Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Kekal Negeri Cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Terengganu mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 apabila mencapai nilai Gred Purata Negeri 4.41, mengatasi Gred Purata Kebangsaan 4.60.
Pengarah Pendidikan Negeri, Jelani Sulong berkata, sebanyak 464 calon turut memperoleh semua A bagi peperiksaan kali ini berbanding 333 orang sebelum ini.
"Tahun ini, empat buah sekolah lulus 100 peratus bagi semua mata pelajaran dengan
Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kemaman tersenarai sebagai sekolah gred purata sekolah (GPS) terbaik dan sekolah peningkatan semua A tertinggi.
"Tiga lagi sekolah terbaik diungguli Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu, SMKA Sheikh Abdul Malik dan SM Imtiaz YT Kuala Berang," katanya.
Jelani (tiga dari kiri).
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, hari ini.
Tambahnya, keputusan SPM 2023 juga berjaya mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar dengan -0.68 gred purata lokaliti.
Sementara itu, dalam tinjauan di SM Imtiyaz YT Kuala Terengganu, seramai 17 pelajar penghafaz 30 juzuk al Quran dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu mencipta sejarah apabila memperolehi 12 A dalam SPM 2023 yang diumumkan hari ini.
Selain itu, seramai 11 pelajar mendapat 11A, diikuti 15 orang 10 A dan 17 orang lagi mendapat 9A.
Para pelajar berkenaan berkumpul Masjid Al-Hidayah, Kampung Banggol Mempelam bersama ibu bapa mereka yang meraikan kejayaan tersebut dengan majlis kesyukuran dan jamuan ringkas.
27 May 24
8903
'Titian Muhibah' Realisasikan Impian Usahawan Terengganu Tembus Pasaran Indonesia
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - 'Titian Muhibah' bukan sahaja mengeratkan hubungan Terengganu dan Indonesia melalui dunia perdagangan malah turut merealisasikan impian usahawan Terengganu untuk mengeksport produk dari negeri ini ke Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, menebusi pasaran negara republik itu merupakan impian setiap usahawan kerana ia memiliki pasaran yang terbesar di dalam negara ASEAN.
"Ini terbukti melalui kejayaan 100 orang usahawan dari Malaysia khususnya dari Terengganu akan menjadi pendorong kepada usahawan lain untuk turut serta memasarkan produk mereka ke Indonesia.
"Tahniah juga kepada 16 usahawan yang telah berjaya mendapat kelulusan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) bagi 22 produk, iaitu syarat utama yang telah ditetapkan bagi memasarkan produk ke Indonesia.
"Saya merasa bangga kerana sembilan daripada 16 usahawan ini merupakan rakyat Terengganu, kerjasama daripada semua pihak MATRADE yang diadakan pada hari ini amat disambut baik oleh Kerajaan Negeri Terengganu kerana ia dapat membantu meluaskan lagi produk usahawan Terengganu ke peringkat antarabangsa," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan ketika mengadakan lawatan ke negara berkenaan baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar malaysia di dunia dan rakan dagang ketiga terbesar dalam ASEAN selepas Singapura dan Thailand sepanjang tahun lalu.
"Perdagangan dua hala Malaysia dengan Indonesia bernilai RM111.21 bilion berkurang sebanyak 14.3 peratus daripada RM129.70 bilion direkodkan dalam tahun 2022.
"Manakala eksport dan import mencatatkan sejumlah RM50.91 bilion, menurun sebanyak 8.7 peratus dan RM60.3 bilion, berkurang 18.5 peratus.
"Diharap dengan penganjuran program ini dapat meningkatkan lagi perdagangan dua hala Malaysia dan Indonesia," ujar beliau.
26 May 24
291
Parti Liar : Exco Bidas Kenyataan Semberono Ahli Parlimen DAP
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Kerajaan negeri membidas kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen DAP dari Kepong yang mengatakan tindakan Terengganu mengenakan kompaun kepada penganjur parti liar sebagai tak masuk akal.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, kompaun RM25,000 itu tidak menjejaskan sektor pelancongan di Terengganu sebaliknya ia menjadi pengajaran buat pihak yang melanggar peraturan.
Katanya, sangat tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa tindakan itu sebagai langkah ke belakang kepada industri pelancongan tempatan.
"Hanya kerana sebilangan kecil yang tidak memahami atau mengikut peraturan, adakah adil untuk mengatakan ia memberikan tamparan hebat kepada industri pelancongan tempatan?.
"Usahlah 'serkap jarang' nanti tersalah malunya besar, berkata biarlah berfakta, jangan hanya hendak mencari modal politik murahan untuk menjana populariti," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Muhammad Khalil berkata semua sedar pelancongan adalah salah satu industri penting yang memacu ekonomi negeri, kerana itu pelbagai inisiatif, pembangunan dan kemudahan diperkasakan bagi menarik kedatangan pelancong.
"Namun begitu, kerajaan negeri telah mentapkan garis panduan serta peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua pihak sama ada pemain industri mahupun pelancong seiring dengan pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai dasar.
"Pemain sektor pelancongan yang berkualiti mampu menjamin kemampanan industri yang berpotensi besar ini dalam jangka masa yang panjang," ujarnya.
Justeru tegasnya, dengan kepelbagaian produk yang menjadi daya tarikan dalam negeri Terengganu adalah tidak munasabah dengan hukuman tegas akan mengkibatkan kedatangan pelancong merosot hanya kerana parti liar persendirian seumpana itu dihalang penganjurannya.
"Terengganu sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia khususnya keindahan pulau-pulau di perairannya dan alam semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna.
"Terengganu terjual kerana keindahnnya, alam semulajadinya, kebudayaan dan masyarakatnya, Eloklah dikekalkan begitu, semoga rezekinya berkat dan dilimpahi rahmat Allah SWT," katanya.
Terdahulu, kenyataan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menegur kerajaan Terengganu kerana mengenakan denda RM25,000 kepada resort swasta di Pulau Lang Tengah.
Ujar Ahli Parlimen Kerajaan Persekutuan itu, tindakan tersebut tidak masuk akal dan boleh menyumbang kepada kemerosotan industri pelancongan negara
26 May 24
642
Hamdan Awang Akhiri Kisah Suka Duka Dunia Pengadilan
KUALA NERUS, 26 Mei – Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamdan Awang yang telah memberikan impak besar dalam arena bola sepak tempatan telah mengumumkan persaraannya pada usia 42 tahun.
Hamdan atau Cikgu Hamdan yang juga merupakan anak jati Terengganu telah berkecimpung selama 16 tahun dalam dunia kepengadilan mengumumkan persaraan beliau melalui hantaran di laman facebook rasminya kelmarin.
Presiden Bola Sepak Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bagi menghargai jasa beliau satu majlis kejutan telah diadakan sempena persaraannya.
Katanya, Cikgu Hamdan akan dikenang sebagai seorang pengadil yang berdedikasi dan memberi sumbangan besar kepada bola sepak Malaysia.
“Semoga persaraannya membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam usaha masa depannya,” katanya
Jelas Hishamuddin melalui hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada semalam.
Sejak pengumuman persaraan oleh Cikgu Hamdan, Hishamuddin segera menghubungi beliau untuk memahami keputusan tersebut.
“Maklum balas Cikgu Hamdan amat saya fahami dan akur dengan keputusan persaraan tersebut.
“Beliau telah meletakkan Key Performance Indicator (KPI) untuk diri beliau dan rakan-rakan pengadil yang lain bagi mengangkat agenda pembangunan pengadil pelapis untuk Terengganu selepas ini secara lebih serius,” tambahnya.
Tambahnya lagi, komitmen Cikgu Hamdan terhadap pembangunan pengadil pelapis dibuktikan dengan penganjuran Akademi Pengadil Muda Terengganu pada Ogos 2024.
“Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Pengadil Negeri Terengganu, yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Unit Pengadil FAM.
“Saya yakin, Cikgu Hamdan Awang merupakan pengadil yang sangat digemari oleh semua peminat bola sepak tanah air. Jasa dan bakti cikgu pasti dikenang oleh semua. Semoga beliau terus berjaya dalam skop kerja baharu selepas ini,” ujarnya..
25 May 24
542
Terengganu FC Lepas Geram, Tumbangkan Kelantan
KUALA NERUS, 25 Mei - Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah membenam pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Pada aksi ‘derbi Pantai Timur’ yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan keduanya dalam aksi saingan liga pada musim ini.
TFC yang bermula garang terus melancarkan serangan ke kubu KDN dengan cubaan berbahaya pada minit ke- 12 menerusi Manuel Ott namun bola sedikit melepasi palang gol.
Memasuki minit ke 36, Skuad TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Afzal Akbar menjatuhkan Safawi Rasid dalam kotak penalti.
Penalti itu diberikan selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).
Penyerang import TFC, Ismaheel Akinade berjaya menyudahkan penalti tersebut sekali gus memastikan Terengganu mendahului satu gol di hadapan.
Pada minit ke 41, pemain tengah TFC, Marin Pilj hampir menambah derita skuad Kijang Emas apabila rembatannya melepasi palang gol hasil hantaran cantik Alif Zakaria.
Berselang empat minit kemudian, Nurillo Tukhtasinov menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Terengganu FC melalui umpanan cantik Ubaidullah Shamsul untuk pasukannya mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendapat jaringan ketiga selepas Manuel Ott melakukan rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-47 berpunca daripada bola sepakan sudut.
Pada minit 74, TFC sekali lagi hampir memecah kebuntuan gol apabila rembatan kencang Akhyar Rasyid sedikit melepasi palang gol lawan.
Kemenangan 3-0 Terengganu FC ke atas Kelantan Darul Naim menyaksikan TFC kini menghuni tempat kedua dalam kedudukan saingan Liga Super pada minggu ketiga.
Pada perlawanan tersebut, penyokong Terengganu FC dan Kelantan Darul Naim menunjukkan tanda solidariti terhadap Palestin dengan mengibarkan bendera Palestin sepanjang perlawanan berlangsung.
Lebih 13,000 penyokong yang hadir di stadium berkenaan mengibarkan bendera dan sepanduk sebagai tanda sokongan kepada rakyat di negara berkenaan yang ditindas rejim Zonis.
24 May 24
388
Kronologi Parti Haram Aloha
24 May 24
628
2.4 Juta Benih Ikan Dilepaskan di Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 22 Mei- Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu (Perikanan) telah melepaskan sebanyak 2.4 juta benih ikan asli di Tasik Kenyir sejak tahun 2020 hingga 2023.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, pelaksanaan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah Program Pengayaan Sumber Perikanan Darat Negeri Terengganu itu dianggarkan bernilai RM1 juta sepanjang tempoh berkenaan.
"Untuk tahun ini, kita telah melepaskan 250,000 ekor benih ikan dan masih ada lagi beberapa sungai dalam progam pengayaan sumber perikanan darat yang akan dilaksanakan.
Ruzaidi menunjukkan benih ikan yang dilepaskan kepada Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Sean Keong.
"Lokasinya adalah sungai-sungai utama yang menjadi tumpuan aktiviti nelayan darat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pelepasan Benih Ikan di Sungai Cacing, Tasik Kenyir, semalam.
Program berkenaan diadakan sempena pembukaan Sungai Cacing bagi aktiviti memancing oleh Taman Negara Terengganu dan Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu.
Tambah beliau, pihaknya akan berusaha mencapai sasaran pelepasan 350 ribu benih ikan sebagaimana dirancang pada tahun ini.
"Hasil program ini kita telah lihat dalam tempoh setahun dua ini, berlaku peningkatan pendaratan hasil perikanan yang direkodkan nelayan darat kita.
"Tahun lepas, kita berjaya mendaratkan 190 tan metrik berbanding 160 tan metrik pada tahun sebelumnya," katanya.
Dalam pada itu, Ruzaidi turut mengharapkan kerjasama orang ramai bagi mengekalkan kelestarian sumber perikanan darat negeri dengan mengelakkan penggunaan kaedah terlarang ketika menangkap ikan.
"Nasihat kita, supaya jangan menangkap ikan dengan kaedah terlarang terutama menggunakan peralatan elektrik, senapang ikam dan sebagainya.
"Aktiviti ini boleh menjadikan kepupusan sumber ikan sangat ketara.
Selain itu, berdasarkan Kaedah Perikanan Sungai 1988, sebarang aktiviti menangkap ikan secara terlarang boleh dikenakan tindakan sewajarnya," ujarnya.
23 May 24
374
Parti Liar : Terengganu Bakal Naikkan Kompaun Lebih RM25,000
KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Kerajaan Terengganu bakal menaikkan kadar kompaun bagi mana-mana premis atau resort yang melanggar peraturan hiburan Pihak Berkuasa Tempatan negeri ini, susulan insiden parti aloha di Pulau Lang Tengah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah tidak menolak kemungkinan pindaan kadar itu, daripada maksima RM25,000 kepada satu jumlah baharu akan dibuat selepas ini bagi menghalang peristiwa sama berulang.
Katanya, ia dinaikkan jika kompaun maksima sedia ada tidak memberikan kesan yang cukup kepada pengusaha resort.
“Jika kompaun ini tidak menimbulkan kegerunan kepada pengusaha resort untuk mengikut peraturan, kita mungkin meningkatkan jumlah kompaun supaya memberi pengajaran kepada semua untuk mengikut peraturan yang ada di negeri Terengganu, kita pinda enakmen dalam sidang Dewan Undangan Negeri untuk naikkan kompaun.
"Kerajaan negeri berharap tindakan ini akan menjadi pengajaran dan memastikan sektor pelancongan di Terengganu berkembang dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memantau dengan lebih ketat aktiviti di semua resort di Terengganu.
“Kita kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula daripada sekarang akan memantau perjalanan aktiviti semua resort yang ada di negeri Terengganu supaya mengikut peraturan, enakmen yang kita tetapkan,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan negeri telah mengenakan kompaun maksima sebanyak RM25,000 kepada Summer Bay Resort yang menganjurkan parti liar di negeri terbabit.
23 May 24
314
Resort Anjur 'Parti Liar' Kena Kompaun RM25 Ribu
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Kerajaan Negeri Terengganu telah mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 kepada Summer Bay Resort dan melarang penganjuran program seumpamanya diadakan pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan bersama pemilik resort tersebut.
"Ini berikutan penganjuran sebuah parti pada 20 Mei yang melanggar kesalahan bawah Sub Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan & Tempat-tempat Hiburan 2002 negeri Terengganu.
"Daripada penjelasan pihak Summer Bay Resort, kita dapati banyak perkara yang mereka langgar termasuk tatasusila, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara mesra muslim di negeri ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas pertemuan bersama pengurusan Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6 Wisma Darul Iman pada hari ini.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif.
Razali menjelaskan bahawa program tersebut diadakan setiap tahun tanpa pengetahuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya dan Jabatan pelancongan.
"Resort tersebut mempunyai lesen yang lengkap dan boleh beroperasi seperti biasa, namun kesalahan ini akan dikenakan tindakan.
"Pihak PBT akan mengenakan kompaun kepada resort tersebut dalam masa terdekat, di samping siasatan lanjut mengenai sebarang kesalahan lain di pulau tersebut," tambahnya.
Difahamkan, program tersebut telah diadakan selama 10 tahun dan hanya dihentikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa pengetahuan PBT.
Razali turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pelanggaran peraturan oleh mana-mana resort kepada pihak berautoriti.
"Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana menyalurkan info mengenai parti terbabit," katanya.
23 May 24
2075
35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - 35 pelayar dari pelbagai pelosok negara yang kini berlabuh di Terengganu sempena program 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' menjadi sandaran kerajaan negeri bagi memperkenalkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang hebat di mata dunia.
Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, menjadi sejarah buat para pelayar dari Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Switzerland, New Zealand dan Hong Kong yang berpeluang melihat keindahan Terengganu.
Ujarnya, sebanyak 14 perahu layar berlabuh di Terengganu bermula 19 Mei hingga 2 Jun 2024.
"Kita mengharapkan kehadiran mereka ini mampu memberi pulangan ekonomi yang berimpak tinggi di samping mengharapkan mereka akan menjadi sebagai duta atau 'influencer' yang akan memperkenalkan Terengganu di persada antarabangsa.
"KIta (juga) mengharapkan mereka mampu memberitahu dan menceritakan kebaikan dan keindahan yang ada supaya mereka akan kenang dan ingat bahawa tempat yang menarik adalah Terengganu yang selalu disebut sebuah negeri yang cantik, budaya menarik dan orangnya baik-baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Sambutan Pelayar Antarabangsa sempena program 'Sail Malaysia Passage To The East Yacht Rally' di Jeti Marina Garden, Duyong Marina Pulau Duyong, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut, Sulaiman berkata sepanjang berada di Kuala Terengganu pihak JPNT akan mengambil peluang sebaiknya untuk membawa para pelayar mengenali lebih dekat budaya, adat tradisi dan merasai sendiri keenakan masakan tradisional negeri ini.
"Saya dimaklumkan esok mereka akan ke Noor Arfa Batik kerana mereka dikatakan cukup berminat dengan batik Terengganu.
"Selain itu mereka akan ke tempat Pembuatan Bot di Pulau Rusa, Kampung Budaya Terengganu, muzium negeri, makan tengah hari di Kampung Cina, tempat pembuatan keropok di Losong dan perkampungan rumah-rumah lama," ujarnya.
Untuk rekod, pelayar termuda yang menyertai program ini ialah Sawyer Anderson berusia tiga tahun serta paling tua ialah Larry Green yang berusia 83 tahun, antara peserta yang menyertai pelayaran selama 15 hari di Terengganu.
21 May 24
3178