Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Sedia RM4 Juta Bantu Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Berdaftar
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM4 juta bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, inisiatif tersebut bertujuan membangunkan prasarana infrastruktur pusat tahfiz yang kini kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
"Bantuan ini juga membantu kos pengurusan dalam meringankan beban kepada pengusaha tahfiz.
"Antara keberkesanan inisiatif adalah membangunkan prasarana dan infrastruktur pondok supaya lebih selesa digunakan disamping membantu pengurusan tahfiz membeli bahan bantu mengajar yang diperlukan," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Tambahnya, bantuan inisiatif itu juga membantu menambahbaik tempat-tempat riadah dan menyelesaikan bil-bil utiliti yang berkaitan pengurusan pondok," ujarnya.
03 Oct 23
173
MAIDAM Mahu Setiap Masjid Ada Koperasi
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedang giat mengerakkan usaha bagi memastikan setiap masjid di negeri ini mewujudkan koperasi.
Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata setakat ini hanya 28 buah masjid yang mewujudkan koperasi.
Menurutnya antara yang paling aktif koperasinya ialah Masjid Nur Bakti (Kuala Nerus), Masjid Binjai (Kemaman) dan juga Masjid Tok Ku (Kuala Terengganu).
"Kita hendak memastikan ia bertambah supaya setiap masjid dalam negeri supaya institusi ini juga berfungsi sebagai pusat ekonomi setempat.
"Sekarang ini kita sedang dalam usaha untuk mempromosikan perkara ini bersama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan mengadakan seminar bagi menerangkan kepada masjid apa kegiatan yang sewajarnya dilakukan," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, di Pejabat MAIDAM, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, bagi mewujudkan kegiatan ekonomi di institusi berkenaan dengan membincangkan usaha tersebut di peringkat jawatankuasa masjid dan akan memberi impak yang sangat baik untuk masjid melakukan pelbagai agenda dan perancnagan termasuk membantu golongan miskin.
"Melaluinya 'food bank' pun kita boleh buat, juga kita boleh fokuskan untuk masjid memiliki dana sendiri bagi mengurus segala aktiviti," katanya.
03 Oct 23
372
Program Bersih Pulau Dilaksanakan Berterusan
MARANG, 2 Oktober – Program pembersihan semua pulau di Terengganu akan dilaksanakan secara berterusan setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pada tahun lepas program itu dijalankan di Pulau Redang, pada tahun ini pula di Pulau Kapas.
“Program tersebut bertujuan bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya persekitaran yang perlu dijaga dari segi kebersihan.
“Selain itu, rakyat boleh mengambil manfaat daripada laut dari pelbagai sudut antaranya, sumber makanan, pendapatan hasil dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Reef & Beach Clean up Taman Laut Pulau Kapas Bertempat di Taman Laut, Pulau Kapas di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato' Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.
Tambah Dr Azman, negeri Terengganu mempunyai keistimewaan dan anugerah semula jadi yang dikurniaan oleh Allah SWT.
Antaranya, laut di negeri ini mempunyai keluasan yang paling besar di semenanjung Malaysia, pantai yang paling panjang serta mempunyai pulau paling banyak.
Mengulas lanjut mengenai program Reef & Beach Clean up Taman Laut Pulau Kapas, ianya telah berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober 2023.
"Selain dari bersih pantai, penyelam juga membersihkan kawasan batu karang dari pukat hantu dan pelbagai unsur asing yang merosakkan alam sekitar.
“Program tersebut berjalan lancar dan jumlah peserta melebihi 120 orang.
“Peserta tersebut terdiri daripada komuniti setempat, pengusaha-pengusaha resort, para pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu serta beberapa lagi agensi dan NGO terlibat,” ujarnya.
02 Oct 23
377
Ragbi Piala Agong 2023: Raja Muda Bantu Terengganu Belasah Selangor
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- DTYM Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berkenan membantu pasukan Ragbi Terengganu membelasah Selangor dalam aksi pertama Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023, Sabtu lalu.
Baginda yang masuk sebagai pemain gantian membantu pasukan mencatatkan dua try terakhir untuk Terengganu menang bergaya dengan skor 72 - 6.
Dalam perlawanan minggu kedua yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, Terengganu mendahului 36-0 pada separuh masa pertama melalui lima try dan empat conversion.
Bersambung separuh masa kedua, Terengganu menjarakkan kedudukan kepada 53-0 sebelum Selangor berjaya mendapatkan tiga mata pertama setelah pemain mereka dikasari.
Foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu
Berbaki tiga minit sebelum tamat permainan, Selangor menambah tiga mata lagi sebelum Terengganu menutup saingan dengan dua lagi try menjadikan skor 72-6 pada akhir perlawanan.
Kemenangan tersebut melonjakkan semangat Terengganu menjelang aksi minggu ketiga menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan penentuan juara kumpulan D, pada 7 Oktober ini.
Sebanyak 14 pasukan beraksi dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023 bermula dengan aksi peringkat kumpulan yang diadakan secara liga sepusingan (round robin), dengan lima juara kumpulan dan tiga naib juara terbaik mara ke suku akhir.
Aksi suku akhir akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 hingga 15 Oktober, manakala perlawanan separuh akhir pada 18 Oktober, penentuan tempat ketiga/keempat dan final pada 21 Oktober akan berlangsung di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.
Ragbi Piala Agong 2023 boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Malaysia Rugby dan Ragbi Online.
02 Oct 23
652
Pasukan Ragbi Mahu Hadiah Kemenangan Buat Sultan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Pasukan Ragbi Terengganu bertekad menjuarai Ragbi Piala Agong 2023 sebagai hadiah kepada DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda, tahun ini.
Presiden Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Mohamad berkata, pasukannya berhasrat merampas kembali kejuaraan daripada juara bertahan iaitu pasukan Putrajaya, juga sebagai hadiah kepada Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mencemar duli berkenan menjadi antara tonggak pasukan itu bagi saingan kali ini.
"Tahun ini Alhamdulillah, Baginda mencemar duli untuk bersama pasukan dan ini memberikan impak kepada semangat pemain.
"Baginda masuk sebagai pemain gantian untuk membantu kita mencatat dua try terakhir pada kemenangan 72-6 ke atas Selangor, tempoh hari," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Tambahnya, dalam perlawanan pertama menentang Selangor, pasukan masih lagi mencari kesesuaian posisi bagi pemain-pemain.
Foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu
"Selangor tiada pemain import dan ini merupakan peluang kepada kita menilai pemain yang rata-rata sudah lama tidak beraksi. Pada 'game' itu, kita mahu lihat komitmen dan dari segi kesesuaian posisi pemain import terutama dari Fiji.
"Saingan kita antaranya ialah pasukan Sabah, yang kembali beraksi pada tahun ini. Selain itu, pasukan PDRM dan juara bertahan tahun lalu, Putrajaya.
"Pada aksi terakhir kumpulan nanti (7 Oktober), kita mahu menang dengan Negeri Sembilan untuk mengungguli kumpulan kerana secara psikologinya ingin menunjukkan kepada lawan bahawa Ragbi Terengganu harus diberi perhatian," katanya.
Ragbi Piala Agong 2023 berlangsung bermula 23 September sehingga 21 Oktober ini dan boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Malaysia Rugby dan Ragbi Online.
02 Oct 23
426
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Tanam Pokok di Pantai Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan Majlis Perasmian Penanaman Pokok Sepanjang Pantai Batu Buruk ke Pantai Pandak di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini hari ini.
Program tersebut merupakan kerjasama antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Yayasan DiRaja Sultan Mizan
Keberangkatan Baginda diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail dan disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Penasihat undang-undang negeri, Dato’ Razali Che Ani; Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Sementara itu, Dr Azman berkata kerajaan negeri amat menyambut baik usaha-usaha dilaksanakan dalam menyokong agenda nasional melalui “Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” menjelang tahun 2025.
"Kawasan penanaman pokok telah dipecahkan kepada tujuh zon dan jumlah penanaman pokok adalah sejumlah 3,000 pokok dengan anggaran jarak sepanjang 11.3 KM.
" Antara spesis pokok teduhan yang dipilih adalah Pokok Ketapang, Pokok Rhu Pantai, Kelapa Pantai dan Ambang-Ambang," ujarnya.
Tambah beliau, pemilihan pokok dari spesis ini dibuat berdasarkan peranannya sebagai lindungan semulajadi dan zon penampang bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam.
Jelasnya, ia berfungsi sebagai benteng untuk mengurangkan kesan pukulan ombak daripada laut di samping pokok-pokok ini dapat tumbuh dengan baik di kawasan pantai berpasir.
02 Oct 23
329
PETRONAS Komited Lestarikan Alam Sekitar, Sumbang Lebih RM297 Ribu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Yayasan PETRONAS terus komited dalam usaha menanam lebih banyak pokok sebagai sebahagian usaha memulihara alam sekitar di negeri ini.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata sokongan itu dilestarikan melalui sumbangan cek dan penanaman 3,000 pokok di sepanjang Pantai Batu Burok ke Pantai Pandak dengan kerjasama kerajaan negeri sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Katanya, program penanaman pokok ini adalah sejajar dengan aspirasi PETRONAS ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050.
“Inisiatif ini juga selaras dengan dengan Kempen 100 juta pokok di bawah program Penghijauan Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan serta selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,”katanya dalam satu kenyataan.
Seramai 100 sukarelawan kakitangan PETRONAS terlibat di dalam aktiviti penanaman spesis pokok terpilih seperti pokok Ketapang, pokok Rhu Pantai, pokok Kelapa, dan pokok Ambung-ambung.
Di majlis tersebut juga, Mohamad Ahmad Shazly turut menyampaikan sumbangan cek Yayasan PETRONAS kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Amanah Warisan Kuala Terengganu berjumlah RM 297,500.00.
Tambah beliau, pihaknya juga komited untuk menanam satu juta pokok di seluruh negara menjelang 2027 melalui program Menyemai Masa Hadapan yang dilancarkan pada 2020.
02 Oct 23
420
Sultan Mizan Saran Kerajaan Negeri Optimumkan Potensi Bandar Baharu
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan kerajaan negeri mengoptimumkan potensi bandar baharu yang telah dirancang supaya dapat dibangunkan.
Titah baginda, ianya untuk memastikan ruang bandar yang kondusif dan tersusun dapat direalisasikan kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Kaedah pembangunan secara penswastaan juga perlu diperhalusi dengan lebih teliti bagi memastikan galakan serta promosi pelaburan pembangunan mendapat sambutan daripada pihak swasta sehingga pelaksanaan bandar-bandar baharu ini dapat dicapai.
“Beta amat yakin dengan adanya penglibatan pihak swasta yang lebih aktif dalam pembangunan ini mampu memastikan keberhasilan agenda perbandaran yang berdaya huni dan maju dapat dicapai,” titah Sultan Mizan.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman semalam.
Baginda bertitah, proses urbanisasi yang berterusan adalah merupakan salah satu agenda yang perlu dititikberatkan.
“Proses ini melibatkan kerjasama semua pihak dalam memastikan anjakan paradigma bandar berasaskan dimensi bersepadu pembangunan mampan merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar.
“Dalam usaha untuk mewujudkan bandar-bandar baharu sebagai sokongan kepada bandar sedia ada, pelbagai aspek baharu perlu diteroka dan diberikan fokus.
“Beta berharap agar elemen-elemen perbandaran utama seperti elemen bandar pintar, bandar selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon dititikberatkan dan diperhalusi bagi tujuan pemakaian di peringkat negeri dan peringkat tempatan secara berterusan,” titah baginda.
02 Oct 23
193
RM314,000 Sumbangan Zakat Untuk 628 Pelajar Baharu UMT
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan sumbangan zakat sebanyak RM314,000 kepada 628 pelajar asnaf baharu yang mendaftar pada sesi akademik 2023/2024.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, setiap pelajar terpilih daripada program Asasi STEM, Diploma dan Sarjana Muda menerima RM500 seorang sebagai bantuan memulakan pengajian di UMT.
“Dana zakat tersebut adalah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui skim potongan gaji kakitangan UMT, Etiqa Family Takaful Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Rakyat.
“Kesemua sumbangan dan agihan ini diuruskan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT melalui skim bantuan zakat kecemerlangan kepada pelajar dalam kalangan asnaf fakir dan miskin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT, semalam.
Menurut Dr. Mazlan, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban pelajar dan sebagai tanda keprihatinan UMT kepada pelajar yang kurang berkemampuan.
“UMT sangat peka terhadap nasib pelajar asnaf dan berusaha membantu mereka yang memerlukan, dengan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, pelajar yang ditawarkan peluang pengajian juga mungkin resah untuk membuat persediaan pendaftaran pengajian.
“Kita telah laksanakan beberapa inisiatif sebelum ini melalui Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dengan mengadakan kempen sistem potongan zakat ‘Cukai Kepada Zakat’ (C2Z) yang diperkenal beberapa tahun dahulu dan akhirnya membuahkan hasil dan dengan adanya inisiatif itu, kita dapat bantu asnaf pelajar melalui sumbangan zakat,” ujarnya.
Katanya, kecaknaan warga UMT dalam membantu asnaf patut dipuji kerana jumlah kutipan zakat meningkat saban tahun.
02 Oct 23
295
Kadar Sewa Baharu : MDM Rancang Naik Taraf Pasar di Marang
Oleh : Fatimah Din
MARANG , 2 Oktober - Majlis Daerah Marang (MDM) merancang untuk menaik taraf Pasar Marang bagi memastikan keselesaan setiap peniaga dan pengunjung berada pada tahap terbaik.
Ketua Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Daerah Marang, Mohd Khalid Awang berkata, antara usaha yang sedang digerakkan ialah pembinaan kiosk di tepi pasar bagi memberi peluang pada rakyat berniaga di masa akan datang.
"MDM mahu membuat pembaharuan itu selepas kami menaikkan kos sewaan.
"Hasil sewaan berkenaan perlu dipulangkan semula kepada rakyat dan peniaga, manfaatnya kepada masyarakat seperti digunakan untuk bayaran air, elektrik, kebersihan pasar dan sebagainya.
"Sebenarnya, pihak kami telah pun membuat kajian dan mengadakan beberapa kali perbincangan bersama Ahli Majlis tentang tindakan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang di pejabatnya baru-baru ini.
Mengulas mengenai kenaikan kos sewa, beliau berkata sewa pasar di Marang di bawah seliaan MDM masih antara yang terendah di Malaysia sejak sewaan dibuka pada tahun 2000.
"Ini baru kali ini pihak kami menetapkan kadar baharu, sebagaimana saya kata pun, manfaatnya tetap akan dipulangkan kepada rakyat.
"Sebelum kita telah memaklumkan untuk menaikan sewa kepada RM100 bagi Pasar Wakaf Tapai untuk jenis petak perniagaan ikan, sayur manakala petak daging dinaikkan kepada RM50.
"Begitu juga sewa di Pasar Bukit Payong naik kepada RM160 bagi petak ikan, RM120 bagi jenis petak kuih dan RM160 bagi jenis petak daging dan kuih.
"Manakala di Pasar Marang dikenakan kadar sewaan RM100 untuk semua petak ikan, kuih, daging ayam kecuali sayur sahaja kadar sewaannya RM100-120," jelasnya.
02 Oct 23
1005