lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Belanja RM704 Ribu Selenggara Kemudahan Sukan
Terengganu Belanja RM704 Ribu Selenggara Kemudahan Sukan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober- Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM704,000 bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan sukan melibatkan pembaikian padang bola sepak, futsal serta kemudahan sukan yang lain tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga akan terus komited untuk menambah baik serta membaik pulih kemudahan sukan yang mengalami kerosakan pada tahun mendatang bagi memastikan golongan belia dan remaja di negeri ini kekal cergas. “Selain itu, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu juga telah melaksanakan enam projek selenggara dan baik pulih iaitu Kompleks Rakan Muda dan KSK Jertih, Besut, Velodrom Dungun, Kompleks Sukan Telemong, Hulu Terengganu, Kompleks Rakan Muda, Kemaman dan Gelanggang Futsal KOMBES,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut beliau, buat masa ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk fokus kepada penyelenggaraan serta baik pulih kemudahan sukan sedia ada berbanding menambah fasiliti sukan tambahan bagi memastikan keperluan dan keselamatan golongan belia terjamin semasa bersukan. “Kerajaan negeri juga amat menggalakkan pelaburan daripada badan swasta dalam menyediakan fasiliti sukan dalam Negeri Terengganu seperti dibuat di Dungun yang kini telah mempunyai dua padang sintetik yang dibangunkan oleh syarikat swasta dengan kerjasama Majlis Perbandaran Dungun.  “Kedua-dua gelanggang ini iaitu Padang Bola Sintetik GD SOCCER yang dioperasikan oleh GD SOCCER ENTERPRISE di DUN Sura dan Padang Bola Sintetik Prestige Way Resources, Batu Tujuh, yang dioperasikan oleh syarikat Prestige Way Resources SDN.BHD di Dun Paka telahpun beroperasi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia sebagai alternatif sukan dan rekreasi kerana padang sintetik ini dibina mengikut standard FIFA,” jelasnya. Justeru, beliau berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dalam Negeri Terengganu turut mengambil pendekatan sama dalam membantu merancakkan sektor sukan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi negeri.  
04 Oct 23
286
Naiktaraf Jambatan Manir Antara Keutamaan Kerajaan Negeri
Naiktaraf Jambatan Manir Antara Keutamaan Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Jambatan Manir perlu dinaiktaraf bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata berdasarkan kajian dan penelitian yang telah dibuat, jambatan tersebut sudah terlalu lama dan menjadi antara punca kesesakan teruk di jalan tersebut. "Ini kerana Jalan dari Durian Burung ke Pulau Rusa telah di naik taraf kepada 'double carriage way' (jalan raya berkembar) dan menyebabkan berlakunya 'bottleneck' (kesesakan) di jambatan Manir kerana laluan di jambatan masih 'single carriageway' (selorong bagi sehala).  "Sehubungan dengan itu, Projek Menaik Taraf Jalan, Jejambat dan Jambatan di Laluan Jalan FT003: Dari Kg. Pulau Rusa Ke Bulatan Batu Enam Ke Persimpangan Laluan FT065 Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu telah mendapat perhatian kerajaan Negeri. Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah meminda senarai keutamaan projek dari senarai ke sepuluh kepada menjadi senarai pertama keutamaan projek bagi Negeri Terengganu di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
04 Oct 23
1336
Terengganu Serius Didik Atlet Patuh Syariah
Terengganu Serius Didik Atlet Patuh Syariah
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober- Kerajaan negeri sentiasa serius dalam melaksanakan dasar sukan patuh syariah termasuklah pemakaian menutup aurat dalam ruang lingkup kuasa yang ada. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelbagai usaha juga dilaksanakan dalam menjayakan hal itu termasuklah mengeluarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu pada tahun 2020. "Buat masa ini kita memang membawa penerapan dasar atlet patuh syariah, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. jadi, kita mengukuhkannya melalui pendekatan mesra syariah untuk mereka (atlet) mula lakukan perubahan dan proses ini perlu untuk bimbing serta beri kesedaran kepada mereka. "Kita tidak ambil pendekatan terus kepada penguatkuasaan. Sebaliknya, lebih kepada pendidikan dan menyelaraskan kesesuaian dengan pendekatan-pendekatan yang kita terokai," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini hari ini. Menurut ADUN Tepoh itu, sebelum ini terdapat usahasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mereka bentuk pakaian atlet secara patuh syariah bagi menjayakan penerapan itu secara menyeluruh. "Perkara tersebut tidak diteruskan disebabkan adanya kekangan kewangan ketika itu dan kita tidak mampu memenuhi keperluan dari pihak UniSZA,. "Tetapi, kita berusaha dalam beberapa segmen sukan umpamanya basikal yang mana kita telah terima beberapa pakaian namun, sebagaimana saya katakan tadi, agak sukar menepati patuh syariah kerana ia melibatkan aspek keselamatan, undang-undang melibatkan Persatuan Basikal Antarabangsa (UCI) apabila menyertai pertandingan dan tidak semudah itu untuk diguna pakai. "Jadi, kita akan sesuaikan dari masa ke masa secara 'internal' dan saya akan terus berinteraksi membawa hasrat ini kepada atlet-atlet kita," katanya. Oleh demikian tambahnya, kerajaan negeri akan meneruskan keputusan untuk tidak menyertai acara-acara sukan yang sukar untuk diterapkan konsep mesra syariah sebagaimana penggal terdahulu. "Ada sesetengah sukan-sukan yang kita tidak sertai seperti gimnastik, gimrama kerana kita terpaksa untuk tidak berkompromi dalam perkara ini dan kita harap pihak-pihak terbabit menghormatinya. "Bukan kita membenci sukan itu, tetapi untuk membiarkan atlet negeri kita keluar dalam keadaan begitu, ia tidak sesuai," ujarnya. Namun, beliau menegaskan atlet bukan Muslim yang mewakili negeri Terengganu tidak terikat dengan polisi itu.  
04 Oct 23
199
Pasarnita Tanjung Bakal Kembali Dengan Konsep Baharu
Pasarnita Tanjung Bakal Kembali Dengan Konsep Baharu
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Selepas dilihat kurang berjaya menarik pengunjung sejak dibuka pada 2016, Pasarnita Tanjung bakal tampil dengan identiti dan tarikan tersendiri tidak lama lagi. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ada menerima beberapa proposal untuk menguruskan Pasar Nita. "Kita dimaklumkan suasana Pasarnita  suram dan sepi kerana ketiadaan operator untuk menyeragamkan dan memperkemas konsep niaga di situ.   "Kini pihak MBKT dalam proses menilai proposal yang dihantar dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa kewangan dan pelaburan untuk melantik operator yang berkelayakan bagi menguruskannya "Insya Allah dalam tempoh dua bulan lagi Pasarnita akan kembali berseri dalam membentuk identiti dan tarikan tersendiri," ujarnya. Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Pasarnita Tanjung yang dibuka sejak November 2016 mensasarkan peniaga wanita bertujuan menjana transformasi ekonomi golongan itu di negeri ini dengan pelbagai jenis jualan antaranya makanan, kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan cenderahati. Sementara itu, kerajaan negeri kini dalam usaha mengkaji cadangan penyediaan perkhidmatan bas elektrik berhenti-henti bagi mengantikan bas lama milik Cas Ligas Sdn. Bhd. Hanafiah berkata cadangan itu bagi mengurangkan jurang jaringan perhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar,  kerana bas lama milik Cas Ligas telah berusia melebihi 15 tahun.  "Cas Ligas Sdn. Bhd. dalam proses mengemukakan kertas cadangan pembelian melalui kaedah sewa beli untuk penilaian kerajaan negeri," ujarnya.
04 Oct 23
1902
Terengganu Sasar 1 Juta Pelancong Ke Tasik Kenyir Tahun Depan
Terengganu Sasar 1 Juta Pelancong Ke Tasik Kenyir Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Kerajaan Negeri menyasarkan satu juta kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan menambah nilai pelbagai aktiviti termasuk Geo Park Kenyir. Ini kerana katanya, semua aktiviti dilaksanakan di Tasik Kenyir sekarang berbeza ketika negara menghadapi COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021. “Dulu pelancong takut berkunjung ke Tasik Kenyir secara berkumpulan, sekarang sudah tidak lagi kerana tidak ada lagi halangan untuk pelancong berkunjung ke Tasik Kenyir,” jelasnya ketika ditimeui pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. Walau bagaimanapun katanya, Rumah Bot di Tasik Kenyir masih tidak mencukupi untuk menampung kehadiran pelancong setiap minggu. Jelasnya perkhidmatan rumah bot itu hanya tertumpu kepada hari cuti mingguan sahaja termasuk hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sementara hari lain kedatangan pelancong agak perlahan. "Kerajaan negeri akan merancang untuk menghidupkan aktiviti di Tasik Kenyir pada hari lain dan ia akan dimulakan tahun depan," tambah beliau.
04 Oct 23
134
Sultan Mizan Rai Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Terengganu
Sultan Mizan Rai Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama Pegawai Tadbir Negeri dan Pegawai Hal Ehwal Islam Negeri Terengganu sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda, semalam. Keberangkatan tiba Baginda ke Wisma Darul Iman diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra pada kira-kira jam 8.50 malam. Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah, serta Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri dan isteri, To' Puan Seri Nor Zaini Abd Latiff. Turut menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah Yang Dipertua Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham serta pegawai-pegawai tadbir negeri. Acara dimulakan dengan lagu Selamat Sultan dipersembahkan selepas keberangkatan tiba Baginda ke dalam Dewan Besar pada jam 9.00 malam. Sultan Mizan seterusnya berkenan memotong pulut kuning sebagai simbolik acara meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda. Majlis Santapan Malam berlangsung dengan iringan persembahan nyanyian oleh artis kelahiran Terengganu, Aiman Sidek dan Syafiq Farhain. Majlis turut diserikan dengan persembahan kumpulan kebudayaan persatuan yang dinamakan Gema TCS. Di akhir majlis, Baginda berkenan menerima mengadap dan bersalaman dengan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri serta Pegawai-pegawai Hal Agama Islam Negeri. Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu dan Tengku Puteri Daulath Raja berangkat pulang dari Wisma Darul Iman pada jam 10.15 malam.
04 Oct 23
194
Terengganu Peruntuk Lebih RM24 Juta Bantu Usahawan
Terengganu Peruntuk Lebih RM24 Juta Bantu Usahawan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan lebih RM24 juta kepada 4,887 orang usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada 2019 sehingga Ogos 2023. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata skim pembiayaan TUGAS itu diwujudkan khas bagi membantu usahawan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk melancarkan aliran tunai syarikat mereka. “Pinjaman berbentuk patuh syariah ini tidak akan membebankan usahawan kerana mereka hanya perlu menjelaskan bayaran berdasarkan jumlah pinjaman dan tiada sebarang faedah dikenakan. “TUGAS yang menggabungkan skim-skim sedia ada seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Mudah Usahawan (SPMU) dan lain-lain dilihat sangat tepat bagi memastikan usahawan Terengganu mengembangkan lagi potensi perniagaan dan meningkatkan ekonomi rakyat,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ladang Zuraida Md Noor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Tambahnya, YPU turut menawarkan Geran Perniagaan di bawah TUGAS dengan had maksima sehingga RM5,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. “Antara geran perniagaan yang boleh dipohon adalah Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT) dan Dana Prihatin Terengganu-OKU ( D-Hati),”ujar beliau. Ariffin juga berkata YPU dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri(DUN) turut membantu peniaga kecil dan penjaja melalui Dana Khas iaitu Dana PUTERA dengan jumlah bantuan tidak melebihi RM1,500 dalam bentuk tunai atau peralatan.
04 Oct 23
702
Pusat Cari Kerja Terengganu Jadi Rujukan Negeri Lain
Pusat Cari Kerja Terengganu Jadi Rujukan Negeri Lain
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Pusat Cari Kerja Terengganu mendapat perhatian dan menjadi rujukan negeri-negeri lain. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata ini merupakan pengiktirafan yang baik kepada usaha murni ini.  Katanya, usaha tersebut melalui kerjasama Pusat pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu. "Bagi menghadapi cabaran 2023, pihak kerajaan amat prihatin terhadap mereka yang penganggur dan kurang bernasib baik.  “Kita berharap mereka yang belum bekerja untuk tampil ke program karnival, 'outreach' dan program lain yang berkaitan di negeri ini. "Ia bertujuan supaya memberi peluang kepada mereka untuk mencuba nasib dan terus berusaha mendapatkan pekerjaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MYFutureJobs ‘Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Terengganu Digital (TD1303), Kuala Terengganu di sini baru-baru ini. Tambah Ariffin, program Karnival Kerjaya MyFutureJobs tersebut telah bermula pada 30 September sehingga 1 Oktober 2023. “Alhamdulillah, seramai 199 orang rakyat Terengganu telah hadir pada hari pertama dan sebanyak 181 temuduga telah dijalankan.  “Karnival ini adalah inisiatif kerajaan negeri, melalui T-HRDC bersama PERKESO sebagai sekretariat Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu," katanya. Beliau berkata, ia bertujuan bagi mengambil pedekatan proaktif turun padang bersama majikan membawa peluang pekerjaan kepada rakyat. “Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakyat Terengganu kerana tidak melepaskan peluang keemasan ini.  “Semoga dengan platform serta peluang yang diberikan ini, dapatlah diguna sebaik mungkin,” ujarnya.  
03 Oct 23
421
Fokus Peluang Kerja Bagi Elak 'Brain Drain'
Fokus Peluang Kerja Bagi Elak 'Brain Drain'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri memfokuskan dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dalam semua bidang berdasarkan tawaran kerja yang ada. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri untuk menggelakkan 'Brain Drain' daripada berlaku di Terengganu. Katanya, beliau memahami fenomena tersebut yang melibatkan pengaliran keluar tenaga profesional dan berkemahiran tinggi ke luar Terengganu disebabkan mereka lebih tertarik dengan tawaran gaji yang lebih tinggi dan pengalaman kerja yang lebih luas di bandar-bandar besar. "Melalui Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) kerajaan sedang memperkemaskan kolaborasi bagi melihat perkara ini. "Usaha pemadanan pekerjaan secara bersasar sedang dijalankan melalui maklumat yang dibekalkan oleh agensi seperti PERKESO melalui portal MyFuture Jobs dimana kemahiran pencari kerja akan dipadankan dengan tawaran kerja aktif yang ada," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Menurutnya lagi, promosi peluang kerja ini disampaikan melalui program kerjaya yang diadakan dari semasa ke semasa. Tambah beliau, setakat ini belum ada program khusus bagi menangani masalah "brain drain" secara terperinci. memandangkan fokus pasca Covid lebih menumpukan kepada mendapatkan penempatan kerja bagi semua rakyat tanpa mengira kelulusan. "Namun, dengan pembangunan teknik bersasar yang sedang dijalankan ini diharap dapat membantu pemadanan pekerja berkemahiran tinggi dengan lebih baik," katanya.  
03 Oct 23
189
Pelan Strategik Pertanian Akan Capai 100 Peratus Pelaksanaan
Pelan Strategik Pertanian Akan Capai 100 Peratus Pelaksanaan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan 55 daripada 58 program dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indutsri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata menjelang penutup pelan tersebut Kerajaan Negeri akan melaksanakan 100 peratus daripada perancangan yang digariskan.  "Sejak dilancarkan pada bulan 4 Ogos 2019 dan bakal berakhir menjelang penghujung tahun 2023, sebanyak 55 daripada 58 program utama telah dilaksanakan dengan peratusan pelaksanaan sebanyak 95 peratus," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Sementara itu Dr Azman yang juga ADUN Jabi berkata laporan pencapaian pertanian akan dikeluarkan dalam tempoh suku pertama tahun depan dan bakal dibentangkan dalam persidangan DUN. "Kita (Kerajaan Negeri) sedang mengemaskini bengkel untuk menyusun dan memperbaharui perancangan pelan strategik bagi tempoh lima tahun akan datang iaitu mulai tahun 2024-2028 dengan mengambil kira komponen yang digariskan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) dan manifesto yang telah diumumkan kepada rakyat," ujarnya. 'Way forward' selepas ini katanya ialah yang untuk meningkatkan hasil pengeluaran tanaman, penternakan dan industri asas tani, kedua untuk memperkasakan aspek keselamatan serta kualiti makanan dan  ketiga untuk melengkapkan rantaian nilai. Menurutnya projek yang dimasukkan di bawah tajuk 'Quick Win' ialah projek yang tidak menelan belanja yang besar tetapi memberi hasil segera kepada rakyat. "Hanya kita fokus kepada bantuan 'input touch point' kepada golongan sasar sama ada petani, penternak atau nelayan yang meliputi bantuan info peralatan dan mekanisasi. "Yang kedua isu pembangunan infrastruktur termasuk pertanian, penternakan dan perikanan meliputi pembangunan taman kekal pengeluaran makanan, naik taraf dan sistem pengairan sawah padi dan ladang serta kebun penduduk dan yang ketiga menaik taraf sistem jalan pertanian dan sebagainya," jelasnya lagi. Seterusnya kata beliau Kerajaan Negeri fokus untuk menangani bencana yang selalu menimpa sektor pertanian sama ada dalam bentuk bencana alam, wabak penyakit dan serangan hidupan liar yang memusnahkan sebahagian daripada hasil pertanian penduduk.
03 Oct 23
138