lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

RM16.5 Juta Dirampas, 123 Ditahan
RM16.5 Juta Dirampas, 123 Ditahan
KUALA TERENGGANU, 8 Julai- Hasil laut dan bot bernilai RM16.5 juta dirampas serta 123 nelayan asing telah ditahan sepanjang tahun ini oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid memaklumkan, keseluruhan nilai rampasan tersebut melibatkan 15 kes tangkapan vesel nelayan asing Vietnam di perairan negeri Terengganu. Tambahnya, Maritim Negeri Terengganu telah berjaya menahan dua lagi vesel nelayan asing Vietnam di kedudukan 95.01 batu nautika Tenggara Muara Terengganu sekitar jam 3.30 hingga 3.50 petang pada Khamis lalu. "Kedua-dua vesel tersebut ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara. "Seramai 20 orang kru termasuk tekong telah diperiksa, didapati tidak memiliki pengenalan diri yang sah serta melakukan aktiviti perikanan tampa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. "Nilai rampasan kedua-dua vesel terbabit dianggarkan berjumlah RM30 juta," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini. Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut kru dan tekong berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.  
08 Jul 24
1150
Penjawat Awam Perlu Jaga Kerahsiaan Maklumat
Penjawat Awam Perlu Jaga Kerahsiaan Maklumat
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan menjaga intergriti dan memelihara kerahsiaan supaya tidak membocorkan maklumat kepada pihak ketiga khususnya melalui aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata justeru itu, penjawat awam perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlalu ghairah berkongsi sebarang maklumat sama ada dokumen atau keputusan yang masih dikategorikan sebagai rahsia dan sulit. “Kita sebagai penjawat awam bertanggungjawab menguruskan pelbagai dokumen rasmi kerajaan termasuk dokumen-dokumen terperingkat seperti dokumen terhad, sulit, rahsia dan rahsia besar. “Oleh yang demikian, melalui pelaksanaan program AKKP ini, kita dapat memastikan pengurusan kerahsiaan dokumen tersebut mengikut prosedur yang telah digariskan oleh kerajaan agar tiada kebocoran dan ketirisan maklumat yang akan memberi impak yang besar kepada kerajaan negeri,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap Sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2024, di sini hari ini. Dalam majlis tersebut, seramai 20 orang penerima APC Bulanan WDI yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian dan unit dalam Wisma Darul Iman akan menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500.00 berserta sijil penghargaan. Selain itu, sebanyak 22 jabatan di bawah Pentadbiran Negeri Terengganu yang telah menyertai Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) pada tahun lepas dan Terengganu merupakan negeri yang mempunyai penyertaan yang paling banyak di antara negeri-negeri yang lain turut menerima penghargaan. Dalam masa sama, Tengku Seri Bijaya Raja juga meraikan pencapaian Pejabat SUK Terengganu di atas kejayaan menerima penarafan lima bintang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) 2023 dan Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting Tahun 2023.
08 Jul 24
369
Tambah Menara Telekomunikasi Baharu di Kawasan LPT2- Hanafiah
Tambah Menara Telekomunikasi Baharu di Kawasan LPT2- Hanafiah
KUALA TERENGGANU, 8 Julai- Kerajaan negeri memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menambah projek pembinaan menara telekomunikasi khususnya di kawasan jajaran lebuh raya LPT2 bagi memperluas rangkaian internet di negeri ini. Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia susulan kejayaan anak syarikat Theta Edge Berhad iaitu Theta Telecoms Sdn Bhd yang telah berjaya membina sebanyak 46 menara telekomunikasi baharu di Negeri Terengganu melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1. Katanya, kerajaan negeri amat berharap usaha sebegini dapat diteruskan dan ditambah lagi memandangkan masih banyak kawasan lain yang memerlukan perhatian dari segi liputan telekomunikasi khususnya kawasan jajaran lebuh raya LPT2 selain kawasan-kawasan tumpuan pelancongan, dan juga kawasan luar bandar yang masih belum mempunyai liputan yang memadai. "Kerajaan negeri melalui Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOMM) akan sentiasa memantau dan membantu pelaksanaan berkenaan telekomunikasi bagi memastikan ia berjalan lancar.  "Pihak negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak yang terlibat bagi mencapai matlamat ini, " ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemuktamadan Penyerahan 46 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jendela Fasa 1 di Menara Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, baru-baru ini. Sementara itu Hanafiah yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam projek pembinaan 46 menara telekomunikasi baharu itu. "Kami sangat menghargai usaha yang dilakukan terutamanya oleh MCMC dalam melaksanakan projek Universal Service Provision (USP) yang merangkumi inisiatif JENDELA, Major Contributor (MC), dan juga Clawback (CB).  "Projek-projek sebegini amat penting bagi  memastikan liputan telekomunikasi di kawasan ‘non-commercial’ dan jajaran lebuh raya dapat dipertingkatkan. "Projek ini banyak memberi makna kepada Negeri Terengganu. Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan telekomunikasi yang lebih baik, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui peningkatan infrastruktur," ujarnya.
08 Jul 24
341
Rakyat 'Tegur Kerajaan' di Sungai Bakap
Rakyat 'Tegur Kerajaan' di Sungai Bakap
KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan ucapan tahniah atas kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, semalam. Menurutnya, walaupun peratusan keluar mengundi sedikit menurun berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail berjaya mempertahankan kerusi kawasan itu dengan majoriti lebih besar iaitu 4,267 undi, berbanding 1,563 undi. "Tentunya (kemenangan ini) berkait dengan testimoni rakyat yang ingin menyatakan pendirian mereka tentang penolakan beberapa isu yang ada di negara kita ini, antara isu yang ada di Sungai Bakap ialah isu air, subsidi diesel dan yang paling utama terangkum dalam semua itu adalah kos sara hidup yang menekan keseluruhan rakyat terutama para pengundi di Sungai Bakap," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya sebagaimana pernah diucapkannya sebelum ini, suasana gerak kerja jentera di Sungai Bakap dilihat lebih meningkat berbanding PRK-PRK sebelum ini dibantu model baharu yang dilaksanakan pihak PN. "Kita lihat kerjasama yang lebih tersusun di kalangan petugas parti, lebih kurang kami sudah mendapat rentak untuk pilihanraya akan datang. "Modal yang dilaksanakan Alhamdulillah lebih berkesan, sekiranya wujud pilihan raya lain seperti Nenggiri dan kemungkinan pilihan raya di peringkat parlimen, model yang sama akan digunakan," ujarnya. Ketika ditanya tentang persediaan PN bagi menghadapi PRK Nenggiri selepas ini, Dr Samsuri memaklumkan pihak parti belum memuktamadkan sebarang keputusan untuknnya. "Belum lagi, sebab saya rasa masing-masaing ingin melihat keputusan di Sungai Bakap sebelum kita berbincang (lanjut) tentang PRK Nenggiri," katanya.
07 Jul 24
217
Mantan Johan Qariah Antarabangsa Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Mantan Johan Qariah Antarabangsa Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1420H/1999, Masnah Awang, 73 tahun dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu bagi tahun ini. Lebih mesra dengan panggilan 'Mek Wook', Masnah melibatkan diri dalam bidang taranum al-Quran sejak 1966 dan menyertai Majlis Tilawah Al-Quran dari tahun 1985 hingga 2004. Dengan pengalaman luas yang dimiliki, ibu kepada lapan orang anak ini berkhidmat sebagai guru al-Quran di bawah Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selain berperanan sebagai tenaga pengajar di Pejabat Daerah Marang. Bagi menghargainya, pihak kerajaan telah menganugerahkan beberapa pingat antaranya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1997 dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) pada tahun 2000. Hasnah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu 2024 yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman pagi ini. Selain menerima trofi, Masnah turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM20,000. Ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Masnah merakam rasa terharu atas penghargaan yang diterimanya. Beliau turut menyifatkan usahanya kini hanyalah untuk terus menyuntik semangat kepada generasi muda untuk menanam minat mendalami al-Quran.  
07 Jul 24
733
Hijrah : Perjalanan 460 Kilometer Penuh Hikmah, Ibrah
Hijrah : Perjalanan 460 Kilometer Penuh Hikmah, Ibrah
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal sejauh 460 kilometer dari Makkah ke Madinah, tetapi juga sebuah perjalanan yang penuh dengan hikmah dan ibrah. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata bahawa hijrah merupakan perjuangan besar Rasulullah SAW dan para sahabat untuk memastikan kelestarian agama Islam di muka bumi ini. “Sejarah Islam merekodkan bahawa hijrah dilakukan berdasarkan perancangan yang begitu teliti dan rapi dalam menempuh perjalanan sejauh lebih 460 kilometer ini. “Bermula dengan perancangan untuk keluar daripada Makkah tanpa pengetahuan pihak musuh sehinggalah kepada perancangan bagaimana untuk sampai ke Madinah dengan selamat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini. Dr Khalil turut menjelaskan bahawa Rasulullah SAW memastikan individu yang terlibat dalam peristiwa hijrah adalah mereka yang benar-benar mempunyai kelayakan dan boleh dipercayai. “Peristiwa hijrah menunjukkan kepada kita kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi dalam menempuhi kesukaran untuk melaksanakan perintah Allah SWT. "Hijrah juga membuktikan pergantungan atau tawakal yang amat kuat oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. kepada Allah SWT. “Pergantungan atau tawakal yang amat kuat ini amat sukar untuk dilestarikan dan dizahirkan oleh sesiapa pun melainkan oleh mereka yang memiliki akidah yang benar dan sahih, yang tidak ternoda dengan sebarang bentuk keraguan atau syak kepada Allah SWT. “Hanya akidah yang lurus dan benar sahaja yang dapat melahirkan kekuatan dalaman yang sedemikian teguh dan kukuh dalam menghadapi ujian-ujian seperti yang dialami oleh Baginda SAW dan para sahabat r.a. dalam peristiwa hijrah,” ujarnya. Beliau berkata, kerajaan negeri mengajak umat Islam untuk menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai tauladan dan ikutan dalam mendepani ujian dan cabaran hidup di zaman yang mencabar ini. “Hijrah dalam tradisi Islam memberikan maksud yang sangat besar dalam kehidupan umat Islam keseluruhannya. “Hal ini kerana peristiwa hijrah yang telah berlaku adalah sarat dengan pelbagai sejarah, hikmah dan ibrah kepada kesemua yang berakal dan terbuka mata hatinya. “Sebagai mengakhiri ucapan saya, marilah sama-sama kita menghayati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW untuk dijadikan tauladan dan ikutan kita dalam mendepani ujian dan cabaran hidup di zaman yang cukup mencabar ini. Selamat menyambut Maal Hijrah 1446,” katanya.  
06 Jul 24
214
46 Menara Telekomunikasi Baharu Di Terengganu
46 Menara Telekomunikasi Baharu Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Anak syarikat Theta Edge Berhad iaitu Theta Telecoms Sdn Bhd telah berjaya membina sebanyak 46 menara telekomunikasi baharu di Negeri Terengganu melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, syarikat sangat memahami kepentingan projek tersebut dan teruja dapat menyiapkan pembinaan menara baharu itu mengikut jadual yang ditetapkan pada tahun 2023. Menurutnya, usaha dan komitmen syarikat sepanjang proses pembinaan menara baharu itu diharap dapat membantu operator rangkaian mudah alih memperluaskan lagi liputan 4G di kawasan luar bandar untuk manfaat rakyat. "Sebagai syarikat yang membangun, kami berbesar hati kerana dapat merealisasikan agenda kerajaan dalam memperluaskan kesalinghubungan digital untuk rakyat di negeri ini.  "Kami berbangga dapat menjadi rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi inisiatif ini dan berpeluang menawarkan kepakaran dalam menyediakan kemudahan infrastruktur tersebut," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemuktamadan Penyerahan 46 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jendela Fasa 1 yang dirasmikan oleh Pengerusi Infrastruktur, Utiliti Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat di Menara Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, hari ini. Majlis itu juga bertujuan meraikan pencapaian 100 peratus pelaksanaan tapak Jendela Fasa Satu yang sudah siap dibina dan dibangunkan oleh Theta Telecoms Sdn Bhd pada tahun 2023. Mengulas lanjut,  Nuraslina berkata, penyediaan perkhidmatan akses jalur lebar yang kondusif adalah keutamaan syarikat dalam menuju ke arah era pendigitalan khususnya di Negeri Terengganu kerana capaian internet dapat memudahkan urusan harian rakyat dan meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat. "Paling penting, ia dapat memperkukuhkan keyakinan pelabur khususnya sektor perindustrian melalui pembangunan ekonomi digital serta melonjakkan lagi industri pelancongan di Terengganu. "Antara pembinaan menara baharu yang unik ialah di Pulau Tenggol, Dungun kerana ia mengambil masa selama 150 jam dan meliputi jarak sejauh 83.3 kilometer dari jeti di Kuala Terengganu. "Menara setinggi 60 meter ini berjaya dibina dalam tempoh tiga bulan dan banyak cabaran telah dilalui sepanjang proses tersebut namun kami berbangga dapat melaksanakannya dengan sempurna," katanya.
05 Jul 24
788
'90 Peratus Peniaga Pasar Payang 1 Sudah Bayar Deposit'
'90 Peratus Peniaga Pasar Payang 1 Sudah Bayar Deposit'
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif, mengumumkan bahawa 90 peratus daripada 110 peniaga yang menerima surat tawaran untuk berniaga di Pasar Payang 1 telah membayar deposit bagi membolehkan mereka mengambil kunci lot perniagaan baharu di kompleks tersebut. Beliau berkata, setakat ini, hanya 10 peratus peniaga yang belum membayar deposit dan peniaga yang menerima tawaran itu adalah peniaga sedia ada di Pasar Payang lama. “Mereka berhak untuk menolak tawaran tersebut, dan jika ditolak, tawaran akan diberikan kepada mereka yang berminat untuk berniaga di lokasi baharu itu,” katanya memetik laporan berita Sinar Harian pada program Eksplorasi Gelombang Kasih Sejagat di Pantai Pandak Chendering pada Jumaat. Rosli berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengekalkan kadar kenaikan sewa bagi kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1 sebagaimana diputuskan sebelum ini. Beliau menegaskan bahawa bayaran sewa di pusat perniagaan baharu itu akan mula dikenakan pada 1 Ogos depan. “Kita memutuskan untuk mengekalkan kadar sewa baharu terhadap peniaga sebagaimana yang dimaklumkan menerusi surat tawaran yang diedarkan kepada mereka sebelum ini. Keputusan itu diambil hasil mesyuarat yang dijalankan oleh pihak MBKT sebelum ini. “Tempoh pembukaan Pasar Kedai Payang 1 akan dilanjutkan atas beberapa faktor, termasuk pengubahsuaian ruangan sutera dan batik di tingkat satu kompleks perniagaan baharu tersebut,” jelasnya. Menurutnya, jumlah lot yang tersedia tidak mencukupi untuk menampung semua peniaga batik sutera yang berjumlah 244 orang, sedangkan hanya terdapat 218 lot sahaja. “Kita baharu dapat kelulusan untuk ubah suai tingkat atas bangunan itu. Setakat ini kita ada 244 peniaga batik sutera di ruangan tersebut dan kita hanya ada 218 lot sahaja. “Disebabkan itu, kita akan buat ubah suai dengan membuat penambahan lot kedai yang dijangka siap akhir tahun ini. Jadi ruangan itu dijangka boleh beroperasi pada awal tahun depan,” ujarnya. Terdahulu, segelintir peniaga Pasar Kedai Payang telah merayu supaya MBKT mengkaji semula kadar kenaikan harga sewa ruang niaga di bangunan baharu Pasar Payang 1. Namun begitu, dengan 90 peratus peniaga telah membayar deposit dan bersedia untuk berpindah, proses peralihan ke Pasar Payang 1 kelihatan berjalan lancar. MBKT komited untuk memastikan peniaga dapat memulakan operasi mereka di lokasi baharu dengan secepat mungkin.
05 Jul 24
645
Kerajaan Negeri Pantau Aktiviti di Kawasan Terumbu Karang
Kerajaan Negeri Pantau Aktiviti di Kawasan Terumbu Karang
MARANG, 4 Julai - Kerajaan negeri sedang menguatkuasakan langkah-langkah untuk memantau aktiviti manusia di kawasan terumbu karang bagi mengelakkan kelunturan kritikal terhadap khazanah berharga itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, langkah itu adalah penting dalam usaha memastikan kelestarian terumbu karang yang semakin terancam akibat aktiviti manusia seperti pelancongan dan perikanan. “Pemantauan yang berterusan akan membantu kita mengenal pasti impak negatif yang mungkin berlaku terhadap ekosistem terumbu karang kita. “Kami sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan setiap aktiviti manusia di kawasan ini berada dalam sempadan yang selamat dan berkesan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Perasmian 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 bertempat di Jeti Marang di sini semalam. Tambah Razali, sistem pemantauan akan meliputi penggunaan teknologi terkini seperti drone dan sistem penglihatan bawah air untuk mengawasi dan merekodkan keadaan terumbu karang secara sistematik. “Selain itu, kami juga akan menggalakkan kesedaran awam melalui kempen-kempen pendedahan dan pendidikan, serta memperkenalkan peraturan-peraturan yang lebih ketat bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan perlindungan terumbu karang. “Rencana ini turut melibatkan kerjasama dengan komuniti tempatan dan penggiat industri pelancongan untuk memastikan setiap tindakan yang diambil tidak hanya berkesan tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi tempatan. “Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kami yakin bahawa kelestarian terumbu karang kita dapat dijaga dengan baik untuk generasi akan datang,” ujarnya. Untuk rekod, menurut Department of Fisheries (DOF), lebih 50 peratus terumbu karang terjejas telah dikesan, antaranya di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu. “Kelunturan batu karang, disebabkan kenaikan suhu air laut, disebabkan oleh perubahan suhu (climate change). “Kelunturan batu karang adalah suatu fenomena yang memerlukan kepada perhatian kerana apabila karang ini mati, terumbu jarang kembali,” jelasnya.  
04 Jul 24
282
Candat Sotong : 500 Bot Turun ke Laut Setiap Hari
Candat Sotong : 500 Bot Turun ke Laut Setiap Hari
MARANG, 4 Julai - Dianggarkan hampir 500 bot turun ke laut setiap hari dengan lebih 5,000 pencandat yang mengambil bahagian dalam aktiviti mencandat sotong di sekitar Pulau Kapas dan lokasi-lokasi pilihan lain di Terengganu pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Program 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 berjaya menarik lebih 250 peserta dari seluruh Terengganu untuk menyertai Pesta Candat Sotong yang berlangsung di perairan Pulau Kapas hari ini. Menurutnya, usaha Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan program tersebut adalah untuk mengembalikan populariti musim mencandat sotong dengan melibatkan seluruh daerah. "Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada penggiat industri pelancongan untuk bersatu dalam aktiviti yang dinanti-nantikan ini, tetapi juga memperluaskan fokus kepada lokasi mencandat lain di seluruh Terengganu, termasuk Pulau Perhentian, Besut dan Pulau Chepu, Setiu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian 'Soft Launching' Musim Candat Terengganu 2024 bertempat di Jeti Marang di sini semalam. Tambah Razali, program itu secara tidak langsung untuk memberi rangsangan ekonomi kepada pelbagai sektor seperti pengusaha bot nelayan, pengusaha hotel dan resort, serta peniaga tempatan. "Aktiviti mencandat sotong yang popular bermula pada waktu senja sehingga awal pagi menarik minat pelancong tempatan dan luar negara. "Program ini adalah langkah positif dalam usaha untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan negeri ini dengan lebih merata ke seluruh daerah, seiring dengan saranan kerajaan untuk memperluaskan kepelbagaian destinasi pelancongan di Terengganu," ujarnya.  
04 Jul 24
1363