Artikel "Semasa" Terkini
Pakaian Patuh Syariah Atlet Mulai 12 Mac
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Terengganu bakal memperkenalkan garis panduan pemakaian patuh syariah atlet termasuk mereka yang akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 pada 11 hingga 19 Julai depan.Perkara itu akan dinyatakan dalam majlis khas yang akan diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 12 Mac ini.Mulai tarikh itu, pihak berkaitan akan menetapkan garis panduan bagi setiap atlet beragama Islam, termasuk mereka yang menyertai sukan gimnastik dan akuatik.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, garis panduan pemakaian atlet itu nanti bukan sahaja meliputi aspek pemakaian, tetapi aspek syariah yang lain.“Terengganu akan menguna pakai sebaik mungkin garis paduan itu supaya dapat diikuti dan dicontohi negeri lain,” katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kontinjen Terengganu sempena SUKMA Johor, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Wan Sukairi turut memberitahu, pihaknya bermungkinan akan menghantar kira-kira 600 atlet bagi menyertai 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan.Katanya, buat masa sekarang, pihaknya sudah melantik bapa dan jabatan angkat bagi memberi sokongan pada setiap sukan yang akan dipertandingkan pada SUKMA Johor nanti.“Bagi tujuan sama, setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri dipertanggungjawabkan menjadi bapa angkat.“Manakala Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zainal Abidin Hussin dilantik sebagai Ketua Kontinjen,” katanya,
09 Mar 20
109
Hebatnya, Ikan Singgang Mampu Jadi Penawar Covid-19?
Ikan singgang merupakan satu sajian yang sangat popular di Terengganu. Selain rasanya yang sedap ia juga enak dimakan bersama nasi panas ditambah pula budu dan ulam ulaman. Memang menambahkan lagi selera makan ketika menikmati juadah ini. Namun tular sejak semalam, ia dikatakan mampu melawan penyakit bawaan virus dan mungkin penawar kepada wabak Covid-19 kerana ikan singgang mempunyai khasiatnya yang tersendiri melalui bahan-bahan penyediaan yang semulajadi.Dr Azizah MahmoodPensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Azizah Mahmood berkata ikan singgang berpotensi untuk merawat penyakit Covid-19 kerana mengandungi pelbagai ramuan dan bahan yang mampu untuk menghapuskan mikrob.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya berhubung menu ikan singgang kononnya mampu merawat Covid-19 yang tular di media sosial dan menjadi bualan hangat di kalangan netizen.Azizah berkata, banyak pihak yang menghubunginya untuk mengesahkan mengenai kenyataan yang dibuat itu.“UMT tidak pernah menjalankan apa-apa kajian berkaitan ikan singgang serta Covid-19 itu, dan tidak mengesahkan menu itu mujarab untuk merawat penyakit berkenaan.“Bagaimanapun, berdasarkan banyak kajian yang dijalankan ke atas bahan-bahan yang ada dalam menu tradisional itu, ia berkemungkinan berpotensi untuk merawat.“Lengkuas, kunyit, halia dan bawang putih dalam menu ikan singgang mampu memusnahkan mikrob dan ia diakui melalui kajian yang dijalankan oleh banyak pihak sebelum ini,” katanya.Antara bahan-bahan penyediaan ikan singgang iaitu lengkuas, bawang putih, kunyit, ketumbar, lada jarum, asam keping dan ikanKatanya, pihaknya tidak dapat mengesahkan ikan singgang mujarab untuk Covid-19 sehingga kajian klinikal ke atas manusia dijalankan secara menyeluruh dan data dikumpul secara sistematik.“Bukan senang sebenarnya untuk mengesahkan menu ikan singgang itu mujarab kerana hanya melalui kajian tertentu sahaja dapat mengesahkannya.“Oleh itu saya harap orang ramai jangan keliru dengan kenyataan saya itu kerana ujian klinikal tidak pernah dijalankan ke atas menu ikan singgang dan Covid-19.“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tentu menetapkan prosedur sewajarnya untuk memusnahkan virus berkenaan dan kajian tidak boleh dijalankan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.Katanya, ikan singgang diakui menu yang menyihatkan kerana tanpa santan dan minyak serta wajar dimakan untuk amalan kesihatan.Sumber Oleh : Harian Metro
07 Mar 20
755
350 Sertai 'Fun Walk' Hari Terbuka Setiu Wetlands
Santai sambil menghayati keindahan alam semula jadi.Oleh: Fahmi IzzuddinSETIU, 8 Mac - Sempena Hari Terbuka Setiu Wetlands (SWOD), lebih 350 orang peserta menyertai 'Walk for Fun Setiu' yang diadakan di Kampung Mangkok semalam.Program yang disertai pelbagai peringkat umur itu bersifat santai dan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penjagaan alam sekitar.Ia melibatkan penganjuran bersama pihak Kumpulan Wang Hidupan Liar Dunia (WWF) Malaysia, CIMB Islamic Malaysia dan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu.Rata-rata peserta yang terdiri daripada penduduk setempat dan pengunjung luar Setiu menyatakan keterujaan untuk bersama dalam program berkenaan.Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri serius menjaga kelestarian alam sekitar.Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian SWOD pada sebelah petang.Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, usaha memelihara dan memulihara alam sekitar tidak hanya bergantung kepada pihak kerajaan."Masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menjaga khazanah berharga ini untuk kita wariskan kepada generasi pelapis."Di pihak kerajaan, kita telah mewartakan dua kawasan sebagai Taman Negeri iaitu Tasik Kenyir dan Setiu Wetlands di sini," katanya ketika berucap.Dalam pada itu, pertandingan foto tercantik berkonsepkan alam sekitar turut mencuri tumpuan pencinta alam dan masyarakat setempat.Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut serta.SWOD berlangsung selama dua hari bermula semalam dan hari ini yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk permainan rakyat.
07 Mar 20
290
Terengganu Catat Penyertaan Terbesar Di Kejohanan Memanah Kebangsaan
Oleh: Wan Luqman HakimKUALA NERUS, 8 Mac- Terengganu mencatatkan penyertaan terbesar dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan Siri 1 2020 yang berlangsung di Pusat Memanah Terengganu, Kem Pengakap Tengku Muhamad Ismail bermula dari 4 hingga 8 Mac baru-baru ini.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia melibatkan penyertaan seramai 402 orang yang melibatkan atlet dan pegawai-pegawainya yang merupakan jumlah terbesar bagi siri-siri Kejohanan Memanah Kebangsaan. “Faktor yang menyebabkan kejohanan ini mendapat sambutan ramai apabila semua pasukan negeri-negeri menyediakan pasukan untuk kejohanan sukan SUKMA 2020 di Johor nanti.Ini adalah salah satu medan terakhir untuk menguji atlet dan oleh itu kita mendapat sambutan yang paling menggalakkan.“Biasanya enam pasukan memanah Malaysia akan menganjurkan tiga siri kejohanan setiap tahun, dimana siri pertama dan kedua akan dilakukan di negeri-negeri yang menjadi persatuan yang berpayung di bawah pasukan Malaysia dan siri akhir biasanya buat di Majlis Sukan Keramat,” ujarnya ketika merasmikan majlis perasmiannya baru-baru ini.Katanya lagi, pada kejohanan kali ini, buat pertama kalinya acara Barebow diperkenalkan dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan. Kategori yang dipertandingkan adalah Recurve Lelaki, Recurve Wanita, Compound Lelaki, Compound Wanita, Barebow Lelaki dan Barebow Wanita.
07 Mar 20
306
Syahmi Buktikan Autisme Bukan Halangan Untuk Cemerlang
Syahmi bersama ibu, Hayani dan bapanya, Samsul Muariff melihat keputusan yang diperolehi.KUALA NERUS, 8 Mac- Muhammad Syahmi Asyraff Samsul Muariff membuktikan bahawa anak-anak autisme mampu berjaya apabila dinobatkan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu 2019, baru-baru ini.Beliau yang memperoleh keputusan 7A1B1C menyifatkan kekurangannya bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi."Jangan anggap kekurangan sebagai kelemahan, buktikan pada orang lain orang istimewa macam kita ini boleh berjaya sekiranya mendapat sokongan moral daripada ibu bapa dan rakan-rakan."Sebenarnya dalam konteks cara untuk berjaya ini bergantung kepada individu. Bagi saya untuk SPM ini, saya belajar sejak Tingkatan Empat kerana ada topik yang berhubung kait dengan subjek Tingkatan Lima yang ramai terlepas pandang jika dianggap remeh," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Calon Terbaik CBK di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, di sini.Pengarah Pendidikan Negeri, Salim Ab. Ghani menyampaikan sijil penghargaan kepada Syahmi.Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu turut berterima kasih kepada pihak sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam yang banyak mendisiplinkan dirinya."Saya bersyukur sebenarnya kerana SMK Panji Alam telah melaksanakan amalan solat dhuha setiap hari pada waktu rehat," katanya.Bercerita tentang perancangannya, Syahmi berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Kesihatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam pengkhususan farmasi.Sementara itu, ibunya, Hayani Zakaria, 54, melahirkan rasa kesyukuran atas kejayaan anak bongsunya itu."Alhamdulillah, selesai satu peringkat dalam kehidupan anak istimewa saya. Bukan senang menjadikan dia di antara yang terbaik, bukan mudah."Sesiapa yang ada anak seperti ini, perlu beri dorongan dan berlapang dada dengan anak-anak ini kerana sebenarnya, masalah besar dalam mengatasi anak-anak autisme adalah ibu bapa yang bersikap 'denial' (sentiasa menafikan)," katanya.Syahmi menunjukkan keputusan SPM yang diperolehinya.
07 Mar 20
329
COVID-19 : Terengganu Manfaat Masa Bertenang, Naik Taraf Infrastruktur Pelancongan
Ahmad Samsuri (tengah) melihat pameran pemuliharaan dan pemeliharaan habitat laut.SETIU, 8 Mac - Kerajaan Terengganu akan memanfaatkan tempoh bertenang industri pelancongan akibat wabak COVID-19 dengan melaksanakan penambahbaikan terhadap infrastruktur di lokasi tumpuan pengunjung negeri itu.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran pelancong yang lebih rendah berbanding sebelum ini terutama di kawasan pantai dan tempat bercuti lain membolehkan kerja menaik taraf dilakukan dengan rancak.“Selain itu, kita juga sedang memperkemaskan strategi untuk menarik kehadiran mereka dengan menggunakan bahan pendidikan dan promosi untuk pelancong ketika mereka datang ke Terengganu nanti,” katanya.Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Setiu Wetlands di Kampung Mangkuk di sini semalam.Ahmad Samsuri mengajak orang ramai bersama-sama kerajaan bagi menjaga kelestarian alam sekitar.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Zahari Md Azahar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Islamic Bank, Ahmad Shariman Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Hidupan Liar Dunia (WWF) Malaysia, Lim Chooi Kuan.Dalam program tersebut, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk penanaman pokok paya bakau, gotong-royong di kawasan tanah lembap serta taklimat mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar kepada komuniti setempat.Sementara itu, Ahmad Shariman memaklumkan, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1 juta setahun bermula tahun ini untuk mengurus dan melaksanakan inisiatif hijau di Taman Negeri berkenaan.“Usaha ini dijangka dapat memberi manfaat jangka panjang kepada proses pemuliharaan di kawasan itu,” katanya.Flora yang semakin hilang ditelan arus kemodenan.
07 Mar 20
159
Cabaran Kuda Lasak Piala MB Terengganu Bermula
Antara peserta yang mencuri tumpuan.SETIU, 7 Mac - Seramai 79 peserta dari dalam dan luar negeri mewarnai kejohanan kuda lasak Piala Menteri Besar Terengganu 2020 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu yang bermula petang tadi.Kejohanan edisi keempat itu disertai peserta lelaki dan wanita termasuk dua pelumba handalan kebangsaan berasal dari Terengganu, Mohammad Fuad Hashim dan Azizatul Asma Datuk Abdullah.Perlumbaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sejauh 40 kilometer (km), 80 km serta 100 km dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 jam dan akan berakhir pada jam 5 pagi esok.Majlis pelepasan peserta bagi tiga acara berkenaan disempurnakan sendiri Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5.00 petang tadi.Ahmad Samsuri melepaskan peserta.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.Sementara itu, Mohammad Fuad yang memakai jersi 21 pastinya bertekad mahu memperbaiki catatan musim lalu.Mohammad Fuad yang juga atlet Sukan SEA negara menyertai kategori CEI 1* 100 km dijangka bakal ditentang hebat rakan senegaranya, Azizatul Asma yang menunggang kuda diberi nama Mora Franka.Kejohanan kali ini turut mencuri tumpuan peminat apabila peserta termuda, Farish Iskandar Mohammad Iskandar akan membuat perhitungan dalam kategori CEN 40 km.Acara penyampaian hadiah akan berlangsung pagi esok dan Ahmad Samsuri dijangka hadir bagi menyempurnakan majlis tersebut.
07 Mar 20
612
Liga Darul Iman : Setiu, Kuala Nerus Terikat Tanpa Jaringan
Aksi sengit kedua-dua pasukan.Oleh : Fahmi IzzuddinSETIU, 7 Mac - Pasukan Setiu FA gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan berdepan Kuala Nerus dalam perlawanan yang berlangsung di Padang Mini Stadium Sungai Tarom semalam.Setiu yang diketuai Norhisyam Yaacob buntu mencipta gol walaupun berkali-kali mengasak kubu pasukan pelawat yang dibarisi bekas pemain Terengganu FC, Ismail Faruqi.Ketua Jurulatih Pasukan Setiu, Shahrizan Che Abd Rani berkata, meskipun hanya berjaya mengutip satu mata, pasukannya masih berpeluang untuk layak ke peringkat seterusnya.“Kita mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri ke separuh akhir sekiranya menang baki perlawanan peringkat kumpulan menentang pasukan Besut minggu hadapan, walau bagaimanapun pasukan Besut tidak boleh dilihat mudah.“Kita telah kenal pasti bahagian yang perlu diperkuatkan bagi mengharungi baki perlawanan peringkat kumpulan ini dan corak permainan serta strategi kita akan ubah supaya bahagian serangan lebih berkesan bagi menghasilkan gol,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini semalam.Hadir sama menyaksikan perlawanan petang tadi Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Dato’ Abdul Halim Jusoh.Pasukan Setiu ketika ini mengumpul empat mata hasil daripada dua perlawanan sebelum ini.Kira-kira 400 orang penonton hadir menyaksikan perlawanan pada petang ini yang rata-rata adalah penduduk tempatan dan peminat bola sepak.Padang Mini Stadium Sungai Tarom aktif digunakan sebagai tempat rasmi bagi perlawanan bola sepak sama ada melibatkan peringkat DUN mahupun daerah.
06 Mar 20
125
Acara Sampingan Hangatkan Kuda Lasak Piala MB
Peserta terbaik kejohanan.SETIU, 6 Mac - Acara sampingan sempena Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar Terengganu yang berakhir hari ini menjadi medan pemanas badan sebelum aksi sebenar bermula esok.Saingan di Pusat Kuda Lasak Antarabangsa Terengganu itu melibatkan enam kategori sejauh 20 kilmeter selain turut menampilkan beberapa peserta cilik.Majlis penyampaian hadiah kepada peserta terbaik disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Zahari Md Azahar, Pegawai Daerah Setiu, Sophian Abu Bakar dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.Mengungguli acara keseluruhan ialah pasukan HKRC apabila dinobatkan sebagai pasukan terbaik, kumpulan terbabit mencatatkan masa empat jam lima minit dan 55 saat sekali gus bergelar juara edisi kali ini.Kemenangan itu diraih setelah mereka cemerlang dalam dua kategori pertandingan iaitu mencatat johan bagi acara Mini Endurance Pony menerusi Nurin Kasih Arisya.Selain turut berjaya memenangi kedudukan satu dan dua dalam pertandingan Mini Endurance Horse apabila M Aminuddin serta Haikal Danish Darini berjaya menidakkan peserta lain.Kejayaan itu sekali gus mengenepikan kumpulan Sri Panji Stable yang ketinggalan enam minit di belakang, manakala Mok Ngoh Stable berpuas hati di kedudukan ketiga.Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar Terengganu akan membuka tirai petang esok dan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka akan merasmikan kejohanan.
06 Mar 20
229
Tan Sri Idrus Harun Peguam Negara Baharu
Tan Sri Idrus Harun PUTRAJAYA, 7 Mac - Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai hari ini.Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata pelantikan Tan Sri Idrus telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah juga telah memperkenankan permohonan Tan Sri Tommy Thomas untuk memendekkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara berkuat kuasa pada 28 Februari 2020 selaras dengan Fasal (5) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.Pejabat Perdana Menteri turut menyatakan kerajaan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Tommy Thomas atas perkhidmatan beliau kepada negara selama memegang jawatan sebagai Peguam Negara.Sumber : Astro Awani
06 Mar 20
82