lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Wanita B40 Teruja Mulakan Kelas Jahitan Sulam Tampal
Wanita B40 Teruja Mulakan Kelas Jahitan Sulam Tampal
KUALA TERENGGANU, 15 September – Para peserta kursus jahitan sulam tampal yang terdiri daripada wanita berpendapatan rendah (B40) di sekitar daerah ini sudah tidak sabar untuk memulakan pembelajaran mereka. Kursus anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Nor itu dilaksanakan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Negara ‘Human Resources Development Fund’ (PENJANA HRDF) dan akan memberi manfaat kepada individu untuk jualan secara atas talian. Wakil Richmind Legacy Sdn Bhd (penyedia latihan), Zuraina Ahmad berkata program ini dinamakan sebagai program jahitan ‘patchwork’ ataupun tampal cantum yang tidak memerlukan sebarang modal.   Zuraina Ahmad. “Kita hanya menggunakan kain perca yang sedia ada seperti lebihan-lebihan kain jahitan dan kemudian dijadikan satu produk yang baru seperti beg ataupun kotak pensil, beg sandang, bakul dan sebagainya. “Produk-produk ini boleh dijual dengan harga yang sangat tinggi, jadi kita berharap kemahiran baharu yang dipelajari oleh wanita B40 Kuala Terengganu ini dapat digunakan untuk menjana pendapatan dengan lebih lumayan kerana produk-produk ini dapat dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi walaupun tanpa menggunakan modal. “Wanita-wanita ini asalnya sudah mempunyai kemahiran menjahit, jadi apa yang dilakukan ialah menambah kemahiran menjahit ke satu tahap yang baru,” ujarnya. Zuraina berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Jahitan Sulam Tampal Untuk Jualan Secara Online Bagi Program Pembangunan B40 Daerah Kuala Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Wakaf Mempelam semalam. Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, serta Pengarah Urusan Richmind Legacy Sdn Bhd, Ahmad Jafny Jusoh. Menurut Zuraina lagi, daerah Kuala Terengganu adalah ‘pilot programme’ (program pertama) yang dijalankan. Katanya, kejayaan program tersebut akan menjadi kayu ukur untuk dipertimbang dan dikembangkan ke daerah-daerah dan negeri lain.   ADUN Wanita bersama sebahagian peserta. “Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya kepada ADUN Wanita yang menyambut baik program ini dan sebenarnya idea ini sudah lama, tetapi tidak dapat dilaksanakan sebaliknya kali ini, ADUN Wanita telah membantu merealisasikannya. “Pihak mereka banyak membantu kami dari segi untuk mendapatkan dan mengenal pasti peserta yang layak sebab kita tahu, golongan B40 ini ramai tapi kita sasarkan golongan yang betul-betul memerlukan untuk dibantu, tambahnya lagi. Beliau turut melahirkan harapan agar peserta dapat belajar dengan bersungguh-sungguh di samping dapat dilatih sebagai usahawan wanita yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk keluarga tanpa perlu mengharapkan orang lain. ADUN Wanita bergambar bersama peserta kursus.  
15 Sep 20
943
Hiduplah Secara Harmoni, Haiwan Juga Punya Hak
Hiduplah Secara Harmoni, Haiwan Juga Punya Hak
KUALA TERENGGANU, 14 September – Manusia adalah khalifah di atas muka bumi untuk menjaga, mentadbir dan mengurus muka dunia ini agar ia dikongsi secara harmoni antara semua makhluk Allah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sebagai makhluk Allah, haiwan juga mempunyai hak untuk dapatkan makanan,  kebebasan daripada ketidakselesaan dan bebas daripada ketakutan serta penderitaan.  "Haiwan juga makhluk yang punya rasa. Cuma tak mampu berkata-kata. Dijadikan haiwan oleh Allah untuk faedah manusia, tapi bukan untuk dizalimi, disakiti, dianiayai dan diabaikan. "Apabila ini semua diharmonikan, kita pun boleh hidup secara menumpang atas muka bumi Allah. Tapi apabila terdapat manusia yang mencipta konflik dengan alam, kena ingat kita juga terbatas. Kita bimbang kita berada di pihak yang kalah.   "Akta atau undang-undang tentu sekali bukan untuk menghukum tetapi lebih kepada usaha menolak budaya penganiayaan serta menjaga kebajikan haiwan itu sendiri seperti yang disarankan oleh agama," katanya.    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kempen Kesedaran Akta Kebajikan Haiwan, di Hotel Paya Bunga di sini, hari ini.   Sementara itu menurutnya, di Terengganu, kes yang pernah didakwa di bawah Akta Kebajikan haiwan ialah kes tetak lembu dan sabung ayam.  "Membiarkan lembu berkeliaran di jalan raya sehingga ternakan dilanggar kenderaan juga boleh didakwa bawah Akta ini. Jangan main-main. Hukumannya boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara. "Jadi kita mengharapkan semua memahami akta kebajikan haiwan dan sama-sama bekerja untuk melaksanakannya. Kita boleh cipta suatu suasana yang harmoni. Kebajikan manusia terjaga dalam masa yang sama kebajikan haiwan pun terjaga.  "Islam sangat mementingkan keadilan. Adil ini maknanya meletakkan sesuatu pada tempatnya," tegasnya.
14 Sep 20
589
Satu Lagi Pusat Pengajian Al-Quran OKU Penglihatan Terengganu Beroperasi
Satu Lagi Pusat Pengajian Al-Quran OKU Penglihatan Terengganu Beroperasi
BESUT, 14 September -  Kerajaan Terengganu menempa kejayaan terbaharu apabila berjaya menubuhkan satu lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille dan telah beroperasi di Pejabat Yayasan Islam, di sini sejak dua bulan lepas. Perkembangan itu sekali gus memudahkan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di Terengganu mempelajari mukjizat Nabi tersebut dengan lebih baik. Kerjasama antara Yayasan Islam Terengganu dengan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Terengganu (PERTIS) dibuat selepas pusat sama bagi daerah Dungun dan Kemaman dibuka di Masjid Jamek, Paka sebelum ini dan yang pertama telah lama wujud sejak 2007 iaitu di Seberang Takir. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri amat berbangga dengan perkembangan itu dan berharap agar menjadi pemangkin kepada perkembangan al-Quran di Terengganu tanpa ada halangan kepada sesiapa sahaja yang mahu mendalaminya. “Penubuhan pusat pengajian ini memberi fokus kepada golongan OKU cacat penglihatan untuk mengikuti kelas pengajian asas al-Quran dan hafazan. “Mereka ada keistimewaan yang tersendiri, kita ingin war-warkan kepada seluruh masyarakat terutamanya yang mempunyai anak-anak OKU cacat penglihatan supaya mengambil peluang ini untuk mendedahkan anak-anak mereka mengenai pembelajaran al-Quran di pusat ini,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Pembukaan Pusat Pengajian Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Pejabat Yayasan Islam, Besut, hari ini. Katanya, kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan memberi komitmen untuk memperkasa dan memperkukuhkan pusat ini demi melahirkan generasi yang mengenal serta memahami al-Quran tanpa mengira perbezaan lapisan masyarakat. “Kesedaran mempelajari dan mendalami ilmu al-Quran melalui sistem pendidikan secara berterusan walaupun di kalangan OKU cacat penglihatan akan melahirkan generasi cintakan al-Quran di negeri ini. “Justeru, untuk tahun ini kita kerajaan negeri peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pengurusan di dua pusat ini dan untuk tahun depan akan  dipertingkatkan lagi peruntukan untuk menambah baik dan menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik,” ujarnya. Katanya, setakat ini Pusat Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing seorang guru. Untuk rekod, kerajaan Terengganu pada awal tahun lalu berjanji untuk menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu.
14 Sep 20
1316
Lebih 30 Kerbau Syukor 'Kampung Boy' Mati Mengejut
Lebih 30 Kerbau Syukor 'Kampung Boy' Mati Mengejut
KUALA TERENGGANU, 14 September - Lebih 30 ekor kerbau milik keluarga ‘Mowgli Malaysia’, Mohd Syukor Khamis di Kampung Banggol Katong di sini mati mengejut dipercayai akibat wabak hawar berdarah. Syukor, 15, yang masih terkejut dan sedih dengan musibah itu walau bagaimanapun redha dan menyifatkan ia adalah ujian buat dirinya. Katanya, dia mula menyedari kejadian itu selepas diberitahu ayahnya, Khamis Jusoh, 64, pada Rabu lalu tentang seekor kerbau yang dijaganya mati. "Pada mulanya saya ingat ia hanya sakit-sakit biasa, tetapi apabila dari hari ke hari bilangan yang mati meningkat ia membuatkan saya berasa pelik. "Seekor lagi yang mati sebelum dua ekor pada Jumaat, empat ekor pada Sabtu dan 11 ekor pada Ahad. Hari ini sahaja 10 ekor mati dan dijangka lebih lima ekor lagi yang akan mati kerana sebab yang sama," katanya ketika ditemui di kandang kerbau keluarganya di sini, hari ini. Menurut Syukur,  ayahnya paling sedih dengan kejadian itu kerana pertama kali berlaku dan dibimbangi semua kerbau akan mati. "Kerbau kesayangan saya, Samek dan Along setakat ini masih dalam keadaan baik dan sudah disuntik vaksin semalam," katanya. Dalam pada itu, Khamis memberitahu, nilai kerugian dianggarkan sekitar RM200,000 susulan kematian lebih 30 kerbau itu. "Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sudah datang dan sedang menyiasat punca kematian. "Ia disyaki mengalami penyakit hawar berdarah berdasarkan simptom-simpto. yang dialami. Keputusan terhadap kematian kerbau ini akan diperoleh dua minggu lagi," katanya. Sementara itu, Pengarah JPV Terengganu, Dr Termizi Ghazali ketika dihubungi berkata, Program Penvaksinan Tahun 2020 telah dijalankan secara berperingkat sejak Februari lalu. Katanya, ia dilaksanakan di kawasan 'hotspot' wabak bagi mengekang virus seperti itu terus menular di seluruh negeri. "Terbaru kita laksanakan program itu bermula 30 Ogos melibatkan 12 kampung, 106 orang, 675 ekor lembu dan 58 ekor kerbau," katanya.
14 Sep 20
4567
Jangan  Ceroboh Perairan Negara Ketika Tengkujuh
Jangan  Ceroboh Perairan Negara Ketika Tengkujuh
    HULU TERENGGANU, 13 September  - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)Terengganu  meneruskan pemantauan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing dalam kawasan perairan negara ketika musim tengkujuh ini yang akan berlaku tidak lama lagi. Pengarahnya, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata ia bagi membendung pencerobohan bot nelayan Vietnam yang berkemungkinan mengambil peluang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora ketika ini. Katanya, pihak Maritim sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri untuk mengemaskini kes tangkapan yang dilakukan dengan negara Vietnam. "Kita telah maklumkan bahawa pada musim tengkujuh, bot nelayan asing tidak dibenarkan berlindung di perairan negara. "Sekiranya dapat permohonan oleh pihak kedutaan Vietnam, ia akan dimaklum pada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Maritim untuk tindakan sewajarnya. "Sehingga kini pihak kami belum menerima sebarang permohonan dan tangkapan akan dilakukan sekiranya bot Vietnam masuk ke perairan dan mengambil kesempatan dengan alasan berlindung di pulau-pulau terutama Pulau Redang, Perhentian dan Tenggol,"ujarnya. Beliau berkata demikian selepas selesai sesi latihan menembak senjata kecil di Lapang Sasar RELA, Kampung Kemat di sini hari ini. Program ini melibatkan penyertaan seramai 112 orang warga Unit Keselamatan APMM (MNT) serta 80 orang jemputan daripada pengamal media, pelbagai jabatan atau agensi peringkat negeri dan daerah.  Tambah beliau, sebagai agensi penguatkuasaan di laut pihaknya telah membuat persiapan sewajarnya untuk pastikan aktiviti pencerobohan dikawal sepenuhnya. "Kita tidak akan membiarkan penyeludup beranggapan musim tengkujuh adalah musim untuk mereka ‘berpesta’ di perairan negara,” ujarnya lagi. Dalam pada masa yang sama, APMM turut bersedia menggerakkan aset mereka bagi membantu agensi penyelamat lain dalam menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada awal Oktober. "Kita sediakan aset yang sedia ditugaskan untuk kes carilamat di laut dan saya ingin nasihatkan kepada  nelayan yang keluar ke laut pada musim tengkujuh supaya berhati-hati dan memakai jaket keselamatan. "Selain itu, komuniti maritim juga digalakkan membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) ketika ke laut kerana alat ini mampu memendekkan tempoh pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan serta lokasi," katanya.
13 Sep 20
448
Keprihatinan Kerajaan Negeri Terhadap Ibu Tunggal Dipuji
Keprihatinan Kerajaan Negeri Terhadap Ibu Tunggal Dipuji
MARANG, 15 September - Keprihatinan kerajaan Terengganu bagi mengelakkan ibu tunggal yang layak menerima bantuan khas tercicir mendapat pujian Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). Pengarah JPW Terengganu, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman berkata, ia terbukti apabila kebanyakan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu telah mengadakan taklimat berhubung Bantuan Khas Ibu Tunggal di Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Katanya, walaupun bantuan itu tidaklah terlalu besar, tetapi ia sangat membantu mereka yang kurang berkemampuan. "Memang kerajaan hanya bagi sekali secara one-off sebanyak RM300, tetapi sebenarnya nilai itu sangat berharga dan besar bagi orang yang memerlukan. Raja Kamariah Raja Abdul Rahman "Di Terengganu, kita tidak mempunyai masalah dari segi kerjasama di DUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang menunjukkan keprihatinan dalam menjaga masyarakat," ujarnya. Beliau berkata ketika berucap dalam Program Taklimat Bantuan PENJANA Ibu Tunggal di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, di sini kelmarin. Turut hadir, Penyelia i-MiTS Rhu Rendang, Mohd Embong, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan wakil Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Jalaluddin Awang. Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 1,500 orang telah mendapat bantuan itu dalam fasa satu, dua dan tiga. Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, program itu diadakan bagi memastikan semua ibu tunggal yang layak tidak tercicir. "Itu tujuan kita, lebih-lebih lagi pada saat ini mereka golongan yang sangat memerlukan setelah terjejas dengan pandemik COVID-19. "Selagi kita bergelar kerajaan, kita akan terus menjaga kebajikan masyarakat setempat, memberi maklumat dan menjadi pengantara atau orang tengah bagi memudahkan urusan rakyat," jelasnya lagi.
13 Sep 20
836
IBS Kenaf Pemangkin Pendapatan Baharu Kontraktor Tempatan
IBS Kenaf Pemangkin Pendapatan Baharu Kontraktor Tempatan
KUALA TERENGGANU, 13 September – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menjelaskan, sektor pembinaan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf mampu menjana pendapatan baharu bagi kontraktor tempatan di Terengganu.  “Ia boleh dilaksanakan pada masa akan datang kerana teknologi IBS kenaf terbukti lebih sistematik, tahan haba, lebih tahan lasak, menjimatkan masa dan kos pembinaan serta ia lebih mesra alam. “Kursus sehari anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini akan dijadikan sebagai platform kepada penggiat industri untuk mempromosi dan seterusnya menarik lebih ramai golongan berkenaan mengadaptasi penggunaan teknologi IBS berasaskan kenaf bukan sahaja di negeri ini malah diperluas ke negeri-negeri lain.” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Pengenalan Keusahawanan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf Peringkat Terengganu di Hotel Paya Bunga, semalam. Menurutnya, kursus tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada kumpulan sasar khususnya dalam sektor pembinaan berkaitan penggunaan dan pemasangan IBS kenaf selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan keboleh pasaran produk berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar, dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri pembuatan termasuk pembinaan. Jelasnya, ia bukan sahaja diharap dapat meningkatkan pengetahuan para peserta malah turut membuka peluang dalam menjana pendapatan dan mewujudkan jaringan perniagaan melalui aktiviti pemadanan perniagaan.
13 Sep 20
561
Skuad Amar Didik Pemilik Salun Kecantikan Jaga Aurat
Skuad Amar Didik Pemilik Salun Kecantikan Jaga Aurat
MARANG, 12 September - Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) mengedar risalah berkaitan batasan aurat kepada beberapa salun kecantikan wanita  dan kedai  perkhidmatan mengunting rambut di daerah ini. Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, langkah itu bertujuan  memberi penerangan jelas mengenai aurat, termasuk batasan antara lelaki dan wanita. “Penerangan awal dengan edaran risalah yang diberikan ini adalah diharap dapat membentuk ke arah salon patuh syariah.   “Sejujurnya, bertemu mata dengan peniaga salon seperti ini lebih baik di mana kita boleh menyelami suasana harmoni dengan dakwah secara leih terperinci kepada mereka mengikut kesesuaian. “Program dakwah jalanan yang dilakukan ini juga telah mendapat keizinan daripada Ahli Majlis Daerah Marang dari bahagian perlesenan dan juga Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang.” Beliau berkata sebaik sahaja selesai program edaran risalah bersama 10 orang sukarelawan skuad amar yang terdiri daripada golongan wanita bermula jam 11 pagi. Menurutnya lagi, dalam kunjungan hari ini, kita dapati ada di kalangan mereka merupakan ibu tunggal yang berkerja keras demi menyara keluarga. “Ada juga yang diuji dengan masalah kesihatan dan kewangan dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan ekoran daripada Pandemik Covid-19. Dengan itu kita juga turut memberikan sedikit sumbangan wang ringgit.” “InsyaAllah, selepas ini pemantauan secara berkala akan dibuat bersama-sama PPS, Pihak Berkuasa Tempatan dan Ahli Majlis Dearah Marang,” ucapnya lagi.
12 Sep 20
477
KPPK Cadang Bina 20 Rumah IBS Kenaf Di 222 Parlimen
KPPK Cadang Bina 20 Rumah IBS Kenaf Di 222 Parlimen
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengemukakan cadangan bagi membina 20 unit rumah menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf di seluruh 222 kawasan Parlimen. Menterinya, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia dijangka membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM222 juta melalui peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi pembinaan 4,440 unit kediaman dengan kos sekitar RM50,000 untuk sebuah rumah. Katanya, untuk peringkat permulaan sebanyak tiga unit rumah IBS kenaf bakal dibangunkan di kawasan Parlimennya sebagai sampel pelaksanaan projek berkenaan. “Perkara ini masih di peringkat cadangan dan saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu dan jika dipersetujui, pembangunannya akan menggunakan peruntukan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). “Secara tidak langsung usaha ini dapat mengembangkan lagi penggunaan IBS kenaf dalam negara kerana teknologi ini terbukti sangat baik, sistematik, lebih tahan lasak, menjimatkan masa dan kos di samping mesra alam,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Kursus Pengenalan Keusahawanan IBF Kenaf Terengganu di Hotel Paya Bunga (PB) di sini hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd. Salleh. Mohd. Khairuddin berkata, pembinaan rumah IBS kenaf sebelum ini dirintis di Muar, Johor dan Melaka di samping projek terbaharu membabitkan penglibatan pihak swasta di Hulu Langat, Selangor. Tambahnya, industri kenaf mempunyai potensi besar dan berdaya saing untuk dibangunkan termasuk pembinaan. “Sehingga 31 Julai 2020, seluas 285.2 hektar kawasan di Terengganu telah dibangunkan dengan tanaman kenaf melibatkan 178 penanam. “Tahun ini kita menyasarkan sebanyak 2,000 hektar kawasan penanaman kenaf baharu dan sedang bergerak ke arah itu termasuk mencari tapak bersesuaian bagi meluaskan tanaman kenaf termasuk di Terengganu dan Pahang,” katanya.
12 Sep 20
890
Lahirkan Lebih Ramai Usahawan Wanita Luar Bandar - Henry
Lahirkan Lebih Ramai Usahawan Wanita Luar Bandar - Henry
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar di kalangan wanita luar bandar. Timbalan Menteri ii KPLB, Dato' Henry Sum Agong berkata, selaras dengan usaha tersebut, pihaknya menyediakan pelbagai program latihan kemahiran dan pembangunan usahawan wanita luar bandar melalui agensi-agensi berkaitan. Katanya, sehingga hari ini, hampir 80 peratus daripada 3,100 usahawan wanita luar bandar telah pun berjaya melalui Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA). "Menjadi hasrat KPLB, seminar ini dapat memberi pendedahan serta latihan dalam aspek kepimpinan di peringkat komuniti bagi membantu melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan. "Seminar ini adalah antara program yang diberi tumpuan di bawah Teras 6-Wanita berdasarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan pada tahun 2019. "Teras Wanita ini bertujuan melahirkan wanita luar bandar yang progresif dalam semua aspek kehidupan merangkumi ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan kepimpinan," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar di Hotel Primula, Kuala Terengganu di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun, Pengarah Institut Kemajuan Desa ( INFRA), Noraina Masduki. Tambah Henry lagi, sasaran peserta bagi tahun 2020 adalah seramai 700 berbanding 3,100 pada tahun lepas kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) yang diteruskan sehingga 31 Disember ini. Sehingga kini, terdapat 38,486 usahawan di Malaysia dengan 18,597 daripadanya adalah usahawan wanita manakala di Terengganu, terdapat 2,209 usahawan.
12 Sep 20
825