lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

RM10 Juta Selesai Masalah Air di Ajil
RM10 Juta Selesai Masalah Air di Ajil
KUALA TERENGGANU, 30 November - Masalah air yang kerap berlaku di Pekan Ajil akan diselesaikan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU) dengan peruntukan RM10 juta. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, masalah yang mula berlaku sejak banjir besar luar jangka pada awal tahun lalu dan berlarutan sehingga kini itu menimbulkan reaksi tidak senang di kalangan penduduk. "Alhamdulillah pada Isnin, 31 Oktober perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif SATU (Abdul Karim Endut) diadakan bagi membincangkan perkara itu dan diberi jaminan penyelesaian dengan kos sebanyak RM10 juta untuk melakukan pengubahsuaian bagi meningkatkan keupayaan Loji Rawatan Air (LRA) di Hulu Terengganu. "Cuma saya berharap agar dipercepatkan (kerajaan) supaya tidak menjadi satu bahan untuk penduduk menghentam, orang ramai ini biasalah bila berlaku masalah air dia tidak tembak (marah) kepada SATU tetapi dia akan tembak saya dahulu. "Walau bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada SATU yang cuba untuk memberikan komitmen yang padu bagi menyelesaikan masalah isu air ini," ujarnya. Beliau berkata demikian, pada sesi perbahasan Mesyuarat Ketiga Penggal Keliman Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (BAJET), di Wisma Darul Iman, semalam. Dalam pada itu beliau turut mengharapkan agar pihak kerajaan membuat satu kajian melalui agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah serta yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat membabitkan empat buat sekolah di Mukim Hulu Berang. "Implikasi banjir besar telah mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bentong, SK Lubuk Periuk, SK Kua dan SK Gunung mudah dinaiki air apabila berlakunya hujan. "Sebagai contoh SK Lubuk Periuk berada di kawasan yang sangat rendah dan sebenarnya sangat tidak sesuai sekolah itu berada di situ, kerana apabila hujan sekejap sahaja air akan masuk sampai ke dalam pejabat dan kelas sehingga menyebabkan peralatan cepat rosak. "Apabila hujan sesi pembelajaran tidak dapat diteruskan pelajar akan diminta balik, jadi saya mengharapkan kerajaan komited untuk membantu sekolah-sekolah yang terlibat banjir ini dengan mengadakan empangan, tebatan atau apa sahajalah yang difikirkan bersesuaian bagi menangani perkara ini," katanya.
30 Nov 22
601
ADUN BN Akui Bajet Terengganu Terbaik
ADUN BN Akui Bajet Terengganu Terbaik
KUALA TERENGGANU, 30 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Telemong daripada Barisan Nasional (BN) Rozi Mamat memuji Bajet 2023 Terengganu kerana menurutnya, ia benar-benar membantu rakyat. "Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah mengumumkan satu hidangan yang terbaik dan setakat ini mengikut perkiraan saya melalui pembentangan bajet yang telah dibentangkan itu hampir RM150 juta akan diagihkan bantuan secara 'one-off'' kepada rakyat dan ini merupakan satu perkembangan (baik)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (BAJET), di Wisma Darul Iman, semalam. Katanya, perkara kebaikan seumpama itu sewajarnya diteruskan setiap masa. "Saya mengharapkan perkara ini dapat diteruskan sehingga akan datang supaya dapat dimanfaatakn oleh rakyat Terenggau, secara tidak langsung boleh membantu rakyat yang menghadapi bebanan dengan kos kenaikan sara hidup pada hari ini," ujarnya. Dalam pada itu ADUN Manir, Mohd Hilmi Harun ketika mencelah berkata segala bantuan telah dimulakan sejak awal PAS mentadbir Terengganu. Ujarnya, Segala agenda kebaikan dan perkara yang bermanfaat untuk rakyat  bukan semata-mata kerana hendak menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun hadapan. "Peringkat awal (kerajaan) banyak menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu, yang kemudian ini apabila banyak untung (anak-anak syarikat), baru boleh buat (perbanyakkan bantuan 'one-off' ) ,"ujarnya.  
30 Nov 22
3101
Kedai Gunting Rambut 'Uniseks' Tidak Perlu
Kedai Gunting Rambut 'Uniseks' Tidak Perlu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kedai gunting rambut dan salon kecantikan 'uniseks' iaitu bercampur lelaki dan perempuan bagi penganut beragama Islam tidak perlu dilaksanakan di Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida MD Noor berkata perlesenan premis-premis tersebut perlu diteliti dengan lebih baik melalui syarat dan panduan yang ditetapkan oleh syarak. "Kedai gunting rambut lelaki perlu diuruskan oleh lelaki sahaja, manakala wanita pula perlu diusahakan oleh kaum wanita sahaja. “Isu tersebut sering mendapat aduan dan amat membimbangkan dalam kalangan masyarakat setempat," katanya. Beliau berkata demikian semasa Sesi Perbahasan Enakmen Perbekalan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tambah Zuraida, jika isu ini diabaikan maka akan memberikan imej negatif kepada semua pihak. “Pengusaha berkenaan tidak seharusnya memikirkan keuntungan semata-mata dan perlu menunaikan tuntutan syarak dalam kehidupan,” katanya. Beliau berharap, agar pihak berwajib dapat membuat pemantauan terhadap premis-premis berkenaan supaya pelaksanaan syariah dapat direalisasikan dengan baik di negeri ini.  
29 Nov 22
2699
BAJET 2023: Suntikan Awal SUKMA 2024, Tour Gateh D’Tranung Diteruskan
BAJET 2023: Suntikan Awal SUKMA 2024, Tour Gateh D’Tranung Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri memperuntukkan dana sebanyak RM14.5 juta bagi persediaan awal buat kontinjen SUKMA edisi 2024. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dana tersebut merupakan usaha kerajaan melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) persiapkan atlet. “Tahniah juga di atas prestasi cemerlang atlet kita sehingga muncul sebagai naib juara keseluruhan SUKMA 2022 barubaru ini apabila berjaya merangkul 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa; melebihi sasaran awal hasil kesungguhan para atlet dan kontinjen kita. “Bagi merealisasikan Kontinjen Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA 2024, sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan bagi persediaan. “Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menganjurkan kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) pada tahun hadapan dengan memilih Daerah Dungun sebagai tuan rumah,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2023 Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempar Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Ahmad Samsuri turut menjelaskan peruntukan sebanyak RM600 ribu disediakan untuk meneruskan program berprestij dalam perlumbaan berbasikal jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’Tranung. Pembentangan Belanjawan bagi 2023 disempurnakan semalam berjumlah RM1.991 bilion berbanding RM1.657 bilion tahun lalu bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’.
29 Nov 22
438
BAJET 2023: Baucer Pakej Berpantang Buat Ibu Bersalin
BAJET 2023: Baucer Pakej Berpantang Buat Ibu Bersalin
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri bakal memperkenal bantuan baharu buat para ibu bersalin melalui Baucer Pakej Berpantang dengan peruntukan sebanyak RM1 juta. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bantuan tersebut bakal memberi manfaat kepada wanita yang berkelayakan. “Khusus untuk wanita yang baru melahirkan anak, dengan ini diumumkan Baucar Pakej Berpantang bernilai RM200 bagi penjagaan selepas bersalin. “Bantuan ini dijangka akan memberi manfaat kepada sekitar 5,000 orang wanita yang layak,” katanya dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2023 Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempar Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Bantuan tersebut menjadi salah satu inisiatif dalam Teras 1, Rakyat Disantuni menjangkaui seluruh kelompok masyarakat di negeri ini. Selain itu, pemberian Pencen Rakyat bernilai RM600 juga akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM15 juta melibatkan 25,000 penerima.  “Selain Pencen Rakyat, kerajaan juga berhasrat meneruskan program Kad Sejahtera dengan penambahan jumlah penerima kepada 25,000 orang pada tahun hadapan selain RM4 juta lagi bagi program Wad Kelas 3 Percuma di semua hospital kerajaan di negeri ini,” tambahnya. Kerajaan Negeri membentangkan Belanjawan bagi 2023 dengan jumlah RM1.991 bilion berbanding RM1.657 bilion tahun lalu bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’.
29 Nov 22
886
Terengganu Tambah Penguatkuasa Syariah
Terengganu Tambah Penguatkuasa Syariah
KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan Terengganu berhasrat menambah bilangan penguatkuasa syariah di negeri ini tahun hadapan.  Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ia bagi menampung bidang tugas dan tanggungjawab dalam bidang tersebut.  Katanya, setakat ini hanya terdapat 85 penguatkuasa syariah yang sedang menjalankan tugas di seluruh daerah.  "Daripada jumlah itu 17 orang ditempatkan di ibu pejabat, Kuala Terengganu (9), Kemaman (12), Dungun (9), Besut (9), Hulu Terengganu (10), Marang (5), Setiu (7), Kuala Nerus (7). "Kalau kira bilangan tidak cukup dengan jumlah rakyat Terengganu kira-kira 1.2 juta orang," ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hilmi Harun (PAS-Manir) dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undagan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini. Katanya, kerajaan negeri juga sedang membuat penambahbaikan terhadap portfolio jabatan penguatkuasa syariah di semua peringkat.
29 Nov 22
200
Kadar Kemajuan Projek ECRL Terengganu Capai 43.96 Peratus
Kadar Kemajuan Projek ECRL Terengganu Capai 43.96 Peratus
KUALA TERENGGANU, 29 November- Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mencapai kemajuan 43.96 peratus iaitu lebih tinggi daripada kemajuan infrastruktur keseluruhan projek iaitu 35.88 peratus. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Ulitili dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, status kemajuan bagi daerah Dungun pula yang melibatkan kerja-kerja fizikal telah siap dibina merangkumi 20 kilometer (km), kerja-kerja tanah, kerja pembinaan bagi dua terowong iaitu di Dungun (871 meter) dan Paka (1107 meter) serta 10 jambatan kereta api. Katanya, pembinaan stesen Dungun juga dijangka akan bermula pada tahun depan dan kerja-kerja reka bentuk sedang giat dilaksanakan. "Bagi kerja pelancaran rasuk pula dijangka akan bermula pada hujung suku pertama 2023 manakala, kerja-kerja pembinaan seperti kerja-kerja landasan akan memasuki fasa seterusnya yang dijangka bermula pada penghujung tahun 2023. "Kajian pelan induk bersepadu ECRL telah mencadangkan Stesen ECRL Dungun memfokuskan pembangunan hub kargo dan perindustrian selari guna tanah di sekitar kawasan tersebut. "Selain itu, cadangan pembangunan bagi kawasan sekitar stesen adalah zon komersial seluas 92.52 hektar iaitu komposisi pembangunan bercampur komersial dan industri," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini. Menjawab soalan tambahan Alias mengenai tahap kemajuan yang sangat memberangsangkan itu, Dr Mamad berkata, ia disebabkan kerjasama erat pelbagai pihak yang terlibat khususnya Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kerajaan negeri. "Bagi status kemajuan di Negeri Terengganu pula, pembinaan untuk kerja-kerja struktur seperti jambatan, jejambat dan aktiviti sub gred bagi jajaran atas tanah sudah bermula dengan peratus kemajuan infrastruktur sahaja adalah 43.96 peratus.  "Selain itu, tiga kem induk juga telah giat beroperasi iaitu di Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman," katanya. Beliau juga optimis ECRL akan dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2027. "Panjang jajaran ECRL di Terengganu adalah 231 kilometer bermula dari Jerteh, Besut ke Chukai, Kemaman dengan enam stesen iaitu Jerteh (stesen penumpang), Bandar Permaisuri (stesen penumpang), Kuala Terengganu (stesen penumpang), Dungun (stesen penumpang dan kargo), Kemasik (stesen penumpang) dan Chukai (stesen penumpang dan kargo)," jelasnya.
29 Nov 22
532
Bajet 2023: Dua Lagi SRIDI, SMIDI Bakal DIbina
Bajet 2023: Dua Lagi SRIDI, SMIDI Bakal DIbina
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri melalui Pembentangan Belanjawan Negeri 2023 semalam menyatakan bakal membina dua buah lagi sekolah kelolaan kerajaan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata masing-masing merupakan sebuah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan sebuah Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI). “Penubuhan SRIDI dan SMIDI mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Sehingga kini, 11 buah SRIDI dan sebuah SMIDI telah ditubuhkan dengan jumlah murid seramai 1,658 orang dan 152 orang guru. “Susulan itu, sebanyak RM11 juta lagi diperuntukkan bagi pembinaan SRIDI Seberang Takir dan SMIDI Ajil yang baharu dan sebanyak RM23 juta pula diperuntukkan untuk mengoperasikan semua SRIDI dan SMIDI,” katanya.   Beliau berkata demikian dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2023 Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempar Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Di samping itu, kerajaan juga berhasrat mewujudkan Tabung Pendidikan Islam Negeri Terengganu dengan sasaran RM1 juta.  “Kita (kerajaan) turut memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta sebagai bantuan per kapita untuk sekolah agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). “Justeru, saya mengalu-alukan semua GLC, pihak swasta dan orang awam untuk turut menyumbang kepada tabung ini demi menjamin kecemerlangan anak-anak kita dalam kedua-dua kurikulum diniyyah dan kebangsaan,” tambahnya. Semalam, Kerajaan Negeri membentangkan Belanjawan bagi 2023 dengan jumlah RM1.991 bilion bertemakan ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’
29 Nov 22
1625
Bajet 2023: Terengganu Bakal Anjur Ijtimak Ulama Sedunia
Bajet 2023: Terengganu Bakal Anjur Ijtimak Ulama Sedunia
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri berhasrat untuk menganjurkan Ijtimak Ulama Sedunia pada tahun hadapan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebanyak RM250 ribu diperuntukkan bagi merealisasikan program demikian. “Alhamdulillah, jujur saya katakan bahawa terasa benar semaraknya program dakwah sepanjang tahun ini sesuai dengan pengisytiharannya sebagai Tahun Semarak Dakwah.  “Banyak sekali aktiviti yang telah dilaksanakan antaranya Qiamullail Perdana, Kembara Dakwah, Selebriti Bersama Daie, Himpunan Daie Nusantara dan Karnival TMBS di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). ”Bagi memantapkan kegiatan dakwah dan pelaksanaan syariah serta menyuburkan aktiviti keilmuan di negeri kita juga, kerajaan negeri akan menganjurkan ljtimak Ulama Sedunia dengan peruntukan sebanyak RM250 ribu,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan Belanjawan Terengganu 2023 Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempar Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Selain itu, Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM7 juta bagi komitmen kerajan membina dua premis baharu Mahkamah Syariah. “Sebanyak RM5 juta bagi pembinaan premis baharu Mahkamah Tinggi Syariah Daerah Kemaman dan sebanyak RM2 juta lagi untuk kerja-kerja awal pembinaan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu.  “Selain itu, bilangan pegawai penguatkuasa syariah di setiap DUN juga akan ditambah bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan,” tambahnya. Terdahulu, Terengganu membentangkan Belanjawan Negeri bagi 2023 berjumlah RM1.991 bilion dengan tema ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’.
29 Nov 22
376
Bajet 2023: Laksana Pembangunan Berkait Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Sosioekonomi
Bajet 2023: Laksana Pembangunan Berkait Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Sosioekonomi
KUALA TERENGGANU, 28 November- Demi kesejahteraan penduduk, Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan bagi projek-projek kecil di peringkat DUN kepada RM32 juta untuk melaksanakan pembangunan berkaitan infrastruktur, kemudahan awam dan sosioekonomi setempat. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM108 juta pula diperuntukkan bagi meneruskan Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) agar pengguna domestik, komersial dan industri mendapat air yang berkualiti dan tidak mengalami gangguan bekalan. "Sesungguhnya saya akui bahawa tanggungjawab untuk memperbaik pengurusan sumber dan perkhidmatan bekalan air adalah tidak mudah kerana adanya pelbagai kekangan dan amat sensitif kepada penduduk. Namun, kerjasama erat dan usaha berterusan terutamanya oleh JBA, SATU dan LAUT telah berjaya mengatasinya satu per satu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini. Dalam pada itu katanya,  sebanyak RM102 juta  diperuntukkan bagi kerja-kerja penyediaan infrastruktur asas dan bayaran pengambilan tanah untuk membangunkan bandar-bandar baharu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Kemaman. "Sebanyak RM78.65 juta  lagi diperuntukkan bagi membina Kompleks Pentadbiran Majlis Perbandaran Dungun yang baharu dan RM3.1 juta  untuk menaik taraf kemudahan utiliti dan infrastruktur kawasan perindustrian  di Kemaman, Dungun dan Marang. "Suka juga untuk saya mengumumkan bahawa Dataran Teluk Pasu akan dibangunkan sebagai tempat rekreasi keluarga yang baharu dengan peruntukan sebanyak  RM1 juta  bagi pelaksanaan fasa pertama, " ujarnya. Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Negeri akan memperkasakan liputan internet di seluruh negeri melalui SKMM dan DNB dengan memfokuskan kepada Pelan Pelaksanaan 5G dan pembinaan struktur telekomunikasi sedia ada dan baharu di 373 tapak.  "Pelaksanaannya di 178 tapak melibatkan empat daerah akan dimulakan pada tahun hadapan. "Sebanyak RM2 juta  pula diperuntukkan bagi memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan ‘Artificial Intelligence’ (AI) di negeri kita menerusi TAJDID, " jelasnya.  Bagi meningkatkan mutu pengurusan kebersihan dan keindahan bandar pula, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan kepada RM77 juta bagi perbelanjaan berkaitan kontrak kebersihan dan pelaksanaan Program Kebersihan Bandar, pembelian tong sampah, Pertandingan PBT Cemerlang, Program Terengganu Bersih dan Lestari, bantuan sewaan tong sampah RORO serta  Projek Kutipan Sampah.  Menurut beliau, melestarikan pembangunan merupakan salah satu teras yang digariskan sebagai pendekatan dalam melaksanakan Belanjawan 2023 setelah mengambil kira realiti semasa dan prospek masa hadapan.
28 Nov 22
430