Artikel "Utama" Terkini
Hujan Berterusan Di Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada kembali di Terengganu.
Katanya, amaran tersebut dijangka melanda seluruh kawasan di Terengganu.
MetMalaysia memaklumkan, ia berkuatkuasa bermula 25 hingga 30 Januari dan dijangka berlangsung selama lima hari.
“Ia membabitkan lapan daerah di negeri ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, amaran hujan berterusan tahap waspada ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan.
Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca serta menerusi laman media sosial rasmi MetMalaysia
25 Jan 23
327
Rakyat Tersinggung Dengan 'Cakap Kosong' Menteri
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Sebahagian besar rakyat terguris dan tersinggung dengan 'cakap kosong' atau kata-kata sembrono salah seorang Menteri Kerajaan Persekutuan berkaitan harga barang.
Kenyataan kurang cermat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menggesa orang ramai memboikot restoran mahal di saat harga bahan mentah sudah turun adalah salah dan disifatkan tidak berpijak dalam realiti semasa.
Pelanggan kedai makan, Mohd Faris Nurul Huda berpandangan, gesaan memboikot kedai makan sangat tidak relevan dalam keadaan ramai peniaga mendapatkan bahan mentah pada harga mahal.
"Sebaliknya, saya rasa kerajaan perlu ambil inisiatif mengawal harga bahan mentah serta menurunkan harga, dengan cara memboikot tidak mampu meningkatkan ekonomi rakyat, apatah lagi kedai makan tetap menjadi pilihan rakyat kerana kesibukan tanggungjawab lain," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika tinjauan di beberapa kedai makan, di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus semalam.
Sementara itu, Pengurus Kedai Makan Nasi Kukus Amaz, Jamilah Said mengesahkan harga bahan mentah termasuk ayam dan telur masih tidak menunjukkan penurunan harga.
Katanya, sewajarnya kerajaan berfikir dan mencari penyelesaian tuntas berkenaan masalah tersebut, bukan menyalahkan rakyat di bawah.
"Sekarang ini harga makanan tidak dinaikkan lagi, tetapi jika kos bahan mentah terus meningkat macam mana pengusaha kedai makan seperti kami hendak berniaga.
"Tidak berupaya untuk menurunkan harga makanan dalam keadaan sekarang, dalam masa yang sama kena menggajikan enam pekerja lagi," ujarnya.
Sementara itu, menurut Pengusaha Kedai Makan Nasi Padang di Kuala Nerus, Mohd Yusof Ghazali, jika harga bekalan dan bahan mentah terus naik kenaikkan harga makanan tidak dapat dielakkan.
Katanya, gesaan memboikot kedai makan yang tidak menurunkan harga sangat tidak relevan.
"Sepatutnya bukan kita yang kena berfikir bagaimana hendak menurunkan harga makanan, tapi itu tanggungjawab kerajaan perlu fikirkan bagaimana mencari jalan bagi memastikan bekalan bahan mentah supaya harga dapat distabilkan serta tidak berlaku kenaikan.
"Bila selalu naik macama mana kami hendak berniaga, dengan menyediakan harga yang berpatutan kepada pelanggan, 'sakitlah'," ujarnya.
25 Jan 23
544
Boikot Restoran : 'Kerajaan Tak Wajar Salahkan Rakyat'
KUALA TERENGGANU, 24 januari - Rakyat di negeri ini mahu kerajaan Persekutuan bekerja dan tidak hanya bercakap kosong bagi mengurangkan bebanan mereka berkaitan harga barangan.
Gesaan itu timbul selepas mereka tersinggung dengan kenyataan kurang cermat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menggesa orang ramai memboikot restoran mahal di saat harga bahan mentah sudah turun.
Pengurus Kedai Makan Nasi Kukus Amaz, Jamilah Said berkata, dakwaan Rafizi itu tidak benar kerana bahan mentah termasuk ayam dan telur masih tidak menunjukkan penurunan harga.
Katanya, sewajarnya kerajaan berfikir dan mencari penyelesaian tuntas berkenaan masalah tersebut, bukan menyalahkan rakyat di bawah.
"Sekarang ini harga makanan tidak dinaikkan lagi, tetapi jika kos bahan mentah terus meningkat macam mana pengusaha kedai makan seperti kami hendak berniaga.
"Tidak berupaya untuk menurunkan harga makanan dalam keadaan sekarang, dalam masa yang sama kena menggajikan enam pekerja lagi," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika tinjauan di beberapa kedai makan, di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, hari ini.
Sementara iti, menurut Pengusaha Kedai Makan Nasi Padang di Kuala Nerus, Mohd Yusof Ghazali, jika harga bekalan dan bahan mentah terus naik kenaikkan harga makanan tidak dapat dielakkan.
Katanya, gesaan memboikot kedai makan yang tidak menurunkan harga sangat tidak relevan.
"Sepatutnya bukan kita yang kena berfikir bagaimana hendak menurunkan harga makanan, tapi itu tanggungjawab kerajaan perlu fikirkan bagaimana mencari jalan bagi memastikan bekalan bahan mentah supaya harga dapat distabilkan serta tidak berlaku kenaikkan.
"Bila selalu naik macama mana kami hendak berniaga, dengan menyediakan harga yang berpatutan kepada pelanggan, 'sakitlah'," ujarnya.
Sementara itu, peniaga kedai runcit serta barang basah dan sayuran, Nur Dalilah Diyana Azmi, mengakui tidak faham dengan sikap pembekal dalam menentukan harga barang.
"Kalau hendak diikutkan, 'orang tengah' ini yang meletakkan harga tinggi, yang saya sendiri tidak faham, adakah disebabkan cukai atau faktor lain yang mengakibatkan harga barang itu menjadi tinggi.
"Betul harga barang ini naik secara tidak menentu, kita ambil contoh limau nipis misalnya mana ada dah yang dijual secara tompok sebagaimana dahulu, sekarang semua kena timbang jika sebelum ini dijual secara runcit dengan harga RM3.00 atau RM4.00 sekarang mencecah kepada RM9.00 ke RM12.00, begitu juga dengan harga-harga sayuran lain, ikan, ayam, telur.
"Dahulu saya menjadi pembekal juga kepada peniaga-peniaga kecil di tepi jalan, sekarang ini saya tidak mampu jual dengan harga borong dengan keadaan sekarang, tambahan pula peniaga runcit sering dipantau tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya sedangkan kami dibekalkan dengan harga yang begitu tinggi, beli barang pun dalam kuantiti sedikit mengharapkan pembekal," luahnya.
Dalam pada itu pelanggan kedai makan, Mohd Faris Nurul Huda berpandangan, geasan memboikot kedai makan sangat tidak relevan dalam keadaan ramai peniaga mendapatkan bahan mentah pada harga mahal.
"Sebaliknya, saya rasa kerajaan perlu ambil inisiatif mengawal harga bahan mentah serta menurunkan harga, dengan cara memboikot tidak mampu meningkatkan ekonomi rakyat, apatah lagi kedai makan tetap menjadi pilihan rakyat,"ujarnya.
24 Jan 23
692
10 Anggota Polis Terengganu Ditahan Kerja
KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Seramai 10 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang ditahan dalam Op Selendang, Jumaat lalu dikenakan perintah tahan kerja bermula petang semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa memaklumkan, seramai 14 anggota dan pegawai kanan yang bertugas di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan peringkat kontinjen negeri itu direman secara berperingkat selepas disyaki terlibat menganggotai pertubuhan haram dikenali Ayahanda Harimau Kumbang (AHK), sebelum ini.
"Tindakan ini telah selesai di peringkat awal dan sekarang kita menunggu siasatan lanjut. Buat masa ini, 10 anggota ini telah diberikan perintah tahan kerja, manakala bakinya masih dalam keadaan reman yang akan berakhir esok.
"Menyertai pertubuhan haram bagi pasukan polis adalah merupakan satu kesalahan dan sekiranya didapati positif terlibat, maka tindakan buang kerja mungkin akan diambil bergantung kepada siasatan oleh bahagian Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) nanti.
"Setakat ini, siasatan belum selesai untuk kita mengumpul bukti sejauh mana penglibatan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.
Jelasnya, berdasarkan risikan daripada bahagian siasatan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, penglibatan anggota terbabit bermula pada tahun 2021 dan kini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Tambah Rohaimi, pihaknya mahu pertubuhan AHK diharamkan kerana didapati menjalankan aktiviti-aktiviti berunsurkan keganasan dan gengsterisme.
"Kumpulan ini didapati menjalankan aktiviti berunsurkan keganasan dan gengsterisme contohnya menjadi orang tengah mengutip wang untuk hutang ahlong dengan menggunakan elemen kekerasan, juga aktiviti menarik kereta secara haram dengan ugutan jenayah.
"Kumpulan ini, kita akan haramkan. Kita akan minta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diwartakan sebagai pertubuhan haram supaya tiada orang boleh menggunakannya.
"Siasatan masih tertumpu di daerah Dungun, setakat ini di daerah lain tiada lagi pertubuhan yang memerlukan tindakan dari pihak kita," katanya.
Terdahulu, tangkapan dalam operasi khas itu turut melibatkan tujuh orang awam berusia antara 20 hingga 49 tahun.
Sebanyak lapan bilah senjata berbahaya berupa pedang dan ekor pari juga dirampas, selain lapan buah kenderaan, 28 telefon bimbit serta bahan-bahan lain antaranya pakaian berlogo pertubuhan, pelekat kenderaan dan peralatan-peralatan untuk ritual seperti kain kafan.
24 Jan 23
1591
Hujan Berterusan Di Terengganu Bermula Hari ini
KUALA TERENGGANU, 21 Januari – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada kembali di Terengganu.
MetMalaysia memaklumkan, amaran tersebut dijangka melanda seluruh kawasan di negeri ini.
Katanya, daerah Dungun dan Kemaman berkuatkuasa bermula 21 hingga 25 Januari iaitu selama lima hari.
“Manakala daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Besut dan Setiu pula bermula pada 21 hingga 22 Januari dan dijangka berlangsung selama dua hari,” jelasnya.
Mengulas lanjut, amaran hujan berterusan tahap waspada ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan.
Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca serta menerusi laman media sosial rasmi MetMalaysia.
21 Jan 23
450
Masyarakat Tionghua Sibuk Buat Persiapan Sambut Tahun Baharu Cina
KUALA TERENGGANU, 20 Januari- Keterujaan masyarakat Tionghua menyambut kedatangan Tahun Arnab kali ini makin dirasai apabila tinggal beberapa hari lagi untuk mereka berkumpul dan menikmati 'makan besar' bersama ahli keluarga serta saudara-mara.
Tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman di Kampung Cina di sini semalam mendapati, masing- masing begitu bersemangat menghidupkan suasana perayaan Tahun Baharu Cina dengan menghias aneka perhiasan menarik seperti tanglung, lampu berwarna warni termasuk di rumah sendiri dan tokong-tokong.
Bagi Wong Sue Fong, 60, Tahun Arnab kali ini merupakan permulaan baharu bagi masyarakat Tionghua meraikan kedatangan Tahun Baharu Cina dengan penuh semangat.
"Kami sudah mula bergotong-royong dengan membuat persiapan membeli perhiasan dan membuat dekorasi yang meriah sejak dua minggu lalu.
"Hiasan tokong untuk Tahun Baharu Cina pula dibuat bersama oleh beberapa NGO untuk meriahkan lagi suasana dan bagi semua rakan di sini rasa gembira pada hari tersebut.
"Sudah beberapa tahun kami tidak menyambutnya dengan meriah sebab arahan PKP yang menyebabkan kami tidak dapat berkumpul beramai-ramai. Tahun ini apabila COVID-19 sudah pulih, kita teruskan kembali," katanya.
Sementara itu Wang Fook Seek, 80, pula mengharapkan, kehadiran Tahun Arnab sempena Tahun Baru Cina kali ini akan membawa limpahan kejayaan dan kemakmuran kepada Negeri Terengganu.
"Semoga kita semua yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum di negeri ini sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat hidup dengan aman dan makmur," ujarnya.
20 Jan 23
462
Yayasan PETRONAS Ceriakan 300 Keluarga Di Pantai Timur
KEMAMAN, 20 Januari –Yayasan Petronas meraikan 300 keluarga kurang berkemampuan di Pantai Timur sempena Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina 2023 yang diadakan di seluruh negara.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata program tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan PETRONAS untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.
Katanya, Program Sentuhan KasihFestiveTahun Baharu Cina menyasarkan kumpulan masyarakat B40 sama seperti Program Sentuhan Kasih Festive bagi perayaan utama lain yang diraikan di negara ini.
"Hasrat kami adalah supaya program ini dapat membantu membangkitkan keceriaan dan kegembiraan di kalangan golongan kurang berkemampuan sempena musim perayaan,” katanya dalam kenyataan disini, hari ini.
Tambah beliau, sumbangan kali ini berbentuk bekalan makanan asas dan barangan bertemakan perayaan Tahun Baharu Cina itu disampaikan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 100 keluarga masing-masing di Kemaman, Bentong dan Kota Bharu.
Sementara itu, sumbangan bagi penerima di Kemaman disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat serta turut dihadiri Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid di dalam satu majlis di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina SRJK (C), Kemaman.
"Antara bekalan makanan asas yang disampaikan ialah beras, minyak masak, gula, garam, tepung, sardin, milo dan teh uncang serta kekacang.
"Selain itu, setiap keluarga juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti mi kering, minyak bijan, sos taucu dan cendawan kering," ujar beliau.
Menurut Mohammad Ahmad Shazly, sehingga kini seramai 2,150 keluarga kurang berkemampuan telah diraikan oleh Yayasan PETRONAS melalui Program Sentuhan Kasih Festive Tahun Baharu Cina 2023 di 13 buah negeri dan dua wilayah persekutuan seluruh negara.
20 Jan 23
406
Bukit Puteri Dibuka Kembali Akhir Januari Ini
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Bukit Puteri yang kaya dengan catatan sejarah dan lagenda sehingga menjadi antara lokasi produk tarikan pelancongan negeri bakal beraksi kembali akhir Januari ini.
Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Muhammad Azmi Ngah berkata kerja-kerja naiktaraf Bukit Puteri sedang rancak berjalan bermula pada 17 Oktober 2022 dengan kos sebanyak RM 230,660.
"Dalam masa terdekat, Insyallah tempat bersejarah ini akan dibuka kepada orang ramai dengan beberapa penambahbaikan.
"Pembaharuan terkini di Bukit Puteri ini adalah pembinaan tangga baru yang lebih selamat dan mesra pelawat, kaunter tiket, pemasangan lampu dan juga naiktaraf landskap," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Tambah beliau, projek naiktaraf ini adalah kerjasama antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu yang menyalurkan peruntukan ke Jabatan Pelancongan Negeri melalui program Pelaksanaan Inisiatif Projek Jaminan Makanan, Pelancongan Serta Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar Terengganu.
Bukit Puteri merupakan satu tempat yang penuh bersejarah kerana pernah menjadi kubu dan rebutan semasa Perang Saudara semasa zaman pergolakan Kesultanan Terengganu antara tahun 1931 hingga 1939.
Antara peninggalan sejarah yang masih jelas dapat dilihat di Bukit Puteri ini antaranya singgahsana sementara, tempat simpanan bedil dan meriam, genta (loceng besar), meriam beranak, tiang bendera dan rumah api.
Pengunjung juga dapat melihat keindahan Bandaraya Kuala Terengganu dari atas bukit ini dan sememangnya menggamit pemandangan bagi yang pertama kali melihatnya.
20 Jan 23
917
Persiapan Sederhana Akibat Kesan Banjir
BESUT, 20 Januari - Persiapan perayaan tahun baharu Cina dilakukan secara sederhana akibat penduduk masih keletihan mengemas rumah akibat banjir buruk yang berlaku sebulan lalu di Kampung Batu Balai, Jabi di sini.
Seorang penduduk, Boo Duaa Jeoten, 64, berkata, mereka sekeluarga masih belum mengalihkan barangan ke tempat asal kerana bimbang risiko banjir berulang kembali.
“Ianya kerana susulan amaran hujan berterusan antara 20 hingga 22 Jan (Jumaat hingga Ahad) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.
“Peti ais dan mesin basuh pun rosak masih belum dibaiki sehingga jika ingin membeli bahan mentah seperti ayam dan ikan pun, kami perlu beli untuk kegunaan harian sahaja kerana tiada tempat nak simpan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya, semalam.
Sementara itu, Tian Chau Bulat, 71 berkata ini pertama Kali bagi komuniti Cina Siam di kampung itu menyambut Tahun Baru Cina selepas dilanda banjir besar dengan kerugian lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Justeru, mereka membuat persiapan ala kadar sahaja untuk perayaan kali ini memandangkan banyak perabot dan barangan elektrik yang rosak akibat banjir terburuk dalam tempoh 40 tahun itu.
20 Jan 23
86
Ops Asap Hitam : Sembilan Pemilik Kenderaan Dikenakan Kompaun
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Tujuh Notis Arahan dan tiga kompaun dikenakan kepada sembilan pemilik kenderaan dalam dua operasi pelepasan asap hitam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Terengganu, Ramli Abd. Rahman berkata operasi pelepasan asap hitam berasingan diadakan di Setiu dan Dungun, semalam.
Katanya, kesalahan itu dikesan melalui hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 370 kenderaan ketika dua operasi sedang dijalankan.
“Kesemua kenderaan itu telah diperiksa secara visual dan enam daripadanya telah menjalani ujian meter asap.
“Notis arahan dan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan media pada hari ini.
Tambah Ramli, pelepasan asap hitam berlebihan berisiko memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia serta alam sekitar udara dan kualiti udara sekeliling.
“pemilik kenderaan berenjin diesel diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik.
“Di samping mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya.
Jelasnya lagi, seramai 12 anggota penguatkuasa dari Unit Kenderaan Bermotor JAS negeri Terengganu dan 10 pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu serta daerah Dungun terlibat dalam operasi tersebut.
19 Jan 23
772