Artikel "Sidang DUN" Terkini
Kerjasama Kerajaan Negeri, Persekutuan Pacu Pembangunan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata sejumlah peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi melaksanakan 13 tapak projek pelancongan.
"Bagi tahun 2025, sejumlah RM3.98 juta telah diluluskan oleh MOTAC bagi melaksanakan 13 projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan di seluruh negeri.
"Antara projek utama yang dikenal pasti termasuklah kerja-kerja naik taraf kemudahan di Taman Eko Pelancongan Lata Ulu Kasar, Setiu, pemuliharaan Memorial Batu Bersurat di Kuala Berang, serta menaik taraf jeti pelancongan di Bandar Marang dan kemudahan di Gunung Tebu, Besut.
"Selain itu, peruntukan ini juga akan diagihkan untuk projek menaiktaraf papan tanda pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di Daerah Dungun dan lain-lain," jelasnya.
Dalam usaha yang sama, beliau menjelaskan bahawa projek menaiktaraf jeti di Pulau Perhentian dan Pulau Redang dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM4 juta juga telah diluluskan.
"Insya-Allah, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa lagi projek tambahan yang dijangka akan diluluskan dalam Fasa 2 pada tahun 2025.
"Perbahasan yang telah dibangkitkan jelas menunjukkan kesungguhan semua Ahli Yang Berhormat dalam memastikan pembangunan pelancongan negeri Terengganu terus maju dan lestari.
"Termasuk aspek kebersihan lokasi pelancongan, pemuliharaan alam semula jadi serta penerokaan destinasi baharu yang berpotensi tinggi, khususnya dalam bidang ekopelancongan," jelasnya.
Razali berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut akan terus memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (CBT), dengan 30 lokasi yang kini aktif dan 11 lagi sedang dikenal pasti di daerah Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.
"Dalam usaha memperkasa inisiatif ini, kerajaan akan merangka siri lawatan berfokus bagi menilai secara terperinci cadangan-cadangan pembangunan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
"Agar pelaksanaan setiap projek nanti benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memelihara khazanah alam semula jadi kita," katanya.
22 Apr 25
106
Kelapa : Pekebun Kejar Untung, Santan Negara Terancam
KUALA TERENGGANU, 20 April – Harga kelapa muda yang melonjak tinggi mendorong pekebun memilih jalan pintas untuk meraih keuntungan segera, namun tindakan ini menjejaskan bekalan kelapa tua negara dan mengancam industri santan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, permintaan terhadap kelapa muda kini begitu tinggi sehingga menyebabkan pengeluaran kelapa tua merosot dengan ketara di pasaran.
"Sebiji kelapa muda boleh dijual sehingga RM4.50, manakala kelapa tua pula sekadar RM2.50 dan semakin murah jika disimpan,” katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-bari ini.
Menurut beliau, ketidakseimbangan harga ini telah mendorong pekebun lebih berminat menjual kelapa muda kerana pulangannya jauh lebih lumayan berbanding kelapa tua yang digunakan dalam pemprosesan santan.
"Inilah sebabnya kelapa muda jadi pilihan utama pekebun.
"Mereka kejar untung cepat, tapi kita sedang hadapi kekurangan bahan asas untuk makanan rakyat,” keluhnya.
Jelasnya lagi, keadaan ini diburukkan dengan fenomena perubahan iklim yang menyebabkan ‘kepupusan mayang’, iaitu kegagalan pokok kelapa berbunga antara Jun hingga September tahun lalu.
"Tiada mayang maka tiadalah buah.
"Fenomena ini telah menjejaskan hasil kelapa tua secara drastik,” kata beliau.
ADUN Jabi itu turut mengakui bahawa walaupun Tahap Sara Diri (SSR) bagi kelapa menunjukkan peningkatan dari 53 peratus pada 2019 kepada 74 peratus pada tahun 2023, ia belum cukup untuk menampung permintaan sekiranya trend ini berterusan.
"Cadangan pembukaan ladang kelapa oleh ADUN Kuala Besut adalah satu langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera," ujarnya.
20 Apr 25
182
Sawah Tidak Lagi Dikenang Sebagai Punca Rezeki
KUALA TERENGGANU, 20 April – Ladang-ladang padi di Kuala Berang dan Hulu Terengganu yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kehidupan masyarakat luar bandar kini semakin sepi dan terbiar, bukan kerana kekurangan infrastruktur, tetapi akibat tiada kesinambungan generasi pelapis untuk mengusahakannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menjelaskan bahawa isu sebenar bukan berpunca daripada kegagalan kemudahan asas, sebaliknya hilangnya minat dalam kalangan anak muda untuk menyambung usaha generasi terdahulu.
"Saya ingin menjelaskan sedikit mengenai isu sawah padi yang terbiar di sekitar daerah Kuala Berang dan Hulu Terengganu, keadaannya bukan disebabkan ketiadaan infrastruktur kerana kemudahan itu sebenarnya sudah tersedia.
"Masalah sebenar timbul apabila generasi baharu tidak lagi berminat meneruskan usaha mengusahakan sawah pusaka selepas pemergian ibu bapa mereka.
"Anak-anak hari ini tidak lagi melihat sawah sebagai sumber rezeki, sebaliknya mewarisi tanah tanpa mewarisi semangat dan tanggungjawab untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab persoalan ADUN Telemong dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Tambah beliau, meskipun terdapat cadangan untuk membuka peluang pelaburan, kekangan struktur geografi menjadikan usaha itu sukar direalisasikan secara komersial.
"Kita nak buka kepada pelabur pun, kawasannya sedikit dan terpisah-pisah dan bukan sesuai dijadikan satu sektor komersial.
"Jadi itu di antara situasi sebenar," ujarnya.
20 Apr 25
76
Kerajaan Teliti Cadangan Sedia Ruang Solat di Pasar Malam
KUALA TERENGGANU, 20 April – Kerajaan negeri komited memperkasa budaya solat fardu dalam kalangan masyarakat dengan menekankan kepentingan menunaikan solat walaupun dalam kesibukan urusan harian seperti di tapak pasar malam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, antara langkah yang diambil ialah menerusi perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneliti keperluan pemberhentian sementara operasi pasar malam ketika masuk waktu solat bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung menunaikan solat fardu.
“Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah telah bermesyuarat dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk meneliti keperluan pemberhentian waktu operasi sementara bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung untuk solat.
"Selain itu, turut dibangkitkan berkaitan penyediaan ruang solat dan tempat wudhu bagi peniaga-peniaga dan pengunjung,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.
Dr. Muhammad Khalil berkata, agensi-agensi di bawah portfolio dakwah dan pelaksanaan syariah juga akan meneruskan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggerakkan aktiviti dakwah secara langsung di lokasi pasar malam sebagai satu pendekatan mendekati masyarakat secara mesra dan berhemah.
“Sekiranya, ada pihak dengan sengaja tidak menunaikan solat fardhu dan menghasut yang lain untuk tidak solat. Maka, Bahagian Penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001,” ujarnya.
20 Apr 25
98
RM10 Juta Fokus Pelancongan Berasaskan Ekonomi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 20 April – Peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan bagi membangunkan fasiliti, infrastruktur serta mempromosikan destinasi pelancongan berasaskan komuniti Community-Based Tourism, (CBT) di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pendekatan diambil kerajaan negeri adalah untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi pulangan ekonomi dan sosial kepada rakyat.
Menurutnya, sebahagian daripada dana ini telah disalurkan ke Hulu Terengganu bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur berskala kecil tetapi memberi impak besar kepada pelancong dan penduduk setempat.
"Beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan untuk menyokong penggiat CBT di kawasan ini, antaranya bantuan kewangan dan insentif.
"Antara projek yang telah diluluskan termasuk pembinaan kemudahan tandas, wakaf dan pencahayaan di CBT Kalang Rengas dengan peruntukan sebanyak RM50,000, manakala CBT Lubuk Bayas (Little Amazon, Kampung Menerong Ajil) dan CBT Bukit Jalin, Kampung Lebok Kuala masing-masing menerima RM20,000 bagi kerja-kerja pembinaan tandas.
"Di Kampung Jenagor Seberang, sebuah dewan terbuka bagi persembahan budaya turut dibangunkan dengan kos RM20,000, bagi menyokong aktiviti pelancongan budaya dan warisan tempatan," jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Razali turut menambah bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan latihan berkaitan hospitaliti, pemasaran digital dan pengurusan eko pelancongan kepada penggiat CBT agar mereka lebih bersedia bersaing dan menarik minat pelancong tempatan serta antarabangsa.
20 Apr 25
93
Fokus Bangunkan Zon PKS Baharu
KUALA TERENGGANU, 20 April – Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkasakan pembangunan kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menumpukan kepada pelaksanaan zon perindustrian baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia akan dibangunkan melalui perancangan teratur dan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.
"Antara langkah utama ialah penetapan kawasan berpotensi sebagai pusat PKS menerusi Rancangan Tempatan Daerah yang dirancang bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.
"Pembangunan kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) adalah secara 'Public Private Pannership' (PPP) yang melibatkan pembangunan secara kebaikan bersama," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, antara keutamaan lain ialah usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan jalur lebar bagi menarik lebih ramai usahawan muda untuk terlibat secara aktif dalam sektor ini.
"Setakat Mac 2025, sebanyak 145 unit premis telah disediakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yang meliputi kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Inkubator Industri Desa (IID) serta ruang niaga, melibatkan seramai 126 usahawan PKS di seluruh negeri," ujarnya.
Beliau menambah, YPU juga menyediakan kemudahan pembiayaan mesra usahawan melalui Skim Pembiayaan Tanpa Riba (TUGAS), yang memberikan keutamaan kepada penyewa premis YPU, khususnya golongan muda.
"Antara skim yang ditawarkan termasuk Skim Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT) dan Program Peningkatan Kapasiti Perniagaan Terengganu (T'CAP)," tambah beliau lagi.
20 Apr 25
70
Pesta Moreh, Pelita Raya Perlu Kekal dalam Landasan Syariat
KUALA TERENGGANU, 20 April — Dalam mengejar arus pembangunan yang pesat, aspek pemerkasaan syariat Islam tidak boleh diketepikan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor.
Beliau merujuk kepada isu pesta moreh dan pelita raya yang tular baru-baru ini dan mendapat perhatian masyarakat.
Menurutnya, fenomena itu menjadi semakin ketara apabila ramai rakyat mengambil peluang berniaga pelbagai juadah popular sepanjang Ramadan lalu, menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.
“Tidak dinafikan aktiviti ini membantu ekonomi rakyat, namun ia perlu dipastikan kekal dalam landasan syariat,” kata Zuraida dalam sidang DUN semalam.
Beliau memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu yang memperketat peraturan, khususnya melibatkan larangan aktiviti hiburan dalam bulan Ramadan, sebagai usaha menjaga adab dan kesucian bulan tersebut.
“Sebarang bentuk persembahan seperti nyanyian, tarian, penggunaan sistem audio kuat serta muzik kontemporari yang mencetuskan suasana lalai adalah tidak dibenarkan. Kita perlu menjaga adab, bukan menyekat kegembiraan,” ujarnya.
Jelas beliau, larangan ini adalah sebahagian daripada gagasan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri, menekankan keseimbangan antara budaya dan ibadah dalam masyarakat.
Zuraida turut menyeru agar semua penganjur pesta moreh dan pelita raya mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa agama, termasuk menjaga adab pergaulan, mengelakkan percampuran bebas lelaki dan wanita serta memberi ruang kepada pengisian rohani seperti tazkirah dan doa.
“Tahniah kepada semua pihak yang berusaha mengawal keadaan ini. Ia mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang berbudaya tinggi dan berlandaskan syariat,” katanya.
20 Apr 25
76
Hulu Terengganu Terima RM16.1 Juta Menuju Gedung Makanan Kedua
KUALA TERENGGANU, 20 April – Komitmen kerajaan negeri terhadap kemajuan sektor makanan negeri semakin terbukti apabila Hulu Terengganu menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM16.1 juta sejak 2018, sekaligus meletakkan daerah itu dalam radar sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) kedua selepas Setiu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan Hulu Terengganu dalam dasar dan pelaksanaan pembangunan sektor pertanian.
"Pelbagai isu pertanian di Hulu Terengganu dibangkitkan oleh ADUN Telemong.
"Peruntukan yang kita salurkan kepada Hulu Terengganu sentiasa meningkat daripada setahun ke setahun, dalam pelbagai sektor, sama ada sektor pertanian, penternakan, perikanan dan pengairan dan saliran Daerah Hulu Terengganu, dan yang paling besar dapat manfaat ialah sektor akuakultur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan secara terperinci bahawa pada tahun 2018 sebanyak RM433 ribu telah disalurkan, diikuti RM530 ribu pada 2019, RM1.04 juta pada 2020, RM2.14 juta pada 2021, RM1.3 juta pada 2022, RM2.18 juta pada 2023, dan RM5.4 juta pada tahun 2024.
"Jika campur jumlah keseluruhan termasuk dengan bantuan akuakultur dalam tempoh 2018 sehingga 2024, kita telah salurkan jumlah keseluruhan RM16.1 juta kepada daerah Hulu Terengganu," jelasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan Hulu Terengganu akan diangkat sebagai daerah Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu yang kedua selepas Setiu, berdasarkan keupayaan serta pelaburan berterusan yang diterima.
"Saya tak menolak kemungkinan untuk Daerah Hulu Terengganu bakal diwartakan sebagai GPMT yang kedua selepas Daerah Setiu," kata beliau.
Beliau turut menyeru penduduk daerah itu agar bersedia menyahut cabaran dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan misi keterjaminan makanan negeri.
"Jadi orang Hulu Terengganu perlu bersedia untuk bekerja kuat bagi sama-sama kita berkolaborasi memajukan sektor keterjaminan makanan negeri kita," ujarnya.
20 Apr 25
2221
Tambah Baik Pasar Bukit Besar Perlu Disegerakan Demi Peniaga- Zuraida
KUALA TERENGGANU, 20 April — Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan segera untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dan memperketatkan pemantauan di kawasan pasar Bukit Besar yang semakin suram ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata terdapat 73 peniaga berdaftar di pasar berkenaan, namun daripada 97 premis yang disediakan, sebanyak 24 premis masih belum beroperasi.
“Pasar Bukit Besar pernah dikenali sebagai ‘Pasor Garib’ yang cukup terkenal dan menjadi pilihan utama masyarakat.
"Saya yakin, dengan sedikit usaha penambahbaikan, pasar ini boleh dikembalikan kepada kegemilangannya dengan keadaan lebih menarik, selesa dan selamat untuk semua,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Beliau berkata suasana pasar tersebut kelihatan semakin lesu dan kurang dikunjungi pengunjung walaupun ia merupakan nadi ekonomi penting bagi masyarakat setempat.
Zuraida turut menyenaraikan dua isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa tempatan iaitu isu penyelenggaraan dan isu persaingan yang tidak seimbang.
Tegasnya, pemulihan Pasar Bukit Besar bukan sekadar soal fizikal, tetapi turut melibatkan soal maruah dan semangat ekonomi rakyat setempat, khususnya peniaga kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.
20 Apr 25
1045
Kerajaan Negeri Perlu Rangka Pendekatan Holistik Tangani Jenayah Siber
KUALA TERENGGANU, 19 April — Kerajaan negeri digesa mengambil pendekatan lebih menyeluruh bagi menangani kes jenayah siber yang semakin meningkat di Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, berkata satu pelan tindakan holistik dirangka segera oleh kerajaan negeri bagi membanteras jenayah siber dan memperkukuh literasi digital dalam kalangan rakyat Terengganu.
“Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu isu yang semakin meruncing, iaitu peningkatan kes jenayah siber di negeri kita,
"Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, sebanyak 1,330 kes jenayah siber direkodkan sepanjang tahun 2024, dengan kerugian melebihi RM42 juta serta peningkatan 93 kes berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah ini sangat membimbangkan kerana ia melibatkan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan mereka,” ujar beliau ketika membahaskan isu keselamatan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Tambahnya, antara bentuk penipuan yang paling kerap berlaku ialah pembelian dalam talian palsu, skim pelaburan tidak sah, penyamaran sebagai pegawai kerajaan serta pencurian data peribadi.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan persekutuan seperti kempen kesedaran siber, talian aduan 997 oleh CyberSecurity Malaysia dan portal SemakMule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun menekankan perlunya tindakan tambahan di peringkat negeri.
“Saya menggesa Kerajaan Negeri Terengganu agar memperluaskan program kesedaran keselamatan siber ke segenap lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar serta dalam kalangan warga emas dan pelajar,” katanya.
Zuraida turut mencadangkan agar Pusat Khidmat Masyarakat, masjid, surau serta pihak berkuasa tempatan digerakkan sebagai pusat penyebaran maklumat dan pendidikan digital.
Selain itu, beliau berkata penyediaan geran kecil dan sokongan logistik kepada NGO dan komuniti yang aktif sangat perlu bagi mendidik masyarakat tentang keselamatan siber.
“Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa jenayah moden ini.
"Teknologi bukan sahaja membawa kemudahan, tetapi juga cabaran baharu yang perlu dihadapi dengan pendekatan baharu,” tegas Zuraida.
20 Apr 25
86