Artikel "Utama" Terkini
KPDN Pantau Harga Barangan Sempena Tahun Baharu Cina
Oleh : Muhamad Irfan
KUALA NERUS, 26 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Terengganu akan memantau harga barangan di negeri ini bagi memastikan ia terkawal sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata KPDN Terengganu telah mepaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan harga barangan tidak melambung tinggi sepanjang musim perayaan.
“KPDN mengambil inisiatif memperkenalkan skim ini kerana pada musim perayaan, ramai peniaga cenderung menaikkan harga barangan tanpa kawalan.
"Oleh itu, kerajaan bertindak menetapkan harga siling untuk memastikan harga kekal stabil dan berpatutan,” katanya.
Majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025 telah diadakan di Pasar raya Xiri, Kuala Nerus, dan skim kawalan harga ini akan dilaksanakan bermula 25 Januari hingga 2 Februari 2025.
Ariffin turut menjelaskan bahawa kawalan harga tersebut hanya melibatkan 15 jenis barangan keperluan terpilih, antaranya minyak masak, telur, bawang putih dan bawang besar.
“Di bawah skim ini, harga barangan keperluan tersebut akan berada di bawah harga maksimum yang diluluskan oleh kerajaan. Langkah ini penting untuk mengelakkan kenaikan harga melampau yang boleh membebankan pengguna,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa pihak berkuasa akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Jelasnya, mana-mana pihak yang melanggar peraturan kawalan harga akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.
Kerajaan Negeri Terengganu berharap usaha tersebut dapat meringankan beban rakyat, terutama pengguna yang menyambut Tahun Baru Cina dan pada masa yang sama memastikan keharmonian dalam ekosistem ekonomi tempatan.
26 Jan 25
146
Tadabbur Al-Quran 'Resipi' Umat Cemerlang
DUNGUN, 24 Januari - Ayat-ayat al-Quran bukan sekadar hikmah, sebaliknya ia merupakan panduan yang membawa kesejahteraan di dunia dan Akhirat.
Demikian titah disampaikan KDYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin sewaktu berkenan mencemar duli mewakili KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dan membaca teks titah ucapan KDYMM seri paduka ayahandanya.
"Beta menyeru hadirin-hadirat dan rakyat jelatan keseluruhannya agar tidak hanya menjadikan al-Quran sebagai bacaan, tetapi menghayati dan mentadabbur isi kandungannya.
"Marilah kita terus berusaha mempraktikkan ajaran-ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian. Semoga dengan berpegang teguh kepada wahyu Ilahi, kita mampu menjadi umat yang cemerlang.
"Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), atas usaha berterusan qari dan qariah berkualiti serta hafiz dan Hafizah yang unggul," titah Baginda ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutup Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Terengganu di Arena Merdeka, di sini semalam.
Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu, diiringi adindanya Tengku Sri Setia Mahkota Raja pada jam 9.00 malam disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan isteri.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia dan isteri, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham dan isteri, serta Penasihat Undang-undang Negeri, Mohd Nawawi Ismail dan isteri.
Majlis dimulakan dengan persembahan ucapan Menteri Besar dan persembahan bacaan al-Quran oleh bekas pemenang qari dan qariah antarabangsa kelahiran Terengganu iaitu Ahmad Tarmizi Ali dan Nor Hidayah Abd Rahman.
Tengku Muhammad Ismail seterusnya berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebelum berangkat pulang pada sekitar jam 10.30 malam.
24 Jan 25
266
Pendapatan Syarikat Pelaburan Terengganu Naik Lima Tahun Berturut-turut
23 Jan 25
766
NACCOL Janji Selesai Isu Beras Dalam 3 Bulan, Realistik atau Retorik? - Dr Azman
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kenyataan Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz, yang percaya beliau dapat menyelesaikan masalah padi dan beras dalam tempoh tiga bulan, menimbulkan persoalan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, meluahkan keraguan terhadap cadangan NACCOL tersebut.
Menurut beliau, masalah padi dan beras bukanlah isu yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.
"Isu ini bukan sesuatu yang boleh selesai dalam tiga bulan sahaja.
"Ia melibatkan kenaikan kos yang memberi kesan mendalam kepada pesawah, dan kita perlukan lebih daripada sekadar janji kosong untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Azman tidak menafikan kesan besar yang ditanggung oleh sektor pertanian akibat kenaikan harga diesel yang melambung tinggi.
"Kesan berantai kenaikan kos yang ditanggung oleh pesawah akibat kenaikan harga diesel memang tidak dapat dinafikan.
"Kos bajak sawah, kos meratakan sawah, kos jentuai, kos tambang lori dan lain-lain semuanya telah naik, yang jatuh hanyalah air mata petani,” tambahnya dengan nada sinis.
Menurut Azman, mereka yang tidak memahami kesulitan pesawah ini hanya boleh berbicara dari pejabat berhawa dingin tanpa pernah merasai realiti mereka yang bekerja keras di sawah.
Azman turut mengusulkan supaya harga lantai padi dinaikkan dari RM1,300/tan kepada harga yang lebih wajar antara RM1,500 hingga RM1,800/tan.
"Peningkatan harga padi sudah tentu akan memberi kesan kepada harga beras, tetapi itu lebih baik berbanding beras tempatan yang disamar menjadi beras import dan dijual lebih mahal.
"Rakyat akan lebih menerima sedikit kenaikan harga beras demi menjaga kualiti dan kelestarian padi tempatan,” jelasnya.
Azman juga mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil langkah-langkah konkrit, seperti membuka sekatan penjualan padi agar pesawah dapat menjual padi mereka ke kilang yang menawarkan harga tertinggi.
"Sekarang harga padi di Terengganu sudah naik ke RM1,550/tan," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa NACCOL tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau menguatkuasakan undang-undang berkaitan padi.
"NACCOL tidak ada punca kuasa berkaitan kawalan dan penguatkuasaan fungsi kawal selia.
"Itu adalah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)," jelasnya.
Azman turut mempersoalkan mengapa masalah yang sudah jelas di hadapan mata masih tidak ada penyelesaian yang konkrit.
"Ada kepentingan pihak tertentu yang ingin dilindungi sehingga KPKM hilang keupayaan untuk bertindak?" soalnya.
23 Jan 25
188
Berbaloi Mandi Peluh!
Poster: FB Terengganu FC
KUALA NERUS, 22 Januari - Terengganu FC terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya menumpaskan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar FC 1-0 dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shoppe 2025, sebentar tadi.
Kemenangan hasil jaringan tunggal kapten pasukan, Safawi Rasid itu membantu Terengganu FC mencerahkan peluang untuk ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut.
Turun dengan kekuatan penuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Badrul Afzan Razali mempamerkan corak permainan menyerang bermula dari minit pertama perlawanan.
Pada minit ke-22, kesilapan pertahanan Shahrul Nizam Ros Hasni nyaris membawa padah kepada tuan rumah, apabila beliau tertampan bola hampir-hampir memasuki gawang sendiri.
Percubaan tepat pertama Terengganu FC hadir pada minit ke-24 menerusi Ismail Akinade yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti, tepat ke dakapan penjaga gol pelawat, Muhammad Reza Arya Pratama.
Enam minit kemudian, PSM Makassar FC mendebarkan penyokong yang hadir apabila penyerangnya, Ricky Pratama menerima umpanan di dalam kotak penalti tanpa dikawal pertahanan, mujur rembatan pemain muda itu melambung melepasi gawang.
Pada minit ke-41, Akhyar Rashid berjaya mengumpan bola dalam satu serangan balas membolehkan Akinade berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, tetapi penyerang kelahiran Nigeria itu gagal menyudahkan peluang terbaik untuk Sang Penyu mendahului lawan.
Keputusan kekal tanpa jaringan pada separuh masa pertama sekalipun Terengganu FC merekodkan lapan percubaan ke kubu pelawat.
Bersambung babak kedua, Terengganu FC sekali lagi mencatatkan percubaan menerusi tandukan Akinade yang tersasar ke sisi gawang pada minit ke-49.
Pada minit ke-52, Safawi pula hampir memecahkan kebuntuan jaringan melalui sepakan percuma, namun cemerlang dinafikan Reza Arya.
Akhirnya pada minit ke-62, Terengganu FC memperoleh peluang keemasan selepas hantaran lintang Nurillo Tukhtasinov terkena tangan pertahanan PSM Makassar FC di dalam kotak penalti.
Safawi mudah menyempurnakan sepakan penalti memastikan Terengganu FC memiliki kelebihan satu jaringan pada minit ke-64.
PSM Makassar FC cuba bangkit dengan serangan bertali arus pada minit ke-70, namun Rahadiazli Rahalim cemerlang mengawal gawangnya.
Memasuki minit ke-91, Muhammad Arham Dermawan hampir menyamakan kedudukan buat PSM Makassar FC, bagaimanapun tandukannya sekadar melepasi palang gol.
Kecemerlangan Rahadiazli dan benteng pertahanan membantu tuan rumah kekal di hadapan sehingga wisel penamat ditiupkan.
Kemenangan malam ini membantu Terengganu FC mendaki ke kedudukan kedua Kumpulan A dengan tujuh mata.
PSM Makassar FC jatuh ke tangga ketiga dengan perbezaan satu jaringan.
Manakala, BG Pathum United yang menewaskan Shan United dalam satu lagi aksi malam ini, kini muncul pendahulu Kumpulan A dengan lapan mata.
Terengganu FC akan menentang BG Pathum United pada 5 Februari nanti di gelanggang lawan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan.
22 Jan 25
264
Projek ECRL di Terengganu Capai Kemajuan 90 Peratus
DUNGUN, 22 Januari - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu telah mencapai kemajuan paling pantas dalam negara dengan mencapai 90 peratus berbanding negeri-negeri lain.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan projek itu masih mengikut jadual dan stesen di Dungun yang dilawatnya hari ini sudah 58 peratus siap.
Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pelabur yang ingin melabur dan membangunkan Tapak Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) di Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kawasan Dungun.
"Ada cabaran tertentu tetapi saya rasa kerajaan negeri sangat terbuka untuk bincang dengan mana-mana pelabur yang ingin melabur untuk sama-sama bangunkan TOD.
"Memang kalau kita cakap dengan para pelabur yang ingin sama membangunkan TOD ini adalah kedudukan infrastruktur yang perlu sedia supaya mereka dapat terus menjalankan pembangunan di sini dan itu antara cabaran kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan negeri bersama Pegawai Kewangan negeri untuk koordinat dengan Unit Perancangan Ekonomi negeri (UPEN) bagi merangka strategi bagaimana untuk mempersiapkan infra ini supaya memudahkan pelabur datang dengan cepat.
"Dan kalau kita tengok secara spesifiknya cabaran di sini, saya rasa jelas ini adalah kawasan yang green area (kawasan baru) dan ada stesen yang berada pada kedudukan lapan hingga sembilan meter atas aras laut...maka ia perlu ditimbun bagi mengelakkan banjir.
"Kita perlukan koordinasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya termasuk Tenaga Nasional Berhad untuk pastikan jalan masuk ke sini tiada gangguan banjir dan kawasan pembinaan pembangunan juga dapat meminimumkan kesan banjir itu sendiri," katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pihak majlis dan Pejabat Daerah Dungun tentang potensi pembangunan TOD di kawasan tersebut.
22 Jan 25
392
100 Asnaf, Anak Yatim DUN Kijal Terima Baucer Persekolahan RM20,000
KEMAMAN, 22 Januari – Seramai 100 asnaf dan anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan baucer persekolahan berjumlah RM20,000 pada Program ‘EPIC back to school 2025’ di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka.
Katanya, setiap penerima menerima baucer bernilai RM200, yang boleh digunakan untuk membeli keperluan persekolahan seperti pakaian seragam, beg, dan alat tulis.
“Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DUN Kijal bersama anak syarikat negeri, EPIC Berhad untuk memastikan golongan asnaf dan anak yatim tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna,” katanya ketika menyampaikan baucer di Dewan Serbaguna EPIC, Kijal.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr. Ts. Muhtar Suhaili.
Razali berkata pihaknya ingin memastikan mereka mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dalam pelajaran.
“Program ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan EPIC Berhad bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
“Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada pihak sukarelawan dan pelbagai agensi setempat yang bersama-sama menjayakan agenda kebajikan ini,” ujarnya.
22 Jan 25
323
Fitnah Pukul OKU : 'Kalau Nak Jawab Di Hadapan Tuhan, Silakan'
DUNGUN, 22 Januari – "Kalau nak jawab di hadapan Tuhan, silakan," itu antara respon Menteri Besar Terengganu ketika diminta mengulas mengenai penyebaran fitnah oleh pihak tertentu yang cuba mengaitkan Kerajaan Terengganu dan PAS dengan insiden kekasaran terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) di Kemaman baru-baru ini.
Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata segala fakta perlu diteliti sebaik mungkin dan bukan membuat tuduhan melulu bagi mengelak timbulnya fitnah memandangkan kes itu menjadi tular dan mendapat perhatian ramai pihak di seluruh negara.
"Cuma, saya minta kepada semua pihak di luar sana supaya meneliti fakta sebenar dan mengelakkan fitnah (berkenaan kes ini) sebab saya lihat sangat viral (tular) fitnah kiri dan kanan yang sangat tidak berasas.
"Berkenaan kes ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya malah ia telah pun di peringkat akhir siasatan sebelum diberi kepada pihak berikutnya,
"Berpolitik, politik juga tetapi fitnah jangan diamalkan sebab itu tanggungjawab kita dengan tuhan, kalau nak jawab di hadapan tuhan, silakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini pada Rabu.
Tambah Ahmad Samsuri, perkara tersebut juga disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan ADUN Chukai, Hanafiah Mat baru-baru ini.
"Saya tak nak komen lebih lanjut cuma saya rasa cukup dengan apa yang disebut oleh ADUN Chukai dan ADUN Kijal yang juga selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini," jelasnya.
22 Jan 25
13610
Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran
DUNGUN, 22 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam perancangan untuk menubuhkan Akademi Al-Quran yang bakal menjadi mercu tanda dalam memartabatkan syiar Islam secara konsisten.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, akademi itu ditubuhkan sebagai inisiatif menjadikan pendidikan berasakan al-Quran sebagai fokus utama agar dapat dihayati dengan baik.
"Akademi ini bertujuan untuk memberikan pendekatan yang lebih sistematik dan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran.
"Sekali gus memperkukuhkan penghayatan terhadap wahyu ilahi dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Arena Square, di sini, semalam.
Mengulas mengenai tilawah dan hafazan yang diadakan bermula semalam itu, Ahmad Samsuri berkata ia merupakan manifestasi kecintaan terhadap al-Quran terhadap wahyu ilahi yang menjadi sumber inspirasi dan pedoman hidup.
"Penghayatan al-Quran, tidak seharusnya terhad kepada pembacaan atau hafazan sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan berkerajaan, bermasyarakat, hubungan merentasi kaum dan agama, berurus niaga, berkeluarga dan akhlak yang mulia.
"Majlis (seumpama ini) memberikan peluang kepada kita untuk lebih memahami keindahan seni bacaan al-Quran namun ia juga mengingatkan kita bahawa intipati sebenarnya adalah seruan kepada kebenaran, keadilan dan kasih sayang," jelas beliau.
22 Jan 25
524
Wakil OKU Kecewa Tindakan Pukul OKU
KUALA NERUS, 22 Januari – Persatuan OKU Seberang Takir kecewa dengan peristiwa yang berlaku di Kemaman baru-baru ini apabila seorang insan OKU yang telah diperlakukan dengan tidak wajar oleh sekumpulan individu di Pasar Tani Padang Astaka di Kemaman pada Jumaat lalu.
Biro Media dan Belia Pusat Sumber PERTIS, Anis Sakinah Abdul Aziz berkata, beliau terkilan apabila mendengar peristiwa yang tular berlaku melibatkan warga OKU.
“Walaupun siapa kita sama ada OKU atau normal, tindakan sedemikian sangat zalim dan tidak bertamadun. Apabila sesuatu berlaku kenapa kita perlu guna kekerasan. Ditanya lagi, apa perlu dibuat jika berlaku lagi perkara yang sama.
“Kalau berlaku depan mata akita, segera lapor kepada Polis bukan bertindak sendiri," ujarnya lagi kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Sementara itu, Abdul Halim Che Ibrahim, 65, turut senada tidak bersetuju dengan tindakan sendiri yang dibuat.
"Akibat tidak berpuas hati dan mengambil tindakan sendiri maka kesalahan kecil bertukar kepada kes jenayah.
"Beliau yang juga pengerusi JPKK Seberang Takir menasihati orang ramai jangan bertindak mengikut emosi, lapor kepada pihak berkuasa, negara kita ada undang-undang," jelasnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim turut bersimpati terhadap kejadian yang berlaku, ketika menziarahi saudara Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang sedang diberikan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kelmarin.
“Melihat kepada kehangatan isu yang sedang diperkatakan, masih ada segelintir pihak mengambil kesempatan dengan mempolitikkan isu tersebut bagaikan setiap perkara perlu dijadikan modal politik.
“Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu peka terhadap nasib mereka yang tergolong dalam kategori OKU mental agar peristiwa sebegini tidak berulang dengan merujuk kepada pihak bertanggungjawab bagi mendapatkan bantuan,” tegasnya lagi
22 Jan 25
231