lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

280 Calon STPM Hulu Terengganu Dan Marang Terima Bantuan Pendidikan RM500
280 Calon STPM Hulu Terengganu Dan Marang Terima Bantuan Pendidikan RM500
HULU TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM140,000 Bantuan Pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2024/2025 kepada 280 penerima bagi daerah Hulu Terengganu dan Marang. Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Megat Samsudin Megat Yusof berkata, bantuan sebanyak RM500 setiap seorang itu merupakan inisiatif Yayasan Terengganu dalam menghargai pelajar sekali gus mendorong mereka melakukan yang terbaik khususnya dalam peperiksaan STPM nanti. “Kemajuan dan kejayaan sesebuah negara dalam abad ke-21 ini bergantung kepada tahap pendidikan serta kualiti modal insan rakyatnya. “Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Terengganu telah berusaha secara konsisten melahirkan modal insan berkaliber bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terjamin di masa hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM Yayasan Teregganu Tahun 2024/2025 Daerah Hulu Terengganu & Marang di Dewan Sivik Ajil, di sini, hari ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil. Seramai 122 pelajar Tingkatan Enam dari empat buah sekolah menengah di daerah HuluTerengganu dan 158 pelajar dari enam buah sekolah menengah di daerah Marang menerima bantuan berkenaan. Sementara itu, Maliaman berkata, kerajaan negeri membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun melalui pelbagai insentif pendidikan untuk melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional mahupun global. “Bantuan Pendidikan STPM ini contohnya adalah salah satu manifestasi kerajaan negeri untuk terus memacu kecemerlangan modal insan berpaksikan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’. “Justeru kita mengharapkan pelajar dapat menggunakan (bantuan) secara bijaksana, penuh amanah dan bertanggungjawab. Teruslah tekun dalam pelajaran, tingkatkan displin diri serta tanamkan semangat untuk sentiasa menjadi insan yang terbaik,” ujarnya. Salah seorang penerima bantuan Noor Mazidah Aleeya Tiaramun, 20, dari Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana menerima sumbangan ini. “Saya sangat teruja dan berterima kasih kepada Kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu di atas sumbangan yang diberikan dapat membantu menampung kos pengajian nanti,”katanya. Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan Rafiq Hafizin Muhamad Rafi, 21,dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling (SMKA) berkata bantuan tersebut amat bermakna buat dirinya dan keluarga memandangkan hanya ibunya yang bekerja setelah kehilangan bapa dua tahun lalu. “Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bantuan ini sangat membantu kami dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya yang bercita cita menjadi seorang guru.  
25 Mar 25
248
23 Usahawan Terima Pinjaman Tanpa Caj Tambahan
23 Usahawan Terima Pinjaman Tanpa Caj Tambahan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac – Seramai 23 usahawan bertuah daripada ratusan pemohon berjaya menerima pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi siri pertama tahun ini. Dengan jumlah keseluruhan RM478,893.20, skim ini menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 bagi membantu perkembangan perniagaan usahawan tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun jumlah permohonan amat tinggi, hanya mereka yang benar-benar layak diberikan peluang buat masa ini. "Kita ada 23 orang usahawan yang berjaya. Ramai lagi yang mohon, tapi bila kita buat analisa, masih ada kekurangan di premis mereka yang perlu dinaik taraf sebelum lulus di masa akan datang. Hari ini, saudara bertuah kerana dipilih daripada kalangan yang ramai,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada penerima Skim Pembiayaan TUGAS Kali ke-1/2025, di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini semalam. Beliau menjelaskan, pembiayaan ini dilaksanakan secara berperingkat sebanyak tiga hingga empat kali setahun. "Pinjaman TUGAS ini tanpa faedah. Bayar hanya mengikut jumlah yang dipinjam.  "Pada hari ini, skim yang terlibat adalah seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Tabung Siti Khadijah (TSK).  "Tahun ini, jumlah pinjaman maksimum yang ditawarkan telah dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000, memberikan peluang lebih besar kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” tambahnya.
25 Mar 25
1186
Kerajaan Negeri Sasar Salur RM3 Juta Kepada Usahawan Terengganu Tahun Ini
Kerajaan Negeri Sasar Salur RM3 Juta Kepada Usahawan Terengganu Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan untuk menyalurkan RM3 juta melalui Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) tahun ini, sebagai usaha memperkasa usahawan tempatan. Sejak diperkenalkan pada 2019, TUGAS telah menyalurkan lebih RM29 juta kepada 5,101 usahawan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, peningkatan jumlah pembiayaan ini berbanding RM2 juta tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pertumbuhan ekonomi usahawan. "Skim ini bukan sekadar memberi pinjaman, tetapi menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan ke pasaran lebih luas, termasuk digital dan antarabangsa," katanya dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran TUGAS di sini, semalam. Selain pinjaman, kerajaan negeri turut merancang untuk menghidupkan semula pemberian geran dalam bentuk barang menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebagai tambahan kepada peruntukan wakil rakyat. "Dulu kita pernah beri RM50,000 setiap DUN. Insya-Allah, kita akan usahakan supaya bantuan ini dapat diteruskan," jelasnya.
25 Mar 25
90
Calon STPM Terengganu Dapat Bantuan RM688,000
Calon STPM Terengganu Dapat Bantuan RM688,000
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM688,000 Bantuan Pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2024/2025 kepada 1,376 penerima di seluruh negeri ini. Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, bantuan sebanyak RM500 setiap seorang itu merupakan inisiatif Yayasan Terengganu dalam menghargai pelajar sekali gus mendorong mereka melakukan yang terbaik khususnya dalam peperiksaan STPM nanti. “Kemajuan dan kejayaan sesebuah negara dalam abad ke-21 ini bergantung kepada tahap pendidikan serta kualiti modal insan rakyatnya. “Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Terengganu telah berusaha secara konsisten melahirkan modal insan berkaliber bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terjamin di masa hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM Yayasan Teregganu Tahun 2024/2025 Daerah Kuala Terengganu & Kuala Nerus di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini, hari ini. Dalam majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, seramai 272 pelajar Tingkatan Enam dari lapan buah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu dan 137 pelajar dari tiga buah sekolah menengah di Kuala Nerus menerima bantuan berkenaan. Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri membelanjakan puluhan juta ringgit setiap tahun melalui pelbagai insentif pendidikan untuk melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional mahupun global. “Bantuan Pendidikan STPM ini contohnya adalah salah satu manifestasi kerajaan negeri untuk terus memacu kecemerlangan modal insan berpaksikan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’. “Justeru kita mengharapkan pelajar dapat menggunakan (bantuan) secara bijaksana, penuh amanah dan bertanggungjawab. Teruslah tekun dalam pelajaran, tingkatkan displin diri serta tanamkan semangat untuk sentiasa menjadi insan yang terbaik,” ujarnya.
24 Mar 25
1284
12 Tahun Menanti Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
12 Tahun Menanti Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
SETIU, 24 Mac – Perasaan gembira dan syukur menyelubungi penerima hak milik rumah di Besut-Setiu Agropolitan (BSA) apabila impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas 12 tahun menunggu. Fauzi Draman, salah seorang penerima dari Kampung Chalok, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya. "Pada tahun 2013, saya ditawarkan menyertai projek ini. Pada awalnya, memang sangat sukar. Pendapatan rendah, anak-anak masih bersekolah, semuanya sangat mencabar," luahnya. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan semua pihak yang membantu dalam proses pemilikan ini. "Dari status projek kepada pemilikan kekal, ia satu perjalanan yang panjang.  "Kami bersyukur akhirnya semua ini menjadi realiti," tambahnya. Mohd Roslan Mohd Noor, seorang lagi penerima, mengakui perjalanan untuk mendapatkan geran hak milik bukanlah sesuatu yang mudah. "Kami sudah terlalu lama menunggu. Ia bukan sekadar rumah, tetapi masa depan kami.  "Akhirnya, hari ini kami bukan lagi penumpang di rumah sendiri," katanya sebak. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Pejabat Tanah Setiu, Pejabat Daerah, ADUN Langkap dan semua pihak yang terlibat dalam usaha merealisasikan impian mereka.
24 Mar 25
249
Aidilfitri Bermakna, 69 Peserta BSA Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
Aidilfitri Bermakna, 69 Peserta BSA Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
SETIU, 24 Mac – Syawal tahun ini pastinya lebih istimewa buat 69 peserta Projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA) apabila impian mereka untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Setelah lebih sedekad menetap di kawasan ini, mereka kini secara rasmi menerima geran hak milik rumah dan tanah yang sekian lama dinantikan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata penyerahan hak milik ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap pengorbanan serta kesabaran para peserta selama ini. "Sejak mereka menetap di sini pada tahun 2013, kali ini Aidilfitri pastinya lebih bermakna kerana rumah ini kini benar-benar menjadi milik sendiri," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik kepada Peserta Projek BSA Daerah Setiu di Taman Agropolitan Panchur Berderu, di sini semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat. Menurut Azman, daripada 84 peserta yang terlibat dalam projek ini, seramai 69 orang telah menerima dokumen hak milik mereka. "Bakinya masih menunggu proses teknikal selesai sebelum geran dapat diserahkan. "Ada yang belum menyelesaikan bayaran premium dan ada juga beberapa dokumen yang masih perlu dilengkapkan mengikut peraturan tanah di Terengganu," jelasnya. Beliau turut menjelaskan bahawa projek seumpama ini bukanlah yang pertama kali dilakukan di negeri ini. "Sebelum ini, kerajaan negeri juga telah memberi hak milik kepada peserta Projek Rimbunan Kasih di Rantau Abang, Dungun. "Projek seperti ini juga melibatkan pembinaan rumah dan penyertaan peserta, cuma bezanya adalah dari segi aktiviti ekonomi.  "Di sini (BSA), peserta menjalankan projek penternakan kambing, manakala Projek Rimbunan Kasih pula melibatkan penanaman melon manis Terengganu dan penternakan ikan. "Walau apa pun bentuk kegiatan ekonomi yang dijalankan, apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri, perkara pertama yang difikirkan adalah untuk memberi hak milik kepada peserta," katanya. Menurutnya lagi, apabila Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menyerahkan Projek BSA kepada kerajaan negeri pada tahun 2022, beliau telah menyatakan bahawa tugas utama yang perlu dilakukan adalah memberikan hak milik kepada penghuni-penghuni projek tersebut. "Alhamdulillah, setelah melalui pelbagai proses yang tidak mudah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Pejabat Daerah Setiu, Pejabat Tanah Setiu, ADUN Langkap serta semua pihak yang telah bekerjasama bagi merealisasikan hari yang bersejarah ini.  "Akhirnya, peserta dapat memegang geran hak milik mereka, menyambut Syawal dengan lebih tenang, dan menikmati suasana Hari Raya di rumah sendiri buat kali pertama," ujarnya.
24 Mar 25
425
DUN Rantau Abang Raikan 700 Asnaf, Anak Yatim
DUN Rantau Abang Raikan 700 Asnaf, Anak Yatim
DUNGUN, 23 Mac – Seramai 700 asnaf dan anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima sumbangan sebagai persediaan menyambut Syawal kali ini. Sumbangan berupa pakaian dan keperluan hari raya itu merupakan inisiatif berterusan yang dijalankan pihak DUN Rantau Abang dalam usaha membantu golongan yang memerlukan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program berkenaan merupakan salah satu usaha tahunan untuk memastikan golongan asnaf dan anak yatim tidak ketinggalan dalam merayakan bulan Syawal dengan penuh keceriaan. “Kutipan sumbangan kali ini adalah hasil daripada sumbangan masyarakat setempat, termasuk individu dan syarikat koperat yang prihatin. "Alhamdulillah , menerusi sokongan daripada semua pihak, kami dapat melaksanakan program ini dengan lebih baik setiap tahun. "Terima Kasih kepada semua yang telah menyumbang dalam tabung kebajikan Ramadan kali ini, di mana sumbangan tersebut memberi harapan dan kegembiraan kepada penerima," katanya. Mohd Fadhli turut mendoakan agar Syawal tahun ini menjadi tahun yang lebih bermakna buat golongan asnaf dan anak yatim, dan semoga mereka terus diberkati dengan rezeki yang melimpah.  
23 Mar 25
151
Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perlu Dibuat Berterusan - MB
Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perlu Dibuat Berterusan - MB
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang mempertemukan pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesepakatan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak Kerajaan Negeri memerlukan mesyuarat penyelarasan seperti itu menjadi ruang perbincangan antara pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. "Dalam mesyuarat terdahulu yang diadakan, saya ada mencadangkan agar Akta Penyerahan Duti Eksport Biji Mineral 1964 dalam Perlembagaan Persekutuan dikaji semula dan dinilai bagi meningkatkan peratusan hasil negeri.  "Peningkatan ini penting bagi memastikan negeri memperoleh manfaat yang lebih besar berdasarkan sumber asli yang dimiliki. "Kami di Terengganu Darul Iman ini juga menaruh harapan yang sangat tinggi agar peruntukan pertanian dan keterjaminan makanan, projek tebatan banjir dan kawalan hakisan pantai serta kerja-kerja berkaitan industri pelancongan bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026. Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Berbuka Puasa Madani Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman. Dalam sektor ekonomi dan industri pula, Dr. Ahmad Samsuri menegaskan perlunya langkah memperkasakan kawasan industri sedia ada, di samping membangunkan industri yang berpotensi besar untuk diusahakan di negeri itu. "Dalam sektor ekonomi dan industri, kita memerlukan langkah bagi memperkasakan kawasan industri minyak dan gas (Oil and Gas). "Dalam masa yang sama, membangunkan industri lain seperti farmaseutikal, pemberdayaan pelabuhan serta peranan negeri dalam teknologi Carbon Capture Utilisation and Storage (CCUS) dan projek hidrogen hijau (Green Hydrogen Project)," ujarnya. Beliau berharap agar semua cadangan ini dipertimbangkan dan diberi keutamaan oleh Kerajaan Pusat bagi memastikan pembangunan yang lebih mampan dan inklusif di Terengganu. Dr. Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan atas beberapa keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara, yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.  "Antara keputusan utama yang diumumkan adalah peningkatan sebanyak 25 peratus kadar pemberian mengikut bilangan penduduk yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2026," tambah beliau. Selain itu, beliau juga menyambut baik beberapa kelonggaran yang diberikan dalam perbelanjaan di bawah program 'Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation' (BFT), yang akan membolehkan negeri menggunakan dana secara lebih fleksibel dalam usaha pemeliharaan biodiversiti.  
23 Mar 25
105
Pelita Kekabu Curi Perhatian di Pelita Raya 2025
Pelita Kekabu Curi Perhatian di Pelita Raya 2025
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Acara Pelita Raya 2025 (Peliter @ KSNT) yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini menyaksikan pelbagai jenis pelita tradisional dipamerkan oleh agensi-agensi yang terlibat.  Antara yang mencuri perhatian ramai adalah pelita kekabu, yang diperkenalkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Besut (PDT Besut). Kakitangan PDT Besut dan wakil kepada reruai bagi pelita kekabu, Mazalin Mohd Lazim berkata, pelita tradisional itu dipilih sebagai bahan pameran mereka kerana keunikan serta nilai sejarahnya.   "Kami mahu memperkenalkan alat klasik yang pernah digunakan oleh generasi terdahulu kepada generasi muda. Ramai pengunjung yang datang ke booth kami tidak pernah melihat pelita kekabu sebelum ini.   "Zaman dahulu, hampir 90 atau 100 tahun sebelum merdeka lagi pelita kekabu ini sudah ada. Tapi bila dah masuk merdeka, zaman pun dah semakin moden, ia sudah tidak ada kegunaan pada zaman itu," jelasnya. Namun, dengan adanya program seperti ini pihaknya dapat memberi pendedahan untuk inovasi klasik itu kepada orang awam, terutamanya golongan muda. Beliau menambah bahawa usaha memperkenalkan pelita kekabu mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung. Setiap malam, reruai mereka menggunakan kira-kira tiga guni buah kekabu. Tambahnya, sepanjang empat malam acara berlangsung, sejumlah 12 guni kekabu telah diagihkan secara percuma kepada para pengunjung. Setiap guni dianggarkan mengandungi antara 160 sehingga 170 biji buah kekabu. "Kami bukan mahu berniaga, tetapi kami lebih cenderung untuk mendidik. Jika kami menjual pelita kekabu, mungkin orang ramai kurang berminat untuk datang melihat.  "Tujuan utama kami adalah memberi pendedahan kepada orang ramai, bukan cari keuntungan," jelasnya ketika sesi demonstrasi cara menghasilkan pelita kekabu. Demonstrasi tersebut turut memberikan pengalaman interaktif kepada pengunjung, di mana mereka dapat melihat sendiri bagaimana pelita kekabu dihasilkan menggunakan buah kekabu, minyak sebagai bahan bakar, dan teknik tradisional yang digunakan oleh masyarakat dahulu. Dengan sambutan positif daripada orang ramai, inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Besut ini berjaya mengangkat kembali warisan tradisional serta memberi pengalaman baharu kepada generasi muda mengenai penggunaan alat pencahayaan klasik yang hampir dilupakan.
23 Mar 25
177
USWa Perkasa Wanita: Fokus Ilmu, Kebajikan dan Sokongan Berterusan
USWa Perkasa Wanita: Fokus Ilmu, Kebajikan dan Sokongan Berterusan
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) komited dalam memperkasakan wanita di Kuala Besut dan Kota Putera melalui program berterusan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu, kebajikan serta sokongan dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan. Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, USWa mengambil langkah proaktif dengan merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan wanita di kawasan tersebut mendapat bimbingan berterusan. "Perbincangan tertumpu kepada pembangunan wanita, dengan penekanan kepada pengisian ilmu dan cakna kebajikan. "Hasil perbincangan dengan pihak berkaitan akan dibawa ke peringkat Exco Kebajikan dan Syariah bagi memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih menyeluruh," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Dataran Alamanda, hari ini. Menurutnya, ilmu dan kebajikan menjadi tunjang utama dalam usaha membangunkan wanita yang lebih berdaya saing. "Insya-Allah, USWa merangka program jangka pendek dan panjang bagi memastikan wanita di kawasan ini mendapat bimbingan berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan. "Kami percaya bahawa dengan ilmu, sokongan, dan inisiatif berterusan, wanita di kawasan ini menjadi lebih berdaya saing, berpengetahuan, dan sejahtera," ujarnya. Oleh itu ujar beliau, program-program bermanfaat akan terus dilaksanakan bagi membantu mereka mencapai potensi terbaik. Tambahnya, USWa juga akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan golongan wanita menerima manfaat daripada program yang disediakan.
23 Mar 25
69