lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

YPU, Platform E-Dagang Terkemuka Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Muda
YPU, Platform E-Dagang Terkemuka Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Muda
KUALA TERENGGANU, 18 November – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), TAJDID dan TD1303 akan mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka bagi mengembangkan perniagaan usahawan tempatan. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah tersebut akan meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan peralihan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) ke arah pendigitalan. Katanya, ia juga bagi menyokong para usahawan dengan kemahiran menjalankan perniagaan dan pemasaran serta mengaplikasi sistem kewangan digital. “YPU akan kembali melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) dengan kerjasama institusi kewangan dalam negara untuk menyokong golongan belia menceburi bidang keusahawanan melalui penyediaan latihan, geran dan bimbingan yang berterusan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Dalam itu katanya, menerusi kerjasama dengan pelbagai entiti kerajaan, pemain industri dan pusat latihan pula, THRDC akan membangunkan portal Terengganu Talent bagi mempromosikan bakat tempatan kepada bakal majikan dan Galeri Kerjaya Digital yang berkonsepkan interaktif. "Ia bagi membantu para pelajar dan golongan belia memahami laluan kerjaya dalam pelbagai bidang yang diminati sesuai dengan kelayakan masing-masing," ujarnya.  
18 Nov 24
155
Penyakit Mental di Terengganu Masih Terkawal
Penyakit Mental di Terengganu Masih Terkawal
KUALA TERENGGANU, 18 November - Penyakit mental di Terengganu masih dalam keadaan terkawal walaupun terdapat peningkatan sesi rawatan yang telah diberikan kepada pesakit berkait masalah mental di hospital dan klinik kesihatan di seluruh Terengganu sepanjang tahun 2023. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menjelaskan bahawa peningkatan itu adalah normal dan tidak menunjukkan trend yang membimbangkan. “Berdasarkan data terkini, jumlah sesi rawatan mental yang berdaftar meningkat daripada 24,562 kes pada 2018 kepada 34,540 kes pada 2023, namun angka ini tidak menggambarkan keadaan yang membimbangkan. "Penyakit mental ini bukanlah perkara yang perlu ditakuti. Ramai yang mungkin menganggapnya sebagai 'gila', padahal pesakit masih boleh sembuh dengan rawatan yang betul," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Terengganu, Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, semalam. Wan Sukairi menegaskan bahawa walaupun terdapat peningkatan kes, pesakit yang mendapatkan rawatan mental di Terengganu masih boleh menjalani kehidupan yang normal.  "Rawatan yang diberikan sangat berkesan dan banyak pesakit yang saya temui kelihatan seperti orang biasa. Ini menunjukkan bahawa mereka boleh sembuh dengan rawatan yang betul," jelasnya. Menurut ADUN Wakaf Mempelam itu, hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri menyediakan perkhidmatan rawatan mental yang lengkap.  “Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mempunyai kepakaran psikiatri, serta hospital-hospital di daerah seperti Dungun, Kemaman, Besut, dan Hulu Terengganu, juga menawarkan perkhidmatan yang sama.  “Selain itu, dua Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di negeri ini, di Klinik Kesihatan Wakaf Tapai dan HSNZ, membantu mempercepatkan proses rawatan mental kepada masyarakat,” ujarnya. Tambah Wan Sukairi, Antara penyakit mental yang paling banyak dirawat adalah kemurungan dan keresahan, masing-masing menyumbang 33 dan 16 peratus daripada keseluruhan kes.  “Penyakit-penyakit ini, walaupun sering dianggap berat, sebenarnya boleh dirawat dengan psikoterapi, ubat antidepresan, dan bagi kes yang lebih serius, terapi elektrokonvulsif (ECT),” jelasnya. Wan Sukairi juga menekankan bahawa sokongan agama memainkan peranan penting dalam membantu pesakit yang menghidap keresahan.  "Kaedah agama sangat berkesan, terutamanya bagi pesakit anxiety," katanya. Dalam usaha menangani isu kesihatan mental ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merangka pelbagai langkah strategik. "Antaranya adalah dengan menjalankan program pendidikan kesihatan awam untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya kesihatan mental dan cara menguruskan stres. “Kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak pusat MENTARI di seluruh negeri ini, serta memperkukuh kerjasama dengan pihak swasta dan NGO untuk memperluaskan akses kepada rawatan mental. "Kami ingin rakyat tahu bahawa kesihatan mental adalah keutamaan kami. Dengan rawatan yang tepat, pesakit boleh sembuh dan hidup dengan normal. Jadi, tiada sebab untuk bimbang. “Dengan usaha yang berterusan dan kemudahan rawatan yang semakin meluas, Terengganu memastikan penyakit mental dapat ditangani dengan baik, tanpa perlu menimbulkan rasa cemas dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
18 Nov 24
197
Terengganu 'Ajak' Bakat Muda Sertai Sektor Agromakanan
Terengganu 'Ajak' Bakat Muda Sertai Sektor Agromakanan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Terengganu mengajak anak muda untuk menceburi sektor agromakanan sekali gus mengangkat negeri terbabit sebagai pelopor utama pengeluar makanan. Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menggalakkan lagi penyertaan bakat muda dalam sektor agromakanan pelbagai usaha terkini akan dilaksanakan seiring dengan era revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dunia hari ini. Katanya, antara perkara yang bakal dilakukan kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi IoT dan automasi menerusi program latihan dan amali. "Serta penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan infrastruktur (dan) di samping itu, ke arah membangunkan pertanian berskala industri, beberapa anak syarikat kerajaan negeri seperti TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu dan TADC juga mengerakkan usaha melibatkan pemain industri dan para pelabur. "Untuk perkongsian sumber dan kepakaran antaranya bagi memajukan projek penanaman cili, pembangunan ladang kelapa dan projek agrivoltaic," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ketika membentangkan belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Dalam pada itu katanya, bagi meningkatkan pengeluaran komoditi makanan utama di negeri ini kerajaan negeri akan membuka kawasan baharu bagi memperluaskan lagi kawasan untuk bertanam. "Melibatkan tanah terbiar serta membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di setiap daerah selain turut memperkukuh program pertanian komuniti di samping menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur di kawasan sawah padi. "Bagi meningkatkan tahap sara diri (SSR) pengeluaran beras," katanya. Berkongsi perkembangan terkini, Ahmad Samsuri berkata, sektor pertanian pada tahun 2023 telah kembali memulih kepada 7.4 peratus berbanding pengucupan 3.3 peratus pada tahun 2022. "Didorong oleh peningkatan yang signifikan dalam subsektor tanaman iaitu buah-buahan dan sayuran serta subsektor perikanan. "Pencapaian ini menjadi bukti keberhasilan Pelan Strategik Pertanian (PSP) 2019-2023," jelasnya.
18 Nov 24
515
Kerajaan Tubuh Majlis Pakar Terengganu, Himpun Cendekiawan Tempatan
Kerajaan Tubuh Majlis Pakar Terengganu, Himpun Cendekiawan Tempatan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri  akan  menubuhkan Majlis Pakar Terengganu (Terengganu Experts Council) bermula tahun depan bagi merealisasikan "Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera” menjelang tahun 2030. Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia sebagai usaha menangani penghijrahan cendekiawan (brain drain) dan supaya dapat menggembleng kearifan tempatan (local wisdom),  "Kita akui di negeri Terengganu ini mempunyai ramai pakar-pakar dalam bidang yang berkait dengan pembangunan, ekonomi, sosio masyarakat , agama dan sebagainya yang bekerja di ruang masing-masing di universiti, bidang pendidikan dan secara individu termasuk orang yang dah bersara dengan kepakaran-kepakaran mereka. "Sudah sampai waktunya, kita institusikan keberadaan dan kepakaran mereka dalam satu majlis  yang mana kita boleh datang dan jemput untuk memberikan pandangan-pandangan untuk dilaksanakan di Terengganu selepas membuat pertimbangan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pembentangan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambah Ahmad Samsuri lagi, penubuhan majlis itu juga sebagai sebagai platform kepada anak Terengganu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang-bidang strategik untuk menyumbang bakti.      
18 Nov 24
724
Terengganu Anjur Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di 32 DUN
Terengganu Anjur Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di 32 DUN
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan karnival induk bertemakan 'Indahnya Hidup Bersyariat' di kesemua 32 DUN sebagai langkah komprehensif untuk memperkukuh penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, karnival itu menawarkan pelbagai aktiviti bermanfaat yang menyasarkan kepada semua masyarakat. “Ia akan meningkatkan penghayatan Islam, memperkasa institusi keluarga, membangunkan potensi belia, memudahcara pemadanan pekerjaan, meningkatkan jualan peniaga, mempromosikan produk pelancongan dan mengakses perkhidmatan kerajaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, pada hari ini. Menurutnya, karnival tersebut menjadi platform utama untuk memupuk nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian masyarakat. “Secara umumnya, taraf dan kualiti hidup rakyat negeri kita berada di kedudukan tiga teratas di Semenanjung Malaysia terutamanya bagi komponen pendidikan, keselamatan awam dan keluarga.  “Selain peranan kerajaan, ia adalah manifestasi daripada hubungan antara individu, keluarga dan komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain untuk mencapai matlamat bersama yang lahir daripada proses agama, ilmu dan budaya dalam masyarakat kita,” katanya. Jelas Ahmad  Samsuri, penganjuran program itu melibatkan pelbagai agensi utama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Yayassn Pembangunan Keluarga (YPK), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Terengganu Human Resourse Development Centre (THRDC). “Salah satu elemen penting dalam karnival ini ialah program penghayatan  Al-Quran, yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Terengganu, Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dan DUAT. “Program penghayatan al-Quran untuk golongan kanak-kanak, dewasa dan OKU serta memperkasa guru-guru al-Quran,” tambah beliau. Justeru itu, beliau mengalu-alukan penglibatan pihak swasta dalam menjayakan karnival in bagi memastikan  manfaatnya dapat dirasi oleh seluruh rakyat Terengganu.
18 Nov 24
642
Terengganu Sasar Jana Hasil RM510 Juta
Terengganu Sasar Jana Hasil RM510 Juta
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri menetapkan sasaran masa depan Terengganu untuk memperoleh hasil janaan mencecah RM510 juta menjelang tahun 2030. Menurut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ke arah merealisasikan kesemua sasaran itu kerajaan negeri menetapkan 25 inisiatif yang akan diberikan keutamaan tinggi atau High Priority Initiatives (HPI). "Menerusi keberkesanan pelbagai strategi dilaksanakan Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri, hasil janaan negeri pada tahun 2023 berjumlah RM283.15 juta, lebih tinggi 41.1 peratus berbanding anggaran RM200.66 juta. "Sehingga September tahun ini pula, sejumlah RM221.39 juta yang berjaya dikutip juga, adalah lebih tinggi 14.0 peratus berbanding kutipan tempoh sama tahun lalu iaitu RM194.13 juta," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini. Selari dengan itu tambahnya, pelbagai mekanisme turut dipertimbangkan untuk memastikan kestabilan jangka panjang ini dapat dicapai tanpa membebankan sesiapa terutamanya rakyat kebanyakan dan golongan peniaga. Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyasarkan perkembangan ekonomi antara 6.0 hingga 7.2 peratus setahun mencecah RM51.5 billion dengan jumlah pelaburan dan perdagangan terkumpul melebihi RM29 bilion dan RM172 bilion.  
18 Nov 24
768
Terengganu Tumpu Projek Gas, Hidrogen Hijau dan Kredit Karbon
Terengganu Tumpu Projek Gas, Hidrogen Hijau dan Kredit Karbon
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG), pembangunan loji hidrogen hijau serta penjanaan dan perdagangan kredit karbon selain industri Unsur Nadir Bumi (REE) pada tahun mendatang. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam keadaan jumlah populasi dan bilangan penduduk bekerja yang secara relatifnya masih rendah, projek pelaburan dan perindustrian harus dirancakkan supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat. Katanya, melalui aktiviti ekonomi di negeri kita ia menyumbang kepada peningkatan gaji dan upah, pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan daya saing pasaran. “Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) dalam usaha meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG) dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau yang akan beroperasi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui. “Dua projek rintis juga sedang diusahakan oleh Terengganu Inc. bagi memajukan penjanaan dan perdagangan kredit karbon. “Menerusi kerjasama dengan TNB Genco pula, usaha digerakkan untuk membangunkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 MW tenaga elektrik melibatkan nilai pelaburan berjumlah hampir RM10 bilion bagi tempoh beberapa tahun,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Di samping itu jelas Ahmad Samsuri, bagi memudahkan urusan dan memberikan nilai tambah kepada para pelabur, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Uktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan melaksanakan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien. “Serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif menerusi dasar pembangunan perindustrian yang akan dilancarkan nanti. “Usaha menarik bilangan projek dan nilai pelaburan yang lebih besar ke negeri kita sangat penting bagi menjamin peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan,” ujarnya.
18 Nov 24
932
Belanjawan 2025, Lima Fokus Jadi Sasaran Utama
Belanjawan 2025, Lima Fokus Jadi Sasaran Utama
KUALA TERENGGANU, 18 November - Sebanyak lima fokus utama Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan tahun depan menerusi peruntukan yang diterima melalui Belanjawan 2025. Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fokus utama belanjawan yang bertemakan 'Demi Masa Depan Terengganu' adalah peningkatan kelestarian fiskal. Katanya, ia meliputi usaha mengurus kewangan secara berkesan melalui pengembangan sumber hasil, proses belanjawan yang telus, peningkatan kecekapan kutipan hasil dan penerokaan model pembiayaan yang efisien. "Fokus kedua meliputi Pembangunan Rantaian Nilai Makanan (Food Value Chain)  yang merangkumi proses meningkatkan hasil pengeluaran komoditi makanan utama. "Di samping itu untuk menarik bakat muda, perkemas penyeliaan tanah dan infrastruktur serta memacu pelaburan dan pembangunan industri agromakanan. "Pengukuhan Modal Sosial (Social Capital) menjadi fokus ketiga yang melibatkan upaya mengukuhkan jaringan hubungan sosial melalui program keagamaan, keilmuan, pendidikan dan pembangunan modal insan serta penglibatan NGO dalam menangani jenayah, memperkukuh institusi kekeluargaan dan meningkatkan kesejahteraan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, Kerajaan Negeri juga memfokuskan  Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing (Competitive Economy) yang mencakupi ikhtiar bagi memajukan perindustrian dan perdagangan, meningkatkan permintaan pasaran serta menerajui pelaburan bernilai tinggi. "Ia bagi memperkukuh daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang," katanya. Selain itu, beliau juga berkata, Pemberdayaan Masyarakat Usahawan (Entrepreneurial Society) yang melingkupi tindakan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut menjadi fokus pada belanjawan kali ini. Katanya, ini bagi mencipta dan mengembangkan peluang pasaran serta membangunkan kemahiran keusahawanan, mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan.
18 Nov 24
263
Terengganu Bentang Belanjawan 2025 Berjumlah RM1.887 Bilion
Terengganu Bentang Belanjawan 2025 Berjumlah RM1.887 Bilion
KUALA TERENGGANU, 18 November – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM1.887 bilion bagi Belanjawan 2025 untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri itu bagi tahun depan. Menteri Besar, Dato Seri  Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bertemakan 'Demi Masa Depan Terengganu', belanjawan itu termasuk RM450 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. “Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.792 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan iaitu RM278.19 juta untuk Emolumen, RM361.49 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM23.93 juta untuk Aset, RM1.127 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk perbelanjaan lain,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambah Ahmad Samsuri lagi, bagi hasil pula, sebanyak RM74.10 juta adalah daripada Hasil Cukai, RM189.25 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.733 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil. “Jumlah ini  termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion,” katanya. Menurut beliau, bagi memastikan pengurusan kewangan dan proses belanjawan adalah lebih efisien, Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu akan memperkemas pelaksanaan Bajet Berasaskan Outcome (OBB) dalam membuat pengagihan peruntukan dan perbelanjaan nanti.
18 Nov 24
834
'Sudah Lama Pohon, Hari Ini Ada Rezeki' - Penerima Tanah
'Sudah Lama Pohon, Hari Ini Ada Rezeki' - Penerima Tanah
Oleh : Fatimah Din/Abdul Fattah Kamarudin  MARANG, 18 November - Setelah sekian lama menanti untuk mendapatkan tanah, tahun ini menjadi rezeki buat rakyat di daerah ini apabila dipanggil bagi undian menentukan lot tanah yang diterima. Norhayati Zakaria, 32, berkata dia mula memohon pada tahun 2018 dan hari ini menjadi sejarah yang begitu bermakna dalam hidupnya.  "Sebelum ini ayah saya ada mohon, tapi tak dapat, hari ni alhamdulillah rezeki nama saya tersenarai untuk undian lot rancangan tanah Felcra Bukit Jetit bagi Mukim Pulau Kerengga, Daerah Marang. "Dalam adik beradik, saya seorang saja dapat, adik beradik yang lain belum, jadi saya bersyukur," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman UPDI Daerah Marang. Manakala, Harun Ismail pula berkata dia juga mula memohon dari tahun 2018.  "Saya mohon tanah ini melalui JPKK (Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung), sebab mereka tahu saya anak ramai, jadi mereka memudahkan saya. "Dengan tanah ini nanti bolehlah saya buat apa yang patut, tunggu punya tunggu sekarang baru dapat, lagipun Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong pun dah maklum tadi pelbagai kekangan yang ada dan perlu melalui beberapa proses untuk pembahagian lot tanah ni. "Saya merupakan generasi kedua yang dapat tanah, selepas mak saya dulu pernah dah dapat, terima kasih sangat Yang Berhormat Ustaz Sulaiman dan JPKK dan seluruh yang terlibat," jelasnya lagi.  Untuk rekod, seramai 179 orang penduduk menjadi penerima dalam majlis Undian Lot Rancangan Tanah Felcra Bukit Jetit bagi Mukim Pulau Kerengga, Daerah Marang diadakan di Dewan Utama Majlis Daerah Marang pada kelmarin.  
18 Nov 24
389