lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

“Gembira Pilih Baju, Dapat Duit Raya!” – 130 Asnaf Dirai
“Gembira Pilih Baju, Dapat Duit Raya!” – 130 Asnaf Dirai
Oleh : Mohamad Farhan Anam KUALA TERENGGANU, 14 Mac – “Seronok sangat! Dapat pilih baju raya sendiri,” kata seorang penerima yang tersenyum lebar ketika sibuk memilih pakaian di Mydin Mall dalam program Iftar Sentuhan Kasih Ramadan 1446H. Seramai 130 penerima diraikan dalam program ini yang dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, bersama penyumbang utama seperti EPIC Berhad, Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Iman Care dan Mandalika. Setiap penerima menerima RM150 untuk membeli pakaian raya, selain duit raya RM100. Menurut Zuraida, program bermula dengan sesi membeli pakaian, di mana kanak-kanak dan keluarga asnaf dibawa menaiki bas khas dari Masjid Raja ke pusat membeli-belah. “Seronok tengok adik-adik kita tersenyum sambil mencuba baju baru,” ujar Zuraida yang turut serta dalam sesi tersebut semalam. Jelas beliau, selepas itu, mereka dibawa ke sebuah hotel bagi menunaikan solat Asar berjemaah sebelum menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh kesyukuran. "Majlis ini bukan sekadar berkongsi rezeki, tetapi juga mengeratkan silaturahim dan menyuburkan kasih sayang dalam bulan yang mulia ini," tambah beliau. Dengan wajah yang berseri-seri, penerima pulang membawa bukan sahaja pakaian dan sumbangan, tetapi juga kenangan manis yang akan dikenang hingga ke Syawal.
14 Mar 25
304
Ops Supik Hitam: Dua Kedai Dikompaun RM2,500
Ops Supik Hitam: Dua Kedai Dikompaun RM2,500
KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Dua buah kedai di daerah ini dikompaun keseluruhan RM2,500 dalam operasi bersepadu Ops Supik Hitam yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), semalam. Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, operasi berkenaan dijalankan bermula pukul 10.30 pagi hingga 1.30 petang di premis makanan sekitar bandar raya ini. "Kita nasihatkan semua umat Islam untuk sentiasa menjaga kesucian bulan Ramadan dengan tidak sesekali terjebak dengan mana-mana kesalahan jenayah syariah," ujarnya. Sehubungan itu, beliau meminta para peniaga mematuhi waktu operasi premis sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan MBKT.  "JHEAT dengan kerjasama agensi berkaitan dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang terlibat dengan kesalahan ini," ujarnya. 
14 Mar 25
709
Sukan Tradisional 'Tonik' Baru Pikat Pelancong Ke Terengganu
Sukan Tradisional 'Tonik' Baru Pikat Pelancong Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Sukan tradisional seperti memanah, gasing dan wau mampu dijadikan tonik baharu dalam meningkatkan kehadiran pelancongan ke negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kejayaan mengangkat sukan-sukan berkenaan mampu mewujudkan segmentasi baru dalam tumpuan pelancong ke negeri itu. "Tujuan saya sebenarnya besar, tetapi terlebih dahulu saya ingin lihat kesungguhan penganjur, sebab acara-acara tradisional ini dia perlu ada kesungguhan penganjur yang mempunyai minat mendalam. Kalau kita tengok ia biasanya dilaksanakan penganjur yang bersifat pemain atau pengamal sukan tersebut dan menjadi peserta sekali. "Acara memanah tradisional memang kita hendak masukkan dalam kalendar pelancongan negeri, saya sedang buat penelitian mendapatkan jumlah berapa pembuat busur, pemanah tradisional dan pemain yang sudah berada di taraf antarabangsa. "Sukan lain seperti gasing, wau ini kita telah ada di Kampung Budaya Terengganu (KBT). Suma sukan ini tidak sebesar sebagaimana dulu-dulu kerana pemainnya dari dalam negara sahaja. Saya telah maklumkan pengurus besar KBT, supaya sukan ini diadakan pertandingan untuk menghidupkannya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Tambahnya, sukan memanah menjadi tumpuannya ketika ini berikutan ia bersifat antarabangsa. "Dari Iran pun ada, di sebelah Timur Tengah juga ada peminatnya sama ada memanah sahaja atau memanah berkuda. Saya fikir memanah ini memang kita akan kumpul persatuan mereka untuk dijadikan satu produk baru pelancongan Terengganu," jelasnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berharap, tahun ini dapat dijadikan momentum dalam menerima pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026. "Pada 2024, saya amat bangga dengan kehadiran pelancong melebihi sasaran, cuma penyusunan dari segi acara perlu dikemas kini. Disebabkan itu pada tahun ini acara-acara utama lebih banyak dari tahun lepas dan lebih bersifat antarabangsa. "Dalam masa sama, kita cuba membaik pulih beberapa kemudahan dan infrastruktur yang wajib. Di Terengganu ini, pulau-pulau menjadi segmen pelancongan paling panas, sebab itu kita membaik pulih jeti dan kemudahan di pulau-pulau di seluruh Terengganu. "Tahun depan, kita akan sambut pelancong ke negara kita dan berusaha memastikan Terengganu jadi destinasi wajib singgah," ujarnya. Dalam pada itu, hasrat itu tampak bakal menjadi nyata apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim baru-baru ini memaklumkan,  Festival Memanah Tradisional Busur OWL 916 akan kembali lagi bagi edisi penganjuran tahun 2025 yang akan diadakan di Padang Polo, Terengganu Equestrian Resort pada 28 hingga 29 Jun 2025. Dijangka 2000 orang peserta melibatkan penyertaan daripada dalam dan luar negara yang akan menyertai festival berkenaan.  
13 Mar 25
64
ADUN Rai 300 Pelajar Tahfiz Berbuka Puasa
ADUN Rai 300 Pelajar Tahfiz Berbuka Puasa
KEMAMAN, 13 Mac – Seramai 500 pelajar institusi pondok dan tahfiz dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diraikan dalam satu Majlis Iftar Institusi Pondok dan Tahfiz bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris yang berlangsung di Dewan DITC, Kemaman semalam. Pengarah program, Mohamad Rosli AB Rahman berkata, majlis tersebut bertujuan menghimpunkan pelajar tahfiz untuk mempereratkan ukhuwah selain mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian rohani yang bermanfaat. “Majlis bermula pada jam enam petang diawali dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Isma Azim Ismaizam, tenaga pengajar dari Maktab Asy Syarif, yang memberikan peringatan mengenai kelebihan Ramadan serta kepentingan menuntut ilmu sebagai asas kejayaan dunia dan akhirat. “Seramai enam institusi tahfiz terlibat dalam majlis ini, termasuk Raudhatul Hijrah, Maktab Asy Syarif, Madrasah Darul Uloom, Pusat Pengajian Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Darul Huffaz TATI Skills, dan Madrasah Jamiah Raudhah Al Ilm,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. Program yang dirasmikan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Suhaimi Embong, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad dan Pengerusi Jawankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Teluk Kalong, Mohd Zuki Abdul Ghani.  Sementara itu, Razali berkata program itu bukan sahaja sekadar berbuka puasa bersama, tetapi juga sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan jaringan antara institusi tahfiz dan pondok di DUN Kijal.  “Saya berharap program ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai penghargaan kepada pelajar yang gigih menuntut ilmu agama,” katanya.   Majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum para pelajar dan tetamu menikmati jamuan berbuka puasa yang disediakan.          
13 Mar 25
133
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
'My Safe Road' Usaha Kurangkan Kadar Kemalangan Kalangan Belia
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu telah mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai 'My Safe Road Terengganu' dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan(NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, apa yang merisaukan adalah golongan belia mencatatkan angka tertinggi dalam kemalangan jalan raya di Terengganu yang kebiasaannya merupakan pengguna motosikal. "Insya-Allah, pihak Kerajaan Negeri amat berbesar hati atas usaha kerjasama ini dan akan membuka ruang buat pihak JPJ terlibat sama dalam aktiviti melibatkan belia. "Dalam usaha memberikan kesedaran semasa (ketika) berada di jalan raya," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, semalam. Dalam pada itu beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pengarah JPJ negeri Terengganu bersama delegasi pihak terbabit yang telah mengadakan kunjungan hormat  di Wisma Darul Iman, bagi membincangkan usaha mengurangkan kemalangan di negeri Terengganu.  
12 Mar 25
130
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu menjalin satu kerjasama strategik dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sekali gus bakal manfaat kepada rakyat negeri ini dalam memiliki kemahiran mencukupi dalam kerjaya. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas kesudian HRD menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri. "Pendekatan kolaboratif yang diambil oleh HRD Corp ini dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat positif dalam menyokong Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) untuk memastikan pembangunan modal insan dan ekonomi di negeri ini dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan. "Untuk pengetahuan umum, syarikat ini juga bernaung di bawa kelolaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa visi HRD Corp untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki kemahiran yang mencukupi dan berupaya untuk bekerja akan turut memberi manfaat kepada rakyat Negeri Terengganu. "Ini sekali gus dapat membuka peluang bagi mereka untuk menempatkan diri dalam bidang kerjaya dan merealisasikan impian mereka,"ujar beliau.  
12 Mar 25
585
Anak Asnaf Terima Sumbangan Istimewa Melalui Projek Baju Raya
Anak Asnaf Terima Sumbangan Istimewa Melalui Projek Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Seramai 60 orang anak asnaf dari daerah Kuala Nerus dan Setiu menerima sumbangan istimewa menerusi Program Projek Baju Raya 2025, yang bertujuan memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.   Menurut Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang, penerima bantuan terdiri daripada anak-anak yatim, keluarga miskin, serta mereka yang berpendapatan rendah, bagi membolehkan mereka merasakan kegembiraan Syawal seperti kanak-kanak lain.   "Kami mahu mereka merasai sendiri pengalaman membeli pakaian raya baharu, menjadikan Aidilfitri mereka lebih istimewa dan penuh kegembiraan," katanya kepada pemberita di Mayang Mall, di sini kelmarin.   Dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM18,000, program itu bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada anak-anak asnaf, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk menikmati pengalaman memilih sendiri pakaian raya seperti rakan-rakan sebaya mereka.   Majlis penyampaian sumbangan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, serta Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Terengganu, Wan Radziah Wan Mokhtar.     Ujar Zuwislan, setiap anak asnaf menerima bantuan sebanyak RM300 yang diperuntukkan oleh MAIDAM untuk membeli pakaian raya pilihan mereka.   "Sekiranya ada keperluan tambahan, ibu bapa angkat akan membantu menampung lebihan perbelanjaan di pusat beli-belah ini," tambah Zuwislan.   Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan telah memasuki tahun kelima dan akan diteruskan dengan pelbagai inisiatif lain, termasuk Projek Baju Sekolah bagi membantu pelajar mendapatkan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.   "Insya-Allah, program ini akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan mendapat manfaat, terutama dalam aspek kebajikan dan pendidikan," katanya.   Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih ramai anak-anak asnaf dapat merasai kemeriahan Aidilfitri tanpa kekangan kewangan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.        
12 Mar 25
244
Kompleks Sukan Negeri Terengganu Kini Miliki Gelanggang Bola Sepak Pantai
Kompleks Sukan Negeri Terengganu Kini Miliki Gelanggang Bola Sepak Pantai
KUALA NERUS, 12 Mac  - Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah menggerakkan usaha pembinaan sebuah gelanggang bola sepak pantai di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, usaha berkenaan bertujuan merancakkan sukan bola sepak pantai di negeri Terengganu secara lebih selamat dan memenuhi standard yang ditetapkan pihak berautoriti. Menurutnya, gelanggang bola sepak pantai yang baharu ini dijangka siap pada minggu ini dan bakal digunakan sebagai tempat latihan pasukan Bola Sepak Pantai Kebangsaan. “Kebetulan pihak kejurulatihan Bola Sepak Pantai Kebangsaan turut bersama dan telah menyatakan hasrat untuk memulakan sesi latihan di sini. “Insya-Allah pemasangan lampu limpah sementara akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat buat kegunaan latihan pasukan Bola Sepak Pantai Kebangsaan. “Sementara itu, komponen-komponen lain akan dibangunkan secara berstruktur dan berperingkat bagi kemudahan pengguna di sini, Insya-Allah. “Semoga dengan usaha ini, Negeri Terengganu akan melahirkan pemain bola sepak pantai yang lebih berkualiti dan membantu nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.  
12 Mar 25
1843
Projek Rumah Mampu Milik Bukit Gasing II Hampir Siap
Projek Rumah Mampu Milik Bukit Gasing II Hampir Siap
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II di Marang kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 78 peratus. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, satu sesi kunjungan dilakukan daripada pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang bagi mendapatkan pemakluman terkini mengenai status pembinaan. Menurut beliau, pertemuan itu membincangkan beberapa aspek penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek sehingga siap sepenuhnya. "Projek ini menunjukkan perkembangan yang positif dengan kerja-kerja utama seperti struktur bangunan, pemasangan bumbung, serta sistem perpaipan dan pendawaian elektrik hampir siap sepenuhnya," Wan Sukairi berkata demikian melalui hantaran Facebook rasminya semalam. Sebagai rekod, projek di bawah kerajaan negeri itu merangkumi 238 unit rumah dan terbahagi kepada dua jenis; jenis A sebanyak 133 unit dan jenis B sebanyak 65 unit. Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wakaf Mempelam pernah menjelaskan punca atau isu yang mengakibatkan kelewatan bagi penyiapan projek perumahan tersebut. Antara punca dan isu yang berlaku adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika COVID-19 melanda sehingga terpaksa ditangguhkan dan beberapa lagi isu berkaitan yang membantutkan proses penyiapan. Walau bagaimanapun, kemajuan pembinaan yang telah berjaya dicapai pada masa ini menandakan perkembangan positif dalam usaha kerajaan negeri menyediakan kediaman berkualiti untuk rakyat. "Kerajaan negeri terus komited dalam memastikan projek ini berjalan lancar, dengan pemantauan rapi dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pembinaan menepati standard yang ditetapkan," ujarnya.
12 Mar 25
1242
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
Oleh : Mohd Syauqi Harun KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat dua beranak selepas mereka menerima rumah baharu melalui Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS), hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, objektif utama penyediaan kediaman baharu itu merupakan salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di kawasan Batu Buruk. “Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu di samping menepati syarat-syarat yang ditetap. "Semoga kediaman baharu ini menjadi tempat berteduh yang selesa dan penuh keberkatan buat beliau sekeluarga.  "Usaha ini melambangkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan," katanya. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata sedemikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyerahan replika kunci rumah PPTS, sebentar tadi. Ibu tunggal kepada seorang anak, Sakirah Mat Yunus, 43, dari Kampung Kolam Kuala Ibai, Batu Buruk mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk meraikan Aidilfitri di kediaman sendiri akhirnya tercapai. “Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada YB Dr. Khalil dan semua pihak yang terlibat atas usaha untuk mendapatkan saya sebuah rumah untuk kami sekeluarga berteduh.  “Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ini hanya dengan menumpang rumah ibu saya,” tambahnya. Kata Sakirah lagi, pemberian itu juga amat bermakna baginya dalam menyediakan ruang yang lebih selesa untuk anaknya yang masih bersekolah. “Selepas ini anak saya dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.
11 Mar 25
228