lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Tingkat Pemantauan, Penguatkuasaan Maritim Elak Kecurian Hasil Laut
Tingkat Pemantauan, Penguatkuasaan Maritim Elak Kecurian Hasil Laut
KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan negeri sedang berusaha mengurangkan isu kecurian hasil laut dan pencerobohan nelayan asing dengan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan maritim. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk meningkatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan di kawasan perairan negeri seluas kira-kira 87,000 kilometer persegi.  “Selain itu, setiap nelayan tempatan bagi Zon C dan C2 diwajibkan untuk memasang sistem ‘Mobile Tracking Unit’ (MTU) bagi memudahkan pemantauan lokasi dan identifikasi di mana ia dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti dan membezakan antara vessel tempatan dan  kapal asing yang memasuki perairan negara secara haram,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Tambah beliau, tindakan perundangan yang lebih tegas dan kadar denda tinggi turut dikenakan terhadap penceroboh. “Mengikut pindaan Akta Perikanan 1985, denda maksimum bagi pemilik vesel atau tekong vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia untuk tujuan penangkapan ikan boleh mencecah RM 6 Juta, manakala bagi setiap awak-awak pula, denda boleh dikenakan sehingga RM 600,000 seorang, di samping peralatan dan vesel boleh dirampas kemudian dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.  “Dari tahun 2018 hingga 2024 sebanyak 196 buah bot nelayan asing telah ditahan oleh agensi penguatkuasaan negara iaitu Polis Marin, DOF dan APMM,” ujarnya. Sementara itu katanya, bermula tahun 2006 sehingga 2024 sebanyak 1,579 unit tukun tiruan pelbagai jenis telah dilabuhkan di Perairan Terengganu mellibatkan kos lebih RM18 juta.  “Dalam satu kajian keberkesanan tukun di Perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia oleh DOF bersama IPT tempatan, antara dapatannya, purata kepadatan ikan di tukun-tukun Terengganu ialah 70.5 peratus, Kelantan (31.1 peratus), Pahang (50 peratus) dan Johor Timur (60.5 peratus). “Kepadatan ikan yang tinggi di Perairan Terengganu adalah rahmat bagi nelayan Terengganu tapi dalam masa yang sama mengundang pencerobohan samada oleh nelayan asing atau nelayan dari negeri jiran,” katanya.  
19 Nov 24
134
Terengganu Kembali Laksana Program Usahawan
Terengganu Kembali Laksana Program Usahawan
KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) mempunyai program khas keusahawanan untuk golongan muda mencipta kerjaya iaitu Program U-BES (Usahawan Belia Sejahtera).  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, program tersebut bertujuan melahirkan usahawan belia dan beliawanis lepasan SPM menjadi usahawan khususnya perniagaan atas talian selaras dengan perkembangan ekonomi digital. “YPU telah menyelaraskan empat kumpulan U-BES dengan 40 peserta setiap peringkat dan peringkat kelima akan dimulakan pada tahun ini. “YPU juga mengadakan program-program kursus secara berkala bagi usahawan 'Start-Up', 'Scale-Up' dan 'High Performing',” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambah beliau, di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS), pembiayaan khas bagi perniagaan atas talian iaitu Skim Perniagaan Atas Talian (SPAN) juga adalah lebih menjurus bagi membantu Usahawan belia yang banyak terlibat dalam perniagaan atas talian.  Sementara itu, Ariffin memaklumkan, Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Terengganu 2024-2028 dirangka sebagai kesinambungan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan di Terengganu.  “Pelan ini mengambil kira perancangan jangka pendek, sederhana, dan panjang serta bertujuan menyokong pembangunan sosioekonomi negeri secara holistik.  “Beberapa teras strategik utama diambil kira antaranya mewujudkan usahawan berdaya saing di peringkat global, pembangunan data usahawan berpusat, infrastruktur perniagaan serta konsultasi pembangunan halal," katanya.  
19 Nov 24
128
Pusat Pintar Bantu Warga Emas Ke Arah Pendigitalan
Pusat Pintar Bantu Warga Emas Ke Arah Pendigitalan
KUALA TERENGGANU, 19 November- Kerajaan negeri sedang berusaha memperkasakan Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) untuk memberi pendedahan kepada rakyat tentang pendigitalan terutamanya di kalangan warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selain menawarkan akses internet percuma kepada rakyat, pusat berkenaan turut dilengkapi dengan kemudahan PintarPay.  “PintarPay menawarkan pusat perkhidmatan setempat komunikasi seperti prepaid reload, postpaid dan pembayaran bil utiliti sekali gus memudahkan proses pembayaran bil tanpa perlu orang awam mengunjungi agensi yang berkaitan. “Banyak aplikasi yang ada tetapi penggunaannya tidak begitu memberangsangkan kerana kurang kesedaran di kalangan rakyat terutamanya golongan warga emas,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Ghazali mengemukakan soalan mengenai apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam memberi pendedahan khususnya dari sudut pendigitalan terutamanya bagi golongan warga emas dan penduduk di kawasan pendalaman memandangkan Kerajaan Terengganu telah merasmikan program Terengganu Smart City dan akan dilaksanakan di seluruh Negeri Terengganu. Mengulas lanjut Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri akan berusaha memberikan kesedaran kepada rakyat bagi menggalakkan mereka menggunakan aplikasi-aplikasi yang disediakan ke arah merealisasikan Terengganu Smart City.  
19 Nov 24
38
1,579 Tukun Tiruan Berlabuh di Perairan Terengganu Sejak 2006
1,579 Tukun Tiruan Berlabuh di Perairan Terengganu Sejak 2006
KUALA TERENGGANU, 19 November - Sebanyak 1,579 unit tukun tiruan pelbagai jenis telah dilabuhkan di Perairan Terengganu melibatkan kos lebih RM18 juta sejak tahun 2006 sehingga tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM13 juta adalah dari dana Kerajaan Negeri manakala bakinya merupakan sumbangan Kerajaan Persekutuan. “Dalam satu kajian keberkesanan tukun di Perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bersama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan, antara dapatannya, purata kepadatan ikan di tukun-tukun Terengganu ialah 70.5 peratus, Kelantan (31.1 peratus), Pahang (50 peratus) dan Johor Timur (60.5 peratus). "Keberkesanan tukun juga diukur dari peningkatan kadar pendaratan ikan. Jumlah pendatatan bagi tahun 2022 sebanyak kira-kira 33 ribu metrik tan meningkat kepada kira-kita 46 ribu metrik tan pada tahun 2023 dengan peningkatan kira-kira 39 peratus," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Langkap, Azmi Maarof dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambah beliau, antara jenis-jenis tukun yang dilabuhkan adalah tukun kuboid penghalang pukat tunda, tukun ‘cheese block’, tukun ‘castle’, tukun ‘rig to reef’, tukun bot dan beberapa jenis tukun lagi.  
19 Nov 24
178
Terengganu Buat Persiapan Rapi Hadapi Tengkujuh
Terengganu Buat Persiapan Rapi Hadapi Tengkujuh
KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan negeri telah melakukan persiapan rapi dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir di Terengganu yang dijangka berlaku dalam beberapa siri gelombang bermula minggu ini sehingga berakhirnya Monsun Timur Laut pada Mac tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa  Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, semua jentera dan agensi kerajaan telah diarah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir di daerah tertentu. Katanya, bekalan makanan termasuk persiapan logistik, jentera penyelamat dan pusat pemindahan sementara telah disiapkan bagi membolehkan mangsa terbabit diberi bantuan segera sebaik sahaja bencana itu berlaku. "Selain itu, para petugas seperti Bomba, Angkatan Tentera, Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah bersedia menghulurkan bantuan segera," jelasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Cukai berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Besut, Azbi Salleh dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambah Hanafiah, sebanyak RM11.27 juta diperuntukkan melalui JPS Terengganu yang merangkumi peruntukan kecemasan luar jangka, risiko banjir, penyelenggaraan kolam takungan banjir serta menaik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir. "Penyelenggaraan dan menaik taraf semua sistem saliran termasuk kolam tangkungan, sistem perparitan, benteng, dan sistem amaran banjir bagi memastikan keupayaan takungan dan struktur saliran berfungsi dengan lebih optimum ketika waktu puncak banjir. "Ia juga bagi menangani dan mengurangkan risiko banjir yang turut memberi kesan kepada orang ramai," ujarnya. Selain itu katanya,  penyelenggaraan dan penaiktarafan telah dilaksanakan  ke atas semua struktur sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan, benteng , sistem amaran banjir  dan sebagainya bagi memastikan keupayaan takungan dan kefungsian struktur saliran lebih optimum pada waktu puncak Menurut beliau lagi, sebanyak 36 aset mekanikal dan elektrik melibatkan 13 unit pam kekal, 21 unit pam bergerak dan dua generator elektrik mudah alih disediakan sebagai persiapan ketika banjir “JPS  sehingga kini telah mengenalpasti sebanyak 451 lokasi hotspot banjir serta 41 lokasi hotspot air pasang di seluruh Terengganu. “Ujian juga telah dilaksanakan ke atas 17 siren amaran banjir yang dipasang bagi memastikan dapat berfungsi dengan baik. “Selain itu, JPS juga akan memantau 132 stesen hidrologi dan lapan kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri untuk mendapatkan data-data hujan dan aras air semasa,” katanya.  
19 Nov 24
157
‘Menyusahkan’ - Respon MB Berhubung Sekatan Royalti
‘Menyusahkan’ - Respon MB Berhubung Sekatan Royalti
KUALA TERENGGANU, 18 November - Terengganu menganggap kaedah pembayaran royalti petroleum ketika ini sangat menyusahkan Kerajaan Negeri dan pegawai di Kementerian Kewangan (MOF). Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebahagian hasil royalti bagi 2024 juga masih tidak dipulangkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri. “Untuk 2024, tidak dibayar sepenuhnya lagi. Yang dibayar adalah mengikut kaedah peringkat dan ‘claim’, masih ada dalam permohonan-permohonan kita yang dalam proses pertimbangan di peringkat MOF.  “Tempoh untuk mendapat bayaran juga agak lama, biasanya memakan masa satu hingga empat bulan. “Sudah tentu cara begini menyusahkan Kerajaan Negeri dan menyusahkan pihak MOF kerana terpaksa melayan surat-surat dan permintaan daripada negeri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan 'Demi Masa Depan Terengganu' di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan cara tersebut juga membebankan pihak ketiga yang menanti pembayaran berkenaan. “Pembayaran terus daripada MOF kepada pihak-pihak yang memerlukan pembayaran itu, ini juga menyusahkan mereka.  “Kerana mereka terpaksa semak balik segala ‘voucher’ yang dibuat oleh Kerajaan Negeri.  “Jadi, ia bukan ‘double work’ lagi dah ‘triple work’ yang berlaku. Pada kami ini kerja yang tidak efisien kerana mengakibatkan kerja tambahan yang tidak perlu.  “Kita masih menyeru Kerajaan Persekutuan sama ada di Parlimen ataupun dalam Dewan Undangan Negeri posisi supaya melaksanakan kembali polisi bayaran seperti sebelum ini,” katanya.
18 Nov 24
636
Pemerhati Orang Asli Curi Tumpuan Pembentangan Belanjawan Terengganu
Pemerhati Orang Asli Curi Tumpuan Pembentangan Belanjawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kehadiran 37 pemerhati dari kalangan komuniti orang asli Kampung Sungai Pergam, Kemaman mencuri tumpuan dalam Pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, kehadiran delegasi berkenaan adalah hasil undangan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar. "Asalnya pada bulan Oktober lalu, program Terengganu Volunteers (T-VOLT) turun ke perkampungan orang asli Sungai Pergam dan hasil daripada kunjungan kita menerusi program sukan serta kebajikan di sana, warga penduduk ada sebut tidak pernah sampai di Wisma Darul Iman. "Jadi saya panjangkan hasrat mereka kepada pihak Dato' Seri Menteri Besar dan YAB kata sedang molek kita undang sempena pembentangan Belanjawan kali ini. "Mereka datang dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman, lebih kepada untuk merapatkan hubungan antara orang asli dengan pimpinan utama kerajaan negeri dan pada kita ini satu perkembangan yang baik. "Kita sangat bersyukur dengan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat dan penduduk Negeri Terengganu ini," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Tok Batin Komuniti Orang Asli Kampung Sungai Pergam, Roslan Semail menyifatkan, kehadiran kali pertama ke Wisma Darul Iman merupakan pengalaman yang baik buat anak-anak buahnya.  "Ke wisma ini kali pertamalah, memang kita sangat terharulah dengan anak buah kita seramai lebih kurang 40 orang ke sini untuk menyaksikan pembentangan Bajet bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ini. "Kalau boleh (selepas ini) begitulah, kerajaan negeri ambil cakna dengan masyarakat orang asli. "Kita ada empat kampung di Terengganu iaitu Kampung Sungai Sayap, Kg Sungai Berua, Kg Sungai Pergam dan Kg Keruak," katanya. Sebagai rekod, Kg Keruak di Besut dihuni oleh suku Bateq, manakala di Sungai Sayap dan Sungai Berua, Hulu Terengganu dihuni suku Bateq dan Semoq Beri. Kg Pergam di Kemaman pula dihuni tiga suku kaum iaitu Bateq, Jakun dan Semoq Beri.    
18 Nov 24
229
YPU, Platform E-Dagang Terkemuka Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Muda
YPU, Platform E-Dagang Terkemuka Jalin Kerjasama Bantu Usahawan Muda
KUALA TERENGGANU, 18 November – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), TAJDID dan TD1303 akan mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka bagi mengembangkan perniagaan usahawan tempatan. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah tersebut akan meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan peralihan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) ke arah pendigitalan. Katanya, ia juga bagi menyokong para usahawan dengan kemahiran menjalankan perniagaan dan pemasaran serta mengaplikasi sistem kewangan digital. “YPU akan kembali melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) dengan kerjasama institusi kewangan dalam negara untuk menyokong golongan belia menceburi bidang keusahawanan melalui penyediaan latihan, geran dan bimbingan yang berterusan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Dalam itu katanya, menerusi kerjasama dengan pelbagai entiti kerajaan, pemain industri dan pusat latihan pula, THRDC akan membangunkan portal Terengganu Talent bagi mempromosikan bakat tempatan kepada bakal majikan dan Galeri Kerjaya Digital yang berkonsepkan interaktif. "Ia bagi membantu para pelajar dan golongan belia memahami laluan kerjaya dalam pelbagai bidang yang diminati sesuai dengan kelayakan masing-masing," ujarnya.  
18 Nov 24
151
Penyakit Mental di Terengganu Masih Terkawal
Penyakit Mental di Terengganu Masih Terkawal
KUALA TERENGGANU, 18 November - Penyakit mental di Terengganu masih dalam keadaan terkawal walaupun terdapat peningkatan sesi rawatan yang telah diberikan kepada pesakit berkait masalah mental di hospital dan klinik kesihatan di seluruh Terengganu sepanjang tahun 2023. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menjelaskan bahawa peningkatan itu adalah normal dan tidak menunjukkan trend yang membimbangkan. “Berdasarkan data terkini, jumlah sesi rawatan mental yang berdaftar meningkat daripada 24,562 kes pada 2018 kepada 34,540 kes pada 2023, namun angka ini tidak menggambarkan keadaan yang membimbangkan. "Penyakit mental ini bukanlah perkara yang perlu ditakuti. Ramai yang mungkin menganggapnya sebagai 'gila', padahal pesakit masih boleh sembuh dengan rawatan yang betul," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Terengganu, Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, semalam. Wan Sukairi menegaskan bahawa walaupun terdapat peningkatan kes, pesakit yang mendapatkan rawatan mental di Terengganu masih boleh menjalani kehidupan yang normal.  "Rawatan yang diberikan sangat berkesan dan banyak pesakit yang saya temui kelihatan seperti orang biasa. Ini menunjukkan bahawa mereka boleh sembuh dengan rawatan yang betul," jelasnya. Menurut ADUN Wakaf Mempelam itu, hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri menyediakan perkhidmatan rawatan mental yang lengkap.  “Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mempunyai kepakaran psikiatri, serta hospital-hospital di daerah seperti Dungun, Kemaman, Besut, dan Hulu Terengganu, juga menawarkan perkhidmatan yang sama.  “Selain itu, dua Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di negeri ini, di Klinik Kesihatan Wakaf Tapai dan HSNZ, membantu mempercepatkan proses rawatan mental kepada masyarakat,” ujarnya. Tambah Wan Sukairi, Antara penyakit mental yang paling banyak dirawat adalah kemurungan dan keresahan, masing-masing menyumbang 33 dan 16 peratus daripada keseluruhan kes.  “Penyakit-penyakit ini, walaupun sering dianggap berat, sebenarnya boleh dirawat dengan psikoterapi, ubat antidepresan, dan bagi kes yang lebih serius, terapi elektrokonvulsif (ECT),” jelasnya. Wan Sukairi juga menekankan bahawa sokongan agama memainkan peranan penting dalam membantu pesakit yang menghidap keresahan.  "Kaedah agama sangat berkesan, terutamanya bagi pesakit anxiety," katanya. Dalam usaha menangani isu kesihatan mental ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah merangka pelbagai langkah strategik. "Antaranya adalah dengan menjalankan program pendidikan kesihatan awam untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya kesihatan mental dan cara menguruskan stres. “Kerajaan negeri juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak pusat MENTARI di seluruh negeri ini, serta memperkukuh kerjasama dengan pihak swasta dan NGO untuk memperluaskan akses kepada rawatan mental. "Kami ingin rakyat tahu bahawa kesihatan mental adalah keutamaan kami. Dengan rawatan yang tepat, pesakit boleh sembuh dan hidup dengan normal. Jadi, tiada sebab untuk bimbang. “Dengan usaha yang berterusan dan kemudahan rawatan yang semakin meluas, Terengganu memastikan penyakit mental dapat ditangani dengan baik, tanpa perlu menimbulkan rasa cemas dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
18 Nov 24
192
Kerajaan Tubuh Majlis Pakar Terengganu, Himpun Cendekiawan Tempatan
Kerajaan Tubuh Majlis Pakar Terengganu, Himpun Cendekiawan Tempatan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri  akan  menubuhkan Majlis Pakar Terengganu (Terengganu Experts Council) bermula tahun depan bagi merealisasikan "Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera” menjelang tahun 2030. Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia sebagai usaha menangani penghijrahan cendekiawan (brain drain) dan supaya dapat menggembleng kearifan tempatan (local wisdom),  "Kita akui di negeri Terengganu ini mempunyai ramai pakar-pakar dalam bidang yang berkait dengan pembangunan, ekonomi, sosio masyarakat , agama dan sebagainya yang bekerja di ruang masing-masing di universiti, bidang pendidikan dan secara individu termasuk orang yang dah bersara dengan kepakaran-kepakaran mereka. "Sudah sampai waktunya, kita institusikan keberadaan dan kepakaran mereka dalam satu majlis  yang mana kita boleh datang dan jemput untuk memberikan pandangan-pandangan untuk dilaksanakan di Terengganu selepas membuat pertimbangan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pembentangan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambah Ahmad Samsuri lagi, penubuhan majlis itu juga sebagai sebagai platform kepada anak Terengganu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang-bidang strategik untuk menyumbang bakti.      
18 Nov 24
719