Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Terima Peruntukan RM1 Juta Bagi Projek Bandar Selamat
MARANG, 30 Jun- Sebanyak RM1 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek bandar selamat di Terengganu tahun ini.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Dr Alias Rameli berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini iaitu Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Marang dengan pecahan RM500,000 bagi setiap PBT.
"Ia bagi mempertingkatkan kemudahan dan ciri-ciri bandar selamat di kawasan pentadbiran terbabit.
"Sekali gus memudahkan rakyat untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang baik, pendidikan, alam sekitar yang bersih, tempat tinggal selamat, kawasan beriadah dan persekitaran kerja selesa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja di Taman Rekreasi Pulau Kekabu di sini, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan memperkenalkan ANMS di bawah teraju Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan menjadikan Rakyat Malaysia Sihat Sejahtera.
"KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah diberi mandat bagi pelaksanaan Teras Ke-4 ANMS iaitu Memantapkan Kebersihan Persekitaran dan Strategi Ke-10 bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan melalui pembudayaan cara hidup sihat di dalam kehidupan seharian dan kelestarian persekitaran yang sejahtera.
"Perancangan bandar sangat terkait dengan kesihatan kerana visi utama perancangan sesebuah bandar antara lainnya adalah untuk mewujudkan persekitaran yang harmoni dan sejahtera," ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan Projek Showcase Bandar Sihat oleh KPKT telah bermula pada tahun 2015 di mana ia mula dilaksanakan di Bandar Kluang, Johor dan Bandaraya Kuala Terengganu.
"Kemudian projek ini diteruskan pada tahun 2021 di Bandar Jerantut di Pahang, Ampang Jaya di Selangor dan di Kulim, Kedah," jelasnya.
Katanya, pada tahun ini, peruntukan sebanyak RM300,000 telah disediakan oleh KKM untuk melaksanakan program ANMS di bandar-bandar terpilih di Malaysia.
"Daripada jumlah itu, sebanyak RM105,000 disediakan khusus untuk program kita pada hari ini bagi memastikan matlamat ANMS tercapai khususnya di Bandar Marang ini.
"Bandar Marang merupakan antara empat buah bandar paling bahagia di Negeri Terengganu dengan skor sebanyak 87.27 peratus berdasarkan Indeks Kebahagiaan Tahun 2023 yang dinilai melalui Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan BandarLuar Bandar (MURNINets).
"Pencapaian ini telah dijadikan salah satu kriteria pemilihan Bandar Marang sebagai sebuah bandar sihat di Malaysia," ujarnya.
30 Jun 24
1355
'Lebih RM1 Bilion Royalti Minyak Terengganu Belum Dibayar' – MB
MARANG, 29 Jun – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Kerajaan Persekutuan masih belum melunaskan lebih RM1 bilion bayaran royalti petroleum Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tidak menerima sebarang jawapan jelas mengenai penangguhan bayaran milik rakyat itu.
Menurutnya, jumlah yang akan terus dituntut berkenaan termasuk baki kira-kira RM700 juta yang belum dibayar kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 dan bayaran untuk tahun ini.
“Masih lagi banyak bakinya (royalti), kalau tak silap, saya rasa campur dengan tahun ini, lebih RM1 bilion.
“Buat masa ini, kerajaan negeri diminta untuk mengemukakan tuntutan berdasarkan kepada program dan juga keperluan kewangan dari masa ke semasa, ‘claim’ (tuntutan) baharu akan dipertimbangkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media pada progran Temasya Sukan DAR Terengganu bertempat di Maecon Sport Centre, Kelulut, Marang di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, pihaknya ada bertemu dengan persekutuan dalam mesyuarat-mesyuarat namun tiada perbincangan yang khusus mengenai royalti.
“Tapi saya telah menyuarakan kepada Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan tentang keperluan semasa yang berlaku setiap bulan.
“Apa yang berlaku ialah pertimbangan keperluan kewangan akan dibuat oleh pihak Kementerian Kewangan setiap bulan,” katanya.
Beliau turut menyatakan kekeliruan kerajaan negeri mengenai alasan penangguhan tersebut.
“Bagi kerajaan negeri, kami tidak faham sebenarnya apa alasannya. Itulah keadaan sekarang ini.
“Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memenuhi keperluan yang diminta oleh kerajaan persekutuan bagi memastikan royalti minyak tersebut dapat disalurkan kepada negeri Terengganu,” ujarnya.
Untuk rekod, setakat Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dilaporkan sepatutnya memulangkan wang royalti kira-kira RM1.5 bilion yang menjadi hak rakyat Terengganu.
Bagaimanapun, kerajaan negeri dilaporkan hanya menerima RM510 juta dan ia adalah bayaran paling rendah berbanding tahun sebelumnya, iaitu sejak 2018 hingga 2022.
29 Jun 24
1168
JPKK Taman Perumahan Gong Pauh Juara Kereta Berhias
KEMAMAN, 29 Jun - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Perumahan Gong Pauh dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Kenderaan Berhias Peringkat JPKK Bagi Daerah Kemaman Tahun 2024, semalam.
Dalam majlis yang diadakan di Padang Astaka Kemaman itu, JPKK Taman Perumahan Gong Pauh membawa pulang hadiah cek cura bernilai RM3000 dan sijil penyertaan.
Tempat kedua dimenangi oleh JPKK Felda Kertih dengan hadiah berupa cek cura bernilai RM2000 dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga pula dimenangi JPKK Geliga Jambatan dengan hadiah cek cura bernilai RM1000 dan sijil manakala JPKK Air Putih Zon C (RM600), JPKK Geliga Permai (RM500), JPKK Pengkalan Pandan (RM400), JPKK Bakau Tinggi (RM350), JPKK Air Putih Zon B (RM300), JPKK Geliga Baru (RM250) dan JPKK Pekan Kerteh (RM200) masing-masing di kedudukan keempat hingga kesepuluh.
Pertandingan kenderaan berhias ini merupakan anjuran bersama oleh Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Kemaman dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.
Terdahulu, semua kenderaan ini dibawa berarak mengelilingi bandar Cukai untuk dipamerkan kepada warga di daerah ini dimana majoriti mereka berkumpul di sepanjang laluan perarakan berlangsung dan masing-masing kelihatan begitu teruja dengan perarakan kenderaan berhias ini.
Kenderaan berhias Daerah Kemaman yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu turut menjadi tumpuan utama masyarakat di sini.
Turut dipamerkan dalam perarakan ini iaitu beca berhias milik EPIC Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn.Bhd.
29 Jun 24
1592
Terengganu Sebelah Kaki ke Separuh Akhir Piala FA
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Terengganu sebelah kaki ke separuh akhir Piala FA selepas mengaibkan Sabah dengan jaringan 4-0 pada saingan suku akhir 1 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus sebentar tadi.
Manuel Ott muncul wira sang penyu apabila menjaringkan satu gol dan dua bantuan gol di hadapan hampir 16 ribu penyokong.
Sang Badak yang dibarisi ramai pemain kebangsaan terlebih dahulu melancarkan serangan ke kubu Terengganu, namun ketenangan pertahanan tuan rumah menghampakan pelawat.
Tersentak dengan amaran Sabah, skuad kendalian Badrul Afzan membalas dengan beberapa gerakan menarik.
Hasilnya, pada minit ke-9, kombinasi satu dua Safawi Rasid dan Manuel Ott memerangkap Dominic Tan sekali gus membolehkan Ott menjaringkan gol pembukaan dengan 'taping' mudah.
Sabah memberi respons dengan serangan pantas, namun percubaan, Telmo Castanheira, Saddil Ramdani dan Ramon Machado tersasar dari pintu gol sang penyu yang dikawal Syed Nasrul Haq.
Sedang rancak anak buah Ong Kim Swee mencari jaringan penyamaan, Terengganu melakukan serangan balas yang menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-37.
Gerakan Azam Azmi dan Ott yang tenang memperdaya dua pertahanan Sabah berjaya disudahkan Ismaheel Akinade.
Belum sempat Sabah memperkemaskan permainan, berselang lima minit kemudian, stadium kembali bergema dengan sorakan tuan rumah selepas rembatan separa voli Marin Pilj menewaskan Khairul Fahmi buat kali ketiga.
Gol itu hadir hasil hantaran silang Azam yang gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh pertahanan Sabah.
Jaringan itu ternyata melenyapkan semangat Sabah hingga membolehkan Terengganu terus menguasai permainan.
Kelalaian itu membawa padah, Terengganu menambah derita Sabah dengan gol keempat pada masa tambahan separuh masa pertama.
Akinade menutup mulut pengkritik apabila rembatan kaki kirinya hasil hantaran Ott memberi bekalan selesa untuk skuad penyu mengakhiri babak pertama.
Bersambung babak kedua, Terengganu menukar strategi dengan mengendurkan sedikit permainan dan menanti serangan balas.
Ini menyaksikan Sabah mendominasi permainan dengan beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun ketumpulan barisan depan menghampakan peminat Sabah.
Pada minit ke-70, hasil serangan bertubi-tubi, skuad Borneo itu hampir memecah kebuntuan, namun pengadil membatalkan jaringan Machado selepas dikesan terlebih dahulu menolak Safwan Mazlan.
Terengganu yang sesekali menyerang kubu Sabah turut mendapat peluang pada minit ke-84 dan 85 menerusi Nurillo Tukhtasinov dan Azam Azmi, tetapi dinafikan Khairul Fahmi.
Beberapa minit sebelum perlawanan tamat, Sabah melancarkan serangan bertali arus, namun masih gagal menewaskan Syed Nasrul Haq,
keputusan 4-0 kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Terengganu membawa bekalan selesa ke Likas Sabtu depan.
28 Jun 24
539
31 Keluarga Asnaf Terima Sumbangan
Oleh: Muhammad Zamarul hishyam
BESUT, 28 Jun - Kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyantuni golongan asnaf menerusi program temu mesra dan kasih prihatin 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, ia merupakan satu lagi inisiatif penting dalam usaha memastikan nasib golongan memerlukan terutama asnaf mendapat perhatian serta bantuan yang terbaik.
Katanya, untuk siri pertama seramai 31 keluarga asnaf dari daerah Besut menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
"Kecil bagi kita tetapi besar nilainya bagi mereka yang memerlukan.
"Pada hari ini mereka akan menerima sumbangan wang tunai serta barangan makanan asas dengan jumlah Rm 500 satu keluarga,” ujarnya kepada pemberita.
Tambah Maliaman lagi, program tersebut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), NGO Wargakilang serta pihak-pihak berkaitan.
Menurutnya, program itu juga akan diteruskan ke daerah-daerah lain dari semasa ke semasa melibatkan golongan asnaf di Terengganu.
Sementara itu, salah seorang penerima, Rogayah Rifin, 52, berkata sumbangan yang diterima dapat meringankan beban kerana dia masih mempunyai tujuh orang anak yang perlu ditanggung olehnya.
"Syukur Alhamdulillah atas keprihatinan semua pihak...terima kasih kerana membantu kami sekeluarga," ujarnya.
Manakala bagi Norwahidaa Wani yang merupakan seorang ibu tunggal berkata sumbangan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan hariannya.
28 Jun 24
156
PETRONAS Tingkat Kemahiran Komuniti
KEMAMAN, 28 Jun- PETRONAS melalui program Menyemai Masa Hadapan- Ke Arah Masyarakat Mampan, menganjurkan siri Bengkel Peningkatan Kemahiran Kitar Semula Minyak Masak Terpakai 2024.
Pengurus Kanan, Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohd Munawir Mahdun berkata, bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada usaha PETRONAS meningkatkan kesedaran masyarakat setempat terhadap pengurusan sisa buangan yang betul.
"Di samping pendedahan kepada amalan ekonomi kitaran (circular economy), ianya juga diharap mampu meningkatkan kemahiran di dalam pengurusan sisa buangan pepejal yang sistematik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup bengkel yang disempurnakan oleh Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat di Pusat 3R, Kemaman, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Fadli Yusof.
Katanya, projek rintis impak sosial terbabit dilaksanakan dengan Kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan Majlis Perbandaran Kemaman.
"Program yang berjalan selama dua bulan ini melibatkan 40 peserta terdiri daripada anggota komuniti terpilih.
"Sepanjang mengikuti bengkel, peserta dididik bagaimana menukarkan minyak masak terpakai kepada produk yang lebih berharga.
"Ia secara tidak langsung memberi peluang menjana pendapatan kepada masyarakat disamping lebih peka terhadap kesan sisa buangan kepada alam sekitar, " ujarnya.
28 Jun 24
192
Terengganu Fokus Tiga Jenis Sisa Buangan
KEMAMAN, 28 Jun - Terengganu memberi fokus kepada tiga jenis buangan iaitu minyak masak terpakai, plastik dan tekstil.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, secara keseluruhannya 100 orang peserta daripada komuniti yang terpilih telah mengikuti siri bengkel latihan di mana mereka telah diajar tentang pengenalan dan pengasingan bahan buangan terpakai serta penghasilan produk daripada bahan buangan.
Katanya, beberapa siri bengkel latihan untuk tekstil dan bengkel latihan ‘precious plastics’ akan berjalan sehingga awal Julai.
"Melalui inisiatif ini, kami berharap akan muncul lebih banyak peluang yang berpotensi untuk membantu komuniti dalam menjana pendapatan sampingan melalui penjualan produk yang berjaya dihasilkan.
"Untuk aktiviti terakhir, pihak kami akan mengadakan program kesedaran alam sekitar di sekolah-sekolah yang terpilih mulai dari bulan Julai,"ujarnya.
Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Ekonomi Kitaran (Minyak Masak Terpakai) 2024 yang telah berlangsung di 3R Centre, Jalan Feri Lama, hari ini.
Katanya lagi, bengkel yang telah diadakan itu merupakan salah satu kempen kesedaran kepada semua bagi menjaga kebersihan persekitaran yang melibatkan rakan strategik, rakan kongsi dan komuniti.
Tambahnya, pengisian program tersebut berkait rapat dengan aktiviti masyarakat setempat.
"Semua usaha murni ini mestilah dijalankan secara berterusan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.
"Penglibatan semua pihak dalam menyumbang barang buangan terpakai seperti sumber plastik, minyak masak terpakai dan tekstil secara berterusan bagi kegunaan komuniti untuk menghasilkan produk amatlah dialu-alukan," ujarnya lagi.
Program tersebut merupakan anjuran oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Yayasan Hijau Malaysia(YHM) dan Impaclution Sdn. Bhd. dan telah disambut baik oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).
28 Jun 24
407
Pelancong 'Makin Laju' Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun- Suku pertama tahun 2024 merekodkan lebih 1.5 juta pengunjung dan pelancong bertandang ke negeri Terengganu, melebihi sasaran awal ditetapkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris yakin, perkembangan itu membolehkan Terengganu mencapai sasaran kehadiran 4.5 juta pelancong menjelang hujung tahun ini.
"Pada suku pertama, saya melihat ia (kehadiran pengunjung) agak 'laju' ke depan, lebih sedikit daripada 1.5 juta.
"Pelancong ini ada dua kategori, satu dipanggil pelancong iaitu yang bermalam dan pengunjung bagi individu yang datang secara 'day trip'. Bagi pelancong, masih laig tidak seperti kita jangka tetapi ramai yang masuk secara 'day trip'. Kedua-dua kategori yang dijumlahkan dan kita telah mencapai sasaran untuk suku pertama.
"Cuma untuk separuh tahun ini saya tidak tengok dan kira lagi. Tetapi, saya yakin jika kita tengok (trend) 'Terengganu dok rilek' ini kita akan capai sasaran itu, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 di Dataran Shahbandar, petang semalam.
Menurutnya, program berkenaan bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta melibatkan 106 kelab motosikal termasuk dari luar negara dengan sasaran kehadiran 15,000 pengunjung pada hujung minggu ini.
TIBW 2024 juga menyajikan kelainan kali ini dengan pelbagai aktiviti serta program menarik sesuai untuk segenap lapisan umur.
Kerjasama East Coast Motorcycle Club (ECMC) bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu bakal memperagakan pertunjukan dan aktiviti kebudayaan seperti batik dan sebagainya, selain program berunsur keagamaan.
27 Jun 24
3527
280 Pelajar Cemerlang SPM DUN Cukai Disantuni
KEMAMAN, 27 Jun - Seramai 280 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai telah diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Seri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata majlis seperti itu telah diadakan setiap tahun bagi menghargai pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan sekaligus telah mengharumkan nama DUN Cukai.
"Saya difahamkan, 280 orang ini menetap di sini dan mewakili 23 buah sekolah yang berlainan termasuk sekolah yang berada di luar daerah telah mendapat keputusan 5A hingga 12A.
"Semoga majlis yang kita adakan pada hari ini dapat menggembirakan hati semua pelajar yang telah berusaha untuk mencapai kejayaan seperti ini seterusnya memberi suntikan semangat kepada pelajar lain untuk berjaya pada masa akan datang," katanya ketika merasmikan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2023.
Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai bermula RM100 sehingga RM500 mengikut jumlah "A" yang diperolehi serta cenderahati.
27 Jun 24
346
RM40,000 Atasi Masalah Parkir Bot di Jeti Marang
MARANG, 27 Jun – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40,000 bagi menangani masalah parkir bot ketika air surut di kawasan Jeti Utama Marang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peruntukan itu bertujuan untuk mendalamkan kawasan jeti dan membuang sisa-sisa kontraktor lama, supaya keadaan jeti kembali seperti asal dan dapat digunakan dengan selamat oleh para pengusaha bot dan pelancong.
“Kita telah bersetuju untuk menggunakan sumbangan sebanyak RM40,000 bagi mendalamkan kawasan jeti di Jeti Utama Marang.
“Usaha ini melibatkan pembersihan sisa-sisa kontraktor lama untuk memastikan kawasan jeti boleh digunakan seperti sediakala dan dapat menampung parkir bot dengan lebih baik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media Lawatan Kerja Exco Pelancongan dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini hari ini.
Tambah Razali, Inisiatif itu diambil setelah pihak kerajaan negeri menerima aduan daripada pengusaha bot mengenai kesukaran untuk memarkir bot ketika air surut.
“Dengan langkah ini, diharapkan masalah tersebut dapat diselesaikan dan para pelancong serta pengusaha bot dapat menikmati kemudahan yang lebih baik serta lebih selamat.
“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan lagi kemudahan serta keselamatan bagi para pengusaha bot dan pelancong yang berkunjung ke destinasi popular tersebut,"ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Peniaga Pulau Kapas dan Pulau Gemia Marang, Zakaria Sulong, turut menyambut baik langkah berkenaan.
Menurutnya, semasa air surut, bot terpaksa diikat di floating jeti kerana bot tidak boleh disimpan di tempat yang sepatutnya.
“Masalah ini menyebabkan kesulitan kepada pengusaha bot, terutama ketika waktu puncak pelancong.
"Dengan usaha mendalamkan jeti ini, diharapkan masalah tersebut dapat diselesaikan dan memudahkan urusan pengusaha bot,” katanya.
27 Jun 24
220