lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Munajat Rakyat Tuntut Royalti Ditangguh
Munajat Rakyat Tuntut Royalti Ditangguh
KUALA TERENGGANU, 3 April - Kerajaan negeri mengambil keputusan bagi menangguhkan program Munajat Rakyat Kembalikan Royalti yang sepatutnya bakal dilangsungkan pada Sabtu ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah & Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program terbabit akan diadakan pada satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian. "Saya ingin memaklumkan bahawa program Munajat Rakyat Terengganu pada 6 April ini ditangguhkan ke suatu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak. "Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat atas sokongan dan dukungan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha ini," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Muhammad Khalil berharap rakyat terus memberikan tumpuan terhadap ibadat puasa serta meningkatkan amalan dan berdoa pada hari-hari terakhir Ramadan ini agar negeri Terengganu serta rakyatnya sentiasa berada dalam keadaan sejahtera. "Di akhir Ramadan ini, marilah sama-sama kita terus memperbanyakkan doa agar negeri kita diberkati dengan pemimpin yang adil dan penduduk yang beriman lagi bertakwa," ujarnya
03 Apr 24
501
Yahaya Dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Baharu
Yahaya Dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Baharu
KUALA TERENGGANU, 2 April- Bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Golden Pharos Bhd (GPB) yang baharu berkuatkuasa hari ini. Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Mohd Roslan Mamat berkata, syarikat yakin pelantikan Yahaya bersama ahli-ahli lembaga pengarah yang baharu akan membantu melonjak prestasi syarikat itu yang terbabit dalam industri perkayuan secara bersepadu. Katanya, pelantikan Yahaya yang diumumkan dalam kenyataan Bursa Malaysia semalam adalah bagi menggantikan Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar yang memegang jawatan tersebut sejak 1 Ogos 2018. “Lima orang ahli Lembaga pengarah yang lama kekal menjadi ahli manakala tiga orang baharu telah dilantik termasuklah bekas ketua pegawai eksekutif, Dr Mohd Zaki Hamzah,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Tambah beliau, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Datuk Dr Yahya Ibrahim juga dilantik sebagai ahli Lembaga pengarah GPB yang baharu bagi menggantikan Mohd Badarudin Ismail yang turut meletakkan jawatan. “Syarikat mengalu-alukan lantikan baharu ini dan mengharapkan agar mereka dapat membawa syarikat ke arah hala tuju yang lebih baik dan berdaya saing, sesuai dengan kedudukan syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Malaysia,” katanya. Beliau turut mengharapkan agar hala tuju syarikat dapat dipandu oleh pengalaman Yahaya yang luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam. Menurut beliau, rombakan ahli lembaga pengarah syarikat juga merupakan salah satu daripada proses penstrukturan semula, selari dengan polisi kerajaan negeri yang baharu. "Terima kasih kepada Tengku Hassan serta ahli lembaga pengarah yang lain di atas jasa dan sumbangan mereka dalam memajukan syarikat sebelum ini, " ujarnya.
02 Apr 24
304
Kerajaan Negeri Rai Petugas Media Terengganu
Kerajaan Negeri Rai Petugas Media Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 April – Kerajaan negeri meraikan kira-kira 200 pengamal media dan pempengaruh media sosial Terengganu pada Majlis Berbuka Puasa bertempat di Perkarangan Kediaman Sri Iman, Batu Buruk di sini petang semalam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata penganjuran majlis tersebut bagi menghargai segala komitmen, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pengamal media terutama membuat liputan berkaitan kerajaan negeri. "Pengamal media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dengan memastikan bahawa informasi yang disampaikan adalah tepat, benar, dan sesuai dengan ajaran Islam. "Lantaran itu, kewartawanan merupakan satu kerjaya yang memenuhi fitrah manusia yang setiap masa berkehendak kepada maklumat semasa samada kajian penulisan berita, video pendek dan sebagainya. "Mereka juga adalah tenaga penggerak bagi membekalkan berita yang tepat kepada masyarakat," katanya ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Media Terengganu petang semalam. Turut hadir, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa. Pada majlis itu, Dr Khalil turut menyampaikan sumbangan hamper kuih raya kepada petugas media serta pempengaruh media sosial. Untuk rekod, Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media Terengganu merupakan acara tahunan yang diadakan oleh kerajaan negeri. Menurutnya, ia bertujuan menyantuni dan menghargai petugas media yang bertungkus lumus menyajikan berita terkini kepada masyarakat, di samping memupuk ikatan silaturahim.            
02 Apr 24
230
ADUN Pengkalan Berangan Terima Pingat Kelas Kedua
ADUN Pengkalan Berangan Terima Pingat Kelas Kedua
Oleh: Abdul Fattah Kamarudin  KUALA TERENGGANU, 2 April - Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong telah dianugerahkan Pingat Kelas Kedua, Anugerah Pingat Komisioner Jeneral Penjara Malaysia. Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhammad berkata, anugerah tersebut adalah untuk mengiktiraf sumbangan individu kepada pihak penjara dalam pelbagai aspek seperti kerjasama, tenaga, penglibatan, dan keprihatinan terhadap warga penjara.  "Keputusan ini menunjukkan penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi Ustaz Sulaiman dalam menyumbang kepada institusi penjara", ujarnya.  Beliau berkata demikian di Majlis Penyematan Pingat yang berlangsung di Hotel Grand Continental, di sini, semalam. Sulaiman adalah salah seorang penerima pingat yang terpilih antara beberapa individu lain.  Menurut Datuk Nordin, dahulu, orang yang masuk ke penjara dikenali sebagai ‘banduan’, gelaran banduan dinilai sebagai golongan kelas kedua, konotasi negatif ini merupakan satu doa kepada mereka. "Kini, mereka dikenali dengan panggilan ‘prospek’ kerana potensi mereka untuk berubah ke arah yang lebih positif”, katanya lagi.
02 Apr 24
198
Ikan Seluang Panggang Bangkit Selera Berbuka Puasa
Ikan Seluang Panggang Bangkit Selera Berbuka Puasa
HULU TERENGGANU, 1 April –Bagi yang masih mencari menu pembuka selera untuk berbuka, cubalah ikan seluang panggang salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Hulu Telemong, boleh didapati di bazar Kuala Ping di sini, sepanjang Ramadan ini. Ikan seluang panggang makan dengan nasi panas, memang ‘padu’ dan berjaya menghidupkan selera selepas hampir 14 jam berpuasa. Jika nasi ditambah dengan ulam-ulaman dan pencicah budu, keenakannya sukar diucap dengan kata-kata. Begitulah penangan anak ikan seluang panggang yang begitu popular dalam kalangan penduduk terutama di sekitar kampung Kuala Ping. Salah seorang peniaga bazar Ramadan, Siti Fauziah Abdul Kadir, 60, berkata, demi menu istimewa itu, dia meneruskan tradisi menjual ikan seluang panggang sejak lebih 30 tahun lalu  di bazar Ramadan. Menurutnya, bekalan ikan kebiasaan diperolehi dari Sungai Telemong berdekatan. “Setiap pagi anak lelaki mak cik akan pergi memukat dan membawa pulang hasilnya untuk disiang dan dibersihkan sebelum dipanggang. “Mak cik jual satu cucuk ikan seluang panggang yang mempunyai 13 hingga 15 ekor mengikut saiz dengan harga RM5,“ katanya  ketika ditemui di Bazar Ramadan Kuala Ping di sini. Nenek 13 cucu itu berkata, rasa yang manis membuatkannya bertambah enak apabila dicicah dengan budu bersama nasi panas dan ulam-ulaman. “Tulang yang banyak itu mudah dihancurkan apabila dipenyet kerana ia sa­ngat halus dan tidak memudaratkan apabila makan,” katanya. Tambahnya, sambutan terhadap ikan seluang panggang amat laris dan biasanya 40 cucuk yang disediakan akan kehabisan sebelum pukul 6 petang.
01 Apr 24
424
MBKT Lelong 11 Ekor Kambing Tak Dituntut
MBKT Lelong 11 Ekor Kambing Tak Dituntut
KUALA TERENGGANU, 1 April - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melelong 11 ekor kambing yang tidak dituntut selepas disita dalam operasi dijalankan pada akhir bulan lalu. Datuk Bandar, Rosli Latif berkata, proses lelongan itu akan diadakan di pusat tahanan haiwan kawasan Perindustrian Chendering, di sini bermula sekitar jam 9.30 pagi pada Khamis, 4 April depan. Menurutnya, haiwan berkenaan ditangkap selepas didapati berkeliaran dan terpaksa dilelong selepas tiada pemilik yang datang untuk menuntut kembali ternakannya dalam tempoh ditetapkan. “Pihak MBKT boleh mengadakan lelongan awam untuk melupuskan ternakan berkeliaran ini di bawah peraturan ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan media di laman facebook rasmi MBKT baru-baru ini. Tambah Rosli, mereka yang berminat untuk membuat tawaran boleh hadir pada tarikh yang ditetapkan dan haiwan tersebut akan dilupuskan berdasarkan kepada tawaran harga yang tertinggi. “Setiap pembida hanya boleh membeli maksimun seekor sahaja serta bayaran penuh hendaklah disempurnakan segera sebelum haiwan berkenaan diserahkan kepada pembuat tawaran yang berjaya di kaunter yang disediakan.  “Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, 09-6121546, 09-6121536, 09-6121040 untuk penjelasan lanjut,” ujarnya.            
01 Apr 24
273
120 Asnaf Teruja Dapat Baju Raya
120 Asnaf Teruja Dapat Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 1 April – Inisiatif murni beberapa anak syarikat kerajaan negeri dan swasta yang memberi peluang kepada 120 anak asnaf menghadirkan 1,001 makna buat golongan terbabit. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, kerjasama Epic Berhad, TDM Berhad dan Adib Azhar & Co Cawangan Terengganu itu berjaya mengukir senyuman buat keluarga kurang berkemampuan terbabit. “Dalam suasana penuh kegembiraan, anak-anak asnaf dapat merasai kegembiraan memilih baju raya mereka sendiri di Mydin Mall Kuala Terengganu. “Usaha ini menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu golongan asnaf meraih kebahagiaan dan kebaikan, sejajar dengan nilai-nilai keagamaan yang diterapkan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas hadir bersama anak-anak asnaf di Mydin Mall Kuala Terengganu, baru-baru ini. Ujar Sulaiman lagi, program tahunan itu pastinya memberi sinar harapan dan pengalaman yang bermakna kepada anak-anak asnaf untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan. “Program ini juga mampu memperkukuhkan ikatan sosial dalam masyarakat setempat,” katanya.  
01 Apr 24
175
Bengkel Hala Tuju Jadikan Terengganu Mesra Pemaju
Bengkel Hala Tuju Jadikan Terengganu Mesra Pemaju
KUALA TERENGGANU, 1 April - Satu Bengkel Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu telah diadakan selama dua hari bermula hari ini bertujuan menyelesaikan masalah perumahan dan menjadikan Terengganu mesra pemaju. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata selain itu kerajaan negeri berhasrat menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada rakyat Terengganu yang layak. Katanya, melalui bengkel itu, pihaknya juga boleh membuat analisa situasi, menambahbaik Dasar Perumahan Rumah Mesra Rakyat (RMR RAHMAN), Merangka Strategi, Pelan Tindakan dan Sasaran Unit Perumahan Sepanjang Tahun 2023 hingga 2028 serta Pelan Strategik Perumahan Terengganu. "Setiap slot bengkel ini di harap dapat mencapai objektif dalam penambahbaikan dasar perumahan negeri Terengganu, penambahbaikan rekabentuk Rumah Mampu Milik (RMM), penambahbaikan proses dalam kelulusan dan juga pelaksanaan projek pembangunan perumahan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pembentangan Kertas Kerja Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir Ketua Penolong Setiuasaha Kerajaan Negeri (Perumahan) Tengku Chik Abu Bakar Tengku Ibrahim dan Timbalan Pengarah Centre of Excellent (CoE) PITAS2030, Zulhilmi Abd Rahman. Justeru itu, Wan Sukairi mengharapkan agar bengkel berkenaan dapat memberi suatu impak dan menemui jalan penyelesaian dalam menjadikan perumahan di Terengganu efektif serta produktif kepada rakyat negeri itu. Untuk rekod kerajaan negeri telah mengadakan usahasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang berpengalaman luas dalam pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh Malaysia. Pembinaan RMR RAHMAN ini akan mendapat subsidi daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang akan dibina. Kos yang akan ditanggung oleh pemohon hanya berjumlah RM55,000 dengan bayaran balik bulanan RM286.00 sebulan selama 15 tahun. Pembiayaan ini adalah pembiayaan tanpa faedah di mana penawaran dan kutipan balik pembiayaan akan diuruskan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan RMM di Terengganu.
01 Apr 24
434
'Silap Jika Tak Nak Sebut Kafir, Sebab Jaga Hati' - Ustaz Azhar
'Silap Jika Tak Nak Sebut Kafir, Sebab Jaga Hati' - Ustaz Azhar
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Menjadi satu kesilapan kepada orang Islam seandainya tidak mahu menyebut perkataan kafir kerana hendak menjaga hati orang bukan Islam. Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, sedangkan Al-Quran dan hadis dengan jelas menceritakan serta memperincikan golongan yang dikatakan kafir. Ujarnya, walaupun Islam menyenaraikan ciri-ciri golongan kafir namun tidak pernah berlaku orang Islam memanggil kalangan mereka yang tidak beragama Islam sebagai kafir. "Kenapa (ada pihak) hendak marah? (perkataan) non-muslim itu Bahasa English jika diterjemahkan dalam Bahasa Arab, kafir itu membawa maksud ingkar, mereka yang tidak mahu menerima Islam sebagai agama. "Kafir itu bukan bermakna perompak, peragut, perogol tetapi orang yang tidak mahu menerima agama Islam. "Jadi bila kita tak nak sebut kafir kerana hendak menjaga hati (bukan Islam) itu silap, sebab selama ini orang Islam yang paling berakhlak tidak pernah panggil kafir (apabila berhadapan)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Zohor, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman (WDI) di sini hari ini. Program tersebut turut menampilkan, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Mohd Kamaruzaman Abdullah. Mengulas lebih lanjut, Ustaz Azhar berkata kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak tertentu seperti sengaja menyembunyikan perkara besar yang menguris hati umat Islam selama ini seperti isu stoking yang tertera kalimah Allah. "Mengelar dan memanggil ini kena faham, al-Quran mengajar menyebut orang-orang kafir, hadis pun menceritakan orang kafir ini diazab pada pagi dan petang. "Jika ada pihak yang menyatakan kena sebut non-muslim jangan sebut kafir nanti terasa hati, berasa hati ikut mana? kita bukan panggil depan dia pada kebiasaanya kita akan sebut nama dialah sebagai contoh Ahcong. "Menghukum mereka sebagai kafir itu mesti kerana manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu mukmin dan kafir," katanya.
31 Mar 24
850
Safawi, Akhyar Bakal Diuji Malam Ini
Safawi, Akhyar Bakal Diuji Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Pemain Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bakal membuat penampilan pertama bersama jersi hitam putih apabila berdepan Selangor FC II di Padang Latihan Selangor FC pada malam ini. Pengendali Pasukan TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, tiga pemain kebangsaan iaitu Safawi, Akhyar dan juga Suhaimi akan kembali bersama TFC untuk tiga aksi perlawanan persahabatan setelah pulang dari menentang pasukan Oman tempoh hari. Katanya, dua lagi perlawanan persahabatan TFC bakal menentang PDRM FC dan Negeri Sembilan FC yang bertarikh 2 dan 4 April 2024. “Namun begitu, dua lagi pemain utama pasukan iaitu Azam Azmi dan Ivan Mamut tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.  “Azam dilihat memerlukan masa yang agak panjang untuk kembali sembuh dan Ivan Mamut pula dijangka akan dapat kembali bersama pasukan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Tomislav, pada ketika ini sangat menguji kecergasan setiap pemain serta kefahaman taktikal. Menurutnya, perkara tersebut menjadi keutamaan untuk memastikan keserasian dapat diterjemahkan.  “Keputusan perlawanan ini juga amat penting untuk membina motivasi buat para pemain,” ujarnya.              
31 Mar 24
481