lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Penderitaan Adik Adam Dapat Perhatian ADUN
Penderitaan Adik Adam Dapat Perhatian ADUN
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Penderitaan adik Adam yang menghidap penyakit saraf, lumpuh serta otak di luar tempurung mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Manir Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Adam atau Sayyid Uwais Al-Qarni Lekman yang kini berusia 42 hari disahkan mengalami penyakit saraf, 'myelomeningocele with encephalocoele' akan dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, pada bulan hadapan. Hilmi yang juga Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya akan segera memohon bagi mendapatkan bantuan agensi kerajaan bagi rawatan susulan anak istimewa itu. “kerajaan negeri ada menyediakan peruntukan menerusi Tabung Darul Iman untuk membantu pesakit kronik dan mangsa bencana yang benar-benar memerlukan pembelaan. “Kes ini akan turut segera dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan lanjut,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi adik Adam dan keluarga di kediaman datuk dan neneknya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini, semalam. Terdahulu, Timbalan Penyelia Institut Modal Insan I-MiTS Manir, Norhayati Mohd dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Hampar hadir bagi menyampaikan sumbangan kewangan bagi menampung kos pembedahan awal tulang belakang adik Adam. Dalam pada itu, Norhayati berkata,  Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)  Manir menampung kos pembedahan awalnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disamping ditanggung sebahagian besar oleh subsidi kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sementara itu, ibu Sayyid Uwais Al-Qarni, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada ADUN dan bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu. "Saya bersyukur kerana penderitaan dialami bayi saya mendapat perhatian. Saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung memandangkan suami saya hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu," katanya.
24 Feb 21
436
Bekalan Air Dijangka Pulih Sepenuhnya 5 Pagi Khamis
Bekalan Air Dijangka Pulih Sepenuhnya 5 Pagi Khamis
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Syarikat Air Terengganu (SATU) menjangkakan masalah air yang berlaku sekitar daerah ini, Kuala Nerus dan Marang akan pulih sepenuhnya jam 5 pagi Khamis, 25 Februari. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, gangguan bekalan air dan tekanan air rendah bermula 4.30 petang itu berpunca daripada masalah teknikal di Loji Kepong 1, Serada, Kuala Terengganu.  "Hingga saat ni, 75 peratus bekalan daripada loji telah pun pulih, kami masih lagi dlm peringkat memenuhi tangki utama dalam bandar Kuala Terengganu, sebahagian pengguna masih lagi menerima air dgn tekanan rendah dan sebahagian lagi masih tiada air. "Manakala di Marang sudah pulih 100 peratus, tetapi kami masih lagi memenuhi tangki-tangki utama. "Kita jangka pengguna akan dapat bekalan air seperti jam 5 pagi esok dengan tekanan rendah," katanya ketika dihubungi UPDI sebentar tadi. Menurutnya, dalam tempoh sekarang, pihaknya juga sedang giat menghantar air ke kawasan kritikal menggunakan lori tangki SATU. "Kami memohon maaf dan bersimpati atas apa yang berlaku," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh ketika dihubungi memaklumkan bekalan air terputus kerana masalah elektrik dan pam di Loji Kepong I tengah hari tadi.  "Apabila masalah elektrik selesai, pam pula bermasalah, jadi ena tunggu air naik ke tangki dan buang angin dalam paip. "Alhamdulillah kita telah berjaya hidupkan tiga biji pam. Insya-Allah masalah ini semakin pulih  tetapi ia mengambil masa sedikit bagi lokasi yang jauh," tambah beliau.  
24 Feb 21
630
1,500 Penduduk Bukit Payong Terima Bantuan PKP
1,500 Penduduk Bukit Payong Terima Bantuan PKP
MARANG, 24 Februari – Seramai 1,500 penduduk di  Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima sumbangan RM100. Mereka yang terpilih menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) itu antaranya penjaja makanan, pekerja kedai gunting, pengusaha salon dan pekerja kedai basuh kereta. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, berkata walaupun nilaian agihan itu tidak besar, tetapi ia cukup bermakna kepada mereka yang memerlukan, terutama yang terputus punca pendapatan. “Dengan nilaian itu, sekurang-kurang dapat meringankan beban untuk membeli barangan keperluan dapur. "Kita sedar sekarang ini terlalu ramai yang tidak dapat meneruskan pekerjaan mereka terutama bagi peniaga-peniaga yang tidak dapat memeruskan jualan mereka,” katanya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini. Bantuan itu diagihkan secara berperingkat-peringkat mengikut mukim. Seorang peniaga Kedai Urutan Tradisional (SPA) dari Kampung Surau Haji Daud, Norhayati Mohammed, 39, berkata, bantuan itu sangat bermakna  kerana sepanjang PKP peniagaan mengalami kemerosotan teruk. "Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan dan ucapan terima kasih kepada pihak YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan pihak kerajaan yang telah menyalurkan sumbangan ini kepada saya "Dengan pemberian ini dapatlah saya membeli barangan alatan yang diperlukan lagi dalam kerja SPA ini." katanya ketika ditemui dalam program penyerahan tersebut  
24 Feb 21
2325
Rungutan Peniaga Kini Berakhir
Rungutan Peniaga Kini Berakhir
KEMAMAN, 24 Februari - Rungutan dan keluhan daripada peniaga di Medan Selera Kampung Pantai Penunjuk, Kijal kini berakhir setelah longkang air kumbahan di medan tersebut dibina. Infrastruktur yang baru dibina. Ianya hasil daripada permohonan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh melalui Ahli Majlis Zon Kijal berserta Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Ibai dan Pantai Penunjuk yang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Pengerusi JPKK Ibai dan Pantai Penunjuk, Zainal Muda ketika ditemui semalam di medan selera tersebut mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam pembinaan prasarana tersebut. Zainal Muda. "Alhamdulillah, infrastruktur ini telah hampir siap pembinaannya setelah sekian lama ianya menjadi rungutan oleh peniaga di sini. "Cuma tinggal sedikit sahaja lagi 'finishing' yang perlu diselesaikan oleh kontraktor yang dilantik oleh MPK ini," katanya. "Saya ucapkan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha kerajaan untuk menyejahterakan semua lapisan masyarakat kampung terutama di Kampung Ibai dan Pantai Penunjuk ini," ujarnya lagi. Sebelum ini sisa air buangan itu disalurkan ke dalam lubang yang digali oleh peniaga di tepi medan selera tersebut di mana baunya agak kurang menyenangkan kepada pengunjung yang datang untuk makan di situ.  
24 Feb 21
772
RMM Tajin Dijangka Siap Pertengahan Tahun Ini
RMM Tajin Dijangka Siap Pertengahan Tahun Ini
HULU TERENGGANU, 24 Februari - Proses pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Kampung Tajin dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata pembinaan RMM Tajin di atas tanah seluas 10 hektar sedang giat dijalankan sejak dirasmikan pada Julai 2019. "Sebanyak 250 buah unit RMM sedang dibina dan proses pembinaan berjalan dengan lancar setakat ini. "Pada bulan enam atau bulan tujuh tahun ini, projek ini akan siap dan kita akan agihkan kepada penduduk di Hulu Terengganu ini, " jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak RMM di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Kampung Tajin, baru-baru ini. Menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri berkata, pembinaan RMM Tajin sedang melalui kerja-kerja terakhir. "Kerja-kerja akhir seperti pemasangan longkang, pendawaian elektrik, pagar dan kerja-kerja berkaitan dengan jalanraya berjalan dengan baik," katanya.
24 Feb 21
3500
PAS Optimis Bersama Bersatu, Umno Dalam PRU15
PAS Optimis Bersama Bersatu, Umno Dalam PRU15
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - PAS optimis kerjasama parti itu dengan Bersatu dan Umno akan terus berjalan termasuk dalam mendepani Pilihan Raya Umum akan datang. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Bersatu dan Umno kini dilihat tidak sehaluan tetapi pihaknya yakin ia dapat diselesaikan dengan baik. "Langkah akan diambil oleh barisan kepimpinan PAS, Bersatu dan Umno dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit. "PAS sendiri sudah menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan kedua-dua parti itu bagi menjamin keharmonian antara parti," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, pagi tadi. Menjawab tuduhan pihak tertentu mengenai proses agihan kerusi antara ketiga-tiga parti menemui jalan buntu, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menafikan perkara tersebut. "Dalam pendapat saya, situasi sekarang masih tidak buntu, dan pihak kami telah mengadakan dua pertemuan, jadi keadaan sekarang tidak boleh dikatakan menemui jalan buntu. "Kita optimis dalam kerjasama ini supaya ia akan berjaya," jelasnya. Katanya, itu adalah pandangan peribadi mereka dan sebagai kepimpinan utama semua pihak perlu mencari jalan terbaik. Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, perbincangan dengan rakan sekutunya di Terengganu mungkin sudah menemukan jalan buntu berikutan Umno negeri itu menuntut 16 kerusi DUN dan empat parlimen. Difahamkan tuntutan itu juga tidak selari dengan persetujuan agihan kerusi di peringkat pusat iaitu pengekalan status quo atau PAS dan Umno kekal bertanding di kerusi yang mereka menangi.  
24 Feb 21
278
Vaksin COVID-19 Tiba Di Terengganu Esok
Vaksin COVID-19 Tiba Di Terengganu Esok
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech akan tiba di Terengganu esok, 25 Februari 2021 dan fasa pertama suntikan dijadualkan pada 26 Februari ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja pemvaksinan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan dimulakan dengan kakitangan barisan hadapan termasuk mereka yang terpilih. "Difahamkan bahawa Menteri Besar akan menjadi orang pertama yang akan disuntik vaksin. "Fasa pertama ini juga akan melibatkan dalam 15,000 orang yang telah disusun oleh pihak berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman pagi tadi. Mengulas lanjut, beliau berkata perincian tempat dan masa suntikan pertama tersebut ditentukan oleh JKNT. "Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diuruskan bersama 'frontliner' di tempat masing-masing. "Semua ADUN tidak mengira parti akan dijadualkan untuk suntikan bagi mereka yang sukarela," tambahnya.
24 Feb 21
2987
Giliran Nelayan Kemaman Terima Bantuan RM57,500
Giliran Nelayan Kemaman Terima Bantuan RM57,500
KEMAMAN, 23 Februari - Lebih 1,000 nelayan di daerah ini menerima bantuan sebanyak RM57,500 secara berperingkat bermula hari ini. Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu seramai 416 orang nelayan di Kemasik dan Kertih menerima sumbangan bantuan pagi tadi, manakala 200 orang nelayan di Kijal pada petang ini dan 500 lagi di Cukai pada esok. “Sumbangan ini disampaikan dalam bentuk barangan dapur bagi meringankan beban para nelayan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan suasana masih dalam musim tengkujuh. Saya difahamkan di Kertih, baru hari ini mereka dapat turun ke laut.  “Kita juga telah memberikan sumbangan kepada mereka yang terjejas pendapatan termasuk tukang gunting rambut, pengusaha salon, pemandu bas sekolah dan lain-lain lagi khususnya yang tinggal di Parlimen Kemaman," ujar beliau. Katanya, kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di perkarangan Pejabat Pengurusan Persatuan Nelayan Kemasik. Turut hadir bersama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Encik Mastam Nodo, Pengurus Persatuan Nelayan (PNK) Kemasik, Zakaria Bin Mamat dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kemasik (PNK), Abd Ghani Ismail, Program berkenaan diadakan secara pandu lalu bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.  
23 Feb 21
274
RM27,200 Disalur Kepada Pengayuh Beca, Pengusaha Bot Penambang
RM27,200 Disalur Kepada Pengayuh Beca, Pengusaha Bot Penambang
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Kerajaan Terengganu hari ini menyalurkan bantuan sebanyak RM27,200 kepada 50 pengayuh beca dan 18 pengusaha bot penambang di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya bertanggungjawab memberi bantuan itu agar golongan berkenaan mampu meneruskan hidup seperti biasa meskipun situasi terkini COVID-19 memberi tekanan kepada mereka. "Kesemua mereka menerima sumbangan sebanyak RM400. Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung mereka selepas sektor pelancongan terjejas teruk. "Ini adalah kesinambungan daripada program semalam iaitu bantuan untuk pemandu teksi dan pemandu pelancongan sebanyak RM300 seorang. "Saya turut menyaran kepada mereka supaya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar nasib mereka terbela sebaiknya," katanya. Beliau berkata demikian pada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 (Sektor Pelancongan) di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang, di sini, hari ini. Dalam perkembangan berbeza, Ariffin memaklumkan, Terengganu menjadi antara destinasi utama pilihan pelancong domestik sepanjang tahun lalu. Katanya, data kadar purata penginapan di Malaysia yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) setakat November lalu mendapati Terengganu melonjak ke tangga ke empat berbanding tangga ke-11 bagi tempoh sama pada 2019. "Menerusi data terbaharu ini, Terengganu berjaya mengatasi negeri-negeri lain, termasuk Perak, Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur yang dahulunya popular sebagai destinasi pelancongan. "Apa yang membanggakan Terengganu pernah berada di tangga kedua keseluruhan pada bulan Julai dan September pada tahun lalu," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sedang mengadakan kerjasama dengan pemilik Restoran Amber Chinese Muslim,  Haji Ismail Nuh @ Cui Wei untuk membuka  restoran berkonsepkan hidangan Cina Muslim di Bazar Warisan. “Pembukaan restoran dijangka pada Mac ini, bermungkinan akan ditangguh atas pelbagai sebab termasuk Perintah Kawalan Pergerakan “Bagaimanapun kerja-kerja pengubahsuaian bangunan kepada konsep yang diinginkan sedang giat dijalankan. Saya percaya dengan pembukaan restoran itu nanti, jumlah kedatangan pelancongan ke Terengganu semakin bertambah," katanya.
23 Feb 21
710
Pengusaha Teksi, Pemandu Pelancong Terima Bantuan RM44,100
Pengusaha Teksi, Pemandu Pelancong Terima Bantuan RM44,100
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Lebih 100 pemandu teksi dan pemandu pelancong telah menerima insentif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2021 bernilai RM44,100 secara berperingkat pada petang semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, bantuan tersebut disalurkan kepada wakil setiap persatuan seperti Persatuan Pemandu Pelancong Bandar, Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi dan Persatuan Pemandu Teksi. “Seramai 44 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di samping 103 pemandu pelancong bandar dan alam semulajadi menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang. “Terdahulu, pihak kami telah memaklumkan jumlah bantuan dalam RM200 seorang tetapi telah dinaikkan kepada RM300 seorang buat pemandu yang terkesan teruk akibat kemelesetan sektor tersebut akibat kekangan pandemik. “Bantuan ini diberi secara berperingkat atas sebab pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan selebihnya akan disalurkan melalui akaun penerima masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika sidang media. Beliau berkata demikian semasa sidang media program agihan Berkat kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu di sini. Turut hadir, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim. Sementara itu, seorang penerima, Rustam Mokhtar, 48, menceritakan, pengalaman pahit ketandusan rezeki ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini amat memeritkan. “Boleh dikatakan 80 peratus terkesan, satu minggu itu hanya meraih dalam RM30 sahaja berbanding kebiasaanya dalam RM100 sehari sebelum dilanda musim COVID-19. “Namun begitu, alhamdullilah pemandu-pemandu persatuan kami bersyukur dengan bantuan diberi kerajaan negeri, ini sedikit sebanyak akan ringankan beban dan kami akan terus redha menghadapi ujian ini,” katanya ketika ditemubual pemberita. Rustam yang juga antara 44 pemandu teksi LTSM menyokong usaha kerajaan Terengganu yang akan memohon kelonggaran rentas daerah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri untuk melancarkan ekonomi penggiat pelancongan.
23 Feb 21
996