Artikel "Sukan" Terkini
Atlet Terengganu Dinobat Ratu Pecut Di Sopma Sarawak 2016
Atlet dari Terengganu berjaya mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai ratu pecut bagi kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) ke-19 dengan menghasilkan dua rekod baharu bagi acara 100 dan 200 meter wanita yang berlangsung di Sarawak.Dalam acara yang berlangsung pada hari ini, Norafaezah Abdullah, dari Ajil, Hulu Terengganu itu mengenepikan rekod lama kejohanan tersebut dengan catatan masa 13.47 saat untuk kategori 100 meter wanita, manakala bagi 200 meter pula dengan catatan masa 29.39 saat.Sehingga jam 12 tengah hari tadi, kem Terengganu yang dianggotai oleh 51 atlet berjaya menghadiahkan dua emas, empat perak dan dua gangsa.Dengan kutipan tersebut, Terengganu kini berada di tangga keempa,t manakala Sabah pula di kedudukan teratas dengan kutipan sembilan emas, 10 perak dan lapan gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan (sembilan emas, empat perak dan satu gangsa) dan Sarawak di tangga ketiga (lima emas, lima perak dan enam gangsa).Kejohanan yang mula membuka tirai pada 30 September lalu dan bakal berakhir pada 7 Oktober nanti menyaksikan seramai 615 atlet berkampung di Bumi Kenyalang bagi merebut pingat-pingat yang ditawarkan.Sepanjang kejohanan berlangsung, empat sukan utama telah dipertandingkan iaitu badminton, bola sepak, tenpin boling dan olahraga.Sopma merupakan antara kejohanan terbesar yang dikhususkan untuk golongan cacat pendengaran di peringkat kebangsaan.Kejohanan dwi tahunan menjadi platform untuk mencari bakat-bakat baru ke peringkat yang lebih tinggi.
04 Oct 16
660
Belia Marang Ke Shah Alam Bangkit Semangat T-Team
Seramai 40 belia dari Marang bertolak ke Shah Alam, pagi ini sebagai menzahirkan sokongan kepada pasukan The Titans pada perlawanan separuh akhir menentang Selangor malam ini.Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Amirullah Othman berkata, sebagai tanda sokongan tidak berbelah- bahagi kepada pasukan Terengganu atas kecemerlangan mara ke separuh akhir, persatuannya mengambil inisiatif membawa belia dari kalangan penyokong pasukan Terengganu itu bagi menyemarakkan semangat pemain supaya mampu membawa pulang kemenangan. "Majlis Belia Daerah Marang amat optimis bahawa tahun ini pasukan T-Team akan melakar sejarah dengan keputusan yang cemerlang."Sekurang-kurangnya kehadiran ramai penyokong dari segenap pelusuk Terengganu mampu membangkitkan semangat juang yang tinggi kepada T-Team,"katanya.Amirullah berkata, pihaknya berterima kasih kepada Institut al-Quran Terengganu yang menyediakan bas bagi melancarkan hasrat mereka untuk bersama-sama penyokong yang lain.Tambahnya, tiket untuk perlawanan tersebut telah dibeli melalui persatuan bola sepak T-Team sendiri.
30 Sep 16
30
30 Peratus Tiket Separuh Akhir Untuk Penyokong T-Team
Peminat bola sepak tempatan kini boleh mendapatkan tiket untuk menonton perlawanan separuh akhir Piala Malaysia yang melibatkan pasukan T- Team dan Selangor yang sudah mula dijual menerusi atas talian.Pembelian tiket awal separuh akhir TM Piala Malaysia 2016 itu boleh didapati melalui http://tickethotline.com.my/ Sementara penjualan tiket melalui kaunter Stadium Shah Alam, Selangor akan bermula pada 1 Oktober (Sabtu), bermula pada jam 12 tengahari.Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizam Mohd Zain berkata, sebanyak 30 peratus tiket diperuntukkan kepada penyokong Terengganu bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Shah Alam Sabtu ini, yang boleh memuatkan 60,000 hingga 70,000 penyokong pada satu-satu masa.“Bagi peminat yang mahu menyaksikan perlawanan kedua-dua pasukan boleh mendapatkan tiket secara atas talian menerusi tickethotline.com.my dan turut dijual di kaunter Stadium Shah Alam."Harga tiket untuk dewasa adalah RM15 dan RM5 untuk kanak-kanak,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.Pasukan T-Team berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Felda United dengan agregat 2-1 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, baru-baru ini.
29 Sep 16
143
PBSNT Akan Dirombak-MB
Menteri Besar meminta Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melakukan rombakan dan penstrukturan semula pengurusan dan kepimpinan ekoran prestasi buruk pasukan Terengganu sejak kebelakangan ini.Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau akan menunggu laporan daripada PBSNT sebelum merombak persatuan berkenaan secara besar-besaran.“Sebaliknya kita akan memberi tumpuan kepada pasukan T-Team yang berjaya memasuki separuh akhir Piala Malaysia, akan menambah baik pasukan itu pada musim depan untuk terus kekal cemerlang,” katanya.Beliau yang juga Pemangku Presiden PBSNT berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengawai Kewangan Negeri, Dato’ A Rahim Jusoh.Dalam perkembangan yang lain, Ahmad Razif turut memberitahu, kerajaan negeri juga menjanjikan ganjaran kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala TNB buat kali ketiga berturut-turut, pada perlawanan akhir di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.“Bentuk ganjaran bergantung kepada kewangan negeri dan akan diputuskan dalam mesyuarat mingguan Exco minggu depan,” katanya.
28 Sep 16
73
THT Lakar Hatrik Juara Berganda
Pasukan Hoki Terengganu (THT) berada di dalam kelasnya yang tersendiri apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala TNB buat kali ketiga berturut-turut, apabila menewaskan Sapura 3-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi.Dengan kejayaan itu, turut menjadikan THT sebagai perangkul kejuaraan berganda bagi Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala TNB buat kali ketiga berturut bermula 2014 sehingga kini.Dalam perlawanan malam tadi, THT yang dikendalikan oleh Sarjit Singh mula membuka tirai jaringan seawal minit keenam melalui pemain import Korea Selatan, Jang Jong Hyun menerusi pukulan sudut penalti.Tertinggal satu jaringan gol di belakang, Sapura yang sedang ghairah mencari gol penyamaan ternyata gagal memecah kebuntuan untuk mencari penyudah apabila sering dipatahkan oleh barisan pertahanan serta penjaga gawang THT, Hafizuddin Othman.Dalam keghairahan pemain Sapura menyamakan kedudukan, THT sebaliknya menambah derita lawan apabila menjarakkan kedudukan menerusi pemain kelahiran Argentina, Nicolas Enrique Della Torre hasil pukulan ‘reverse stick’ untuk menjadikan keputusan 2-0 pada minit ke-22.Pada minit ke-51, THT makin bersemangat dan terus menambah jaringan melalui Jong Hyun menerusi pukulan sudut penalti untuk menamatkan persaingan dengan jaringan selesa.Dengan kemenangan tersebut, THT membawa pulang trofi serta wang tunai sebanyak RM100,000.Selain dari memenangi Piala TNB dan kejuaraan MHL, dua pemain THT turut menerima anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik perlawanan.Jang Jong Hyun dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejuaraan MHL dengan 16 gol manakala Fitri Saari dinobatkan sebagai pemain terbaik untuk perlawanan semalam. Masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM2,000 seorang.
25 Sep 16
37
Selamat Berjuang T-Team Demi Untuk Terengganu Tercinta
Kedudukan 50- 50. Tidak boleh terlalu yakin (over confident), demikian ditegaskan oleh Pengurus Pasukan T-Team, Dato’ Mohamad Kamil Othman.“Apapun kita berusaha untuk yang terbaik,” katanya kepada Teganukita/The Iman Tribune mengulas kemaraan pasukan berstatus kelab itu ke separuh akhir Piala Malaysia.Terengganu bakal berdepan dengan Selangor pada 1 Oktober di gelanggang lawan manakala timbal balasnya di Terengganu dijangka pada 15 Oktober.Bagi Mohamad Kamil, berdepan dengan lawan di gelanggang lawan dahulu adalah suatu kelebihan buat T-Team untuk mara ke peringkat seterusnya.Ditanya apakah yang membawa T-Team kepada persaingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini, beliau dengan tenang menyatakan tiga faktor utama iaitu, pengurusan yang baik, motivasi dan kesedaran yang tinggi serta disiplin.“Saya sering beritahu mereka yakni pemain, bermainlah seperti anda berjuang untuk kejayaan diri sendiri, anak isteri (keluarga) dan untuk negeri atau pasukan yang kita wakili,” katanya.Menurutnya, apabila kesedaran itu ada dalam diri setiap pemain, mereka akan bersungguh-sungguh, tidak akan menjual permainan dan berjuang hingga mencapai kejayaan.Katanya, menghargai setiap pemain amat penting, walaupun tidak mempunyai wang yang banyak, tetapi sekadar memberi hadiah setiap kali perlawanan sudah memadai untuk menimbulkan perasaan dihargai.Duit bukan segala-gala, walaupun ia penting.Kelab tidak mempunyai wang yang banyak, tetapi yang penting ialah kesedaran dan motivasi yang diberikan kepada setiap pemain dan kita sentiasa menghargai pemain dengan apa cara sekalipun, ujarnya.Mohamad Kamil melahirkan rasa gembira di atas kesepaduan yang ditunjukkan oleh pengurusan, jurulatih dan para pemain hingga mencapai mara ke separuh akhir Piala Malaysia.Marilah bersama-sama kita memberi sokongan padu kepada T-Team yang akan berjuang menentang Selangor nanti.
25 Sep 16
50
Terengganu Kekal Juara Sukan SUK SeMalaysia
Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu mengekalkan penguasaan apabila muncul juara buat kali kedua pada temasya Sukan SUK SeMalaysia VI di Johor yang menutup tirainya hari ini.Terengganu muncul juara pertama kali pada kejohanan di Pulau Pinang dua tahun lalu.Kontinjen yang diketuai Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berjaya mencapai sasaran johan keseluruhan selepas meraih tiga emas, masing-masing bagi acara sepak takraw, bola jaring dan bola sepak, manakala dua gangsa daripada acara tenpin boling dan badminton.Kejayaan gemilang itu turut diraikan SUK Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin dan TSUK (Pembangunan), Dato’ A Rahman Yahya bersama 151 atlet yang mewakili lapan acara di temasya berkenaan.Terengganu bersaing hebat dengan kontinjen Sabah dan Sarawak, sepanjang temasya lima hari bermula 22 September lalu itu. Sabah muncul naib johan dengan dua emas, dua perak dan tiga gangsa, manakala tempat ketiga Sarawak dengan pungutan dua emas dan dua gangsa.Sukan SUK SeMalaysia merupakan satu program dwi tahunan yang diadakan khusus bagi merapatkan hubungan antara kakitangan perkhidmatan pejabat-pejabat SUK seluruh negara, mula diperkenalkan pada 2004 di Melaka, diikuti Sabah, Pahang, Sarawak dan 2014 di Pulau Pinang.
24 Sep 16
228
SUK Terengganu Tekad Pertahan Kejuaraan
Wan Nawawi menyerahkan bendera Terengganu kepada Tun Faisal sebagai simbolik penyertaan pasukan SUK Terengganu di Sukan SUK SeMalaysia di Johor, bermula 22 September ini. Foto oleh Tg Syamim Tg IsmailPasukan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu berazam untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Sukan SUK SeMalaysia di Johor yang berlangsung selama lima hari bermula 22 September ini.Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, berkata pasukan yang dianggotai 151 atlet dengan diketuai Timbalan pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak melakukan persiapan lebih awal bagi mencipta sejarah mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.Katanya, sasaran pada kali ini untuk mengekalkan kejuaraan dengan mempertahankan tiga pingat emas atau lebih sepertimana yang dihasilkan di kejohanan Sukan SUK SeMalaysia Pulau Pinang dua tahun lalu.“Saya lihat pasukan SUK Terengganu mempunyai kelebihan tersendiri pada kejohanan kali ini, ramai pelapis baru akan beraksi selain semua atlet bola jaring dikekalkan.“Dua tahun lalu, kita dapat menggenggam emas dalam sukan golf, bola jaring dan juga badminton. Oleh itu kita berharap dan yakin apa yang dicapai itu akan dikekalkan atau lakukan lebih baik,” katanya.Wan Nawawi turut memberitahu, kejayaaan pasukan Hoki Terengganu (THT) yang muncul juara buat kali ketiga berturut-turut dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 dan pasukan T-Team FC yang layak ke separuh akhir antara pendorong untuk mereka mengekalkan kejuaraan.“Ramai pihak mengakui, Terengganu sememangnya hebat dalam bidang sukan dan juga pendidikan, apa yang dibanggakan orang ramai itu menjadi suntikan semangat untuk dikekalkan supaya terus mengharumkan nama Terengganu,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera dan Pakaian Sukan SUK Se Malaysia, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin. Sebanyak lapan jenis bidang sukan akan dipertandingkan iaitu ping-pong, boling, badminton, bola sepak, bola jaring, golf, dart dan sepak takraw.
19 Sep 16
135
Tahniah! THT Terbaik - Ahmad Razif
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berbangga dengan pencapaian luar biasa yang ditunjukkan oleh Pasukan Hoki Terengganu (THT).Dalam kenyataan menerusi akaun facebook beliau, Ahmad Razif yang masih di Mekah kerana menunaikan ibadat haji, mengucapkan tahniah kepada pasukan negeri itu kerana berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) buat tahun ketiga berturut-turut.“Kejayaan THT mengalahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 di Stadium Batu Buruk (semalam) membuktikan mereka adalah pasukan terbaik yang ada di Malaysia.“Selepas bergelar juara pada tahun 2014, THT tidak lagi menoleh ke belakang dengan terus mengekalkan kejuaraan pada tahun 2015 dan seterusnya pada tahun ini,” katanya.Tambahnya, untuk mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar daripada mendapatkannya. “Sejak di bawah jurulatih, Sarjit Singh pasukan THT terus menunjukkan peningkatan dan diharapkan beliau akan terus bersama pasukan ini.“Saya berharap THT akan terus berusaha untuk mengekalkan rentak kejuaraan ini pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
18 Sep 16
81
THT Ulangi Kejuaraan MHL Buat Kali Ketiga
Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengulangi sejarah apabila muncul juara buat tiga kali berturut-turut Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 dalam perlawanan final, di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam.Ketua jurulatih pasukan tersebut, Sarjit Singh berkata, pencapaian dan kejayaan itu amat membanggakan beliau, apatah lagi berjaya mempertahankan status kejuaraan yang disandang sejak 2014 itu. “Walaupun untuk lima perlawanan awal, kita bermula perlahan apabila hanya memperoleh tujuh mata. Namun kita bangkit untuk lima perlawanan terakhir dengan mengumpul 15 mata lagi menjadikannya 22 mata.“Untuk menang ianya mudah, tapi bagi mengekalkan kejuaraan sebanyak tiga kali berturut-turut bukan sesuatu yang mudah,” katanya kepada pemberita.Kelebihan bermain di laman sendiri digunakan sepenuhnya apabila THT membuka jaringan seawal minit kelima menerusi pukulan penalti bekas pemain kebangsaan, Mohd Fitri Saari.Pada minit ke-18, asakan yang dilakukan membuahkan hasil apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil membuka ruang untuk pasukan tuan rumah menjarakkan jaringan melalui gol padang.Bersambung babak kedua, THT terus mempamerkan aksi garang apabila Ismail Abu berjaya menyudahkan hantaran kapten pasukan, Mohd Faisal Saari pada minit ke-31 menerusi gol padang.Namun demikian, berselang seminit kemudian, TNB yang ketinggalan berjaya memecahkan kebuntuan apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol padang oleh Muhammad Ramadan Rosli.Dengan kemenangan 3-1 tersebut, THT yang mempertahankan kejuaraan sejak 2014 meraih wang tunai RM100,000, piala pusingan berserta medal.
18 Sep 16
72