Artikel "Utama" Terkini
Kedah Sumbang RM200,000 Kepada Terengganu, Kelantan
KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Kerajaan Kedah bersetuju menyumbangkan bantuan kewangan berjumlah RM200,000 kepada Terengganu dan Kelantan sebagai tanda solidariti banjir di kedua-dua negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian tersebut akan dibahagian secara sama rata iaitu RM100,000 untuk setiap negeri.
“Selain itu, empat kontena berisi 24,000 beg beras serta bahan makanan asas lain akan turut dihantar ke Kelantan dan Terengganu hasil sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
“Penghantaran sumbangan makanan tersebut akan dibuat sebaik keadaan mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan. di sini hari ini.
Langkah untuk memberi sumbangan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dipengerusikannya di Wisma Darul Aman, semalam.
Katanya, sumbangan itu adalah bantuan bagi menghadapi banjir di Pantai Timur untuk dua negeri tersebut.
Pada Selasa, Kerajaan Negeri Selangor juga menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM500,000 masing-masing kepada kerajaan Kelantan dan Pahang untuk membantu mangsa banjir di dua negeri berkenaan.
22 Dec 22
379
Peka Situasi Banjir, Pindah Awal Walaupun Tidak Berisiko
MARANG, 22 Disember - Penduduk yang tinggal di kawasan tidak berisiko banjir diingatkan supaya peka terhadap perkembangan terkini banjir bagi mengelak berlakunya situasi banjir di luar jangkaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, maklumat terkini mengenai perkembangan bencana boleh diperoleh melalui portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
Katanya, langkah tersebut perlu diambil memandangkan kejadian banjir di luar jangka dilaporkan banyak berlaku pada musim tengkujuh ini
“Selain itu, kita juga akan berbincang dengan Pegawai Daerah mengenai tahap kesiapsiagaan, apa lagi langkah-langkah yang kita boleh ambil bersama untuk memperkemaskan lagi persiapan.
“Bila tak pernah berlaku (kawasan jarang banjir) tu susah sikit, tapi kita ambil berat untuk susun atur persiapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau stok bekalan makanan dan kelengkapan asas mangsa banjir di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM di Pulau Kerengga di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, pihaknya akan bincang bersama pegawai daerah berhubung langkah segera yang boleh diambil bagi memperkemaskan lagi persiapan berdepan bencana luar jangka terutama dalam berdepan gelombang banjir seterusnya di negeri itu.
"Kita akui apabila berlaku bencana di kawasan yang tidak pernah terlibat banjir, ia agak sukar, namun kita mengambil berat berhubung perkara itu.
"Persediaan untuk berdepan situasi itu perlu diperkasakan lagi bagi mengelak situasi sama berulang," ujar beliau.
22 Dec 22
120
36,341 Mangsa Banjir Terengganu Masih Berada Di 254 PPS
KUALA TERENGGANU- Seramai 36,341 mangsa daripada 9,769 keluarga masih ditempatkan di 254 pusat pemindahan sementara (PPS), di seluruh negeri ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, memaklumkan, setakat 10 pagi ini Kemaman kekal daerah paling terjejas dengan 7,547 mangsa daripada 2,009 keluarga masih berada di 25 PPS.
“Seramai 7,281 mangsa daripada 1,752 keluarga pula berada di 67 PPS di Besut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, sebanyak 41 PPS masih beroperasi di Dungun dengan 6,072 mangsa daripada 1,594 keluarga masih berlindung.
Tambah beliau, Hulu Terengganu masih mempunyai 5,738 mangsa daripada 1,921 keluarga yang berada di 45 PPS.
“Seramai 3,890 mangsa daripada 986 keluarga masih berada di 17 PPS di Kuala Nerus.
“Sebanyak 13 PPS yang mempunyai 2,863 mangsa daripada 751 keluarga masih dibuka di Kuala Terengganu,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, Setiu pula masih mempunyai 2,065 mangsa daripada 542 keluarga yang ditempatkan di 35 PPS daerah itu.
Manakala, seramai 885 mangsa daripada 214 keluarga berada di 11 PPS di Marang.
22 Dec 22
353
Banjir, PETRONAS Bantu 2,700 Keluarga Di Pantai Timur
KEMAMAN, 21 Disember –Sebanyak 2,700 keluarga yang terjejas banjir di tiga negeri Pantai Timur menerima sumbangan daripada Yayasan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan yang dijalankan oleh Yayasan di dalam usaha membantu mangsa banjir.
"Melalui pakej prihatin, setiap keluarga menerima sumbangan kelengkapan asas seperti air mineral, selimut, tuala mandi, peralatan mandian, ubat gigi dan berus gigi serta makanan.
"Sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga sementara mereka berada di PPS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sumbangan mangsa banjir Terengganu disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir Saiful Azmi Suhaili di dalam satu majlis ringkas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kemasek di sini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan bin Abdul Wahab.
Sumbangan yang disampaikan melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tersebut turut disampaikan kepada kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 10 buah negeri yang terjejas banjir seluruh negara dengan kos hampir RM1 juta.
Terdahulu, M Ahmad Shazly berkata PETRONAS turut menyumbang 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan di 14 negeri di seluruh negara.
Jelasnya, sumbangan itu sebagai tanda terima kasih atas komitmen yang diberikan pihak berkuasa negeri dalam usaha menyelamat mangsa banjir.
Tambah beliau lagi, Yayasan PETRONAS turut membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi di Pekan Pahang dan Tumpat Kelantan melakukan persiapan yang lebih sistematik menghadapi banjir melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM).
21 Dec 22
339
Empat Sungai Lepasi Paras Bahaya
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Paras air di empat sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 3.45 petang ini merekodkan tiga sungai melepasi paras amaran manakala dua sungai paras waspada.
Di Hulu Terengganu iaitu di Sungai Telemong di Kuala Ping merekodkan bacaan paras bahaya iaitu 19.91 m.
Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun melepasi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 13.3 meter (m).
Sementara itu, Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman juga mencatatkan bacaan paras bahaya iaitu 4.8 m.
Satu lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya ialah Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus iaitu 4.59 m.
Tiga sungai yang mencatatkan paras amaran ialah Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu iaitu 24.13 m; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu iaitu 13.19 m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu iaitu 20.87 m.
Selain itu juga, dua sungai lagi berada paras waspada iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, Setiu dengan bacaan 7.79 m dan Sungai Terengganu di Muzium Negeri, Kuala Terengganu mencatatkan bacaan 1.97 m.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata hujan lebat berterusan (peringkat buruk) diramalkan berlaku di Terengganu membabitkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman; Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; serta Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.
Hujan berterusan (peringkat waspada) pula dijangka berlaku di Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu); Pahang (Jerantut dan Maran) serta Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian).
21 Dec 22
276
Banjir Paling Teruk Rumah Sewa Dinaiki Air
KUALA NERUS, 21 Disember - Selama menyewa lima tahun di Taman Murni Permai, Mohd Shahril Othman tidak menyangka banjir kali ini begitu teruk sehingga merosakkan banyak harta benda kerana tidak sempat diselamatkan.
Katanya belum sempat menarik nafas lega setelah berhadapan dengan situasi yang sama sebelum ini, dia terpaksa menghadapinya sekali lagi dengan keadaan yang lebih teruk berbanding sebelum ini.
"Pada kali ini, air naik begitu cepat di kediaman saya ketika saya mula sedar pada jam 6.00 pagi hari ini, bangun nak Solat Subuh, tengok rumah dah mula dinaiki air, saya segera mengambil tindakan untuk mengalihkan dua biji kereta milik saya dan memindahkan isteri.
"Sekejap sahaja air naik kalau sebelum ini hanya satu kaki tapi pada kali ini mencecah tiga kaki banyak barangan yang tidak berjaya diselamatkan seperti peti sejuk, mesin basuh, almari dan sebagainya bagi saya ini paling teruk saya alami walaupun diceritakan oleh mereka yang lama tinggal di sini bencana banjir paling teruk adalah pada tahun 2014.
"Tanpa berfikir panjang demi selamatkan anak, dan isteri saya terus pergi ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal tanpa sempat saya menyelamatkan sijil-sijil pelajaran saya," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas dia kembali semula ke rumahnya untuk mengambil saki baki pakaian di kediamannya itu kelmarin.
Katanya, keadaan hujan lebat yang berterusan jika berlarutan sehingga ke malam mendatangkan perasaan cemas kerana akan mengakibatkan banyak lagi barangan akan rosak.
"Walaupun saya menyedari taman perumahan ini selalu banjir namun apakan daya, kerana sukar hendak mendapatkan rumah sewa yang lain,m hendak memiliki rumah sendiri masih tidak berkeupayaan.
"Hari ini terpaksa ambil cuti kecemasan, saya mengharapkan agar hujan lebat tidak berterusan dan keadaan akan pulih kembali seperti biasa," ujarnya.
Untuk rekod, pada ketika ini PPS SK Tok Jembal telah menempatkan 443 mangsa daripada 99 keluarga melibatkan penduduk Taman Murni Permai enam buah kg lagi ialah Pak Tijah, Tok Jembal, Taman Seri Makmur, Gong Badak, Kg. Baru Tok Jembal serta Kg. Kubang Badak
21 Dec 22
846
Penyelamat Mangsa Lemas Terima Anugerah Wira
KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Aur, Che Ku Marzuki Che Ku Dalam menerima Anugerah Khas Wira Masyarakat dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan JPKK Daerah Kuala Terengganu yang diadakan baru-baru ini.
Anugerah tersebut telah diberikan sebagai tanda menghargai usaha beliau demi menyelamatkan mangsa lemas di Pantai Pandak Chendering pada 11 Januari 2020 yang lalu dalam satu tragedi melibatkan empat orang mangsa.
Che Ku Marzuki penerima Anugerah Khas Wira Masyarakat
Menceritakan pengalaman tersebut, Che Ku Marzuki berkata pada awalnya beliau menerima satu panggilan sekitar jam 5 petang yang mengatakan ada orang lemas di Pantai Pandak.
“Kemudian saya terus bergegas ke Pelabuhan Chendering dan mengambil bot fiber saya menuju ke tempat kejadian,” kata Che Ku Marzuki ketika menceritakan detik kejadian tersebut kepada pemberita.
Menurut beliau keadaan ombak ketika itu agak besar dan berisiko.
“Setibanya di tempat kejadian, saya lihat mangsa terkapai-kapai lalu saya campakkan pelampung bagi menyelamatkan mangsa.
“Malangnya 3 orang lagi mangsa tidak dapat diselamatkan kerana keadaan ombak yang sangat berisiko pada ketika itu,” jelasnya lagi.
Beliau turut memberikan pesanan agar masyarakat tidak mengadakan sebarang aktiviti di tepi pantai dalam musim tengkujuh ini kerana keadaan yang berbahaya.
Selain itu, beberapa penghargaan lain juga diberikan dalam majlis tersebut antaranya Insentif Penyertaan Pertandingan Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Terengganu yang diberikan kepada JPKK Padang Midin dan Anugerah Kecemerlangan JPKK bagi setiap mukim dalam Daerah Kuala Terengganu.
Turut hadir Ahmad Faris Abd Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang merasmikan majlis tersebut dan menyampaikan anugerah-anugerah kepada penerima.
Penerima Anugerah Kecemerlangan JPKK dalam Daerah Kuala Terengganu
Penerima Anugerah Kecemerlangan JPKK bagi mukim dalam DUN Batu Buruk
21 Dec 22
369
Banjir Terengganu : Lapan Stesen Minyak Ditutup
MARANG, 21 Disember - Lapan stesen minyak di negeri ini dihentikan sementara operasi akibat terjejas dengan banjir.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata lapan stesen minyak tersebut melibatkan empat daerah.
Katanya, tiga stesen minyak terletak di daerah Kemaman, dua di Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Besut, Setiu serta Dungun.
“Penutupan sementara stesen minyak itu terpaksa dibuat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
“Untuk keselamatan amat membincangkan kerana minyak bercampur dengan air, di samping arus elektrik juga turut boleh menjejaskan operasi stesen minyak tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik Bukit Payong semalam.
Tambah Saharuddin, stesen minyak tersebut akan kembali beroperasi apabila banjir surut sepenuhnya seperti biasa.
Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan kenderaan stesen bergerak (ROVR) juga akan digerakkan ke lokasi yang terjejas teruk setelah beberapa penilaian dibuat.
“Perkara itu akan diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Justeru agensi penyelamat dan penduduk tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan bakar kenderaan di lokasi bencana," ujarnya.
21 Dec 22
797
Mangsa Banjir Di Terengganu Melebihi 40,000
KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 40,456 orang setakat jam 8 pagi hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terenganu berkata jumlah mangsa tersebut terdiri daripada semua daerah dalam negeri ini.
Katanya, susulan itu sebanyak 299 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan 11,097 keluarga mangsa di seluruh negeri ini.
“Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 9,147 orang daripada 2,441 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS dalam daerah berkenaan.
“Di daerah Besut pula merekodkan jumlah mangsa seramai 8,536 daripada 2,265 keluarga.
“Tambahnya lagi, daerah Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing mencatatkan jumlah 5,893 dan 4,352 mangsa yang melibatkan 1,952 dan 1,246 keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Manakala, daerah Dungun dan Kuala Terengganu juga meningkat kepada 4,419 dan 2,777 mangsa daripada 1,239 dan 752 keluarga.
Sementara itu, Marang dan Kuala Nerus pula mencatatkan 1,735 dan 3,597 mangsa daripada 440 dan 862 keluarga yang di tempatkan di 28 PPS dalam daerah tersebut.
“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.
21 Dec 22
557
Penduduk Sifatkan Banjir Paling Buruk Selepas 36 Tahun
HULU TERENGGANU, 21 Disember - Banjir yang melanda daerah ini susulan hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lepas, disifatkan penduduk antara yang terburuk sejak 36 tahun lalu, apabila paras air naik secara mendadak.
Penduduk Kampung Padang Setar Ulu Sat, Latifah Jusoh, 61, berkata kali terakhir 'banjir besar' berlaku di kampung berkenaan pada 1986 namun hanya beberapa rumah sahaja terjejas terutamanya di kawasan yang rendah.
"Kampung kami dah biasa banjir setiap tahun tetapi setakat 0.5 meter hingga satu meter sahaja... 2014 pun sama dan masa awal tahun baru-baru ini sahaja hampir satu meter.
"Namun, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 36 tahun lalu kerana arus air agak deras sehingga rumah saya dinaiki air hampir paras bumbung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Berkongsi cerita, ketika kejadian, dia sedang berada di dalam rumahnya untuk menyimpan apa yang perlu ke bahagian lebih tinggi.
"Masa tengah kemas barang tu, air dah paras pinggang tetapi tak sampai 15 minit air dah cecah paras bahu saya.
"Oleh kerana keadaan makin merbahaya, saya terus mengharungi air dalam keadaan berdebar untuk menyelamatkan diri," katanya lagi.
Sementara itu, Mohd Saifuddin Wahab, 44, dari Kampung Tengkawang berkata dia tidak pernah menjangkakan kejadian banjir kali ini teruk dari kebiasaan tahun-tahun sebelumnya.
"Memang dah biasa hadapi banjir tapi kali saya tak tahu nak kata apa sebab memang teruk...lebih teruk dari 2014 apabila rumah ibu dinaiki air sehingga dua meter.
"Paras air tinggi di luar jangkaan menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian besar akibat kemusnahan harta benda serta barang perniagaan yang tidak sempat diselamatkan," ujarnya.
21 Dec 22
635