Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Berpotensi Dalam Pembangunan Teknologi - Menteri
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Terengganu, Kelantan dan Pahang mempunyai potensi besar untuk terlibat dalam pembangunan teknologi masa hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata negeri-negeri itu akan terus diberi perhatian dari segi pelaburan, pendidikan dan sokongan pembudayaan STI agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh.
"Sebagai contoh, pelaburan strategik dalam bidang seperti Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) di Terengganu bukan sahaja membuka ruang ekonomi baharu, malah memerlukan kemahiran khusus daripada tenaga tempatan.
"Ini menandakan betapa pentingnya usaha memperkasakan bakat dalam kalangan anak muda untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai industri teknologi tinggi negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu.
Lebih 5,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah, penyelidik dan pemain industri dari seluruh Pantai Timur hadir memeriahkan program Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan kerjasama aktif kerajaan negeri, institusi pendidikan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan bakat STEM dan inovasi.
Penganjuran Minggu Sains Negara 2025 turut menawarkan lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang berteraskan STI untuk para pengunjung dan peserta di luar sana
24 Jun 25
105
Tuba, Renjatan Elektrik Gugat Ekosistem Sungai
HULU TERENGGANU, 24 Jun – Sungai-sungai di Terengganu terus berdepan kerosakan ekosistem akibat kegiatan haram seperti menuba ikan dan penggunaan renjatan elektrik, meskipun data terkini menunjukkan insiden ini semakin berkurang hasil peningkatan kesedaran masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kegiatan menuba yang menggunakan akar tuba (Derris elliptica) serta teknik kejutan arus elektrik masih berlaku dan memberi kesan langsung kepada sumber akuatik negeri.
"Aktiviti tuba ikan, yang menggunakan akar tuba dan renjatan elektrik pada ikan masih ada.
"Tapi pada akhir-akhir ini, mengikut data yang kita perolehi, angka itu sudah menurun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut beliau, pelaku kegiatan ini bukan hanya penduduk tempatan, malah terdapat laporan bahawa ia turut dipelopori oleh warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor dan menggunakan masa lapang mereka dengan cara merosakkan sumber.
"Kita dapat laporan di kampung-kampung, aktiviti terlarang ini dipelopori oleh warga asing.
"Pekerja asing yang datang bekerja di sini, antara kegiatan masa lapang dia ialah menangkap ikan dengan cara melanggar kaedah dan merosakkan sumber," jelasnya.
Azman menyeru agar masyarakat menjadi barisan hadapan dalam memantau sungai dan segera melaporkan sebarang aktiviti haram demi menyelamatkan ekosistem air negeri.
"Kalau di laut, biar kita rasa laut itu milik kita, kalau di sungai, biar kita rasa sungai itu sungai kita.
"Cubalah jadi mata dan telinga untuk kita peka kepada kegiatan yang guna kaedah tangkapan yang merosakkan sumber seperti tuba, bom atau renjatan elektrik," tambahnya.
Beliau menegaskan, dengan lebih 1,000 batang sungai dan perairan seluas 87,000 meter persegi, adalah mustahil untuk semua kawasan dipantau secara berkesan tanpa penglibatan komuniti setempat.
"Jabatan tentu sekali tidak sempat nak letak kakitangan sepanjang aliran sungai.
"Jadi orang kampunglah yang diminta perhatikan," ujarnya.
Sebagai maklumat tambahan, menurut Akta Perikanan 1985 dan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993), penggunaan racun, bom atau arus elektrik dalam penangkapan ikan adalah dilarang sepenuhnya kerana boleh menyebabkan kepupusan spesies akuatik.
Individu yang didapati bersalah boleh dikompaun sehingga RM500, didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada polis, pejabat perikanan berhampiran, atau hotline Fishcom di 03-88885019 / 03-88704058.
24 Jun 25
47
STPM Terengganu Terus Unggul Sejak 2019
KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Terengganu mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbaik kebangsaan untuk tempoh enam tahun berturut-turut bagi peperiksaan 2024 yang diumumkan hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, negeri mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) terbaik iaitu 3.12 sekali gus mengatasi PNGK Nasional 2.85.
Menurutnya, daripada keseluruhan calon, seramai 110 calon memperoleh keputusan semua A penuh (PNGK 4.00), meningkat 31 calon berbanding 79 orang pada tahun 2023, manakala calon yang memperoleh semua A (gabungan A dan A-) pula berjumlah 162 orang.
"Secara keseluruhan, jumlah calon yang memperoleh sama ada semua A penuh atau gabungan semua A dan A- ialah 272 calon, menunjukkan peningkatan sebanyak 25 orang berbanding 247 calon pada tahun sebelumnya.
"Dalam aspek jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar, PNGK calon bandar pada kadar 3.15, manakala calon luar bandar 3.02 dengan jurang perbezaan sebanyak 0.13.
"Ia menunjukkan peningkatan sedikit berbanding jurang 0.06 pada tahun 2023," katanya ketika pengumuman keputusan STPM di Dewan Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di sini hari ini.
Beliau berkata, rekod prestasi sekolah turut memberangsangkan apabila 34 daripada 46 buah sekolah mencapai PNGK minimum 3.00 pada 2024 berbanding 36 buah sekolah pada tahun sebelumnya.
Sementara itu katanya, calon SMK Sultan Ahmad, Siti Asihah Othman muncul pelajar terbaik STPM 2024 peringkat kebangsaan.
Berdasarkan rekod, seramai 2,226 calon mendaftar menduduki peperiksaan STPM pada 2024 di 46 buah pusat peperiksaan di Terengganu.
24 Jun 25
136
Terengganu Sokong Inisiatif STI
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan Negeri memberi komitmen untuk terus menyokong inisiatif terhadap pengembangan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang mampan, inklusif dan progresif di Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kesedaran dan pengetahuan STI bukan sahaja menjadi pemacu kemajuan negara, malah menjadi asas utama dalam pembentukan masyarakat yang berdaya tahan dan berdaya cipta.
Menurutnya, pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah bagi lokasi Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur bukan sekadar simbolik atau gimik.
“Ia adalah satu pengiktirafan kepada negeri Terengganu yang kini telah mencapai beberapa kejayaan signifikan dalam mengaplikasi sains dan teknologi dalam pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 bagi mewujudkan negeri yang maju, berkat dan sejahtera.
“Komitmen Kerajaan terhadap bidang STI ini adalah dengan penubuhan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang merupakan pusat sains pertama di Zon Timur Semenajung Malaysia dan merupakan ketiga di Malaysia selepas PSN Kuala Lumpur dan Kedah,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, program seperti Rehlah Sains hasil kerjasama Pusat Sains Negara (PSN), Yayasan Terengganu dan institusi tahfiz seperti Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman telah berjaya dianjurkan pada tahun 2024 dengan penglibatan lebih 1,700 pelajar.
“Ia menunjukkan Rehlah Sains yang bertujuan untuk mendekatkan pelajar sekolah agama dan tahfiz dengan STEM berada pada landasan yang baik dan merupakan satu inisiatif yang tepat,”katanya lagi.
Justeru itu, beliau berkata Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif Program Minggu Sains Negara oleh MOSTI sebagai salah satu inisiatif di dalam payung Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI.
24 Jun 25
268
Terengganu Salur RM40,000 Bangun Sistem Tanda Alat Nelayan
HULU TERENGGANU, 24 Jun – Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sebanyak RM40,000 bagi melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat, langkah proaktif yang dijangka memperkukuh pengurusan sumber dan penguatkuasaan perikanan di perairan darat negeri ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kajian tersebut akan menjadi asas penting kepada pembangunan sistem penandaan yang jelas, sah dan tersusun bagi peralatan yang digunakan oleh nelayan darat.
"Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 pada tahun 2025 untuk melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat.
"Kajian ini akan membolehkan jabatan menentukan kaedah penandaan yang menunjukkan pemilikan peralatan yang digunakan oleh nelayan darat," katanya dalam Program Pelepasan benih ikan, penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim; Pengarah Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut beliau, kajian itu melibatkan 20 orang nelayan di dua lokasi utama iaitu Sungai Dungun dan Tasik Kenyir, dengan setiap kawasan melibatkan 10 orang peserta. Antara peralatan yang terlibat ialah pukat tahan, rawai, taut dan jala.
"Kajian ini akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh, Perak (FRIKA).
"Ia merangkumi penandaan empat jenis peralatan utama yang digunakan oleh nelayan darat di Terengganu," jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kajian ini bukan sekadar mencatat data, tetapi bertujuan membangunkan sistem pengurusan perikanan darat yang lebih tersusun serta memperkemas urusan lesen dan penguatkuasaan.
"Objektif kajian adalah membangunkan sistem penandaan yang sesuai untuk peralatan perikanan darat.
"Selain menyatakan hak milik, ia juga membantu dalam kawalan eksploitasi sumber dan memudahkan urusan penguatkuasaan di lapangan," tambah beliau.
Katanya lagi, hasil kajian ini disasarkan untuk membentuk satu sistem rujukan rasmi yang akan mengiktiraf peralatan bertanda milik nelayan tulen, dan menjadi asas kepada sebarang pindaan fi lesen pada masa akan datang.
"Dijangka sekurang-kurangnya nelayan tulen akan mempunyai peralatan yang bertanda rasmi.
"Pihak jabatan juga boleh menjadikan sistem ini sebagai rujukan bagi sebarang pindaan fi lesen peralatan nelayan darat," ujarnya.
24 Jun 25
361
‘Roller Barrier’ Mampu Kurangkan Kemalangan Maut
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pengangkutan, agar segera melaksanakan sistem keselamatan jalan raya berteknologi ‘roller barrier’ di laluan-laluan berisiko tinggi sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan maut.
Menurut beliau, sistem keselamatan yang terbukti berkesan di negara seperti Korea Selatan itu wajar dipertimbangkan secara serius, khususnya susulan tragedi yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur–Barat baru-baru ini.
“Sejak beberapa tahun lalu, saya telah mengusulkan di Parlimen agar sistem penghadang jalan berasaskan teknologi roller barrier dipasang di kawasan ‘hotspot’ kemalangan.
“Sistem ini menggunakan silinder berputar daripada bahan elastik EVA (ethylene-vinyl acetate) untuk menyerap hentakan dan menukarkannya kepada gerakan berpusing, sekali gus mengawal arah kenderaan agar tidak terbalik atau melantun ke laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Beliau turut memetik kajian yang menunjukkan sistem ini mampu mengurangkan kadar kemalangan maut sehingga 94 peratus di lokasi berisiko tinggi.
Sehubungan itu, beliau menekankan perlunya tindakan segera dan komitmen tuntas daripada kerajaan untuk memasang sistem ini di laluan berbukit, berselekoh tajam dan cerun berbahaya seperti Jalan Raya Timur–Barat yang telah meragut banyak nyawa.
Dalam pada itu, Shaharizukirnain mempersoalkan keutamaan kerajaan Madani yang hanya memperuntukkan RM30 juta untuk penaiktarafan laluan tersebut, sedangkan anggaran sebenar keperluan mencecah RM4 bilion setahun.
“RM30 juta itu hanyalah kurang daripada satu peratus daripada keperluan sebenar. Malangnya, pada masa sama, projek mega seperti Lebuhraya Pantai Timur Pulau Pinang bernilai RM10 bilion dan pelebaran Lebuhraya PLUS dilaksanakan dengan segera,” jelasnya.
Beliau menyifatkan ketidakseimbangan ini sebagai satu bentuk pengabaian terhadap laluan kritikal seperti Jalan Raya Timur–Barat yang saban tahun mencatatkan kemalangan maut.
Shaharizukirnain menegaskan agar tragedi ngeri ini tidak dilihat sekadar sebagai satu lagi angka statistik, sebaliknya menjadi titik tolak kepada pembaharuan menyeluruh dalam sistem keselamatan jalan raya negara.
“Anak-anak muda yang terkorban ini adalah amanah negara. Maka menjadi kewajipan kerajaan untuk bertindak pantas dan sistematik, sebelum lebih banyak nyawa menjadi korban," tambah beliau.
24 Jun 25
24
ECE 2025 : Tiga MoU Dimeterai
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menjalin kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bagi penyelesaian gudang berpusat.
Memorandum persefahaman (MoU) itu dimeterai sempena Persidangan dan Pameran East Coast Energy (ECE 2025) yang berlangsung di Dewan Konvesyen, Taman Tamandun Islam di sini, hari ini.
Pertukaran MoU tersebut disaksikan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan merasmikan persidangan berkenaan.
Sementara itu, MoU dalam pembangunan keupayaan tenaga boleh diperbaharui pula ditandatangani antara Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Manakala, Eastern Pacific Marine Services Sdn. Bhd. dan Advantage Marine Services Sdn. Bhd. pula memeterai MoU dalam perkongsian strategik bagi perkhidmatan teknikal marin dan luar pesisir.
ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 Jun ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Terengganu Petroleum Council (TPC), dengan kerjasama PETRONAS sebagai Rakan Ilmu, manakala Terengganu Inc. sebagai Rakan Strategik dan EPIC Berhad sebagai Rakan Korporat.
24 Jun 25
227
ECE 2025 Buka Potensi Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan harapan agar East Coast Energy 2025 (ECE 2025) menjadi pemangkin kepada pembukaan potensi besar rantau Pantai Timur dalam bidang tenaga mampan negara.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat merasmikan persidangan sulung itu yang berlangsung di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pagi tadi.
Titah baginda, rantau Pantai Timur mempunyai potensi yang luas bukan hanya dari segi sumber, tetapi juga dari aspek modal insan dan keupayaan institusi.
“Adalah menjadi harapan beta agar inisiatif seperti ECE 2025 dapat membuka potensi ini, memacu peralihan tenaga negara serta memperkasa kedudukan sosioekonomi masyarakat, sambil kekal berpegang pada prinsip pemeliharaan alam sekitar dan tanggungjawab antara generasi,” jelasnya.
Dalam titah itu, baginda turut menyatakan bahawa ECE hadir pada saat dunia semakin mendesak kepada amalan pembangunan mampan dan pengurusan tenaga yang bertanggungjawab.
Baginda menzahirkan rasa gembira apabila melihat perhimpunan pemimpin, pakar dan pelaksana dasar yang berkongsi visi membina masa depan tenaga lebih bersih dan berdaya tahan.
“Biarlah persidangan ini menjadi peringatan bahawa kemajuan bukan sekadar diukur dari pencapaian teknologi atau keuntungan ekonomi semata-mata, tetapi dari keupayaan kolektif kita untuk mengangkat masyarakat dengan berteraskan integriti, keterangkuman dan kelestarian,” titah baginda lagi.
Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Kerajaan Negeri Terengganu, PETRONAS, Terengganu Inc., EPIC Berhad serta semua pihak yang menjayakan platform kolaborasi dan inovasi berimpak tinggi ini.
ECE 2025 berlangsung selama dua hari dan menjadi landasan kepada pembentukan kerjasama strategik dalam sektor tenaga mampan melibatkan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.
23 Jun 25
323
Sultan Mizan Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Malam Diraja ECE 2025
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja Sempena East Coast Energy (ECE) 2025 bertempat di Primula Beach Resort.
Majlis Santapan Malam Diraja ini diadakan sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif kebajikan serta sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara pemain industri dan komuniti tenaga, terutamanya mereka yang bakal memainkan peranan penting dalam ECE 2025.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda.
Menyambut ketibaan paduka-paduka baginda, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), Dr. Ts. Muhtar Suhaili serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Dato' Faisal berkata, ECE 2025 anjuran bersama Informa Markets yang dijadualkan berlangsung pada 23 sehingga 24 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) itu mendapat sokongan dan penyertaan yang baik daripada pemain industri serta pihak yang berkenaan.
"Bertemakan 'Innovating Energy, Elevating East Coast', ECE 2025 merupakan inisiatif strategik negeri Terengganu dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam landskap tenaga negara.
"Ia selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim dan pembangunan mampan sejagat.
"Platform ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, agensi kerajaan, pelabur, pakar industri serta peneraju teknologi dalam satu ekosistem yang menyokong kolaborasi dan perkongsian ilmu demi menjayakan transformasi tenaga yang berdaya tahan, cekap dan inklusif.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu ECE 2025 berkata demikian ketika sembah ucapan Majlis Santapan Malam Diraja, semalam.
Persidangan itu turut menampilkan pameran bertaraf antarabangsa, menarik penyertaan lebih 800 perwakilan dengan tumpuan khusus terhadap masa hadapan sektor tenaga.
Majlis yang bermula tepat jam 8.40 malam dengan jangka selama 2 jam itu tadi telah menyaksikan persembahan kebudayaan dan artis jemputan serta penyerahan cek sumbangan berjumlan RM200,000 daripada EPIC Berhad kepada Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).
Terdahulu, Sultan Mizan telah berkenan mencemar duli ke Karnival dan Majlis Santapan Teh Petang sempena Sambutan Dua Dekad YDSM bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER).
23 Jun 25
153
Kematian Nurly Hidupkan Jiwa Dekati Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 23 Jun – Tiga minggu telah berlalu tragedi melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun kisah Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman masih tular di media sosial dan terus menjadi bualan ramai kerana memberi kesan yang mendalam serta menghidupkan jiwa masyarakat untuk mendekati al-Quran.
Sehingga kini, rumah Allahyarhamah masih dikunjungi orang ramai dan yang menariknya, para penziarah turut berpeluang melihat tulisan tangan beliau yang menyalin semula al-Quran, dikatakan sebagai kaedah beliau untuk menghafal mukjizat suci itu.
Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah berkata, kematian Nurly menjadi bukti betapa hebatnya darjat seorang penghafal al-Quran yang bukan sahaja mulia di sisi Allah, bahkan turut disebut-sebut serta dimuliakan oleh manusia ketika masih di dunia.
“Kami sendiri telah menziarahi rumah Allahyarhamah Hafizah Nurly dan kami mendapati memang benarlah seperti yang disebut-sebut orang selama ini beliau benar-benar pencinta al-Quran.
“Ini dapat dilihat melalui tulisan tangan beliau sendiri, di mana setiap kalimah yang ditulis sangat tepat dan menepati mashaf al-Quran Uthmani. Bertuahlah dirinya, ibu bapanya serta para guru yang pernah membimbingnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di Facebook rasmi i-MiTS, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Kamaruzaman berkata banyak pengajaran yang boleh diambil daripada pemergian Allahyarhamah Nurly Shahirah, hingga Allah memilih untuk menyedarkan orang ramai tentang kelebihan membaca al-Quran melalui kisah hidupnya.
“Bacalah al-Quran secara konsisten kerana ia mampu memberi syafaat kepada yang membacanya. Datanglah menziarahi rumah arwah Nurly ini, mudah-mudahan ada sesuatu yang Allah SWT kurniakan kepada kita, insya-Allah,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial bahawa ketika jenazah Allahyarhamah ditemui pasukan penyelamat, beliau berada dalam keadaan memeluk al-Quran. Turut ditularkan ialah satu rakaman video yang mendakwa lokasi kemalangan itu dihiasi dengan bau wangi yang luar biasa.
23 Jun 25
184