Artikel "Utama" Terkini
SMK Bukit Sawa Perintis Pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Terengganu Incoporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan RM45,000 untuk melaksanakan program rintis pendidikan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) dalam negara, melibatkan kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pelaburan berkenaan sebagai sokongan untuk merealisasikan 'Kick Off TI-BSaS Aeronautics UAV In Scholl programme' dalam usaha membantu para pelajar mengembangkan kemahiran dalam ekonomi Revolusi Industi Keempat (IR4.0) .
"SMK Bukit Sawa dianggap sebagai perintis untuk program ini dengan kewujudan kelab aeronautik sedia ada, Kelab Aeronautik Bukit Sawa (BSAS Aeronautik) yang mendidik pelajar tentang teknologi terkini kemajuan dalam industri penerbangan.
"Program ini dijalankan selama empat tahun (2023-2026), menyasarkan pelajar Tingkatan 1 di SMK Bukit Sawa berikutan wujudnya mata pelajaran baharu dalam silibus akademik mereka; Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK),"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program 'Kick-Off TI-BSaS Aeronautics UAV In-School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat.
Mengulas lanjut Burhanuddin berkata, pihaknya dimaklumkan seramai tujuh pelajar telah direkrut bagi merealisasikan program tersebut.
"Antara komponen penting dalam program ini termasuk tunjuk ajar dalam bilik darjah, reka bentuk dan hiasan, latihan penerbangan dan pertandingan.
"Di samping Terengganu Inc, program ini akan turut bekerjasama dengan beberapa pihak yang menyediakan sokongan dalam pelbagai bentuk antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBS), Universiti Kuala Lumpur, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia dan lain-lain lagi.
"Pihak kami bakal meningkatkan jenama syarikat menerusi tajaan ini, di samping pengiktirafan sebagai penyokong program Hi-Tech STEM yang selaras dengan 'Sustainable Development Goals (SDG) no.4 (Pendidikan Berkualiti) dan no.9 (Industri Inovasi dan Infrastruktur) yang ditetapkan oleh United Nations Development Programme,"ujarnya.
15 Jun 23
260
Terengganu Inc Belanja RM11 Juta Bantu Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Sepanjang tahun lalu anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah membelanjakan lebih RM 11 juta untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi manfaat pelbagai anggota masyarakat.
Selain memberikan peruntukan kebajikan dan pendidikan rakyat, Terengganu Inc turut aktif menaja Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Terengganu Football Club (TFC), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain.
Presiden dan pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sebagai GLC, pihaknya peka terhadap pembangunan modal insan tempatan.
"Inisiatif bersepadu ini telah disertai oleh anak-anak syarikat kumpulan dengan melibatkan semua lapan daerah dalam negeri Terengganu yang telah membantu anak-anak pelajar serta badan pendidikan yang memerlukan dalam bentuk tajaan dan sumbangan pelbagai bentuk.
"Antara sumbangan berimpak tinggi dalam kemajuan pendidikan pada tahun 2022 antaranya 'YT-TI Young Talent Scholarship programme' bagi menaja 10 pelajar tempatan yang berkelayakan daripada keluarga B-40 untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
" Terengganu Inc- UniSZA Islamic Investment Project iaitu pelaburan sebanyak RM300,000 bagi meneroka dan menyelidik panduan syariah dan ekonomi mampan serta memfokuskan penyelidikan, pelantikan profesor pelawat dan program tanggungjawab sosial dan penerbitan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program 'Kick-Off BSAS Aeronautics UAV in School-Programme' kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Tambah Burhanuddin lagi, antara sumbangan berimpak tinggi dalam membantu kemajuan pendidikan negeri ini diantaranya lagi ialah menyumbang dalam Yayasan Diraja Sultan Mizan untuk program akademik bagi meningkatkan kemahiran dan komuniti setempat melalui peruntukan sebanyak RM200,000 .
"Pihak kami turut menyumbang kepada 'National Stem Association Chapter' sebanyak RM110,000 bagi menganjurkan program peningkatan prestasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)," ujarnya.
15 Jun 23
395
Penyu Jadi Dinosaur?
KUALA TERENGGANU, 15 Jun- Menjelang sambutan Hari Penyu Sedunia esok, seharusnya segenap lapisan masyarakat terutama rakyat Terengganu lebih cakna dalam usaha memelihara dan memulihara spesies terancam itu.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pemuliharaan penyu memerlukan penglibatan dan kecaknaan semua pihak.
"Jika tidak, dibimbangi suatu hari nanti mungkin penyu akan jadi seperti dinosaur yang hanya mampu disebut kewujudannya.
Tun Ahmad Faisal (tengah) dan isteri, bersama Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab (kiri) dan Pengarah Tourism Terengganu, Fadli Yusof Zakaria (kanan) ketika program Cakna Penyu di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, baru-baru ini.
"Kita mahu membawa program konservasi penyu ke tahap lebih tinggi bertujuan mendidik masyarakat untuk bersama-sama dalam menjaga khazanah negeri ini.
"Kerajaan negeri, Jabatan Perikatan Malaysia (Perikanan) semata-mata tidak mampu buat segala-galanya, tanggungjawab untuk menjaga penyu mestilah sampai ke lapisan terbawah iaitu masyarakat kerana jika tidak dijaga sekarang, 20 hingga 25 tahun lagi penyu tidak akan naik mendarat, ia perlu dimulakan sekarang," tegasnya.
Menurut Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) itu, usaha bersepadu yang dijanakan semua pihak mampu mewujudkan pulangan dalam pelbagai bentuk seperti percambahan ekonomi setempat, pelancongan dan juga hasil perikanan.
"Beberapa tahun kebelakangan ini kita menyaksikan peningkatan pendaratan penyu dalam negeri, kecuali bagi Penyu Belimbing yang kali terakhir direkodkan mendarat pada tahun 2017.
"Program konservasi yang dibuat sejak 20-25 tahun lalu baru kini dapat saksikan kesannya, berdasarkan data yang diperolehi, kita melihat program yang dibuat ada kejayaannya, walaupun mungkin tidak ketara tetapi berlaku peningkatan.
Seorang 'Ranger Penyu' merekodkan data salah seekor penyu yang mendarat di Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman.
"Jadi, kita mahukan penglibatan pihak luar terutama melalui sokongan kewangan dan teknikal, kita berharap edupelancongan dapat memberi lebih kefahaman kepada pihak-pihak luar," jelasnya.
Beliau menambah, kekurangan program melihat penyu bertelur dibuka kepada pelancong bukan bermakna ia disorok.
"Ia masih produk pelancongan, tetapi kita menggerakkannya sebagai edupelancongan bagi melindungi habitat dan proses pemuliharaannya.
"Kita menjalankan program-program melepaskan anak penyu, mengambil sarang-sarang angkat dan kita mahukan sehingga pihak swasta dapat menaja program-program ini untuk membawa lebih banyak sokongan bagi membantu Jabatan Perikanan, Tabung Alam Sedunia (WWF) , pihak unversiti dan organisasi lain dalam memelihara khazanah penyu," tambahnya.
Berdasarkan data, kini hanya dua daripada empat spesies penyu yang didapati masih mendarat di Terengganu iaitu Penyu Agar dan Penyu Karah.
Bagi tempoh lima tahun bermula 2018 sehingga 2022, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM2 juta bagi program pengurusan penyu di Terengganu. Tahun ini, sebanyak RM600,000 diperuntukkan menerusi pelbagai program pengurusan melibatkan 52 pantai lokasi pendaratan, 45 'ranger penyu' dan pembangunan kesedaran awam.
Proses penyimpanan semula telur penyu di Pusat Konservasi Teluk Mak Nik, Kemaman.
15 Jun 23
702
Sambutan Luar Biasa Harimau Malaya di Terengganu
KUALA NERUS, 15 Jun – Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu menerima sambutan luar biasa oleh peminat pasukan Harimau Malaya di sini.
Seramai 12,265 orang penyokong hadir menyaksikan Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia melawan Kepulauan Solomon di SSMZA, malam tadi.
Kebanyakan penyokong dilihat mula membanjiri perkarangan gelanggang itu sekitar jam 5 petang semalam.
Berdepan Kepulauan Solomon yang kini menghuni tangga ke-134 dunia, skuad kendalian Kim Pan Gon tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan sejak wisel permainan dibunyikan.
Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi positif selepas berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa itu.
Di samping itu, kehadiran Ultras Malaya menggamatkan suasana di perkarangan SSMZA, malam tadi.
Ultras Malaya yang dianggap nadi penting skuad Harimau Malaya menyanyikan lagu pembakar semangat buat pasukan negara sepanjang perlawanan berlangsung.
Sementara itu, Malaysia akan berdepan Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini, Selasa depan.
15 Jun 23
278
KPDN Tahan Dua Lelaki Bersama 32,670 liter Diesel
KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menahan dua lelaki yang membawa lari minyak diesel berkuantiti 32,670 liter.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM510,434.
Katanya, KPDN juga turut merampas sebuah lori tangki, beberapa tangki simpanan berisi minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan pemindahan minyak diesel.
“Serbuan itu dijalankan di sebuah tapak projek pembinaan menerusi Ops Tiris.
“Operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Terengganu yang bermula kira-kira jam 3.30 petang itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama dua (2) minggu sebelum itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambah Saharuddin, dua orang individu terbabit ditahan ketika ditemui di dalam premis bagi membantu siasatan.
“Ia seorang lelaki warga tempatan berumur 30an yang juga mengaku sebagai pemandu lori berkenaan bersama seorang lagi individu berumur 40an yang juga warganegara,” katanya.
Beliau berkata, minyak diesel, kenderaan lori tangki, tangki simpanan, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta,” ujarnya.
15 Jun 23
364
Malaysia Robek Gawang Solomon Islands
KUALA NERUS, 14 Jun- Pasukan kebangsaan menang selesa 4-1, ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa pertama Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.
Sekalipun turun tanpa penyerang utama, Shahrel Fikri yang dilanda kecederaan, Harimau Malaya berjaya mencetak dua gol dalam setiap separuh masa dalam aksi penuh tenaga di hadapan lebih 12,000 penyokong yang hadir.
Anak-anak buah Kim Pan Gon bermula agresif seawal babak pertama dengan beberapa cubaan serangan ke kubu pelawat.
Pada minit kesembilan, Stuart Wilkin hampir menghasilkan jaringan pertama menerusi rembatan dari luar kotak penalti tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Solomon, Philip Mango.
Dua minit berselang, skuad kendalian pengendali dari Sepanyol, Felipe Vega-Arango mengejutkan tuan rumah apabila penyerang, Gagame Feni berjaya menggelecek melepasi pertahanan dan Ahmad Syihan Hazmi dalam satu serangan balas sebelum membuat hantaran lintang kepada Raphael Le'ai yang mudah menjaringkan gol pertama perlawanan.
Tersentak dengan gol awal, Harimau Malaya menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan.
Memasuki minit ke-40, satu hantaran lintang daripada Arif Aiman berjaya berjaya dikeluarkan pertahanan Solomon Islands sebelum Paulo Josue yang menerima bola muntah itu melakukan rembatan kencang untuk jaringan gol penyamaan.
Malaysia terus menggasak dan pada masa tambahan separuh masa pertama, Arif Aiman berjaya menyelinap masuk ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan pertahanan lawan.
Tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Arif untuk mencetak nama sebagai penjaring gol kedua bagi skuad kebangsaan.
Bersambung babak kedua, pemain-pemain kebangsaan terus melancarkan serangan bertali arus untuk menggandakan jaringan.
Pada minit ke-76, Muhammad Safawi Rasid yang masuk menggantikan Arif, menerima hantaran lintang daripada Lee Tuck di luar kotak penalti lawan.
Pemain sayap kelahiran Terengganu itu membuat 'turn' mengatasi pertahanan sebelum melakukan rembatan 'volley' menewaskan Philip Mango untuk gol ketiga tuan rumah.
Pada masa tambahan separuh masa kedua, Malaysia sekali lagi merobek gawang Solomon Islands menerusi rembatan Lee Tuck untuk gol terakhir perlawanan.
Malaysia akan bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun ini dalam perlawanan kedua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1.
14 Jun 23
563
Konsert Tular : Kerajaan Minta Penjelasan Pengurusan UMT
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Kerajaan Terengganu akan meminta penjelasan daripada pihak pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhubung video tular sekumpulan mahasiswa sedang rancak menari ketika berhibur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata pihaknya kesal dengan kejadian berkenaan kerana ternyata ia telah melanggar garis panduan hiburan yang ditetapkan kerajaan negeri.
"Tidak patut perkara ini berlaku di sebuah universiti, lagipun ia masih tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri walaupun dilakukan dalam kawasan persendirian (universiti) masih lagi terikat dengan garis panduan dan dasar-dasar kerajaan negeri,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program 'Kick-Off TI-BSaS Aeronautics UAV In-School Programme, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri tidak menghalang sebarang acara hiburan ataupun konsert diadakan namun ia mestilah perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
"Kita telah mengedarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah kepada semua jabatan serta seluruh agensi kerajaan sebagai rujukan," ujarnya.
14 Jun 23
3077
SSL Beras Terengganu Meningkat, Exco Jawab 'Kerisauan' NGO P.Pinang
KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras berjaya ditingkatkan saban tahun, jawab Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri terhadap 'kerisauan' sebuah NGO dari Pulau Pinang.
Kata Dr Azman Ibrahim, Kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk meningkatkan hasil padi negeri bersandarkan kepada Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.
“Pada tahun 2018 SSL beras mencatatkan 43 peratus dan meningkat kepada 48 peratus pada 2019, 53 peratus (2020), 58 peratus (2021) dan 60 peratus (2022),” ujarnya bagi mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa tanah sawah di Terengganu semakin susut disebabkan projek pembangunan dan komersial.
Dalam kenyataan itu, CAP bimbang masalah tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah terbabit, tetapi juga berlaku kepupusan tanah pertanian serta menjejaskan sumber makanan untuk rakyat dan masa depan sektor pertanian negara.
Justeru Dr Azman memaklumkan, mengekalkan kawasan padi sedia ada merupakan antara strategi kerajaan negeri untuk mempertingkatkan hasil padi Terengganu.
“Kerajaan Negeri mempunyai prosedur ketat untuk tukar syarat guna tanah. Pandangan Jabatan Teknikal seperti Plan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan lain-lain akan dinilai. Tanah yang digunakan sebagai kawasan pertanian aktif pengeluaran makanan tidak akan diluluskan untuk kegunaan lain seperti perumahan atau komersial,” tegasnya.
Tambah beliau, dari aspek pembangunan infra pula, Kerajaan Negeri memperuntukan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya.
“Bagi tahun ini pula, lebih RM6 juta diperuntukan kepada JPS bagi tujuan menaik taraf dan menyelenggara sistem pengairan sawah padi,” ujarnya.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang dalam proses perluasan jelapang padi Terengganu dari 5000 hektar kepada 10000 hektar.
“Kilang padi di Daerah Besut sebagai jelapang padi utama Terengganu yang dulunya hanya dua buah pada tahun 2018 sekarang telah menjadi empat buah kilang,” ujarnya.
14 Jun 23
295
Kerajaan Negeri Pulihkan TTI Yang Rosak, Terbiar
KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menyelesai pelbagai masalah yang melibatkan kerosakan pembangunan dan monumen terbiar di Taman Tamadun Islam (TTI) selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
Pengurus Besar TTI, Ahmad Bukhori Ghazali berkata banyak inisiatif serta peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu pembangunan TTI supaya bertambah baik.
Katanya, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak RM5 Juta pada bulan April lalu bagi memperbaiki segala kerosakan dan penambaikan Taman Tamadun Islam di sini.
“Pihaknya juga telah menyenaraikan kerosakan yang perlu diperbaiki melalui peruntukan tersebut antaranya atap di Dewan Pusat Konvensyen kerana merupakan pusat utama TTI.
“Selain itu, penambahbaikan Masjid Kristal dan sebahagian bangunan di Taman Monumen yang memerlukan peruntukan yang besar kerana kepakaran kontraktor tertentu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Bicara Jabatan di TV Darul Iman di sini pada hari ini.
Tambah Ahmad Bukhori, pada tahun 2018, TTI juga menerima peruntukan daripada kerajaan negeri bagi memperbaiki Masjid Kristal sehingga berjaya dibuka semula dan menjadi tumpuan dunia hingga kini.
Selain itu, pihaknya juga mendapat peruntukan bagi memperbaiki tebing sungai yang berdekatan Terminal Feri yang rosak disebabkan banjir besar.
“Isu berkenaan TTI sentiasa mendapat perhatian Kerajaan negeri kerana ia merupakan mercu tanda bagi negeri Terengganu dalam sektor pelancongan, ketamadunan dan sebagainya di sini," katanya.
Menurutnya, pada tahun lepas salah satu monumen di TTI yang mengalami kerosakan pada atap telah tular di media sosial.
“Perkara tersebut mendapat perhatian kerajaan negeri dan terus memberi peruntukan menerusi Jabatan Pelancongan bagi memperbaiki kerosakan tersebut.
“Isu tersebut telah selesai diperbaiki pada bulan Disember 2022 yang lepas berkat peruntukan kerajaan negeri dan usaha pelbagai pihak,” ujarnya.
14 Jun 23
445
Akademi DUAT Bantu Sempurnakan Ibadah Korban
KUALA NERUS, 13 Jun - Kerajaan negeri melalui Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) memperkenalkan pendekatan secara menyeluruh bagi membantu rakyat Terengganu membuat persiapan Hari Raya Aidiladha secara lebih terancang dengan penganjuran program-program berkaitan Fiqh Ibadah Korban.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, inisiatif itu membolehkan rakyat negeri ini tanpa mengira latarbelakang menyertai mana-mana program Fiqh Ibadah Korban yang terdekat seterusnya membolehkan mereka membuat persiapan dengan rapi dengan ilmu yang disampaikan.
"Saya yakin bahawa program sebegini memudahkan orang ramai mengulangkaji kembali modul Fiqh Ibadah Korban sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya pada Majlis Perasmian Diskusi Fiqh Korban bertempat di Masjid Seberang Takir, dekat sini, semalam.
Tambahnya lagi, variasi program disusun setiap kali tibanya hari kebesaran umat Islam dengan jemputan pakar-pakar dan figura agama yang tersohor, misalnya program kali ini menampilkan Ahli Panel Klinik Hukum Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Ustaz Abu Usamah Muhammad Hanafiah.
Mohd Nor juga menyatakan hasratnya agar Akademi DUAT tampil sebagai platform Dakwah Islamiyyah yang kontemporari demi menyuburkan lagi syiar Islam di negeri ini.
"Akhirnya, diharapkan setiap peserta akan bijak merancang amalan-amalan sepanjang Hari Tasrik dan lebih menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan di dalam al-Quran sebagai suatu semangat dan motivasi untuk diterjemahkan dalam kehidupan kita.
"Di samping itu, begitu juga dalam menghayati falsafah ibadat haji yang menekankan tentang perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan umat Islam," katanya.
14 Jun 23
313