lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
Sebatan Syariah: Permulaan Terengganu Mendaulatkan Perundangan Islam
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Terengganu melakar sejarah apabila melaksanakan hukuman sebatan syariah di luar penjara semalam, satu langkah signifikan dalam mendukung undang-undang Islam di negeri dan negara ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa pelaksanaan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen negeri untuk mendidik masyarakat dan menegakkan keadilan berlandaskan Islam.  “Hukuman ini dikenakan terhadap pesalah khalwat kali ketiga yang ditentukan oleh Mahkamah, menandakan langkah awal negeri ini dalam mendaulatkan undang-undang Islam secara menyeluruh. “Ini bukan sekadar hukuman fizikal, tetapi satu peringatan untuk kita semua bahawa undang-undang Islam bertujuan memupuk kesejahteraan, menitikberatkan prinsip keadilan, dan kasih sayang. “Dalam Islam, hukuman ini adalah simbolik, untuk mendidik dan membawa kesedaran,”katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini. Menurut Muhammad Khalil, hukuman tersebut dilaksanakan berdasarkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Takzir) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.  “Garis panduan telah ditetapkan oleh Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Ketua-ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, Jabatan Penjara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Alat sebatan yang digunakan ringan, dan pelaksanaannya memastikan tiada kecederaan fizikal pada pesalah. “Hukuman ini berbeza dengan sebatan sivil yang lebih menyeksakan pesalah,” jelas beliau. Dr. Muhammad Khalil menjelaskan bahawa kehadiran semasa pelaksanaan juga dikawal rapi. “Had bilangan yang dibenarkan hadir adalah seramai 70 orang sahaja, tidak termasuk barisan petugas. “Setiap prosedur dilaksanakan dengan cermat bagi memastikan hukuman ini berjalan lancar dan mematuhi syarat syariah,” tambahnya. Kerajaan Negeri turut mengutamakan usaha mendidik masyarakat tentang keadilan dalam hukuman syariah.  “Kami akan mempergiatkan program penerangan dan pendidikan agar rakyat memahami maksud sebenar undang-undang syariah ini. “Kami perlukan sokongan rakyat supaya pelaksanaan ini dapat dijalankan dengan harmoni tanpa salah faham atau polemik yang tidak perlu,” kata beliau. Beliau berharap langkah ini menjadi model kepada negeri-negeri lain untuk mengangkat martabat undang-undang syariah di negara ini.  “Langkah ini merupakan salah satu usaha Terengganu untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam secara holistik. “Terengganu mahu menunjukkan bahawa pentadbiran Islam yang adil dan berhemah boleh diwujudkan. “Semoga pelaksanaan ini menjadi permulaan kepada masyarakat yang lebih harmoni, berdisiplin, dan dirahmati Allah SWT,” ujarnya.
28 Dec 24
735
Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
Sebat : Terengganu Junjung Syariat Islam, Undang-Undang Negara
KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Kerajaan Terengganu menegaskan pihaknya komited dalam mendaulatkan syariat Islam dan undang-undang negara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengatakan perkara tersebut selepas pelaksanaan hukuman sebat syariah yang telah berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu semalam. "Alhamdulillah, hari ini kita menyaksikan satu lagi langkah penting dalam melaksanakan hukum syariah di negeri ini. "Pelaksanaan hukuman sebat syariah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah yang berjalan lancar ini telah menandakan satu lagi langkah penting dalam pelaksanaan hukum Islam di negeri ini. "Proses tersebut dijalankan dengan tertib dan mematuhi prinsip keadilan yang digariskan oleh Islam," ujar beliau di dalam kenyataan di Facebook. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses penghukuman itu dapat dilaksanakan dengan sempurna. "Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan ini, termasuk pihak Mahkamah Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pihak masjid, pasukan kesihatan dan para pegawai penguatkuasa. "Kecekapan dan kesungguhan mereka memastikan bahawa proses ini dilaksanakan dengan telus, adil, dan penuh hikmah," tambah beliau. Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa tujuan utama hukuman itu bukan hanya untuk menghukum, tetapi sebagai bentuk pendidikan, pengajaran dan pencegahan agar masyarakat lebih dekat dengan nilai-nilai Islam. "Usaha ini menjadi contoh pelaksanaan syariah yang bakal memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. "Justeru itu, pelaksanaan hukuman ini bukanlah sekadar mengenai penghukuman, tetapi turut memainkan peranan yang lebih besar dalam struktur agama, sosial dan moral masyarakat," katanya. Untuk rekod, hantaran yang telah menerima 1.8 ribu ‘likes’ dan 99 perkongsian itu telah menerima komen-komen positif, jelas menunjukkan bahawa masyarakat menzahirkan sokongan mereka dalam pelaksanaan hukuman berlandaskan syariah.  
28 Dec 24
480
'Kata Khalayak Ramai, Kenapa Tertutup Pula?' - Ini Jawapan Peguam
'Kata Khalayak Ramai, Kenapa Tertutup Pula?' - Ini Jawapan Peguam
KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Pelaksanaan hukuman sebat syariah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini mengundang rasa kurang puas hati sebahagian kecil rakyat Terengganu yang hadir hari ini apabila tidak dapat melihat secara langsung ia dijalankan, sebaliknya dimaklumkan hanya sekitar 70 individu dipilih Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu untuk menyaksikannya. Perkara itu bagaimanapun dijelaskan Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Muhammad Hariz Md Yusoff yang menyatakan bahawa pemilihan lokasi hukuman sebat serta proses dilaksanakan sebegitu bagi mematuhi syarat keselamatan dan kesesuaian persekitaran. "Dalam konteks perundangan negara kita ini, kita percaya bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk terdiri daripada golongan Muslim dan bukan Muslim. "Dalam keadaaan ini, kita ingin menjaga haibah (kewibawaan) ataupun kehormatan agama Islam itu sendiri, maka ia dilakukan dalam keadaan tertutup tetapi melibatkan khalayak ramai yang mana orang-orang tersebut ditentukan oleh pihak berkuasa dan kami difahamkan pihak berkuasa ialah Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu. "(Keadaan) Ini mungkin satu permulaan, kemungkinan pada masa hadapan lebih banyak prosesnya sebab hukuman sebatan khalayak ramai ini merupakan kali pertama dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas pelaksanaan hukuman tersebut, hari ini. Jelasnya, pemilihan lokasi itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah yang digubal secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Jabatan Penjara Malaysia pada tahun 2023 (melalui Arahan Amalan No 11 Tahun 2023). Para jemaah masjid menunggu di perkarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah selepas solat Jumaat untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat khalayak ramai. Selain itu, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu pada 16 Disember 2024 telah dibuat dengan mengambil kira semua aspek seperti kesalahan berulang kali oleh pesalah dan bagi memastikan hukuman dijalankan dengan adil, berhemah, dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam serta hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Pelaksanaan ini mencerminkan ketelusan proses kehakiman, sekaligus membuktikan bahawa ia bukan sahaja mengikut kehendak undang-undang tetapi juga menepati nilai-nilai murni  keadilan Islam yang menitikberatkan ihsan dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.  
27 Dec 24
38368
Sebat Syariah : Negeri Lain Perlu Contohi Terengganu - Peguam
Sebat Syariah : Negeri Lain Perlu Contohi Terengganu - Peguam
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyeru mahkamah Syariah di negeri-negeri lain untuk mencontohi Terengganu dalam menyahut tindakan pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan agar perkara berkenaan dapat membuka mata masyarakat, mengarusperdanakan syariah dan menjunjung hukum syarak. Timbaan Presiden PPMM, Muhammad Hariz Md Yusoff turut menyeru semua pihak supaya tidak mengelirukan masyarakat dengan mempolitikkan isu tersebut serta memahami konteks sebenar pelaksanaan hukuman sebatan syariah. "Sistem perundangan syariah adalah sebahagian daripada sistem undang-undang negara yang sah, dan pelaksanaannya tidak boleh dilihat melalui perspektif sempit atau prejudis. "Alhamdulillah, pelaksanaan sebatan syariah tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar meskipun wujud tentangan hebat oleh beberapa institusi dan individu. Hasil penyaksian kami terhadap hukuman sebatan tersebut, PPMM dengan tegas menolak tohmahan dan persepsi buruk yang menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan syariah di Terengganu melanggar prinsip kemanusiaan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan sendiri pelaksanaan hukuman enam sebatan kepada pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini. Beliau bersama Setiausaha Agung PPMM, Danial Farhan Zainul Rijal turut menyertai sekitar 70 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwan dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyaksikan pelaksanaan hukuman itu yang berlangsung sekitar jam 2.30 petang. Muhammad Hariz juga menambah, pelaksanaan hukuman sebatan secara terbuka di Terengganu adalah untuk mendidik masyarakat secara kolektif mengenai kepentingan mentaati perundangan Islam. "Tindakan pelaksanaan ini juga memberi mesej jelas mengenai usaha mengekang perlakuan yang bercanggah dengan moral dan etika masyarakat Islam. "Hukuman ini dilaksanakan tanpa melibatkan elemen penghinaan kepada pesalah, malah dengan penuh tertib dan pengawasan pihak berkuasa," katanya. Mohd Affendi menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai setelah hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 Nov lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.  
27 Dec 24
696
Hukuman Sebat Dikhalayak Ramai Selesai Dilaksanakan
Hukuman Sebat Dikhalayak Ramai Selesai Dilaksanakan
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Individu pertama dijatuhi hukuman sebat dikhalayak ramai, Mohd Affendi Awang, 42, tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah untuk menjalani hukuman enam sebatan pada jam 2.29 petang. Tertuduh tiba menaiki kenderaan Penjara Marang, diiringi dua kereta peronda Penjara, dikerumuni pihak media dan orang ramai. Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna merah dan berpelitup muka dibawa masuk ke dewan masjid oleh pegawai penjara Marang. Difahamkan, pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan keadaan tertuduh sebelum hukuman sebatan dilaksanakan. Tertuduh dibawa keluar dari dewan pada jam 3.01 petang dan dibawa keluar dari masjid diiringi kereta peronda penjara. Lebih 100 jemaah masjid yang siap menunaikan solat Jumaat menunggu sehingga hukuman selesai dilaksanakan bagi melihat tertuduh dari jarak dekat. Terdahulu, tukang rumah berasal dari Kerteh itu dijatuhkan hukuman mengaku salah berkhalwat kali ketiga dengan seorang wanita berusia 52 tahun di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail dalam prosiding pada 20 November lalu. Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. Selain enam sebatan, tertuduh juga dihukum denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.                      
27 Dec 24
624
Pesalah Hukuman Sebat Tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
Pesalah Hukuman Sebat Tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Ladang) kira-kira jam 2.30 petang tadi. Tertuduh sebelum itu dibawa dari penjara terbuka Marang dengan turut diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara. Difahamkan, tertuduh akan menjalani rawatan kesihatan oleh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) di Dewan A'asim masjid berkenaan. Sebelum ini media melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di masjid kerana melakukan kesalahan khalwat berulang. Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.   Berita lanjut menyusul.
27 Dec 24
657
Pembayar Cukai Taksiran Premis Perniagaan Terima Penghargaan
Pembayar Cukai Taksiran Premis Perniagaan Terima Penghargaan
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sangat menghargai pembayar cukai taksiran premis perniagaan. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seramai 100 orang yang diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah itu merupakan pembayar-pembayar cukai taksiran yang setia menjalankan aktiviti perniagaan di premis MBKT. "Ini merupakan suatu inisiatif yang dilakukan oleh MBKT bagi memberi galakan kepada warganya untuk membayar cukai. "Juga merupakan satu penghargaan kepada pembayar-pembayar cukai yang membayaranya pada awal waktu. "Hasil pembayaran cukai ini adalah digunakan oleh pihak MBKT bagi menjamin keselesaan, kesenangan serta kesejahteraan yang manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh warga termasuklah mereka yang mencari rezeki dengan peniagaan dan sebagainya dalam kawasan pentadbiran MBKT," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui ketika sidang medianya, selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Porgram Cabutan Bertuah dan Penyampaian Hadiah Pemenang Cabutan Cukai Taksir, di Menara MBKT baru-baru ini. Dalam pada itu Wan Sukairi memaklumkan cukai pintu kediaman rakyat di negeri ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri bermula 2019. "Sehingga sekarang kita masih menanggung kos tersebut, cukai itu dikenakan kepada semua rumah-rumah kediaman, cuma ia dibayar oleh kerajaan negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," ujarnya.  
26 Dec 24
97
Sebat Syariah di Masjid Tetap Diteruskan Esok
Sebat Syariah di Masjid Tetap Diteruskan Esok
KUALA TERENGGANU, 26 Disember – Sejarah baharu akan tercipta apabila Terengganu tetap akan melaksanakan hukuman sebat syariah di luar penjara di sebalik bantahan sebilangan kecil kumpulan tertentu. Hukuman ini akan dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, sebagai usaha memperkasa undang-undang syariah secara praktikal dan mendidik masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah, dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata persiapan rapi telah dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak. “Kami telah diberikan taklimat oleh pihak mahkamah bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, dan agensi lain.  “Persiapan dilakukan supaya pelaksanaan esok berjalan lancar dan teratur,” katanya. Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas menghadiri lawatan tapak hukuman di Masjid Ladang, di sini hari ini. Beliau menjelaskan bahawa hukuman ini bukan hanya bertujuan menghukum pesalah tetapi sebagai langkah mendidik masyarakat selaras dengan prinsip maqasid syariah.  “Pelaksanaan terbuka ini bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai agar memahami hikmah di sebalik undang-undang syariah,” jelasnya. Dr. Khalil juga mengakui terdapat bantahan daripada pelbagai pihak, namun kerajaan negeri tetap komited melaksanakan hukuman ini.  “Walaupun ada kritikan, kami percaya ini langkah tepat untuk memperkasa undang-undang syariah, yang selama ini hanya dilaksanakan di penjara,” tambah beliau. Beliau juga menyeru umat Islam mendoakan kelancaran pelaksanaan hukuman ini.  “Doa masyarakat amat penting agar segala urusan esok berjalan dengan baik dan memberi kesan positif kepada semua. “Pelaksanaan ini menjadi titik perubahan dalam sejarah undang-undang syariah negara, bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah serius untuk mendidik dan memperkasa masyarakat secara berkesan,” ujarnya.  
26 Dec 24
1292
Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Pembatalan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menimbulkan kontroversi apabila alasan kesihatan yang diberikan oleh Perdana Menteri dinafikan oleh pihak Indonesia.  Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim menyifatkan insiden itu sebagai memalukan dan mencalar kredibiliti negara, dan mendesak kerajaan menjelaskan kekeliruan ini secara telus. “Bagaimana kenyataan Perdana Menteri bercanggah dengan kenyataan rasmi Indonesia? Ini tidak boleh dibiarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini. Beliau menekankan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia adalah asas penting dalam kerjasama serantau.  “Sebarang salah faham atau percanggahan maklumat boleh memberi kesan buruk kepada hubungan dua hala ini. “Situasi ini bukan sahaja mencetuskan spekulasi dalam kalangan rakyat, malah menjejaskan imej diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa,” tambahnya. Ahmad Amzad turut menyeru Perdana Menteri supaya segera tampil memberikan penjelasan.  “Rakyat ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.  “Jangan biarkan kekeliruan ini berlanjutan,” tegasnya. Beliau juga mengingatkan bahawa hubungan diplomatik dengan negara jiran seperti Indonesia perlu diuruskan dengan penuh berhati-hati.  “Setiap langkah mesti mencerminkan keprihatinan terhadap sensitiviti dan hubungan baik antara dua negara. “Sebagai jiran strategik, hubungan Malaysia dan Indonesia memainkan peranan penting dalam kestabilan serantau,” ujar beliau.  Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan bahawa salah urus dalam isu seperti ini boleh memberi kesan besar kepada hubungan yang telah lama terjalin. “Kerajaan perlu segera bertindak untuk memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa.  “Ketelusan adalah kunci untuk menjaga kredibiliti negara,” ujarnya.
25 Dec 24
428
Hukuman Sebat, Saksi Dilarang Bawa Masuk Peranti - Polis
Hukuman Sebat, Saksi Dilarang Bawa Masuk Peranti - Polis
KUALA TERENGGANU, 25 Disember - "Sebarang rakaman oleh 70 individu yang dibenar menyaksikan hukuman sebatan pesalah khalwat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini pada Jumaat ini, tidak dibenarkan bagi mematuhi arahan dikeluarkan pihak kehakiman," tegas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu. Justeru itu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mereka adalah dilarang membawa masuk sebarang peranti ke ruangan hukuman. "Hanya 70 individu dibenarkan memasuki ruangan pelaksanaan hukuman tersebut. "Mereka ini tidak boleh membawa masuk sebarang alatan komunikasi seperti telefon bimbit, perakam video dan sebagainya. "Orang ramai diminta mematuhi peraturan itu bagi memastikan pelaksanaan hukuman berjalan lancar," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu. Mohd Azli berkata, seramai 40 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal keselamatan sepanjang pelaksanaan hukuman itu. "Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan kira-kira 40 pegawai dan anggota ketika pelaksanaan hukuman sebatan tersebut. "Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang provokasi atau tindakan melampaui batasan sehingga mengganggu proses itu," katanya. Beliau juga meminta orang ramai yang menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan supaya terus beredar keluar dari masjid sebaik selesai menunaikan ibadah itu. "Saya menyeru kepada para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat supaya tidak mencetuskan provokasi kepada petugas-petugas mahupun kepada pesalah. "Tidak perlu berkumpul yang boleh menyebabkan kesesakan di pekarangan masjid. Hukuman telah diputuskan, beri ruang kepada pihak yang bertanggungjawab melaksanakan," katanya.
25 Dec 24
2355