lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
'Tiada Pemimpin Kekal Kuasa Selama-Lamanya' - Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 19 April – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan peringatan penuh makna bahawa kuasa politik adalah sesuatu yang bersifat sementara, manakala sistem pentadbiran adalah warisan yang wajib dijaga daripada dicemari kepentingan peribadi. Menurut beliau, sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun pemimpin mampu terus menongkat langit dan kekal berkuasa selama-lamanya. "Ada ketika kita berkuasa dan ada ketika kuasa hilang dari tangan kita," katanya dalam sesi penggulungan DUN, di Wisma Darul Iman, kelmarin.  Beliau menegaskan bahawa struktur kerajaan tidak boleh sekali-kali dipaksa untuk tunduk kepada kehendak politikus yang ingin mengekalkan kekuasaan mereka. "Sistem ini tidak boleh dipaksa-rela digunakan oleh political masters untuk tujuan politik kepartian," ujar beliau. Samsuri turut menempelak cubaan segelintir pihak yang menyerangnya dengan memutarbelit isu dan fakta, seolah-olah beliau baru memegang kuasa dan tidak memahami selok-belok pentadbiran. "Saya mula menggalas jawatan ini sejak 2018 lagi.  "Tapi isu ini hanya timbul enam bulan kebelakangan ini sahaja," ujarnya. Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan dirinya tidak naif dalam isu pentadbiran dan tahu dengan jelas apa itu Travel Control Order (TCO) dan kesan status sebagai VIP. "Saya agak segan menyebut terma VIP, tapi saya gagahkan juga, supaya masing-masing tahu pandangan saya tidak sama dengan pandangan mainstream," katanya.
19 Apr 25
215
Kerajaan Beri Keutamaan 'Pelihara' Kawasan Kritikal Bencana
Kerajaan Beri Keutamaan 'Pelihara' Kawasan Kritikal Bencana
KUALA TERENGGANU, 19 April – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti lokasi-lokasi kritikal yang terjejas akibat hakisan pantai dan mengambil langkah proaktif dengan mengemukakan permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Pengerusi Jawatankuasa Infrasruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat, berkata, penilaian tahap kritikal dilakukan bagi memastikan kawasan yang paling terkesan diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek mitigasi hakisan pantai. Katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri terus komited dalam menangani isu hakisan pantai yang semakin membimbangkan dengan melaksanakan pelbagai pendekatan bersepadu merangkumi kajian teknikal, pelaksanaan projek jangka pendek dan jangka panjang. “Antara tindakan utama ialah pelaksanaan Kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) Terengganu yang menjadi panduan jangka panjang kepada Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dalam mengurus kawasan pesisir pantai. “ISMP mengambilkira isu berkaitan masalah hakisan, muara dan juga guna tanah sepanjang pesisiran pantai di mana objektif pelaksanaan kajian ini adalah membantu Kerajaan dan pelbagai agensi di negeri di dalam membuat keputusan berkenaan pembangunan dikawasan pesisir pantai. “Kajian ini menyasarkan beberapa objektif utama termasuk mengurangkan risiko hakisan serta banjir pantai, menyokong pembangunan pelancongan, melestarikan alam sekitar dan meningkatkan kualiti air laut.,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Selain ISMP, JPS turut menjalankan beberapa kajian teknikal khusus sebagai langkah penentuan penyelesaian jangka panjang.  Antaranya ialah Kajian Perlindungan Pantai Bukit Chendering-Kuala Marang (2007), Kajian Pantai Tok Jembal ke Pelabuhan Chendering (2011), Kajian Pantai Teluk Lipat Dungun (2011), serta Kajian Pantai Kuala Nerus (2021). “Kajian-kajian yang berkaitan dengan pemuliharaan muara sungai juga mengambil kira risiko kejadian hakisan pantai serta langkah pencegahan,” tambah beliau. Dalam pada itu, beberapa kajian pemuliharaan muara sungai turut dilaksanakan seperti di Muara Sungai Dungun, Muara Sungai Paka dan Muara Sungai Setiu sebagai langkah memperkukuh kestabilan kawasan pantai berdekatan. Sebagai langkah segera, penyelesaian jangka pendek turut dilaksanakan menerusi pembinaan struktur lapis lindung batu (rock revetment) yang bertindak sebagai pelindung pantai sementara daripada hakisan, sebelum langkah kekal diambil. “Bagi menangani masalah hakisan pantai adalah menggunakan struktur lapis lindung batu “rock revetment’.  “Rekabentuk yang dicadangkan bukanlah struktur kekal dan ianya bagi memberi perlindungan pantai yang mampu menahan hakisan dan mengurangkan kesan buruk terhadap kawasan yang terjejas,” ujarnya. Hanafiah menambah, Kerajaan negeri turut mengambil langkah lebih menyeluruh dengan mengenal pasti lokasi-lokasi kritikal untuk pelaksanaan projek jangka panjang seperti pembinaan groyne, pemecah ombak, penambakan pasir dan struktur perlindungan lain.  “Oleh yang demikian, masalah ini perlu ditangani secara berperingkat memandangkan kos bagi melaksanakan kaedah mengawal hakisan pantai seperti pembinaan groyne, penambakan pasir, pembinaan lapis lindung batu mahupun membina struktur pemecah ombak bagi mencegah hakisan pantai adalah sangat tinggi,” kata Hanafiah lagi.
19 Apr 25
115
Pendekatan Holistik Diambil Tangani Masalah Belia
Pendekatan Holistik Diambil Tangani Masalah Belia
KUALA TERENGGANU, 18 April — Kerajaan negeri komited menangani masalah akhlak dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan holistik dan mesra belia, melibatkan aspek pendidikan, sukan, keagamaan dan pembangunan sahsiah diri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pendekatan tersebut digerakkan melalui pelbagai program strategik termasuk program pelapis negeri melibatkan atlet berumur 18 hingga 21 tahun dalam 18 jenis sukan utama seperti renang, memanah, olahraga, taekwondo dan tinju. "Terdapat 19 Pusat Latihan Negeri ditubuhkan bagi program Pelapis Negeri melibatkan Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Dungun, Marang, dan Besut," jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.  Bagi menarik minat lebih ramai belia kepada aktiviti sihat dan bermanfaat,jelas beliau kerajaan turut melaksanakan Program LEGASI (Lepak, Cergas dan Santai) yang menampilkan pendekatan santai dan mendekati golongan muda. Katanya, antara pengisian program ialah aktiviti mendaki bukit, bedah kitab dan sesi perkongsian ilmu bersama pendakwah selebriti. "Melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi elemen pendidikan, riadah dan keagamaan ini, Kerajaan Negeri yakin ia mampu memberi impak positif dalam membina sahsiah mulia dalam kalangan anak muda Terengganu," tambah beliau. Selain itu ujar beliau, program sukan belia dan acara bersih pantai turut ada. Di samping itu katanya, Kerajaan Negeri juga memperkukuh pembangunan sahsiah melalui Program Akademi Al-Fateh.  "Kerajaan negeri juga turut memberikan tumpuan kepada pembangunankemahiran belia.  "Bengkel-bengkel kemahiran telah dirancang dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam dan swasta, bagi memastikan anak muda Terengganu dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang relevan untuk menghadapi cabaran masa depan. "Insya-Allah, dengan usaha bersama, kita akan dapat melihat Terengganu melahirkan lebih ramai anak muda yang berilmu, berakhlak dan berwawasan," tambah beliau.
18 Apr 25
97
Terengganu Tetapkan Hala Tuju Jadi Peneraju Industri REE
Terengganu Tetapkan Hala Tuju Jadi Peneraju Industri REE
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu menetapkan hala tuju baharu untuk menjadi peneraju industri Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) menerusi pendekatan berfasa, lestari dan strategik, dengan tekad untuk memastikan manfaatnya kembali kepada rakyat dan ekonomi negeri. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sangat komited meneroka sumber NR-REE secara beretika dan berhati-hati demi mengelakkan kesilapan silam. “Kita tidak mahu ulangi kelemahan dalam sektor silika – perkara sama yang dibangkitkan oleh YB Seberang Takir dan lain-lain. “Pembangunan sektor ini mesti dilaksana dengan pematuhan teknikal, pendekatan berhemah dan libat urus komuniti bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam.  Beliau berkata, Terengganu telah mengenal pasti potensi terbesar sektor NR-REE di Malaysia dan bersedia memimpin pembangunan sumber ini secara strategik. "Potensi yang ada di Terengganu adalah paling signifikan di Malaysia. "Satu kerangka kerja dan peta jalan NR-REE telah dirangka bagi memastikan manfaat yang terbanyak kembali kepada rakyat negeri ini," tambah beliau. Katanya, penguasaan teknologi pemprosesan menjadi keutamaan kerana kebergantungan global kini masih tertumpu kepada satu negara. "Hala tuju Negeri dalam sektor NR-REE turut dipacu oleh keperluan mengakses teknologi pemprosesan, yang kini banyak dikuasai oleh China. "Kerajaan Negeri sedang giat meneroka kerjasama strategik dengan negara-negara lain seperti Australia, Jepun, dan Korea bagi mendapatkan teknologi alternatif yang lebih terbuka dan lestari," jelasnya. Tambah beliau, pelaburan dalam sektor ini bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuka ruang pekerjaan dan industri sokongan yang lebih kukuh. "Matlamat kita jelas, iaitu untuk memastikan rantaian nilai industri ini dibina dan kekal di Terengganu. "Melalui pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan industri sokongan, pelaburan berimpak tinggi, dan pemindahan teknologi, ekonomi negeri dapat dipacu ke hadapan," ujar beliau. Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja awal telah bermula dan sambutan pelabur global amat memberangsangkan. "Setakat ini, dua kawasan telah diluluskan bagi kerja-kerja persampelan dan eksplorasi NR-REE. "Kerajaan Negeri turut berusaha menarik minat pelabur global, untuk membangunkan segmen pertengahan dan hiliran industri ini di Terengganu," jelas beliau. Katanya lagi, pendekatan menyeluruh ini mampu meletakkan NR-REE sebagai tonggak ekonomi baharu negeri. "Langkah ini dijangka memberi kesan pengganda ekonomi yang besar. "Sektor NR-REE bakal menjadi salah satu sumber pendapatan strategik baharu untuk Negeri," ujarnya.
18 Apr 25
890
Dua Projek Perumahan Bakal Dibina di Langkap
Dua Projek Perumahan Bakal Dibina di Langkap
KUALA TERENGGANU, 17 April - Dua projek perumahan baharu yang dicadangkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dilihat sebagai langkah penting dalam usaha membela nasib generasi muda luar bandar, khususnya golongan B40 dan generasi kedua FELDA. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, menyifatkan kedua-dua projek itu sebagai peluang penting untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada pasangan muda dan belia luar bandar, sejajar dengan usaha memperkukuh komuniti serta mengurangkan penghijrahan ke bandar. “Cadangan di FELDA Chalok Barat yang memfokuskan perumahan generasi kedua FELDA dan RMM Sungai Bari bagi golongan B40 serta pasangan muda. “Di FELDA Chalok Barat, cadangan bagi pembinaan 100 unit rumah di bawah Program Residensi Rakyat telah diangkat permohonan kepada KPKT untuk pertimbangan kelulusan perlaksanaan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP1 RMKe13), namun ianya masih di dalam pertimbangan pihak kementerian,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Manakala menurut katanya, di Sungai Bari, pembinaan 200 unit rumah dibawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) dan permohonan juga telah diangkat kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan kelulusan perlaksanaan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP1, RMKe13) dan masih dalam pertimbangan pihak kementerian.
18 Apr 25
1100
Jika Sistem Rosak, Negara Gagal - MB Seru Reformasi Pentadbiran
Jika Sistem Rosak, Negara Gagal - MB Seru Reformasi Pentadbiran
KUALA TERENGGANU, 18 April – Menteri Besar Terengganu memberi peringatan bahawa jika sistem dan struktur pentadbiran negara terus diganggu oleh campur tangan politik sempit, Malaysia bakal terjerumus ke dalam kitaran ganas yang berulang setiap kali perubahan kuasa berlaku. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kestabilan negara bukan terletak pada siapa yang memegang tampuk pemerintahan, tetapi pada institusi yang kekal neutral, telus dan berfungsi di atas prinsip keadilan. "Sekiranya sistem dan struktur ini diganggu, maka kita akan berdepan dengan kitaran ganas, yang berulang-ulang setiap kali perubahan politik berlaku," katanya dalam penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.  Beliau menegaskan bahawa krisis politik yang berterusan akan mencetuskan keresahan dalam kalangan penjawat awam, mengganggu keharmonian masyarakat dan merencatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara. "Ini akhirnya membawa kepada terhakisnya keyakinan pihak pelabur pada kita," kata beliau. Menurut beliau, negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan mampu mengekalkan kestabilan dasar walaupun sering berlaku perubahan kepimpinan, kerana mereka tidak merosakkan struktur kerajaan yang telah dibina. "Di sana, struktur dan sistem negara tetap kukuh, dan ketidaktentuan ekonomi sangat minima," ujarnya memberi perbandingan. Justeru, beliau menyeru agar reformasi pentadbiran dilaksanakan secara berfasa, terutamanya jika berlaku perubahan kuasa di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 nanti. "Sudah tentu semua agensi pelaksana dan penguat kuasa akan terus kekal, kerana mereka adalah orang yang sama juga yang akan menjalankan tugas jika kami diamanahkan rakyat nanti," katanya.
18 Apr 25
91
Koperasi Masjid Banyak Tidak Aktif, Timbul Kebimbangan
Koperasi Masjid Banyak Tidak Aktif, Timbul Kebimbangan
KUALA TERENGGANU, 17 April – Walaupun 28 buah masjid di seluruh Terengganu telah menubuhkan koperasi, hanya sejumlah kecil sahaja yang benar-benar aktif sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan usaha menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi setempat. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu perlu diambil perhatian serius bagi mengaktifkan kembali koperasi masjid di setiap kawasan sebagaimana tujuan penubuhan.  “Daripada jumlah 28 buah masjid yang memiliki koperasi, terdapat beberapa buah masjid sahaja yang benar-benar aktif antaranya Masjid Nur Bakti di Kuala Nerus, Masjid Binjai di Kemaman, Masjid Kg Tebakang di Marang dan Masjid Tokku Tuan Besar di Kuala Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.  Menurutnya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memandang serius perkara itu dan telah menggerakkan seruan melalui khutbah Jumaat di seluruh negeri agar ahli kariah memberikan sokongan terhadap koperasi masjid masing-masing. “Inisiatif penubuhan koperasi adalah untuk menjadikan masjid sebagai pusat ekonomi setempat bagi menjana pendapatan tambahan untuk manfaat ahli qaryah dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti setempat.  “Ini selaras dengan dasar koperasi negara yang mensasarkan penglibatan koperasi kariah masjid sebagai agen perubahan sosio dan ekonomi umat islam di negeri ini,” tambah Ariffin lagi.
18 Apr 25
158
GLC Terengganu Raih Kontrak RM1.8 Bilion
GLC Terengganu Raih Kontrak RM1.8 Bilion
KUALA TERENGGANU, 18 April – Kerajaan Negeri Terengganu terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berjaya memperoleh nilai kontrak mencecah RM1.8 bilion menjelang Disember 2024, khususnya dalam sektor minyak dan gas. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar dan perancangan kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2018, yang memberi fokus kepada pemerkasaan GLC dan pemelbagaian sumber hasil negeri. "Syarikat GLC kita mencatat peningkatan hasil yang berlipat ganda setiap tahun sejak 2018. "Ini bukan sekadar angka, tetapi petunjuk jelas bahawa strategi kita mula membuahkan hasil nyata," katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman. Ahmad Samsuri.  Menurut Menteri Besar, antara GLC yang mencatatkan kejayaan adalah EPIC Berhad bersama anak syarikatnya, yang kini aktif dalam pelbagai segmen industri minyak dan gas, termasuk hiliran (downstream), pertengahan (midstream), dan perkhidmatan huluan (upstream services). "Mereka terlibat dalam penyelenggaraan, logistik, dan pengurusan gudang. "Setakat 31 Disember 2024, jumlah kontrak dalam tangan yang diperolehi adalah sebanyak RM1.8 bilion,” jelasnya.
18 Apr 25
2426
Siapa VIP Sebenar? - Dr Sam
Siapa VIP Sebenar? - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 18 April – Dalam suasana politik yang sering sarat dengan keangkuhan kuasa, Menteri Besar Terengganu tampil dengan kisah sederhana tetapi menyentuh hati, tentang bagaimana beliau mendidik anak-anaknya tentang makna sebenar kepimpinan dan nilai rendah diri. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menceritakan bagaimana beliau tidak pernah meletakkan keretanya di parkir khas VIP setiap kali mengunjungi pusat beli-belah KTCC, walaupun beliau adalah Ketua Kerajaan Negeri. "Anak saya pernah tanya, kenapa saya tak letak kereta di tempat parking VIP?.  "Jawapan saya, saya ke sana atas urusan peribadi, bukan rasmi," katanya dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.  Menurut beliau, walaupun ada keistimewaan yang boleh digunakan, seorang pemimpin harus tahu batas antara tanggungjawab rasmi dan urusan peribadi. "Sudah tentu ada 'Very Important Person' lain yang lebih memerlukan tempat itu berbanding saya,” ujarnya.  Kisah ini dikongsikan beliau ketika menyentuh tentang istilah VIP yang menurutnya sering disalahertikan oleh masyarakat dan segelintir pemimpin. "Saya agak segan untuk menyebut terma VIP ini, tapi saya gagahkan juga, supaya masing-masing tahu pandangan saya berbeza dari pandangan mainstream," katanya.
18 Apr 25
177
Pesta Moreh : PBT, Agensi Agama Cari Penyelesaian Terbaik
Pesta Moreh : PBT, Agensi Agama Cari Penyelesaian Terbaik
KUALA TERENGGANU, 18 April – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu telah mengambil langkah proaktif dalam menimbang dan meluluskan penganjuran Pesta Moreh sepanjang Ramadan dengan memastikan setiap aktiviti mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, semua permohonan penganjuran Pesta Moreh telah dinilai dengan teliti berpandukan peraturan sedia ada seperti Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002, Kaedah-Kaedah Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2003, dan Undang-Undang Kecil Penjaja PBT. “Penganjuran pesta moreh ini adalah bagi merancakkan ekonomi setempat dan membantu kewangan peniaga-peniaga kecil untuk terus berkembang.  “Penganjuran pesta moreh ini selain daripada aktiviti perniagaan makanan juga turut diserikan dengan pengisian aktiviti hiburan seperti busking,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin.  Menurutnya, susulan beberapa pandangan yang dibangkitkan berkenaan elemen hiburan dalam pesta tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa satu sesi libat urus akan diadakan. “Sesi ini akan melibatkan persatuan busker, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah serta pihak-pihak berkepentingan yang lain,” katanya. Pada masa yang sama jelas beliau, Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah sedang dalam proses membuat kajian semula terhadap garis panduan hiburan sedia ada.  “Garis panduan yang dikemas kini ini dijangka menjadi rujukan rasmi PBT dalam menilai sebarang permohonan aktiviti hiburan pada masa akan datang,” tambah Wan Sukairi. .
18 Apr 25
97