Artikel "Utama" Terkini
10 'Bapa Culas' Dipenjara di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Sejak tahun 2012 sehingga tahun 2024 , seramai 10 'bapa culas' dipenjarakan akibat gagal melunaskan pembayaran nafkah anak-anak sebagaimana diperintahkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, YAA Dato' Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, hukuman tersebut dilaksanakan jabatan sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
"Orang yang hendak (diperintahkan) dihantar ke penjara ini ramai, tetapi apabila kita ingin hantar ke penjara tiba-tiba dia boleh bayar, jadi sepuluh orang tadi ialah yang betul-betul tidak mahu bayar dan masuk ke penjara.
"Kita ikut apa yang ada dalam peruntukan undang-undang, diantaranya dipenjarakan dan sudah ada yang dipenjarakan kerana gagal membayar nafkah itu. Dalam masa sama juga, bagi yang bekerja kerajaan kita buat bentuk potong gaji, itu peruntukan yang ada.
"Dalam menentukan berapa jumlah patut bayar ini, mahkamah telah mengambil kira dari segi keperluan anak dan kemampuan bapa jadi keputusan yang dibuat mahkamah ialah satu keputusan yang bapa mampu bayar. Cuma, masalah sekarang ialah berlaku keculasan membayar apabila telah mendapat perintah," katanya.
Beliau berkata demikikan kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Literasi Undang-undang dan Program Penyampaian Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) siri 1 bagi tahun 2025 di Jabatan Kehakiman Syariah, di sini hari ini.
Menurut beliau, ada juga perintah yang telah mendapat persetujuan bersama walaupun begitu tetap berlaku keculasan, jadi bentuk pelaksanaan perintah yang ada daripada mahkamah syariah, sama ada bagi sebulan tidak bayar nafkah boleh dipenjarakan sehingga sebulan dan dibuat potongan gaji di bawah Tahanan Tenaga Pendapatan.
"Biasanya, hakim tidak beri sehingga sebulan cuma kita perintahkan, sebab apabila ingin dipenjarakan mereka terus bayar," tambahnya.
Wan Mohd Zakri memaklumkan, dalam pemerkasaan syariah bukan sahaja perkara terlibat jenayah tetapi juga isu pematuhan perintah mahkamah yang menjadikan kesalahan suami atau isteri tentang pematuhan arahan mahkamah merupakan satu perkara yang serius dan tidak boleh dipandang mudah.
Dalam program berkenaan, seramai 21 ibu tunggal menerima bantuan nafkah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM46,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, mewakli agensi yang menjadi penyumbang utama usaha berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Khalil menyokong usaha dilakukan BSK dalam membantu ibu-ibu tunggal semasa tempoh prosiding mahkamah.
"Sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan beban mereka. Kita di bawah kerajaan negeri memiliki banyak agensi dan jabatan yang mengambil bahagian dalam memberi kebajikan kepada rakyat khususnya fakir miskin.
"Kalau di peringkat persekutuan ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita ada Tabung Darul Iman. Ini salah satu (usaha) yang kita gabung jalinkan semua. Program ini adalah program tahunan yang mana kalau ikut tahun ini jumlahnya lebih ramai, cuma penerima hari ini dalam kategori fakir miskin seramai 21 orang," katanya.
"Selain itu, antara mekanisma yang kita ambil di pihak kerajaan negeri bermula tahun ini ialah kita mengadakan karnival indahnya hidup bersyariat.
"Karnival ini melibatkan bayak agensi dan jabatan dengan salah satunya kita memberi pengisian dalam topik dan tajuk tertentu untuk beri kesedaran kepada masyarakat termasuk isu-isu yang bekait dengan pengurusan keluarga, talak cerai, nafkah anak dan seumpamanya," katanya.
17 Feb 25
930
Remaja 13 Tahun Ketagih 'Vape Mushroom', Kerajaan Digesa Bertindak Segera
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Kerajaan digesa bertindak segera bagi membendung masalah dadah 'magic mushroom' menggunakan rokok elektronik atau vape yang kian parah dalam kalangan remaja belasan tahun.
Pengurus Pusat Pemulihan Dadah Holistik milik Terengganu, Alif Mahari berkata, beliau sedih melihat sorang remaja lelaki berusia 13 tahun dihantar ke pusat pemulihan Darul Barakah itu akibat ketagihan dadah tersebut.
"Dadah ini dilaporkan semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah dan boleh menyebabkan gangguan mental yang serius jika digunakan secara berterusan selama setahun.
"Remaja tersebut memperoleh bahan terlarang ini daripada seorang pelajar senior perempuan di sekolahnya, yang mendapat bekalan daripada penjual vape yang mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan kesan buruk terhadap generasi muda.
"Dengan harga serendah RM1 untuk setitik, dadah ini mudah diakses oleh pelajar, menjadikannya ancaman serius kepada kesihatan mental mereka," kata beliau di Facebook.
Mengulas lanjut, Alif berkata setelah dua minggu di Darul Barakah, remaja tersebut dipindahkan ke pusat lain kerana pusat Perkampungan Darul Barakah hanya menerima individu berusia 18 tahun ke atas.
Bertitik tolak daripada itu, beliau menggesa kerajaan untuk menarik balik lesen penjualan vape dan menutup semua operasi berkaitan.
"Mudaratnya lebih besar daripada manfaat dan jika dibiarkan berterusan, negara mungkin akan menghadapi situasi di mana setiap rumah mempunyai seorang penagih.
"Tindakan segera mesti diambil untuk melindungi masa depan generasi muda dan mengejar keuntungan tidak seharusnya mengorbankan masa depan anak bangsa," tegasnya.
17 Feb 25
244
Kedah Jadi Rujukan Terengganu Dalam Pengurusan Sisa Pepejal
ALOR SETAR, 17 Februari – Kerajaan Terengganu menjadikan Kedah sebagai rujukan bagi pelaksanaan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa pepejal serta kebersihan awam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum akta ini dapat dilaksanakan bagi memastikan sistem pengurusan sisa pepejal lebih sistematik dan lestari.
“Kehadiran delegasi kerajaan negeri ke Kedah hari ini adalah untuk melihat sendiri pelaksanaan Akta 672 yang telah dikuatkuasakan di Kedah sejak 15 tahun lalu.
“Terengganu masih belum menandatangani pelaksanaan akta ini, sama seperti Perak dan Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut, semalam.
Ketibaan beliau bersama 22 delegasi di Wisma Darul Aman telah disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria.
Turut hadir dalam lawatan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid.
Dalam pada itu, Wan Sukairi memaklumkan, kerajaan negeri telah menjalankan beberapa kajian serta lawatan ke beberapa buah negeri sebelum ini, termasuk ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Negeri Selangor.
"Tujuannya bagi mendapat maklumat lebih mendalam sebelum membawa perkara ini kepada perbincangan yang lebih khusus di peringkat negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Mejar (B) Mansor Zakaria menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Terengganu atas kesudian hadir bagi mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelaksanaan pengurusan sisa pepejal di Kedah.
“Apa yang kami kongsikan hari ini adalah terbuka kepada semua. Negeri Kedah melihat pelaksanaan Akta 672 sebagai satu keperluan penting kerana ia telah membantu mengurangkan aduan berkaitan sampah.
“Selain itu, kerajaan negeri turut menerima manfaat melalui program kemasyarakatan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang bertanggungjawab dalam pengurusan sisa pepejal,” katanya.
17 Feb 25
466
KKYT Sasar 90 Peratus Kebolehpasaran Graduan Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu (KKYT) meletakkan sasaran 90 peratus kebolehpasaran graduannya untuk tahun ini, berbanding pencapaian sekitar 80 peratus pada tahun lepas.
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KKYT, Dr Wan Mansor Wan Mahmood berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai inisiatif dan program kepada mahasiswa bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang pekerjaan.
“Bagi memberi nilai tambah kepada graduan, kita menggalakkan mereka mengikuti kursus-kursus tertentu seperti kursus bahasa, teknologi dan maklumat serta lain-lain yang sesuai semasa mereka mengikuti pengajian di sini.
“Ini kerana, ketika di kolej tidak cukup dengan hanya menumpukan kepada pengajian dalam kelas, tetapi mereka mesti juga mempersiapkan diri dengan kemahiran lain supaya akan ‘laku’ apabila memasuki pasaran kerja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen KKYT Kali Ke-7 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Duyong Marina Resort, di sini, semalam.
Sementara itu, Wan Mansor berkata, KKYT dijangka menawarkan program kulinari selewatnya akhir tahun ini sebagai inisiatif melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam bidang berkenaan.
“Tahun ini akan ada kursus baru, kita cuba bekerjasama dengan mana-mana institut kemahiran yang berminat dan sekarang di peringkat perbincangan,” ujarnya.
Menurut beliau, ketika ini KKYT menawarkan program bagi Diploma Pentadbiran Sistem Komputer dan Diploma Pentadbiran Sistem Maklumat.
“Serta Sijil Operasi Sistem Komputer dan Sijil Pentadbiran Pejabat,” katanya.
17 Feb 25
278
Kerajaan Terengganu Sedia Rumah Sementara Mangsa Kebakaran
KUALA NERUS, 16 Februari – Mangsa kebakaran di hadapan Masjid Seberang Takir telah mendapat perhatian segera Kerajaan Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat.
Khazan berkata pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seberang Takir telah menyediakan kediaman sementara untuk mangsa berlindung sementara waktu.
“Dalam pada itu kita juga telah menghulurkan bantuan segera seperti barangan keperluan seperti alas toto, selimat, bantal dan barangan keperluan yang lain.
“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meringankan beban keluarga terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi keluarga berkenaan di sini semalam.
Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat, dua buah rumah telah musnah dijilat api, manakala dua buah lagi mengalami kerosakan teruk.
Sementara itu Pengerusi JPKK Seberang takir, Abdul Halim Che Ibrahim memaklumkan mangsa telah ditempatkan sementara di rumah rehat miliknya tanpa dikenakan sebarang bayaran.
“Pihak MAIDAM dan Tabung Darul Iman telah mengetahui perkara ini dan kita berharap agar ada berita baik untuk mereka untuk kembali mendapatkan kediaman semula,” jelas beliau.
16 Feb 25
1434
Inisiatif MBKT Terima Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Inisiatif Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memasang papan tanda yang memaparkan kalimah suci membesarkan Allah SWT di jalan-jalan utama negeri ini menerima respon positif daripada masyarakat setempat.
Rata-rata rakyat negeri ini menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu kerana secara tidak langsung apabila melihat papan tanda itu setiap orang akan turut berzikir.
Usaha tersebut dilihat terus mengekalkan identiti Terengganu yang mana sebelum ini telah menarik perhatian artis terkenal tanah air, Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai Monoloque.
Monoloque kagum dengan slogan-slogan dalam bahasa Melayu serta jawi yang ada di negeri ini.
Sebelum ini, penyanyi itu berkongsi pengalaman ketika berada di Terengganu apabila melihat papan tanda yang menyatakan 'Berjudi dan Arak Membinasakan'.
"Slogan-slogan seperti itu sudah tidak ada di Kuala Lumpur semuanya ingin menggunakan bahasa Inggeris," ujarnya.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh MBKT itu bagi menerapkan syiar Islam mula diletakkan di beberapa kawasan yang difikirkan sesuai.
Terutama di pembahagi-pembahagi jalan telah pun dipasang dengan papan-papan tanda tersebut.
16 Feb 25
1112
Hishamuddin Dipilih EXCO FAM Dengan Undi Kedua Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim telah dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61.
Beliau mendapat undi kedua tertinggi bagi jawatan EXCO FAM dengan mendapat 17 undi, di belakang pemain bola sepak lagenda Datuk Zainal Abidin Hassan yang meraih 18 undi.
Beliau merakamkan penghargaan sokongan semua pihak dan menyedari ia tanggungjawab besar.
"Ia bukanlah satu kegembiraan atau kebanggaan, malah ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas.
"Situasi sempena kongres ini antara yang paling sukar untuk membuat keputusan sama ada bersedia untuk bertanding atau tidak.
"Harapan persatuan-persatuan negeri dan gabungan lain yang mencadangkan nama saya sebagai salah seorang calon perlu diambil kira," ujarnya melalui suatu kenyaatan di facebooknya, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata pihak terbabit sebelum ini telah berulang kali berusaha bagi memastikan namanya tersenarai dalam pemilihan ini.
"Paling utama adalah harapan pihak FA Terengganu sendiri yang mengharapkan agar ada wakil dari Terengganu yang berada dalam kepimpinan FAM.
"Doakan saya dan semua pimpinan FAM yang terpilih dapat melaksanakan tugasan dengan baik dan penuh persaudaraan bersama semua ahli gabungan yang bernaung untuk pembangunan bola sepak negara," jelas beliau.
16 Feb 25
331
1,252 Penduduk DUN Kijal Terima Bantuan Banjir
KEMAMAN, 16 Februari - Seramai 1,252 penerima yang terdiri daripada mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan bagi meringankan beban mereka akibat musibah yang melanda baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, bantuan tersebut disalurkan secara berperingkat kepada mangsa yang ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan terbabit.
“Pada Jumaat lepas, Seramai 702 penerima dari tiga PPS iaitu Teluk Kalong, Meraga Beris, dan Titian Berayun telah menerima bantuan yang disampaikan di Surau Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.
“Seterusnya, Khamis lepas pula, seramai 368 penerima dari PPS Dewan Sivik Bukit Kuang dan PPS Balairaya Kampung Bukit Kuang bertempat di Masjid Ar-Rahman,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Razali turut memaklumkan bahawa seramai 182 penerima dari empat PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, PPS Padang Kemunting, PPS Batu 9, dan PPS Padang Kubu menjadikan jumlah keseluruhan 1,252 penerima.
“Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mangsa-mangsa banjir untuk bangkit semula selepas berdepan dengan ujian ini,” katanya.
16 Feb 25
360
Tanah Bencah Aset Ekopelancongan Terengganu
SETIU, 16 Februari – Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands), yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem uniknya, terus menjadi aset ekopelancongan penting bagi negeri Terengganu.
Sempena sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri, kerajaan Terengganu menegaskan komitmennya dalam memelihara khazanah semula jadi kawasan tanah bencah itu sambil menaikkan pelancongan ekologi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris menekankan kepentingan tanah bencah dalam menyeimbangkan ekosistem, membekalkan sumber air bersih, dan memastikan kelangsungan biodiversiti.
“Tema sambutan tahun ini, ‘Melindungi Tanah Bencah Demi Masa Depan Bersama,’ amat bertepatan dengan peranan penting yang dimainkan oleh tanah bencah dalam menyokong ekopelancongan.
“Tanah Bencah Setiu merupakan contoh terbaik khazanah alam yang bukan sahaja menjadi habitat pelbagai flora dan fauna, tetapi juga daya tarikan kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perasmian program sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Jeti Gong Batu, Setiu, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.
Tambah Razali, kewujudan sepuluh ekosistem berbeza dalam satu kawasan di Tanah Bencah Setiu turut mampu bertindak sebagai benteng semula jadi terhadap kesan perubahan iklim seperti banjir dan hakisan pantai.
Ujarnya, Kerajaan Terengganu tetap komited dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti. Agensi seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), Jabatan Perhutanan, dan WWF Malaysia terus bekerjasama dalam program pemuliharaan yang mengimbangi pertumbuhan pelancongan dengan pemeliharaan ekologi.
“Penglibatan pelbagai pihak dalam program hari ini membuktikan bahawa pemuliharaan adalah tanggungjawab bersama.
“Pembangunan pelancongan lestari di Tanah Bencah Setiu amat penting untuk memastikan generasi akan datang terus menikmati keindahan semula jadi dan manfaat ekologi yang ditawarkan," jelasnya.
Sambutan itu turut menyaksikan penglibatan aktif masyarakat setempat, pelajar, NGO, serta agensi kerajaan melalui pelbagai aktiviti seperti berkayak, jelajah alam semula jadi, penanaman pokok bakau dan gelam, serta pelepasan ketam.
Kerajaan menyeru semua pihak, termasuk sektor swasta dan komuniti setempat, untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kelestarian tanah bencah ini agar kekal sebagai salah satu destinasi ekopelancongan utama di Malaysia.
16 Feb 25
353
Malaysia Dalam Bahaya, DAP Pura-Pura Faham Islam
MARANG, 16 Februari - Malaysia kini berada dalam bahaya apabila parti DAP berpura-pura faham mengenai Islam sehingga seringkali dilihat berlaku percubaan mencampuri urusan umat Islam dan menuntut sesuatu yang tidak relevan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu dapat dilihat melalui Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mempertikaikan tentang hak orang Islam.
Menurut beliau, amat dikesali kerana DAP menunjukkan mereka kononnya mengambil cakna tentang Islam dan juga agama-agama selainnya pada hakikatnya jelas mengandungi agenda tersembunyi.
"Juga telah dituntut supaya mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Agama Bukan Islam, pada hakikatnya kita perlu sedari bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak berlandaskan kepada agama.
"itu boleh dilihat dari Perlembagaan DAP, sebenarnya mereka memperjuangkan Malaysian Malaysia dan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj di Masjid Kampung (Kg) Rawai, di sini, kelmarin.
Tegas Khalil, tindakan DAP itu dilihat melampau melalui ucapan dan tuntutan yang sengaja menyentuh sensitiviti rakyat di negara ini terutama kepada mereka yang beragama Islam.
"Sedangkan kita sudah hidup dalam keadaan aman dan damai keranaa pengorbanan orang Melayu Islam dan juga Bumiputera yang berjiwa besar menerima masyarakat pendatang yang dibawa oleh penjajah British sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan.
"Mereka sepatutnya menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang dihuni oleh majoriti masyarakat Islam dan Islam merupakan agama rasmi persekutuan diambil daripada semangat negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu yang menjadikan Islam sebagai agama negara.
"Sejak zaman kesultanan Melayu Islam sehingga kewujudan Malaysia apabila mencapai kemerdekaan itu dapat dilihat daripada undang-undang tubuh negeri seperti Terengganu, Johor, Selangor, Kelantan dan lain-lain,"ucap beliau.
16 Feb 25
421