lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

0.279 Saat 'Pisahkan' Emas Amer
0.279 Saat 'Pisahkan' Emas Amer
KUCHING, 22 Ogos- Jurang 0.279 saat menjadi taruhan sengit buat kem berbasikal Terengganu yang terpaksa akur dengan meraih pingat perak bagi acara Down Hill Individu di SUKMA XXI. Pada acara yang berlangsung di Bukit Siol DBKU semalam, pelumba Hanelang Bangkit, Amer Akhbar Anuar menamatkan perlumbaan sejauh 1.2km dengan catatan masa 01:48.412 terpaksa melepaskan pingat emas kepada pelumba Pahang, Tengku Mukhriz Tengku Mansor yang meraih catatan masa sedikit pantas 01:48.133. Manakala pingat gangsa milik pelumba Pulau Pinang, Aaron Iman Kennedy dengan catatan masa 01:57.695. “Saya terpaksa akur untuk jurang masa yang teramat sedikit dengan keputusan hari ini.  "Di mana sasaran sebenar saya adalah pingat emas di litar Bukit Siol ini. "Cuaca hujan lebat seawal pagi sememangnya memberi cabaran tambahan kepada setiap pelumba termasuk saya di mana kita boleh lihat beberapa pelumba terlibat dalam kemalangan kecil berikutan litar yang berlecak dan licin," katanya. Amer kini telah menghadiahkan dua pingat buat kontijen Terengganu. Untuk rekod, terdahulu beliau menghadiahkan pingat emas bagi acara BMX kepada kontijen Hanelang Bangkit sekaligus mendominasi jumlah punggutan pingat keseluruhan bagi acara berbasikal SUKMA Sarawak 2024. Sehingga kini, skuad berbasikal Terengganu  masih mendominasi pungutan pingat terbanyak bagi acara berbasikal dengan meraih lima pingat emas, dua perak dan tiga gangsa menghimpunkan keseluruhan sebanyak 10 pingat.  
22 Aug 24
296
Terengganu Juara Bertahan KESSUMA 2024
Terengganu Juara Bertahan KESSUMA 2024
KUALA NERUS, 22 Ogos - Kontinjen  Terengganu terus mengungguli  Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-23 tahun 2024 apabila dinobatkan juara keseluruhan sekaligus mengekalkan kemenangan untuk dua tahun berturut-turut. KESSUMA yang berlangsung mulai  19 hingga 22 Ogos 2024 di Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA),  menyaksikan penyertaan dari 12 negeri dengan keseluruhan kontinjen melebihi 2,200 peserta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, kerajaan negeri berpuas hati atas kecemerlangan yang dipamerkan oleh peserta kontijen dan kejayaan yang telah diraih pada kali ini. “Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian, di semua peringkat bermula dari peringkat sekolah, daerah, negeri sehinggalah di peringkat kebangsaan atas kejayaan penganjuran KESSUMA. “Tahniah kepada tuan rumah kerana menjuarai KESSUMA kali ini dengan tiga pingat emas, satu perak dan empat gangsa sekaligus melakar kejayaan dalam mempertahankan kejuaraan dua tahun secara berturut-turut  dan berharap meneruskannya untuk tahun depan di Kedah,”ujarnya kepada pemberita. KESSUMA merupakan aktiviti tahunan bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang bernaung di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK).  
22 Aug 24
9402
14,457 Penjawat Awam Terengganu Bakal Naik Gaji
14,457 Penjawat Awam Terengganu Bakal Naik Gaji
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos -  Pelarasan gaji untuk kira-kira 14,457 penjawat awam negeri Terengganu akan dilaksanakan seperti kenaikan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, berkata kadar kenaikan dibuat sama seperti jumlah dilaksanakan kepada penjawat awam Persekutuan. Menurutnya, sejak dulu lagi, Terengganu tidak pernah gagal untuk mengikut Pekeliling berkaitan dengan pelarasan gaji kepada penjawat awam. "Bermula dengan pelarasan gaji daripada Skim Gaji Kabinet kepada Skim Saraan Baru, Skim Saraan Malaysia hingga lah sekarang. "Cuma kebiasaannya, kerajaan akan memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada mahu mengikut skim baharu atau nak kekal skim lama..., jadi kena tengok Pekeliling dahulu," katanya kepada pemberita. Mengulas lanjut, Tengku Farok berkata, kenaikan gaji penjawat awam perlu dipandang dari sudut yang positif kerana pelarasan kali terakhir yang dilakukan ialah lebih 10 tahun lalu. "Mengambil kira situasi ekonomi semasa, kenaikan gaji penjawat awam adalah wajar dilaksanakan dan serentak itu, mereka perlu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat pelbagai lapisan," katanya. Ditanya sama ada kerajaan negeri sudah bersedia dengan implikasi kewangan susulan pelarasan gaji penjawat awam tersebut, Tengku Farok optimis untuk Terengganu berusaha mencari sumber kewangan untuk menampung kenaikan tersebut. Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan & Profesional. Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), dengan pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 untuk Fasa 2.
22 Aug 24
2755
Terengganu Gagal Jinakkan Juara Liga Kemboja
Terengganu Gagal Jinakkan Juara Liga Kemboja
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Hasrat skuad Terengganu FC untuk meraih tiga mata penuh pada aksi sulung saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 tidak kesampaian selepas gagal menjinakkan Juara Liga Kemboja sebentar tadi. Turun dengan semangat yang tinggi setelah membuat persiapan rapi berminggu-minggu tidak cukup untuk anak-anak buah Tomislav Steinbruckner melakar kejutan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Terengganu walau bagaimanapun bermula garang dengan asakan awal ke kubu Svay Rieng FC, rembatan padu Mohd Ubaidullah Shamsul pada minit ke-6 hampir membuahkan hasil namun ditangkap kemas penjaga gol lawan. Tersentak dengan serangan tuan rumah, Svay Rieng memperkemaskan permainan dengan serangan-serangan pantas ke kawasan Terengganu. Usaha pelawat membuahkan hasil selepas gol yang dicari akhirnya tiba, 'placing' Gabriel Silva ke sudut kiri gawang selepas menerima hantaran cantik rakannya pada minit ke-12 meletakkan kedudukan 1-0. Terkedu dengan jaringan itu, Terengganu cuba mengatur semula permainan dengan pergerakan lebih teratur. Namun, semangat itu gagal diterjemahkan dengan jaringan sebaliknya dihukum dengan gol kedua Svay Rieng pada minit ke-14. Kelekaan barisan pertahanan Terengganu membawa padah apabila pemain import pelawat, Pablo Agusto meledak untuk memberi kelebihan dua gol. Terengganu cuba bangkit, tetapi ketumpulan penyudah menjadi duri dalam daging. Pelawat yang mencari gol ketiga turut mendapat peluang keemasan, termasuk percubaan pada minit ke-30 oleh Agusto, namun dinafikan palang gol. Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Tomislav membuat pertukaran dengan mengeluarkan Shahrulnizam Roshasni dan memasukkan Matthew Steenvoorden. Perubahan pemain itu tampak berkesan dan memberi tonik baru kepada pasukan apabila Terengganu berjaya mendapatkan gol pertama. Jaringan pada minit ke-55 itu tercipta hasil kawalan bola menarik Ubaidullah yang memperdaya dua pemain lawan sebelum menolak bola tersebut kepada Manuel Ott. Ott yang tidak dikawal, tenang menendang bola masuk gol sudut kanan penjaga gol sekali gus merapatkan kedudukan 2-1. Perlawanan terus berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Dalam keghairahan Terengganu menyerang, Svay Rieng berjaya mencuri bola dan melakukan serangan balas pada minit ke-86. Min Ratanak yang menerima bola tersebut melakukan rembatan di hadapan kotak penalti Terengganu dan gagal dihalang Suhaimi Hussin sekali gus memberi kelebihan 3-1 buat pelawat. Ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan skor 3-1, Terengganu mendapat sepakan penalti selepas pemain gantian, Chijioke dijatuhkan dalam kotak penati oleh penjaga gol lawan. Safawi yang mengambil sepakan tersebut tidak mempunyai masalah untuk menjaringkan gol kedua buat Terengganu. Namun ia sudah terlewat buat pasukan tuan rumah untuk bangkit, kedudukan 3-2 kekal hingga wisel penamat.
21 Aug 24
498
Terengganu Dominasi Kategori Ping Pong Lelaki dan Perempuan Dua Tahun Berturut-turut
Terengganu Dominasi Kategori Ping Pong Lelaki dan Perempuan Dua Tahun Berturut-turut
KUALA NERUS, 21 Ogos - Pasukan ping pong Terengganu sekali lagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa besar sukan tersebut apabila menjuarai kategori lelaki dan perempuan dalam kejohanan kebangsaan untuk dua tahun berturut-turut. Bagi kategori lelaki, Terengganu berjaya menewaskan pasukan lawan dari Kelantan dengan kemenangan mutlak 3-0.  Perseorangan pertama Terengganu, Aqil Danial mempamerkan permainan yang mantap, diikuti oleh kemenangan beregu pertama yang terdiri daripada M. Afif dan NorNafis.  Perseorangan kedua, Khairul Aqil, turut menyumbangkan mata kemenangan, manakala pasangan beregu kedua, M. Shahid dan A. Syakir, serta perseorangan ketiga, Naufal, melengkapkan kemenangan bergaya. Manakala kategori perempuan, Terengganu tidak kurang hebatnya apabila menewaskan lawannya iaitu Kedah dengan keputusan 3-1. Perseorangan pertama, Nurul Aaliya, membuka tirai buat pasukan, diikuti dengan kemenangan beregu pertama, Nur Amiera dan Asmaa.  Manakala perseorangan kedua ialah Fatin Nazura dan beregu kedua iaitu Wardatul dan Kauthar serta perseorangan ketiga Nur Dhia.
21 Aug 24
357
Nelson Bonilla Sah Senjata Baharu Terengganu FC
Nelson Bonilla Sah Senjata Baharu Terengganu FC
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Terengganu FC serius dalam memperkuatkan jentera serangan dalam baki saingan musim 2024/25 apabila sah mengikat penyerang baru penyerang kebangsaan El Salvador, Nelson Bonilla. Pemain ini baru sahaja diperkenalkan secara rasmi malam ini sebelum perlawanan peringkat Kumpulan A Shopee Cup 2024/25 menentang Preah Khan Reach Svay Rieng. Bonilla, yang sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Thailand bersama beberapa kelab ternama seperti Sukhothai FC, True Bangkok United, Port FC, dan Singha Chiangrai United, dilihat sebagai tambahan berharga kepada pasukan Terengganu FC selepas Ivan Mahmut mengalami kecederaan panjang. Selepas meninggalkan Sukhothai FC pada penghujung musim 2023/24, Bonilla kini akan menyertai Terengganu FC. Senjata baru Terengganu FC ini akan menggunakan jersi bernombor 99.
21 Aug 24
1093
Kuartet Muda Terengganu 'Buka Mata' Peminat Sukan
Kuartet Muda Terengganu 'Buka Mata' Peminat Sukan
KUCHING, 21 Ogos- Pertama kali digabungkan, kuartet muda wanita Terengganu berjaya 'membuka mata' ramai pihak apabila memenangi acara 4×400M wanita akhir di Sukan Malaysia SUKMA ke-21, petang semalam. Gandingan Wan Nurnatasha Atiqah Wan Ramli (19 tahun), Nurin Aira Rusdi (17 tahun), Marissa Maisyara Mazlan (16 tahun) dan , Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira (16 tahun) mencatatkan 3:54.83 saat untuk mengatasi gandingan pilihan, Johor di tempat kedua. Pengendali pasukan, Khairul Azman Adnan amat berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya. "Acara ini memang kita punya sasaran, cuma hari ini kita semua patut berterima kasih kepada Izzatul kerana beliau menunjukkan kematangannya. "Pelari terakhir Johor itu adalah pelari senior yang menyertai Sukan Sea, dia menunjukkan kematangan dengan menunggu saat-saat yang paling tepat untuk memotong dan dengan umurnya baru 16 tahun, ia luar biasa," katanya. Jelasnya, catatan masa yang dihasilkan merupakan rekod pertama gandingan tersebut. "Ini kali pertama digabungkan sebab mereka bersekolah di sekolah berlainan. "Semua orang menjangkakan Johor, kita datang sebagai 'underdog' tetapi menyasarkan pingat emas kerana, semua pelari kami sama 'level'. "Puas hati," ujarnya.              
21 Aug 24
1702
KESSUMA, Terengganu Mara ke Separuh Akhir Ping Pong
KESSUMA, Terengganu Mara ke Separuh Akhir Ping Pong
KUALA NERUS, 21 Ogos - Sorakan bergema di Stadium Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) apabila perlawanan sengit di Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESUMMA) dalam acara ping pong layak ke separuh akhir bagi kategori lelaki dan perempuan. Dalam kategori lelaki, Terengganu berjaya melangkah ke separuh akhir dan bakal bertemu Kedah, manakala Pahang akan berentap dengan Kelantan. Bagi kategori wanita, Terengganu akan menentang Selangor, sementara Johor bersiap sedia untuk berdepan Kedah.     Pada perlawanan suku akhir, ping pong lelaki Terengganu beregu dengan Negeri Sembilan mendapat mata 3-0. Pemain perseorangan pertama Mohd Naufal, beregu pertama Haris Irfan dan Muhamad Syahid Hakimi dan perseorangan kedua Khairul Aqil Harith. Manakala Beregu kedua A. Syakir Ikhwan dan Arshad Hadi serta perseorangan ketiga A. Aqil Danial. Sementara itu, bagi kategori ping pong perempuan pula berentap dengan Negeri Pahang mendapat markah 3-2 sewaktu perlawanan suku akhir.     Perlawanan tersebut menyaksikan perempuan perseorangan pertama Nur Amiera Farisya Rofi dan beregu pertama Nur Aliya Najihah Marsani dan Nurina Aisyah Zaimeri dan perseorangan kedua , Fatimah Nazura Mohd Lotfi dan beregu kedua Asma’a Mohd Azmi dan Khauthar Mohd Azmi serta perseorangan ketiga Nur Dhia Zahra Mazli.    
21 Aug 24
534
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Bakal Gegarkan Bumi Terengganu
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Bakal Gegarkan Bumi Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Kerajaan Terengganu bakal mengadakan karnival Indahnya Hidup Bersyariat pada September depan sebagai usaha untuk merancakkan agenda pemerkasaan syariah di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jawatankuasa karnival berkenaan sudah bersiap sedia dan hanya menunggu masa untuk menggegarkan negeri ini dengan pelbagai program acara. "Pelbagai aktiviti dan pengisian akan diadakan seperti qiamullail perdana, subuh macam Jumaat, tadabbur kitab dan cerama perdana. "Semua itu akan disediakan sebagai sajian rohani kepada seluruh rakyat Terengganu. "Sama-sama kita realisasikan 'tagline' Terengganu Maju Berkat Sejahtera dan Indahnya Hidup Bersyariat," ujarnya melalui kenyataan di media sosialnya semalam. Terdahulu, Dr Muhammad Khalil berkata slogan Indahnya Hidup Bersyariat yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada penggal ini sebagai langkah memperkasa serta meninggikan agenda pemerkasaan syariah yang menjadi matlamat kerajaan negeri. Katanya, ia juga sebagai langkah berterusan dalam mengajak rakyat menghayati keindahan ajaran Islam. "Fokus utama pelaksanannya adalah bagi memupuk kesedaran dan melantun keinsafan seluruh rakyat negeri Terengganu tentang peri pentingnya pelaksanaan dan pembudayaan hidup bersyariat. "Sehingga kemuncaknya, kita mahu rakyat merasai sendiri kemanisan dan keindahan tatacara hidup Islam bermula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat seluruhnya," ujarnya.
21 Aug 24
1694
KESSUMA : Pahang Ranapkan Impian Terengganu
KESSUMA : Pahang Ranapkan Impian Terengganu
KUALA NERUS, 21 Ogos - Impian pasukan bola sepak Terengganu untuk melakar kejuaraan pada Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) diranapkan pasukan dari negeri pahang dengan kekalahan tipis 2-1. Dengan menyenaraikan pemain terbaik dalam usaha Sang Penyu untuk memburu kejuaraan pada perlawanan peringkat suku akhir dalam kejohanan yang berlangsung di padang B Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT). Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tindakan kasar pemain Terengganu terhadap pemain Pasukan Pahang telah menyebabkan pengadil memberikan sepakan penalti yang akhirnya disempurnakan oleh penyerangnya, Amin Mohd Rosli pada minit ke-27. Tersentak dengan jaringan gol pihak lawan, Sang Penyu cuba bangkit dengan mengatur strategi dan mencorakkan serangan bagi memastikan harapan ke separuh akhir kembali cerah. Hasilnya, kelekaan pertahan lawan telah memberi peluang kepada pemain sayap Terengganu, Adeeb Firdaus Zainal Abidin menjaringkan sekali gus menyamakan kedudukan pada minit ke-31. Keputusan seri pada babak masa pertama kekal sehingga wisel ditiupkan. Bersambung babak kedua, peluang terhidang buat Sang Penyu apabila hampir menjaringkan gol pada minit ke-39 menerusi Adeeb Hadif namun dipatahkan oleh penjaga gawang Pahang yang meluru keluar dari pintu gol. Pada minit ke-48, tuan rumah akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Tok Gajah yang berjaya mencipta gol kedua menerusi Amin Mohd Rosli. Keputusan itu kekal hingga tamat perlawan dan menyaksikan Sang Penyu berputih mata dengan kekalahan tipis itu.
21 Aug 24
5801