Artikel "Utama" Terkini
Ribuan Pengunjung Terpukau Dengan Aksi Jet Tempur Sukhoi
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Sebaik sahaja deruman enjin pesawat Sukhoi (Su-30MKM) kedengaran di Dataran Shah Bandar, ribuan warga Darul Iman mendongak ke langit dan terpukau dengan aksi akrobatik deformasi jet pejuang tersebut.
Itulah antara suasana yang berlaku di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu hari ini.
Seawal 7.30 pagi, kereta telah bersusun meniti jalan-jalan dalam bandar raya Kuala Terengganu menuju ke lokasi perbarisan dan perarakan sambutan kali ke-67.
Orang ramai dilihat teruja menyaksikan perarakan pasukan yang terdiri daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, kumpulan pancaragam dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Terengganu.
Ribuan rakyat Terengganu hadir bersama-sama keluarga memenuhi ruang di setiap tempat yang kosong bagi menyambut hari yang penuh bersejarah ini.
Kemuncak perarakan ialah ketibaan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan yang berkenan berangkat ke majlis itu pada pukul 9.30 pagi bersama adindanya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az untuk menyaksikan perarakan kontinjen.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Sementara itu, lebih 4,000 peserta daripada 122 kontinjen seluruh kawasan di negeri Terengganu terlibat dalam perarakan terbabit.
Persembahan mantap dan penuh disiplin daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu telah berjaya menawan hati para juri, menjadikan mereka juara keseluruhan sekali gus membawa pulang RM5,000, piala pusingan dan sijil.
Dalam kategori Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu berjaya merangkul gelaran johan membawa pulang hadiah RM5,000, piala pusingan dan sijil diikuti oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu sebagai naib johan mendapat RM4,000 dan sijil manakala tempat ketiga disandang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menerima RM3,000 dan sijil.
Dalam kategori Badan Berkanun Tidak Beruniform, Majlis Perbandaran Dungun muncul sebagai johan, diikuti oleh Majlis Daerah Besut yang dinobatkan sebagai naib johan, manakala Majlis Perbandaran Kemaman menduduki tempat ketiga.
Dalam kategori Jabatan Kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Badan Berkanun dan Swasta Beruniform, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu telah dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu sebagai naib johan, manakala tempat ketiga disandang oleh Kesatria UniSZA.
Dalam kategori Sekolah Menengah Tidak Beruniform, SMA Khairiah telah muncul sebagai johan, diikuti oleh SMK Panji Alam sebagai naib johan, manakala tempat ketiga disandang oleh SMK Seri Nilam.
Bagi kategori IPT Swasta, GLC, Persatuan dan NGO Tidak Beruniform, TNB Terengganu dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Petronas Wilayah Pantai Timur di tempat kedua, dan Epic Berhad di tempat ketiga.
Dalam kategori Pasukan Khas Dewan Undangan Negeri, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Tunggal berjaya merangkul gelaran johan, diikuti oleh PKM DUN Wakaf Mempelam sebagai naib johan, dan PKM DUN Batu Burok di tempat ketiga.
Kategori Sekolah Menengah Beruniform pula menyaksikan PKBM Laut SMK Sultan Ismail menjadi Johan, dengan Kadet Polis SMK Pelagat berada di tempat kedua, dan Kadet Polis SMK Bukit Besar di tempat ketiga.
Bagi kategori Pancaragam Sekolah, SMK Tengku Bariah Brass Band dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Swadaya SMK Chung Hwa Wei Sin sebagai naib johan, manakala LeBEST Band menduduki tempat ketiga.
Di samping itu, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu menerima Anugerah Khas Pakaian Terbaik, manakala Anugerah Ketua Perbarisan Terbaik diberikan kepada PKBM Laut SMK Sultan Ismail.
Di samping itu, penjawat awam, Nur Liyana Mohd Shafie ketika berkata, program itu sangat bermakna buat seluruh lapisan masyarakat.
"Berbaloi bawa keluarga tengok perbarisan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan terutama bawa anak-anak yang sedang membesar bagi menghayati hari bersejarah negara kita.
"Selain itu, boleh kenal lebih dekat badan-badan beruniform yang ada di Malaysia dan jentera yang digunakan untuk menjaga negara," jelasnya.
31 Aug 24
3597
122 Kontinjen Serta Perarakan Hari Kebangsaan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos- Sebanyak 122 kontinjen menyertai Perarakan dan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu hari ini.
Bermula di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), perarakan melibatkan laluan sejauh 4.2 kilometer dan berakhir di Dataran Syahbandar bagi Majlis Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Terengganu.
Perarakan dimulakan pada jam 8.20 pagi dengan laungan 'Merdeka' disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.
Bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka, perarakan tahun ini mempertandingkan 12 kategori perbarisan melibatkan 60 kontinjen bertanding.
Perarakan berakhir di Dataran Syahbandar dalam Majlis yang dirasmikan oleh DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
31 Aug 24
1517
Hayati Erti Merdeka Sebenar, Jangan Sebar Berita Palsu
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Seluruh rakyat digesa agar memahami erti kemerdekaan yang sebenar dan menjauhkan diri dari anasir yang boleh merugikan negara seperti menularkan berita palsu di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata sejarah yang lalu telah membuktikan bahawa pejuang kemerdekaan boleh tewas apabila terdapat sekumpulan pemfitnah dan tali barut yang dalam diam menjadi musuh negara.
"Hari ini sebuah negara boleh jadi porak peranda kerana seorang pembawa berita palsu dan pengadu domba di media sosial yang luas dan cepat capaiannya.
"Di era globalisasi yang bertunjangkan 'the internet of things' menjadikan senario dan cabaran pemupukan semangat jiwa merdeka jauh berbeza dibandingkan dahulu.
"Trend penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi telah menjadikannya satu keperluan, namun kepantasan maklumat yang disampaikan tidak menjamin kesahihannya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Jambatan Angkat, di sini, semalam.
Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeru, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua-Ketua Jabatan.
Mengulas lebih lanjut, Ariffin berkata berhadapan dunia hari ini sukar untuk menbendung ledakan maklumat.
"Tetapi kita mampu mengawal dan menapis kesahihannya menerusi daya saring yang jitu dengan memiliki kemahiran penaakulan yang boleh membezakan baik buruk sesuatu perkara.
"Sebagai bangsa yang merdeka seharusnya lebih beretika dan bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk manipulasi maklumat.
"Dengan menularkan berita palsu dan fitnah, serta tidak menjadi pembuli yang boleh merosakkan minda dan pemikiran orang lain," ujarnya.
Dalam pada itu, sambutan Ambang Merdeka itu telah turut diserikan dengan pertunjukkan bunga api yang diiringi nyanyian lagu tanggal 31 Ogos dan Jalur Gemilang tepat pada jam 12 malam.
Sebelumnya, majlis telah dimeriahkan dengan Upacara Perarakan Masuk anggota rejimen 512 Askar Wataniah membawa Jalur Gemilang dan penyerahan Jalur Gemilang kepada Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSTLDM).
Terdahulu, majlis telah diserikan dengan forum keagamaan sempena Merdeka dengan menampilkan murabbi sejuta ummah, Ustaz Azhar Idrus.
Turut memeriahkan acara ialah nyanyian lagu patriotik yang dipersembahkan oleh artis ternama tanah air iaitu Aris Ariwatan, Azmi Caliph Buskers dan Najib Hamzah.
30 Aug 24
162
Ahli Majlis Dungun Cadang Tubuh Jawatankuasa Pematuhan dan Pemantauan
DUNGUN, 30 Ogos - Ahli-ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Bertindak dalam menangani pelanggaran Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Salah seorang daripada mereka, Naraza Muda berkata Mesyuarat Majlis Perbandaran Dungun yang bersidang kelmarin bersetuju membuat ketetapan mewujudkan sebuah Jawatankuasa Pematuhan dan Pemantauan bagi sebarang bentuk acara melibatkan hiburan.
Katanya, ia bertujuan memantau program sama ada di bawah kendalian agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat milik persendirian di dalam kawasan operasi pihak berkuasa tempatan.
"Ia bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan itu diutarakan ekoran berlakunya kontroversi penganjuran konsert kumpulan XPDC yang adakan sempena Ulang Tahun Pemahsyuran MPD Kali Ke-16 di Dewan Arena Merdeka di sini pada 24 Ogos lalu.
Menurutnya, jika ada ruang penubuhan jawatankuasa berkenaan, mereka yakin masalah tersebut tidak akan berulang.
"Selepas ini setiap kali ada acara hiburan ianya dapat dipantau untuk memastikan semua garis panduan hiburan dapat dipatuhi.
"Sekali gus mengawal daripada timbulnya sebarang gimik negatif atau kontroversi setiap kali acara hiburan dibuat.
"Biasanya setiap kali karnival yang dianjurkan mendapat kelulusan PBT, namun kawalan atau pelanggaran syarat-syarat permit berlaku, kita mahu ianya berjalan sempurna tanpa memberi kesan negetif setiap kali program berlangsung," jelasnya lagi.
30 Aug 24
401
Terengganu Undang Berkat Adakan Munajat Perdana Menjelang Kemerdekaan
MARANG, 30 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan majlis solat hajat, bacaan Yasin serta tahlil bagi mengundang keberkatan menjelang hari kemerdekaan sekali gus menyemarakkan sambutan dengan menanamkan semangat patriotik di kalangan rakyatnya.
Majlis peringkat negeri itu telah diadakan semalam di Masjid Jamek Pengadang Baru bermula pada jam 6 petang dimulakan tazkirah sempena kemerdekaan yang disampaikan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah.
Kemudian selepas solat maghrib berjemaah diadakan solat hajat dan bacaan doa memohon agar negeri ini serta rakyatnya sentiasa berada dalam keadaan selamat serta turut memanjatkan doa buat rakyat Palestin agar mencapai kemerdekaan suatu masa nanti.
Seusai itu, diadakan bacaan Yasin serta tahlill perdana khusus sempena sambutan kemerdekaan.
Majlis berkenaan dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusi, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman.
29 Aug 24
496
Menteri KDN Dituntut Bertindak Tegas Terhadap Penghina Islam
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dituntut bertindak tegas terhadap penghina agama Islam.
Hantaran pengguna media sosial yang dikenali 'Ryan Azzaro' menunjukkan seorang wanita bertutup seluruh badan sedang melakukan lompatan ke dalam kolam renang dengan kapsyen 'Welcome To Afganu' perlu disiasat segera.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) hari ini telah membuat laporan polis bagi memastikan ia sampai ke pengetahuan Menteri KDN itu.
"Kita nak minta siasatan dan pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen (4) (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana secara jelas (perkara itu) telah melanggar 3R.
"Saya ingat hampir setahun lebih perkara ini ditegaskan oleh Kerajaan Madani hari ini, jadi kami menuntut hak yang sewajarnya bukan atas dasar pembangkang ataupun kerajaan.
"Tetapi perkara itu telah menyentuh sensitiviti agama Islam secara keterlaluan, jadi saya minta pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk tidak berdiam diri dalam soal persendaan terhadap ajaran Islam.
"Saya masih ingat setahun yang lalu kita dipanggil ke IPK Terengganu bagi memberi laporan tentang pemuda PAS yang berpakaian seperti pejuang Islam dan melakukan perarakan sedangkan tiada sebarang keganasan dilakukan atapun mengina dan memperkecilkan mana-mana agama, itu pun kami dipanggil.
"Jadi saya minta perkara yang sama atau mungkin lebih tegas lagi daripada pihak polis serta pihak-pihak terbabit termasuk Menteri KDN sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan dalam negara ini bagi membawa manusia tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan." tegasnya.
Katanya, sekiranya tiada tindakan diambil pihaknya akan terus menggunakan saluran lain untuk menuntut keadilan selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan.
"Kita berharap ada tindakan, jangan didiamkan sahaja bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, apa yang terjadi ini tidak boleh dibiarkan tanpa ada keputusan ataupun satu hukuman yang sepatutnya," katanya.
29 Aug 24
296
Persatuan OKU Sertai Perarakan Kemerdekaan
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Sambutan Hari Kebangsaan kali ini amat istimewa buat 110 ahli kontinjen Majlis Tindakan Orang kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu (MTOT) apabila julung kalinya terpilih menyertai perarakan, 31 Ogos ini.
Keanggotaan MTOT terdiri daripada tujuh Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) OKU iaitu Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Terengganu, Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu.
Selain Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT), Persatuan Autisme Terengganu (PAUT), Persatuan Anak Istimewa Sindrom Down Itqan Terengganu (ITQAN TERENGGANU) dan Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga (APS).
Bagi Fakhruddin Zakaria yang juga Presiden Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT) berkata, walaupun berkerusi roda beliau tetap bersemangat meraikan program sempena bulan kebangsaan itu.
“Ini adalah pengalaman pertama saya menyertai perarakan sempena hari kemerdekaan dan perasaannya sangat bangga serta teruja kerana dapat bersama-sama menyemai semangat patriotik dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara.
“Sebelum ini ada dari kalangan kami yang pernah menyertai perarakan tetapi tahun ini lebih bermakna kerana semuanya berada di bawah satu ‘payung’ hasil gabungan semua kategori OKU di bawah MTOT,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada raptai penuh Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim memaklumkan, penubuhan MTOT pada 6 Mac lalu bertujuan mewujudkan kolaboratif multi sektoral dalam usaha memberi perlindungan, pendididikan, rehabilitasi dan pembangunan kepada OKU demi kepentingan dan kesejahteraan golongan ini.
“Kita juga ingin memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat,” ujarnya.
29 Aug 24
489
GPQ, KOPERAT Agih Jalur Gemilang Semarak Kemerdekaan
Oleh : Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor
KUALA TERENGGANU,29 Ogos- Anak syarikat kerajaan negeri, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (KOPERAT) dan GPQ Sdn. Bhd. berkolaborasi mengagihkan 1,500 bendera Malaysia kepada orang ramai.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KOPERAT, Sr Zaharuddin Zahid berkata, kerjasama berkenaan bertujuan menyemarakkan bulan kemerdekaan dan menyemai semangat kecintaan kepada negara.
“Agihan jalur gemilang oleh GPQ dan KOPERAT ini dilaksanakan setiap tahun bertujuan menaikkan semangat masyarakat untuk menyambut kemerdekaan Malaysia.
“Kita harap dengan adanya agihan bendera seperti yang dibuat oleh kedua-dua GLC akan dapat menyemarakkan lagi sambutan hari kebangsaan pada tahun ini,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pengagihan jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan Ke-67 di Pasar Payang, di sini, semalam.
Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, sambutan orang ramai sangat memberansangkan termasuk pengunjung luar Terengganu .
“Mereka sangat teruja dengan agihan bendera yang dilakukan dan kebetulan pada hari ini ramai dari luar Terengganu berkunjung ke Pasar Payang.
“Dengan adanya usaha yang kecil ini diharapkan dapat mengingatkan kita akan erti sebuah kemerdekaan,” ujarnya.
29 Aug 24
194
Kerjasama Ruane -TATIUC dan High Skills Technology Tepat Pada Masa
KEMAMAN, 29 Ogos - Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Ruane-TATI Sdn Bhd dan High Skills Technology Sdn bhd tepat pada masanya bagi memenuhi kehendak industri hari ini dalam usaha menyediakan latihan kemahiran bermutu tinggi.
Pengerusi Lembaga Pengarah Ruane-Tati Sdn Bhd, Alias Harun berkata, melalui perjanjian persefahaman itu akan memastikan kedua-dua pihak mengorak langkah bagi merealisasikan perancangan untuk sentiasa relevan.
"Sebagai sebuah institusi latihan dan peperiksaan, Ruane-TATI tampak konsisten dan mempunyai pelbagai misi dan perancangan strategik dalam aspek penjanaan ilmu dan kemahiran dalam menguasai peredaran pesat industri minyak dan gas sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
"Sementara itu, saya difahamkan bahawa High Skills juga seperti syarikat-syarikat ND yang lain yang sentiasa berharap untuk menaik taraf penduduk-penduduk di Pantai Timur khususnya kepada satu kualiti sijil profesional tahap tinggi diiktiraf oleh kebanyakan dunia," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani MoU diantara Ruana TATI Sdn Bhd dan High Skills Technology Sdn Bhd, di Bilik One Stop Centre, Kolej Universiti TATI, di sini, semalam.
Pada majlis itu, dokumen MoU telah ditandatangani Alias yang mewakili Ruane-Tati Sdn Bhd, disaksikan oleh Pegawai Khas Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh.
Sementara di pihak High Skills Technology Sdn Bhd telah ditandatangani oleh, YM Tengku Rosmin Farhan Tengku Mohd Amin.
Dalam pada itu, Tengku Rosmi berkata jalinan kerjasama antara dua pihak itu telah membina satu jambatan kerjasama strategik yang akan menghubungkan potensi dalam sektor kemahiran.
"Kerjasama ini mencerminkan komitmen kita untuk meningkatkan kualiti inovasi, keselamatan, dan kompetensi dalam industri minyak dan gas yang semakin mencabar ini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha keras dalam mempersiapkan dan merangka MoU ini. Kerjasama yang erat dan dedikasi anda semua telah membolehkan kita mencapai detik yang bersejarah pada hari ini.
"Melalui Memorandum Persefahaman ini, kita bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam bidang latihan, persijilan dan rangkaian perniagaan. Dengan memanfaatkan kepakaran masing2 dan sumber yang kita ada, saya amat yakin kita dapat mencapai matlamat tersebut dengan lebih berkesan," katanya.
Ujarnya lagi kerjasama itu juga memberi peluang bagi meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
"Bagi memperkenalkan idea-idea baharu dan memastikan bahawa industri kita tidak hanya bertahan, tetapi berkembang maju dalam menghadapi segala cabaran.
"Kita harus ingat bahawa kejayaan kita tidak hanya diukur dari hasil kewangan semata-mata, tetapi juga dari anjakan paradigma kepada peserta dan impak positif yang kita bawa kepada masyarakat dan persekitaran," ucap beliau.
29 Aug 24
322
Sambutan Kemerdekaan DUN Cukai Semarak Semangat Patriotisme
KEMAMAN, 28 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai yang diadakan bersempena dengan Bulan Kebangsaan 2024 menjadi platform terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan komuniti di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk Malam Ambang Merdeka.
"Kami akan mengadakan pelbagai acara yang boleh melibatkan ahli keluiarga dan juga sukan.
"Dalam masa sama, kami telah menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk cabutan bertuah.
"Justeru itu, kami menyeru kepada seluruh masyarakat di daerah ini dan sekitarnya untuk hadir beramai-ramai bagi sama-sama memeriahkan program yang kami adakan ini," katanya yang juga merupakan Pengerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu.
Untuk makluman, program tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula 29, 30 dan 31 Ogos.
Pelbagai acara yang diadakan seperti Forum Bicara Merdeka, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Sajak, Busana Cilik Merdeka, Kejohanan Penalti, Persembahan Silat, Pertandingan Basikal Berhias, Persembahan Pentas dan lain lain.
Forum Bicara Merdeka pula akan menampilkan tetamu istimewa iaitu Saiful Apek, Pencetus Ummah (PU) Rahmat, Pencetus Ummah (PU) Amin dan Syed Norhisyam Tuan Padang.
28 Aug 24
416