Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Honey House Pusat Sehenti Jual Produk Madu
KUALA NERUS, 20 Mei – Terengganu Honey House akan menjadi ‘one stop centre’ sebagai premis jualan dan bekalan madu tempatan tulen serta berkualiti, pertama di negeri dan juga di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ‘Honey House’ sebagai perintis dan langkah itu juga antara usaha kerajaan untuk mengangkat industri kelulut sebagai sumber pendapatan baharu yang mampan dan kukuh.
“Kita akan tengok sejauh mana perkembangannya dan kerajaan negeri bersedia untuk mengembangkannya kepada saiz yang lebih besar jika potensinya meningkat dari semasa semasa dan ketika ini kita letak asasnya dahulu disamping program promosi akan berjalan secara berterusan.
“Jadi pelancong yang berkunjung ke Terengganu, kita syorkan ‘Honey House’ menjadi tempat kunjungan wajib untuk singgah kerana mempunyai madu berkualiti,” ujarnya selepas merasmikan pusat sehenti tersebut di Kampung Wakaf Tembusu semalam.
Tambahnya, insdutri madu antara fokus dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu sebagai satu sumber pendapatan kepada pengusaha dan rakyat di negeri ini.
“Kita fokus dua iaitu yang pertama madu liar dan keduanya madu ternak yang diambil daripada sumber liar serta diternak sebagai satu sumber industri ternakan.
“Setakat ni produk madu Terengganu diakui dari segi kualitinya terutama ketika berhadapan dengan isu ketulenan madu...dan kita ada mesin yang boleh menentukan ketulenan madu secara saintifik dibawah pengoperasian Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” ujarnya.
Menurut Dr Azman, di Terengganu, rasa dan kualiti madu cukup unik kerana ditentukan musim bunga yang tidak terdapat di tempat lain.
20 May 24
1130
Sultan Terengganu Rasmi Wisma Audit Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Wisma Audit Negeri Terengganu yang merupakan bangunan Jabatan Audit Negara kelapan.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Tengku Puteri Daulath Raja pada jam 11.20 pagi.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ;Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi ; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah.
Wisma Audit Negeri Terengganu yang terletak di Kampung Pak Pa, Kawasan Pembangunan Bukit Besar di atas tanah berkeluasan 1.42 hektar dibina dengan kos sebanyak RM18.93 juta.
Wisma ini yang berkeluasan 5,120.95 meteri persegi itu menempatkan seramai 68 orang pegawai Jabatan Audit Negara.
Pembinaan Wisma Audit Negeri Terengganu yang merupakan Jabatan Audit Negara yang kelapan telah menjadi titik sejarah kepada institusi audit negara kerana selepas 118 tahun kewujudan Institusi Audit di Malaysia, Jabatan Audit Negara kini mempunyai bangunannya sendiri di negeri Terengganu.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri ketika menyampaikan ucapan berkata pembinaan Wisma Audit negeri itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan bandar baharu.
"Melibatkan komponen institusi kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, perumahan komersil dan kemudahan awam di kawasan seluas 556 hektar di Bandar Raya Kuala Terengganu.
"Dengan berdiri Wisma Audit di sini pada hari ini, ia merupakan satu perkembangan penting dalam memperkasakan peranan audit dalam tatakelola dan penggunaan kewangan kerajaan dan agensinya," ujarnya.
Sementara itu, Datuk Wan Suraya ketika menyampaikan persembahan ucapan berkata Wisma Audit Negeri Terengganu itu menjadi satu mercu tanda serta lambang akauntabiliti dan integriti dalam sektor awam.
"Tugasan mencabar yang dipikul Jabatan Audit Negara amat memerlukan suasana tempat kerja yang berkualiti dan kondusif.
"Saya yakin dengan adanya Wisma Audit Negeri Terengganu ini akan memberi manfaat yang besar kepada warga Jabaatan Audit Negeri Terengganu untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada sektor awam," ujarnya.
19 May 24
794
Mini Karnival Hari Lupus Sedunia 2024 Eratkan Komuniti Pesakit SLE
KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Program Mini Karnival Hari Lupus Sedunia 2024 yang berlangsung di Kampung Budaya, Kompleks Muzium Negeri, berjaya menghimpunkan komuniti pesakit lupus dari pelbagai negeri termasuk Terengganu, Kelantan, dan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada penganjur, Persatuan Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) Malaysia Terengganu, serta pihak Kampung Budaya atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut.
“Program ini bukan sahaja bertujuan menghimpunkan pesakit lupus, tetapi juga menyediakan platform bagi mereka untuk bertukar pandangan, maklumat, dan pengetahuan dalam menghadapi penyakit lupus.
“Ini adalah penyertaan saya kali ketiga bersama Persatuan SLE Malaysia Terengganu dan saya ucap terima kasih dan tahniah kepada pihak persatuan atas penganjuran dan kerjasama untuk menghimpunkan semua komuniti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Mini Carnival World Lupus Day Explorace 2024 bertempat di Kampung Budaya, Kompleks Muzium Negeri di sini semalam.
Wan Sukairi turut menegaskan bahawa program seperti ini amat penting dalam memberikan sokongan moral kepada pesakit.
"Dengan adanya program sedemikian, ia dapat mencetuskan perasaan yang baik dan memberikan semangat luar biasa kepada mereka yang menghidapi penyakit tersebut serta memastikan mereka tahu bahawa mereka tidak keseorangan.
“Saya berharap agar program-program seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan dan kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif sebegini,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan pesakit dengan penyakit lain untuk mewujudkan persatuan yang sama agar mereka dapat saling berhubung, bertukar pandangan, dan ilmu dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Sementara itu, Penasihat Persatuan SLE, Dr Siti Mariam Ab Rahim berkata penyakit SLE merupakan penyakit autoimun kronik yang kebiasaannya menyerang wanita berusia antara belasan hingga 50 tahun.
"Penyakit ini boleh menyerang mana-mana organ dalam badan, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuk organ dalaman dan otak.
"Di Terengganu, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, lebih kurang 500 kes telah direkodkan setakat ini dan jumlahnya meningkat setiap tahun," tambah beliau.
19 May 24
175
Hampir Sejam Hambat 'Perompak Laut'
KUALA TERENGGANU, 19 Mei- Hampir sejam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengejar dua kapal nelayan asing Vetnam yang menceroboh perairan Terengganu, malam Khamis lalu sebelum berjaya menahannya di kedudukan 155 batu nautika timur muara Kuala Terengganu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Terengganu, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar berkata, kedua-dua bot berkenaan berjaya ditunda ke pejabat Maritim Negeri Terengganu dan tiba sekitar jam 10.00 pagi semalam.
Menurutnya, pada kejadian tersebut KM Pekan yang meronda dalam siri Op Naga Barat, berjaya menahan 12 awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua mereka adalah dalam lingkungan usia 19- 50 tahun dan mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963.
"Berdasarkan penilaian, rampasan keseluruhan termasuk kedua-dua bot, hasil laut, peralatan dan diesel dianggarkan bernilai RM3 juta.
"Sebagai makluman untuk tahun ini, ini adalah tangkapan ke-10 membabitkan pencerobohan nelayan asing oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran rampasan bernilai RM10 juta," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media di pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini.
Tambahnya, musim sotong yang bermula April hingga Ogos menarik minat nelayan asing dengan peningkatan kes pencerobohan direkodkan berbanding bulan-bulan lain.
Oleh itu, menurutnya Maritim Negeri Terengganu akan terus meningkatkan operasi bagi membanteras kemasukan bot-bot nelayan asing di perairan negara khususnya Terengganu.
19 May 24
1110
Pasar Payang 1 Dijangka Buka Awal Julai
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Pasar Payang 1 dijangka akan mula beroperasi seawal bulan Julai, mengikut laporan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata komitmen itu telah dinyatakan dalam satu perjumpaan pada Khamis lepas yang melibatkan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif, semua Pengarah Kanan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), serta 580 peniaga Pasar Payang.
Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, Datuk Bandar memberikan taklimat terperinci mengenai proses perpindahan peniaga dari Pasar Payang Dua ke Pasar Payang Satu serta proses pengubahsuaian Pasar Payang Dua untuk menempatkan peniaga yang berada di luar pasar tersebut.
“Semua 580 peniaga telah diberikan 'timeline' yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Pada mulanya, terdapat peniaga yang ingin kekal di lokasi lama, namun mereka akhirnya akur dengan keputusan kerajaan demi kelancaran perpindahan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Mini Carnival World Lupus Day Explorace 2024 bertempat di Kampung Budaya, Kompleks Muzium Negeri di sini semalam.
Tambah Wan Sukairi, perpindahan tersebut akan menambah jumlah peniaga di kedua-dua pasar, dengan lebih daripada 580 peniaga beroperasi di Pasar Payang Satu dan Pasar Payang Dua.
"Proses pengundian akan berlaku dalam bulan Jun ini untuk menentukan segmen-segmen tertentu kepada para peniaga.
“Pasar Payang Satu, yang merupakan pasar baru, dijangka akan mula beroperasi pada bulan Julai nanti, membawa harapan baru kepada peniaga dan penduduk setempat,” ujarnya.
19 May 24
1759
Terengganu Kunjungi Oman Perkukuh Hubungan Dua Hala
MUSCAT, 19 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, telah mengadakan kunjungan rasmi ke Sultanate Oman dan bertemu dengan Menteri Waqaf dan Hal Ehwal Agama Islam Oman, Dr Muhammed Said Al Mamari.
Dr Khalil berkata Sultanate Oman dan Malaysia mempunyai banyak persamaan antaranya ialah pendekatan toleransi antara agama, kaum dan mazhab yang menatijahkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat majmuk.
“Mudah-mudahan kunjungan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri Terengganu dan Sultanate Oman dalam pelbagai sudut,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Beliau berharap agar hubungan yang erat ini akan membuka peluang untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan hal ehwal agama serta mempromosikan nilai-nilai toleransi dan keharmonian dalam masyarakat.
Selain itu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi juga berkesempatan mengunjungi Mufti Besar Sultanate Oman, Syeikh Ahmed Hamad al-Khalili di Muscat.
“Syeikh Ahmed bin Hamad al-Khalili merupakan salah seorang tokoh ulama terkemuka yang gigih memperjuangkan isu penyatuan ummah, khususnya dalam usaha pembebasan Baitulmaqdis.
“Semoga Allah memelihara dan memberkati umur beliau untuk terus berkhidmat kepada ummah,” ujar Dr Khalil sambil menzahirkan rasa kagum dan penghargaan terhadap usaha serta dedikasi Syeikh Ahmed dalam memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia.
19 May 24
216
Shopee Cup Platform Terbaik TFC Mantapkan Pasukan
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Shopee Asean Championship Cup (ACC) merupakan platform terbaik bagi memantapkan Terengganu FC( TFC) untuk tampil lebih cemerlang bagi mengharungi kancah musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bermain di peringkat Asean akan menjadi pengalaman yang berharga buat skuad penyu untuk musim 2024/2025.
"Paling penting sekali pengalaman dan juga untuk meningkatkan keyakinan pemain, untuk Shopee Cup ini kita tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi.
"KIta hendak ambil keuntungan daripada pengalaman tersebut untuk ditejemahkan balik dalam aksi Liga Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas hadir ke Majlsi Apresiasi Hi-Tea Penaja Terengganu Football Club Sdn Bhd, Sempena Pelancaran Kit Rasmi musim 2024/2025 di Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort Pulau Duyong, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong.
Dalam pada itu katanya, bagi menghadapi cabaran musim 2024/2025, TFC telah dipersiapkan untuk melakar kejayaan yang lebih membanggakan berbanding musim lalu.
"TFC akan mengharungi empat kejohanan musim ini tiga darinya Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA termasuklah satu daripadanya di peringkat Asean iaitu Shopee Asean Championship Cup," ujarnya.
Dalam perkembangan terkini katanya, TFC kini mempunyai 22 syarikat penaja dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.332 juta iaitu RM6.310 juta bagi tajaan wang tunai serta RM2.022 bagi tajaan perkhidmatan.
"Pada musim 2024/2025 ini saya mengalu-alukan kesudian pihak penaja TFC untuk turut bersama-sama di dalam rangka kerjasama strategik yang membawa manfaat dua hala," ujarnya.
17 May 24
532
"Harap Tragedi Keganasan Terhadap Faisal, Akhyar Adalah Yang Terakhir"
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengharapkan agar tragedi keganasan yang berlaku terhadap dua pemain bola sepak Faisal Halim dan Akhyar Rashid adalah kali terakhir dan tidak berulang lagi.
Katanya, detik itu merupakan sejarah hitam dalam bola sepak negara kerana tidak pernah berlaku lagi keganasan sedemikian sehingga menyebabkan kecederaan parah dialami dua pemain tersebut yang boleh menjejaskan karier bintang bola sepak terbabit.
"Saya harap kes ini yang terakhirlah (sebelum ini) tidak pernah berlaku serangan fizikal yang agak ganas seperti ini dalam dunia bola sepak.
"Terutama bagi kes yang membabitkan Faisal Halim, kita harap itu peristiwa terakhir dan selepas ini akan balik dalam suasana positif, para pemain merasa tenang dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi.
"Antara pasukan bola sepak akan harmoni bertembung diantara satu sama lain di dalam padang tidak terbawa-bawa sehingga ke luar padang (selepas tamat perlawanan)," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Hi-Tea Penaja Terengganu Football Club Sdn Bhd Sempena Pelancaran Kit Rasmi Musim 2024/2025, di Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort Pulau Duyong, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong.
Mengenai perkembangan siasatan yang menimpa pemain Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid, Hishamuddin berkata pihaknya dimaklumkan kes itu telah diserahkan kepada polis Bukit Aman.
"Ekoran kes yang timbul, pusat latihan ketika ini terpaksa ditutup dan pemain TFC kini berlatih secara tertutup kerana Akhyar dipercayai diekori oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum kejadian samun.
"Selain itu polis juga mengenal pasti semua alamat rumah pemain, kita juga diminta agar melaporkan pergerakan pemain kepada PDRM,"katanya.
Tambah beliau, tindakan menutup pusat latihan pemain kepada peminat TFC hanyalah bersifat sementara sehingga keadaan kembali reda.
"Sebagai langkah keselematan, kita juga memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat latihan tersebut," katanya.
16 May 24
422
Terengganu Kembangkan Bisnes Usahawan di Indonesia
Jakarta, 15 Mei -Kedutaan Besar Malaysia di Republik Indonesia menerima kunjungan hormat delegasi usahawan dariTerengganu yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, YB Ariffin Deraman.
Deligasi seramai 20 usahawan dan turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, YB Dr. Azman Ibrahim telah disambut mesra oleh pegawai-pegawai di sana.
Kunjungan ini merupakan salah satu agenda dalam Lawatan Titian Muhibah dan Perbincangan Dua Hala antara Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu dan Indonesia. Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk memupuk hubungan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kedutaan Malaysia di Indonesia.
Dalam pertemuan ini, Kerajaan Negeri menyatakan hasrat untuk lebih agresif dalam membawa usahawan negeri tersebut memasarkan perniagaan mereka ke negara-negara serantau. Potensi dan usaha untuk membuka jaringan yang lebih luas kepada usahawan-usahawan Terengganu, khususnya di Indonesia, turut dibincangkan.
Hadir sama dalam kunjungan ini ialah Pengarah MATRADE Wilayah Timur, Puan Zaimah Osman; Pengurus Besar Darul Iman Training Centre (DITC), Tuan Haji Shuhaimi Embong; Tengku Ahmad Shabirin Awalludin, Pengurus Kanan Korporat Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU); serta wakil daripada PT Laara Star World.
Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan jutaan terima kasih kepada Encik Farzamie Sarkawi, Timbalan Ketua Perwakilan dan Wakil Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, serta para pegawai yang menyambut kedatangan delegasi. Diharapkan pertemuan ini dapat membina hubungan dan kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kedutaan Malaysia di Indonesia, sekaligus memperluas peluang ekonomi bagi usahawan-usahawan Terengganu.
16 May 24
494
"Fikir Dahulu Sebelum Minta Cerai" – JHEAT
KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah memberi nasihat kepada para isteri agar mempertimbangkan dengan matang sebelum membuat keputusan untuk meminta cerai.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata, kematangan berfikir mampu mencegah peningkatan kadar perceraian dalam masyarakat.
Menurutnya, JHEAT menekankan bahawa meminta cerai sepatutnya menjadi langkah terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki hubungan suami isteri telah dilakukan.
"Hal ini penting kerana kesan perceraian tidak hanya melibatkan pasangan itu sendiri, tetapi juga keluarga dan anak-anak mereka.
“Hubungan perkahwinan adalah perjuangan dan amanah yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh suami dan isteri," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bertempat di tingkat bawah, Bahagian Unit Undang-Undang Keluarga JHEAT, kelmarin.
Tambah Moktar Salleh, beliau mengingatkan bahawa Allah SWT memandang serius terhadap perkara tersebut, dan meminta para isteri untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik sebelum memutuskan untuk meminta cerai.
Tambahnya, JHEAT juga menyediakan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan perkahwinan bagi pasangan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan mereka.
Pihaknya berharap, dengan kaunseling yang disediakan dapat membantu pasangan menyelesaikan konflik dan memperbaiki hubungan mereka, serta mencegah terjadinya perceraian.
Moktar berkata berdasarkan rekod, pasangan yang berusia di atas 30 tahun, terdapat kecenderungan yang signifikan untuk mengakhiri pernikahan dengan talak tiga.
"Fenomena ini menunjukkan bahawa dalam kelompok usia tersebut, perceraian talak tiga lebih kerap berlaku.
"Untuk mencari punca trend ini terjadi, penting untuk memahami dengan lebih mendalam faktor-faktor yang mempengaruhi kestabilan perkahwinan pada usia tersebut," katanya.
Beliau berkata, JHEAT juga mengingatkan masyarakat agar memberi sokongan moral kepada pasangan yang sedang menghadapi masalah rumah tangga, dan menggalakkan mereka untuk mencari penyelesaian secara bersama-sama.
Dengan itu, diharapkan kadar perceraian dapat dikurangkan, dan masyarakat dapat hidup dalam suasana harmoni dan kebahagiaan yang berkekalan.
16 May 24
435