Artikel "Sidang DUN" Terkini
Terengganu Anjur Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di 32 DUN
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan karnival induk bertemakan 'Indahnya Hidup Bersyariat' di kesemua 32 DUN sebagai langkah komprehensif untuk memperkukuh penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, karnival itu menawarkan pelbagai aktiviti bermanfaat yang menyasarkan kepada semua masyarakat.
“Ia akan meningkatkan penghayatan Islam, memperkasa institusi keluarga, membangunkan potensi belia, memudahcara pemadanan pekerjaan, meningkatkan jualan peniaga, mempromosikan produk pelancongan dan mengakses perkhidmatan kerajaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Menurutnya, karnival tersebut menjadi platform utama untuk memupuk nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian masyarakat.
“Secara umumnya, taraf dan kualiti hidup rakyat negeri kita berada di kedudukan tiga teratas di Semenanjung Malaysia terutamanya bagi komponen pendidikan, keselamatan awam dan keluarga.
“Selain peranan kerajaan, ia adalah manifestasi daripada hubungan antara individu, keluarga dan komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain untuk mencapai matlamat bersama yang lahir daripada proses agama, ilmu dan budaya dalam masyarakat kita,” katanya.
Jelas Ahmad Samsuri, penganjuran program itu melibatkan pelbagai agensi utama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Yayassn Pembangunan Keluarga (YPK), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Terengganu Human Resourse Development Centre (THRDC).
“Salah satu elemen penting dalam karnival ini ialah program penghayatan Al-Quran, yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Terengganu, Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dan DUAT.
“Program penghayatan al-Quran untuk golongan kanak-kanak, dewasa dan OKU serta memperkasa guru-guru al-Quran,” tambah beliau.
Justeru itu, beliau mengalu-alukan penglibatan pihak swasta dalam menjayakan karnival in bagi memastikan manfaatnya dapat dirasi oleh seluruh rakyat Terengganu.
18 Nov 24
637
Terengganu Sasar Jana Hasil RM510 Juta
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri menetapkan sasaran masa depan Terengganu untuk memperoleh hasil janaan mencecah RM510 juta menjelang tahun 2030.
Menurut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ke arah merealisasikan kesemua sasaran itu kerajaan negeri menetapkan 25 inisiatif yang akan diberikan keutamaan tinggi atau High Priority Initiatives (HPI).
"Menerusi keberkesanan pelbagai strategi dilaksanakan Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri, hasil janaan negeri pada tahun 2023 berjumlah RM283.15 juta, lebih tinggi 41.1 peratus berbanding anggaran RM200.66 juta.
"Sehingga September tahun ini pula, sejumlah RM221.39 juta yang berjaya dikutip juga, adalah lebih tinggi 14.0 peratus berbanding kutipan tempoh sama tahun lalu iaitu RM194.13 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Selari dengan itu tambahnya, pelbagai mekanisme turut dipertimbangkan untuk memastikan kestabilan jangka panjang ini dapat dicapai tanpa membebankan sesiapa terutamanya rakyat kebanyakan dan golongan peniaga.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyasarkan perkembangan ekonomi antara 6.0 hingga 7.2 peratus setahun mencecah RM51.5 billion dengan jumlah pelaburan dan perdagangan terkumpul melebihi RM29 bilion dan RM172 bilion.
18 Nov 24
763
Tour Gateh D'Tranung Teruskan Aksi Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kejohanan berbasikal terbesar negeri Terengganu, Tour Gateh D'Tranung akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dalam usaha mempromosi negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain itu kerajaan negeri juga akan kembali menganjurkan Sultan Mahmud Bridge International Run yang turut melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara.
"Kerajaan negeri juga akan memantapkan pelaksanaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu dengan nilai perundangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, penganjuran Karnival Pantai Terengganu yang mempamerkan budaya dan warisan negeri akan diperhebat dengan turut menonjolkan keunikan beberapa negara serantau bagi menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pelancong asing.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan turut melaksanakan kerja-kerja pembinaan bangunan serbaguna untuk 'indoor games' seperti skuasy, badminton serta kemudahan berkaitan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
18 Nov 24
126
Terengganu Tumpu Projek Gas, Hidrogen Hijau dan Kredit Karbon
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG), pembangunan loji hidrogen hijau serta penjanaan dan perdagangan kredit karbon selain industri Unsur Nadir Bumi (REE) pada tahun mendatang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam keadaan jumlah populasi dan bilangan penduduk bekerja yang secara relatifnya masih rendah, projek pelaburan dan perindustrian harus dirancakkan supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat.
Katanya, melalui aktiviti ekonomi di negeri kita ia menyumbang kepada peningkatan gaji dan upah, pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan daya saing pasaran.
“Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) dalam usaha meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG) dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau yang akan beroperasi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Dua projek rintis juga sedang diusahakan oleh Terengganu Inc. bagi memajukan penjanaan dan perdagangan kredit karbon.
“Menerusi kerjasama dengan TNB Genco pula, usaha digerakkan untuk membangunkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 MW tenaga elektrik melibatkan nilai pelaburan berjumlah hampir RM10 bilion bagi tempoh beberapa tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Di samping itu jelas Ahmad Samsuri, bagi memudahkan urusan dan memberikan nilai tambah kepada para pelabur, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Uktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan melaksanakan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien.
“Serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif menerusi dasar pembangunan perindustrian yang akan dilancarkan nanti.
“Usaha menarik bilangan projek dan nilai pelaburan yang lebih besar ke negeri kita sangat penting bagi menjamin peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan,” ujarnya.
18 Nov 24
927
Belanjawan 2025, Lima Fokus Jadi Sasaran Utama
KUALA TERENGGANU, 18 November - Sebanyak lima fokus utama Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan tahun depan menerusi peruntukan yang diterima melalui Belanjawan 2025.
Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fokus utama belanjawan yang bertemakan 'Demi Masa Depan Terengganu' adalah peningkatan kelestarian fiskal.
Katanya, ia meliputi usaha mengurus kewangan secara berkesan melalui pengembangan sumber hasil, proses belanjawan yang telus, peningkatan kecekapan kutipan hasil dan penerokaan model pembiayaan yang efisien.
"Fokus kedua meliputi Pembangunan Rantaian Nilai Makanan (Food Value Chain) yang merangkumi proses meningkatkan hasil pengeluaran komoditi makanan utama.
"Di samping itu untuk menarik bakat muda, perkemas penyeliaan tanah dan infrastruktur serta memacu pelaburan dan pembangunan industri agromakanan.
"Pengukuhan Modal Sosial (Social Capital) menjadi fokus ketiga yang melibatkan upaya mengukuhkan jaringan hubungan sosial melalui program keagamaan, keilmuan, pendidikan dan pembangunan modal insan serta penglibatan NGO dalam menangani jenayah, memperkukuh institusi kekeluargaan dan meningkatkan kesejahteraan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, Kerajaan Negeri juga memfokuskan Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing (Competitive Economy) yang mencakupi ikhtiar bagi memajukan perindustrian dan perdagangan, meningkatkan permintaan pasaran serta menerajui pelaburan bernilai tinggi.
"Ia bagi memperkukuh daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang," katanya.
Selain itu, beliau juga berkata, Pemberdayaan Masyarakat Usahawan (Entrepreneurial Society) yang melingkupi tindakan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut menjadi fokus pada belanjawan kali ini.
Katanya, ini bagi mencipta dan mengembangkan peluang pasaran serta membangunkan kemahiran keusahawanan, mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan.
18 Nov 24
258
Terengganu Bentang Belanjawan 2025 Berjumlah RM1.887 Bilion
KUALA TERENGGANU, 18 November – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM1.887 bilion bagi Belanjawan 2025 untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri itu bagi tahun depan.
Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bertemakan 'Demi Masa Depan Terengganu', belanjawan itu termasuk RM450 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
“Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.792 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan iaitu RM278.19 juta untuk Emolumen, RM361.49 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM23.93 juta untuk Aset, RM1.127 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk perbelanjaan lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri lagi, bagi hasil pula, sebanyak RM74.10 juta adalah daripada Hasil Cukai, RM189.25 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.733 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil.
“Jumlah ini termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion,” katanya.
Menurut beliau, bagi memastikan pengurusan kewangan dan proses belanjawan adalah lebih efisien, Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu akan memperkemas pelaksanaan Bajet Berasaskan Outcome (OBB) dalam membuat pengagihan peruntukan dan perbelanjaan nanti.
18 Nov 24
829
Terengganu Tumpu Industri Teknologi Tinggi
KUALA TERENGGANU, 30 Julai- Kerajaan negeri telah mengatur beberapa strategi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri Industri Berteknologi Tinggi selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antaranya dengan memberi tumpuan kepada industri berasaskan teknologi yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
“Terengganu juga akan mengutamakan pembangunan mapan, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar dan sosial.
“Selain itu, kerajaan negeri akan membangunkan modal insan dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas lanjut katanya, Terengganu akan mempelbagaikan ekonominya dengan melabur dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan.
Katanya, kerajaan negeri sedang menggubal satu dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030.
“Dasar ini selari dengan perkembangan revolusi industri 4.0 yang memberi penekanan kepada Internet of Thing (IOT) sebagai iltizam Negeri Terengganu membentuk pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan perindustrian dalam pelbagai sektor perindustrian selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030),” ujarnya.
30 Jul 24
965
Kolam La Hot Spring Akan Diasingkan Jantina Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Pengasingan pengunjung wanita dan lelaki di kolam air panas semulajadi La Hot Spring di Hulu Besut akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada awal tahun depan dengan peruntukan antara RM30,000 hingga RM50,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, perkara itu sedang dipertimbangkan secara serius agar pengasingan kolam lelaki dan wanita di La Hot Spring ini dapat dilakukan segera.
"Sudah tentulah, kita ambil kira kemudahan infrastruktur dan prasarana sedia ada demi mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk pengunjung ke kolam air panas semula jadi tersebut.
"Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Besut akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha dan penduduk setempat untuk mendapatkan cadangan terbaik untuk melaksanakan usaha tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Husaimi Hussin (Hulu Besut) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan lokasi tersebut sebagai destinasi pelancongan terkenal di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Katanya lagi, cadangan untuk melaksanakan pengasingan kolam air panas lelaki dan wanita akan turut mengambil kira faktor infra sedia ada di kawasan La Hot Spring tersebut.
"Ketika ini, kolam air panas itu menerima limpahan pengunjung setiap hari kerana khasiatnya yang terbukti untuk kesihatan manusia.
"Namun situasi itu tidak 'manis' kerana percampuran lelaki dan wanita di kawasan kolam air panas yang agak sempit sebab itu kita nak asingkannya," ujar beliau.
Kolam Air Panas yang berada di Kampung La atau lebih dikenali sebagai La Hot Spring itu terletak kira-kira 125 kilometer (km) dari Kuala Terengganu.
29 Jul 24
655
Kilang Makanan Ternakan Manfaat 70 Peratus Bahan Mentah Tempatan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Perancangan kerajaan negeri untuk mempunyai kilang makanan sendiri antara salah satu usaha untuk menurunkan harga makanan ternakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, hasil penyelidikan daripada pakar-pakar di Institut Pengajian Tinggi mendapati langkah tersebut dapat manfaatkan sekitar 70 peratus bahan mentah tempatan dan meletakkan kebergantungan hanya kira-kira 30 peratus pada bahan mentah yang diimport.
“Antara yang kita gariskan dalam Pelan strategik Pertanian Terengganu adalah untuk mempunyai kilang makanan sendiri.
“Apabila diperkasakan lagi hasrat tersebut bersama negeri SG4, kita telah adakan beberapa perancangan bersama untuk merealisasikan kilang makanan ternakan dengan memanfaatkan sumber bahan mentah tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh yang ingin tahu apakah usaha kerajaan negeri untuk mengatasi kenaikan harga makanan ikan (akuakultur).
Dr Azman berkata, beliau mengakui harga input makanan ternakan bukan hanya ternakan akuakultur malahan makanan unggas dan ternakan dominan turut berhadapan dengan isu kenaikan harga.
“Antara sebabnya kerana kita tidak ada kilang makanan ikan di Terengganu.
“Dan kilang-kilang makanan ikan yang ada di negeri lain bergantung kepada sumber bahan mentah yang diimport menyebabkan naik turun harga,” ujarnya.
Terdahulu, Dr Mamad turut mengemukan soalan lisan mengenai berapakah bilangan pengusaha sangkar ikan di Hulu Terengganu, khususnya dalam DUN Kuala Berang dan berapakan nilai sumbangan yang telah dihulurkan kepada mereka pada tahun 2023 dan 2024.
Dr Azman memaklumkan, terdapat 170 pengusaha di Hulu Terengganu dan 133 di Kuala Berang dengan spesis utama yang diternak mereka adalah ikan baung, patin dan tilapia.
“Sebanyak RM1,288,654 nilai bantuan telah disalurkan kepada pengusaha di Hulu Terengganu dengan pecahan RM637, 813 (2023) dan RM650,841 (2024),” ujarnya.
Manakala katanya, skop bantuan yang disalurkan seperti bot, tangki fiber, pukat sangkar, water jet, tong drum, sangkar, induk ikan kelah, makanan ikan serta kerja-kerja berkaitan pemulihan bekalan air, bekalan lektrik, pembinaan jeti terapung dan baik pulih sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir.
“Kerajaan Negeri sedang melakukan penyelarasan antara Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri bagi mewartakan kira-kira 3000 hektar kawasan daratan dan tasik di Sungai Como Tasik Kenyir yang sekarang ini berada dalam warta Hutan Simpan Kekal (HSK) untuk diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA),” ujarnya.
29 Jul 24
500
Sistem Telekomunikasi di Terengganu Capai 97.54 Peratus
KUALA TERENGGANU, 29 Julai- Sistem telekomunikasi di Terengganu berada pada tahap memuaskan dengan purata peratusan capaian sebanyak 97.54 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, peratusan capaian di negeri itu meningkat lebih tiga peratus berbanding 93.68 peratus pada tahun lalu.
"Saya perincikan status capaian di setiap daerah iaitu Besut sebanyak 96.88 peratus, Setiu (96.40 peratus) dan Hulu Terengganu sebanyak 96.16 peratus.
"Kuala Nerus mencatat capaian 99.12 peratus dan Kuala Terengganu berada pada capaian 100 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, bagi daerah Marang kadar capaian sebanyak 98.17 peratus, Dungun 96.01 peratus dan Kemaman pada kadar 97.24 peratus.
29 Jul 24
319