lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Dua Bandar Lestari Diwujudkan
Dua Bandar Lestari Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 28 November – Terdapat dua kawasan yang telah dipilih sebagai lokasi projek perintis iaitu Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau dan Bandar Baharu Lestari Bukit Seraya, Kuala Nerus. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dato’ Dr Alias Razak berkata, ianya merupakan satu janji dalam Manifesto Parti Islam Semalaysia (PAS) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas. Katanya, bagi lokasi Bukit Seraya di daerah Kuala Nerus mempunyai keluasan 186.29 hektar. "Di Durian Mentangau pula, bandar baharu ini mencakupi keluasan 720.98 hektar dan terdapat Kampus Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dalam bandar tersebut.  “KQT merupakan sebahagian komponen utama yang menjadi pemangkiun pembangunan keseluruhan bandar tersebut," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambah Dr Alias, bandar baharu lestari di Durian Mentangau ini telah dilakukan majlis pecah tanah pada 27 Oktober lalu. "Kerajaan negeri juga berhasrat untuk mewujudkan bandar baru lestari di setiap daerah berpandukan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030)," katanya. Sementara itu, terdapat juga beberapa tempat yang telah dicadangkan untuk dijadikan bandar baharu lestari seperti di Mat Lagam, Kemaman, Durian Telor, Besut dan lain-lain tempat lagi.
28 Nov 22
1073
RM807.31 Juta Perbelanjaan Pembangunan Tahun Ini
RM807.31 Juta Perbelanjaan Pembangunan Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 28 November - Secara keseluruhan perbelanjaan untuk pembangunan melibatkan skim 'defferred payment' dan 'scheduled payment' pada tahun ini sebanyak RM 807.312 juta sehingga Oktober. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad puteh berkata, dua projek 'deffered payment' berkenaan  membabitkan projek air di Bukit Sah (Kemaman) dan satu lagi Projek Bekalan Air Terengganu Utara. "Empat projek 'scheduled payment' pula ialah Pusat Pentadbiran Kuala Nerus, Projek Muara Sungai Terengganu, Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan juga satu lagi pembangunan Bandar Baharu Kijal. "Keseluruhannya, projek ini siap sepenuhnya kecuali satu sahaja iaitu pembangunan Projek Bekalan Air Terengganu Utara yang kini mencapai kemajuan 88 peratus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tepoh, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, perbelanjaan tersebut agak besar tahun ini untuk menyiapkan projek-projek terbabit. "Untuk makluman bersama tahun lepas kita dah berbelanja RM439.74 juta dan pada tahun ini kita berbelanja RM807.3 juta untuk membayar kesemua projek ini dan saya perincikan sedikit. "Pertama untuk projek di Bukit Sah Kemaman kita telah membayar RM551.34 juta pada tahun ini, untuk Projek Kuala Terengganu Utara kita telah membayar RM188.2 juta. "Untuk projek Pentadbiran Daerah Kuala Nerus sebanyak RM70 juta, manakala untuk pembangunan Muara Sungai Terengganu RM5.4 juta untuk pembayaran terakhir dan perbelanjaan bagi membina asrama atlet untuk pembayaran terakhir RM24.71 juta pada tahun ini dan untuk pembangunan Bandar Baharu Kijal kita membelanjakan RM47 juta pada tahun ini," ujarnya.
28 Nov 22
201
BAJET 2023: Imam dan Bilal Dinaikkan Elaun, Terima Bantuan ‘One-Off’
BAJET 2023: Imam dan Bilal Dinaikkan Elaun, Terima Bantuan ‘One-Off’
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri bakal meningkatkan elaun kepada hampir 1,000 orang imam dan bilal serta bantuan ‘one-off’ buat 200 individu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian tunai tersebut bagi menghargai khidmat mereka dalam mengimarahkan masjid dan surau. “Imam dan bilal adalah antara individu yang penting dalam memastikan masjid dan surau kita sentiasa diimarahkan. “Justeru, sebagai penghargaan, saya mengumumkan pemberian tunai ‘one-off’ bernilai RM200 kepada 200 orang imam dan bilal Skim Mubaligh; dan menaikkan elaun hampir 1,000 orang imam dan bilal di negeri ini sebanyak RM100 sebulan bagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya. Dalam masa yang sama, kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk membina lapan buah masjid baru di samping menyelenggara serta menaik taraf masjid dan surau seluruh negeri. “Kita (kerajaan) memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk menyelenggara serta menaik taraf masjid dan surau di seluruh negeri. “Sebanyak RM20 juta lagi diperuntukkan bagi meneruskan pembinaan lapan buah masjid baharu di enam daerah bermula tahun depan,” jelasnya dalam Pembentangan Belanjawan 2023 Terengganu di Sidang DUN hari ini. Selain itu, usaha memakmurkan masjid sebagai 'one-stop centre' sebagai pusat ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan memperuntukkan sebanyak RM640 ribu melibatkan masjid terpilih di setiap DUN. 
28 Nov 22
1361
Tubuh Unit Penyelidikan Setiap DUN
Tubuh Unit Penyelidikan Setiap DUN
KUALA TERENGGANU, 28 November - Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu menubuhkan unit penyelidikan membantu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendapatkan fakta dan maklumat terutama sewaktu menghadapi sidang DUN. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, unit penyelidik membantu semua ADUN untuk membuat kajian berkenaan hal ehwal sidang Dewan Negeri. "Walaupun pejabat DUN kita telah mempunyai seorang pegawai penyelidik tetapi untuk jangka panjang kita memerlukan tambahan kakitangan bagi memberi khidmat terbaik kepada Ahli Yang Berhormat (AYB). "Membantu jawatankuasa pilihan yang ditubuhkan serta kerja-kerja penyelidikan yang lain," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Menurutnya, persidangan ini berlangsung selama empat hari bermula pada 28 November 2022 hingga 1 Disember 2022. Selain itu, Badan legislatif di peringkat Parlimen dan DUN mestilah berusaha meningkatkan peranan membantu pihak kerajaan terutama melalui penubuhan jawatankuasa pilihan (select committee) dalam menangani isu-isu yang penting. "suatu persetujuan dasar telah dicapai supaya badan legislatif samada Parlimen dan DUN mestilah berusaha meningkatkan peranan membantu kerajaan terutama melalui penubuhan jawatankuasa pilihan (select committee) dalam menangani isu-isu yang penting. "Terpulanglah kepada pihak kerajaan untuk membuat penilaian dan tindakan atas apa-apa dapatan (finding) dan laporan yang dikemukakan kepada pihak dewan nanti," ujar beliau. Beliau menambah, persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN SeMalaysia bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Parlimen dan DUN dan satu program besar Simposium di peringkat nasional akan diadakan, di mana negeri Terengganu menjadi tuan rumah. "Saya berpendapat, ada kemungkinan sidang DUN kita pada kali ini merupakan sidang yang terakhir sebelum kita menghadapi pilihanraya tersebut. "Tetapi kita masih mempunyai masa dan peranan samada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang untuk terus membangunkan negeri kita sebelum tiba waktu tersebut," tambah beliau.
28 Nov 22
260
Terengganu Adakan PRN Pada Jun
Terengganu Adakan PRN Pada Jun
KUALA TERENGGANU, 28 November - Negeri Terengganu akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jun 2023 sebelum genap lima tahun. Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini berkemungkinan adalah yang terakhir sebelum menghadapi PRN tersebut. "Kita masih mempunyai masa dan peranan samada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang untuk terus membangunkan negeri kita sebelum tiba waktu tersebut. "Apa pun persepsi dan tafsiran yang akan dibuat mengenai bajet 2023 ini, saya yakin kerajaan yang ada akan membentangkan bajet yang terbaik untuk rakyat berdasarkan kemampuan kewangan yang ada,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keliman DUN Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu katanya, keputusan rakyat untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 sudah diperoleh dan seharusnya dihormati. "Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah berjaya memenangi dan menyapu bersih kelapan-lapan kerusi Parlimen di negeri kita. "Mewakili DUN Terengganu saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10," ujarnya. Tambahnya berdasarkan PRU terbabit rakyat kini sudah menjadi saksi dan melihat siapa sebenarnya ahli politik yang tulen, berjiwa besar dan bermaruah. "Apa yang penting selepas ini ialah kita harus kembali untuk terus membina perpaduan ummah kerana ia menjadi tunjang kepada kemakmuran negara dan dituntut dalam ajaran Islam kita," katanya.
28 Nov 22
2910
Algeria Tawar Pengajian Percuma Buat Pelajar Terengganu
Algeria Tawar Pengajian Percuma Buat Pelajar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Kerajaan Algeria melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menawarkan 10 tempat untuk pelajar Terengganu mengikuti program Pengajian Islam secara percuma. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan, dan Pendidikan Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sebanyak lima tempat ditawarkan di Universiti Amer Abdul Qader, Constantine melalui surat yang diutuskan KPT, Algeria kepada Duta Besar Algeria dan dipanjangkan kepada Kementerian Luar Negeri Malaysia.  Katanya, berita gembira itu diperoleh susulan usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri membina hubungan dengan negara berkenaan. "Baki lima tempat lagi ialah di Universiti Algiers 1, Algiers iaitu hasil kunjungan kerja yang dilakukan oleh rombongan Kerajaan Negeri Terengganu ke Algeria, Mei lalu," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam. Jelasnya, proses bagi mendapatkan pengiktirafan MQA secara penaja diuruskan oleh Yayasan Terengganu (YT). Pengurusan penghantaran pelajar melalui Pusat Bahasa Arab Terengganu (PBAT), Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT). "Surat tawaran pengajian dijangka akan dikeluarkan pada pertengahan Julai 2022 bersesuaian dengan taqwim kemasukan pelajar tempatan Algeria iaitu pada September nanti," katanya. Tambahnya, semua pelajar akan menikmati pembelajaran percuma kerana semua ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Algeria.  
28 Jul 22
972
432,000 Anak Penyu Dilepas Ke Laut
432,000 Anak Penyu Dilepas Ke Laut
KUALA TERENGGANU, 26 Julai- Sebanyak 432,000 anak penyu telah dilepaskan ke perairan Terengganu oleh Jabatan Perikanan Malaysia.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, jumlah tersebut merupakan hasil penetasan yang berjaya dilepaskan daripada program pengeraman 582,000 telur penyu pada tahun 2021. "Kalau ikut statistik umum, daripada 1,000 ekor yang dilepaskan ke laut, seekor akan kembali ke pantai ia menetas. "Jadi, dengan program ini kita mengharapkan sekurang-kurang 432 ekor penyu akan balik ke tempat ia menetas iaitu di sini," katanya.  Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat berkaitan tindakan kerajaan negeri dalam meningkatkan pendaratan penyu di perairan Terengganu dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, program berkenaan merupakan salah satu daripada usaha kerajaan negeri meningkatjan pendaratan penyu di pantai Terengganu. Dr. Azman memaklumkan, pada 2021 sebanyak 7,378 sarang pendaratan penyu direkodkan yang menunjukkan tidak berlaku kekurangan pendaratan penyu di pantai Terengganu. "Selain itu, apabila dikuatkuasakan enakmen Pemuliharaan Penyu 1991 pindaan 2021 yang mengharamkan penjualan semua jenis telur penyu, maka jabatan (perikanan) membeli semua telur dari pemajak untuk tujuan penetasan. "Bagi tahun 2022, peruntukan bagi pembelian telur penyu ini dinaikkan daripada RM600 ribu (2021) kepada RM900 ribu," katanya.
26 Jul 22
362
7,471 Mangsa Banjir Terima Bantuan RM7.471 Juta
7,471 Mangsa Banjir Terima Bantuan RM7.471 Juta
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Kerajaan negeri akan mengagihkan wang sebanyak RM7.471 juta kepada 7,471 ketua isi rumah (KIR) terlibat banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata wang tersebut sudah diterima daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Katanya, ia diagihkan kepada pejabat daerah untuk disalurkan kepada mangsa yang terlibat selewat-lewatnya pertengahan Ogos ini. "Wang ini adalah khas untuk mangsa banjir yang berdaftar di PPS walaupun tidak berpindah namun begitu kita tetap mengalu-alukan bantuan tersebut. "Setiap KIR ini akan menerima RM1,000 seorang secara berperingkat mulai minggu depan dengan agihan dilakukan oleh Pejabat Daerah masing-masing," katanya dalam sidang media  di luar persidangan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini. Mangsa tertinggi ialah di daerah Kemaman iaitu seramai 4,795 orang diikuti Kuala Terengganu (1,506), Kuala Nerus (636), Hulu Terengganu (261), Setiu (151), Dungun (85) dan Besut (37).  
26 Jul 22
973
Kerajaan Salur Bantuan RM1.67j Melalui TDI
Kerajaan Salur Bantuan RM1.67j Melalui TDI
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Sejumlah RM1.67 juta peruntukan Tabung Darul Iman (TDI) telah diagihkan kepada semua pemohon yang berkelayakan sejak Januari 2022 hingga Jun 2022.  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata sehingga kini seramai 1,421 penerima telah mendapat manfaat TDI. Katanya, agihan bantuan itu mengalami sedikit kelewatan pada tahun ini kerana kerajaan negeri menggunakan sistem baharu dan perlu mendaftar setiap penerima bantuan ke dalam portal Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri (iSPEKS). "Banyak kelulusan yang telah dibuat bagi tahun ini dan sedang menunggu peruntukan dikeluarkan daripada kewangan negeri. "Proses naik taraf portal ini dibuat secara berperingkat dalam masa terdekat, pembayaran akan dapat dilakukan mengikut jadual seperti biasa. "Saya menegaskan bantuan tidak mengira warna kulit serta ideologi politik. Siapa yang layak menerima bantuan, negeri (kerajaan) perlu bantu demi kebajikan mereka,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Hanafiah yang juga ADUN Chukai menjelaskan bahawa rekod penerima manfaat TDI bagi tahun 2020 berjumlah RM6.89 juta dengan 8,214 penerima dan RM5.97 juta (7,243 penerima) bagi 2021. Pada masa sama, pihak pengurusan TDI masih dalam proses mendaftarkan penubuhan TDI sebagai sebuah yayasan dan dijangka selesai sekitar tiga bulan lagi.
26 Jul 22
810
Manuskrip Digital Ulama Terengganu Bakal Wujud
Manuskrip Digital Ulama Terengganu Bakal Wujud
KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Kerajaan negeri bakal mewujudkan manuskrip Ulama Terengganu secara digital bagi menarik seluruh masyarakat untuk lebih mengenali dan menghargai peranan ulama di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, usaha itu merupakan salah satu langkah pihaknya bersama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dalam merungkai perjalanan sejarah serta ketamadunan Islam di negeri ini. Katanya, antara objektif utama pendigitalan manuskrip ulama dalam negeri ialah menjadikan negeri Terengganu sebagai sumber rujukan digital berkaitan ulama dan manuskrip. “Kita akan memelihara manuskrip-manuskrip lama yang ada di Terengganu berasaskan digital yang akan dibangunkan melalui penerapan elemen multimedia untuk menyampaikan informasi dalam dunia maya “Buat masa ini, proses awalan program ini akan dimulakan dengan menjejaki maklumat berkenaan Tok Pulau Manis untuk divisualisasikan dalam bentuk digital yang akan dijayakan dengan kerjasama dari pihak penyelidik Universiti Tempatan (Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam) atau nama lain (INSPIRE) daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam masa sama, pihaknya juga akan mewujudkan 'ulama trail' dengan mengenal pasti laluan dan kesan-kesan sejarah yang membawa kepada perkembangan Islam di Terengganu. “Antara lokasi 'ulama trail' melibatkan Makam Tok Pelam, Makam Tokku Paloh, Makam Tokku Pulau Manis, Masjid Hiliran, Kota Duyong, Masjid Rusila, Makam Tok Gajah dan Memorial Batu Bersurat,” jelas beliau lagi. Sementara itu, bagi langkah promosi di peringkat antarabangsa, satu perbincangan awal telah diadakan bersama Kedutaan Turki di Malaysia bagi menjalinkan kerjasama 'edu-tourism' yang meliputi segmen sejarah dan keilmuan Islam.  “Satu perbincangan lanjut berkenaan dengan segmentasi kerjasama tersebut akan diadakan pada bulan September ini sempena kunjungan hormat Duta Turki ke Negeri Terengganu,” katanya.
26 Jul 22
684