lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

113 Tangki Statik Air Bersih Disedia Di Buluh Gading
113 Tangki Statik Air Bersih Disedia Di Buluh Gading
KUALA NERUS, 25 Ogos - Sebanyak 113 tangki statik air bersih disediakan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading bagi mengelakkan penduduk di kawasan terbabit terputus bekalan air  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, tindakan semasa tersebut dilakukan pihaknya dalam menghadapi ketiadaan air kerana kerosakan paip sejak 23 Ogos, baru-baru ini. “Tangki yang sediakan kadang-kadang jaraknya terlalu jauh dengan rumah penduduk, susulan itu kita tambah lagi jumlahnya supaya ia memudahkan urusan rakyat yang ingin mengambil bekalan asas ini. “Dengan cara itu, tidaklah terlalu membebankan penduduk ketika ini,” ulas beliau ketika meninjau proses perbekalan air dengan kerjasama BOMBA di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading. Beliau juga memaklumkan, tambahan tangki juga dibuat di tempat-tempat pengambilan sumber air agar tempoh masa mengisi air ke dalam lori transit tidak memakan masa terlalu lama. “Buat masa sekarang, tenaga sepenuh masa agak berkurangan kerana masing-masing bekerja. “Semasa krisis yang dulu, kawasan kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD), jadi tenaga kerja agak ramai kerana masing-masing tidak bekerja,” ujar beliau lagi. Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) juga mengambil inisiatif membantu mengangkut air ke kampung masing-masing untuk diagihkan kepada pemduduk yang dikenakan perintah kuarantin, warga emas yang ketiadaan anak di rumah dan juga pesakit kronik. “Sebanyak 19 JPKK yang terlibat dalam krisis air pada kali ini,” katanya lagi.
25 Aug 21
248
Vaksin 'Walk-in' Buat Penduduk Kuala Nerus Di UniSZA
Vaksin 'Walk-in' Buat Penduduk Kuala Nerus Di UniSZA
KUALA NERUS, 24 Ogos - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah melancarkan program pemberian vaksin COVID-19 secara 'walk-in' di Dewan Al Muktafi Billah Shah (DABS), Kampus Gong Badak buat penduduk di daerah ini. Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tersebut, Dr Nik Ahmad Shaifuddin Nik Him berkata, ia dibuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas serta tidak mempunyai sejarah alergi teruk. Katanya, inisiatif tersebut diadakan berdasarkan prinsip ‘first come, first serve’ bermula hari ini sehingga 26 Ogos (khamis) ini dan beroperasi pada waktu 9 pagi sehingga 3 petang. “Syarat lain termasuk mereka yang terlepas temujanji vaksinasi di UniSZA, belum mendapat temujanji vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera atau belum mendaftarkan diri untuk vaksinasi dalam sistem tersebut. “Ini tertakluk kepada bekalan vaksin yang kita dapat, nasihat saya bagi komuniti di daerah Kuala Nerus yang ingin disuntik agar membawa pen dan kad pengenalan atau pasport masing-masing," katanya ketika dihubungi UPDI hari ini. UniSZA merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) ketiga di negara ini menubuhkan sejak 13 Jun bagi membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
24 Aug 21
867
PKRC Baharu Dibuka, Sedia Hadapi Peningkatan Kes
PKRC Baharu Dibuka, Sedia Hadapi Peningkatan Kes
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Terengganu bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kes COVID-19 dengan membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, PKRC baharu yang memuatkan 326 katil itu akan mula beroperasi sepenuhnya esok. Katanya, ia juga merupakan persiapan awal sekiranya PKRC di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diserahkan kembali kepada pihak IPT apabila IPT dibuka nanti. "PKRC ini disiapkan dalam tempoh hanya empat hari sahaja, ia boleh dinaik taraf kepada 390 katil sekiranya diperlukan. "Pesakit positif bagi kategori 1, 2, 3 dan 4 sahaja akan ditempatkan di sini, sebab itu kita melihat terdapat tong oksigen bagi kategori 4 yang memerlukan oksigen. "Ini adalah sebagai persiapan awal kita bagi menghadapi pertambahan kes, sejak akhir-akhir ini jarang di bawah 500 kes sehari. "Walaupun begitu, sebahagian besar adalah kategori 1 dan 2 sahaja," ujarnya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Stadium Negeri kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Alias Razak. Menurut Dr Alias, keselesaan pesakit di pusat rawatan itu akan dipastikan berada di tahap terbaik. "PKRC ini agak selesa dengan jarak katil yang selesa dan tandas yang mencukupi, walaupun sakit, kita akan pastikan pesakit selesa berada di sini. "PKRC ini juga hanya akan menempatkan pesakit lelaki sahaja," jelasnya.
24 Aug 21
1996
Bantuan Air Bersih Mula Disalurkan Di Dua Daerah Terjejas
Bantuan Air Bersih Mula Disalurkan Di Dua Daerah Terjejas
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sudah mula menyalurkan bantuan bekalan air bersih kepada 28,700 pengguna yang terjejas susulan gangguan bekalan air kali kedua di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas mendapat bekalan air secukupnya, sebanyak 19 lori tangki yang beroperasi 24 jam sehari telah digerakkan, termasuk ke beberapa premis penting seperti pusat hemodialisis dan pusat kuarantin untuk pesakit COVID-19. "Pembaikian paip pecah kali ini akan mengambil masa lebih kurang 20 hari dengan mengambil kira pelbagai faktor. "Bagi memastikan orang awam mendapat bekalan air bersih sehingga proses selesai, SATU telah mula agihkan air bersih termasuk penghantaran lori tangki bergerak untuk mengisi air di tangki-tangki statik," ujarnya kepada pemberita di sidang media di pejabat SATU, hari ini. Selain itu,katanya bagi menampung keperluan semasa dan memudahkan pengambilan air bersih, 200 tangki statik dan 86 pili paip telah disediakan di seluruh kawasan terlibat. Terdahulu, SATU telah mengesan punca gangguan bekalan air di dasar Sungai Kuala Terengganu yang mendapati paip sama yang pecah pada lokasi berlainan berbanding kejadian pada awal Ogos lalu.  
24 Aug 21
548
Bekalan Air Terputus Dijangka Pulih 12 September
Bekalan Air Terputus Dijangka Pulih 12 September
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Masalah gangguan bekalan air kali kedua yang melibatkan 150,000 penduduk di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 20 hari lagi. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, berkata setelah pengesanan dilakukan di dasar sungai pihaknya mendapati kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) kali ini lebih teruk berbanding yang terdahulu. Katanya, disebabkan itu ia memerlukan masa dan  kepakaran tinggi untuk membaikinya. "Kalau sebelum ini, paipnya dalam keadaan senget sahaja tapi kali ini paip dalam jajaran yang sama tapi lokasi berlainan dikesan telah patah. "Kerosakan dipercayai berpunca daripada kejadian luar jangka selepas kerja baikpulih siap pada 12 Ogos lalu dan lokasi paip pecah baharu ini adalah sejauh 24 meter dari lokasi paip pecah asal," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), di sini hari ini. Tambah beliau, SATU sedang meneliti satu kaedah terbaik dengan mengambil kira pelbagai faktor berkaitan supaya paip yang dibaiki lebih kukuh dan tahan lama. Justeru itu katanya, kerja-kerja untuk mengaktifkan Loji Bukit Berapit dengan kapasiti 60 juta meter padu yang dijangka dapat beroperasi pada bulan depan berbanding tarikh sebenar pada Mei 2022.      
24 Aug 21
3748
Masjid Terengganu Diseru Pasang Boreng Air Bantu Penduduk
Masjid Terengganu Diseru Pasang Boreng Air Bantu Penduduk
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Semua masjid di negeri Terengganu diseru memasang boreng air bagi memberi kemudahan kepada masyarakat setempat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah berkata, pemasangan boreng air tersebut boleh dilakukan dengan menggunakan peruntukan duit masjid atau memohon sumbangan ahli kariah setempat. "Saya menggalakkan ahli-ahli jawatankuasa masjid terutama di kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air menyahut cadangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ini. "Ini sebagai persediaan sewaktu ketiadaan air di kawasan tersebut dan memudahkan masyarakat sekaligus menjadikan masjid sebagai pusat kebajikan komuniti," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan JHEAT, hari ini. Beliau turut membuka peluang kepada individu-individu yang berkemampuan untuk menyumbang kepada pihak masjid bagi menjayakan usaha berkenaan. Sebagai langkah menyokong inisiatif tersebut, Mohd Nor telah memulakan usaha wakaf boreng air di Masjid Pagar Ubi, Kuala Nerus untuk membantu orang ramai mendapatkan bekalan air.    
24 Aug 21
2130
Paip Pecah Di Lokasi Berlainan Punca Gangguan Air
Paip Pecah Di Lokasi Berlainan Punca Gangguan Air
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan punca gangguan bekalan air di dasar Sungai Kuala Terengganu yang mendapati paip sama yang pecah pada lokasi berlainan berbanding kejadian pada awal Ogos lalu. Menurut kenyataan rasmi pengurusannya, kerosakan luar jangkaan tersebut berlaku paip bersaiz 1,200mm yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan dari Loji Kepong menyebabkan 28,700 terjejas bekalan. “Antara 25 lokasi terlibat di daerah Kuala Nerus adalah keseluruhan Gong Badak, Perindustrian Gong Badak. Alur Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tepoh, Padang Hangus dan Pagar Ubi. “Manakala di Kuala Terengganu melibatkan 11 lokasi iaitu Buluh Gading, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, Kampung Manir, Sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara,” katanya menerusi kenyataan media, petang tadi. Dalam memastikan bekalan asas tidak terputus, pihak SATU telah mula menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki bermula hari ini pada jam 12 tengahari ke kawasan yang terjejas. “Tujuh buah lori tangki digerakkan segera dan akan ditambah dari masa ke semasa. Kedudukan tangki statik dan pengisian air adalah mengikut penjadualan sebelum ini,” katanya lagi. Terdahulu, setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas telah dikerah bagi memasang 150 tangki statik bagi meneruskan bekalan air bersih buat penduduk. Kerajaan negeri turut memperkemaskan langkah susulan dan menambah baik beberapa aspek penyelenggaraan Syarikat Air Terengganu (SATU) antaranya tumpuan utama dalam memastikan pembinaan Loji Bukit Berapit dengan jangkaan paling awal Loji Bukit Berapit siap beroperasi pada 31 Ogos 2021 berkeupayaan 60mld.
24 Aug 21
1299
Dr. Kasemani Dilantik Pengarah  Kesihatan Negeri Terengganu
Dr. Kasemani Dilantik Pengarah  Kesihatan Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Terengganu, Dato' Dr. Kasemani Embong dilantik menjadi pengarah kesihatan negeri yang baharu berkuatkuasa hari ini. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan, pelantikan Dr Kasemani adalah bagi menggantikan Dato' Dr. Nor Azimi Yunus yang ditukar ke Pahang sebagai Pengarah Kesihatan negeri itu pada 23 Julai lalu. Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, beliau berkata, Dr Kasemani merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, yang berpengalaman luas dalam bidang kesihatan awam dan pengurusan. "Selamat menjalankan tugas dan amanah. Semoga kecemerlangan Program Perubatan KKM dapat diteruskan," katanya. Sebelum ini, Dr. Kasemani  pernah berkhidmat Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Klinik Kesihatan Kuala Telemong, Hulu Terengganu.
23 Aug 21
1447
Lebih 90 Peratus Guru Di Terengganu Sudah Divaksin
Lebih 90 Peratus Guru Di Terengganu Sudah Divaksin
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Lebih 90 peratus warga pendidik di negeri ini selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah sekiranya diumumkan kelak. Pengarah Pendidikan negeri, Salim Abd Ghani berkata hampir semua guru menyambut baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Katanya, Terengganu mempunyai 21,921 guru terdiri daripada 10,175 guru sekolah menengah manakala seramai 11,746 bagj sekolah rendah. "Namun, saya tidak menafikan ada juga di kalangan guru-guru tersebut yang menolak untuk divaksin namun jumlahnya kecil. "Pihak jabatan akan mengenalpasti guru guru berkenaan yang berkemungkinan bertindak demikian kerana mempunyai masalah kesihatan," katanya kepada pemberita ketika dihubungi. Dalam perkembangan sama, Salim berkata, kesemua guru tingkatan lima dan enam di negeri ini termasuk kakitangan sokongan akan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula Oktober depan.  
23 Aug 21
754
Maritim Terengganu Gagalkan Cubaan Seludup Rokok Bernilai RM350,000
Maritim Terengganu Gagalkan Cubaan Seludup Rokok Bernilai RM350,000
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu telah menggagalkan cubaan menyeludup masuk 330,000 rokok putih dianggar bernilai hampir RM350,000 di Pulau Karah yang dijadikan transit untuk memasuki pasaran tempatan. Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammaf Suffi Mohd Ramli berkata, semasa rondaan pemantauan sekitar jam 6 petang kelmarin, pada kedudukan 1.5 batu nautika dari Pulau Bidong, pihaknya menemui beberapa bungkusan plastik lut sinar berisi rokok putih. “Hasil pemerhatian mendapati ia sengaja ditinggalkan dan tiada kelibat bot berhampiran di kawasan berkenaan. "Diyakini dibawa masuk dari negara luar ke perairan negeri ini yang didalangi warga tempatan yang menjadikan pulau ini sebagai tempat transit yang strategik kerana tidak berpenghuni,” ujarnya.  Beliau berkata demikian pada sidang media rampasan rokok di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Maritim negeri, di sini, pada hari ini. Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967. “Memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM 100,000 (yang mana lebih tinggi) dan denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan. “Atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujarnya. Sehubungan itu katanya, kawalan di sempadan perairan negeri ini akan terus dipertingkatkan. “Maritim Malaysia juga giat memperincikan siasatan dengan menggunakan sumber yang ada bagi mengesan dan memburu suspek. “Sebarang pelanggaran undang-undang, aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan lain-lain kegiatan jenayah di dalam Zon Maritim Malaysia ini akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi,” tegasnya.
23 Aug 21
777