Artikel "Utama" Terkini
Tiga PPS DUN Paka Dibuka
DUNGUN, 16 Disember - Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka mula dibuka semalam untuk menempatkan mangsa banjir.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Dungun, Ahmad Kamal Hakim Bin Ngah, setakat kemaskini jam 2.00 pagi ini, ketiga-tiga PPS berkenaan ialah PPS SK Tebing Tembah telah dibuka pada Jumaat jam 9.00 malam yang menampung 19 dewasa, 10 kanak-kanak, 1 bayi, dan 1 warga emas, melibatkan 9 keluarga dengan jumlah mangsa sebanyak 34.
"Di samping itu PPS Dewan Sivik Paka turut dibuka pada 10.41 malam, menampung 28 lelaki dewasa, 19 perempuan dewasa, 4 kanak-kanak lelaki, 2 kanak-kanak perempuan, 1 bayi perempuan, serta 1 OKU lelaki dan 1 OKU perempuan. Jumlah keluarga di PPS ini adalah 13, dengan jumlah mangsa sebanyak 54," ujarnya.
Sementara itu, PPS SK Kampung Nyior dibuka pada 11.00 malam, menampung 2 lelaki dewasa, 1 perempuan dewasa, 2 kanak-kanak lelaki, 5 kanak-kanak perempuan, serta 1 OKU lelaki dan 1 OKU perempuan. Jumlah keluarga di PPS ini adalah 2, dengan jumlah mangsa sebanyak 12.
"Cuaca semasa di kawasan tersebut adalah hujan. Trend peningkatan diperhatikan pada jumlah PPS, jumlah keluarga, dan jumlah mangsa. Kami akan terus mengikuti perkembangan dan memberikan maklumat terkini," katanya.
15 Dec 23
208
Mangsa Kebakaran di Kemaman Terima Bantuan Baiki Rumah
KEMAMAN, 16 Disember – Mangsa yang terlibat dengan kebakaran di Kampung Batu 14, Seberang Tayor baru-baru ini telah menerima bantuan baiki rumah dan keperluan asas oleh kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata sumbangan tersebut disegerakan sebaik sahaja proses penilaian selesai dibuat.
Katanya, bantuan seperti toto, bantal, dan makanan telah diberikan kepada keluarga mangsa melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih semalam.
“Semoga sumbangan awal ini dapat meringankan dan dapat membantu sedikit sebanyak dalam musibah yang dialami oleh keluarga mangsa” katanya ketika ditemubual pemberita semalam.
Sementara itu, Suhaimi Awang, 60, yang merupakan pemilik rumah terbakar itu melahirkan rasa syukur atas sumbangan dari pihak kerajaan dan agensi terlibat.
Selain itu, dia berharap agar bantuan baik pulih rumah dapat dipercepatkan untuk kemudahan, keselamatan dan perlindungan buat keluarganya.
15 Dec 23
207
Kedai Runcit Tetap 'On' Walaupun Banjir
HULU TERENGGANU, 15 Disember - Bukan semua orang sanggup bertahan berendam dalam air banjir tetapi bagi seorang peniaga kedai runcit di Kampung Nibong, Hulu Telemong, dia tetap gigih mencari rezeki.
Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 48, berkata dia tiada pilihan lain memandangkan masih mempunyai tanggungan yang perlu disara di rumah.
Menurutnya, keputusan itu dibuat apabila memikirkan keperluan orang kampung yang yang merupakan pelanggan rasmi di kedainya selain memahami kesukaran di hadapi mereka untuk mencari bekalan memasak di rumah dalam situasi banjir ketika ini.
"Walaupun kami terpaksa berendam kaki dalam air yang keruh dan kesejukan, namun kami tetapkan sediakan bekalan untuk mereka.
"Lagipun tempat kami berniaga dikatakan lokasi yang selamat kerana paras air adalah tidak tinggi aliran air juga tidak deras sekiranya banjir tidak besar," ujarnya yang turut dibantu suaminya Kamaruzaman Othman, 43.
Tambah Engku Hasmah, dia dan suami akan terus membuka kedai mereka bagaimanapun akan menutupnya sekiranya keadaan banjir semakin buruk demi keselamatan bersama.
Sementara itu Kamaruzaman berkata, hadapan kedainya menjadi lokasi pesta air bagi kanak-kanak terutamanya termasuk anak-anak muda.
"Fenomena pesta air berlaku hanya dalam tempoh seminggu lebih sahaja. Jadi saya akan memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaik mungkin untuk meraih keuntungan.
"Musim hujan memang kita cepat rasa lapar dan tak banyak gerai dibuka di sini sepanjang banjir," katanya yang memulakan operasi kedainya bermula jam 6 pagi hingga 11 malam.
Terkini, mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 330 mangsa sehingga jam 4 petang ini.
15 Dec 23
284
Banjir : Satu PPS dibuka di DUN Langkap
SETIU, 15 - Disember - Seramai lapan orang daripada tiga keluarga yang menjadi mangsa banjir di DUN Langkap telah dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam 9 malam tadi susulan hujan lebat sejak kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Seri Kenangan, Abdullah Manaf memaklumkan kesemua mereka berlindung di PPS Surau Mak Bakas.
Mangsa banjir, Che Daud berkata dia sememangnya menjangkakan banjir akan berlaku selepas hujan berterusan.
“Sewaktu hujan lebat bermula petang semalam, saya memang berasa tidak sedap hati kerana bimbang dilanda banjir.
“Sangkaan itu benar apabila kediaman saya mula dinaiki air sejak petang dan terpaksa berpindah ke PPS” katanya ketika dihubungi wartawan.
Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bacaan Sungai Nerus di Kampung Langkap berada di paras 21.03 meter (m) melepasi paras bahaya 21.0 m.
15 Dec 23
238
Anak Syarikat Kerajaan Negeri Bantu 100 Keluarga Kota Putera
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Anak syarikat berkaitan kerajaan negeri, TDM Berhad bersama Pertubuhan Kebajikan Komuniti Kota Putera (KOPU Care) telah berjaya menghulurkan bantuan kepada 100 keluarga Kota Putera di sini.
Pengarah Eksekutif TDM berkata, Najman Kamaruddin berkata program itu adalah sebahagian usaha murni TDM melalui aktiviti program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk mendekati serta menyantuni orang ramai.
Katanya, mungkin nilai yang dihulurkan tidaklah seberapa namun bagi mereka yang memerlukan, nilai yang sedikit ini memberi makna yang besar kepada mereka.
"Terutamanya dalam situasi kehidupan yang mencabar dengan kos sara hidup yang semakin meningkat hari demi hari.
“Hasrat kami adalah untuk membantu seramai yang mampu kerana kami yakin dengan konsep yang sedikit, sama sedikit, yang banyak, sama banyak agar semua saling merasa rezeki yang ada," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika program TDM Bersama Masyarakat Kota Putera, Besut yang bertempat di Dewan Merdeka, Kota Putera Square di sini semalam.
Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Turut hadir, Pegawai MAIDAM Daerah (Zon Utara), Ahmad Imran Muhamad.
Tambah Najman, Kota Putera merupakan DUN pertama pemilihan TDM bagi pelaksaan program berkenaan yang berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah.
Menurutnya, ia bertujuan untuk mendekati masyarakat sekaligus memberi peluang kepada TDM selaku anak syarikat negeri untuk berbakti kepada komuniti dengan menjaga kebajikan masyarakat serta menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan kehidupan seharian mereka.
“Perlaksanaan program ini bertepatan dengan status syarikat yang Patuh Syariah sekali gus mencerminkan model ‘corporate citizenship’.
“Ia bermaksud menjadi sebuah organisasi yang mementingkan tanggungjawab serta sentiasa memberikan nilai tambah kepada pihak berkepentingan termasuklah komuniti,” katanya.
Kita sedia maklum, Pantai Timur sekarang di landa musim tengkujuh dan ada di antara golongan asnaf yang terkesan kerana banjir.
“Bantuan ini dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan serta membantu kelangsungan hidup penerima.
“Pemilihan calon penerima yang layak telah dibantu urus oleh pihak KOPU Care dan 100 keluarga golongan asnaf yang memerlukan telah dipilih bagi menerima bantuan bernilai RM200 setiapnya,” jelasnya.
Semenatara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata pihaknya menerima baik usaha TDM melalui program bersama masyarakat di Besut ini.
“Pelbagai usaha dan inisiatif yang kami lakukan selama ini adalah untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab kami kepada masyarakat.
“Saya berharap semoga inisiatif yang dilakukan pihak TDM ini dapat menjadi contoh kepada pihak-pihak lain termasuklah kita semua kerana berbakti kepada masyarakat serta cakna kepada mereka yang memerlukan adalah menjadi tanggungjawab bersama,” ujarnya.
15 Dec 23
196
Tindakan Pantas Jiran Halang Kebakaran Merebak
KEMAMAN, 14 Disember – Tindakan pantas beberapa penduduk berhampiran berjaya membantu menghalang api daripada terus merebak dalam satu kebakaran di sebuah rumah di kampung batu 14, Kemaman, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Hafiz Adam berkata ketika dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, beberapa penduduk bertungkus lumus menyimbah air ke kawasan yang ada nyalaan api sebelum Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia sampai ke tempat kejadian.
"Anggota yang bertolak dari Chukai itu sampai ke tempat kejadian kira-kira jam 1.50 petang dan api dapat dipadam sepenuhnya," katanya selepas tinjauan ke tempat kejadian pada hari ini.
Tambah Hafiz, sumbangan akan dihantar secepat yang mungkin kepada keluarga mangsa terutama barangan asas.
Beliau berkata pihaknya juga telah berhubung dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan PKM Dun Air Putih bagi menyalurkan bantuan selanjutnya.
Sementara itu, Suhaimi Awang, 60, yang merupakan pemilik rumah terbakar itu berkata, kebakaran yang berlaku itu berpunca daripada panahan petir yang kuat dalam keadaan hujan lebat.
“Alhamdulillah, dalam kebakaran tersebut tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa.
Ketika kebakaran berlaku, isteri, anak dan cucu berada di dalam rumah tersebut," ujarnya.
14 Dec 23
426
Amaran Hujan Berterusan Tahap Bahaya Landa Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu bermula hari ini hingga esok (Jumaat).
Menurut MetMalaysia kawasan tersebut melibatkan lima daerah di negeri ini.
Katanya, kelima daerah itu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,” menurutnya dalam satu kenyataan rasmi Jabatan Meteorologi pada hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Marang, Dungun dan Kemaman.
Mengulas lanjut, hujan berterusan tahap bahaya dan buruk ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu memaklumkan sehingga kini satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini susulan banjir di beberapa tempat.
Menurutnya, PPSK Felcra Gunung Menerong mula dibuka pada jam 10.20 pagi menempatkan 17 keluarga yang terdiri dari 85 mangsa.
14 Dec 23
156
Exco Jumpa Peniaga Selesai Isu Parkir Rimba Square
KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Kerajaan negeri mengambil langkah drastik bertemu peniaga di Rimba Square, Kuala Nerus bagi menyelesaikan isu parkir swasta yang hangat diperkatakan ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya mendengar keluhan para peniaga tersebut untuk dibuat pertimbangan.
Katanya, mewakili kerajaan Terengganu beliau akan mengambil tindakan selanjutnya supaya menemui jalan penyelesaian.
“Pertemuan tersebut bertujuan bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai aduan berhubung isu parkir berbayar yang didakwa memberi tekanan kepada para peniaga di kawasan berkenaan.
“Dalam pertemuan di Nasken Coffee, saya mendengar segala keluh resah para peniaga berhubung soal kemudahan infrastruktur,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Katanya, pertemuan itu diatur oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai peniaga tidak bersetuju dengan pelaksanaan parkir berbayar kerana bukan sahaja membebankan malah menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.
Isu mengenai parkir kenderaan di Dataran Rimba Square di sini timbul setelah tiga daripada pondok bayaran parkir kenderaan di situ dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.
14 Dec 23
939
Ketukan Jiran Selamatkan Kami Sekeluarga
HULU TERENGGANU, 14 Disember- Kegagalan siren kecemasan berbunyi menyebabkan sebahagian penduduk di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Ajil, di sini tidak menyedari rumah mereka mula dinaiki air.
Salah seorang mangsa, Nor Laila Kasuma Nasir, 39, ketukan pintu daripada jiran kira-kira jam 5.30 pagi menyedarkan mereka bahawa air mula melimpah ke perkarangan kampung.
"Mujur jiran datang kejutkan saya sekeluarga kerana siren amaran banjir tidak berbunyi seperti kebiasaan.
"Saya terus menyuruh anaknya Nur Alesya Maisara, 10, membawa adiknya Nur Syafia Hanna, 16 bulan, ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sambil ditemani jirannya,"katanya kepada pemberita.
Selepas itu, dia kembali ke rumah dan sempat mengemas sebahagian barangan di dalam rumah bersama anak yang lain manakala suami Mohd Zainudin Alias, 37, membawa keluar kenderaan ke tempat selamat.
Sementara itu, Zakiah Ahmad, 40, berkata, dia menyedari air mula melimpah kira-kira jam 5 pagi namun hairan kerana siren amaran banjir tidak berfungsi.
"Ramai penduduk kelam kabut termasuk saya dan saya bersyukur kerana jiran datang mengejutkan kami sekeluarga ketika sedang tidur berikutan siren tidak berfungsi.
"Saya sekeluarga menyimpan sebahagian barangan sebelum berpindah ke rumah ibunya di Kampung Menerong," ujarnya.
Menurutnya, saban tahun PPSK Gunung Menerong, akan berdepan bencana banjir dengan kedalaman air setinggi satu hingga tiga meter.
14 Dec 23
812
Gelombang Kedua Banjir Landa Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 14 Disember - Gelombang kedua banjir mula melanda negeri ini apabila daerah Hulu Terengganu menjadi daerah pertama yang terjejas akibat bencana tersebut susulan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas.
Menurut, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu berkata
sehingga kini satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini susulan banjir di beberapa tempat.
"PPSK Felcra Gunung Menerong mula dibuka pada jam 10.20 pagi menempatkan 17 keluarga yang terdiri dari 85 mangsa," katanya dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat merah atau buruk di Terengganu bermula semalam hingga hari ini.
Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan kebanyakan stesen bacaan di Terengganu menunjukkan trend peningkatan paras air sungai.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari ayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir.
14 Dec 23
751