lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Isu Ekonomi, COVID-19 Perlu Jadi Keutamaan Kabinet Baru
Isu Ekonomi, COVID-19 Perlu Jadi Keutamaan Kabinet Baru
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengharapkan barisan Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ yang baru dilantik memberi keutamaan untuk membebaskan negara daripada kemelut kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Katanya, beliau yakin kesemua barisan Kabinet itu akan bekerja keras bagi mencapai sasaran sebagaimana yang ditetapkan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob. "Bagi saya ini adalah Kabinet yang menyeluruh dibentangkan oleh Perdana Menteri. "Kesemua Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik ini bertugas untuk seluruh negara. "Memang kita agak terkilan sedikit kerana tidak ada Menteri daripada Terengganu, tapi dalam masa yang sama saya percaya barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang ada ini akan bertugas dengan penuh keadilan untuk seluruh negara tidak kira dari negeri mana," ujarnya kepada pemberita. Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang dilantik perlu terus bekerja untuk menyelesaikan konflik, pandemik serta krisis ekonomi yang ada dalam negara ini. "Ada gabungan yang lama, ada gabungan yang baru, ada berlaku pertukaran kementerian. "Saya rasa langkah itu diambil untuk memastikan urusan yang berkait dengan ekonomi dan pandemik ini tidak terjejas dan dalam masa yang sama kita ingin keluar daripada apa yang berlaku," ujarnya. Terdahulu, barisan Kabinet yang diumum hari ini juga memperlihatkan banyak muka lama masih dikekalkan dengan 31 menteri dan 33 timbalan menteri. Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.
27 Aug 21
288
Ahmad Amzad Ikrar Terus Perkasa MOSTI
Ahmad Amzad Ikrar Terus Perkasa MOSTI
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim dikekalkan sebagai Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi(MOSTI), dalam pembentukan kabinet baru yang diumumkan  Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini. Ahmad Amzad yang dilantik semula dalam Kabinet  berkata beliau akan memberikan khidmat terbaik dalam menunaikan amanah itu. "Seperti disebut oleh Perdana Menteri, Covid-19 dijangka akan terus ada dalam kehidupan kita sebagai Endemik.  "Kerana itu kita kena terus pacu penggunaan 'lowtouch technology' yang mengurangkan sentuhan dan interaksi fizikal dalam sektor sosial dan pekerjaan yang akan terus diberi tumpuan oleh MOSTI. "Ini termasuk beberapa 'roadmap' yang sedang dibangunkan dibawah seliaan saya antaranya Roadmap For Advanced Material seperti composite, graphene, nanotechnology yang perlu dimuktamadkan,"ujarnya ketika dihubungi pemberita. Tambah Ahmad Amzad lagi, beliau berharap supaya Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2020-2030 dapat diperkasakan dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia negara berpendapatan dan berteknologi tinggi melalui penggunapakaian (adoption) dan penghasilan lebih banyak inovasi teknologi tempatan. Terdahulu, barisan Kabinet yang diumum hari ini juga memperlihatkan banyak muka lama masih dikekalkan dengan 31 menteri dan 33 timbalan menteri. Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan. Ismail ketika mengumumkan senarai berkenaan berkata, tugas utama kabinet yang dibentuk hari ini adalah untuk menangani Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.        
27 Aug 21
435
Paralimpik 2020 : Zulhairie Perbaiki Catatan Peribadi
Paralimpik 2020 : Zulhairie Perbaiki Catatan Peribadi
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Atlet para berbasikal trek negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi bersyukur dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi dalam acara 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C4-5 pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, semalam. Atlet kelahiran Terengganu itu mencatatan 1 minit 06.472 saat (s) untuk berada di tempat ke-10 daripada 21 peserta yang beraksi di Velodrom Izu, sekali gus memperbaiki catatan terbaik peribadinya 1:07s dalam satu kejohanan di Milton, Kanada pada Februari 2020. "Alhamdulillah syukur untuk acara 1000m ini, saya rasa puas hati kerana apa yang disasarkan, saya dapat melakukannya dengan masa 1:06.472s. Bagaimanapun, saya dapat merasakan persaingan agak sengit untuk Paralimpik Tokyo ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian. Pingat emas dimenangi pelumba Sepanyol, Alfonso Cabello Llamas yang turut memecahkan rekod dunia dan Paralimpik dengan catatan 1:01.557s. Turut memecahkan rekod temasya acara berkenaan adalah pemenang perak dari Great Britain, Jody Cundy dengan catatan 1:02.529s. Zuhairie selepas ini dijadual bergandingan bersama Muhammad Hafiz Jamali dan Mohamad Yusof Hafizi dalam acara pecut berpasukan campuran C1-5 750m esok. "Bagi saya, untuk acara ini sekiranya semua pelumba boleh memberikan komitmen penuh, kami boleh memasuki final tiga dan empat. Ini adalah sasaran kami untuk berada di kedudukan ketiga dan keempat sekiranya berdasarkan catatan masa sebelum ini," katanya lagi. Sementara itu, jurulatih kem berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh berpuashati dengan pencapaian anak buahnya yang dapat memperbaiki catatan terbaik peribadi masing-masing. "Alhamdulillah untuk pencapaian bagi atlet hari ini (semalam), masing-masing memperbaiki catatan peribadi mereka dengan baik. "Walaupun sebelum ini mendapat kekangan semasa latihan di tanah air kerana PKP, tetapi atlet tetap menunjukkan kesungguhan untuk bersaing dan membuat catatan terbaik peribadi," jelasnya. Terdahulu, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada atlet kelahiran Terengganu itu berjumlah RM30,000 sebagai membantu persiapan mereka menghadapi temasya tersebut.
27 Aug 21
230
Tujuh Lokaliti Paka Dikenakan PKPD Akibat Kluster Komuniti
Tujuh Lokaliti Paka Dikenakan PKPD Akibat Kluster Komuniti
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Sebanyak tujuh lokaliti dalam Mukim Paka, daerah Dungun di Terengganu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serentak bermula Sabtu ini. Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, penguatkuasaan selama tempoh dua minggu sehingga 10 September depan diputuskan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta jangkitan Covid-19. Lokaliti terlibat ujarnya, ialah Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas yang membabitkan sejumlah lebih 10,000 penduduk. “Antara punca pelaksanaan PKPD di sini akibat Kluster komuniti iaitu Kampung Limbong melibatkan seorang penduduk tempatan bergejala yang berusia 55 tahun disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos dan menjangkiti 53 orang sehingga semalam," katanya. Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dungun merupakan daerah kedua tertinggi mencatatkan sejumlah 108 kes positif harian Covid-19 semalam, daripada jumlah keseluruhan kes penularan tempatan dalam negeri iaitu 543 kes.
26 Aug 21
1799
Azizulhasni Terima Tawaran Biasiswa PhD Di UMT
Azizulhasni Terima Tawaran Biasiswa PhD Di UMT
KUALA NERUS, 26 Ogos -Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang hari ini secara rasmi dipilih sebagai atlet sukan pertama yang menerima Anugerah Biasiswa Tuanku Canselor UMT bernilai RM72,000 untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Azizulhasni berkata beliau sangat berbesar hati dengan tawaran menyambung pengajian di universiti itu bagi tempoh tiga tahun pada bila-bila masa, kerana sedar kepentingan akademik untuk masa depannya setelah tidak lagi aktif dalam bidang sukan. "Tawaran untuk sambung belajar memang banyak, namun saya pilih UMT kerana universiti ini terletak di negeri kelahiran saya, ia lebih istimewa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor UMT Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar di sini hari ini. Pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo itu bagaimanapun berkata buat masa ini fokusnya adalah pada kerjaya dan akan menyambung pengajian apabila telah bersedia. "Buat masa sekarang saya perlu fokus pada karier. Saya akan sambung belajar apabila telah bersedia kerana tawaran biasiswa UMT ini tiada tarikh luput...mungkin bila anak-anak dah besar sambung belajar ke sekolah atau universiti nanti, saya mulakan pengajian PhD. "UMT juga tawarkan peluang untuk saya jadi tenaga pengajar di universiti ini selepas bersara sebagai atlet demi kecemerlangan sains sukan.... insya-Allah saya akan fikirkan, kerana sekarang pun saya minat juga mencurahkan ilmu berkaitan keirin kepada junior serta orang ramai melalui YouTube," katanya. Ketika ini, Azizulhasni sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sains sukan di Universiti Victoria, Melbourne. Sementara itu Mazlan berkata Azizulhasni juga akan menerima Anugerah Sarjana Kehormat pada Istiadat Konvokesyen UMT kali ke-19 yang dijangka berlangsung November depan. "Beliau telah dilantik sebagai Karyawan Tamu Utama UMT sejak November tahun lepas. Tiga penghargaan ini adalah pengiktirafan UMT terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada negara selama ini. "Banyak lagi tawaran lain UMT akan menyusul sekiranya beliau pulang ke Terengganu, ibarat sirih pulang ke gagang untuk berkhidmat kepada negeri dan negara sebagai kakitangan tenaga akademik UMT setelah ada PhD nanti," katanya. Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' merangkul pingat perak di peringkat akhir acara keirin lelaki di Veldorum Izu, di Shizuoka, Tokyo, pada 8 Ogos lepas. Semalam, Azizulhasni menerima insentif bernilai RM350,000 daripada Kerajaan Negeri Terengganu iaitu sebuah rumah teres setingkat bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai RM50,000. -- BERNAMA
26 Aug 21
292
Hotel Primula Kekalkan Tradisi Masak Bubur Asyura
Hotel Primula Kekalkan Tradisi Masak Bubur Asyura
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos-Tradisi memasak bubur Asyura yang semakin dilupakan dalam kalangan orang muda terus disemarakkan oleh  Primula Beach Hotel meskipun dalam suasana normal baharu. Majlis yang bermula jam 8 pagi itu melibatkan 20 warga kerja dengan menggunakan resipi istimewa chef hotel  yang menggabungkan bahan seperti lengkuas, serai, halia, daging, ayam, beras, santan dan rempah ratus terbaik. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata sebanyak tiga kawah Bubur Asyura disediakan  secara bergotong-royong dan ia akan diagihkan kepada masjid dan surau berdekatan serta warga kerja hotel.  "Pengagihan Bubur Asyura ini  kepada mereka yang memerlukan, juga bagi mengingatkan kita semua bahawa walaupun keadaan semasa dan ekonomi negara masih tidak sihat namun tiada alasan untuk kita untuk tidak membuat kebaikan. "Aktiviti sedemikian juga akan terus dikekalkan bagi mengeratkan ukhwah sesama kakitangan di samping memupuk keceriaan dalam program sedemikan sambil beramal," ujarnya ketika ditemui selepas program mengacau Bubur Asyura di Anjung Primula, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Primula Beach Hotel Dato' Mustafa  Ali. Tambah Suaibah, walaupun ia dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keharmonian sesama individu dapat dilihat semasa mereka, menyediakan bahan keperluan dan mengacau bubur asyura secara gotong-royong hinggalah kepada proses agihannya. Pada masa yang sama katanya, aktiviti tersebut juga memberi pendedahan kepada golongan muda tentang cara menyediakan makanan tradisi itu.      
26 Aug 21
440
YDSM Sumbang 8,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19 Kepada JKNT
YDSM Sumbang 8,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19 Kepada JKNT
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos -Yayasan DiRaja Sultan Mizan(YDSM) menyumbang 8,000-unit kit ujian kendiri Covid – 19 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam menangani pandemik COVID-19 di negeri ini. Setiausaha kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail berkata, sumbangan yang bernilai RM280 ribu mampu meringankan beban serta tanggungjawab petugas barisan hadapan khususnya dari JKNT dalam pelaksanaan setiap ujian COVID-19. "Ia juga membantu mempercepatkan proses pengasingan kendiri bagi mana-mana individu yang mempunyai kontak dengan individu positif wabak berkenaan selepas mendapat keputusan segera. "Selain itu, bantuan ini meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf untuk melakukan ujian COVID-19," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Azri Sani Dato’ Mazlan,  kepada Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Kasemani Embong. Beliau juga berkata, YDSM turut memperuntukan RM30 ribu sebulan dalam bentuk sumbangan makanan kepada barisan hadapan JKNT di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bermula Februari lepas. Dalam pada itu juga, YDSM turut memberikan sumbangan barangan dapur kepada golongan asnaf khususnya kepada penerima bantuan YDSM yang terjejas sumber pendapatannya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak tahun lepas. "Sebanyak RM200 ribu telah diperuntukan bagi tujuan ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 900 keluarga yang terjejas,"tambahnya dalam kenyataan tersebut.
26 Aug 21
279
Pemohon RMM Perlu Kemaskini Maklumat Sebelum 31 Disember Ini
Pemohon RMM Perlu Kemaskini Maklumat Sebelum 31 Disember Ini
Oleh: Safwan Syakir KUALA NERUS, 26 Ogos- Pemohon Rumah Mampu Milik (RMM) Negeri Terengganu diminta mengemaskini maklumat permohonan masing- masing bermula 1 September ini Sehingga 31 Disember depan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kemaskini boleh dibuat secara atas talian dengan melayari sistem ePerumahan versi III di pautan https://eperumahan.terengganu.gov.my/ Menurut beliau, sistem permohonan RMM Negeri Terengganu (ePerumahan) Versi III telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar secara maya menerusi siaran langsung Facebook TV Darul Iman (TVDI), semalam. "Permohonan RMM secara atas talian telah bermula Januari 2014 menerusi sistem permohonan RMM (ePerumahan) kemudian dinaiktaraf ke Versi Il pada tahun 2018 dan sekali lagi melalui proses penambahbaikan termasuk perkakasan server bagi memenuhi kehendak semasa. "Pendaftaran dan permohonan akan dibuka mulai 1 September ini dan bagi yang telah mendaftar sebelum ini perlu mengemaskinikan maklumat permohonan sebelum akhir tahun ini ," ujarnya kepada pemberita. Alias berkata, sekiranya gagal berbuat demikian, pemohon perlu membuat pendaftaran dan permohonan baharu. "Permohonan adalah melalui pilihan projek yang akan diiklankan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan lambakan permohonan sepertimana yang wujud sebelum ini," ujarnya. Tambah beliau, menerusi sistem ePerumahan versi III ini yang telah dinaiktaraf ini akan memudahkan pemohon membuat permohonan RMM jenis A dan B, Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu atau i-rahman serta pembelian dan pembinaan RMM atas tanah sendiri.
26 Aug 21
989
Penduduk Terjejas Sambut Baik Bantuan Segera Disalurkan Kerajaan
Penduduk Terjejas Sambut Baik Bantuan Segera Disalurkan Kerajaan
KUALA NERUS, 26 Ogos - Penduduk di dua daerah negeri ini yang terputus bekalan air menyambut baik dengan pengumuman Menteri Besar untuk menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta. Nasir Mokhtar, 56, berkata ia menunjukkan kerajaan sangat bertanggungjawab dalam membantu rakyat di negeri ini yang ketika ini mengalami kesulitan disebabkan berlaku sekali lagi perkara di luar jangka. "Itu yang dimahukan oleh rakyat, tidak dibiarkan rakyat menghadapi kesusahan begitu sahaja. Apa yang saya boleh katakan, jika hendak diikutkan susah, semua mengalami kesusahan pada waktu ini, jangan fikir kita seorang sahaja mengalami kepayahan, orang lain juga mengalami nasib yang sama. "Perkara ini bukan disengajakan, sebagaimana sedia maklum paip yang rosak itu telah lama. Dengan bantuan diumumkan itu saya fikir sangat membantu di mana sebahagian peruntukkan RM1.25 juta daripada jumlah tersebut diperuntukkan untuk air minuman yang akan disalurkan terus ke setiap rumah yang terlibat. "Kerana air bersih ini kita boleh buat masak, saya kira sangat baiklah di samping melalui peruntukkan berkenaan akan dipastikan bekalan air bersih dihantar dengan kekerapan yang sesuai sehingga ia dapat diselesaikan. "Sudah tentu ia akan memudahkan pelbagai golongan yang pada waktu ini ada yang sakit, sedang menjalani kuarantin, uzur, tiada keupayaan dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika tinjauan di kawasan terjejas semalam. Nasir berkata, penyediaan pili air daripada sumber utama penduduk antara insiatif pihak kerajaan yang sangat membantu. "Saya pada setiap hari memerlukan 300 gelen air sehari untuk keluarga saya. Saya akan pastikan ia mencukupi untuk ditinggalkan bagi keselesaan anak dan isteri kerana saya bekerja jauh, keluar pagi balik pula lewat malam. "Walaupun ada disediakan tangki statik, tapi saya rasa perlu diutamakan kepada mereka yang tidak mempunyai kemudahan tangki besar untuk tujuan menyimpan air, saya kesian dekat orang yang bawa gelen-gelen kecil ini, pada waktu ini tidak boleh ambil sikap mementingkan diri. "Jika ambil dari tangki berkenaan untuk diisi oleh kita yang ada tangki besar ini lama mereka hendak menunggu, kalau ambil melalui pili yang disediakan ini dalam masa 15 minit boleh memenuhi 100 gelen air "Lori tangki itu sangat membantu juga sebenarnya, saya lihat di kawasan saya tiga kali lori berkenaan melakukan pengisian air iaitu pada waktu pagi, selepas asar dan juga malam," katanya. Manakala bagi Che Wan Amina Mat Amin, 33, berpandangan bahawa bantuan kerajaan sebagaimana diumumkan itu sangat membantu dalam menyalurkan bekalan air mineral. "Kerana ia sesuai untuk makan dan minum. Air tangki lebih sesuai untuk mandi. Ia meringankan beban saya yang mana selama ini dua kali sehari juga saya ambil air, walaupun jauh dari manir. Saya bekerja sebagai penghantar makanan ke bandar, jadi singgah ambil air dari pili ini. "Kerana untuk tujuan memasak saya rasa lebih baik menggunakan air paip. Jika kerajaan dah umumkan insiatif berkenaan, bersyukur sangatlah. Doa saya agar perkara ini dapat diselesaikan dengan cepat, dan tidak akan kembali berulang," katanya. Seorang lagi penduduk terjejas, Mohd Shoperi Mat Amin berkata dengan insiatif bantuan pihak kerajaan itu dengan terus menghantar air minuman ke rumah , berupaya mengurangkan kegelisahan masyarakat ketika sedang berhadapan pandemik Covid-19. "Tidaklah terlalu berulang kali mengambil air, dan terpaksa beratur dan bersesak mengambil air. kerana keutamaan terhadap keselamatan perlu diambil kira dalam keadaan kita berhadapan penularan wabak Covid-19 ini. "Bagi mengelakkan timbulnya kluster baru akibat aktiviti mengambil air. Alhamdulillah, kerajaan selalu memikirkan apa yang terbaik dalam memudahkan rakyat di waktu mengalami keadaan seumpama ini," katanya.
26 Aug 21
407
Kadar Vaksinasi Terengganu Sudah Melebihi 40 Peratus
Kadar Vaksinasi Terengganu Sudah Melebihi 40 Peratus
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Kadar vaksinasi Terengganu telah melepasi nilai ambang yang ditetapkan untuk beralih ke fasa ketiga. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kadar vaksinasi populasi dewasa semasa telah mencapai 42 peratus. Kadar ini telah melebihi nilai ambang yang telah ditetapkan untuk Terengganu beralih ke fasa ketiga iaitu sebanyak 40 peratus. "Kadar vaksinasi bagi dos pertama bagi populasi dewasa pula telah mencapai sebanyak 73 peratus," ujarnya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Stadium Negeri kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. "Alhamdulillah bekalan vaksin dan tenaga kita mencukupi, kita berjalan mengikut perancangan yang telah ditetapkan," katanya kepada media kelmarin. Jelas Dr. Alias, sebanyak 99 peratus kes yang berlaku di Terengganu datang dari kategori 1 dan 2, sedikit sangat bagi kategori 3, 4 dan 5. "Ini adalah kesan daripada vaksinasi yang dapat mengurangkan kesan yang serius, kita tidak boleh mengurangkan wabak kerana penyakit ini menular," tambah beliau.  
26 Aug 21
308