lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Ops Motosikal: Polis Hulu Terengganu Keluarkan 116 Saman
Ops Motosikal: Polis Hulu Terengganu Keluarkan 116 Saman
HULU TERENGGANU, 3 Jun - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, mengeluarkan 116 notis saman atas pelbagai kesalahan, pada Ops Motosikal yang dijalankan di kawasan Kuala Telemong dekat sini pada Jumaat. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata saman tersebut dikeluarkan terhadap 70 penunggang motosikal melibatkan pelbagai kesalahan. "Daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, sebanyak 40 saman membabitkan kesalahan tidak memakai topi keledar. “Antara kesalahan lain yang dilakukan penunggang motosikal ialah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan kesalahan teknikal," katanya dalam satu kenyataan. Beliau memaklumkan, dalam operasi bermula dari jam 5.00 petang hingga 9.00 malam itu, diketuai Ketua BSPT IPD Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail itu menyasarkan keselamatan penunggang motosikal. Selain itu Hasmerra berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi motosikal dari semasa ke semasa bagi membenteras kegiatan samseng jalanan, lumba haram dan mat rempit.  
03 Jun 23
150
Sultan Terengganu Titah Jemaah Tumpu Ibadah, Pamer Akhlak Baik
Sultan Terengganu Titah Jemaah Tumpu Ibadah, Pamer Akhlak Baik
KUALA NERUS, 3 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menasihati rakyat Terengganu yang berpeluang menunaikan haji di tanah suci Mekah supaya menumpukan sepenuh perhatian dalam melaksanakan ibadah tersebut. Baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berangkat tiba ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud diiringi Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah Sultan Mizan Zainal Abidin sekitar jam 9.30 malam bagi menyempurnakan pelepasan rombongan terakhir 139 bakal haji yang berangkat dari Stesen Kuala Terengganu, malam tadi. Selain merakamkan ucapan tahniah, baginda turut berkenan mendoakan agar para bakal haji dikurniakan kemudahan dalam melaksanakan rukun Islam kelima itu. "Para jemaah haji tidak perlu bimbang dan hanya perlu mempunyai niat yang ikhlas untuk melaksanakan ibadah yang sempurna, selain memasti semua nasihat dan arahan Tabung Haji dipatuhi. "Ini kerana, hanya dengan pelaksanaan ibadah haji yang sempurna disulami akhlak yang baik akan membawa jemaah ke arah Haji yang mabrur, insya-Allah. "Semua jemaah juga harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang ditetapkan kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang telah lama terjalin. "Beta dan Sultanah mendoakan agar semua jemaah haji negeri Terengganu diberikan kemudahan oleh Allah SWT agar dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna dan kembali dengan Haji yang mabrur," titah baginda. Sebelum berangkat pulang, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah turut menyampaikan kurniaan kepada bakal-bakal haji yang akan memasuki balai berlepas untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS). Tahun ini, seramai 1,257 bakal haji berangkat dari Stesen Kuala Terengganu terdiri daripada 561 bakal haji lelaki dan 696 bakal haji wanita.        
03 Jun 23
302
TIS Dedah Islam Penyelesai Masalah Ummah
TIS Dedah Islam Penyelesai Masalah Ummah
Oleh : Suhaimi Taib KUALA TERENGGANU, 2 Jun  - Resolusi Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu 2023 (TIS2023) di Taman Tamadun Islam di sini dengan tema Kesyumulan Islam Ketika Berdepan Cabaran Global mendedahkan bagaimana Islam membuka jalan penyelesaian semua permasalahan manusia di dunia hari ini. Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd. Kadir berkata resolusi sidang itu menjelaskan bahawa semua idealogi ciptaan manusia gagal secara total menyelesaikan  masalah dunia sedangkan Islam berjaya membuktikan penyelesaian masalah manusia sejak lebih 1,000 tahun lalu. "Ini kerana Islam dan manusia adalah ciptaan Allah, maka Dia Maha Mengetahui bagaimana cara menyelesaikan masalah mereka dengan Islam," katanya ketika ditemui di majlis tersebut pada Khamis. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Prihatin Terengganu (CCARE), Abdul Hamid Ismail yang juga peserta sidang kemuncak itu berkata tanggapan salah orang bukan Islam terhadap Islam tidak menjejaskan kemurnian Islam sebagai penyelesai masalah manusia dalam semua bidang. "Masyarakat Barat dan Timur kini buntu mencari jalan penyelesaian masalah manusia dalam bidang politik, ekonomi dan sosial tetapi Islam menjelaskan bagaimana semua masalah itu boleh diselesaikan dengan jayanya," kata beliau. Dalam pada itu, seorang peguam Abdul Haris Malek, berkata kupasan ahli panel memberi gambaran jelas bagaimana Islam memberi garis panduan komprehensif bagi menyelesaikan masalah mereka. "Penyelesaian yang diberikan Islam sesuai mengikut peredaran zaman dan kemajuan manusia di mana sahaja mereka berada," ujarnya.
02 Jun 23
250
TIS Seru Kebersamaan Realisasi Resolusi Persidangan
TIS Seru Kebersamaan Realisasi Resolusi Persidangan
KUALA TERENGGANU, 1 Jun- Kerajaan Terengganu meletakkan setinggi pengharapan agar resolusi yang disepakati dalam Persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu 2023 (TIS2023) dapat difahami dan diterjemahkan dalam realiti semasa. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penglibatan semua pihak diperlukan dalam menjayakan perkara itu. "Seperti yang sedia maklum, merangkap tema 'Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global', saya berharap segala resolusi yang telah digariskan dapat dilumatkan dan difahami, serta diambil tindakan sebaik mungkin oleh semua pihak. "Saya juga berdoa agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mewakili pihak penganjur, saya memohon kemaafan atas kekurangan. "Kita berdoa semoga kelebihan-kelebihan yang ada dikurniakan balasan sebaik mungkin oleh Allah SWT," katanya ketika merasmikan penutup persidangan tersebut di Taman Tamadun Islam, hari ini. Majlis yang berlangsung sejak pagi tadi menampilkan tiga wacana utama membabitkan tokoh-tokoh ilmuwan Islam antarabangsa iaitu Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi dari Oman dan Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia) bagi wacana pertama bertajuk Fiqh Ta'ayush Dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari. Wacana kedua pula membawa perbahasan Uslub Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari dengan menampilkan Dr Zakir Abdul Karim Naik (India) dan Dr. Samia Raheel Qazi (Pakistan). Ilmuwan dari Indonesia, Dr. Muhammad Hidayat Nur Wahid, Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohammaed Ibrahim (Sudan), dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi pula membawakan wacana terakhir dengan tema Politik Islam dan Perpaduan Ummah.  
01 Jun 23
143
Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Gelombang rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dihentikan serta dihalang kerana pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh rakyat melihat kewibawaan parti itu sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri walaupun berhadapan kekangan kewangan. "Saya lihat prestasi yang dicapai oleh kerajaan (tiga) negeri ini apabila kita (PAS) perintah sangat menarik walaupun dalam keadaan berhadapan masalah kewangan yang dinafikan. "Kita pernah mengalami bertahun-tahun masalah ini, apa yang penting rakyat memahami masalah ini (kerana itu) kita melihat gelombang rakyat itu berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dengan menolak parti lain dan menyokong kita (PN),"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang medianya selepas menghadiri Terengganu internasional Summit (TIS) 2023, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Abdul Hadi berpandangan selain 'gelombang hijau' yang berlaku di tiga buah negeri diperintah PAS, akan turut berlaku di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. "Gelombang ini masih ada (berlaku) sehingga hari ini khususnya dalam kalangan pengundi-pengundi muda," katanya.  
01 Jun 23
219
TIS, Wahabi : 'Jangan Berkelahi Isu Furuk'
TIS, Wahabi : 'Jangan Berkelahi Isu Furuk'
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) dengan wahabi adalah sangat tidak tepat kerana menyalahi matlamat penganjuran program berkenaan bagi membincangkan 'kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran'. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam hari ini terutamanya daripada kalangan agamawan tidak perlu berkhilaf dalam masalah furuk dan berkelahi sesama sendiri hingga membiarkan musuh bermaharajalela. "Wahabi adalah mazhab akidah, satu tajuk yang sangat luas (perbincanggannya), ada yang tidak reti (faham) termasuk ulama yang tidak 'tafaqquh' (memahami) dan tidak mengaji dalam agama secara menyeluruh. "Itu yang menjadi masalahnya (perpecahan kalangan umat Islam) penjajah suka sangatlah, dia (golongan tidak faham seolahnya) dia kerja untuk penjajah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri program 'International Summit 2023', di dewan konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Sementara itu Pengerusi Bersama TIS 2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program berkenaan telah menampilkan lapan tokoh pemikir dari luar negara serta dalam negara. Jelas beliau, antaranya ialah dari India, Dr.Zakir Abdul Karim Naik (India), Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohamed Ibrahim (Sudan), Sheikh Ahmad Saud Saeed Al Siyabi (Oman), Dr.H.Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia), Dr. Mohamed Shahem Ali Saeed (Maldives). Manakala tokoh dalam negara pula ialah, Dato' Seri. Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh. Dalam pada itu, Muhammad Khalil menyatakan program tersebut mendapat sambutan luar jangka. "Kita jangka 500 orang akan hadir, tetapi yang hadir dan berdaftar hampir 900 orang," ujarnya.
01 Jun 23
1031
36 Usahawan DUN Kuala Berang Terima Dana PUTERA
36 Usahawan DUN Kuala Berang Terima Dana PUTERA
HULU TERENGGANU, 1 Jun - Seramai 36 usahawan di Dewan Undangan Negeri Kuala Berang menerima manfaat menerusi Dana Peniaga dan Usahawan Negeri Terengganu (PUTERA) dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu pada kali ini. Adunnya, Dr Mamad Puteh berkata ia melibatkan peruntukan RM50,000 yang disalurkan ke DUN-DUN di seluruh Terengganu buat pertama kalinya bagi memudahkan pengurusan bantuan tersebut. "Setiap penerima menerima bantuan peralatan maksimum RM1,500 bagi membantu meningkatkan produktiviti perniagaan mereka di samping meringankan beban. “Saya berharap dengan bantuan ini semua usahawan dapat berniaga sebaiknya di samping mengembangkan lagi perusahaan melalui dana yang diperolehi," katanya ketika di Majlis Penyampaian Dana PUTERA Peringkat DUN Kuala Berang Bagi 2023 di sini hari ini. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri,  usahawan pada hari ini perlu menggunakan peluang sedia ada dengan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi. "Kita (usahawan) perlu berani mencuba untuk menceburi lapangan yang belum diterokai orang lain selaras pembangunan teknologi seperti jualan atas talian. "Mereka yang mempunyai peribadi cekal, berani berusaha akan berjaya dalam apa yang dilakukan dari semasa ke semasa," ujarnya.
01 Jun 23
180
Terengganu Muliakan Ulama
Terengganu Muliakan Ulama
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Kerajaan negeri hari ini terus mempertahankan hubungan rapat dengan ulama yang telah bermula sejak dulu sebagaimana terpahat dalam sejarah. Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, atas faktor itu Terengganu mempunyai sistem pengajian ilmu dengan pelbagai ulama bertaraf dunia sehingga pernah digelar serambi mekah setaraf Kelantan dan Acheh. "Kita berbangga kerana masyarakat Terengganu amat kuat pegangan agama dan tradisi pengajian agama, dalam hal ini telah menjadikan Islam sebagai suatu dasar atau pegangan rakyat (sehingga) telah menimbulkan semangat perpaduan di kalangan umat Melayu. "Bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka tauhid, ummah dan ukhwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi,"ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Bersama Terengganu International Summit (TIS) 2023 berkata demikian ketika berucap menyapaikan ucapan alu-aluan di program berkenaan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, penemuan Batu Bersurat telah membuktikan bahawa Terengganu telah lama berpegang teguh dengan ajaran Islam yang syumul. "Ajaran Islam yang difahami oleh masyarakat Melayu Islam Terengganu sebagai 'ad-deen' atau 'way of life' dan bukannya terhad kepada persoalan ibadat semata-mata sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu selepas era penjajahan Brtish. "Hal ini boleh diperhatikan melalui kandungan Islam yang terdapat dalam Batu Bersurat merangkumi seluruh kehidupan bermasyarakat sama ada dalam bidang pentadbiran, kekeluargaan, jenayah, muamalah, politik dan sebagainya. "Begitu juga dalam Undang-undang Tubuh Negeri yang dinamakan sebagai Itqanul Muluk Bi Ta'diliis Suluk yang turut menerapkan pengaruh sistem politik Islam dalam pemerintah negeri,"katanya. Dalam pada itu beliau menyifatkan TIS pada tahun ini sangat tepat pada masanya sebagai platform membincangkan ancaman global dalam bentuk serangan pemikiran yang semakin hebat dalam dunia hari ini dan kehadiran tokoh pemikir dari pelbagai negara  ini sangat dialu-alukan oleh kerajaan negeri. "Semoga dengan penganjuran persidangan Antarabangsa Negeri Terengganu yang singnifikan ini, serta kerjasama semua pihak akan memberikan impak nasional kepada usaha memelihara kestabilan dan kesejahteraan negara berpandukan kepada ajaran Islam,"ujarnya.  
01 Jun 23
458
20 Nelayan Asing Ceroboh Perairan Ditahan Maritim Terengganu
20 Nelayan Asing Ceroboh Perairan Ditahan Maritim Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu berjaya menahan 20 nelayan asing Vietnam yang menceroboh masuk perairan negara pada jarak 116 batu nautika dari Muara Kuala Terengganu, di sini semalam. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata bot nelayan asing tersebut berjaya ditahan pada pukul 1.20 tengah hari selepas bertindak melarikan diri sebelum itu. Katanya, 20 orang kru termasuk tekong warga Vietnam yang masing-masing berumur antara 18 hingga 49 tahun ditahan ketika berada di atas bot tersebut. “Maritim Malaysia Terengganu merampas bot dan peralatan menangkap ikan, ikan campur dianggarkan 300 kilogram, peralatan komunikasi dan navigasi serta 2,000 liter bekalan diesel. "Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta," katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Khairulanuar, pihaknya telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.30 tengah hari ketika melakukan rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut. “Menyedari kehadiran Kapal Maritim, bot tersebut telah melarikan diri ke arah sempadan Vietnam namun gagal apabila berjaya ditahan. "Pemeriksaan turut mendapati tekong gagal menunjukkan sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan Malaysia," ujarnya. Sementara itu, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.    
01 Jun 23
204
Pinggirkan Islam, Negara Dalam Bahaya
Pinggirkan Islam, Negara Dalam Bahaya
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Masalah dalaman serta perpecahan umat Islam hari ini adalah kerana tidak berpegang teguh dengan agama sekali gus menyebabkan kedaulatan negara berada dalam bahaya dan ekonominya dijajah. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu berpunca daripada propaganda barat yang menyebarkan Islamophobia menjadikan umat Islam tidak yakin dengan kesyumulan Islam dalam mendepani cabaran global di zaman ini. "Berpunca daripada perpecahan rakyat, kejahilan pemimpin dan kelemahan para ulama kerana menganut pelbagai ideologi kerana kejahilan agama sendiri dan menganggap Islam tiada hubungannya dengan cara kehidupan manusia dalam segala aspek. "Ada kalangan mereka yang kuat beribadat, tetapi memperjuangkan pelbagai ideologi dan teori yang asing daripada Islam yang gagal menyelesaikan masalah selepas memeperoleh kemerdekaan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama 'Kesyumulan Islam Dalam Mendepani Cabaran Global' pada program 'International Summit 2023', di Taman Tamadun Islam Terengganu, di sini hari ini. Mengulas lanjut katanya, ada pemimpin negara umat Islam pula telah diatur dan dicatur mengikut didikan penjajah. "Ada pun kumpulan Islam yang asal memperjuangkan kemerdekaan telah disingkirkan oleh negara sendiri serta masyarakat yang jahil. "Pendikan Islam pula telah dilumpuhkan oleh kepungan penjajah menjadikannya sekadar bertahan dengan mempelajari Islam secara tidak sempurna. "Bahkan, juga telah melahirkan ramai dalam kalangan para ulama yang tidak memahami cabaran semasa dan asyik berkhilaf dalam masalah guru, berkelahi sesama sendiri, membiarkan musuh bermaharajalela dan tidak bertafaqquh dalam ilmu sehingga termasuk dalam sangkar musuh Islam," ujarnya. Tambah beliau lagi, masalah itu juga muncul kerana kegagalan ulama dalam memahami cabaran semasa menyebabkan tidak mampu menyatakan Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dunia hari ini. "Kerana tidak memahami adanya dalam Islam proses islah dan tajdid bagi menghadapi cabaran baharu," ujarnya. Oleh kerana itu, Abdul Hadi berkata Islam perlu kembali semula menjadi penyelamat dan perlu diyakini oleh penganutnya sendiri termasuk kalangan ilmuwan barat telah muda sedar kebenaran yang dibawa oleh agama wahyu ini. "Ramai kalangan ilmuwan barat yang menganalisi perkembangan tamadun manusia selepas kejatuhan tamadun terdahulu. "Kini mereka mengaku bahawa tamadun islam tidak boleh dimatikan cahayanya dan dianggap sebagai pencabar yang berbahaya kepada Tamadun Barat yang masih wujud dengan segala kelemahannya," ujarnya lagi.
01 Jun 23
320