lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Zahirkan Ucapan Tahniah Atas Pelantikan Perdana Menteri
Terengganu Zahirkan Ucapan Tahniah Atas Pelantikan Perdana Menteri
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Terengganu merakamkan ucapan tahniah buat Perdana Menteri ke-9 yang baharu mengangkat sumpah hari ini. Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan setinggi ucapan tahniah kepada Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.  "Menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas perkenan dan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik negara ini. "Diharapkan pelantikan ini akan menamatkan segala spekulasi berkenaan pelantikan Perdana Menteri baharu," katanya dalam satu kenyataan. Tambah Dr. Samsuri, beliau juga berharap semua barisan pimpinan dapat bekerjasama dan bersatu hati untuk lebih fokus kepada agenda memulihkan negara daripada pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat. "Semoga diberikan kemudahan dan petunjuk daripada-Nya untuk meneraju negara tercinta dengan amanah dan bijaksana," ujarnya.
21 Aug 21
1174
Ismail Sabri Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9
Ismail Sabri Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat. "Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. "Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9," katanya melalui  kenyataan rasmi di media sosial Istana Negara, hari ini. Tambah beliau, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada esok (21 Ogos 2021), jam 2.30 petang, di lstana Negara. Kenyataan itu dikeluarkan pasca Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang tadi. Dalam perbincangan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu. Istana Negara juga telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.  
20 Aug 21
184
Pasar Malam Dan Minggu Dibenarkan Beroperasi Mulai Esok
Pasar Malam Dan Minggu Dibenarkan Beroperasi Mulai Esok
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan pasar malam serta pasar minggu di seluruh negara beroperasi mulai esok bagi individu yang telah lengkap divaksin. Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak penguatkuasa serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan membuktikan telah menerima vaksinasi lengkap dengan menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19. "Perincian bagi kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN. Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan termasuk pemilik premis mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan. "Bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mudarat," ujarnya melalui kenyataan di facebooknya pada hari ini. Mengulas lanjut katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan teragak-agak untuk melakukan penilaian semula risiko serta kemungkinan akan diarahkan untuk menutup premis serta merta sekiranya berlaku penularan wabak sepanjang menikmati kemudahan berkenaan. "Selain mengeluarkan kompaun kepada pihak (tersebut) yang dikenalpasti melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP). Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik," ujarnya. Justeru katanya, perkara berkenaan memerlukan penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana oleh mereka yang terbabit. "Dalam menghadapi ancaman virus Covid-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita. Insya-Allah kita (akan)menang bersama," ujarnya. Dalam perkembangan yang sama katanya bagi pasangan yang telah lengkap menerima vaksinasi dibenarkan untuk membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk makan di kedai dengan mematuhi SOP. Ia sebagai tambahan terbaharu di negeri ini yang telah berada pada fasa dua serta negeri yang berada pada fasa satu dimana kerajaan membenarkan aktiviti dine-in bagi individu yang telah lengkap divaksinasi. "Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut. "Bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke 14 dari tarikh suntikan. "Manakala jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos, contohnya Johnson&Johnson dan CanSino, individu berkenaan pula mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan," ujarnya. Muhyiddin berkata perkembangan terkini yang diumumkan itu telah mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi di negara ini yang telah mencapai 50 peratus lebih awal daripada jangkaan disasarkan sebelum 31 Ogos.  
19 Aug 21
500
Kadar Vaksinasi Di Terengganu Meningkat Dua Kali Ganda
Kadar Vaksinasi Di Terengganu Meningkat Dua Kali Ganda
KUALA TERENGGANU, 19 Ogos – Terengganu mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda dalam pemberian dos vaksin harian berbanding minggu lepas, menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV). Berdasarkan sumber Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), jumlah pemberian dos vaksin pada kelmarin adalah sebanyak 28,479 suntikan terdiri daripada 19,825 dos pertama dan 8,654 dos kedua. Ia merupakan kenaikan berbanding sejumlah 10,179 dos pada 9 Ogos lalu, menerusi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, Terengganu yang kini mempunyai 25 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) merupakan negeri ketiga tertinggi dalam suntikan vaksin pertama dibawah Johor (33,092 dos) dan Sabah (30,602 dos). “Kerajaan negeri bersama pelbagai pihak sedang ‘all out’ memastikan PICK diteruskan secepat dan sebaik mungkin melalui pelbagai PPV seperti program ‘Outreach’, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK). “Jangkaan pada hujung bulan ini, kita akan mencapai 40 peratus (808,400 orang) lengkap vaksinasi bagi populasi dewasa dan mencapai nilai ambang salah satu indikator nilai ambang bagi peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). “Sekitar Ogos juga, negeri ini akan menerima sebanyak 583,120 dos vaksin yang merupakan lagi berita baik buat masyarakat supaya dapat mencapai kelompok imuniti,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, petang tadi. Secara keseluruhan, jumlah kumulatif pemberian dos pertama kini mencecah 41.2 peratus daripada jumlah populasi (518,691 dos pertama) manakala 24 peratus telah lengkap suntikan kedua-dua dos.  
19 Aug 21
1614
700 Jalur Gemilang Diagih Kepada Penerima Vaksin
700 Jalur Gemilang Diagih Kepada Penerima Vaksin
Oleh : Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 19 Ogos - Sebanyak 700 Jalur Gemilang  dan  pamplet Rukun Negara diagih kepada penerima suntikan vaksin COVID-19  bersempena Program Kempen Kibar Jalur Gemilang : Drive Through.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, kempen anjuran Jabatan Perpaduan Negara itu bertujuan memupuk  semangat patriotik dan cintakan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia. "Rakyat perlu menghargai perjuangan generasi dahulu di dalam berjuang menentang penjajah, gabungan tenaga dan buah fikiran ulama - ulama dahulu, negara kita berjaya dibebaskan daripada terus dijajah," katanya.  Alias berkata demikian selepas majlis tersebut yang diadakan di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) di sini. Pemilihan SMKAKA adalah kerana mengambil peluang orang ramai yang hadir untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sempena Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK). Turut hadir, Pengarah Perpaduan Negeri Terengganu, Rosli Alias, Pegawai Perpaduan Negara  Daerah Dungun,  Tengku Mazilawati Tengku Muhamad dan Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar. Alias turut menyeru agar rakyat sentiasa menjaga perpaduan tanpa mengira perbezaan kaum, agama, dan bangsa.  "Dengan menonjolkan nilai integriti dan jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tidak di cengkam penjajah dalam bentuk baharu iaitu dengan menjajah minda rakyat supaya menetang kerajaan yang ada hari ini," ujarnya.
19 Aug 21
214
Nelayan Hasil Replika Bot
Nelayan Hasil Replika Bot
MARANG, 18 Ogos - Minat mendalam dalam bidang ukiran replika bot nelayan membuatkan Mat Nor Abu Bakar, 43, dari Bukit Gasing, di sini mampu menambah pendapatan sampingan keluarga. Mat Nor yang berkerja sebagai nelayan menganggap kemahiran dimiliki sejak di bangku sekolah merupakan anugerah cukup bernilai. Katanya, dia teringat mula-mula mengukir ketika duduk di tepi sungai dan melihat bot-bot kecil nelayan, kemudian dia menggunakan kabus mengikut apa yang dilihat. "Permintaan sekarang amat memberangsangkan dan kebiasaannya orang yang menempah dan membeli adalah juga terdiri daripada kalangan nelayan sendiri, selain daripada penduduk luar negeri Terengganu yang berminat dengan ukiran untuk hiasan, "katanya. Menurutnya, kerja mengukir bot yang dibuatnya lebih 20 tahun bermula pada usia belasan tahun adalah kerja sambilan setelah dia pulang dari laut mencari rezeki, ataupun pada musim tengkujuh melanda di mana nelayan tidak keluar ke laut. "Antara bot yang pernah diukir adalah bot kecil, bot laut dalam, bot bubu, bot pukat tunda dan bot penambang. Bot kecil, saya jual pada harga RM300 manakala bot besar setakat ini juga mencapai harga lebih RM3000. "Bot ini diukir menggunakan kayu pulau yang boleh didapati di kawasan sekitar yang kebiasaanya mengambil masa untuk siap, iaitu kurang dari satu hingga lebih daripada tiga bulan, mengikut keadaan, "katanya. Katanya lagi, ada bot yang diukir tersebut ini juga dibuat lengkap dengan memasang enjin sebenar yang mampu dibawa untuk bermain di atas air atau laut menggunakan 'Remote Control'. "Saya juga sangat mementingkan kualiti ukiran, di mana ciptaan tersebut haruslah sama dengan keadaan rupa bot yang sebenar, dan proses itu juga mengambil masa di samping keperluan peralatan-peralatan moden, ",katanya. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya mengunjungi pengusaha tersebut untuk menyalurkan sedikit bantuan kepadanya pagi ini. "Kita juga berhasrat untuk mengetengahkan kemahiran yang dimiliki olehnya di peringkat yang lebih tinggi dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu selain bantuan-bantuan lain yang dapat dimanfaatkan," tambahnya lagi.
18 Aug 21
1130
Terengganu Dijangka Ke Fasa Tiga PPN September Ini
Terengganu Dijangka Ke Fasa Tiga PPN September Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Terengganu dijangka akan beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada September ini selepas proses vaksinasi telah mencapai 60 peratus penerima bagi dos pertama dan 35 peratus penerima dos kedua. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak lima peratus lagi jumlah penerima dos lengkap perlu dicapai untuk membolehkan Terengganu mencapai syarat memasuki fasa seterusnya PPN. "Kita jangkakan dalam seminggu dua ini, sekiranya bekalan vaksin yang tiba lancar sebagaimana perancangan kita, kita akan capai sasaran itu. "Dari sudut perkara lain seperti situasi di wad rawatan rapi (ICU) dan sebagainya, kita dalam keadaan terkawal. "Insya-Allah, kalau semuanya mengikut perancangan, pada bulan September kita mampu ke fasa seterusnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Tengku Seri Bijaya Raja Pegawai Kewangan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri. Semalam, Terengganu merekodkan 28,479 pemberian vaksin di negeri terbabit dan merupakan dos tertinggi pernah disuntik. Tambah Ahmad Samsuri, Terengganu turut termasuk dalam pembukaan 11 kategori aktiviti ekonomi yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Kita menyambut baik dan akan buka aktiviti-aktiviti ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN. "Kepada rakyat, saya nasihatkan kita sama-sama ikut SOP, jaga diri dan keluarga supaya kita tidak membentuk kluster baru dalam masyarakat, barulah kita boleh beralih ke fasa seterusnya," katanya.  
18 Aug 21
2470
PAS Komited Pertahan MN, Perkukuh PN
PAS Komited Pertahan MN, Perkukuh PN
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, perkembangan politik semasa tanah air tidak menggugat kerjasama parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). "Setakat ini tiada apa-apa perubahan yang negatif dan saya percaya, PAS tetap komited mempertahankan Muafakat Nasional dan memperkukuhkan Perikatan Nasional. "Kerana, itu adalah 'the end game' (penentu) bagi kesatuan seluruh masyarakat Melayu Islam yang ada dalam negara kita, barulah kita menjadi satu kelompok yang kuat dan disegani dalam masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut Menteri Besar Terengganu itu, isu yang berlaku adalah ibarat percanggahan dalam keluarga. "Itu hanyalah pergerakan yang berlaku dalam 'keluarga' sahaja, apabila pinggan mangkuk bersentuhan, (pastilah) adalah berbunyi sedikit. "Namun, apabila kita duduk bersama-sama, pinggan mangkuk akan duduk di tempatnya," katanya.
18 Aug 21
600
MB Terengganu Seru Rakyat Terus Semarak Semangat Merdeka
MB Terengganu Seru Rakyat Terus Semarak Semangat Merdeka
KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh anggota masyarakat supaya terus menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang. "Walau apa jua keadaan kita ketika ini yang berdepan situasi krisis dan pandemik ini, tetapi semangat menyambut Hari Kemerdekaan itu wajar diteruskan kerana ia boleh mengubat hati kita dan menyatukan hati seluruh anggota masyarakat  "Biarpun kita boleh bercanggah dalam pelbagai perkara dan berdepan pelbagai ujian serta pandemik, tetapi soal kesetiaan kita kepada negara, soal kemerdekaan negara adalah sesuatu yang amat penting bagi masyarakat dan negara kita," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Tengku Seri Bijaya Raja Pegawai Kewangan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri. Jelas Dr. Samsuri, mengibarkan Jalur Gemilang menandakan kita sudah memasuki fasa berikutnya dalam menyambut Bulan Kemerdekaan. "Kita minta semua pejabat-pejabat kerajaan di semua daerah dan agensi-agensi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing. "Kepada rakyat terutama di negeri Terengganu sendiri juga begitu, supaya kita bersama-sama mengibarkan jalur gemilang dengan bangganya," katanya.
18 Aug 21
424
Pelbagai Pihak Tampil Bantu Lancarkan Proses Pemberian Vaksin
Pelbagai Pihak Tampil Bantu Lancarkan Proses Pemberian Vaksin
Oleh :Nooreni Abu Bakar  DUNGUN, 18 Ogos- Pelbagai pihak tampil memainkan peranan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sebelum ini prosesnya agak perlahan sehingga merisaukan orang ramai.  "Alhamdulillah dengan usaha yang diambil oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Peminat Pacuan Empat Roda Dungun (PADAT) di Masjid Serdang ini memberi peluang masyarakat yang tinggal berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, ini sudah tentu memberi kemudahan kepada mereka.  "Manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) pula, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengadakan Program Jejak Vaksin UniSZA selama dua hari dan seramai 1,400 orang disuntik vaksin dos pertama dari seluruh DUN Rantau Abang," katanya ketika ditemui di SMKAKA di sini.  Sementara itu, Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar memberitahu bertempat di SMKAKA juga akan diteruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dibawah Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bermula 17 sehingga 21 Ogos ini. "Dimana selama lima hari sebanyak 700 dos pertama disediakan, menjadikan jumlah keseluruhan penerima seramai 3,500  orang,"jelasnya. Setiausaha PAPISMA Cawangan Dungun, Dr Mardziah Mohamad, menjelaskan PAPISMA cuba membantu kerajaan untuk merancakkan pemberian vaksin setelah melihat prosesnya agak perlahan di Daerah Dungun.  "Sehingga kini, Masjid Serdang adalah 'Outreach' ketiga, selepas dua di Paka dan tumpuan kita adalah di kawasannya jauh daripada PPV utama," ujarnya lagi.  Manakala seorang warga emas, Tengah Abdul Rahman, 74 yang ditemui, bersyukur telah selesai dos pertama tanpa perlu ke bandar Dungun.  "Alhamdulillah, buat program cucuk vaksin di Masjid Serdang ni, tidak perlu gi jauh-jauh, " katanya yang tinggal di Delong.
18 Aug 21
416