lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Lebih RM1.5 Bilion Diperuntuk, Selesai Masalah Saliran Terengganu
Lebih RM1.5 Bilion Diperuntuk, Selesai Masalah Saliran Terengganu
KUALA TERENGGANU,14 Mac - Lebih RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan untuk projek pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Terengganu menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, dianggarkan RM861 juta untuk projek pemuliharaan muara sungai yang melibatkan muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun. “Manakala RM105 juta untuk tujuan pengawalan hakisan Pantai Kuala Nerus dan Pantai Marang. “Bagi projek tebatan banjir sebanyak RM442 juta diperuntukkan yang melibatkan Sungai Kemaman, Bukit Payung, Kemasik, Guntung Luar, Gong Kiat dan Kuala Terengganu Utara,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.  Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman. Sementara itu kata Tuan Ibrahim, projek ramalan dan amaran banjir fasa satu berjumlah RM 28 juta, melibatkan Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Kelantan. “Projek ramalan dan amaran banjir fasa dua sebanyak RM5.3 juta melibatkan seluruh Negeri Terengganu, pemuliharaan Sungai Cepuh berjumlah RM15 juta dan projek penyenggaraan kolam takungan banjir berjumlah RM4 juta,” ujarnya. Katanya, diharapkan dengan kelulusan projek oleh kementerian yang melibatkan peruntukan agak besar ini dapat membantu mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan sungai di Negeri Terengganu.  
14 Mar 21
1463
25 Pemancing Houseboat Tasik Kenyir Disahkan Negatif COVID-19
25 Pemancing Houseboat Tasik Kenyir Disahkan Negatif COVID-19
MARANG, 14 Mac - Keputusan ujian calitan atau 'swab test' kali pertama COVID-19 ke atas 25 pemancing yang menggunakan perkhidmatan rumah bot (houseboat) di Tasik Kenyir adalah negatif. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, individu terlibat sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk kuarantin kendiri. ntuk meneruskan kuarantin selama 11 hari. "Kesemua mereka akan menjalani ujian calitan kali kedua pada hari kelapan untuk memastikan benar-benar bebas daripada wabak pandemik COVID-19 itu.Oleh itu, tiada lagi perkara yang timbul berkaitan COVID-19 di Tasik Kenyir "Bagaimanapun kerja-kerja sanitasi telah dilakukan di rumah bot berkenaan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit," katanya. ​​​​​​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pasca banjir oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) di Kampung Pak Madah di sini hari ini. Turut hadir Presiden MTC, Uzaidi Udanis; Setiausaha Kehormat MTC, Datuk Noor Zaleha Baharuddin dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim. Jumaat lepas, tular di media sosial mengenai 24 pemancing dikuarantin di rumah bot susulan seorang daripada rakan mereka dikesan sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19. Bagaimanapun, pemancing yang dikatakan positif itu hanyalah kontak rapat kepada pesakit COVID-19. Kesemua mereka difahamkan menginap di rumah bot berkenaan sejak Khamis lalu, kira-kira pukul 9 pagi. Dalam masa yang sama, Ariffin berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Tasik Kenyir mahu pun pulau-pulau peranginan kerana destinasi ini lebih selamat berbanding di daratan. "Rumah bot di Tasik Kenyir adalah selamat untuk dijadikan lokasi percutian kerana disertai sekelompok individu dalam jumlah yang tidak ramai. "Ini lebih selamat berbanding di daratan, malah dengan pematuhan SOP yang ditetapkan sekarang, kita yakin penularan COVID-19 dapat dicegah sebaik mungkin ketika dalam tempoh percutian," jelasnya.
14 Mar 21
902
GM PB Hotel Lapor Polis Fitnah PAN
GM PB Hotel Lapor Polis Fitnah PAN
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Pengurus Besar Paya Bunga (PB) Hotel, Abdul Hadi Alias, yang difitnah menyalah guna kuasa di hotel berkenaan oleh Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu menafikan dakwaan tersebut hari ini. Menurut beliau, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan meneliti butiran tertentu termasuk berbincang dengan peguam serta melaporkan kepada pihak polis sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya. “Saya datang ke balai polis Kuala Terengganu ini untuk membuat ‘report’ tentang satu fitnah yang telah dibuat ke atas saya oleh Pemuda PAN Terengganu. Dalam laporan saya, saya menafikan kesemua kenyataan media mereka itu. “Saya minta perkara ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan oleh pihak polis,” tegasnya mengulas  mengenai satu ‘posting’ di halaman Facebook Pemuda PAN Terengganu yang diterbitkan pagi tadi. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di sini. Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, dakwaan beliau mengarahkan pembelian sebuah kereta Honda CRV nombor pendaftaran TCG 6040 berwarna hitam untuk kegunaan peribadi adalah tidak benar sama sekali. “Saya tidak pernah mengarahkan sebarang pembelian kereta. Sebaliknya kereta tersebut serta van operasi (Starex) yang telah pun dibeli sebelum ini adalah dengan kelulusan oleh Lembaga Pengarah PB Hotel sejak 2019 sebagai kemudahan untuk saya serta kakitangan hotel. “Berikutnya, bilik yang dinyatakan itu telah disewakan kepada Ifio Sdn Bhd yang merupakan syarikat pemaju perisian computer untuk kegunaan mereka. Kesemua urusan sewaan bilik dengan mana-mana syarikat adalah berekod dan mengikut perjanjian,” katanya. Mengulas lanjut, ujar Abdul Hadi, beliau menafikan dakwaan kebajikan kakitangannya tidak dijaga, malah pembelian uniform syarikat turut dibuat secara berperingkat dari semasa ke semasa. “Saya sendiri tidak pernah membuat sebarang tuntutan perjalanan dengan syarikat. Pemberian hak penggunaan bilik rasmi hotel untuk kegunaan peribadi anak secara tetap juga tidak pernah berlaku. “Justeru saya membuat ‘report’ ini agar pengendali halaman Facebook Pemuda PAN Terengganu disiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana telah mengeluarkan kata-kata berbentuk fitnah terhadap saya,” katanya.
14 Mar 21
3641
Zetty Roses Bakal Terokai Industri Pati Minyak Wangi
Zetty Roses Bakal Terokai Industri Pati Minyak Wangi
HULU TERENGGANU, 14 Mac-Perusahaan berasaskan bunga ros sememangnya mendatangkan pulangan lumayan, ditambah pula minyak yang dihasilkannya antara paling bernilai dengan setiap milimeter boleh mencecah ribuan ringgit.  Dek keharuman pati minyak ros, ramai pengusaha minyak wangi berjenama di dunia  sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi mendapatkan bahan mentah utama kepada produk keluaran mereka. Melihat potensi pasaran yang tinggi di luar negara itu, Dr Sh Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad, 43, pemilik Zety Roses yang merupakan satu-satunya taman ros terbesar tanah rendah di Malaysia mula menerokai bidang tersebut. Katanya, industri penghasilan minyak wangi sehingga kini masih dikuasai negara-negara pengeluar dan pengasas awal bauan pesona dunia. "Terlintas di fikiran saya untuk menghasilkan sendiri pati bunga yang bermutu tinggi sekaligus menjadi pembekal utama di Malaysia. Pada masa yang sama saya membuat beberapa penyelidikan tentangnya di internet. "Saya kemudian mengambil keputusan untuk meneruskan perancangan tersebut dengan sokongan suami, Engku Hassan Engku Wok Zin dan impian kami ingin menjadikan Zety Roses salah satu pengeluar  terbaik di Malaysia dan dunia. “Untuk permulaan sebanyak 1,000 mawar kampung (rose damask) akan ditanam di sebahagian tanah di belakang Laman Ros yang mana hasilnya( pati bunga)akan diperolehi akhir tahun ini,” ujar ibu kepada lima anak ini. Beliau berkata, industri berkenaan mempunyai potensi yang luas memandangkan ia kurang diceburi di negara ini walaupun Asia Tenggara terkenal dengan penghasilan minyak pati gaharu yang terkenal dalam pembuatan minyak wangi di Asia Barat. ”Secara praktikalnya, semua wangian mahal di seluruh dunia mengandungi minyak ros. “Jadi tidak hairan jika harganya mencecah ribuan ringgit untuk satu botol kecil minyak mawar. Minyak mawar digunakan untuk menghasilkan pelbagai perfum berasaskan bunga ros,”ujarnya. Menurut bekas Pensyarah Kaunseling dan Psikologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), jenis bunga mawar yang sering digunakan untuk minyak pati adalah daripada jenis rose damask. Minyak pati ini sesuai sekali untuk tujuan pembuatan minyak wangi Bergelar pengumpul ros sejak sembilan tahun lalu, dia mengakui begitu obses mengumpul ros daripada pelbagai baka dan identiti kerana bunga berkenaan sarat dengan nilai keindahan semula jadi. Laman ros di hadapan rumahnya menjadi tumpuan penggemar bunga itu setiap hujung minggu, baik yang mahu melawat untuk berterapi, atau memborong benih untuk ditanam di rumah sendiri atau dijual semula. "Sejak berkecimpung secara serius dalam penanaman bunga ini kira-kira sembilan tahun lalu, saya mempunyai ribuan peminat ros termasuk wakil penjual dari seluruh negara yang sebahagiannya aktif menjalankan perniagaan menjual bungaan ini pada rakan dan jiran di tempat masing-masing. "Kebiasaannya pada cuti sekolah, rumah saya dipenuhi rombongan Rosarian iaitu peminat ros dari sekitar dan luar Terengganu. Saya bangga kerana secara tidak langsung membantu orang lain menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka, selain memberi satu terapi kepada mereka," katanya. Pernah kerugian puluhan ribu ringgit tapi jiwanya kental, dugaan dalam perniagaan menjadikannya lebih bersemangat untuk meneruskan cita-citanya menjadi usahawan berjaya. Keringat dan air mata sudah puas dicurahkan tapi nyata berbaloi untuk Dr Zetty selepas usahanya dalam projek Laman Ros seluas 1.6 hektar membuahkan hasil lumayan.  Tambahnya lagi, beliau kini komited untuk mencapai visi mereka iaitu  Zety Roses akan menjadi pusat yang menyediakan perkhidmatan pelbagai berasaskan ros untuk kelestarian alam sejagat demi penjanaan ekonomi ummah menjelang 2023.
14 Mar 21
2465
Ambil Vaksin Sebagai Ikhtiar - Abdul Hadi
Ambil Vaksin Sebagai Ikhtiar - Abdul Hadi
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat supaya tampil mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19, sebagai ikhtiar untuk mengurangkan jangkitan wabak itu. "Sepatutnya kena ambil vaksin dengan keadaan wabak yang ada. Menjadi tanggungjawab semua untuk jaga diri kita masing-masing. "Kita orang Islam tak boleh berserah sahaja, ikhtiar kena ada. Mencegah penyakit sangat penting dan dituntut dalam agama," katanya ketika ditemui pemberita di sini. Abdul Hadi, 74, menjadi salah seorang penerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini dan selesai mendapat suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada jam 10.11 pagi di Klinik Kesihatan Chendering. Proses vaksinasi terhadap Presiden PAS berkenaan dibuat Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Chendering, Raziah Hanim Mamat. Menurutnya, beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin berkenaan. "Hari ini saya sudah disuntik dengan vaksin COVID-19, alhamdulillah tak berasa apa pun, proses yang dilakukan tadi macam biasa," ujarnya. Beliau merupakan antara penerima vaksin COVID-19 selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 96, di samping isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, 95.
14 Mar 21
1774
Semua Vaksin COVID-19 Dijamin Selamat
Semua Vaksin COVID-19 Dijamin Selamat
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Orang ramai dinasihatkan tidak memilih atau mempersoalkan jenis vaksin COVID-19 yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kesemuanya dijamin selamat serta sudah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin seperti Pfizer-BioNtech, Astrazeneca, Sinovac, Cansino Biologics dan Sputnik V memiliki keberkesanan yang sama. "Vaksin Sinovac yang dibotolkan akan mula diterima pada 15 Mac, saya sendiri bersama dengan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin akan mengambil suntikan itu. "Saya akan mengambilnya di negeri ini untuk memberi keyakinan kepada masyarakat awam khususnya rakyat negeri ini bahawa ia adalah selamat," katanya. Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata demikian selepas merasmikan program Semarak Dakwah 2.0 di Pasar Kedai Payang, pada hari ini. Mengulas mengenai kebimbangan rakyat terhadap beberapa eksiden berkait keberkesanan vaksin AstraZeneca di luar negara, beliau berkata laporan yang diterima selepas siasatan mengesahkan ia tidak benar. "Saya ingin memaklumkan vaksin itu telah diluluskan secara bersyarat dan Malaysia akan mula menerimanya pada sukuan ketiga, masih punyai tempoh ada tempoh tiga atau empat bulan lagi. "Jadi dalam tempoh ini kita akan memantau dengan teliti perkembangan di seluruh dunia berhubung dengan beberapa eksiden yang dimaksudkan," ujarnya. Dalam pada itu Ahmad Amzad berkata, sehingga semalam lebih 290,000 ánggota barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin fasa pertama yang berakhir April ini. "Jumlah yang kita sasarkan untuk fasa pertama ini ialah 571,000 jadi untuk kadar vaksinasi yang sedang dilaksanakan sekarang sebenarnya kita agak terkehadapan. "Jadi saya yakin fasa ini akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dengan melihat perkembangan minat masyarakat sehingga sekarang melalui pendaftaran lebih 5.5 juta dengan purata setengah juta yang mendaftar setiap hari," katanya.    
14 Mar 21
243
RM7.5 Juta Diluluskan Untuk Kerja Pemuliharaan Sungai Atasi Risiko Banjir
RM7.5 Juta Diluluskan Untuk Kerja Pemuliharaan Sungai Atasi Risiko Banjir
KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM7.5 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengatasi risiko banjir untuk Negeri Terengganu tahun ini. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, RM4.8 juta kerja akan dilaksanakan secara undian yang melibatkan 103 kerja di semua lapan daerah yang melibatkan kerja di bawah RM100,000 bagi kontraktor kelas G1 pada hari ini dan selebihnya akan dilaksanakan pada fasa kedua dalam masa terdekat. “Hari ini saya telah merasmikan Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah Peruntukan  Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) bagi kerja-kerja pemulihan sungai untuk mengurangkan risiko bencana banjir di Negeri Terengganu.  “Pelaksanaan perolehan kerja secara undian ini adalah bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja disamping membantu kontraktor bumiputera Kelas G1 dalam menjana semula ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.  Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman. Menurut Tuan Ibrahim, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk kerja-kerja pemulihan sungai bagi mengurangkan risiko bencana banjir di seluruh negara bagi tahun 2021 selaras dengan hasrat utama kerajaan untuk melihat sektor ekonomi domestik terus digerakkan.  “Saya percaya melalui kaedah pemilihan secara undian akan dapat memastikan bahawa proses pelantikan kontraktor dapat disempurnakan secara terbuka dan telus.  “KASA akan bertindak tegas dalam perkara ini bagi meminimumkan bilangan projek sakit, termasuk menamatkan kontrak atau membuat penyenaraian hitam terhadap kontraktor yang gagal memenuhi syarat yang telah dipersetujui,” ujarnya. Katanya, tawaran kerja untuk fasa pertama melibatkan negeri Johor yang telah diadakan pada 8 Mac lalu, negeri Terengganu (hari ini), diikuti dengan Kelantan, Pahang, Melaka, Kedah dan Perlis. “Manakala, fasa Kedua pula melibatkan Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Labuan, Sabah dan Sarawak,” ujarnya. Jelas beliau, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemuliharaan sungai dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan selepas kontraktor berjaya mendapat projek terbabit menerusi proses undi yang dilakukan.  
14 Mar 21
568
Abdul Hadi Selesai Divaksin Covid-19
Abdul Hadi Selesai Divaksin Covid-19
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, 74, hari ini menerima vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering di sini. Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah disuntik Ketua Jururawat, Raziah Hanim Mamat kira-kira pukul 10.15 pagi. Beliau antara penerima vaksin Covid-19 terawal di kalangan pemimpin PAS di negeri Terengganu. “Saya sudah biasa setiap dua minggu sekali ke hospital, jadi proses vaksinasi yang dilakukan tadi adalah seperti biasa. “Mendapatkan suntikan Covid-19 adalah antara ikhtiar kita selain bertawakal kepada Allah dan usaha untuk mencegah sebelum sakit itu sangat penting. "Prosedur vaksinasi Covid-19 yang dijalankan hari ini sama seperti rutinnya mendapatkan rawatan di hospital sebelum-sebelum ini," kata Abdul Hadi sebelum beredar meninggalkan klinik pada jam 10.40 pagi tadi.  
14 Mar 21
465
Pembangunan Projek ECRL Lepasi Sasaran
Pembangunan Projek ECRL Lepasi Sasaran
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Status terkini Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga bulan Februari 2021 menunjukkan perkembangan membanggakan selepas peratusan kemajuan dalam negeri ini melepasi sasaran asal. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, keadaan pembangunan semasa projek tersebut adalah kehadapan dengan 3.82 peratus berbanding 1.46 peratus mengikut jadual asal. “Ini bermakna kita memintas jadual dan merupakan satu petanda baik, jika kita boleh lihat terowong di Paka sudah berjalan dan begitu juga di Bukit Bauk, Dungun dengan pembinaan terowong dalam proses untuk disiapkan. “Kerajaan negeri turut memulakan perancangan mengenalpasti tanah-tanah bersesuaian bagi pembangunan di sekitar stesen-stesen ECRL dalam lingkungan radius 5 kilometer. “Pembangunan ini di bawah Economic Accelerated Project (EAP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam mewujudkan hab kargo, pembangunan kawasan perindustrian dan juga pembinaan secara Townsed Oriendted Development (TOD),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini. Tambah Dr Mamad, pelaksanaan projek di sekeliling laluan kereta api akan berpotensi meligatkan ekonomi negeri khususnya mengukuhkan pelaburan sedia ada serta mengurangkan kos ‘doing business’ dalam negeri. Berdasarkan laporan sebelumnya, Terengganu akan mempunyai enam buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo. Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 merangkumi laluan sepanjang 640 km dengan perubahan jajaran sebanyak 417 km atau 65.2 peratus daripada jajaran asal.
14 Mar 21
2821
Cawangan Pejabat LHDN Terengganu Ditutup, Jalani Proses Sanitasi
Cawangan Pejabat LHDN Terengganu Ditutup, Jalani Proses Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 13 Mac -  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada hari ini telah memaklumkan beberapa cawangan dan pejabat LHDN di sekitar Terengganu akan ditutup buat sementara mulai esok hingga 16 Mac bagi memberi laluan kepada kerja sanitasi. LHDN dalam satu kenyataan, menyatakan antara cawangan terlibat dalam proses tersebut adalah Pejabat Pengarah Negeri Terengganu dan Kelantan di Kuala Terengganu, Cawangan Siasatan Kuala Terengganu, Pusat Khidmat Hasil (PKH) Kemaman dan PKH Dungun. Menurut kenyataan tersebut lagi, cawangan alternatif lain bagi mereka yang ingin berurusan boleh menuju ke PKH Hulu Terengganu dan PKH Besut. Agensi tersebut turut menyarankan kepada para pelanggan yang hadir ke kaunter perkhidmatan LHDN agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penyebaran COVID-19. Untuk maklumat lebih lanjut, senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara boleh dicapai melalui pautan di http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Notis_Penutupan_Cawangan_LHDNM_Covid_19_1.pdf Bagi pertanyaan lanjut, talian Hasil Care Line di nombor 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara; HASiL Live Chat; dan melalui borang maklum balas di portal rasmi LHDN  
13 Mar 21
2125