2025.
Kehadiran Qabil di pentas antarabangsa ini sekali lagi membuktikan komitmen dan potensi besar pelumba muda negara dalam mengharumkan nama Malaysia di persada perlumbaan motosikal dunia.
Menurut bapanya, Azlan Abdul Rahman, aspek pemakanan Qabil turut diberi perhatian dengan penyediaan hidangan khas.
"Ini bagi memastikan tahap tenaga dan kesihatan anaknya kekal berada pada paras terbaik sepanjang kempen ESBK kali ini," katanya.
10 Jun 25
115