Artikel "Utama" Terkini
Pelumba Cilik Sensasi Terima Hadiah Motor Daripada MB
SEPANG, 8 Februari - Kerajaan negeri mencipta kejutan apabila menghadiahkan sebuah motosikal mini GP berjenama Ohvale kepada pelumba cilik Terengganu dan negara, Qabil Irfan Azlan pada semalam.
Ahmad Samsuri berkata, pemberian itu adalah komitmen kerajaan negeri bagi menghargai anak Terengganu yang telah mencapai kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa.
Katanya, motosikal itu akan dimanfaatkan Qabil ketika latihan dalam meningkatkan lagi prestasi ke tahap tertinggi.
“Kejayaan ini juga merupakan inspirasi kepada anak-anak muda di Terengganu, jika kita mempunyai kehendak dan usia yang luar biasa, kejayaan pasti dapat dicapai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tempat latihan Qabil Irfan dan Hakim Danish di Litar Antarabangsa Sepang yang dikelola oleh ZK Racing Sdn.Bhd.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun .
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berharap agar Qabil Irfan dan Hakim Danish akan menjadi pembuka jalan untuk kemajuan sukan permotoran di Malaysia secara amnya dan di negeri Terengganu khususnya.
“Kerajaan negeri berharap agar kedua-dua pelumba cilik ini dapat memberi fokus kepada sukan permotoran ini sehingga ke kemuncak iaitu MotoGP Dunia," katanya.
Dalam pada itu, Qabil Irfan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu atas pemberian ini yang mendorongnya untuk terus berjaya.
Untuk rekod, Qabil Irfan Azlan telah berjaya mencipta kejutan dengan menamatkan perlumbaan Super Final Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di Litar Ricardo Tormo, Valencia dengan menduduki tempat ketiga.
08 Feb 23
868
Sedia Tong RORO Percuma Atasi Longgokan Sampah
KUALA TERENGGANU, 8 Februari- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mengambil inisiatif menyediakan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) secara percuma dalam usaha mengurangkan longgokan sampah pukal di beberapa lokasi penduduk padat di DUN terbabit.
Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, dengan kerjasama pihak Everlantern Sdn Bhd, tong tersebut diletakkan di dua lokasi sebagai percubaan bermula bulan ini.
"Kami sedang membuat percubaan dalam mengurangkan longgokan sampah pukal di beberapa lokasi penduduk padat dengan meletakkan tong sampah RORO dengan kerjasama pihak Everlantern Sdn Bhd.
“Setiap Rabu dan Sabtu pada awal dan akhir bulan kami akan tempatkan tong roro ini di dua lokasi iaitu di sebelah kandang sampah Taman Permint Makmur/Taman Mahathir dan sebelah kandang sampah berhadapan Padang Bola Sintetik Tok Jiring,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Katanya, pemilihan hari tersebut dibuat berikutan menjadi kelaziman penduduk bergotong-royong membersihkan halaman rumah ketika itu.
“Jadi sampah pukal buangan boleh ditempatkan dalam tong sampah RORO yang disediakan untuk mengelakkan ia berlonggok," katanya.
Tambah beliau, penduduk dalam kawasan tersebut dimohon merancang untuk memastikan aktiviti pembersihan laman rumah dan pembuangan sampah pukal dapat dilakukan dalam tempoh tersebut.
“Sampah pukal ialah barangan selain sisa makanan seperti perabot, tilam, barang elektronik, tayar buruk, batu, kayu atau pokok dan yang seumpamanya.
“Manakala sampah domestik meliputi sisa makanan daripada penduduk atau perumahan. Sampah domestik boleh ditinggalkan di tong sampah yang disediakan di kawasan kandang sampah berkenaan,” ujarnya.
Menurut Hishamuddin, penduduk juga diharapkan dapat memberikan kerjasama untuk menjayakan usaha tersebut.
“Pihak kami akan memantau kerjasama penduduk dan kesan percubaan ini untuk bulan Febuari dan Mac. Semoga terdapat kesan yang positif atas usaha ini,” katanya.
08 Feb 23
798
RMM Dendong : Langkah Segera Diambil Elak Projek Tergendala
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Kerajaan negeri sudah mengambil langkah segera bagi memastikan pembinaan Perumahan Mampu Milik (RMM) di Dendong, Besut diteruskan seperti biasa dan tidak tergendala.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, projek itu mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal kerana kontraktor utama, Wanland Sdn Bhd mengalami masalah kewangan kerana akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, susulan itu pihaknya sudah mengenalpasti beberapa jalan penyelesaian untuk dilaksanakan bagi memastikan RMM itu berjalan seperti biasa.
“RMM Dendong tergendala daripada jadual asal kerana syarikat terbabit mengalami masalah kewangan ketika PKP. Semua faham bahawa hampir seluruh pemain industri pembinaan di negara terkesan akibat wabak.
“Projek ini tetap akan diteruskan dalam masa terdekat dan telah mendapat kelulusan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada bulan lepas dengan beberapa pindaan yang dicadangkan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal turut berkata cadangan pindaan pelan projek itu sudah diluluskan bagi memudahkan penyerahan projek itu kelak.
“Pindaan atas permohonan Pejabat Daerah dan Tanah Besut adalah berkaitan kaedah pelupusan tanah bagi kemudahan dan utiliti tapak projek tersebut, ia sudah diluluskan,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai video di media sosial bertajuk ‘Perumahan Alam Sebalik Mata’, Dr Alias menyifatkan ia sebagai bahan politik pihak lawan bahkan kerajaan sentiasa berusaha menyiapkan semua projek perumahan termasuklah projek terbengkalai ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Kerajaan negeri menyatakan komitmen bagi menyediakan 20,000 unit rumah buat rakyat berdasarkan manifesto yang dibawa PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
07 Feb 23
865
Terengganu Kembali Banjir
KEMAMAN, 7 Februari - Beberapa kawasan di daerah ini kembali dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada Isnin.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, , seramai 28 mangsa daripada sembilan keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Lembah Jabor dan Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih di sini sehingga jam 8 pagi.
"PPS SK Lembah Jabor yang dibuka jam 12 malam tadi menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga.
"Manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih turut diaktifkan bagi menempatkan tiga mangsa daripada satu keluarga," menurut kenyataan tersebut.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sebatang sungai masing-masing direkodkan melepasi paras bahaya dan amaran manakala dua lagi direkodkan melepasi paras waspada.
Setakat jam 8 pagi, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.80 meter (m) berbanding paras normal 15 m.
Sementara itu, di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping melepasi paras amaran dengan bacaan 19.21 m.
Dua lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman masing-masing dengan bacaan 11.35 m dan 12.92 m.
07 Feb 23
1600
70 Peratus Rakyat Terengganu Terlibat Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 7 Februari – Sebanyak 70 peratus daripada 1.2 Juta rakyat Terengganu terlibat dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sektor pertanian merupakan sektor untuk rakyat Terengganu dan terdiri daripada semua golongan.
Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai tabung bencana pertanian dalam membantu mereka yang terjejas dalam sektor ini.
“Pelbagai halangan dan ujian yang ditempuhi bagi mereka yang berada dalam sektor ini dalam menghasilkan sumber makanan untuk negeri dan negara kita.
“Semoga kita terus tekun dalam merealisasikan cita-cita yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Negeri Terengganu 2019-2023 untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan sendiri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan bertempat di Dewan Kampung Panji Kuala Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Pegarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.
Menurut Dr Azman, Kuala Terengganu merupakan daerah ketujuh yang diadakan program Seminar Halatuju Sektor Pertanian Terengganu untuk masa hadapan.
Ujarnya, daerah Kemaman iaitu daerah terakhir akan berlangsung pada hari esok.
“Kuala Terengganu merupakan daerah yang banyak mendapat peruntukan samada bandar mahupun kebun komuniti.
“Walaupun daerah ini mengalami isu kekurangan tanah dan tapak pertanian yang menyebabkan kita perlu berfikir satu kaedah lain untuk meneruskan gerak kerja dalam sektor pertanian ini,” katanya.
07 Feb 23
421
Bilangan Ibu Tunggal di Terengganu Meningkat
KUALA TERENGGANU, 6 Februari- Bilangan ibu tunggal di Terengganu meningkat sehingga hampir 10,000 orang dalam masa tiga tahun berdasarkan statistik terbaru yang direkodkan kerajaan Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, peningkatan kepada 43,471 orang pada tahun 2020 berbanding sekitar 35,000 orang pada 2018 amat mengejutkannya.
"Mereka merupakan antara segmen atau sasaran paling dekat dengan ADUN Wanita dan ia satu cabaran bagi saya sendiri. Sebab itu, banyak usaha dijalankan antaranya melalui pencegahan dan pemulihan menumpukan isu melibatkan nafkah, pengabaian, dera dan sebagainya.
"Kadang-kadang, apabila terjadi perceraian pasti akan berlakunya pengabaian anak-anak dan nafkah. Di peringkat negeri, kita ada kelab ibu tunggal di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan dipantau rapi oleh di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK)," katanya dalam Bicara Isu Semasa di TV Darul Iman, baru-baru ini.
Jelasnya, kerajaan negeri cuba menangani isu tersebut dengan dua keadaan iaitu mencegah dan memulihkan serta penjagaan kebajikan dan perlindungan mangsa.
Kerajaan negeri melalui Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyediakan modul kemahiran dalam mengurus kewangan dan pendidikan berikutan banyak juga perceraian disebabkan kewangan serta program kesedaran buat wanita dalam undang-undang bagi memberdaya wanita di Terengganu
"Kita turut menyarankan supaya dalam khutbah disebut juga peranan suami sebagai usaha memberi kesedaran kepada kaum lelaki dalam memberi nafkah anak-anak dan menjaga kerukunan rumah tangga selain mengadakan kempen melalui program Second Honeymoon oleh YPK.
"Bantuan kebajikan juga cukup banyak yang disalurkan kepada golongan wanita.
"Bermula Januari sehingga sekarang, kita melaksanakan gerak kerja menunaikan Belanjawan 2023 yang dibentangkan kerajaan negeri.
"Bagaimana kita nak mengamalkan negeri berkebajikan, supaya rakyat merasai nikmat yang Allah SWT kurniakan di Terengganu ini seperti royalti dan kita dapat salurkan kepada rakyat yang memerlukan," katanya.
ADUN Wanita itu menambah, agenda membangunkan wanita perlu seiring dalam membangunkan peribadi lelaki yang bertanggungjawab.
"Hari ini, keadaan anak-anak muda kita cukup rapuh. Apabila diuji perkahwinan awal usia mereka sering mengambil jalan singkat untuk bercerai. Kita tidak mahu perceraian terus berleluasa," luahnya.
06 Feb 23
1368
Kejam, Bayi Usia Seminggu Ditinggalkan
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu yang masih bertali pusat ditemukan di hadapan sebuah rumah di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Kuala Ibai di sini, semalam.
Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, yang bekerja di pusat penyelenggaraan kenderaan berkata, dia menemukan bayi lelaki itu ketika pulang dari tempat kerjanya pada pukul 6.05 petang.
Menurutnya, pada awalnya, dia tidak perasan bayi tersebut berada di hadapan rumahnya.
“Bagaimanapun, kira-kira lima minit selepas memasuki rumah, saya terdengar bunyi tangisan bayi.
“Pada mulanya menyangkakan tangisan itu anak jirannya dan selepas itu tangisan bayi itu semakin lama semakin kuat.
“Saya yang tidak sedap hati kemudian keluar dari rumah dan terkejut apabila terdapat seorang bayi lelaki yang memakai lampin pakai dan dibungkus dengan kain batik berwarna merah,” katanya ketika ditemui di Kondo Rakyat Kuala Ibai di sini, malam tadi.
Ahmad Fauzi berkata, dia kemudian memaklumkan penemuan bayi tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din yang dihubungi mengesahkan penemuan bayi tersebut.
“Bayi tersebut telah dibawa pihak berkuasa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk pemeriksaan.
“Orang yang mempunyai maklumat tentang penemuan bayi itu diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.
Abdul Rahim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
06 Feb 23
706
Sukan Motocross Bakal Gegarkan Terengganu
KUALA NERUS, 5 Februari - Sukan motosikal lasak bakal menggegarkan kalendar sukan Terengganu apabila satu kejohanan bersiri bakal dianjurkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan Terengganu Motocross Series 2023 (TMS 2023) akan mengangkat prestij sukan motosikal lasak sebagai sukan yang mendapat tempat bukan sahaja di Terengganu, tetapi di Malaysia.
Kejohanan tersebut dijangka bermula Mac hingga November tahun ini akan diadakan di litar Kampung Kubang Ikan (Kuala Terengganu), litar Dungun serta tiga litar di Kemaman iaitu Kelimo Kerteh 5, Monica Bay dan Sand Trek Kerteh.
"Kita sangat menyokong sukan ini dan di peringkat kerajaan negeri kita bercadang mengadakan Motocross Terengganu Series di lima lokasi di negeri ini.
"Penganjuran pada hari ini menjadi satu pengenalan dan pembuka kepada program sukan motocross yang pasti menarik minat pelumba-pelumba dari luar dan dalam," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah MYFIT@Motosports Peringkat Zon Timur 2022 di Litar Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.
Jelasnya, penganjuran kejohanan motosikal lasak tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.
"Hari ini kita dapat penyertaan seramai 139 orang dari seluruh negara, kita ada 10 kategori ditawarkan daripada usia lapan tahun sehingga veteran berumur 40 tahun," katanya.
Turut hadir, Pengarah Belia dan Sukan Negeri Terengganu; Mohd Izwandy Ismail, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT); Ahmad Shahrizal Yahaya, Presiden Kelab Motosikal Lasak Chukai (KMX); Aziz Arifin dan Wakil Motosports Association of Malaysia (MAM); Hashim Mohd Yusof.
05 Feb 23
1292
Pulau Tenggol, Bidong Diwartakan Taman Negeri Marin
SETIU, 5 Februari – Pulau Tenggol dan Pulau Bidong bakal diwartakan sebagai Taman Negeri Marin pada tahun ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penambahan dua taman negeri itu akan meningkatkan lagi jumlah keluasan kawasan yang dilindungi.
“Ia akan diletakkan di bawah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) yang bertanggungjawab mengurus serta mengawal selia seluruh taman di negeri ini.
“Kedua-dua pulau tersebut akan dijadikan sebagai kawasan konservasi bagi memelihara dan memulihara flora dan fauna yang sedia ada,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan World Wetlands Day 2023 bertempat di Jeti Gong Batu, Setiu di sini semalam.
Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, 10 ekosistem sekitar Setiu Wetlands perlu dipelihara bagi kelangsungan manfaat komuniti serta menstabilkan perubahan iklim.
“Pulau Tenggol diwartakan di kawasan daratan sahaja manakala Pulau Bidong pula diwartakan keseluruhan kawasan daratan serta perairan satu batu nautikal dari gigi air surut.
"Kawasan tanah bencah pula mempunyai nilai yang tinggi sekiranya dipelopori secara berkesan dan berterusan, dengan aktiviti komersial dan sebagainya," katanya.
Untuk rekod, Pulau Tenggol merupakan ‘dive spot’ pilihan komuniti bagi diver dengan adanya Penyu Yu.
Manakala, Pulau Bidong pula adalah pulau bersejarah yang dahulunya merupakan pulau yang menjadi penempatan bagi pelarian Vietnam.
Di samping, terdapat tinggalan orang vietnam yang pernah duduk di situ suatu ketika dahulu.
05 Feb 23
527
Kartunis Legenda Dari Dungun Meninggal Dunia
KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Kartunis legenda berasal dari Dungun yang cukup terkenal di tanah air ini, Abdul Fatah Ngah, 70, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 1.45 pagi hari ini.
Fatah Ngah yang cukup sinonim dengan karyanya A.Mahmud dan Lagak A. Mamud menerusi Majalah Gila-Gila merupakan nama besar dalam arena kartun negara dan merupakan antara generasi awal mempelopori dunia berkenaan yang sebelum ini terlantar sakit akibat saraf sejak sekian lama.
Perkembangan itu telah dikongsikan adiknya, Manan Ngah yang juga merupakan komposer terkenal tanah air menerusi hantaran di laman facebooknya kira-kira jalam 10 pagi tadi.
Menurut Manan, jenazah abangnya telah dikebumikan di tanah perkuburan Syed Yahya, di Dungun kira-kira jam 11 pagi tadi.
"Semoga beroleh pengakhiran yang baik-baik buat abang kandungku Fatah Ngah @ lagak A.Mamud (70 tahun). Beliau (Allahyarham) telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi sekitar 01.45 pagi
"Kepada yang mengenali maafkanlah segala kesalahan beliau (Allahyarham) terhadap anda sekiranya ada," tulisnya.
Fatah Ngah ketika hayatnya, pernah memenangi Anugerah kartunis Malaysia 2015.
Terdahulu, pada Oktober 2011, pameran dan jualan amal untuk kartunis negara itu telah diadakan di Lana Wau, Kompleks Kraftangan, Kuala Lumput bertujuan mengumpul dana bagi membantu kos rawatan dan perubatannya yang mengidap penyakit berkenaan sejak lebih 40 tahun lalu.
05 Feb 23
4468