lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Orang Ramai Digesa Manfaatkan Kuliah Dalam Talian
Orang Ramai Digesa Manfaatkan Kuliah Dalam Talian
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Rakyat di negeri ini digesa memanfaatkan kuliah 'online' yang tumbuh bagaikan cendawan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata, orang ramai seharusnya tidak melepaskan peluang tersebut lebih-lebih lagi selepas kerajaan melancarkan Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS). “Akademi DUAT membawakan kuliah khas BPIS secara dalam talian selama 30 hari tanpa henti pada setiap jam 10.00 pagi sepanjang bulan Mac 2021 ini. “Sama-samalah kita memanfaatkan waktu dhuha dengan melayari laman rasmi Facebook Akademi DUAT,” katanya kepada pemberita, sejurus selesai Semarak Dakwah 2.0 di perkarangan Pasar Kedai Payang, di sini baru-baru ini. Dalam program tersebut, Ramlan bersama kakitangan DUAT yang lain turut memeriahkan program Semarak Dakwah tersebut yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),  Datuk Ahmad Amzad Hashim. Program Semarak Dakwah yang dianjurkan YADIM dengan kerjasama Akademi DUAT itu mensasarkan kira-kira 1,000 masyarakat sekitar Kuala Terengganu.
18 Mar 21
284
Majlis Pekerjaan Belia Atasi Masalah Pengangguran
Majlis Pekerjaan Belia Atasi Masalah Pengangguran
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Malaysia sedang berusaha menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan anak muda di negara ini melalui penubuhan Majlis Pekerjaan Belia. Ahli Dewan Negara, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya yakin majlis itu mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada seramai 500,000 belia melalui tiga insiatif. "Pertama, 'My Future Job' dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah pun dilaksanakan boleh diakses melalui internet, kedua ialah program Skim Perantisan Nasional (SPN) dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). "Terakhirnya ialah 'Mari Kerja' di bawah Institut Automotif, Robotik dan Internet Of Things (IoT) Malaysia atau di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran di TV Darul Iman melalui E-Forum : 'Survival Hidup Belia, Apa Kata Senator? ', baru-baru ini. Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia memberitahu bahawa usaha tersebut merupakan cadangan daripada pihaknya yang telah diterima oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Ditakdirkan Allah perkara itu  diangkat dalam bajet 2021 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri. "Jika kita dapat menyelesaikannya melalui insiatif ini, tinggal lagi 300,000 belia menganggur yang boleh kita uruskan pula pada tahun 2022, pada waktu itu insya-Allah pandemik Covid-19 lebih terkawal dengan adanya vaksin," ujarnya. Kata beliau, impian untuk mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia menjadi prinsip asas kepada belanjawan negara di samping meningkatkan percambahan ekonomi rakyat dan mengawal inflasi untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
18 Mar 21
388
Terengganu Tambah Bekalan 100 Juta Liter Air Sebelum Raya Ini
Terengganu Tambah Bekalan 100 Juta Liter Air Sebelum Raya Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Jangkaan saluran bekalan air bersih pada minggu ini melalui sebuah lagi loji baharu benar-benar berlaku apabila air telah mula dilepaskan dari Loji Air Pulau Bahagia, Manir di sini hari ini. Pelepasan bekalan air tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, pagi tadi. Dr Mamad Puteh. Menurut Dr Mamad, pihaknya bersama Syarikat Air Terengganu (SATU) menjangkakan akan membekalkan sebanyak 100 juta liter air sehari (MLD) untuk kegunaan 100,000 penduduk sebelum raya ini sebagai tambahan. “Hari ini kita melawat Loji Air Pulau Bahagia yang merupakan salah satu antara tiga loji baharu, dua lagi loji iaitu Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) masih sedang dalam pembinaan. “Di Pulau Bahagia kapasitinya 20 MLD untuk bekalan air di Mukim Manir dan sekitar Telemong. Kemudian di Bukit Berapit yang mana dalam pelaksanaan oleh pihak KAJV, insya-Allah akan siap sebelum raya nanti. “Ini bermakna ada kira-kira satu bulan setengah hingga dua bulan tempoh untuk menyiapkan dua lagi loji baharu untuk mengatasi masalah air di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Untuk loji di Bukit Berapit kapasitinya agak besar iaitu 120 MLD. “Tetapi kita cuba siapkan secepat mungkin sebelum raya nanti sebanyak 60 MLD dahulu untuk kegunaan orang ramai. Satu lagi di Losong dengan kapasiti 40 MLD, tetapi untuk sebelum raya ini kita cuba siapkan sebanyak 20 MLD iaitu separuh. “Jadi keseluruhan sebelum raya ini, kita akan cuba siapkan 100 MLD sebagai tambahan untuk keperluan penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita dalam tinjauannya ke Loji Air Pulau Bahagia di sini hari ini.  Hadir sama dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong. Dalam perkembangan sama, jelasnya, Loji Air Pulau Bahagia yang dilancarkan hari ini akan dapat mengatasi sebahagian masalah air di Kuala Terengganu kerana kapasiti yang ada adalah sebanyak 20 MLD. “20 MLD ini, bekalannya sebelum ini menggunakan sistem air di Loji Air Kepong 1 dan 2. Jadi dengan siapnya loji air ini akan mengurangkan penggunaan air di Loji Kepong 1 dan 2,” ujarnya. Tambah beliau, banyak proses perlu dilakukan sebelum loji mula beroperasi termasuklah memastikan air yang dipam di muka sauk adalah air yang bersih, tidak ada raksa dan arsenik serta bebas dari kuman yang berbahaya dan berisiko kepada kesihatan pengguna. Ketiga-tiga loji berkenaan berupaya menambah bekalan sebanyak 184 MLD berbanding hanya 282 MLD yang mampu dibekalkan oleh loji air sedia ada iaitu Loji Air Losong, Loji Air Kepong 1 dan Kepong 2 ketika ini.
18 Mar 21
4739
Kluster Baharu COVID-19 Muncul Lagi Di Terengganu
Kluster Baharu COVID-19 Muncul Lagi Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Terengganu mencatatkan satu kluster baharu jangkitan COVID-19 iaitu Kluster Ladang Bukit berpunca akibat ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja. Pengarah Kesihatan Negeri, Nor Azimi Yunus berkata ia melibatkan empat daerah iaitu  Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu berpunca dari jangkitan di tempat kerja di Kerteh dan akhirnya merebak ke komuniti. Katanya, sehingga kini, seramai 96 kes positif dikesan dari kluster tersebut dimana 49 adalah pekerja manakala 47 orang adalah ahli keluarga. Seramai 1,023 kontak rapat berjaya dikesan “Ia melibatkan seorang pekerja  di tempat kerja Kerteh yang mempunyai gejala dan dikesan positif didapati berulang alik ke sebuah negeri kerana isteri dan anaknya tinggal di sana. “Bila kes positif masuk bekerja, mereka akan menjangkiti rakan sekerja pula. Apalagi kalau tempat kerja yang sempit dan sesak ditambah pula mereka bekerja bersama-sama selama 14 jam sehari.  “Hasilnya seramai 49 dari 161 orang pekerja tadi dikesan positif serentak. Ini bermaksud transmisi telah lama berlaku,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik laman Facebooknya hari ini. Kluster Ladang Bukit yang didaftarkan pada 12 Mac lepas adalah kluster tempat kerja yang  yang mana kes indeks bagi kluster ini membabitkan seorang lelaki berusia 29 tahun, warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Mac hasil saringan individu bergejala.  “Untuk kluster ini juga seramai lima pelajar dan seorang guru dari enam sekolah rendah telah dijangkiti. “Kita akui pematuhan SOP di rumah sangat sukar tetapi pematuhan SOP oleh pekerja dan majikan di tempat kerja adalah mesti bagi mengelakkan penularan yang besar seperti yang berlaku di Ladang Bukit ini,”ujarnya lagi. Nor Azimi berkata, walaupun sudah setahun lebih  bercakap mengenai kepatuhan SOP namun pelanggaran SOP masih boleh dilihat di mana-mana walaupun ia sepatutnya sudah menjadi norma baharu oleh semua pihak. “Kita setuju rentas negeri tidak boleh selamanya dilarang. Sampai masa ia akan dibuka semula dan pokok pangkal masih perlu kepada pematuhan SOP,”tambahnya. Beliau juga berharap kluster Ladang Bukit tidak menjadi kembar Makekar yang  masih terasa kesannya hingga kini. Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui Facebook rasminya melaporkan 15 kes baharu COVID-19 direkodkan di  negeri itu sehingga semalam menjadikan jumlah kes aktif ketika ini 199 dengan 16 kluster aktif setakat ini. Daripada jumlah itu, 197 kes berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala dua pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan.  
18 Mar 21
20630
Syukur, Akhirnya Terima Bekalan Elektrik
Syukur, Akhirnya Terima Bekalan Elektrik
MARANG, 18 Mac - Penderitaan sebuah keluarga yang tinggal di rumah tidak berelektrik selama lebih 15 tahun berakhir setelah mendapat bekalan asas itu baru-baru ini. Zakaria Mamat, 48, berkata, dia dan keluarga sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya mereka dapat hidup seperti orang lain. Katanya, sebelum ini mereka hanya menyambung tenaga elektrik dari rumah bersebelahan akibat tidak mampu menanggung kos pendawaian dan deposit elektrik. "Biasanya kami hanya menggunakan sebiji lampu mudah alih bagi menerangi rumah pada waktu malam, ke dapur dan kemana-mana hanya bergantung pada lampu tersebut. "Bilik anak-anak juga bergelap dan saya juga tidak berani menambah serta menyambung lebih banyak peralatan elektrik kerana bimbang berlaku masalah," jelasnya. Beliau berkata ketika menerima kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, ke rumahnya setelah selesai pemasangan tersebut. Sebelum ini, keluarganya turut dikunjungi oleh PKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Bukit Kecil. Sementara itu, Pegawai Khas PKM Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berusaha membawa permasalahan keluarga Zakaria kepada agensi terbabit iaitu MAIDAM, bagi mendapatkan bantuan dana pendawaian tersebut. "Saudara Zakaria juga mempunyai masalah kewangan, di mana dia yang berkerja sebagai pemandu bas persiaran sebelum ini tidak dapat berjalan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekaligus menyebabkannya hilang mata pencarian. "Usahanya sebelum ini memohon bantuan daripada beberapa pihak tidak mendapat perhatian, jadi kita merasa bersyukur kerana dapat membantu keluarganya untuk tinggal di rumah yang lebih selesa dengan mempunyai bekalan elektrik. "Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih, kepada mereka yang terlibat dalam membantu menyelesaikan masalah keluarga ini terutamanya MAIDAM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Marang dan JPKK Kampung Baru Bukit Kecil." PKM juga telah memaklumkan kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebagai cadangan penama e-kaseh, bagi membantu penduduk kurang berkemampuan, tambahnya.
18 Mar 21
1341
Khairunnisa' Sumbang RM2,000 Setiap DUN, Bantu Mangsa Banjir
Khairunnisa' Sumbang RM2,000 Setiap DUN, Bantu Mangsa Banjir
MARANG, 14 Mac - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') bergerak aktif dalam menyumbang bantuan kepada mangsa banjir di mana setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan sebanyak RM2,000. Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, setiap DUN terdiri daripada 20 orang penerima yang terlibat dalam bencana dan musibah banjir baru-baru ini, juga merupakan mereka yang kurang berkemampuan. Bantuan ini adalah usaha Khairunnisa' untuk membantu penduduk di seluruh negeri Terengganu khususnya tempat yang terjejas teruk di samping bantuan daripada agensi terlibat. Beliau berkata ketika hadir menyerahkan bantuan tersebut kepada beberapa orang penduduk kampung di sekitar DUN Rhu Rendang baru-baru ini. Turut hadir adalah petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Rhu Muda, Kijing, Rhu Dua dan Rusila. "Sebenarnya bantuan ini telah bermula lama dulu, tetapi ada beberapa tempat yang menerima bantuan agak lambat kerana kekangan pergerakan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Alhamdulillah, selepas pergerakan kembali seperti biasa, dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, sumbangan ini dapat diserahkan semula," tambahnya lagi. Beliau juga sempat menyantuni beberapa orang penduduk yang kurang sihat, sakit kronik dan baru menerima cahaya mata kembar seiras di sini.
18 Mar 21
261
Aksi Babak Kedua Selamatkan Terengganu FC
Aksi Babak Kedua Selamatkan Terengganu FC
RABU, 17 Mac- Kecemerlangan aksi separuh masa kedua menyelamatkan Terengganu Football Club (Terengganu FC) dari kehilangan mata apabila seri 1-1 menentang Melaka United  dalam aksi keempat Liga Super Malaysia 2021, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. Di atas kertas, skuad kendalian Nafuzi Zain yang merakamkan tiga kemenangan sebelum ini dilihat lebih ampuh berbanding anak buah Zainal Abidin Hassan yang belum mencatatkan sebarang kemenangan pada tiga aksi terawal musim ini. Namun, tuan rumah dikejutkan seawal minit kedua apabila serangan balas pelawat menghasilkan penalti setelah terkena tangan pertahanan, Muhamad Hafizal Mohamad. Penyerang import Melaka, Alex Dos Santos cemerlang menyempurnakan tendangan tersebut dan memastikan pelawat selesa di depan. Sang Kancil terus menguasai perlawanan dan selesa melakukan asakan ke kubu Sang Penyu  sehingga tamat babak pertama. Bersambung separuh masa kedua, Nafuzi melakukan perubahan drastik dengan memasukkan Faiz Nasir, Azalinullah dan Arif Fadzilah bagi menguasai perlawanan. Namun, percaturannya hampir terganggu apabila Azalinullah terpaksa digantikan dengan Shahril Sapien pada minit ke-54 akibat kecederaan. Tuan rumah mula banyak mengatur serangan bagi menyamakan kedudukan. Pada minit ke-65, Marcel yang mendapat bola daripada Arif Fazilah melorongkan bola kepada Jordan yang mudah menewaskan pertahanan lawan sebelum merembat rendah bola melepasi jangkauan Khairul Fahmi. Kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat perlawanan.  
17 Mar 21
3380
'Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Mampu Capai Matlamat'
'Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Mampu Capai Matlamat'
Oleh: Marwan AlHakim KUALA LUMPUR, 18 Mac- Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim optimis Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mampu mencapai matlamat mewujudkan imuniti kelompok apabila fasa kedua dan ketiga program suntikan bermula. “Berdasarkan, perkembangan program imunisasi ketika ini yang telah mencatat lebih 70 peratus daripada jumlah 571,000 ribu pasukan barisan hadapan di seluruh negara yang akan menerima vaksin di dalam fasa pertama, saya yakin program imunisasi ini akan mencapai matlamatnya. "Kita berharap semoga imuniti kelompok akan segera dicapai apabila fasa dua dan fasa tiga program imuniti ini bermula.” katanya ketika ditemui selepas selesai lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hopital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), pagi semalam. Kunjungan Ahmad Amzad telah disambut oleh Pro-Naib Canselor Konsortium Hospital UNI Awam Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan), Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor serta Timbalan Pendaftar Hopital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Encik Mursidi Ahamad. Turut hadir, Mantan Pro-Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal. Dalam lawatan tersebut, Amzad turut melihat secara langsung bagaimana proses suntikan bermula daripada proses memasukkan vaksin ke dalam jarum suntikan sehingga kepada proses suntikan vaksin ke dalam badan. Pada program yang berlangsung pagi ini, seramai 408 'frontliner' terdiri daripada kakitangan kesihatan dan keselamatan hadir mendapatkan suntikan vaksin.  
17 Mar 21
413
Jangan Timbullkan Kekeliruan Tentang Vaksin
Jangan Timbullkan Kekeliruan Tentang Vaksin
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Golongan agamawan dan daie di negeri ini diingatkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan perlu berhati-hati dalam mengemukakan sebarang pandangan mengenai vaksin COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebarang pandangan yang dikemukakan seseorang di luar bidang ilmu dan kepakarannya dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan. “Pada masa sama, pastinya akan timbul salah tanggapan dalam kalangan masyarakat terutamanya orang awam. “Pihak yang mempunyai kepakaran khusus mengenai vaksin COVID-19 adalah mereka yang berkecimpung dalam bidang perubatan seperti doktor, pengamal perubatan, ahli farmasi dan sebagainya. “Sekiranya tetap mahu beri pandangan mestilah berdasarkan kajian terperinci dan tidak bertentangan dengan apa yang dikemukakan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya. Beliau berkata demkian ketika berucap dalam Program Tausiyah Dhuha Daie Terengganu bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al Makki di Dewan Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort, hari ini. Mohd Nor turut mengingatkan daie agar sentiasa mencari ilmu baru dan menjaga adab ketika menyampaikan ceramah. Katanya, menyampaikan ilmu bergantung kepada keadaan masyakat setempat. Jika orang kampung, sewajarnya menggunakan bahasa yang mudah difahami. “Ketika menggunakan laman sosial pula, setiap kata-kata perlu diperhalusi kerana setiap apa yang dipaparkan akan menjadi ikutan terutama bagi mereka yang cetek ilmu agama,” katanya.    
17 Mar 21
1051
Empat OKU Ungguli 'Top Ten' Runner Grab Food Terengganu
Empat OKU Ungguli 'Top Ten' Runner Grab Food Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Sering kali kita mendengar penghantar makanan dibarisi golongan sempurna dan sihat, maka sesuatu yang luar biasa jika penghantar makanan (runner) itu adalah Orang Kurang Upaya (OKU). Ini terbukti apabila empat OKU tersenarai antara 10 penghantar makanan terbaik Grab Food di Kuala Terengganu mengatasi runner yang sempurna segala sifatnya. Salah seorang daripada 10 penghantar makanan OKU yang ditemui,  Mohammad Asyraf Anuar, 24, berkata, baginya kudrat yang ada tidak akan dipersia-siakan. Katanya yang juga bertindak sebagai penterjemah bahasa isyarat bagi rakan-rakan, selagi mampu mereka akan berusaha tanpa mengharap bantuan dan tugas dijalankan penuh keikhlasan. "Saya pernah rasa kecewa apabila permohonan ditolak oleh satu syarikat penghantar makanan hanya kerana bergelar insan istimewa. "Setelah mendapat tawaran daripada Syarikat Penghantar Perkhidmatan Makanan (Grab Food), saya turut mempelawa rakan-rakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri (Pendidikan Khas) yang senasib untuk bersama-sama dalam bidang ini. "Alhamdulillah, kami semua berjaya menjana pendapatan hampir RM3,000 sebulan tanpa membebankan orang lain,"  ujarnya yang mempunyai masalah pendengaran. Sementara itu, bagi Ahmad Aiman Yaakob 22, dari Bukit Kecil berkata dia memilih kerjaya sebagai penghantar makanan kerana mampu menjana pendapatan lumayan dan pembahagian masa yang lebih terurus. Menurutnya yang tiada deria pendengaran (pekak) dan bisu, itu juga bukan alasan untuk tidak mara ke hadapan dan meratapi nasib diri. "Saya pernah menunggang motosikal meredah hujan lebat demi tugasan dan  ada juga pelanggan yang membatalkan tempahan saat akhir," ujarnya yang mempunyai Sijil Mekanikal Politeknik Shah Alam. Ditanya apakah cabaran sebagai seorang rider, Aiman memberitahu tidak banyak kesukaran yang dihadapinya kerana komunikasi antaranya dengan pembekal makanan dan pelanggan adalah menerusi aplikasi mesej. Lain pula bagi Ahmad Muhaimin Yatim, 29, dari Rusila, memilih kerjaya itu untuk mengumpul duit bagi melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya pada Julai ini. "Rasa bersyukur tunang dan keluarganya memahami apa yang saya sedang lakukan sekarang dengan hanya satu pesanan iaitu sentiasa menjaga keselamatan diri. "Insya-Allah, saya akan kerja sebaik mungkin untuk masa depan yang akan kami bina nanti,"katanya.            
17 Mar 21
2969