lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Petisyen Umno : 'Serah Pihak Berkuasa Adili Sepenuhnya'
Petisyen Umno : 'Serah Pihak Berkuasa Adili Sepenuhnya'
HULU TERENGGANU, 16 Januari – Petisyen difailkan Umno Terengganu bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di tiga kawasan di negeri ini akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak perundangan. Pengerusi Perikatan Nasional Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dakwaan bahawa PAS Terengganu merasuah dan menyogok pengundi dengan wang akan diperhalusi melalui undang-undang.  “Itu (petisyen) hak undang-undang yang diberikan kepada mana-mana pihak penyertaan pilihan raya yang tidak puas hati dengan hal itu. “Apa jua alasan termasuklah dakwaan pemberian wang akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diadili,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Kuala Berang di sini hari ini. Hari ini, Umno Terengganu mengumumkan telah memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman kerana didakwa memberi rasuah dan wang sogokan kepada pengundi pada PRU15. Pengerusi Umno Terengganu, Dato'Seri Ahmad Said berkata petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu.
16 Jan 23
1363
Jangan Sekat Suara Anak Muda
Jangan Sekat Suara Anak Muda
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) dinasihat agar tidak menyekat kebebasan bersuara anak muda yang mahukan kebaikan untuk negara. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, tindakan menyekat kandungan media sosial golongan belia terutamanya di aplikasi 'tiktok' tidak mencerminkan demokrasi sebenar yang dijanjikan PH. Katanya, tekanan sama turut tidak wajar dikenakan terhadap pendakwah berlainan ideologi memandangkan Malaysia sebuah negara demokrasi. "Berilah ruang kepada anak muda berfikir dengan matang untuk menilai yang mana baik dan buruk. "Sepatutnya kerajaan hari ini beri tumpuan untuk menyekat isi kandungan serta maklumat yang buruk dan tidak bermoral seperti budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), lucah, 'scammer'. "Jangan sekat yang baik disebabkan perbezaan pandangan, beri ruang untuk menegur, mengkritik, kerana ia juga adalah kebebasan, termasuk sindiran-sindiran serta pelbagai cara lain untuk memberikan kefahaman yang tepat kepada setiap orang," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui media di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, kerajaan dibentuk hari ini tidak perlu mengikut ideologi luar yang mahu rakyat mengikut telunjuk mereka semata-mata. "Kerajaan sepatutnya mendidik anak muda memiliki pemikiran yang matang, kerana mereka adalah golongan terpelajar, mendapat pendidikan di sekolah kerajaan di mana cikgu-cikgunya telah dikawal oleh kementerian, jadi raikanlah mereka. "Apabila didapati mereka salah berfikir, barulah diperbetulkan apa yang selama ini mereka salah faham serta keliru, jangan ikut zaman Firaun apabila diketahui ada unsur-unsur hendak menjatuhkan kerajaan dia bunuh semua anak-anak lelaki yang baru lahir, akhirnya lahir Nabi Musa dalam istana," katanya. Sehubungan itu Mohd Nor mengharapkan anak muda terus menyuburkan dakwah serta menyampaikan maklumat menerusi platform media sosial dengan cara kreatif dan tersendiri. "Kena sampaikan kebenaran melalui apa sahaja cara mengikut apa yang diajar oleh Allah, berkata benarlah walaupun pahit, dihalang, mahupun disekat. "Kita hidup berprinsipkan kebenaran, kerana itu menjadi tugas untuk menyampaikan perkara yang benar untuk membina sebuah masyarakat yang bertamadun, negara barat serta Jepun menjadi maju kerana maklumat diberikan kebebasan," katanya.  
16 Jan 23
294
Kehadiran PM Diurus Dengan Kehendak PMO
Kehadiran PM Diurus Dengan Kehendak PMO
HULU TERENGGANU, 16 Januari – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menerima kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu serta menyediakan keperluan seperti diminta Pejabat Perdana Menteri (PMO). Beliau turut menafikan bahawa berlakunya masalah antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam isu terbabit. “Secara asasnya kita tahu PMO hubungi Kerajaan Negeri atas pelbagai urusan sama ada peribadi, parti atau Kerajaan Persekutuan sahaja jadi cara pengurusan itu tidak sama. “Tun Dr Mahathir Mohamad dulu kita dimaklumkan dengan jelas tujuan kedatangan, siapa yang dilibatkan tapi dalam kunjungan baru-baru ini kita tidak dimaklumkan perlunya urusan dengan Kerajaan Negeri jadi kita bantu dari segi logistik dan pengangkutan seperti diminta. Tidak dibuat permintaan lain daripada itu,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Kuala Berang di sini hari ini. Ahmad Samsuri turut berkata, pihaknya telah berurusan dengan empat orang Perdana Menteri yang berbeza sepanjang menjawat sebagai Menteri Besar Terengganu. “Ideologi (politik) pada zaman Tun Mahathir juga berbeza, pada saya kecepatan dan kecekapan setiap Perdana Menteri itu yang berbeza,” ujarnya.  
16 Jan 23
1042
Rumah Murah Siap Dibina, Pemilik Terima Kunci
Rumah Murah Siap Dibina, Pemilik Terima Kunci
HULU TERENGGANU, 16 Januari - Seramai 250 pemilik Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera ini menerima kunci apabila projek perumahan milik kerajaan negeri itu siap sepenuhnya sejak dibina pada Julai 2019.  Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek bernilai RM29 juta itu merupakan bentuk pembangunan yang memenuhi keperluan sebenar rakyat. “Sebelum ni ada suara persoal apa pembangunan yang dibuat di Terengganu. Memang kita (kerajaan) ada pilihan untuk membina bangunan lain dengan sejumlah RM20 juta, RM30 juta. “Biar orang tengok Terengganu ada menara pencakar langit dengan kos itu, tapi lebih baik kita buat rumah untuk rakyat.  “Kerajaan hari ini membuat pemilihan menentukan mana yang perlu didahulukan, mana yang perlu kemudiankan. Hasrat kerajaan adalah mampu menyiapkan sebanyak mungkin rumah mampu milik untuk rakyat Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, Kuala Berang di sini hari ini. Projek perumahan itu dibina atas tanah berkeluasan 24.41 ekar dijadualkan siap lebih awal namun ekoran pandemik berlaku sedikit kelewatan. Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa  Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak menyatakan penyerahan kunci akan dilakukan di dua projek perumahan sebelum pertengahan tahun ini. “Projek seterusnya yang akan siap adalah di Tempinis dengan 100 unit dan Tok Jembal (160),” tambahnya.  
16 Jan 23
989
Elak Kahwin Dengan Warga Rohingya - JHEAT
Elak Kahwin Dengan Warga Rohingya - JHEAT
KUALA TERENGGANU, 16 Januari – Rakyat Terengganu dinasihatkan agar tidak berkahwin dengan pelarian Rohingya kerana kesan dan akibat negatif yang akan diterima.  Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata, di Terengganu terdapat lebih kurang 6,000 orang pelarian Rohingya yang menetap di negeri ini. Katanya, pelarian Rohingya ini merupakan mereka yang tidak mempunyai warganegara namun kerajaan Malaysia memberikan perlindungan sementara kepadanya. “Pihak JHEAT juga sentiasa memberikan khidmat nasihat terhadap mana-mana permohonan kahwin rakyat Terengganu dengan pelarian Rohingya supaya mengubah haluan akibat risiko yang akan ditanggung. “Sekiranya mereka berkahwin, maka tidak akan didaftarkan kerana tidak ada warganegara,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 1, Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini baru-baru ini. Turut hadir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKP) Khidmat Nasihat Undang-Undang Keluarga, Hasyimah Zakaria. Tambah Moktar, apabila perkahwinan tidak boleh didaftarkan, maka surat nikah juga tidak boleh dikeluarkan. Justeru, sekiranya mereka gagal mengemukakan bukti yang mereka telah berkahwin. "Jika ditangkap berdua-duaan, maka penguatkuasaan syariah boleh mengangkat kes mereka kepada pendakwaan syariah untuk dijawab di Mahkamah," katanya. Sementara itu, anak bersama pasangan Rohingya juga terpaksa dibinkan dengan Abdullah atau mana-mana Asmaul Husna. Di samping, dari segi tuntutan nafkah juga tidak boleh dituntut. Selain itu, seandainya pelarian Rohingya ditempatkan di mana-mana negara, maka mereka akan dikeluarkan bersama keluarga (anak dan isteri).
16 Jan 23
5336
TESDEC Bakal Guna Tenaga Solar
TESDEC Bakal Guna Tenaga Solar
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) bakal menggunakan tenaga solar yang akan menampung penggunaan elektrik di seluruh kawasan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jangkaan pemasangan solar Net Energy Metering (3.0) di atas bumbung bangunan Tesdec Berhad adalah pada awal bulan Mac 2023. Katanya, pemasangan tersebut berkapasiti 272.8 kWp dengan kos anggaran sebanyak RM1.1 Juta. “Projek bumbung solar ini menjadi bukti bahawa Tesdec Services Sdn Bhd mampu untuk memberikan penjimatan elektrik kepada pengguna. “Sebelumnya kita telah melakukan perkara yang sama di beberapa buah masjid dan sekarang kita sedang melakukan pemasangan di bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Memorandum Menandatangani Perjanjian Solar Power Purchase Agreement di antara Tesdec Services Sdn Bhd dan Tesdec Berhad bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Pentadbiran TESDEC di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Tesdec Services Sdn BHD, Shaharizukirnain Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Tesdec Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Pengurus Besar Tesdec Services Sdn Bhd, Tuan Mohd Azrin Mohd Aris@Mohd Aziz. Tambah Wan Sukairi, tenaga solar ini adalah sumber tenaga yang boleh diperbaharui (tenaga lestari) kerana ia dapat terus menghasilkan penjanaan elektrik selagi adanya cahaya matahari. Di samping, penggunaan tenaga solar juga adalah mesra alam kerana sumber tenaga alternatif yang tidak mencemarkan alam sekitar dan bersih. Sementara itu, Tesdec Services Sdn Bhd merupakan syarikat yang bergiat pantas dalam menjalankan projek solar untuk rumah di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat. “Pada tahun ini, pihaknya telah bercadang untuk memasang 150 buah rumah di Terengganu dengan sistem solar mampu milik,” katanya.  
15 Jan 23
802
TFCPLAY, Penanda Aras Baharu Kelab Bola Sepak
TFCPLAY, Penanda Aras Baharu Kelab Bola Sepak
KUALA NERUS, 15 Januari - Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) muncul kelab bola sepak pertama di Malaysia memiliki platform penstriman perkhidmatan (service streaming) sendiri apabila melancarkan TFCPLAY, hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Abd Rasid Jusoh memaklumkan, TFCPLAY menyediakan sesuatu yang berbeza buat para peminat dan penyokong pasukan Terengganu FC untuk menyaksikan gergasi pantai timur itu secara lebih dekat dan eksklusif. "Kita mahu mendekatkan peminat-peminat kepada pasukan, memberi kemudahan kepada ahli untuk mendapatkan sesuatu secara lebih eksklusif dari TFCSB. "Saya yakin dan percaya, dengan gerak kerja dibuat oleh pasukan kita bahawa kandungan yang dimuat naik dalam TFCPLAY amat menarik. "Contohnya kita ada filem yang tidak pernah disiarkan di mana-mana dan sesuai dengan kehendak peminat serta dokmentasi pasukan yang menarik perhatian penyokong," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan TFCPLAY di pejabat TFCSB, hari ini. Tambahnya, TFCPLAY juga menawarkan harga yang kompetitif iaitu RM7 bagi langganan sebulan dan RM60 untuk langganan setahun. "Harga yang murah dengan kandungan lebih besar dan menarik akan bermula dari persediaan pasukan sewaktu pra-musim 2023 ini," katanya.      
15 Jan 23
362
Didakwa Dera Bayi Sampai Koma, Pengasuh Mengaku Tidak Bersalah
Didakwa Dera Bayi Sampai Koma, Pengasuh Mengaku Tidak Bersalah
KUALA TERENGGANU, 15 Januari -  Seorang pengasuh pusat asuhan kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan dera terhadap seorang bayi sehingga koma. Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Othman, hari ini. Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga ketujuh, tertuduh didakwa menganiaya seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah pusat asuhan di sini antara 1 sehingga 3 Januari lalu. Kejadian berkenaan mengakibatkan bayi malang itu mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak di bahagian tempurung kepala sebelah kiri. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya. Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin. Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim. Sebelum ini, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma akibat didera di sebuah pusat asuhan di bandaraya ini. Kejadian itu disedari bapa mangsa yang berusia 29 tahun ketika mengambil bayi terbabit, 4 Januari lalu, sebelum menghantar mangsa ke hospital untuk pemeriksaan- UTUSAN  
15 Jan 23
391
Yayasan Terengganu Peruntuk RM15 Juta Bantuan Pendidikan STPM
Yayasan Terengganu Peruntuk RM15 Juta Bantuan Pendidikan STPM
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – Seramai 26,947 pelajar telah menerima manfaat menerusi bantuan pendidikan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu sejak tahun 2008 menerusi peruntukan hampir RM15 juta. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia merupakan satu komitmen tidak berbelah bahagi dalam menghargai para pelajar tingkatan enam serta usaha memartabatkan pendidikan di negeri ini. Katanya, pada tahun 2020 pula sebanyak RM765,500 ribu telah diperuntuk kepada 1,531 pelajar yang melibatkan 44 buah sekolah di seluruh Terengganu. “Ini juga membuktikan tiada kumpulan pelajar yang tersisih atau terpinggir dari mendapat bantuan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan negeri. “Gunakan dan manfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diberikan untuk meningkatkan komitmen mereka ketika berhadapan dengan peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.Kita mengharapkan pada tahun ini rekod pencapaian akan lebih baik lagi berbanding tahun-tahun sebelumnya,”katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan  Majlis Penyampaian Bantuan STPM Tahun 2022 Yayasan Terengganu bagi Daerah Kuala Terengganu bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu,  Dato Mohd Azmi Mohamad Daham. Dalam majlis tersebut, seramai 332 pelajar dari  sekolah sekitar Kuala Terengganu menerima bantuan pendidikan STPM sebanyak RM500 setiap seorang melibatkan peruntukan RM166,000 bagi tahun 2022. Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya meletakkan bidang pendidikan sebagai salah satu agenda terpenting pembangunan serta transformasi negeri yang ditunjangi oleh Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS)2030. “Pelbagai skim bantuan, penganugerahan serta program pendidikan telah disesuaikan dengan kehendak semasa agar anak Terengganu tanpa mengira latar belakang mendapat manfaat dari inisiatif pendidikan ini bagi melahirkan modal insan berkualiti di masa hadapan,”ujarnya.  
15 Jan 23
802
TDM Kekal Taja TSG
TDM Kekal Taja TSG
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – TDM Berhad selaku anak syarikat kerajaan negeri (GLC) mengekalkan nilai tajaan bernilai RM500,000 bagi musim 2023 kepada pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG). Pengarah eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, prestasi dan kejayaan TSG yang cemerlang dalam menakluki pelbagai kejohanan di seluruh dunia memberi keyakinan kepada Kumpulan TDM untuk mengekalkan penajaan bagi musim ini. “Pencapaian pasukan TSG yang diurustadbir oleh Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT) amat membanggakan apabila pada musim 2022, pasukan TSG sekali lagi dinobatkan sebagai juara Jelajah Asia UCI, kedudukan ke-31 dunia daripada 212 pasukan profesional serta kedudukan ke-3 pasukan Benua Dunia UCI.  “Terkini, TSG telah berjaya memenangi jersi merah selaku Raja Bukit serta jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia dan Pasukan Terbaik Asia Le Tour de Langkawi edisi ke-26 Oktober 2022.  “Kejayaan ini menjadi kebanggaan kepada kami sebagai penaja dan sebagai tanda sokongan kepada pasukan yang diurus tadbir oleh 90 peratus anak kelahiran Terengganu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa penglibatan TDM bersama-sama bahagian penjagaan kesihatan syarikat, Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) keterujaan dalam bekerjasama dengan entiti besar seperti TSG.  “Kolaborasi ini penting bagi mengetengahkan produk-produk baru atau sedia ada sebagai pelaburan strategik dalam membawa jenama TDM dan KMI Healthcare di dalam Malaysia seterusnya dapat dikembangkan sehinggga ke persada antarabangsa,” tambahnya. Terdahulu, Majlis Pelancaran Majlis Memperkenalkan Pelumba dan Penaja TSG bagi musim 2023 dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM11 juta.  
15 Jan 23
353