Artikel "Utama" Terkini
'Maghi Candat Sotong' Kembali Dengan Norma Baharu Ketat
KUALA NERUS, 3 Mei - Kerajaan negeri melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu sedang berbincang mengenai pelaksanaan dan kaedah sesuai bagi penganjuran Program Maghi Candat Sotong pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, program tersebut berikutan musim mencandat sotong bermula April hingga September ini akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.
Katanya, peraturan dan prosedur akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keadaan semasa untuk memastikan pelancong domestik boleh datang bagi menyertai aktiviti tahunan tersebut.
"Antaranya pengusaha bot bagi aktiviti perairan ini bersedia untuk mengurangkan kira-kira 50 peratus jumlah peserta berbanding musim biasa.
"Tahap ketersediaan pengusaha terlibat semuanya dalam keadaan baik dalam pematuhan-peraturan yang ditetapkan supaya aktiviti mencandat berjalan tanpa sebarang masalah.
"Berkaitan SOP bagi sesebuah bot, jumlah kapasiti peserta akan dikurangkan kepada 12 orang berbanding 20 orang bergantung kepada muatan dan saiz bot," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis moreh bersama media, malam semalam.
Mengulas lanjut berkenaan pemeriksaan terperinci peserta yang akan terlibat, Ariffin memaklumkan, pihaknya akan menjalankan tindakan sesuai bagi memastikan risiko penularan dikurangkan.
"Tambah lagi, kita juga akan meneliti aspek kebenaran penyertaan sama ada hanya boleh diberikan kepada mereka yang sudah lengkap menerima dos vaksin, atau telah menjalani ujian calitan dan disahkan sihat sebelum memasuki Terengganu," jelasnya.
Untuk rekod, Program Maghi Candat Sotong merupakan program pelancongan pertama di Terengganu selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada Julai tahun lepas.
03 May 21
400
Orang Ramai Dipelawa Sertai Pertandingan Pelita Raya
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Orang ramai khususnya rakyat Terengganu dijemput menzahirkan kreativiti masing-masing dalam pertandingan Pelita Raya bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pertandingan Pelita Raya anjuran kerajaan negeri itu akan dimulakan pada 6 Mei ini.
Katanya, para peserta boleh mempamerkan idea kreatif dengan membina replika atau monumen menggunakan lampu pelita bagi menceriakan kawasan rumah dan kampung mereka.
"Pertandingan Pelita Raya ini juga diadakan di setiap kampung melibatkan lapan daerah di Terengganu menerusi dalam talian. Pertandingan Pelita Raya dari 6 hingga 11 Mei ini akan diadakan di Kampung Budaya melibatkan rumah-rumah daerah.
"Saya rasa tahun ini ia lebih terurus, terarah dan lebih ceria," katanya kepada pemberita selepas Majlis Moreh Kolaborasi KAWAT- Exco Pelancongan di Kafe Kahve, malam tadi.
Beliau berkata menjadi kelaziman dan tradisi penduduk terutama di kawasan kampung memasang pelita di sekeliling rumah dan sepanjang jalan bagi menceriakan suasana waktu malam pada hari-hari terakhir bulan Ramadan.
03 May 21
999
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Kembali Tertinggi Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Terengganu kembali menyaksikan peningkatan mendadak Kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia dengan mencatatkan nilai 1.66.
Menurut statistik yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia turut menunjukkan kenaikan kepada 1.11 semalam daripada 1.10 pada hari sebelumnya.
Terengganu turut mengalami peningkatan jumlah kes baharu positif virus merekodkan 184 kes baharu pada hari Isnin berbanding 42 kes pada awal minggu ini.
"Jumlah kes aktif yang sedang dirawat dalam negeri adalah 404 kes dengan jumlah kumulatif kes berjumlah 4,419 kes," sepertimana dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi laman Facebook rasmi.
Sementara itu, Kelantan, Kedah, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan adalah di antara negeri dengan kadar kebolehjangkitan tinggi melebihi angka 1.0.
Statistik angka tinggi di negeri lain yang melebihi 1.0 juga direkodkan di Johor, Melaka, Perak, Putrajaya, Sarawak dan Pulau Pinang.
Untuk pengetahuan, nilai Rt merujuk kepada tahap penularan virus, iaitu berapa jumlah individu yang mampu dijangkiti oleh satu kes positif.
Contohnya, semakin rendah nilai tersebut, kemungkinan jangkitan bagi kes positif adalah berkurang.
03 May 21
529
Kerajaan Hulur RM100,000 Bantu Perantau
KUALA LUMPUR, 3 Mei - Nasib rakyat Terengganu di perantauan yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19 terbela apabila kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia merupakan usaha yang jitu daripada pihak kerajaan negeri kepada anak rantau untuk terus membela kebajikan mereka.
"Menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri kepada seluruh anak Terengganu yang berada di perantau dengan harapan ia akan memberi kebaikan dan manfaat yang mampu membantu meringankan beban dialami mereka," katanya,
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan berkata demikian ketika berucap pada Program Sidang Meja Bulat Pimpinan NGO Terengganu di Perantauan Beserta Majlis Iftar Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Sunway Putra Hotel, di sini, semalam.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Samiun Salleh, Timbalan Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera, Mohd Nasir Abdul Razab dan ketua Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.
Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, pertemuan yang diadakan itu membawa mesej bahawa kebajikan anak jati negeri tersebut tidak terabai walau di mana sahaja berada.
"Tetap merupakan antara mereka yang berasal dari negeri Terengganu, terutama apabila masih mengekalkan pendaftaran untuk mengundi di Terengganu.
"Beerti kerajaan masih mempunyai tanggungjawab terhadap mereka,"ujarnya.
Dalam pada itu Prof Dr Kamaruzaman berkata dengan sumbangan berkenaan kerajaan telah menunjukkan keprihatian yang tinggi demi membela nasib perantau.
"Saya rasa jumlah ini sangat besar dan kita akan cuba sedaya upaya bagi memastikan wang ini dapat kita kongsi kepada semua pihak yang terlibat.
"Kerana kita dapati sekarang ini ramai yang terkesan terutama yang bekerja sendiri seperti meniaga secara kecil-kecilan sebagai contohnya.
"Jadi saya rasa ini merupakan bantuan yang sangat baik untuk membantu mereka yang berada di luar ini, dan masih memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan negeri," ujarnya.
02 May 21
2755
Mintah Hatrik, Terengganu FC II Kekal Rekod Tanpa Kalah
KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Terengganu Football Club II (Terengganu FC II) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi pusingan pertama Liga Premier 2021 apabila menang selesa 4-1 ke atas Kelantan United FC (KUFC), sebentar tadi.
The Turtle melayan kunjungan KUFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) cemerlang meledak empat gol dengan Jordan Mintah mencetak hatrik pertamanya musim ini.
Penyerang kelahiran Ghana itu mencetak gol melalui sepakan penalti pada minit keempat sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-31, juga melalui penalti.
Tuan rumah yang selesa di depan bagaimanapun dikejutkan pelawat pada minit ke-40 apabila Alfusainey Gassama mencetak gol untuk KUFC merapatkan kedudukan.
Memasuki babak kdeua perlawanan, anak-anak buah Akira Higashiyama cuba bangkit, namun dinafikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali.
Jaringan Argrim Redzovic menerusi sepakan percuma pada minit-55 dan penyudah sempurna Mintah melalui sepakan lencong pada minit ke-69 melengkapkan kemenangan Terengganu FC II.
Keputusan kekal 4-1 sehingga wisel penamat ditiupkan.
The Turtle menutup pusingan pertama dengan tujuh seri dan tiga kemenangan kini berada di tangga ketiga liga dengan 16 mata.
02 May 21
1172
COVID-19 : Terengganu Rekod 184 Kes, Setiu Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Situasi penularan COVID-19 di Terengganu kembali ke tahap membimbangkan selepas merekodkan 184 kes baharu hari ini dengan Setiu sebagai penyumbang terbesar.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan, daripada keseluruhan kes positif 154 daripadanya datang dari daerah Setiu manakala Besut 24, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing tiga.
Jelas JKNT, kes di Setiu melibatkan kluster yang baru didaftarkan semalam iaitu Kluster Saujana selain satu kes daripada saringan bergejala.
“Ia merupakan kluster institusi pendidikan yang melibatkan daerah Setiu dan Besut, Terengganu. Nama kluster adalah berdasarkan kepada alamat institusi pendidikan kes indeks.
“Kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 4106 yang merupakan seorang wanita berusia 13 tahun, Warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 28 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Saringan kontak rapat seterusnya berjaya mengesan kes-kes lain dalam kalangan rakan dan pengajar.
“Data saringan di Terengganu sehingga hari ini ialah berjumlah 386, 135 daripadanya negatif dan 153 positif, jumlah yang masih menunggu keputusan adalah 73,” ujar JKNT dalam satu kenyataan rasmi di facebook.
Dalam pada itu, JKNT turut memberitahu, selain kes-kes terbabit penularan positif baharu turut melibatkan tiga kes import C.
“Selain 12 kontak kes Kluster D’Lahar, 8 kontak kes Kluster Jalan Padang Tembak, 3 kontak kes Kluster Ara Murni,” tambah JKNT.
02 May 21
2613
Tak Mahu Buang Masa Budak SPM Jadi Penyadap Tuak
KUALA NERUS, 2 Mei - Hanya mempelajari kaedah menyandap nira (tuak) kelapa melalui you tube, dua sahabat karib Aidil Farhan Zailan Zainuddin dan Luqman Hakim Mohd Izham masing-masing berusia 18, kini seakan mahir melakukan pekerjaan itu bagi mendapatkan nira segar.
Lazimnya kerja itu dilakukan mereka yang sudah berusia dan pekebun yang berpengalaman tetapi ia tidak mendatangkan masalah bagi mereka berdua yang masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melakukan pekerjaan itu pada setiap hari di kebun kelapa pandan di Kampung Kesom, Manir, di sini.
Semua teknik, termasuk mengikat, menarah mayang dan memproses nira yang dibubuh keratan kayu cengal dilakukan sebaik mungkin sebelum dijual kepada pemborong dan warung-warung sekitar Batu Rakit.
Aidil Farhan berkata dia tidak mahu membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah sebaik tamat menduduki SPM, sebab itu pekerjaan menyadap kelapa menjadi pilihan.
“Walaupun tiada pengalaman, perkara itu tidak mendatangkan masalah, boleh mempelajarinya melalui you tube dan ada juga pemilik kebun Mohd Izham Mohd A Wahid yang ajarkan.
“Kini hampir tiga bulan melakukan perkerjaan itu, bulan ini (Ramadan) permintaan berganda daripada pengemar nira, jadi upah yang diterima pun lebih,” katanya.
Sementara itu Luqman Hakim yang juga anak pemilik kebun, berkata sambil membantu ayah, dapat juga duit belanja sementara menunggu keputusan SPM.
Katanya, upah yang diperoleh RM300 seminggu atau bergantung kepada hasil nira sangat bernilai baginya, kerana itu gaji hasil pekerjaan pertama sebaik tamat belajar.
“Saya akan gunakan sebaik mungkin hasil upah yang diperoleh, cadangnya mahu mengambil lesen memandu dan juga sebagai simpanan untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi kemahiran atau universitI nanti,” katanya.
Sementara itu, Mohd Izham berkata, dia kagum dengan anaknya Luqman Hakim bersama rakannya itu, walaupun masih remaja, sanggup menggantinya menjaga kebun seluas 1 ekar atau dengan anggaran 90 pokok pandan.
“Rutin harian mereka keluar bekerja seawal 7 pagi sehingga jam 8.30 pagi, kemudian kembali pula pada petang kira-kira jam 5 hingga 7 petang,” katanya yang bertugas di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
02 May 21
975
Peniaga Positif COVID-19, Dua Bazar Di Besut Ditutup
KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengarahkan bazar Ramadan di Kuala Besut dan Bukit Kenak, dalam daerah Besut ditutup tujuh hari bermula semalam hingga 7 Mei ini selepas ada peniaga di bazar itu positif COVID-19.
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus, berkata kedua-dua bazar itu diarah tutup mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi mencegah penularan COVID-19.
"Siasatan mendapati tiga daripada enam pekerja sebuah kafe di daerah Besut yang didapati positif, turut berniaga di kedua-dua bazar berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (6), Dungun (5), Marang (5) dan Hulu Terengganu (2). – BERNAMA.
02 May 21
2688
Tiada Laporan Penganjuran Iftar Di Kawasan Lapang
KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Sehingga kini tiada sebarang laporan diterima pihak berkuasa berkenaan penganjuran majlis berbuka puasa di kawasan terbuka dan lapang di negeri ini selepas aktiviti itu dilarang sejak awal Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihak penguatkuasa akan segera bertindak sekiranya terdapat laporan tentang pelanggaran arahan tersebut.
“Walau bagaimanapun, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar Ramadan masih boleh dipertingkatkan.
“Kesalahan biasanya seperti penjarakan fizikal yang kurang memuaskan kerana faktor ramai pengunjung yang hadir membeli juadah berbuka, tetapi nasihat akan terus diberi manakala kompaun adalah tindakan terakhir sahaja,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Sebelum ini, pihak berkuasa negeri tidak membenarkan sebarang aktiviti iftar di kawasan terbuka dan lapang sepanjang Ramadan 2021.
Mengulas mengenai salah faham arahan had umur kanak-kanak bawah 12 tahun, Dr Alias menjawab, larangan tersebut hanya termaktub di bazar Ramadan sahaja.
“Tiada keperluan untuk bawa anak-anak kerana urusan penting adalah hanya untuk membeli atau menjual juadah berbuka, hanya ibu bapa sahaja boleh belikan.
“Ini untuk kita kurangkan penularan COVID-19 di tempat yang sesak kerana risiko jangkitan kepada kanak-kanak adalah tinggi," katanya.
Tambah beliau, had umur kanak-kanak tersebut tidak melibatkan Ekspo jualan pakaian Aidilfitri.
“Salah faham ini timbul kerana had tersebut hanya melibatkan bazar Ramadan dan bukan bagi urusan pembelian pakaian raya,” jelasnya.
02 May 21
232
Tandukan Penang Lebur Hasrat Terengganu
KUALA NERUS, 1 Mei- Terengganu Football Club (Terengganu FC) terlepas peluang untuk menyaingi Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak Liga Super 2021 apabila tewas 1-4 kepada Penang FC dalam aksi terakhir pusingan pertama, sebentar tadi.
Empat gol menerusi tandukan yang dijaringkan Penang FC melonjakkan pasukan tersebut ke tangga ketiga dengan 22 mata.
Beraksi di laman sendiri, anak-anak buah Nafuzi Zain dikejutkan gol seawal minit ketujuh perlawanan apabila Sheriddin Boboev menanduk masuk sepakan sudut Endrik Dos Santos untuk Penang selesa di depan.
Tuan rumah cuba bangkit menyamakan kedudukan tetapi pelawat lebih mendominasi perlawanan.
Skuad kendalian Tomas Trucha lebih banyak melancarkan serangan ke kubu Terengganu FC.
Pada minit ke-21, Sang penyu sekali lagi tewas hasil sepakan sudut lawan.
Tandukan Casagrande berjaya ditepis Mohd Suhaimi Husin, namun Boboev sempat melakukan lorongan yang ditanduk mudah Endrik Dos Santos untuk Penang mendahului 2-0.
Pada minit ke-42, David Da Silva hampir meledakkan gol buat Sang Penyu, tetapi tandukannya ditepis See Tian Keat.
Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan tempo serangan dan berhasil merapatkan kedudukan melalui rembatan luar kotak Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-59.
Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang tidak menunggu lama untuk membalas.
Pada minit ke-65 Casagrande menanduk masuk hantaran lintang Quentin Jiun-Ho untuk gol ketiga Penang.
Tiga minit kemudian, penyerang dari Brazil itu sekali lagi menunjukkan taringnya dengan menanduk masuk hantaran lintang Danial Ashraf untuk pelawat selesa dengan empat gol.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan dan Terengganu FC jatuh di tangga keempat liga dengan 21 mata.
01 May 21
466