Artikel "Semasa" Terkini
COVID-19 : PK-Nerus Salur Bantuan Keperluan Harian Golongan Terjejas
Oleh: Nizam a-TakiriKUALA NERUS, 24 Mac - Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus (PK-NERUS) mengagihkan 1,000 barangan keperluan berupa beras, gandum dan lain-lain kepada rakyat yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, agihan tersebut bermula kelmarin serta merupakan inisiatif bagi membantu rakyat Kuala Nerus berpendapatan rendah dan terputus sumber pendapatan.“Semua pihak wajar membantu rakyat yang terjejas akibat penularan serius wabak COVID-19 ketika ini. Pihak Pusat Khidmat dan beberapa agensi kerajaan seluruh kawasan Kuala Nerus telah mengagihkan 1,000 barangan keperluan kepada seluruh rakyat yang layak.“Sumbangan barangan keperluan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Kuala Nerus yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19," ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam.Ujar Dr Khairuddin lagi, PK-Nerus dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah mengagihkan 1000 barangan keperluan kepada mereka yang layak.Tambah beliau, dengan pengagihan barangan-barangan keperluan tersebut diharap dapat meringankan beban kepada mereka yang terjejas sumber pendapatan akibat PKR bagi membendung penularan wabak COVID-19.Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut menasihatkan orang ramai agar dapat mematuhi perintah larangan itu hingga 31 Mac ini.
24 Mar 20
38
COVID-19 : Yuran Taska Permata Terengganu Dipulangkan
Hanafiah Mat bersama salah seorang bayi yang diasuh di Taska Permata Keluarga YPKT awal Januari lalu.KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan mempertimbang semula pemulangan yuran Taska Permata Keluarga yang telah dibayar oleh ibu bapa susulan penutupan operasi taska dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac 2020.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Pembangunan Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pertimbangan tersebut memandangkan kesemua Taska Permata Keluarga di bawah kendalian YPKT telah menutup operasinya bagi membendung penularan wabak COVID-19."Sebanyak 67 buah Taska Permata Keluarga YPKT telah ditutup dalam tempoh PKP ini. Bagi yuran taska yang telah dibayar oleh ibu bapa, kerajaan negeri akan mempertimbang untuk memulangkannya semula."Caj yuran hanya dikenakan mengikut bilangan hari kehadiran anak-anak mereka ke taska sebelum penutupan taska. Walau bagaimanapun, pemulangan yuran akan diuruskan selepas tempoh PKP ini," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.Jelas Hanafiah, kerajaan negeri juga akan menanggung pembayaran gaji guru-guru Taska Permata Keluarga sebagaimana kebiasaannya."Terus duduk di rumah dan ambillah langkah-langkah yang dinasihatkan oleh pihak yang bertanggungjawab," tambahnya.
24 Mar 20
1269
Terhutang Budi Pada Para Petugas Tangani Covid-19
Oleh : Muhd Afiq ZohirBESUT, 23 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu terhutang budi kepada semua petugas yang terlibat dalam menangani wabak virus Covid-19 yang melanda di negara ini.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, beliau mengucapkan terima kasih diatas pengorbanan yang ditunjukkan oleh para petugas.“Para petugas yang terlibat sentiasa berisiko tinggi untuk terkena jangkitan wabak virus ini, utamakan aspek kebersihan dalam setiap tugas seharian."Pihak kami sentiasa berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi gejala wabak yang melanda dunia ini," jelasnya.Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan memberi sumbangan makanan kepada petugas di Pejabat Kesihatan Daerah Besut pada hari Sabtu, 21 Mac.Turut hadir sama dalam sesi lawatan tersebut ialah Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.Menurutnya, kerajaan negeri akan sedaya-upaya untuk menyalurkan apa-apa bantuan yang diperlukan buat masa sekarang bagi memudahkan para petugas."Setakat ini satu Pusat Kuarantin Daerah Besut telah di buka yang menempatkan 40 orang suspek Covid-19," ujar beliau.
23 Mar 20
73
COVID-19 : Terengganu Sambut Baik Inisiatif Kerajaan Pusat
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kerajaan negeri menyambut baik usaha kerajaan pusat dalam memperkenalkan beberapa inisiatif lagi bagi membantu rakyat menghadapi ancaman Covid-19.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata beliau mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan, kerajaan melalui Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinetnya mengumumkan beberapa insentif serta skim bantuan untuk rakyat di seluruh negeri.Katanya, inisiatif yang diumumkan mampu membantu setiap negeri dalam meringankan beban rakyat di samping peruntukan yang sedia ada.Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan bernilai RM130 juta akan disalurkan kepada pentadbiran kerajaan negeri bagi membantu menangani krisis COVID-19.Perdana Menteri berkata, peruntukan itu boleh digunakan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis COVID-19, selain pesakit virus itu serta ahli keluarga mereka.Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan."Peruntukan ini juga boleh digunakan bagi menyediakan keperluan kepada petugas di peringkat kerajaan negeri yang terbabit dalam menangani krisis ini.Perdana Menteri juga mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa 1 April ini bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat.Muhyiddin berkata inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun.Dalam pada itu, Ustaz Mohd Nor juga menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta mengikuti arahan kerajaan secara terus tanpa sebarang pertikaian."Ketika ini kerjasama rakyat terutama di Terengganu sangat diperlukan dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sehingga 31 Mac nanti," ujarnya.
23 Mar 20
35
COVID-19 : Terengganu Umum Pakej Rangsangan Cakna Fasa 2
KUALA TERENGGANU, 23 Mac -Kerajaan negeri mengumumkan beberapa lagi inisiatif yang boleh meringankan impak ekonomi dihadapi masyarakat sebagai langkah keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat terus terpelihara.Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya sentiasa mengambil maklum dalam memastikan tindakan yang berterusan dalam melihat kepentingan rakyat pada fasa-fasa yang seterusnya.Katanya, fasa dua dapat memberi manfaat secara langsung dan dirasai oleh sebahagian golongan miskin dan berpendapatan rendah.Tambahnya lagi, ia juga dapat meringankan beban para peniaga yang terjejas kerana terpaksa menutup premis perniagaan mereka akibat COVID-19."Atas kesedaran itu, kerajaan negeri ingin mengumumkan beberapa inisiatif fasa dua yang boleh meringankan impak ekonomi yang dialami semua pihak."Pengecualian Sewaan dan Bayaran dibawah seliaan Kerajaan Negeri Terengganu akan dilaksanakan bagi bulan April dan Mei 2020 bagi meringankan beban mereka yang terlibat," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.Justeru itu, beliau berkata kerajaan negeri bersetuju menangguhkan bayaran sewa Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Kos Rendah (RKR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk dua bulan bermula April sehingga Mei 2020."Pengecualian bayaran sewa premis perniagaan milik Kerajaan Negeri Terengganu bagi bulan April 2020."Penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran Yayasan Terengganu dan bayaran sewa bulanan Desa Keluarga Yayayasan Pembangunan Keluarga Terengganu bagi bulan April dan Mei 2020. "Ini juga termasuk penangguhan bayaran sewa bulanan bagi premis-premis perniagaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bagi bulan April dan Mei 2020,"tambahnya lagi.Beliau juga berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberi perhatian termasuk apa juga pihak yang terkesan daripada COVID-19 ini."Segala bentuk bantuan akan diusahakan dan diselaraskan oleh kerajaan negeri dengan kerajaan pusat untuk meringankan beban dihadapi oleh rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya.
22 Mar 20
58
COVID-19 : Terengganu Beri Bantuan Barangan Keperluan Harian Golongan Terjejas - MB
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Wan Sukairi Wan Abdullah meninjau keadaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah baru-baru ini susulan penularan wabak COVID-19.KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan Terengganu memperkenalkan bantuan barangan keperluan harian membabitkan peruntukan sebanyak RM640,000 di bawah Pakej Rangsangan Terengganu Cakna bagi menangani kesan wabak COVID-19.Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan menyelaras pakej bantuan kepada rakyat akibat wabak COVID-19 melalui beberapa fasa yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.“Bantuan barangan keperluan asas itu adalah antara inisiatif Pakej Rangsangan Terengganu Cakna fasa satu yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.Jelasnya, pakej rangsangan fasa tersebut akan memberi bantuan segera kepada rakyat yang benar-benar memerlukan berupa pakej barangan makanan seperti beras, minyak, gula, teh, sardin dan lain-lain bagi tiap-tiap keluarga."Bantuan akan diurus oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan kerjasama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sejurus selepas mengenal pasti golongan yang benar-benar terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan virus berkenaan," ujarnya.Kelmarin, beliau mengumumkan kerajaan negeri menyediakan insentif sebanyak RM6 juta kepada golongan terjejas berikutan penularan COVID-19.Katanya, kerajaan negeri akan mengumumkan bentuk bantuan atau insentif kepada golongan terbabit secara berfasa berdasarkan keperluan semasa.
21 Mar 20
81
COVID-19 : Rakyat Terjejas Akan Diberi Bantuan
Dr Azman (kanan).Oleh : Hidayah AzlinSETIU, 22 Mac – Rakyat yang menghadapi masalah kewangan semasa arahan Kawalan Pergerakan ekoran wabak COVID-19 akan diberikan bantuan dalam masa terdekat.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, menyedari kesan daripada kawalan itu, penekanan terhadap isu kebajikan rakyat yang kurang berkemampuan dijadikan keutamaan untuk diberi perhatian. Katanya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi telah mengenalpasti golongan untuk disalurkan bantuan. "Ia adalah bantuan di musim bencana, diberikan hanya kepada mereka yang dalam kesempitan sahaja. Bukannya bantuan untuk kita agih merata kepada semua orang."Harap saudara-saudara kita yang sedikit berkemampuan memahami situasi yang sedang kita lalui bersama ini. Dahulukan saudara kita yang lebih memerlukan lebih dari diri sendiri," katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.Menurut beliau lagi, dengan keterbatasan yang ada, bantuan diagihkan melalui MPKK terus kepada golongan sasar dengan impak perhubungan yang paling minima."Memang hasrat hati saya nak pergi agih sendiri bantuan dari rumah ke rumah. Namun, situasi perintah kawalan pergerakan tidak mengizinkan kita buat seperti agihan bantuan musim banjir."MPKK tak perlu nak ‘posing’ tangkap gambar masuk ‘Facebook’. Kita juga tak menggunakan kaedah sesiapa yang memerlukan bantuan diminta hadir ke Pejabat ADUN kerana kaedah ini akan menyebabkan rakyat berhimpun dan beratur."Kalau ada lagi di kalangan rakyat yang miskin dan terlepas pandang oleh pihak MPKK, harap dapat berhubung dengan MPKK masing-masing. Bantuan akan disalurkan dengan kadar seberapa segera," tambahnya.Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar anggota masyarakat sentiasa menjaga diri dan keluarga dengan sebaiknya bagi mengatasi penularan wabak COVID-19.
21 Mar 20
62
COVID-19 : SATU Terengganu Hentikan Sementara Bacaan Meter Air
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) akan menghentikan sementara operasi pembacaan meter dan menutup lapan pusat khidmat pelanggan di Terengganu mulai esok 23 Mac hingga 31 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperketatkan.Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, SATU komited menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk mengawal pergerakan selaras dengan PKP di Malaysia untuk menangani wabak COVID-19."SATU akan mengurangkan skop perkhidmatan bekalan air utama dan akan menumpukan kepada tanggungjawab kritikal untuk membekalkan air kepada semua pengguna air yang berdaftar di Terengganu."Skop perkhidmatan yang kami tumpukan adalah termasuk pembacaan meter (kecuali bagi pengguna besar), pemotongan bekalan air serta kutipan bil dan lain-lain perkhidmatan di kaunter perkhidmatan pelanggan di seluruh Terengganu di mana semuanya akan dihentikan sementara dalam tempoh tersebut," ujarnya.Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.Walau bagaimanapun, katanya, beberapa perkhidmatan yang tidak kritikal akan dikurangkan kepada tahap yang minima bagi membendung pergerakan orang ramai dan meminimumkan risiko kesihatan awam ketika PKP berkuatkuasa."Bagi memastikan operasi syarikat tidak terjejas selaras dengan kebenaran daripada Suruhanjya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kami tetap menjalankan beberapa aktiviti seperti anggaran bil dan pilihan pembayaran bil."SATU akan mengeluarkan bil air berdasarkan anggaran yang diperolehi daripada penggunaan bulan sebelumnya."Untuk menjayakan PKP, kami amat menggalakkan pengguna membuat bayaran secara 'online'. "Dalam tempoh PKP ini, SATU tidak akan melaksanakan pemotongan bekalan air kepada mana-mana pengguna berdaftar di Terengganu. Namun pengguna dinasihatkan supaya membuat bayaran bil air mereka tepat pada masanya," ujarnya.Tegas Ir Atemin, SATU berusaha melakukan yang terbaik untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air bersih dan selamat yang berterusan kepada pengguna di Terengganu.SATU menasihatkan pengguna bekalan air negeri Terengganu supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk kekal duduk di rumah.
21 Mar 20
777
COVID-19: Orang Ramai Diseru Berpuasa Sunat
Oleh : Adli MohamadKUALA TERENGGANU, 20 Mac - Orang ramai khususnya rakyat Terengganu diseru berpuasa sunat pada hari Khamis ini dan memanjatkan doa kepada Allah supaya dibebaskan daripada wabak COVID-19.Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ianya bertepatan dengan perintah Allah agar memohon pertolongan dariNya dengan sabar melalui ibadat berkenaan."Kita menunaikan ibadat yang baik kepada Allah, mengadu agar Dia melepaskan kita daripada bahaya penyakit berjangkit itu."Tetap disana tidak ada sikap berputus asa, kita yakin dan percaya Allah akan menyelamatkan kita daripada bahaya ini," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman sosial facebooknya, hari ini.Katanya, seluruh rakyat juga diharapkan bersabar dengan makna sebenarnya mengerjakan ibadat puasa dan solat di rumah.Beliau turut menyeru agar orang ramai mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sekarang ini dan insaf dengan kembali mentaati segala perintah Allah.
21 Mar 20
34
COVID-19: Ilmu Perubatan Islam Solusi Terbaik
Oleh : Adli MohamadMARANG, 21 Mac- Ilmu perubatan Islam merupakan solusi terbaik dalam usaha mengatasi Wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.Ahli Parlimen Marang, Dato Seri' Abdul Hadi Awang berkata, sebagaimana telah dibuktikan pada masa lampau ilmu perubatan telah diterokai oleh umat Islam terlebih dahulu berbanding barat.Dimana katanya, umat Islam telah mendahului ribuan tahun memperkenalkan ilmu bius, pembedahan serta penyelesaian kepada penyakit wabak."Islam mendahului ribuan tahun daripada barat didalam perkara ini, kita kena sedar, jangan kita malukan agama kita dan orang Islam," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika bersiaran menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat atas talian, melalui laman sosial rasminya, semalam.Justeru katanya, orang Islam perlu kembali sedar bahawa ilmu perubatan adalah milik umat Islam yang dipelajari oleh barat."Kita kena sedar bahawa kita orang Islam ini telah menjadi model dalam sejarah Islam di zaman dahulu."Ilmu perubatan ini orang Islam teroka dahulu, tiba-tiba kita tinggal ilmu kita sendiri," ujarnya.Islam katanya, mengajar umatnya agar bukan semata-mata menyerah diri namun kena berikhtiar mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah yang melanda.Oleh kerana itu, arahan dikeluarkan kerajaan agar berada di rumah dan tidak keluar merentas negeri perlu dipatuhi kerana hal sedemikian juga telah diajar oleh Islam.
20 Mar 20
33